The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hadiluthfhil, 2022-06-11 12:33:08

ASSESSMENT BM LUTH 4R

ASSESSMENT BM LUTH 4R

sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba tangan Lili dipulas, Danel tergamam kerana
senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili
telah berada di tempat penculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.

Bab 20.
Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang
menyelamatkan Lili pada waktu kegelapan malam, kerana Danel memang tahu tempat
persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada
penduduk-penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu
sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebas
kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti mencuri,
hisap dadah dan pecah rumah. Sehinggakan mereka sanggup melakukan kekerasan
dan mengugut ibunya sendiri, juga orang-orang kampung menyumpah-nyumpah
supaya anaknya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sebaik-baik sahaja
sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan kerana
bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya nenek tahu tentang kejadian yang
menimpa Lili.

Bab 21.
Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca dari
masalah keluarga yang dihadapi. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus
bertanyakan khabar berita nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah
mengarahkan penduduk-penduduk kampung merobohkan pondok tempat
persembunyian mereka. Namun Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup
malang yang menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperoleh
dari neneknya, sudah tentu banyak yang bersifat negatif dan menyedihkan. Oleh itu,
Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang
lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq adalah manusia biasa yang
memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan menghina
secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha, tetapi neneknya
tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Bab 22.

Abang Rashid memberitahu Lili, bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh
penduduk-penduduk kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh
ayah mereka. Lili bercadang ke rumah Che Jah untuk mengetahui keadaan yang
sebenar dan kemudiannya merancang ke pekan bersama-sama dengan Abang Rashid.
Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Che Jah, Lili disambut dan dipersilakan masuk
ke dalam rumah. Che Jah menjelaskan Haziq teruk dibelasah dengan tali pinggang
oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa alam persekolahan dulu
merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah dibuang sekolah kerana selalu
ponteng dan melawan guru. Haziq menjadi nakal kerana bergaul bebas dengan budak-
budak nakal sehingga perangainya tidak dapat dilentur. Che Jah memohon maaf
kepada Lili tentang apa yang dilakukan oleh anaknya terhadap Lili, tetapi Lili secara
ikhlas telah memaafkannya. Che Jah memuji-muji kebaikan hati Lili yang sanggup
datang menjenguk dan bertanya khabar. Che Jah mempelawa Lili untuk makan tengah
hari di rumahnya, dia tidak menolak pelawaan itu.

Bab 23.
Nenek menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek
juga memberitahu bahawa orang-orang kampung memang suka bermuka-muka.
Kadang-kadang boleh mengumpat hanya melalui jendela sahaja. Lili menghampiri
datuk yang masih belum selesai dengan isu kubah surau dan herba-herba ubatan
tradisionalnya. Seman suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat garang.
Seman bukan sahaja garang terhadap anak-anaknya, tetapi juga terhadap orang-orang
lain yang berurusan dengannya. Kelakuan buruk Seman ialah suka berjudi, berhutang,
menipu, minum arak dan anak-anak serta isterinya akan menjadi mangsa
kekejamannya. Lili melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap segala tindakan dan
perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak dalam membina keluarga bahagia.

Bab 24.
Menjelang waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah
di puncaknya terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili mendapat
berita dari datuk bahawa kubah surau akan dipasang dalam masa terdekat. Kini isu
kubah surau telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk-penduduk
kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid didirikan di kampung tersebut

sebagai tanda pembangunan, begitu juga dengan Lili. Bagi datuk pula tidak kisah,
sama ada kubah surau atau sebuah masjid, yang penting ilmu-ilmu agama ditegakkan.

Bab 25.
Menjelang pagi, Lili memberitahu nenek untuk berada di luar, sama ada melihat
kubah surau atau bertemu dengan Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan
sebegini lebih selamat tidak berjumpa dengan sesiapapun. Mengikut nalurinya, pada
hari ini Lili perlu berkomunikasi dengan seseorang. Danel datang membawa gulai kari
pisang ikan masin yang dimasak sendiri dan menyampaikan suatu pesanan khas
ayahnya kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan diesel telah
menenggelami isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk
akan membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya.
Begitu juga kenaikan harga barangan yang lain termasuk perubatan. Datuk sempat
memperli Danel, bahawa kos perubatan tradisional sahaja yang tidak naik. Lili ke
rumah Che Jah menziarahinya dan sempat melihat keuzuran Haziq yang belum
sembuh akibat kesan dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili,
jangkaan dan gambaran buruk perwatakan Che Jah oleh nenek, jauh berbeza. Lili
memberitahu Che Jah, bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.

Bab 26.
Lili berpendapat, dua cadangan yang perlu diketengahkan iaitu perlunya dibina
sebuah masjid dan melaporkan kepada biro pengaduan jenayah yang dilakukan oleh
Seman terhadap ahli-ahli keluarganya. Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan
hal-hal yang berat dan lebih memberi tumpuan menghabiskan masa cuti persekolahan.
Danel pula telah banyak membantu, seperti menyelamatkan nyawa, membawanya ke
pekan dan dalam segala hal juga mereka bersependapat. Lili juga berpandangan
bahawa tugas membangunkan kampung terletak di bawah tanggungjawab Danel
sebagai penduduk tetap dan perlu memperjuangkannya.

Bab 27.
Nenek bersuara janggal mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang
Rashid pula tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah
Che Jah. Ada sesuatu perkara yang berlaku di sana sehingga menyebabkan nenek
bergegas ke rumah Che Jah. Lili dan Danel juga segera ke rumah Che Jah tetapi masih

belum pasti apa yang berlaku. Sebaik-baik sahaja sampai kedengaran tempikan
seorang lelaki, pastinya Seman sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam
rumah Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah,
iaitu Haziq dengan keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam
keadaan yang tidak siuman telah menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya
berdarah. Tiada seorang pun yang berani meleraikan ketegangan itu, mereka hanya
berani melihat tentang apa yang berlaku. Manakala, Che Jah telah memekik minta
cerai kerana tidak sabar lagi dengan karenah suaminya yang bertindak melulu.

Bab 28.
Che Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Suaminya, Seman masih
dengan perangai buruknya, kaki judi, sering pulang lewat malam dan sering memukul
anak-anak dan isterinya. Seorang pesakit baru yang datang berubat dengan datuk
kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkan sebotol herba untuk pesakit
wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang sakit tersebut. Pesakit
wanita tersebut bernama Puan Hamimah dalam usia tiga puluhan lebih selesa dengan
panggilan Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk kerana untuk habiskan
berubat. Hasil perbualan dengan Lili, Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai,
Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Tugasnya
berkaitan dengan keganasan rumah tangga, penganiayaan kanak-kanak dan
pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan peluang ini untuk
membuat aduan terus kepada Kak Mimah untuk memanjangkan kes keluarga Che Jah
untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Bab 29.
Kak Mimah bersetuju membantu Lili untuk menyelesaikan masalah keluarga yang
dihadapi oleh Che Jah, yang akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah
Tangga 1994. Kak Mimah akan balik ke Kuala Lumpur dan akan membuat laporan
berkaitan dengan kes tersebut dan Lili akan menjadi saksi. Danel datang ke rumah
ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel hanya di
pangkin sambil membincangkan pembinaan masjid dan merancang untuk
mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk kampung.

Bab 30.
Danel mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan
pertemuan dengan penduduk-penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak Pak
Busu pada hari Jumaat nanti. Danel dan Lili bercadang bertemu Geetha untuk
memintanya menyelesaikan masalah keluarga Che Jah. Geetha bersetuju dan ingin
bertemu dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah setelah mendapat
kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.

Bab 31.
Danel juga berbangga kerana Geetha sanggup membantu dalam menyelesaikan
masalah pembinaan masjid dan surau kampungnya. Mereka juga berbincang tentang
bioteknologi berkaitan dengan madu lebah, kambing dan pokok vanila mampu
memberi pulangan yang cukup lumayan. Kak Mimah telah menghubungi datuk, selain
membincangkan berkaitan rawatan mereka juga menyentuh isu keganasan rumah
tangga Che Jah. Lili tercengang dengan keputusan datuk untuk mengambil tindakan
terhadap suami Che Jah dan mengheretnya ke penjara. Mereka berbincang cara untuk
menangkap suami Che Jah dan menghukumnya mengikut lunas undang-undang.

Bab 32.
Berita kubah dilarikan orang menjadi isu hangat ketika ini. Beberapa orang wanita
mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah
terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar
mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya. Datuk mengheret
Rafiq dan Haziq ke halaman rumah, penduduk-penduduk akan membelasah mereka
dua beradik. Datuk meminta semua penduduk kampung berkumpul. Mereka lihat
Rafiq dan Haziq dalam keadaan lesu dan badannya lebam-lebam akibat dibelasah.
Datuk mencarikan herba untuk memulihkan mereka tetapi badan mereka langsung
tidak bermaya. Badan Haziq lebam, manakala hidung Rafiq berdarah dan rebah di
lantai rumah. Geetha memberitahu Danel, biarlah datuk yang menyelesaikan masalah
masjid dan surau. Dia hanya ingin membantu menyelesaikan masalah keluarga Che
Jah.

Bab 33.
Kak Mimah dan rakannya Nadia muncul ketika datuk ingin mengadakan pertemuan di
balai raya. Che Jah juga hadir sama tanpa dicari, membuat pengakuan untuk
dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Suaminyalah yang telah melarikan kubah surau
kampung, bukannya Rafiq dan Haziq. Tindakan Che Jah biarlah pihak berkuasa
mengambil tindakan wajar supaya suaminya dihantar ke pusat pemulihan akidah.
Menurut Kak Mimah, jika Che Jah membuat laporan polis, tindakan mahkamah boleh
diambil, dan kes ini akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan
mendapat bantuan dari Jabatan Perlindungan Wanita dan Masyarakat bagi membiayai
kos rawatan pemulihan akidah suaminya. Suami Che Jah berjaya ditangkap oleh
penduduk-penduduk kampung di belakang pondok dusun. Haziq diberi herba sebagai
penawar, manakala Rafiq dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bab 34.
Sugi tidak mengaku terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan
yang datang memujuk penduduk-penduduk kampung menjualkan tanah mereka.
Datuk pula dituduh cuba melindungi Che Jah yang terlibat melindungi anak-anaknya
dari kes culik cucunya, Lili. Berpuluh-puluh pemuda kampung menunjuk perasaan di
halaman rumah, menuduh datuk terlibat dengan pemaju perumahan. Datuk tidak
ambil kisah kerana itu bukan urusannya. Sugi pula menjelaskan bahawa dia bukan
bertujuan untuk membangunkan kampung dengan projek rumah kos rendah, tetapi
ingin memajukan tanah-tanah penduduk kampung dengan projek agropolitan,
penanaman Jatropha Cuncas dan selama ini semuanya tersalah anggap. Haziq
semakin pulih dari keletihan dan mampu tersenyum, manakala Rafiq disahkan
mengambil terlalu banyak dadah jenis syabu sehingga sistem tubuh badannya banyak
yang rosak. Kak Mimah berjanji akan membantunya sehingga pulih.

