MARI BERPANTUN
Tersusun Kata Pantun Tercipta
© MK e-Solutions Sdn. Bhd.
ISBN 978-967-0036-02-1
Terbitan Pertama : 2023
PENULIS
ZAWIAH ABDUL SHUKOR
PENILAI
BADRUL HISHAM GHAZALI
Hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini tidak dibenarkan dicetak
atau disalin semula, disimpan dalam mana-mana sistem perolehan kembali,
diedarkan atau dipindahkan dalam sebarang bentuk, sama ada bentuk elektronik,
salinfoto, rakaman atau dengan cara apa jua pun, tanpa mendapat kebenaran
secara bertulis terlebih dahulu daripada MK e-Solutions Sdn. Bhd., Malaysia.
Kesahihan fakta dan tafsiran dalam terbitan ini adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya dan
tidak mewakili pandangan, tafsiran dan huraian pihak penerbit.
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Zawiah Abdul Shukor
MARI BERPANTUN : Tersusun Kata Pantun Tercipta / ZAWIAH ABDUL SHUKOR.
ISBN 978-967-0036-02-1
1. Malay poetry.
2. Pantoums.
3. Poetry.
I. Judul.
899.2313
Penerbit:
MK e-Solutions Sdn. Bhd. (200801002403)
6th Floor, Suite 16, IOI Business Park, Persiaran Puchong Jaya Selatan, Bandar Puchong Jaya,
47100 Puchong Selangor. Malaysia. Tel: +603 80644228. Fax: +603 80642050
Website: http://www.mke-solutions.com Email: [email protected]
Dicetak oleh:
CIPTA Printing & Publishing (M) Sdn Bhd
No.16, Persiaran Rishah 14, Kawasan Perindustrian Silibin, 30100 Ipoh, Perak. Malaysia
Tel : +605-5262627 Fax : +605-526220
i
Buku ini merupakan kesinambungan daripada buku kecil yang saya hasilkan
pada tahun 2009. Dalam tempoh beberapa tahun itu saya giat membimbing
pelajar saya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu untuk
menghadapi pertandingan pada peringkat Institut Pendidikan Tinggi yang
diadakan pada setiap tahun. Untuk memenangi pertandingan, selain latihan
untuk menjawab soalan dan bentuk-bentuk soalan yang perlu dikemukakan,
saya juga mempelajari gaya penilaian oleh juri-juri yang dilantik. Jadi, buku
awal tersebut mengandungi elemen yang mirip kepada kehendak juri. Ada
pandangan beberapa orang juri yang berlainan daripada pandangan saya,
namun untuk memenangi pertandingan, saya terpaksa mengikut gaya mereka,
dan buku kecil yang dihasilkan mirip kepada kehendak tersebut.
Dalam keadaan berlainan pandangan itu, saya telah membuat kajian
tentang pantun melalui kertas kerja seminar, perbincangan dengan pakar di
Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kajian kepustakaan. Buku-buku yang
dihasilkan oleh penulis sejak tahun 50-an, serta kertas kerja seminar yang
dihasilkan oleh pengkaji dan aktivis tersohor sangat menarik perhatian saya.
Idea merekalah yang menjadi ilham kepada saya untuk menulis buku ini.
Mereka merupakan orang lama yang memandang pantun itu sebagai hasil
lisan yang dinilai dan difahami melalui pendengaran.
Selain teknik penciptaan pantun yang sesuai untuk semua peringkat
umur, buku ini juga terkandung kaedah pengajaran pantun yang dapat
dijadikan panduan oleh guru-guru yang mengajarkan Bahasa Melayu baik di
sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Sebanyak 18 contoh
Rancangan Pengajaran Harian disertakan dalam buku ini. Guru boleh memilih
mana-mana kemahiran yang ingin diajarkan kepada murid mengikut
kesesuaian.
Diharap agar buku ini dapat dimanfaatkan sebagai rujukan dalam
pembelajaran dan pengajaran, dalam pertandingan serta dalam aktiviti harian.
Moga-moga ketulenan pantun terpelihara daripada perkara yang boleh
mencemarkan khazanah ini. Jika terpelihara dengan baik, pantun akan terus
menyerlahkan kehebatan bangsa pendukungnya.
