Literasi Bahasa
© MK e-Solutions Sdn. Bhd.
ISBN 978-967-0036-06-9
Terbitan Pertama : 2023
PENULIS
Zabedah Mohammed
Hajah Maria Hj. Tahir
Mastura Mohamed Berawi
Hj. Patarai Hj. Cholen
PENILAI
Dr. Zanariah Hamid
Hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini tidak dibenarkan dicetak
atau disalin semula, disimpan dalam mana-mana sistem perolehan kembali,
diedarkan atau dipindahkan dalam sebarang bentuk, sama ada bentuk elektronik,
salinfoto, rakaman atau dengan cara apajua pun, tanpa mendapat kebenaran secara
bertulis terlebih dahulu daripada MK e-Solutions Sdn. Bhd., Malaysia.
Kesahihan fakta dan tafsiran dalam terbitan ini adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya dan
tidak mewakili pandangan, tafsiran dan huraian pihak penerbit.
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Zabedah Mohammed, Dr.
Literasi Bahasa / Dr. Zabedah Mohammed, Dr. Maria Tahir, Mastura Mohamed
Berawi, Patarai Cholen.
ISBN 978-967-0036-06-9
1. Malay language--Study and teaching.
2. Literacy--Study and teaching.
3. Language and languages.
I. Maria Tahir, Dr. II. Mastura Mohamed Berawi.
III. Patarai Cholen. IV. Judul.
499.23
Penerbit:
MK e-Solutions Sdn. Bhd. (200801002403)
6th Floor, Suite 16, IOI Business Park, Persiaran Puchong Jaya Selatan, Bandar Puchong Jaya, 47100
Puchong Selangor. Malaysia. Tel: +603 80644228. Fax: +603 80642050
Website: http://www.mke-solutions.com Email: [email protected]
Dengan Kerjasama:
Penerbit IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur
Koperasi IPGKBM Berhad (KOWARIS)
Lingkungan Budi. 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. [email protected]
Dicetak oleh:
CIPTA Printing & Publishing (M) Sdn Bhd
No.16, Persiaran Rishah 14, Kawasan Perindustrian Silibin, 30100 Ipoh, Perak. Malaysia
Tel : +605-5262627 Fax : +605-526220
i
Kandungan i
Prakata ii
Bab 1 Asas Literasi 1
Bab 2 Pemerolehan Bahasa 13
Bab 3 Penguasaan Literasi 38
Bab 4 Aktiviti Literasi 55
Bab 5 Bahan Pengajaran Literasi 83
Bab 6 Masalah Penguasaan Literasi 90
Bab 7 Halangan Literasi 102
Bab 8 Isu dan Cabaran dalam Penguasaan Literasi 111
Bibliografi 125
Biodata penulis 132
ii
PRAKATA
Buku Literasi Bahasa Melayu merupakan buku rujukan dan panduan yang
sesuai kepada bakal guru di Institut Pendidikan dan guru-guru di sekolah.
Buku rujukan terbaharu ini berdasarkan Maklumat Kursus (MK) untuk program
kursus di IPG bagi menyediakan bakal-bakal guru ilmu literasi bahasa
sebelum mereka menjadi guru permulaan yang akan dapat membantu anak
didik menguasai asas kemahiran bahasa. Kandungan buku ini sangat
membantu guru-guru untuk memahami dengan lebih jelas tentang konsep
literasi bahasa bukan sahaja mengenali huruf dan dapat menulis huruf
dengan betul tetapi merangkumi kemahiran asas mendengar dan bertutur,
membaca dan menulis secara berkesan dan seterusnya memberi makna
dalam kehidupan mereka.
Pengajaran Literasi Bahasa di sekolah seharusnya berfungsi dan
bermakna bagi menyediakan murid-murid kemahiran berbahasa dalam
pelbagai bidang kehidupan supaya mereka dapat berperanan dalam
masyarakat. Kandungan dalam buku ini disusun secara terperinci
berdasarkan topik-topik aspek literasi bahasa yang perlu diberikan perhatian
semasa guru menyampaikan pengajaran. Topik-topik ini mempunyai kaitan
dan harus disampaikan secara bersepadu agar kemahiran berbahasa dalam
kalangan murid-murid dapat ditingkatkan. Literasi bahasa dikatakan berjaya
apabila murid-murid dapat memanfaatkan kemahiran membaca dan menulis
dalam kehidupan harian mereka secara bermakna.