Bab 35.
Ibu pulang ke kampung tanpa ayah yang hanya menaiki bas untuk membawa Lili
balik ke Kuala Lumpur. Cadangan Danel untuk mencadangkan pembinaan sebuah
masjid diterima oleh semua penduduk dan ketua kampung.

Bab 36.
Matahari terbit dapat disaksikan oleh Lili dan Geetha seawal paginya. Ibu tiba ke
kampung dan akan membawa Lili ke Kuala Lumpur dan sempat untuk menghadiri
majlis perpisahan pengetuanya. Datuknya, Haji Abdul Rahman menceritakan maksud
yang tersembunyi tentang jendela menghadap jalan yang terlalu banyak kisah silam,
sejak zaman penjajahan hinggalah ke zaman komunis yang mereka tidak memasukkan
sejarah jendela menghadap jalan. Neneknya pula, Hajah Aisyah Tan Abdullah
menceritakan kisah zaman silam berasal dari Tanah Besar China sehinggalah
pertemuannya dengan datuk di Tanah Melayu ke hari ini. Lili kerap berjumpa dengan
Geetha di Kuala Lumpur dan meneruskan pelajarannya. Haziq dan Rafiq pula akan
menduduki PMR pada tahun hadapan dan hidupnya telah banyak berubah. Danel
berharap Lili akan kembali semula ke Kampung Sentosa dan berharap Lili telah
mengetahui tentang jendela menghadap jalan, manakala Danel telah banyak menulis
artikel tentang pisang.

5 KEKUATAN NOVEL
Pertama, perwatakan yang ada dalam novel ini memberikan pengajaran dan iktibar
kepada pembaca khususnya pelajar Tingkatan 4. Sebagai contoh, perwatakan Lili
yang taat akan ibunya memberikan pengajaran kepada kita supaya sentiasa mentaati
segala perintah ibu bapa tanpa membantah sekalipun. Kekuatan seterusnya ialah novel
ini menceritakan tentang nilai setia kawan yang tinggi. Hal ini kerana dalam novel ini
Geeta iaitu rakan Lili sanggup membantu Lili untuk selesaikan masalah yang dihadapi
oleh penduduk kampung itu. Seterusnya, penceritaan dalam novel ini juga
menceritakan kebijaksaan seseorang yang mahir dalam ilmu perubatan. Hal demikian
kerana dapat membantu pembaca menambah pengetahuan tentang fakta-fakta yang
diberikan. Tahap pemikiran penulis juga sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4. Hal
ini membuatkan pelajar merasa menarik ketika membaca. Akhir sekali, latar tempat
yang diceritakan juga yang fokuskan kepada tempat-tempat tertentu sahaja. Pelajar
akan lebih memahami peristiwa-peritiwa yang berlaku di sesuatu tempat itu.

5 KEKURANGAN NOVEL
Kekurangan yang pertama yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ini
merupakan jalan ceritanya yang agak perlahan. Kekurangan yang kedua pula
merupakan jalan cerita novel tersebut tiada kena mengena dengan tajuk novel.
Kekurangan ketiga yang terdapat dalam novel ini pula watak utamanya, Lili. Watak
Lili ini tiada perkembangan yang menunjukkan yang dia telah berubah. Seterusnya,
kekurangan yang keempat pula merupakan plotnya yang membosankan dan senang
untuk mengagak apa yang akan terjadi selepas itu. Kekurangan yang terakhir pula
merupakan ketiadaan misteri yang menarik bagi saya dalam ceritanya.

5 PENAMBAHBAIKAN UNTUK NOVEL
Pada pendapat saya, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh
diperbaiki oleh penulis iaitu penulis perlulah mengarang setiap plot dengan lebih
kreatif kerana semua nilai yang boleh diamalkan oleh pembaca berulang banyak kali
dan sama. Selain itu, penulis mestilah fokus sepenuhnya pada objektif utama novel
tanpa mengisahkan lebih plot yang kurang penting. Seterusnya, penulis haruslah
mencipta watak sampingan yang mempunyainya berlainan sifat dan perwatakan untuk
menarik minat pembaca. Kemudian, penulis perlulah memendekkan ayat yang ingin
disampaikan kerana ayat yang terlalu panjang boleh menyebabkan pembaca rasa

bosan. Akhir sekali, penulis haruslah mempromosikan novel ini pada pasaran
terutamanya pada golongan remaja kerana novel ini mempunyai banyak nilai yang
boleh diamalkan dalam kehidupan sehariannya.

PENGENALAN NOVEL PANTAI KASIH

Novel ini menceritakan tentang Raiha seorang doktor muda yang terpaksa melalui
pelbagai bentuk cabaran sebelum berjaya menjadi doktor pakar bedah.Selepas
menghadapi kegagalan dalam perkahwinannya, dia akhirnya menerima pelawaan
mentornya, Doktor Uwang agar menyertainya di pusat rawatan mewah yang dikenali
sebagai Pusat Rawatan Pantai Kasih.

BIOGRAFI PENULIS NOVEL PANTAI KASIH

Azmah Nordin merupakan seorang pengarang buku di Malaysia. Beliau dilahirkan
pada 10 Januari 1958 di Kulim, Kedah. Azmah Nordin kemudiannya mendapat
pendidikan rendah dan menengah dalam aliran Melayu dan Inggeris. Pada 1973 beliau
berpindak ke Sabah dan menetap di sana.

Beliau mula berjinak dengan dunia penulisan pada awal 1980-an, iaitu dalam
penulisan rencana. Kecenderungannya menulis dalam bidang sastera bermula pada
awal tahun 1986. Beliau meminati penulisan sajak, cerpen dan novel.

SINOPSIS KESELURUHAN NOVEL PANTAI KASIH

Novel ini menceritakan, Raiha seorang doktor muda yang terpaksa melalui pelbagai
bentuk cabaran sebelum berjaya menjadi doktor pakar bedah. Selepas menghadapi
kegagalan dalam perkahwinannya, dia akhirnya menerima pelawaan mentornya,
Doktor Uwang agar menyertainya di pusat rawatan mewah yang dikenali sebagai
Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Di sepanjang bertugas di pusat rawatan tersebut, fikiran Raiha sering terganggu
tentang komplikasi pesakit namun mereka masih mampu untuk bertungkus lumus
menabung wang bagi mendapatkan rawatan operasi daripada para pakar perubatan di
pusat rawatan itu. Anehnya, yang kaya raya tidak ramai pula yang menghadapi
komplikasi yang serupa. Kian terganggu Raiha, apabila melihat X-Ray milik salah
seorang daripada pesakit. Dari mata kasar, memang tiada yang aneh-aneh berlaku.
Namun nalurinya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada X-Ray itu. Ini
membuatkan Raiha tambah tertekan.

Di samping itu, Raiha juga sering diganggu gambaran bekas suaminya yang
perlahan-lahan mengingatkan dia pada kisah silamnya yang amat mengerikan dan
menyayat hati. Bagaimanapun, oleh semangatnya yang kuat, dia teruskan juga
perjuangan dalam bidang perubatan.

Apabila dia cuba meluahkan perasaan tentang masalah itu kepada Doktor Uwang,
ternyata mentornya itu agak tidak senang. Padahal sebelum itu, Doktor Uwang
adalah guru demonstrator dalam bidang anatominya dan mengajarnya tentang unsur-
unsur surgeri ataupun pembedahan. Ketika itu, dia menjadi siswi tahun pertama
dalam spesifikasi ortopedik, di institusi tinggi tempatan dahulu. Selang beberapa
tahun kemudian, apabila dia memulakan klinikal yearnya di sebuah hospital kerajaan,
pernah beberapa kali membantu Doktor Uwang dalam bilik pembedahan, selain kerap
mengiringi lelaki itu ke ceramah-ceramah perubatan dan sebagainya. Malah, hatinya
pernah tersangkut pada doktor kacak itu, biarpun lelaki itu mungkin tidak menyedari
pun akan kewujudannya. Biar apa pun, ketika itu, selain daripada sebagai mentor,
Doktor Uwang adalah doktor nombor satu di hatinya.

Tetapi, apabila bekerja di pusat rawatan mewah milik Doktor Uwang dan
ditugaskan untuk mengambil alih tugas membedah salah seorang pesakit yang

menghadapi komplikasi berulang-kali, pandangannya terhadap doktor itu mula
berubah. Pelbagai tanda tanya, menyelubunginya. Dan peristiwa aneh-aneh berlaku,
sehinggalah Doktor Uwang mengalami kemalangan di jalan yang berhampiran
dengan pusat rawatan itu.
Biar apa pun perasaannya, sebagai seorang doktor yang profesional, Raiha tentang
menjalankan operasi ke atas Doktor Uwang dengan menggunakan peralatan yang
dibeli khas oleh doktor itu sendiri. Peralatan yang digunakan untuk pesakit-pesakit
yang berpendapatan sederhana.