Zawiah Abdul Shukor
ii
PRAKATA i
KANDUNGAN ii
BAB 1 Pendahuluan 1
1.1 Keistimewaan Pantun 1
1.2 Ciri-ciri Pantun
1.2.1 Bentuk Penulisan 4
1.2.2 Jumlah Perkataan dan Suku Kata dalam Sebaris 5
1.2.3 Ada Pembayang dan Ada Maksud 6
1.2.4 Hubungan Baris Pembayang dengan Baris Maksud 8
1.3 Rima Pantun 9
1.4 Fungsi Pantun 14
BAB 2 Pantun Kanak-kanak, Pantun Orang Muda, dan 19
Pantun Orang Dewasa atau Orang Tua 20
2.1 Pantun Kanak-kanak 23
2.2 Pantun Orang Muda 29
2.3 Pantun Orang Dewasa dan Orang Tua
BAB 3 Proses Penciptaan Pantun 34
3.1 Pembinaan Baris Maksud Pantun 37
3.1.1 Tema 37
3.1.2 Tujuan 38
3.1.3 Sasaran 41
3.1.4 Gaya 43
3.1.5 Struktur 47
3.2 Pembinaan Baris Pembayang 54
3.2.1 Keindahan 55
3.2.2 Logik, Tepat, Bermakna 57
3.2.3 Gaya dan Perkaitan 62
3.3 Pembinaan Pantun Berkait 69
BAB 4 Pantun dalam Pembelajaran dan Pengajaran 72
BAB 5 Penutup 102
RUJUKAN 106
LAMPIRAN 107
BIODATA PENULIS 126
1.1 Keistimewaan Pantun
Pantun ialah kaedah rangkapan yang tertua dan memang hak kepunyaan orang
Melayu. “Puisi ini adalah hak milik bangsa dan tamadun Melayu, dan wujud
dalam keadaan yang hanya ada dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa
sukuan Melayu Nusantara; tidak dalam bahasa asing, di luar dunia Melayu”
(Haron Mat Piah:142). Pantun pada asalnya merupakan puisi lisan. Menurut
Za’ba (1965), dari semenjak tatkala orang Melayu belum tahu surat-menyurat
dahulu pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas pantun antara
sesama sendiri.
Pantun pada awalnya diungkapkan bersama-sama dengan penceritaan
yang dilakukan oleh tukang cerita seperti Tok Selampit dan sebagainya.
Dalam hal yang lebih luas, pantun digunakan dalam hampir semua aspek
kehidupan masyarakat. Penggunaan pantun terus berkembang dari semasa ke
semasa, khasnya yang berhubung dengan kegiatan seni dan tarian, istiadat
perkahwinan, dalam ucapan, dalam jampi dan mantera dan sebagainya.
2 MARI BERPANTUN
Tersusun Kata Pantun Tercipta
Puisi ini kemudiannya terdapat dalam bentuk tulisan. Winstedt
mengatakan bahawa bentuk pantun mula-mula terdapat dalam buku Sejarah
Melayu dan dalam hikayat-hikayat, atau adaptasi roman yang popular dari
India dan petikan dalam Syair Ken Tambuhan. Hal ini bermakna bahawa
pantun terdapat dalam karya tulisan sejak abad ke-15. Dalam lagu-lagu rakyat
yang popular, pantun wujud mungkin lebih awal daripada itu (Harun Mat Piah:
200). Ini menunjukkan bahawa pada abad ke-15, pantun telah dikenali oleh
khalayak dan telah tersebar luas dalam masyarakat Melayu.
Kini, pemantun dan khalayak terus menghasilkan pantun. Pengkaji
pula terus mengkaji dan membicarakan pantun dalam pelbagai aspek.
Penelitian dan perbincangan tentang pantun diadakan melalui forum, seminar
dan bengkel yang diadakan di institusi-institusi bukan sahaja dalam negara
malah merentas sempadan. Penulisannya dimuatkan dalam kertas kerja,
majalah, penulisan ilmiah dan juga buku. Kajian tentang hal pantun telah
dimulakan sejak awal abad ke-19. Winstedt telah membincangkan perihal
pantun yang mencakupi bentuk dan isi. Nama Rene Daille Francois pula
tercatat sebagai pengkaji yang telah menghuraikan kedudukan pantun dalam
masyarakat Melayu.
Dari segi asal usul pantun, Van Opuijsen ada membicarakannya.