Pendekatan pengajaran Literasi Bahasa diharap dapat memberikan
peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi secara aktif terhadap bahan
pengajaran yang digunakan sama ada di dalam kelas atau sebaliknya. Hal ini
amat perlu agar murid-murid dapat menguasai kemahiran literasi bahasa
pada peringkat awal lagi.
Buku ini terdiri daripada lapan topik dan setiap topik diperincikan dan
dijelaskan agar mudah untuk difahami. Diharapkan lapan tajuk ini akan
memberikan panduan dan manfaat kepada guru untuk melaksanakan
pengajaran literasi bahasa dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran
berbahasa dalam kalangan kanak-kanak sekolah.
Zabedah Mohammed
Hajah Maria Hj. Tahir
Mastura Mohamed Berawi
Hj. Patarai Hj. Cholen
2.1 Teori Behaviourisme
Teori Behaviorisme mengkaji tentang tingkah laku individu yang boleh
diperhatikan atau diukur, bukan kejadian andaian yang berlaku dalam diri
individu. Teori Behaviorisme ialah kajian saintifik yang memberi fokus
tentang tingkah laku baharu yang diulang sehingga menjadi tingkah laku yang
lazim. Teori ini percaya bahawa pembelajaran terjadi apabila berlaku
perubahan tingkah laku hasil daripada proses pembelajaran.
Proses pembelajaran merupakan pelaziman iaitu berlaku hubungan
antara rangsangan luar dengan tindak balas individu yang dapat dibina untuk
menghasilkan perubahan tingkah laku yang tekal. Aliran ini menyatakan
bahawa pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku kekal yang dihasilkan
daripada pengalaman atau latihan (Williams & Anandam, 1973). Teori ini
14 LITERASI BAHASA
mengutamakan pemerhatian yang menjadi perkara penting untuk melihat sama
ada berlaku atau tidak perubahan tingkah laku. Pembelajaran merupakan hasil
interaksi antara rangsangan (sitmulus dan gerak balas (respons) (Slavin, 2011).
Tokoh aliran behaviourisme seperti Pavlov, Thorndike dan Skinner
berpendapat bahawa pembelajaran suatu proses tingkah laku yang boleh
diperhatikan, dikawal dan diramal.
Berdasarkan pandangan aliran behaviorisme, dapat dirumuskan
bahawa pembelajaran hanya berlaku apabila wujud tindak balas terhadap
suatu rangsangan yang diberikan. Proses pembelajaran akan berterusan jika
terdapat motivasi ekstrinsik sama ada peneguhan positif atau negatif.
Pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat
dibentuk dan dikekalkan. Teori pembelajaran behaviorisme menekankan
peranan pengalaman dalam mengawal tingkah laku tertentu yang dibangkitkan
melalui dorongan interaksi dengan persekitaran.
i. Pelaziman Klasik
Ivan Pavlov (1849-1936) pelopor konsep pelaziman klasik dalam Teori
Behaviorisme. Konsep ini melibatkan antara rangsangan dan gerak balas
tertentu sehingga berupaya menghasilkan tindak balas. Teori pelaziman klasik
merumuskan bahawa cara pembelajaran yang sesuai menggunakan
rangsangan tak terlazim dikaitkan dengan rangsangan terlazim. Hal ini
dibuktikan oleh Pavlov dan Watson melalui uji kaji terhadap kanak-kanak
Little Albert dan seekor anjing. Dapatan tersebut menjelaskan bahawa,
peneguhan atau keselesaan kepada responden pada awalnya. Setelah
responden terbiasa dengan keadaan tersebut, penghapusan akan dilakukan.
