Kisah Tiga
Sahabat
Oleh Aina Abdullah
Buku ini kepunyaan:
i
TENTANG PENULIS
Nama penuh penulis ialah Nurul Aina Binti
Abdullah. Berumur 22 tahun. Dilahirkan di
Hospital Sri Manjung, Perak. Merupakan anak
bongsu daripada 4 orang adik-beradik. Penulis
sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber
Manusia di Univerisiiti Utara Malaysia.
Gajah, rusa, dan tupai merupakan 3 sahabat
karib. Mereka mempunyai personaliti yang
berbeza. Rusa merupakan seekor haiwan
yang rajin, tupai merupakan seekor haiwan
yang periang, manakala gajah merupakan
seekor haiwan yang pemalas.
1
Suatu hari, rusa mengajak kedua-
dua ekor sahabatnya pergi
mengembara untuk mencari
makanan kerana sumber makanan
mereka semakin berkurangan. Rusa
amat risau jika mereka semua akan
mati akibat kelaparan. Rumput,
dedaun, dan buah-buahan di tempat
tinggal mereka itu sudah kehabisan,
yang tinggal hanyalah ranting-
ranting pokok sahaja. Musim
kemarau yang berlaku
menyebabkan semua pepohon
kekeringan.
2
Tupai bersetuju dengan cadangan rusa tersebut dan
tupai berasa amat bersemangat untuk pergi
mengembara. Tambahan pula, tupai amat suka akan
pengembaraan. Namun begitu, gajah membantah.
Gajah tidak mahu mengembara kerana dia
berpendapat bahawa tidak lama lagi rerumput dan
dedaun ini akan tumbuh semula.
"Mengapa kita perlu besusah payah dan membuang
tenaga untuk mencari makanan? Lebih baik kita
tunggu sahaja di sini sehingga semua pepohon
tumbuh dengan mekar. Aku pasti dan yakin tidak
lama lagi ia pasti akan tumbuh semula!" Gajah
berkata.
3
Rusa berasa kecewa dengan gajah manakala tupai yang amat ceria sewaktu
diajak oleh rusa untuk mengembara sebentar tadi bertukar muram dan sedih
kerana dia tidak dapat mengembara. Namun begitu, rusa tetap juga mengajak
gajah untuk mengembara kerana rusa berasa amat risau jika gajah akan
kelaparan lalu jatuh sakit.
"Wahai sahabatku gajah, marilah mengikuti kami mengembara untuk mencari
makanan. Pengembaraan ini pasti akan menjadi lebih seronok jika kau turut
serta. Lagipun, kita perlukan makanan untuk terus sihat. Aku risau jika kau
jatuh sakit." Rusa berkata.
"Aku setuju! Aku setuju! Jomlah gajah kita mengembara bersama-sama." Tupai
menambah.
4
Namun begitu, gajah masih tidak mahu untuk mengekori mereka. Gajah juga
masih sempat mengejek rusa dan tupai.
"Lihatlah badan aku besar dan sihat. Oleh itu, aku yakin bahawa aku mampu
untuk bertahan dalam masa beberapa hari lagi. Badan aku tidak seperti kalian
berdua, kecil dan kelihatan lemah. Oleh sebab itu kalian amat memerlukan
makanan dengan segera. Kalau tidak, kalian pasti akan mati kelaparan. Lagi
pula, aku memang malas untuk membuang masa mencari makanan yang jauh
dari tempat tinggal kita. Lebih baik aku simpan sahaja tenaga aku ini." Gajah
berkata.
Rusa dan tupai terdiam. Mereka sememangnya kecewa dengan sikap gajah
yang berbangga diri dan malas berusaha.
5
Rusa dan tupai tetap meneruskan perancangan mereka
untuk pergi mengembara walaupun tanpa penyertaan gajah.
Tupai berasa amat gembira kerana akhirnya dia dapat juga
pergi mengembara walaupun dia berasa sedikit kecewa
kerana gajah tidak menyertai mereka. Sumber makanan yang
semakin berkurangan menyebabkan rusa dan tupai gigih
untuk mengembara mencari makanan. Perjalanan mereka
amat jauh kerana banyak tempat yang telah kering kontang
akibat kemarau. Oleh itu, mereka terpaksa meneruskan
perjalanan sehingga mereka dapat menikmati buah-buahan
dan dedaun yang enak.
6
Tupai yang periang tersebut amat menikmati
pengembaraan tersebut walaupun jauh.
Namun, rusa semakin kepenatan dan berasa
sedikit kecewa kerana mereka masih belum
dapat menikmati makanan yang banyak dan
lazat. Tenaga rusa juga semakin berkurangan.
Tupai memberikan semangat kepada rusa
untuk meneruskan pengembaraan sambil
menyanyi dengan penuh keriangan untuk
menghiburkan rusa. Rusa terus bersemangat
apabila mendengar nyanyian dan jenaka tupai
itu. Tambahan pula, rusa seekor haiwan yang
amat rajin dan tidak mudah berputus asa. Oleh
itu, dia tetap bersemangat untuk meneruskan
perjalanan.
"Terima kasih tupai. Sekarang ini aku lebih
bersemangat. Marilah! Kita teruskan
pengembaraan ini sehingga sampai ke destinasi
yang hendak dituju." kata rusa.
"Sama-sama sahabatku. Marilah!." Tupai
membalas. 7
Setelah mengembara dengan begitu jauh, tiba-
tiba kedengaran bunyi deruan air terjun
berhampiran dengan mereka. Rusa dan tupai
terus tersenyum dan bersorak dengan penuh
kegembiraan. Alangkah terkejutnya mereka
tatkala melihat air terjun yang sangat indah dan
dikelilingi oleh pepohon menghijau serta buah-
buahan yang segar. Mereka terus memakan
buahan-buahan dan dedaun yang terdapat di
kawasan itu dengan penuh kegembiraan.