Beliau berpendapat bahawa pantun lahir dalam peringkat hidup masyarakat
yang paling sederhana (Haron Mat Piah: 57). Dalam kajian Haron juga, beliau
mengemukakan pendapat Wilkinson dan Winstedt yang menyatakan bahawa
pantun adalah hasil daripada kebiasaan orang Melayu menggunakan
perkataan-perkataan yang bersajak, bunyi-bunyi yang mempunyai unsur
saranan. Daripada kebiasaan ini, perkataan-perkataan itu kemudiannya
berkembang menjadi pantun-pantun dua kerat dan seterusnya kepada bentuk
pantun yang sempurna seperti yang ada sekarang. Penyataan Wilkinson dan
Winstedt tentang pantun empat kerat berasal daripada pantun dua kerat
berbeza daripada pandangan Taib Osman yang menyatakan bahawa pantun
dua kerat dan pantun empat kerat wujud dan berkembang secara selari.
Pantun begitu istimewa sifatnya. Bait-bait yang terbina mempunyai
nilai estetika yang tinggi yang menggambarkan masyarakat yang menciptanya.
Hal ini ada dinyatakan oleh Za’ba, iaitu pantun menggambarkan akal budi
masyarakat Melayu. Pantun menggambarkan kebijaksanaan fikiran
masyarakat Melayu yang menciptanya kerana walaupun bait-baitnya
mempunyai sukatan yang tertentu, isinya dapat menyampaikan maksud yang
besar maknanya.
PENDAHUHUAN 3
Pantun, menurut Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam
Wan Ab. Kadir Wan Yusoff (2008:1) menjadi wadah terpenting untuk
menggambarkan pemikiran asas bangsa Melayu-Nusantara selain peribahasa.
Kedua-duanya melukiskan jiwa bangsa itu serta memberikan suara kepada
persoalan yang dihadapi oleh masyarakat penciptanya. Kedua-duanya
terkandung pendapat, nilai, undang-undang, kasih sayang, serta berbagai-
bagai jalur perasaan lainnya. Masyarakat penciptanya ialah pemikir dengan
bersumberkan alamiah. Mereka terus memanfaatkan kebijaksanaan bersama
ini dalam bentuk lisan dan diturunkan dari generasi ke generasi selama
beberapa ratus kurun hingga hari ini. Jika seseorang ingin mengkaji budaya
masyarakat Melayu, pengkaji boleh mengkaji pantun. Semua aspek kehidupan
masyarakat Melayu meliputi sistem ekonomi, sosial dan politik boleh
diketahui melaluinya.
R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt juga menyatakan hal yang sama,
iaitu untuk memahami orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Satu
daripada perkara yang penting yang boleh membawa seseorang itu berjaya
memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan dan aliran fikiran orang-
orang Melayu adalah melalui pantun, malahan seseorang itu tidak akan dapat
menduga aliran fikiran orang Melayu kalau tidak memahami pantunnya.
Oleh sebab sifatnya yang begitu istimewa, pantun telah diterima
sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada 17 Disember 2020. Di Tanjung
Pinang, Kepulauan Riau, iaitu tempat pantun berkembang dengan giatnya,
budaya berpantun dalam kalangan masyarakat bergerak dengan rancaknya.
Buku-buku sains seperti buku kimia turut dihasilkan dalam bentuk pantun. Hal
ini bermakna, pantun dapat mengungkapkan perkara-perkara ilmiah walaupun
sifatnya tradisional.
Itulah istimewanya pantun kerana dalam jumlah perkataan yang
terhad, perkara yang disampaikan sangat luas. Cara memilih dan mengatur
perkataan itulah yang memungkinkan hal ini berlaku. Dengan jumlah
perkataan yang cuma beberapa patah, makna yang terhasil mengandungi
“rasa”, bukan sekadar susunan kata sahaja. Sesungguhnya, daerah rasa lebih
luas daripada daerah bahasa, dan ini dapat dimanifestasikan melalui pantun.
Masyarakat perlu memelihara warisan ini agar tetap utuh sampai bila-
bila. Untuk menjamin keutuhan pantun, pencipta perlulah memiliki kemahiran
untuk menciptanya agar pantun tidak terseleweng daripada ciri asalnya. Hal
ini dikatakan demikian kerana selain mengandungi nilai intelektual dan
4 MARI BERPANTUN
Tersusun Kata Pantun Tercipta
estetika, pantun juga mempunyai etika tersendiri dalam pembinaannya.