SINOPSIS SETIAP BAB NOVEL PANTAI KASIH

Bab 1
Raiha, seorang doktor pakar yang baharu menyertai Pusat Rawatan Pantai Kasih
(PRPK) menghadapai masa sukar apabila sentiasa terkenang peristiwa silam yang
mengiringi perjalanan hidupnya. Raiha amat terkesan dengan tugasan yang diberikan
oleh Doktor Uwang untuk membuat pembedahan kali keenam ke atas pesakit yang
bernama Unong Siron. Raiha berasa curiga tentang pembedahan yang sama dilakukan
sebanyak lima kali ke atas pesakit pada tempat pembedahan yang sama. Walaupun
selesai menjalankan tugasan dengan jayanya, namun Raiha berpendapat bahawa
pembedahan tersebut tidak harus berulang kali terutama kepada pesakit daripada
kalangan golongan menengah dan ke bawah. Prinsip hidup Raiha iaitu memuaskan
semua pihak. Raiha juga dibayangi dengan kenangan silam iaitu rasa pendam cintanya
terhadap Doktor Uwang tetapi telah terpadam selepas dia memilih Doktor Sadiz
sebagai suami. Namun, kenangan itu sukar dilupakan terutama sewaktu dia
memberikan bantuan kepada Doktor Uwang dalam pembentangan seminar. Raiha
juga teringat akan ayahnya yang membentak apabila Raiha menyuarakan hasrat untuk
berkahwin dengan Doktor Sadiz. Ayahnya yang berjaya membesarkan dua orang adik
lelaki tirinya menjadi golongan professional berpendapat bahawa pemilihan Doktor
Sadiz sebagai suaminya adalah kurang tepat dan akan menyebabkan kesengsaraan
pada masa depan. Ingatan terhadap larangan ayahnya supaya bidang pakar
pembedahan tidak menjadi pilihan kerana berpendapat bidang tersebut tidak sesuai
dan tidak berfaedah kepadanya dalam jangka masa panjang. Sister Felicia Landosi,
jururawat kanan yang banyak pengalaman begitu tidak menyenangi Raiha apabila dia
telah ditegur akibat melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan di PRPK. Sister
Felicia ditawarkan dengan gaji yang lumayan supaya bertugas di PRPK setelah
bertugas di hospital kerajaan sebelum ini. Felicia berpendapat teguran Raiha dan
amaran Doktor Uwang terhadap dirinya tidak adil. Dia berhasrat untuk melupakan
peristiwa hitam pada malam yang menggemparkan itu. Doktor Alex pula mengesyaki
bahawa beliau bergaduh dengan Doktor Razak. Ingatannya juga kembali kepada
kenangan lalu sewaktu anak Raiha disambar api di hadapan matanya. Ingatan itu
sukar dilupakan dan menghantuinya selama ini. Dia juga sentiasa dibayangi keresahan
khuatir tingkah lakunya diperhatikan terutama di ruang farmasi. Dalam keadaan rakan

sejawat yang sedang leka melaksanakan tugas Felicia dibayangi dengan prasangka.
Sehingga jururawat Ariana yang sedang bercakap di gagang telefon dengan Doktor
Razak turut diteguri kerana asyik bergayut di telefon sahaja. Atas permintaanya
sendiri dia tidak bertugas pada sebelah pagi sebaliknya pada sebelah malam dan tugas
rutin harian tidak perlu dilaksanakannya memberi peluang kepadanya untuk
mengelakkan diri daripada bertembung dengan Rahia.

Bab 2
Doktor Uwang perpendirian tegas terhadap prinsip hidup, amat tidak bersetuju
sekiranya ada orang gaji di rumahnya. Malahan, anak tunggal hasil keterlanjurannya
dahulupun dihantar belajar di sekolah swasta berasrama seawal usia tujuh tahun lagi
sehingga anaknya itu kekok untuk bersama-samanya apabila ada peluang pulang
bercuti semesternya. Doktor Uwang berpendapat anaknya itu tidak harus pulang
langsung kerana memalukannya sahaja. Ketegasan Doktor Uwang terhadap
perniagaan kesihatan menjadikannya sebagai salah seorang doktor berwibawa yang
banyak membawa keuntungan kepada PRPK. Ayah mentuanya yang menyerahkan
PRPK kepadanya turut berpendapat bahawa untuk kaya tidak harus ada halangan
asalkan berusaha. Walaupun agak kesal menyerahkan PRPK kepada Doktor Uwang,
namun akur dengan kehebatan menantunya menerajui PRPK. Doktor Uwang
menganggap ayah mentuanya sama seperti Raiha yang adakalanya seperti
memperkecil-kecilkannya kewibawaannya tetapi dia berpendapat bahawa untuk
mendapat kesihatan yang baik mestilah menggunakan kecanggihan alat perubatan.
Doktor Uwang juga sering mengeluh kesakitan pada pergelangan tangannya dan
kepala lututnya namun belum sempat membuat diagnosis tepat terhadap penyakitnya
itu. Oleh sebab, dia kurang sihat untuk melakukan pembedahan terhadap Unong Siron
pada kali ini, tugas itu diserahkan kepada Raiha. Raiha mempersoalkan kejadian
infeksi yang berlaku kepada Unong Siron. Peribadi Raiha yang dikenali sewaktu
menjadi siswi dengan yang ada sekarang amat berbeza. Dahulu Raiha menaruh hati
terhadapnya tetapi sekarang sudah lenyap dan menganggap Raiha sudah angkuh dan
beranggapan Raiha tidak bersyukur dengan tawaran berkhidmat di PRPK miliknya.
Doktor Uwang juga teringat kembali terhadap kanak-kanak perempuan yang sudah
meninggal dunia dan sentiasa membayang hidupnya. Lamunannya tersentak apabila
ingatanya juga turut dibayangi oleh peristiwa pencerobohan doktor palsu yang
menyamar di PRPK miliknya.

Bab 3
Sister Felicia menjalankan rutin hariannya seperti biasa walaupun dia sangat mamai
ketika itu. Dia menemui pesakitnya di bilik VVIP yang digambarkan seperti hotel
bertaraf lima bintang. Dia mengambil suhu dan mengukur nadi pesakit yang bergelar
Datin itu dengan berhati-hati serta bersopan santun. Baginya merawat pesakit berkelas
menengah atas ini perlukan kesabaran dan layanan yang tinggi. Pesakit itu perasan
akan perubahan diri Sister Felicia yang kelihatan pucat lalu ditegurnya tetapi dia
mengatakan bahawa keadaannya seperti biasa sahaja, barangkali cuaca musim
kemarau panjang ini menyebabkan keadaannya begitu. Dia terbayang kembali
peristiwa ketika dia bersama Doktor Sadiz yang berkesudahan dengan gambaran
kematian anak perempuannya yang rentung akibat disambar api yang sedang marak
membakar kereta mewah doktor itu. Selepas meneladeni pesakit yang bergelar Datin
itu, Felicia kemudiannya ke dapur dan menikmati ais krim milik Raiha sambil teringat
kembali zaman dia menjadi pelajar bidang kejururawatan dahulu. Walaupun dia
mempelajari bidang perubatan tetapi dia masih tidak berupaya mengubati dirinya
yang kelukaan. Malah dia mengambil ubat batuk sebagai penawar kelukaan hatinya.
Felicia juga sering mendengar keluhan ibu Unong Sairon yang mengeluh tentang
pembedahan anaknya yang keenam sama ada Berjaya ataupun tidak kerana
kemampuannya hanya setakat itu sahaja disebabkan semua wang insurans anaknya
sudah dihabiskan untuk belanja perubatan tersebut. Raiha masih teringat akan
peristiwa hitamnya. Pelbagai pertanyaan menyerpa benaknya tentang punca kematian
anaknya juga tentang keputusan perbicaraan Raiha vs Sadiz yang akhirnya berpihak
kepada bekas suaminya itu. Raiha juga teringat akan Doktor Sadiz yang menyalahkan
dirinya atas kematian anak perempuan mereka. Raiha pula memberitahu bahawa
semuanya berpunca daripada Doktor Sadiz menyebabkan sanak saudara yang selama
ini menyokongnya semakin berundur dari hidupnya. Raiha juga teringat akan layanan
kasar Felicia terhadap ibu pesakitnya Unong Siron, masyarakat kelas menengah
bawah. Sergahan Raiha terhadap Felicia menyebabkan Felicia kecil hati dan berasa
amarah dengan tindakan Raiha walaupun sebenarnya tindakannya mengasari ibu
pesakit adalah salah. Raiha berasa bersalah akan tindakannya menegur sikap Felicia.
Dia teringat kisah lama antaranya dengan Felicia. Mereka bersekolah di sekolah yang
sama, tetapi Felicia menghilang selepas kematian ibunya. Mereka bertemu di Hospital
Kinabalu selepas sekian lama menghilang. Pada ketika itu Felicia seorang jururawat

manakala Raiha sudah menjadi doktor. Raiha masih teringat akan serkahan Doktor
Sadiz terhadapnya. Doktor Sadiz menyatakan bahawa Raiha sengaja melarikan kereta
mewahnya. Bukan itu sahaja Doktor Sadiz juga meyatakan bahawa barang kemas
yang dibelikannya juga turut dibawa lari oleh Raiha. Namun Raiha cuba menyangkal
dengan mengatakan bahawa barang kemas yang dibawa adalah barang kemas
miliknya hasil titik peuhnya sendiri. Doktor Sadiz menyatakan bahawa sampai mati
sekalipun dia tidak akan melepaskan Raiha. Doktor Sadiz mahu Raiha merana,
gantung tidak bertali sebagai balasan tergamak memalukannya di mata golongan
masyarakat elit.