Berdasarkan uji kaji tersebut dapat dirumuskan bahawa antara
implikasi teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran ialah gerak balas positif
dapat dipupuk melalui pelaziman klasik. Selain itu, konteks yang disampaikan
perlu berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid-murid untuk
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Misalnya, guru mengajarkan perkataan “kereta” dan pastikan murid-
murid mampu menyebut perkataan tersebut. Kemudian, tunjukkan kad
perkataan “kereta” disertakan dengan sebuah kereta mainan untuk mendapat
gerak balas murid. Aktiviti ini diulang beberapa kali sehingga murid-murid
mampu menyebut perkataan kereta apabila diajukan kad perkataan.
PEMEROLEHAN 15
BAHASA
Rangsangan yang menyebabkan terdapat pengulangan tingkah laku
dan berfungsi sebagai peneguh (Zulhammi, 2015). Di samping itu, guru perlu
membimbing murid-murid menggunakan kemahiran generalisasi dengan tepat,
selain memberikan pelbagai contoh yang relevan.
ii. Pelaziman Operan
Teori pelaziman operan yang dipelopori oleh Skinner lebih menekankan
peneguhan diberikan selepas responden berjaya dalam sesuatu usaha atau
berlakunya peningkatan positif.
Melalui uji kaji terhadap tikus, dapat disimpulkan bahawa tingkah
laku yang disertai dengan pengukuhan akan meningkatkan kebarangkalian
berlakunya tingkah laku yang sama pada masa akan datang. Manakala
peneguhan negatif yang diberikan akan membawa akibat yang tidak
menyeronokkan dan responden akan mengulangi tingkah laku operan yang
diingini.
Implikasi teori tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran ialah
sesuatu kemahiran atau teknik yang baharu dipelajari hendaklah diberikan
peneguhan secara berterusan dan diikuti secara berkala supaya kemahiran atau
teknik itu dapat dikukuh dan dikekalkan.
Selain itu, prinsip penghapusan melalui proses pelaziman operan
sesuai digunakan untuk memodifikasikan tingkah laku murid-murid yang
tidak diingini. Misalnya, menghentikan peneguhan yang diberikan dahulu,
sama ada peneguhan positif atau negatif. Peneguhan negatif sesuai digunakan
untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Malah, guru juga perlu
membantu murid-murid menguasai konsep diskriminasi melalui proses
pelaziman operan supaya mereka memperoleh ilmu dan kemahiran dengan
tepat.
Aplikasi teori ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
bergantung terhadap beberapa komponen seperti matlamat pembelajaran, mata
pelajaran, ciri-ciri pelajar, media, kemudahan pembelajaran, persekitaran dan
pengukuhan (Sugandi Ahmad, 2007).
16 LITERASI BAHASA
iii. Hukum Kesan:
Edward Thorndike telah memperkenalkan hukum kesan melalui uji kaji
terhadap seekor kucing yang lapar yang diletakkan di dalam sangkar. Sangkar
itu mempunyai penyendal untuk membuka pintu. Kucing tersebut berjaya
mendapatkan makanan yang berada di luar sangkar. Dapatan kajiannya
terdapat tiga jenis hukum, iaitu hukum kesediaan, latihan dan kesan.
Implikasi teori Thorndike dalam pengajaran dan pembelajaran adalah
untuk meningkatkan tahap kesediaan belajar. Pada masa yang sama, guru
perlu memainkan peranan menggunakan motivasi yang sesuai. Selain mampu
mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan gerak balas murid-murid,
perbanyakkan aktiviti latihan, ulang kaji, aplikasi serta pengukuhan dalam
keadaan yang menyeronokkan. Guru juga perlu memberikan ganjaran atau
peneguhan untuk respons atau gerak balas yang betul daripada murid. Antara
peneguhan seperti sosial dan material. Malah, teori ini juga menekankan
pemberian peluang kepada murid untuk menikmati kejayaan dalam
pembelajaran mereka.