"Wah, sedapnya buah-buahan ini! Rasanya
sungguh manis dan lazat." kata tupai sambil
tersenyum kegembiraan.
Rusa dan tupai makan sehingga mereka benar-
benar kenyang. Mereka merasakan bahawa
makanan-makanan ini adalah ganjaran kepada
mereka setelah penat mengembara.
8
Setelah rusa dan tupai memakan pelbagai jenis buah-buahan dan
dedaun yang lazat itu, mereka pun berasa amat kenyang dan
bersyukur. Tiba-tiba mereka teringat akan sahabat mereka
iaitu gajah yang berkemungkinan tidak makan selama beberapa
hari.
"Wahai tupai, aku percaya bahawa gajah pasti kelaparan di
sana. Aku risau jika gajah jatuh sakit dan tidak bertenaga
seperti dahulu lagi". kata rusa.
"Benar rusa! Aku pun teringat akan gajah. Dia pasti sangat
lemah sekarang. Marilah rusa, kita petik buah-buahan dan
dedaun ini untuk gajah." tupai menambah.
"Ayuh!"Rusa bersemangat.
Rusa dan tupai segera memetik buah-buahan dan dedaun
sebagai bekalan untuk gajah. Mereka berasa amat gembira
untuk membawa bekalan kepada gajah.
9
Rusa dan tupai pulang dengan penuh
keriangan dan tidak sabar untuk
menceritakan pengembaraan mereka kepada
gajah.
"Aku tidak sabar untuk berjumpa gajah!
Rindu pula aku pada gajah. Aku tidak
sabar untuk menceritakan tentang tempat
yang kita pergi ini kepada gajah. Cantik,
tenang, dan yang paling seronok sekali
adalah makanannya lazat-lazat belaka."
kata tupai.
"Benar, tupai. Selepas ini, kita boleh ajak
gajah untuk pergi ke tempat ini lagi." kata
rusa.
Tupai bersorak keriangan.
10
Hari sudah semakin gelap, apabila rusa dan tupai
hampir tiba ke tempat tinggal mereka, tiba-tiba
kedengaran bunyi tembakan yang amat kuat dan
menakutkan. Rusa dan tupai berasa terkejut
kerana mereka mendapati terdapat pemburu haram
yang cuba memburu haiwan-haiwan di sekitar itu.
Rusa dan tupai amat risau akan keselamatan gajah.
Dari jauh, mereka dapat melihat gajah yang sedang
terbaring lesu di atas tanah. Gajah kelihatan kurus
kerana tidak makan selama beberapa hari.
11
Tiba-tiba rusa ternampak
pemburu tersebut cuba untuk
mengisi peluru ke dalam
senapang untuk menembak
gajah. Rusa segera
memberitahu tupai, lalu tupai
yang lincah tersebut pergi
dengan segera ke arah
pemburu itu dan menggigit
kaki pemburu itu sehingga
berdarah. Peluru-peluru yang
baru sahaja hendak diisi ke
dalam senapang tersebut
terjatuh ke tanah.
12
Rusa dan tupai mengambil peluru tersebut
dan membuangnya. Pemburu yang dalam
kesakitan itu terus berlari meninggalkan
tempat itu kerana dia berasa amat takut.
13
Kemudian, rusa dan tupai segera pergi ke arah gajah dan memberi gajah
makanan yang dibawa oleh mereka. Setelah makan, barulah gajah kelihatan
sedikit bertenaga. Gajah berasa terharu kerana sahabatnya masih lagi mahu
membantunya walaupun dia bersikap sombong.
"Terima kasih rusa dan tupai kerana membawa bekalan makanan kepada aku
dan masih mahu bersahabat denganku. Aku minta maaf kerana bersikap
sombong dan mengejek kalian pada tempoh hari. Aku benar-benar menyesal."
kata gajah.
14
"Tidak mengapa gajah. Aku maafkan. Lagi pula, kita sudah bersahabat sejak
dahulu lagi." kata rusa.
"Aku juga maafkan kau gajah. Aku sayang kau." kata tupai.
Mulai dari saat itu, gajah berazam untuk menjadi seekor haiwan yang rajin
dan akan sentiasa menghargai nilai persahabatan mereka.
15
-TAMAT-
16
Gajah, rusa, dan tupai merupakan 3 sahabat karib. Mereka mempunyai
karakter yang berbeza-beza. Rusa merupakan seekor haiwan yang
rajin, tupai merupakan seekor haiwan yang periang, manakala gajah
merupakan seekor haiwan yang pemalas. Suatu hari, rusa bercadang
untuk pergi mengembara mencari makanan kerana sumber makanan
mereka semakin berkurangan. Pengembaraan tersebut disertai oleh rusa
dan tupai sahaja kerana gajah berasa malas untuk mengikuti
pengembaraan tersebut. Pengembaraan itu mengambil masa yang agak
lama kerana musim kemarau menyebabkan banyak daun-daun dan
rumput menjadi kering. Rusa dan tupai akhirnya menjumpai kawasan
yang dipenuhi dengan makanan yang lazat. Namun, adakah mereka
sanggup membawa bekalan makanan tersebut kepada gajah walaupun
gajah pernah mengejek mereka sewaktu diajak untuk mengembara?
Setelah menikmati makanan tersebut, mereka pun pulang. Apabila
semakin hampir dengan tempat tinggal mereka, rusa terlihat seorang
pemburu ingin menembak gajah yang kelihatan sangat lemah kerana
tidak makan selama beberapa hari. Adakah gajah tersebut akan mati
ditembak oleh pemburu? Ataupun adakah erti persahabatan yang ikhlas
mampu menyelamatkan gajah tersebut?