Bab 4
Raiha tiba di rumahnya di sebuah apartment di tingkat enam miliknya yang terletak
tidak jauh dari Pusat Rawatan Pantai Kasih. Di sepanjang jalan Raiha teringat akan
peristiwa hitam misteri kematian anaknya dan kekalahan kes tersebut di tangan bekas
suaminya. Setibanya dia di apartmentnya itu, dia berasa sangat sunyi dan teringat pula
kisah neneknya yang membesarkannya selama ini. Arwah neneknya yang
berketurunan Idaan menyatakan bahawa nenek moyangnya dahulu berasal dari Nunuk
Ragang. Daerah itu terletak di Tampias suatu kawasan di hulu lubuk dalam daerah
Ranau. Raiha juga teringat akan Doktor Sadiz yang melayani dengan baik sebelum
peristiwa hitam muncul. Dia juga teringat akan permintaan Doktor Sadiz supaya
menggugurkan bayi yang sedang dikandungnnya itu kerana kehadiranya bayi tersebut
tidak direstui apatah lagi sudah diketahui fizikal bayi tersebut yang kelebihan
kromosom akan menyebabkan dia malu dengan masyarakat. Anak-anak dengan bekas
isterinya tidak ada yang cacat. Raiha tidak tergamak hendak membunuh bayi tersebut
apatah lagi bayi tersebut sah hukum dan mempunyai hak untuk hidup. Akhirnya bayi
tersebut lahir dan diberi nama Rohayu atau panggilannya ‘Ayu’. Kegelisahan Datu
Untong terhadap panggilan palsu dan pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih
miliknya sebelum diserahkan kepada anaknya Doktor Uwang amat jelas. Dia berharap
selepas daripada insiden tersebut perkara sebegitu tidak berulang. Kegelisahan turut
dirasai oleh isteri Doktor Uwang, namun tidak diendahkan oleh Doktor Uwang akan
rungutan dan kegusaran isterinya itu. Doktor Uwang berpendapat isterinya yang sah
dan yang tidak rasmi serta bapanya juga tidak harus ambil peduli tentang
pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Baginya, mereka tidak tahu akan
perniagaan kesihatan kini. Doktor Uwang juga teringat akan persoalan yang diajukan

oleh emak Unong Siron yang mempersoalkan kewibawaannya menangani kes
pembedahan penggantian tulang pinggul hingga keenam kalinya itu. Namun, dia
sudah menetapkan pendiriannya bahawa dia akan berbuat apa-apa sahaja untuk
memberikan hasil baik berpihak kepadanya. Asalkan keuntungan berlipat kali ganda
masuk ke ke poketnya sudah memadai, tidak perlu memikirkan bagaimana mereka
mendapatkan wang membayar kos perubatan di situ. ‘Doktor Uwang mengelamun
sambil menonton rancangan ‘Money Matters’ di televisyen. Lamunannya hingga ke
peristiwa anak pak ciknya rentung dan disaksikan di hadapan matanya sendiri. Felicia
memasuki bilik farmasi lagi. Tiba-tiba muncul seorang pesakit lelaki yang pernah
mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Pantai Kasih itu. Dengan garangnya pesakit
itu membincangkan tentang infeksi yang terjadi kepadanya. Felicia bingkas ingin
memanggil Doktor Mohammad namun dihalang oleh pesakit tersebut. Lalu Felicia
mencadangkan Doktor Uwang. Cadangannya itu tidak dipersetujui oleh pesakit
tersebut sebaliknya dia mahukan Doktor Raiha. Feilcia memberitahu bahawa Doktor
Raiha tiada dan tidak dipercayai oleh pesakit itu sebaliknya menganggap Felicia
berbohong dan sengaja mahu menipu. Felicia juga dituduh sengaja menceritakan yang
baik-baik tanpa memberitahu risiko yang terpaksa dihadapi oleh pesakit. Felicia cuba
menjelaskan hal yang sebenar kepada pesakit itu tetapi pesakit itu digambarkan
melemparkan simen dan splinnya ke arahnya menyebabkan Felicia terjelopok, namun
itu, merupakan hayalan Felicia semata-mata. Apabila Felicia mengangkat muka
suasana menjadi berubah apabila didapati dia berada di stor Pusat Rawatan Pantai
Kasih.

Bab 5
Doktor Uwang melarikan diri daripada diganggu bayangan anak perempuan pak
ciknya yang mati secara sadis dengan mengunjungi kelab malam serba eksklusif.
Walaupun dia mencari ketenangan namun tidak ditemui di kelab malam mewah itu,
kerana asyik diperhatikan oleh seorang wanita sejak dia tiba di situ. Tiba-tiba wajah
Raiha muncul dalam fikiran Doktor Uwang, begitu juga dengan Unong Siron yang
baharu selesai menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul yang keenam. Dia
tidak mahu bayangan mereka menggangu hasratnya untuk mengaut keuntungan di
Pusat Rawatan Pantai Kasih itu. Doktor Uwang yang menghabiskan masa menikmati
kehangatan kelab malam sememangnya seorang yang pemilih. Kupu-kupu malam
yang menjadi isteri-isteri tidak rasminya haruslah dipastikan akan kebersihan dan

kesihatan mereka terlebih dahulu. Doktor Uwang melihat gelagat pengunjung kelab
malam mewah itu. Tiba-tiba wanitawanita yang dilihatnya dalam kelab malam itu
berubah menjadi gadis mirim Unong Siron dan seorang lagi berubah menjadi anak
perempuan pak ciknya. Kehadiran mereka dalam fikirannya amat tidak disenangi.
Tiba-tiba kepala lutut dan kedua-dua pergelangan tangannya ngilu yang amat sangat.
Felicia berasa kurang senang dengan Raiha yang cuba menganggu kredibilitinya
selama ini. Hal ini seolah-oleh menyebabkan dia mengunjungi bilik farmasi untuk
mencari kelegaan. Felicia juga berasa terkejut apabila Doktor Mohammad
menyatakan bahawa dia mendapat panggilan palsu. Sister Felicia mencadangkan
supaya Doktor Mohammad pulang sahaja dan berehat di rumah sebaliknya ditolak
malah Doktor Mohammad bercadang untuk bermalam di bilik rehat Pusat Rawatan
Pantai Kasih sahaja pada malam itu. Dalam keadaan separa khayal dan didatangi
dengan beberapa peristiwa hitam dalam hidunya, Sister Felicia didapati terjelepok di
lantai bilik air oleh Ariana namun Sister Felicia menafikan bahawa dia tergelincir di
situ.

Bab 6
Doktor Uwang teringat kisah kereta Porsche milik Doktor Sadiz yang terbakar.
Kisahnya bermula apabila ayah, Doktor Uwang iaitu Doktor Ontong meminta Doktor
Uwang menghantar pak usunya Doktor Sadiz pulang selepas sama-sama meraikan
tahun baru di rumahnya. Dalam perjalanan sewaktu hendak menghantar Felecia dan
Doktor Sadiz pulang, Doktor Sadiz mendapati pindu kondo tempat tinggalnya terbuka
dan terdedah luas. Doktor Sadiz juga berasa aneh kerana kereta Porsche yang
diletakkan di garaj juga tidak ada di tempatnya. Doktor Sadiz bergegas keluar dari
kereta itu bingkas menuju ke kondminiumnya. Tidak sampai lima minit kemudian,
Doktor Sadiz muncul lagi dengan wajah muncung dan merungut-rungut. Doktor Sadiz
marah kerana Raiha membawa lari keretanya dan mengapa tidak menggunakan
keretanya sendiri sekalipun minyak keretanya habis diisi. Doktor Uwang menawarkan
diri untuk membantu pak ciknya itu. Doktor Sadiz meminta Doktor Uwang
menghantarnya ke lokasi tempat tinggal Raiha. Sister Felicia yang ada dalam
kenderaan Doktor Uwang bercadang untuk pulang sendiri tetapi dihalang oleh Doktor
Uwang yang akan menghantarnya pulang selepas selesai membantu Doktor Sadiz.
Doktor Uwang juga menyatakan hasrat untuk menaikkan pangkat Sister Felicia
kerana didapati Felicia komited dengan tugasnya selama ini. Mereka memerhatikan

saat Doktor Sadiz muncul dengan gelen minyak yang kosong. Lamunan Doktor
Uwang tersentak apabila ada panggilan kecemasan dari Pusat Rawatan Pantai Kasih.
Isterinya menyatakan bahawa Doktor Raiha ingin membincangkan hal pesakit Unong
Siro dan panggilan tersebut amat penting. Di ruang tamu apartment tempat tinggal
Raiha, dia dikejar perasaan takut dan tidak tenteram. Raiha teringat bagaimana dia
mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang sehingga terpaksa menjalankan
pembedahan kali kelima terhadap pesakit yang sama di tempat yang sama
membuatkan Doktor Uwang marah dan tersinggung. Raiha juga berasa resah apabila
Pusat Rawatan Pantai Kasih diceroboh serta peristiwa hitam yang sering datang dalam
ingatannya. Raiha juga terbayang saat dia memarahi Sister Felicia yang melayan kasar
emak Unong Siron. Felicia yang memanggil emak Unong sebagai ‘sapi tua’
menjelaskan perkara sebenarnya yang berlaku antaranya dengan emak Unong ketika
itu. Felicia menganggap ‘sapi tua’ itu keterlaluan dan menuduhnya tidak jujur
membuat cadangan pembedahan di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Raiha berpendapat
bahawa walau apa juga yang dinyatakan oleh Felicia, dia tidak sepatutnya melayan
emak Unong Siron dengan kasar begitu. Bagi Raiha yang penting adalah kebajikan
para pesakit dan ahli keluarga yang turut terlibat dalam perawatan itu. Mengasari
orang yang memang sedia menderita sakit pada badan dan mental, adalah kejam dan
meminta Felicia supaya tidak mengulanginya lagi. Deringan telefon menyentak
lamunan Raiha. Panggilan telefon itu memintanya datang segera ke Pusat Rawatan
Pantai Kasih. Dia tidak terus bingkas ke sana sebaliknya wajah arwah ayahnya
menerjah dalam ingatannya. Arwah ayahnya memang tidak merestui hasratnya untuk
menjadi pakar bedah. Walaupun arwah bapanya seorang pakar bedah tetapi dia
berpendapat tugas sebegitu tidak sesuai digalas oleh Raiha. Hati Raiha geram dengan
telahan bapanya itu lalu dia bingkas bangun dan tergopoh gapah melangkah keluar
dari apartmentnya menuju ke Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Bab 7
Felicia Landosi, Sister Kanan kepercayaan Doktor Uwang di Pusat Rawatan Pantai
Kasih begitu tertekan dengan situasi di tempat kerja apatah lagi Doktor Usman sudah
mulai mempertikaikan kewibawaannya setelah mendapati bahawa dia telah
melakukan kesalahan besar. Doktor Uwang sering mempersoalkan tentang lafaz yang
pernah dibuat oleh Felicia ketika mengikuti Kursus Kejururawatan. Felicia juga
tertekan dengan serkahan ‘sapi tua’ iaitu ibu Unong Siron tentang musibah anaknya