Ciri-ciri Pembelajaran Teori Behaviourisme
PEMEROLEHAN 17
BAHASA
2.2 Teori kognitif
Tokoh Teori Pembelajaran Kognitif
Jean Piaget merupakan individu bertanggungjawab yang telah mempelopori
teori ini. Piaget menyatakan bahawa perkembangan kognitif mempunyai
peranan yang sangat penting dalam proses pembelajaran. Perkembangan
kognitif pada asasnya ialah proses mental yang melibatkan keupayaan
menaakul. Semakin meningkat usia seseorang, semakin meningkat kebolehan
kognitifnya. Jean Piaget menyatakan bahawa proses pembelajaran akan
berlaku apabila terdapat aktiviti interaksi antara individu dengan persekitaran.
Perkembangan kognitif secara umumnya berbeza antara kumpulan
manusia. Hal ini bergantung pada sistem persekolahan dan keadaan
sosioekonomi serta sistem nilai budaya dalam masyarakat yang boleh
menimbulkan perbezaan dan prestasi kognitif individu.
Piaget telah membahagikan empat peringkat perkembangan kognitif
kanak-kanak. Perkembangan ini berlaku secara tersusun dan teratur.
18 LITERASI BAHASA
i. Peringkat deria motor (umur 0-2 tahun)
Kanak-kanak memahami sesuatu berdasarkan pengalaman deria, seperti
melihat, dan mendengar. Kanak-kanak bertindak melalui pergerakan,
bunyi atau perbuatan yang boleh diperhatikan atau dirasai oleh
pancaindera. Kemudian sedikit demi sedikit berkembang dan
berkeupayaan untuk membezakan dirinya daripada objek lain.
ii. Peringkat praoperasi (umur 2-7 tahun)
Kanak-kanak mula menggambarkan sesuatu melalui tingkah laku dan
perkataan. Pada usia ini kanak-kanak mula mempunyai kemahiran motor
melakukan sesuatu tentang apa-apa yang dilihat dan didengar, tetapi
belum dapat memahami secara mental. Tingkah laku dan bahasa masih
terbatas dan belum dapat melakukan perbezaan, iaitu melakukan tindakan
secara mental dan hanya berinteraksi dengan persekitarannya secara
simbolik.
iii. Peringkat operasi konkrit (umur 7-11 tahun)
Kanak-kanak mula berfikir secara logik tentang sesuatu yang konkrit
seperti dapat membezakan perkara yang sama dalam keadaan yang
berbeza.
iv Peringkat operasi formal (11 tahun ke atas)
Menurut Salvin (2011) operasi formal berlaku pada usia 11 tahun
sehingga awal dewasa. Pada peringkat ini struktur kognitif kanak-kanak
mencapai kemuncak perkembangannya. Kanak-kanak dapat berfikir
secara lebih logik dan ideal dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Sejak bayi, individu telah mempunyai kebolehan tertentu untuk
menangani objek dalam persekitaran. Namun keupayaan ini masih
terbatas dalam bentuk kebolehan deria motor. Dalam memahami dunia
mereka secara aktif, kanak-kanak menggunakan skema, asimilasi,
penginapan, organisasi dan keseimbangan.
Misalnya, kanak-kanak yang memegang barang permainan akan
membawanya ke mulut. Kanak-kanak dengan mudah membawa skema
ini. Contoh lain, kanak-kanak yang sama memegang pemadam akan
menerapkan skema "bawa ke mulut" objek ini. Kejadian ini Piaget
menamakan sebagai asimilasi objek baharu pada skema lain.
PEMEROLEHAN 19
BAHASA
Apabila kanak-kanak terjumpa sekeping kertas dia masih akan
menggunakan skema yang sama. Oleh itu, skema itu juga mesti
disesuaikan dengan objek baharu. Proses ini disebut akomodasi iaitu
skema lama pada objek baharu.
Asimilasi dan akomodasi dua bentuk penyesuaian yang dikenali
sebagai proses pembelajaran. Peranan asimilasi dan akomodasi
menyeimbangkan struktur minda dengan persekitaran, mewujudkan
bahagian yang sama antara kedua-duanya. Jika berlaku maka keadaan
ideal atau keseimbangan tercapai. Piaget mendapati bahawa tempoh
dominan antara asimilasi dan akomodasi lebih seimbang.