Seseorang itu tidak boleh mencipta pantun dengan sewenang-wenangnya,
sebaliknya perlulah menurut kaedah asal pantun itu tercipta. Tidak wajar juga
diletakkan peraturan yang berlebih-lebihan yang direka cipta sendiri hingga
menyusahkan masyarakat untuk menghasilkannya. Kaedah yang diamalkan
oleh masyarakat lama lebih santai tapi penuh dengan ilmu dan falsafah hingga
diterima sebagai Warisan Dunia oleh badan dunia yang berautoriti, iaitu
UNESCO.
1.2 Ciri-ciri Pantun
1.2.1 Bentuk Penulisan:
Wiliam Marsden, seorang ahli bahasa dan sejarah dari Barat telah menulis
perkara tentang puisi Melayu dalam bukunya A Grammar of the Malayan
Language: with an Introduction and Praxis, (London, printed for the author by
Cox and Baylis, 1812). Beliau mengemukakan cara penulisan baris pantun
dan syair Melayu. Menurutnya pantun ditulis empat baris berturut-turut.
Tentang penulisan baris pantun, bentuknya dipersetujui untuk ditulis seperti
yang di bawah bagi pantun empat kerat:
Baris 1 __________________________ ,
Pembayang
Baris 2 ____________________________ ;
Baris 3 ___________________________ ,
Maksud
Baris 4 ____________________________ .
PENDAHUHUAN 5
1.2.2 Jumlah Perkataan dan Suku Kata dalam Sebaris:
Pantun lazimnya mempunyai empat perkataan sebaris, dengan suku katanya
antara 8 hingga 12. Walau bagaimanapun, ada juga pantun yang mempunyai
tiga perkataan sebaris, misalnya pantun lama ini :
Selasih jangan tinggi,
Kalau tinggi berdaun jangan;
Kekasih jangan pergi,
Kalau pergi bertahun jangan.
Baris 1 dan 3 hanya ada tujuh suku kata sahaja. Apabila diteliti buku-
buku pantun lama, didapati bahawa jumlah pantun yang demikian hanya
sedikit. Ada juga pantun yang mempunyai lima perkataan sebaris. Ini dilihat
berdasarkan pantun yang bertulis. Biasanya lima perkataan ini melibatkan
sistem ejaan kata sendi, kata hubung atau penegas, misalnya kata
sendi ’di’, ’ke’, kata hubung ’yang’, atau penegas ’pun’ yang dieja terpisah.
Kalau dalam lisan, biasanya kata sendi, kata hubung, penegas ini disekalikan
dengan kata yang mengikutinya dan dianggap sebagai satu perkataan seperti
yang terdapat dalam pantun di bawah:
Terbang merbah balik ke sarang,
Hinggap sebentar di dahan turi;
Walaupun indah negeri orang,
Tidak sama negeri sendiri.
Terdapat juga baris pantun yang mengandungi empat perkataan tetapi
ditambah dengan satu perkataan lagi. Tambahan ini diletakkan pada ungkapan
seperti yang di bawah:
Tumbuh subur pokok nangka
(4 suku kata)
Tumbuh subur si pokok nangka
(5 suku kata)
6 MARI BERPANTUN
Tersusun Kata Pantun Tercipta
Tambahan ini berlaku kerana dua perkataan di belakang itu
mempunyai empat suku kata. Apabila dilafazkan, rentaknya tidak seindah
lima suku kata. Jika ada lima suku kata pada dua perkataan akhir, rentak bunyi
yang keluar apabila dilafazkan adalah lebih indah. Contoh lain:
Hinggap di atas dahan rendang
(4 suku kata)
Hinggap di atas dahan nan rendang
(5 suku kata)
Tambahan tersebut bukan satu kemestian tetapi satu saranan supaya
terserlah kelunakannya apabila dilafazkan. Walaupun tambahan suku kata atau
perkataan untuk menyesuaikan rentak alunan apabila dilafazkan, jumlah suku
kata bagi setiap baris mestilah tidak melebihi 12. Bagi dua perkataan akhir
yang siap dengan lima suku kata, baris tersebut tidak perlu lagi ditambah
dengan kata lain. Contohnya:
Tengah malam bulan mengambang
(5 suku kata)
1.2.3 Ada Pembayang dan Ada Maksud
Pantun merupakan puisi tradisional yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang
membezakannya daripada puisi yang lain. Pantun mempunyai rangkap. Ada
pantun yang berbentuk dua baris serangkap yang dikenali sebagai pantun dua
kerat, ada yang berbentuk empat baris serangkap atau pantun empat kerat,
enam baris serangkap atau pantun enam kerat, lapan baris serangkap, dan
seterusnya. Jika pantun berbentuk dua baris, baris pertama ialah baris
pembayang manakala baris kedua ialah baris maksud. Jika pantun berbentuk
empat baris, dua baris di atas ialah baris pembayang manakala dua baris di
bawah ialah baris maksud, jika enam baris, tiga baris di atas ialah baris
pembayang manakala tiga baris di bawah ialah baris maksud, begitulah
seterusnya. Untuk menjelaskan hal pembayang dan maksud, cuba teliti dua
rangkap yang di bawah, iaitu rangkap A dan rangkap B. Setelah itu, anda
nyatakan rangkap yang manakah yang sebenarnya pantun.