berpunca daripada Felicia sendiri. Felicia berasa bahawa dirinya diperendahkan
hingga setaraf dengan jiran tetangga sewaktu dia masih dalam alam kanak-kanak
hingga alam remaja menyebabkan dia sungguh malu. Kepahitan hidupnya
menyebabkan dia berjinak-jinak dengan ubat batuk supaya dia dapat melupakan kisah
silamnya. Felicia juga jengkel dengan sikap Raiha yang dahulunya adalah merupakan
rakan karib sekelas yang berjaya menangkapnya ketika melakukan kesalahan. Dia
juga begitu tertekan dengan peristiwa hitam yang mencemarkan sejarah hidupnya. Dia
sering teringat akan masyarakat jirannya yang mengatakan bahawa dia merupakan
golongan masyarakat kelas menengah bawah begitu juga tentang kelahirannya yang
tiada diketahui bapa kandungnya. Kenangan hitam itu menghantui dirinya kerana
ibunya yang dianggap liar itu menjadikan dia sebagai mangsa ejekkan rakan-rakan
sekolah. Keadaannya semakin parah apabila mula berhalusinasi akibat kesan ubat
batuknya itu. Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang lelaki kacak yang siap berpakaian
seperti seorang doktor. Keadaan mamai menyebabkan Felicia tidak dapat melihat
dengan jelas doktor muda itu, Doktor Muda itu bersimpati dengan keadaan Felicia
dan kerana sikap prihatinnya itulah Felicia sanggup percaya dengan doktor muda itu.
Raiha yang dalam perjalanan ke Pusat Rawatan Pantai Kasih selepas mendapat
panggilan kecemasan tadi mengambil keputusan untuk tidak lagi mempersoalkan
kewibawaan Doktor Uwang sehingga mencetuskan ketegangan antaranya dan Doktor
Uwang. Setibanya di Pusat Rawatan itu Raiha bergegas ke wad yang dihuni oleh
Unong Siron. Doktor Alex Ng menegurnya dengan mesra dan bertanya sebab dia
kembali semula sedangkan waktu bertugasnya sudah tamat. Raiha menyatakan
bahawa dia menerima panggilan kecemasan tentang Unong Siron. Doktor Alex Ng
menjelaskan bahawa mereka tidak membuat panggilan kecemasan tersebut. Raiha
teringat bahawa yang membuat panggilan tadi ialah Doktor Uwang sedangkan
menurut Doktor Alex, Doktor Uwang sudah pulang siang tadi. Mungkin ini adalah
panggilan palsu. Alex turut menjelaskan bahawa doktor-doktor lain turut juga
menerima panggilan palsu seperti itu. Terlanjur sudah berada di Pusat Rawatan Pantai
Kasih, Raiha ingin menjenguk Unong Siron yang baharu sahaja dibedah senja tadi.
Dalam benak fikirannya, Raiha berharap Unong akan berjaya pada kali ini.

Bab 8
Raiha masih dihimpit dengan kenangan silam. Kenangan pedih bersama Doktor Sadiz
dan kehilangan anak perempuan kesayangannya itu sering menghantuinya tanpa henti.

Lamunannya terhenti apabila dia disapa oleh ibu Unong Siron yang inginkan
kepastian keadaan anaknya selepas menjalani pembedahan kali ke-6 infeksi ke atas
tulang pinggul. Dia berjanji supaya tidak berulang lagi pembedahan yang
menyebabkan ibu tua itu menghadapi kesukaran terutama apabila semua wang
simpanannya habis. Dia juga berjanji tidak akan ada derita lagi pada Unong yang
terpaksa menghabiskan masa lama di hospital. Setelah memastikan bahawa semuanya
berada dalam keadaan normal, Dia amat bersimpati dengan anak gadis kecil itu
sehinggakan ingatannya teradap anak gadisnya yang rentung datang kembali. Apatah
lagi ingatan terhadap sikap Doktor Sadiz yang memintanya menghantar ayu agar
dipelihara oleh orang lain. Lamunannya tersentak apabila Ariana Abdullah
menyatakan bahawa Sister Felicia Landosi ditahan oleh penceroboh yang menyamar
sebagai doktor dahulu, di bilik bedah. Keadaan menjadi huru-hara dengan kejadian ini.
Ibu Unong Siron menawarkan diri untuk menenangkan penceroboh kerana dia kenal
penceroboh yang tinggal bersebelahan dengan kampungnya. Ibu Unong Siron
meminta penceroboh yang menyamar sebagai doktor itu membantu menyelamatkan
anaknya yang parah. Hati penceroboh itu tersentuh dan membuka pintu kecemasan.
Pengawal keselamatan meluru masuk ke dalam bilik tersebut tetapi dihalangi oleh
Raiha yang menyatakan bahawa Unong Siron begitu parah dan dibawa ke hospital
lain untuk mendapatkan rawatan dan meminta penceroboh itu ke hospital tersebut.
Peristiwa itu pun berakhir. Ibu Unong Siron menceritakan sebenarnya penceroboh itu
adalah bekas penuntut bidang perubatan sebuah universiti tempatan yang gagal dalam
peperiksaan akhir semester.

Bab 9
Sewaktu Doktor Uwang membelok masuk ke kawasan Pusat Rawatan Pantai Kasih,
dia ternampak bayangan wajah anak saudaranya yang sudah meninggal dunia akibat
rentung di dalam kereta mewah yang terbakar. Dia teringat waktu Doktor Mohammad
dan Doktor Alex Ng memintanya bertugas walaupun sebenarnya dia ingin berehat di
rumahnya daripada kengiluan pada kedua-dua belah pergelangan tangan dan kepala
lututnya. Doktor Uwang juga terimbas kembali tentang infeksi yang berulang kembali
walaupun pembedahan kali keenam dilakukan ke atas Unong Siron dan menganggap
sekiranya menjadi akut sekalipun bukanlah salahnya. Dia juga terbayang semua wajah
pesakitnya yang pernah dibedah seolah-olah mahu berinteraksi dengannya. Kemudian
disusuli dengan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang seluruh badannya

melecur. Kesemua wajah-wajah ini mengganggu hidupnya belakangan ini. Doktor
Uwang juga teringat saat dia menghantar Dotor Sadiz dan Felicia Landosi pulang
selepas menghadiri majlis sempena menyambut ketibaan tahun baru. Doktor Sadiz
yang marah apabila mendapati Raiha membawa pulang kereta Porsche bersama-sama
anak perempuannya. Dia juga teringat ketika membawa Doktor Sadiz untuk membeli
minyak petrol dan berhenti di sebuah rumah tumpangan pada tengah malam dan
teringat saat kereta Porsche itu dijilat api tidak lama kemudian sehingga menyambar
kanak-kanak perempuan yang secara kebetulan berada di situ. Doktor Uwang juga
terbayang wajah perempuan tua yang memohon simpati sebagaimana wajah-wajah
waris pesakit golongan kelas menengah bawah yang lain. Perempuan tua itu bertanya
tentang kesan sekiranya komplikasi masih berlaku walaupun anaknya sudah dibedah
sebanyak enam kali. Doktor Uwang masih mengatakan bahawa urusan wang
bukanlah urusannya. Kemarahan perempuan tua itu menyebabkan Doktor Uwang
tercabar apabila dicop sebagai doktor mata duitan. Doktor Uwang tersentak apabila
ingatannya kembali kepada penceroboh yang masuk dan menyamar sebagai doktor di
Pusat Rawatan Pantai Kasih yang sepatutnya sesuai menangani kes anak peremuan
tua itu. Raiha teringat sikap Doktor Sadiz yang tidak akan memaafkannya walaupun
sampai dia meninggal dunia. Doktor Sadiz akan membiarkan hidup Raiha
tergantunggantung. Raiha turut melihat sikap Doktor Sadiz yang keluar melangkah
dari mahkamah keluarga dengan senyum sinis. Dia juga masih ingat dengan tidak
dijangka-jangka kereta Doktor Sadiz yang memecut laju dan sedang mengekori lori
minyak petrol merempuh belakang lori yang berhenti secara tiba-tiba di persimpangan
lampu trafik. Doktor Uwang telah merempuh tembok Pusat Rawatan Pantai Kasih
akibat seluruh tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik apabila tangannya berasa
kebas dan lututnya kejang. Dia dikeluarkan dari kenderaan mewah yang dipandunya
dengan bantuan pekerja-pekerja pusat rawatan tersebut dan Raihalah yang mengambil
alih menyelamatkan nyawanya dan melakukan pembedahan apabila didapati
kecederaan teruk di bahagian pergelengan tangan dan lutut kaki yang hancur dan
memerlukan penggantian sendi pada anggota tersebut. Akhirnya Felicia Landosi
memohon maaf adaripada Raiha atas penglibatan dirinya menjadi budak suruhan
membeli minyak petrol oleh Doktor Sadiz yang akhirnya berjaya menjejaki Raiha dan
menjadi saksi apabila Doktor Sadiz melepas geram dengan membakar kereta itu
sendiri. Dia sendiri terkejut apabila secara tiba-tiba anak Raiha muncul di situ dan
langsung disambar api dan dia turut menyatakan bahawa sewaktu di mahkamah dia

tidak tampil sebagai saksi kerana takut. Raiha akhirnya tersedar bahawa mereka
adalah mangsa keadaan.

5 KEKUATAN NOVEL
Pada pendapat saya, terdapat beberapa kekuatan dalam novel ini. Pertama, pemilihan
tema yang dipilih oleh penulis sangat menarik. Hal ini demikian kerana dapat
membuatkan pembaca lebih teruja untuk mengetahui kisah yang berlaku selanjutnya.
Seterusnya, penceritaan dalam novel ini juga banyak menceritakan tentang kehidupan
seorang doktor. Hal ini dapat memberikan inspirasi kepada pembaca terutamanya
pelajar yang mempunyai minat dalam mendalami bidang kedoktoran. Latar tempat
yang digunakan juga hanya difokuskan pada tempat yang mempunyai banyak kisah-
kisah yang berlaku. Ianya menjadikan pembaca tidak pening. Seterusnya, tahap
pemikiran penulis juga memenuhi kehendak pembaca. Dengan idea-idea yang
menarik yang diutarakan oleh penulis dalam novel ini membangkitkan jalan
penceritaannya. Akhir sekali, pengajaran dalam berumah tangga juga dapat diambil.
Sebagai contoh, kehidupan Raiha dan Doktor Sadiz.