Keseimbangan ialah pelarasan yang berterusan antara asimilasi
dan akomodasi. Asimilasi, akomodasi dan keseimbangan telah pun
wujud sejak bayi lagi. Apabila bayi membesar akan mengalami
penyesuaian biologi terhadap persekitaran dan akan menyebabkan
perubahan kualitatif dalam struktur kognitif mereka.
2.2.1 Implikasi Teori Kognitif dalam Pembelajaran
Teori ini telah mengemukakan beberapa dapatan yang boleh dikaitkan dalam
proses pembelajaran antaranya:
i. Teori Kognitif Piaget dalam Pembelajaran
a. Setiap kanak-kanak mempunyai kemampuan untuk meningkat
keupayaan kognitif atau pengetahuannya pada tahap yang lebih
tinggi. Hal ini dapat dibentuk dan dikembangkan melalui interaksi
secara aktif dalam lingkungan persekitarannya. Kanak-kanak
mampu untuk beradaptasi dan mengorganisasikan
persekitarannya, sehingga terjadi perubahan dalam struktur
kognitifnya, pengetahuan, wawasan dan kefahaman semakin
berkembang.
b. Kesesuaian tahap pembelajaran:
Proses pembelajaran mesti disesuaikan dengan tahap
perkembangan individu. Pembelajaran akan lebih berjaya jika
disesuaikan dengan peringkat perkembangan kognitif. Hal ini
kerana setiap peringkat perkembangan kognitif mempunyai ciri-
ciri yang berbeza. Sistem saraf seseorang akan menjadi lebih
20 LITERASI BAHASA
kompleks kerana umur yang semakin meningkat dan
kemampuannya juga turut meningkat. Oleh itu, proses
pembelajaran seseorang harus mengikut peringkat perkembangan
umur. Seseorang tidak boleh belajar sesuatu melebihi kebolehan
kognitifnya (Al Rasyidin & Wahyudin Nur Nasution, 2011).
Contohnya, pembelajaran tadika yang mementingkan
deria motor dan praoperasi seperti melukis, mengecam objek,
mengira dan sebagainya. Jika guru tidak memberi perhatian
terhadap peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak, sudah
pasti akan menimbulkan masalah pembelajaran mereka. Selain itu,
penggunaan bahasa dalam proses pengajaran hendaklah
disesuaikan pada tahap pemikiran murid-murid.
ii. Teori Pembelajaran Penemuan oleh J. S Bruner
Pembelajaran penemuan antara model pembelajaran kognitif yang
dibangunkan oleh Bruner. Menurut Bruner, pembelajaran bermakna
hanya boleh berlaku melalui proses penemuan. Guru perlu mencipta
situasi pembelajaran bermasalah, merangsang murid dengan soalan,
mencari jawapan sendiri dan melakukan eksperimen. Guru tidak
membekalkan jawapan sebaliknya memberi peluang kepada murid
memikir dan ‘menemui’ ilmu sendiri. Kaedah pembelajaran penemuan
sememangnya dapat meningkatkan motivasi intrinsik dan minat murid
dalam pembelajaran serta membantu perkembangan potensi intelek,
pemikiran kritis dan kreatif individu sekiranya dirancang dan
dilaksanakan dengan baik.
Bruner berpendapat bahawa pembelajaran penemuan merupakan
suatu pencarian pengetahuan yang aktif dan menggalakkan murid-murid
menggunakan kebolehan memahami, berimaginasi dan lebih kreatif.
Misalnya, murid-murid menyatakan ciri-ciri buah rambutan yang mereka
telah pelajari. Pengetahuan yang diperoleh oleh mereka akan lebih
bermakna lebih mudah diingati dan mudah digunakan dalam
penyelesaian masalah. Bruner menyatakan, pembelajaran ialah satu
proses aktif yang membolehkan manusia menemui perkara baharu di luar
maklumat yang diberikan kepadanya. Bruner telah membahagikan tiga
peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak normal.
PEMEROLEHAN 21
BAHASA
a. Peringkat enaktif
Peringkat ini sama seperti peringkat deria motor oleh Piaget. Kanak-
kanak belum dapat membezakan dengan jelas antara perasaan dan
motif peribadinya dengan realiti dunia luar.