PENDAHUHUAN 7
Rangkap A
Bunga raya berkembang indah,
Kelopak merah cantik berseri;
Lambang Malaysia bumi bertuah,
Dibangga rakyat seluruh negeri.
Rangkap B
Rama-rama hinggap di batu,
Pelbagai warna cantiknya rupa;
Hidup sedesa bantu-membantu,
Senyum sentiasa saling menyapa.
Jawapannya: Rangkap B ialah pantun kerana menepati ciri-ciri pantun.
Rangkap A bukan pantun. Rangkap tersebut ialah rangkap biasa yang boleh
dikategorikan sebagai bahasa berirama. Keseluruhan rangkap A berupa
maksud, iaitu mempunyai satu kesatuan idea. Dari baris 1 hingga baris 4,
isinya adalah tentang satu perkara atau satu benda, iaitu tentang bunga raya.
Itulah yang dimaksudkan satu kesatuan idea. Bunga raya berwarna merah dan
sedang berkembang adalah lambang negara Malaysia. Sebagai lambang
negara Malaysia, bunga raya menjadi kebanggaan rakyat negara ini. Dua baris
pada bahagian atasnya bukanlah pembayang.
Lihatlah perbezaannya dengan rangkap pantun B. Keempat-empat
baris tidak mempunyai satu kesatuan idea. Dua baris di atas ialah pembayang
yang mengisahkan suasana alam, manakala dua baris yang berikutnya ialah
perkara atau maksud yang ingin disampaikan kepada audiens, iaitu nasihat
kepada masyarakat yang hidup dalam satu komuniti agar saling membantu
dan saling menyapa dalam kemesraan. Dua baris yang di bawah itulah yang
merupakan inti cerita atau maksud pantun tersebut.
Setiap rangkap pantun dapat berdiri sendiri kerana dalam setiap
rangkap telah ada isi yang hendak disampaikan, tidak seperti syair yang
rangkapnya perlu berturutan untuk memahami keselurahan penceritaannya.
Jika satu rangkap sahaja, maksud syair itu tidak dapat difahami. Hal ini
berbeza daripada pantun. Setiap rangkap pantun mempunyai maksudnya yang
tersendiri. Sekiranya satu rangkap pantun sahaja dikemukakan atau
dipaparkan, maksud yang serangkap itu dapat difahami. Itulah maksudnya
setiap rangkap pantun dapat berdiri sendiri.
8 MARI BERPANTUN
Tersusun Kata Pantun Tercipta
1.2.4 Hubungan Baris Pembayang dengan Baris Maksud
Dalam tesis Harun Mat Piah, pendapat sarjana barat telah dibahaskan dengan
panjang lebar tentang perkaitan dalam baris-baris pantun. Antaranya pendapat
yang dikemukakan oleh William Marsden, dan John Leyden. Menurut Harun
Mat Piah, kedua-dua mereka berpendapat bahawa terdapat hubungan antara
baris-baris sampiran (pembayang) dengan baris-baris maksud pantun.
Menurut mereka, dua baris pertama sesuatu rangkap pantun terdapat kiasan
yang tersembunyi atau kurang tersembunyi untuk menerangkan maksud dalam
baris-baris berikutnya. Antara baris sampiran sesuatu pantun seharusnya
mempunyai kaitan, kiasan atau erti dengan baris-baris maksud (Harun:2001).