5 KEKURANGAN NOVEL
Karakter sampingan di novel ini seperti Doktor Uwang begitu zalim kerana meskipun
itu adalah salahnya tetapi dia menyalahkan anak hasil ketelanjurannya meskipun dia
yang terlanjur dan anaknya tidak mempunyai kesalahan pun. Menambahkan bilangan
bab dan mengurangkan kandungan dalam satu bab kerana pembaca akan berasa bosan
dan akan susah untuk membuat sinopsis disebabkan oleh kandungan dalam suatu bab
yang begitu panjang. Pengakhiran novel ini agak kurang mantap dimana
pengakhirannya dia meminta maaf dengan begitu sahaja lalu mangsa itu hanya
memaafkan begitu sahaja meskipun hal yang dilakukan oleh karakter itu tidak dapat
dimaafkan. Perkembangan watak utama tidak begitu mantap kerana dia masih naif
dan tidak mempunyai perkembangan yang mantap seperti di novel Leftenan Adnan
Wira Bangsa di mana watak utamanya penuh dedikasi dan berani. Perkembangan
cerita dalam novel ini kurang memberangsangkan kerana cerita dalam novel ini agak
memeningkan bagi membaca akibat terlalu banyak konflik dan pergaduhan yang
berlaku di dalam novel ini.

5 PENAMBAHBAIKAN NOVEL
Pada pendapat saya, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh
diperbaiki oleh penulis iaitu penulis perlu menambahkan saspens dalam plot agar

pembaca berasa semangat untuk mengetahui tentang kejadian jalan cerita yang
seterusnya. Selain itu penulis juga perlu menambahkan konflik yang menterujakan di
dalam plot agar setiap pembaca lebih berminat tentang perkembangan jalan cerita.
Seterusnya, penulis perlulah menambahkan latar tempat dalam jalan cerita novel agar
menjadikan novel lebih menarik dengan terperinciannya. Disamping itu, perwatakan
di dalam novel ini perlulah ditambahkan agar lebih banyak perkembangan cerita yang
menarik yang dapat disampaikan oleh pembaca novel ini. Akhir sekali, penulis
perlulah memperbanyakkan teknik plot yang menarik dan menjadikan lebih tersusun
serta lebih mantap dihati pembaca.

PENGENALAN NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS

Songket Berbenang Emas mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang murid yang cerdik
dan disenangi oleh teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga
hingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan yang bakal
didudukinya.Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada
keluarganya.Apabila ibunya dirawat di hospital Permai, dia terpaksa keluar dari
asrama untuk menjaga adik-adiknya.Tekanan bertambah kerana hubungannya dengan
Azhari dipandang serong oleh jirannya.Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk
menyelamatkan Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal
menyelamatkannya.Walaubagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi
dugaan.Hadiah atas kesabarannya menghadapi pelbagai dugaan hidup ialah
kejayaannya yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pertunangannya dengan
Azhari.

BIOGRAFI PENULIS NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS

Khairuddin bin Ayip lahir pada 25 Februari, 1962 di Karnpung Jelotong, Parit Raja,
Batu Pahat, Johor. Beliau merupakan anak keenam daripada sembilan adik beradik.
Ayahnya pekerja JPT sementara ibunya seorang penoreh getah. Pada tahun 1969,
beliau mendapat pendidikan awal di SK Pintas Raya dan pada tahun 1975, beliau
meneruskan persekolahan di SM Tun Ismail sehingga lulus SPM. Pada tahun 1980,
Khairuddin melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di SM Dato' Bentara Luar.
Setelah lulus STP, pada tahun 1982 hingga 1984 beliau mengikuti kursus dalam
bidang Pendidikan Sekolah Menengah, Pendidikan Seni dan Pengajian Melayu di
Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Mulai tahun 1985, Khairuddin
bertugas sebagai guru di SRK Sri Petaling, Petaling Jaya. Setelah sepuluh tahun di
sekolah tersebut, beliau bertugas di SR Seksyen 18, Shah Alam sebagai Penyelia
Petang. Bermula Disember 1995, bertugas sebagai Guru Penolong Kanan I di SK
Seksyen 20, Shah Alam. Mulai bulan Julai 1996, beliau melanjutkan pelajaran dalam
bidang Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu, Fakulti Bahasa Moden dm
Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Setelah tamat, pada tahun 1999 beliau
bertugas di SM Teknik, Shah Alam, Selangor. Kini beliau bertugas sebagai Pegawai
School Improvement Specialist Coaches (SISC) di Pejabat Pendidikan Daerah
Petaling Perdana, Selangor.

SINOPSIS KESELURUHAN NOVEL SONGKET BERBENANG
EMAS

Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang pelajar tingkatan enam Sekolah
Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat yang pintar dan disenangi
oleh teman-temannya seperti Kavita dan Siti Wangi. Namun, Dahlia menghadapi
masalah keluarga hingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang
bakal didudukinya. Ibunya iaitu Saleha dimasukkan ke Hospital Permai, Johor Bahru
kerana kemurungan dan hilang ingatan. Ayahnya pula iaitu Embong dimasukkan ke
wad 4 Hospital Batu Pahat kerana pahanya dipatuk ular tedung. Adiknya iaitu Abu
Bakar tidak mendengar kata / bersikap degil setelah tersilap memilih rakan. Dia
tergamak menjual kambing peliharaan ayahnya demi mendapatkan wang kerana dia
tidak bekerja setelah mendapat pangkat 3 dalam SPM. Dia juga pada mulanya tidak
menghiraukan masalah yang melanda keluarganya walaupun dia anak lelaki tunggal
dalam keluarga Dahlia. Nenek Kiah pula beranggapan bahawa keluarga Dahlia
ditimpa nasib malang kerana beranggapan rumah yang didiami oleh mereka berhantu.
Nenek Kiah juga sering mencemuh mereka berbanding anak cucunya yang lain.
Dengan hasutan Seman iaitu bapa saudara Dahlia, Nenek Kiah mengambil keputusan
untuk menjual tanahnya yang diduduki / ditumpangi oleh keluarga Dahlia. Namun
begitu, Tauke Lim menawarkan pertolongannya tanpa mengharapkan balasan atau
ganjaran.

Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada
keluarganya. Sementelahan, adik-adiknya iaitu Mawar (pelajar sekolah berasrama
penuh), Kiambang (pelajar tingkat 1 / berusia 13 tahun), Melati (11 tahun) dan
Anggerik (1 1/2 tahun) masih belum mampu berdikari. Apabila ibunya dirawat di
Hospital Permai, dia terpaksa memilih untuk keluar dari asrama untuk menjaga adik-
adiknya. Apabila masalah kelurganya makin meruncing, Dahlia bertekad untuk
berhenti sekolah, dan bekerja di kilang bagi menyara adik-adiknya yang masih
bersekolah. Dahlia tetap dengan keputusannya walaupun dinasihati oleh cikgu
Hisyam. Setelah ibunya dibenarkan keluar dari wad, kampung mereka dilanda banjir
besar. Rumah mereka dihanyutkan manakala mereka sekeluarga pula dipindahkan ke
pusat pemindahan banjir (balai raya bersaiz 50m X 20m) yang terputus bekalan air

dan elektrik. Namun begitu, Dahlia tetap tabah mengulang kaji pelajarannya sehingga
mendapat pujian daripada Encik Daim (wakil perbadi Ahli Parlimen Sri Gading).

Tekanan kian bertambah kerana hubungan akrabnya dengan Azhari dipandang
serong oleh jiran-jirannya. Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk
menyelamatkan Said tidak dihargai malah dicemuh pula kerana gagal
menyelamatkannya. Walau bagaimanapun Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan
demi dugaan yang menimpanya. Setelah keadaan dan masalah keluarganya reda,
Dahlia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya semula.
Memandangkan peperiksaan STPM cuma tinggal seminggu lagi (Hari Isnin- 29
November), Dahlia menemui cikgu Salwani bagi meminta kebenaran untuk tinggal di
asrama. Majlis pertunangannya dengan Azhari pula akan diadakan pada 30 Disember
setelah tamat peperiksaan STPM.

Berkat kesabarannya menghadapi pelbagai dugan hidup, dia terpilih untuk
melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah
pertama selama 4 tahun. Oleh itu, Dahlia akan mengikuti kursus bahasa Jepun di
Universiti Malaya selama 6 bulan yang bermula 2 Januari. Dahlia dipilih berdasarkan
keputusan SPM dan peperiksaan semesternya yang cemerlang. Dia perlu
mendaftarkan dirinya pada 31 Disember, dan pada hari tersebut juga akan
berlangsung minggu suai kenal. Dengan itu, Dahlia perlu bertolak ke Kuala Lumpur
pada 30 Disember iaitu pada hari pertunangannya.

Dahlia tidak menghadiri majlis pertunangannya kerana keluarga Azhari
terlambat sampai ke rumah keluarga Dahlia ekoran pak cik Azhari yang menjadi
jurucakap majlis pertunangan lambat tiba. Haji Sulaiman iaitu ketua kampung telah
menghantar Dahlia ke stesen bas Bandar Penggaram untuk ke Kuala Lumpur. Haji
Sulaiman juga menyerahkan sumbangan penduduk kampung sebanyak RM500.00
kepada Dahlia. Daripada jumlah tersebut Tauke Lim telah menyumbang sebanyak
RM300.00. walau bagaimanapun Azhari sempat bertemu dengan Dahlia sebelum bas
bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam pertemua tersebut, beliau telah menghadiahi Dahlia
sehelai kain songket merah berbenang emas bagi mengingatkan Dahlia agar dia
sentiasa menjaga tatasusila dan budaya masyarakat Timur walau di mana-mana dia
berada.