Pada peringkat ini pengetahuan mereka agak terbatas dan banyak
menggunakan anggotanya untuk menyelesaikan masalah misalnya
melalui gigitan sentuhan, genggaman dan sebagainya. Peringkat ini
juga dikenali sebagai peringkat praoperasional.
b. Peringkat ikonik
Kanak-kanak sudah berjaya membayangkan dan menggambarkan
sesuatu dalam fikiran. Misalnya, kanak-kanak memahami objek atau
dunia mereka melalui gambar atau visual lisan (Asri Budiningsih,
2005). Peringkat ini juga disebut peringkat operasi konkrit.
c. Peringkat Simbolik
Pada peringkat ini kanak-kanak telah berupaya berfikir
menggunakan bahasa. Kanak-kanak mempunyai kebolehan
berbahasa untuk menyampaikan abstrak dan kesimpulan secara logik
dan lebih matang. Peringkat ini juga dikenali sebagai simbolik.
Menurut Bruner, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi
perhatian dalam pembelajaran supaya berlaku transformasi dengan mudah.
i. Kurikulum mestilah mengandungi struktur pengetahuan seperti
mengandungi idea, konsep asas dan perkaitan antara konsep atau contoh.
Hal ini penting bagi membantu murid melihat fakta yang tiada hubungan
dapat dikaitkan antara satu dengan lain berdasarkan maklumat mereka.
Bagi melancarkan proses pembelajaran lebih efektif dan berkesan
struktur pengetahuan mesti disesuaikan dengan tahap perkembangan
kanak-kanak.
ii Kesediaan belajar dalam bentuk kemahiran mudah membolehkan
kanak-kanak menguasai kemahiran secara berkesan. Kesediaan belajar
sangat dipengaruhi oleh kematangan psikologi dan pengalaman kanak-
kanak. Untuk mengetahui sama ada kanak-kanak mempunyai kesediaan
belajar, maka perlu diberi ujian terlebih dahulu berkaitan tentang tajuk
yang akan diajar.
22 LITERASI BAHASA
iii Pembelajaran perlu menekankan proses intuisi atau kebolehan
memahami. Setiap disiplin ilmu mempunyai konsep, prinsip dan
prosedur yang mesti difahami sebelum mula belajar. Cara terbaik untuk
belajar ialah memahami konsep, makna, hubungan makna dan membuat
kesimpulan atau mencari sesuatu (pembelajaran penemuan) (Hamzah
Uno, 2008). Pembelajaran intuitif hanya boleh berlaku jika seseorang
mempunyai pengetahuan yang luas tentang bidang sains dan memahami
struktur (Nasution. S. 2010).
iv. Motivasi keadaan yang wujud dalam diri seorang bagi melakukan
sesuatu aktiviti untuk mencapai matlamat tertentu. Dalam proses
pembelajaran, motivasi harus diberikan kepada murid dengan pelbagai
cara supaya timbul minat untuk belajar.
Implikasi dalam Pembelajaran:
i Pembelajaran tidak semata-mata untuk memperoleh ilmu pengetahuan
tetapi yang penting melatih kebolehan kognitif, merangsang rasa ingin
tahu, dan memotivasikan murid. Justeru, pembelajaran memerlukan
penyertaan aktif murid yang disesuaikan dengan potensi dan tahap
perkembangan mereka.
Namun begitu, pembelajaran tidak perlu menunggu individu itu
mencapai tahap perkembangan tertentu. Individu boleh belajar sesuatu
walaupun umur belum mencapai tahap yang ditetapkan, asalkan bahan
pembelajaran disusun berdasarkan urutan isi dan disesuaikan dengan
perkembangan kognitif.
ii Guru sebagai tutor, fasilitator, motivator dan penilai. Guru bukan semata-
mata menyampaikan pembelajaran, tetapi harus mengarahkan pelajaran
ke arah penemuan dan penyelesaian masalah. Penilaian hasil
pembelajaran merangkumi tentang konsep asas dan aplikasinya dalam
situasi baharu.