R.O Winstedt dan Taib Osman pula menyatakan bahawa pembayang
pantun dan maksud pantun ada yang ada hubungan, dan ada yang tidak ada
hubungan antara kedua-duanya (Haron Mat Piah: 232) Hal ini ada benarnya
kerana daripada 1000 rangkap pantun daripada ribuan pantun dalam buku
Kurik Kundi Merah Saga dan buku-buku pantun lama yang diteliti, didapati
bahawa ada sebahagian daripada pantun tersebut ada hubungan dan
sebahagian lagi tiada hubungan baik secara terus atau tersirat antara
pembayang dengan maksud pantun.
Van der Tuuk, ahli filologi juga berpendapat bahawa kedua-dua baris
pertama itu gunanya untuk menyamakan bunyi dan jarang-jarang mempunyai
hubungan erti dengan kedua baris yang akhir (Harun Mat Piah: 2002). Van
Ophuijsen, yang kajiannya banyak dirujuki oleh sarjana terkemudian,
mempunyai pendapat yang sama. Daripada beratus-ratus pantun yang
dikumpulkannya, beliau tidak menemukan perhubungan antara baris-baris
sampiran atau pembayang dengan baris-baris maksud. Abdullah Munsyi juga
berpendapat demikian.
Walau bagaimanapun, tokoh-tokoh budayawan Melayu kemudian ini
kebanyakannya berpandangan bahawa pantun yang baik ialah pantun yang
mempunyai perkaitan secara tersirat antara pembayang dengan maksudnya.
Untuk contoh-contoh pantun yang ada dalam buku ini, baris pembayang
kebanyakannya mempunyai “hubungan rasa” dengan baris maksud pantun.
Hal ini akan dibincangkan seterusnya dalam bahagian teknik penciptaan.
Rangkap yang mempunyai pembayang dan maksud inilah yang membezakan
pantun daripada puisi tradisional yang lain.
ZAWIAH BINTI ABDUL SHUKOR, lahir
di Bagan Serai Perak pada 23 Jun 1957.
Setelah 18 tahun di perantuan, pada tahun
awal 1976 beliau kembali menetap di
kampung sendiri di Gombak hingga kini.
Kerjaya awal ialah guru sekolah rendah,
kemudian guru di sekolah menengah sejak
tahun 1980-an. Mata pelajaran yang
diajarkan di sekolah menengah ialah Bahasa
Melayu dan Kesusasteraan Melayu
Tingkatan 6. Pelibatan dalam kejurulatihan
pasukan pantun bermula sejak bertugas di
sekolah menengah itu.
Ketika bertugas sebagai pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG)
Kampus Bahasa Melayu mulai tahun 1996, bidang kejurulatihan pantun tetap
diteruskan. Ketika ini juga bidang penulisan mula menjadi minat walaupun
tidak banyak karya yang sempat dihasilkan. Ketika itu penulisan tertumpu
pada modul pengajaran di IPG serta dokumen untuk penulisan rasmi termasuk
teknik penulisan laporan, minit mesyuarat, surat-menyurat, bahan sastera
dalam pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu, dan lain-lain yang
bersesuaian dengan tugas sebagai Munsyi Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka
dan pensyarah Bahasa Melayu di IPG.
Kesempatan yang sedikit itu mampu juga digunakan untuk
menghasilkan naskhah kecil tentang teknik penulisan pantun yang digunakan
oleh murid-murid sekolah dan guru Bahasa Melayu. Naskhah ini telah dibawa
ke Beijing dalam lawatan ke Pusat Penyiaran Radio China di Beijing, dan juga
ke University of Foreign Studies di Beijing. Pantun juga dihasilkan dalam
naskhah pendek dan ada antaranya yang telah dibukukan dalam bentuk
antologi. Selain pantun, puisi tradisional lain seperti gurindam dan syair juga
turut dihasilkan. Setelah bersara daripada daripada perkhidmatan pada tahun
2015, penelitian yang lebih dalam dan luas tentang pantun dapat dilakukan.
Gabungan antara pembacaan dan pengalaman sebagai jurulatih pantun hingga
bersara itulah yang menjadi asas penulisan buku ini.