SINOPSIS SETIAP BAB NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS

Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti
Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam
rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja
yang disuruh oleh Cikgu Hisyam. Dia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi
fakta-fakta masih tidak lengkap.Kemudian,Kavita datang menemui Dahlia dengan
membawa pesanan seorang lelaki mahu bertemunya di kantin.Dahlia pergi bertemu
dengan lelaki itu yang bernama Azhari. Lelaki itu memberitahu Dahlia ,dia telah habis
belajar dan akan mendapat segulung ijazah pada bulan Ogos nanti. Azhari juga
memaklumkan keluarganya akan datang ke rumah Dahlia untuk tujuan merisik.
Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu
keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh
Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga ke
jambatan sahaja. Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari
kereta Azhari. Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan
bahawa dia tidak suka tinggal di asrama. Dahlia membalas sindiran Aton dengan
mengatakan bahawa orang tuanya masih ada. Dahlia tidak suka akan Aton kerana
Aton mengatakan emaknya “tak betul”. Sewaktu sampai di rumahnya, Dahlia
terdengar adiknya, Anggerik menangis kelaparan. Melati memberitahu emak mereka
telah keluar rumah dan belum pulang lagi. Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan
memarahi Melati kerana membuat susu yang terlalu cair. Sebenarnya, susu telah
habis.. Dahlia telah menyiapkan makan malam manakala Melati disuruh pergi ke
kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo secara hutang. Selepas
itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar emaknya
bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya. Hati Dahlia benar-benar
tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya
menyebabkan Dahlia menangis.Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan
sebab Dahlia di situ kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah
emaknya. Embong cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan
rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia

mencadangkan abahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum
emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun.

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami
Selepas solat Isyak, Dahlia asyik befikir tentang penyakit emaknya itu. Dia tertanya-
tanya sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang
yang berhasad dengki dengan keluarganya. Akhirnya, Dahlia pasrah dan mengakui
bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Dahlia berdoa agar Allah
menguatkan imannya, memberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui hari-hari yang
mendatang. Dia juga berdoa agar emaknya pulih seperti sediakala. Setelah habis
berdoa, Dahlia terdengar suara Nek Kiah, ibu kepada emaknya. Nek Kiah memarahi
Embong kerana mengikat Saleha. Abah Dahlia memberitahu, beliau terpaksa berbuat
sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka akan keluarga
Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah membandingkan keluarga
Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang. Haji
Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari
Hospital Batu Pahat. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membawa Saleha
mendapatkan rawatan. Walaupun anak-anak dan Nek Kiah melarang Saleha untuk
dibawa ke hospital namun Embong serba salah menghadapi situasi itu.

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah
Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu Melati menyiapkan
latihan Matematik. Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik. Dahlia
mengimbas kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya
pulang pada hari Khamis yang lalu. Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati
sesiapa. Dia meminta agar Azhari mengerti keadaan keluarganya yang belum
sempurna. Dahlia juga meminta izin Azhari untuk membaiki diri sendiri dan
keluarganya.Pada petang Khamis itu, dia dihantar oleh Azhari pulang ke kampung
tetapi Dahlia meminta Azhari memberhentikannya jauh dari rumahnya untuk
mengelakkan salah faham orang kampung. Pada keesokan paginya,Dahlia dikejutkan
oleh abahnya yang menyuruhnya pergi ke sekolah. Embong memberitahu Dahlia
bahawa beliau akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun
sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut
kerana beliau terpaksa bekerja mencari nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi

punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke hospital. Embong pasrah
memikirkan masalah tersebut, beliau menyerahkan segala-galanya kepada
Tuhan.Embong mengimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu
mentuanya, Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka. Nek Kiah tidak suka
keluarga mereka disebabkan mereka hidup miskin tidak seperti anak-anaknya yang
lain. Anak-anak Saleha dan Embong tidak diumpamakan sebagai cucu oleh Nek Kiah.
Embong juga teringat semula peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak
kebelakangan ini beliau terasa ada bayang-bayang mengejarnya. Telinganya juga
sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah.Embong
dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya. Embong memberitahu
Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya rungsing, Embong tidak menceritakan
perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital itu kerana
bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Embong
juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman
pada keesokannya. Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga
hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred tiga
dalam SPM.

Bab 5: Kata Setajam Pedang
Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah untuk ke sekolah. Dia yang sepatutnya
pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik
asyik menangis. Dahlia tidak rela dituduh mementingkan diri sendiri oleh sebab itu
dia pergi ke sekolah pada hari Ahad itu dari rumahnya. Dahlia sampai lewat ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim iaitu lima minit pukul lapan
pagi. Pintu pagar telah berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya
sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya
dan meminta Dahlia berjumpa dengannya pada petang itu.Dahlia tidak dapat
menumpukan perhatiannya di dalam kelas. Dia asyik teringat emak, Anggerik dan
abahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada pukul 2:00
petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari Khamis.
Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat
emaknya di hospital. Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani
kerana dia risau akan ditanya macam-macam. Dahlia telah keluar dari asrama tanpa
kebenaran wardennya dan terus pergi ke hospital untuk berjumpa emaknya. Dahlia

terserempak dengan Haji Sulaiman ketika di hospital. Haji Sulaiman memaklumkan
emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru.

Bab 6: Ditelan Arus Deras
Dahlia telah dihantar oleh Haji Sulaiman ke rumahnya. Haji Sulaiman telah
memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah
seolah-olah menyalahkan nasibnya yang sebegitu. Pada petang itu Nek Kiah telah
datang ke rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah
orang gila. Dahlia amat terpukul dengan perkataan “orang gila” yang dilafazkan oleh
Nek Kiah, nenek yang melahirkan emaknya. Nek Kiah memberitahu beliau geram
apabila semua orang bercakap mengenai emak Dahlia di balai raya. Beliau
memberitahu punca emak Dahlia gila kerana rumah itu dilanggar hantu dan penuh
syaitan dan selepas ini mungkin ahli keluarga yang lain pula akan terkena. Nek Kiah
telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan pintu tengah dengan tanda
campur supaya hantu tidak masuk ke rumah. Dahlia mengucap dua kalimah syahadah
beberapa kali kerana tidak percaya dengan tindakan neneknya itu. Segala yang
berlaku adalah ketentuan Tuhan.Tiba-tiba Dahlia dikejutkan dengan jeritan di tebing
sungai yang mengatakan Said telah hilang dibawa arus sungai. Dahlia terus terjun ke
dalam sungai untuk mencari Said. Akhirnya, Dahlia telah menemui Said setelah
dibantu oleh seorang pemuda yang bukan daripada penduduk kampung itu.
Malangnya, denyutan jantung Said sudah terhenti. Nek Kiah telah menyuruh pemuda
itu membawa Said keliling rumah tujuh kali kerana dikatakan nyawanya boleh
kembali tetapi malangnya Said telah tiada.

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista
Dahlia menangis setelah pulang daripada menziarahi mayat Said. Embong kehairanan
kerana selama ini Dahlia telah dididik berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap
dugaan. Selepas itu, Embong ke rumah Aton untuk menziarahi mayat Said. Said
merupakan anak tunggal Aton. Aton mencari Embong dan memarahinya dengan
mengatakan anaknya, Dahlialah yang menyebabkan Said mati dan Embonglah yang
mahu Said mati. Embong terdiam mendengar kata-kata Aton. Embong turun ke
bawah dan masuk ke dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok
getah. Embong membiarkan Aton berkata-kata tentang dirinya dan Dahlia, beliau
yakin kebenaran akan terbukti kelak. Embong terdengar suara-suara yang

mempersoalkan kematian Said dan percakapan mereka yang semakin menyakitkan
hatinya. Namun, Embong tetap bersabar dan beliau tidak mahu mencari musuh.Dalam
perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke Lim
memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu
punca Dahlia menangis setelah pulang dari rumah Aton. Memandangkan masa baru
pukul 10.25 pagi, Embong pergi memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir.
Embong mengimbas kembali peristiwa pada petang semalam ketika Dahlia sedang
memasak di dapur dalam keadaan yang lemah selepas menyelamatkan Said.
Tersentuh hati Embong kerana sepatutnya masa remaja Dahlia dihabiskan dengan
buku-buku pelajaran dan bukan kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja
kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong
terbau sesuatu. Beliau ternampak ular sawa sebesar paha melingkari pokok kelapa
sawit. Sewaktu Embong pergi mencari buluh, ular sawa itu telah hilang. Tanpa diduga,
ular itu menjatuhkan tubuh ke arah Embong hingga menyebabkan Embong panik.

Bab 8: Bayang-bayang Kecelakaan
Dahlia bermimpi buruk tentang ular sawa itu yang cuba membelitnya. Dahlia tersedar
apabila terdengar tangisan Anggerik. Anggerik demam panas. Dahlia bercadang untuk
membawa Anggerik ke klinik pada petang itu. Dahlia ternampak dua orang lelaki
bersongkok ke rumah Aton. Dia teringat semula kata-kata orang yang menuduhnya
lambat menyelamatkan Said. Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil
mendukung adiknya. Melati meluahkan kata-kata untuk berhenti sekolah dan mahu
Dahlia yang meneruskan persekolahannya. Melati bertindak sedemikian kerana malu
apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila. Dahlia menasihati Melati
supaya tidak mendengar kata-kata orang kerana orang itu tidak akan menyenangkan
kehidupan mereka.Embong pulang membawa ular sawa di atas pungkis. Dahlia
ketakutan. Embong kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan
menyuruhnya membuang ular itu. Embong membawa ular itu pulang sebagai bukti
beliau telah berjuang dengan maut untuk menyelamatkan dirinya. Embong cuba
mendapatkan Dahlia untuk mengetahui punca dia ketakutan. Dahlia memberitahu
akan mimpinya itu. Embong keluar dari rumah dan pergi memerhatikan aliran sungai
yang deras berhampiran rumahnya itu, dia memikirkan kesanggupan Dahlia berjuang
menyelamatkan nyawa orang lain sehingga sanggup mengetepikan nyawa sendiri.

Tiba-tiba, Embong dikejutkan dengan kehadiran seorang pemuda Melayu bersama-
sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia.