PEMEROLEHAN 23
BAHASA
2.2.1 Teori Pembelajaran Bermakna oleh Ausubel
Menurut Ausubel pembelajaran mestilah bermakna dan bahan yang digunakan
harus berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid. Misalnya konsep
mengira boleh menjadi tidak bermakna sekiranya murid hanya disuruh
menghafal konsep tanpa menjelaskan maksud dan fungsi konsep tersebut.
Implikasi dalam Pembelajaran:
i Proses pembelajaran guru mestilah mampu memberikan sesuatu yang
bermakna kepada murid. Sesuatu yang bermakna bukan sahaja boleh
diperoleh melalui pembelajaran penemuan, tetapi boleh diperoleh melalui
pelbagai cara. Belajar secara hafalan dan kuliah juga dapat menemukan
sesuatu yang bermakna, yang penting dilaksanakan secara sistematik,
menjelaskan dan menghubungkan antara suatu konsep dengan konsep
yang lain atau menghubungkan konsep yang baharu dengan konsep yang
sedia ada dalam pengetahuan murid.
ii Pembelajaran yang bermakna akan berjaya jika ada motivasi intrinsik
dalam diri murid. Pembelajaran yang bermakna akan berlaku apabila
murid mempunyai minat dan kesediaan untuk belajar. Motivasi intrinsik
boleh dibentuk melalui motivasi ekstrinsik yang datang daripada luar
individu. Seperti dorongan daripada ibu bapa, guru, rakan-rakan dan
persekitaran. Oleh itu, guru dan ibu bapa memainkan peranan sangat
penting dalam meningkatkan motivasi intrinsik murid. Seperti
memberikan dorongan dan kasih sayang akan memupuk motivasi
intrinsik dalam diri murid untuk meneruskan proses belajar.
2.2.2 Belajar menurut Gestalt
Gestalt dipelopori oleh Max Wertheimer (1880 – 1943) yang meneliti tentang
pengamatan dan pemecahan masalah (problem solving). Kurt Koffka (1886-
1941) yang menguraikan secara terperinci tentang hukum-hukum pengamatan.
Wolfgang Kohler (1887-1959) yang meneliti tentang celik akal.
Menurut teori Gestalt pembelajaran suatu proses pengembangan yang
didasarkan tentang kefahaman atau insight. Insight ialah kefahaman tentang
hubungan antara bahagian dalam suatu situasi penyelesaian masalah. Dalam
24 LITERASI BAHASA
pembelajaran yang terpenting adalah mendapat respon atau tanggapan lebih
jelas dan tepat tentang penyelesaian tersebut
Teori Gestalt mempercayai bahawa terdapat perkaitan yang jelas dan
kukuh antara berfikir dan persepsi. Terdapat prinsip-prinsip dalam organisasi
yang dikemukakan Gestalt iaitu hukum kedekatan, hukum persamaan, hukum
keseimbangan, penutup, hukum pragnanz dan celik akal. Interaksi antara
individu dan lingkungan disebut sebagai bidang persepsi. Setiap bidang
persepsi memiliki organisasi, yang cenderung dipersepsikan oleh manusia.
Oleh sebab itu kemampuan persepsi ini bukan kemahiran yang dipelajari.
2.2.3 Celik Akal oleh Kohler
Wolfgang Kohler ahli kognitif telah menjalankan dua eksperimen terhadap
cimpanzi dalam membentuk Teori Gestalt.
i Seekor cimpanzi yang kelaparan dimasukkan ke dalam sebuah sangkar.
Di luar sangkar diletakkan beberapa batang buluh yang berbeza
panjangnya dan sebiji pisang yang tidak boleh dicapai oleh cimpanzi.
Usaha awal cimpanzi untuk mendapatkan pisang tidak berjaya.
Akhirnya cimpanzi mula sedar bahawa buluh yang ada di
sekelilingnya boleh digunakan untuk mencapai pisang tersebut. Cimpanzi
itu telah menyambung dua batang buluh untuk menarik pisang ke
kandang. Akhirnya cimpanzi telah berjaya.
PEMEROLEHAN 25
BAHASA
ii Seekor cimpanzi dimasukkan ke dalam kandang dan pisang digantung di
atas bumbung kandang yang tinggi.
Beberapa buah kotak diletakkan di atas lantai kandang tersebut.
Cimpanzi berusaha untuk mendapat pisang di atas bumbung dengan
cara melompat beberapa kali, namun tidak berjaya.
Cimpanzi memerhati sekeliling kandang dan secara tiba-tiba
menyusun kotak-kotak tersebut secara bertindih-tindih seperti tangga.
Akhirnya usaha cimpanzi itu berhasil.
Eksperimen Kohler ini telah menerangkan bahawa cimpanzi telah
berjaya melihat masalah sebagai satu keseluruhan yang bersatu menurut
Kohler cerdik akal atau fenomena ‘a-ha’ Ilham / idea tidak bergantung kepada
pengalaman lalu dan bukan sebagai pemindahan khas. Teori ini melihat
kebolehan individu mengamati atau memahami sesuatu masalah secara tiba-
tiba setelah dapat mengaitkan unsur-unsur yang relevan dalamnya.
Biodata Penulis
Dr. Zabedah Mohammed menerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Kepujian dengan pengkhususan dalam bidang Kesusasteraan Melayu dari
USM (2002), ijazah Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu dari UM (2008) dan
Ijazah Doktor Falsafah dari UKM (2020). Beliau kini bertugas sebagai Ketua
Jabatan dan pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Institut Pendidikan
Guru Kampus Bahasa Melayu. Kepakaran dalam bidang pendidikan Bahasa
Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Beliau juga merupakan penilai untuk
artikel jurnal bagi bidang pendidikan Bahasa Melayu dan kesusasteraan
Melayu. Turut menjadi penilai modul dan penilai bahasa untuk kesahan muka
bagi pelajar yang mengikuti Ijazah Doktor Falsafah di universiti awam.
Dr. Hajah Maria Hj. Tahir berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam
bidang Kesusasteraan Melayu Klasik (Filologi) dari UM. Ijazah pertama
(Rancangan Pengajian BM) dari UM dan MA Sastera di UPM.
Berpengalaman mengajar di beberapa buah IPG dan kini bertugas di Kampus
Pendidikan Teknik. Beliau bergiat aktif menulis artikel dan pembentangan
kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta terlibat dalam
penggubalan MK di peringkat IPGM. Beliau telah menghasilkan buku rujukan
antaranya Drama Dalam Pendidikan Bahasa Melayu dan Semantik Bahasa
Melayu secara penulisan bersama.
Mastura binti Mohamed Berawi, Ketua Jabatan di Jabatan Kecemerlangan
Akademik, IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Berkelulusan Ijazah
Sarjana Muda dari UKM dalam bidang Linguistik dan Komunikasi dan
Master Bahasa Melayu di UPM. Beliau terlibat dalam penggubalan dokumen
rasmi IPG dan penggubalan dokumen Kurikulum dan modul pembelajaran.
Jurulatih Kebangsaan (JUK) dalam penataran Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Pernah
menghasilkan buku seperti Literasi Bahasa Melayu, Sejarah Perkembangan
Bahasa Melayu dan Busana Tradisional Negeri Sembilan yang telah menerima
Anugerah Buku Negara dalam kategori suntingan terbaik. Beliau
menghasilkan lirik lagu Wanita Gemilang yang menjadi lagu rasmi
Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan.
132 LITERASI BAHASA
Hj. Patarai Hj. Cholen berkelulusan MA Bahasa Melayu dan Bac.
Pendidikan BM dari UPM. Kini merupakan pensyarah di IPG Kampus Bahasa
Melayu sejak tahun 2019. Berpengalaman mengajar di beberapa buah IPG.
Beliau pernah menghasilkan bukan antaranya Literasi Bahasa dan Pengantar
Bahasa Melayu. Manakala buku terbaharu yang telah dihasilkan secara
bersama di peringkat IPG ialah Drama Dalam Bahasa Melayu, dan Semantik
Bahasa Melayu. Beliau juga aktif menulis artikel dan pembentangan kertas
kerja di peringkat antarabangsa serta terlibat dalam penggubalan MK di
peringkat IPGM.