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa
Najib telah datang bersama dengan Kavita untuk berjumpa dengan Dahlia. Najib
melihat kedaifan hidup keluarga Dahlia. Kini barulah dia memahami punca Dahlia
menolak hasratnya untuk datang pada Hari Raya Aidilfitri. Najib mempelawa Dahlia
untuk membawa adiknya ke klinik. Pada ketika itu, bapa saudara Dahlia, Pak Cik
Seman pergi ke rumah Nek Kiah. Seman memberitahu Nek Kiah dia malu apabila
orang bercakap tentang adiknya Saleha yang telah dibawa ke hospital di Johor Bahru.
Seman menuduh Embong mempelajari ilmu sehingga Leha sanggup berkahwin
dengannya yang tidak diketahui asal-usulnya. Seman mencadangkan agar tanah yang
diduduki oleh keluarga Dahlia dijual. Seman berjanji dengan emaknya untuk mencari
pembeli. Nek Kiah bersetuju dengan cadangan Seman apabila mendengar nilai tanah
itu yang dapat dijual dengan harga RM15,000.

Bab 10: Selamat Tinggal,Asrama Puteri !
Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari
asrama. Beliau memaksa Dahlia untuk memberitahu puncanya tetapi Dahlia hanya
memberitahu bahawa dia ada masalah keluarga. Dahlia tidak mahu menceritakan
perkara sebenar. Cikgu Salwani meminta Dahlia agar jangan keluar dari asrama
kerana STPM tinggal hanya empat bulan sahaja. Dahlia menenangkan dirinya di
perpustakaan. Tiba-tiba dia disergah oleh Kavita yang memberitahu bahawa Cikgu
Hisyam, guru kelasnya ingin berjumpa dengan Dahlia di Bilik Kerjaya. Cikgu Hisyam
telah mengetahui masalah Dahlia daripada Kavita yang pernah berkunjung ke rumah
Dahlia. Cikgu Hisyam mengatakan bahawa Dahlia berpotensi untuk lulus dengan
cemerlang dalam STPM.

Bab 11: Pedihnya Melayan Kerenah Anak
Embong marah akan Abu Bakar, anak lelaki tunggal yang tidak boleh diharap dan
suka berseronok sahaja. Abu Bakar kerap tidak pulang ke rumah. Kemarahan Embong
semakin membara apabila Bakar tidak mempedulikan kata-katanya dan terus
menunggang motosikal. Embong teringat kembali ular sawa yang telah diberikan
kepada Tauke Lim. Tiba-tiba Embong berasa kesal dan takut. Lamunan Embong

terhenti apabila Mawar, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor
di Kluang, pulang bercuti. Mawar memberitahu bahawa dia balik kerana rindu akan
emaknya. Mawar bertanya tentang emaknya tetapi Embong mengatakan nanti Mawar
akan tahu sendiri. Pada hari itu, Dahlia pergi menziarahi emaknya di Hospital Permai.
Embong tidak pergi kerana masalah kewangan. Beliau tidak sanggup lagi untuk
meminjam daripada Haji Sulaiman dan Tauke Lim lagi walaupun mereka berdua
sangat baik dan suka membantunya.

Bab 12: Air Mata Menitis di Hospital Permai
Dahlia menaiki teksi ke Hospital Permai. Dahlia tiba di situ pada pukul 3:15 petang.
Dia membayangkan kedatangannya disambut oleh emaknya dengan baik. Lamunan
Dahlia dikejutkan oleh seorang wanita berusia 30-an yang bertanya tentang tujuan
kedatangannya. Wanita itu mencadangkan agar Dahlia berjumpa dengan doktor yang
merawat emaknya. Doktor Ridhuan memberitahu Dahlia penyakit ibunya sudah
sampai ke tahap berbahaya dan ingin mengetahui hal-hal yang menyebabkan
emaknya menjadi sebegitu. Beliau juga menjelaskan kemungkinan penyakit emak
Dahlia berpunca daripada tekanan. Doktor Ridhuan memanggil Azhari untuk
membawa Dahlia melawat emaknya di bilik 16. Dahlia terkejut kerana Azhari
bekerja di situ. Azhari memberitahu bahawa dia bekerja sementara di situ baru dua
minggu. Azhari ingin mengetahui punca Dahlia berada di situ. Dahlia dan Azhari
pergi melawat emaknya, tetapi Saleha tidak mengenali anaknya itu dan dikatakan
Dahlia sebagai pengutip hutang. Keadaan tersebut sangat menyedihkan Dahlia.
Emaknya juga menyuruh Dahlia pergi dari situ.

Bab 13: Pahitnya Menelan Kenyataan
Embong terkejut apabila melihat Dahlia pulang dengan kereta yang dipandu oleh
seorang lelaki. Embong berprasangka yang bukan-bukan terhadap Dahlia. Pada
malam itu, Dahlia memberitahu keluarganya supaya tidak risau akan keadaan Saleha
yang sedang dirawat. Apabila Dahlia melihat abahnya keseorangan di pintu barulah
Dahlia menceritakan perkara sebenar. Dahlia tidak mahu adik-adiknya risau akan
keadaan emak mereka. Tambahan pula, Mawar akan menghadapi peperiksaan SRP
tidak lama lagi. Dahlia juga memberitahu abahnya bahawa dia telah keluar dari
asrama. Tiba-tiba, Embong terdengar sesuatu di kandang kambingnya. Embong
terkejut apabila melihat dua ekor kambing peliharaannya telah hilang.

Bab 14: Hilang dari Kandang
Tauke Lim datang kerana mahu membeli kambing Embong. Dia berasa hampa
apabila mendapat tahu kambing tersebut telah hilang. Embong meluahkan rasa kesal
kerana kambing itu menjadi harapannya. Embong yakin kambing peliharaannya telah
dicuri orang. Embong meminta Tauke Lim memberitahu kepadanya jika ada orang
yang ingin menjual kambing kepada Tauke Lim kerana dia ingin memastikan sama
ada kambing itu miliknya atau milik orang lain.Dahlia teringat akan Azhari yang tetap
ingin melamarnya walaupun telah mengetahui keadaan emaknya. Azhari masih ingin
mengikat tali pertunangannya dengan Dahlia kerana ibu bapanya mendesaknya
berbuat sedemikian. Kemudian, Dahlia dikejutkan dengan kedatangan tetamu. Rupa-
rupanya yang datang itu ialah rombongan keluarga Azhari yang ingin merisiknya.

Bab 15: Ingin Mempersunting Bunga di Taman
Keluarga Azhari telah datang merisik Dahlia. Embong berasa berat untuk menerima
lamaran tersebut kerana Dahlia merupakan anak sulung yang menjadi harapan
keluarga. Embong sangat berharap Dahlia dapat belajar hingga ke universiti dan dapat
membantu keluarga. Walau bagaimanapun,ibu Azhari yang mengetuai rombongan itu
kerana suaminya ke Kuala Lumpur. Beliau mengatakan bahawa perkara itu tidak
menjadi halangan kepada ikatan Azhari dan Dahlia. Mereka sanggup menunggu
Dahlia hingga tamat pengajiannya. Akhirnya, Embong menyerahkan keputusan itu
kepada Dahlia, cincin merisik diletakkan dia atas meja. Selepas itu, Embong bersiap-
siap untuk menunaikan solat di masjid. Semasa mandi, Embong telah dipatuk oleh
seekor ular di pahanya.

Bab 16: Bisa Ular Tedung
Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan. Semasa ketiadaan
abahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara. Melihatkan keadaan itu,
Mawar menyuarakan hasratnya untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-
adiknya. Dahlia melarang hasrat Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak
mereka untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP.Sewaktu Dahlia
melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan Cikgu Hisyam dan
Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa menjalani latihan
bola jaring. Kemudian,Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia. Cikgu

Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan nota-nota sepanjang Dahlia tidak
hadir ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.Pada petang itu, Nek
Kiah dan Seman datang melawat Embong. Nek Kiah memberitahu Dahlia
sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang
keluarga Dahlia mendapat bencana. Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual
dan menyuruh keluarga Dahlia duduk di kebun di hujung kampung. Dahlia tidak
bersetuju dengan cadangan neneknya.

Bab 17: Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera
Dahlia tertekan kerana banyak perkara yang difikirkannya. Antaranya ialah
pelajarannya yang banyak ketinggalan disebabkan dia kerap ponteng sekolah,
emaknya yang masih dirawat di hospital, abahnya dipatuk ular sedang dirawat di
Hospital Batu Pahat, adiknya, Abu Bakar tidak boleh diharap untuk membantunya
dan juga hasrat Azhari yang ingin melamarnya. Semasa Abu Bakar balik ke rumah
untuk menukar pakaian, Dahlia memeriksa dompet milik adiknya, dia terkejut
apabila terdapat RM120 di dalam dompet tersebut sedangkan adiknya tidak
bekerja.Azhari datang ke rumah Dahlia untuk mengambil pakaian emak Dahlia.
Azhari terkejut apabila dimaklumkan bahawa abah Dahlia dimasukkan ke Hospital
Batu Pahat kerana dipatuk ular. Selepas Azhari pergi, Nek Kiah datang untuk
bertanya tentang rancangannya untuk menjual tanah tempat tinggal keluarga Dahlia.
Jika keluarga Dahlia mahu terus tinggal di situ mereka perlu membayar sebanyak
RM15000 kepadanya. Dahlia tidak dapat membuat sebarang keputusan.

Bab 18: Budi Tanpa Mengira Warna Kulit
Pada pagi itu, Dahlia membawa Anggerik untuk melawat abahnya di hospital. Dia
menunggu bas di pondok bas. Tauke Lim telah datang bertanyakan tanah yang akan
dijual. Menurut Seman, Dahlia telah bersetuju untuk menjual tanah tersebut, tetapi
Dahlia menafikannya. Tauke Lim berasa hairan akan sikap Nek Kiah yang tamak
akan wang sedangkan Nek Kiah tidak mengalami masalah kewangan. Tauke Lim
berjanji akan berbincang tentang perkara itu dengan abah Dahlia. Tauke Lim juga
meminta agar Dahlia mengajarkan anaknya, Ann dalam penulisan karangan Bahasa
Melayu kerana anaknya lemah dalam penulisan sedangkan peperiksaan SRP akan
menjelang tidak lama lagi. Dahlia bersetuju untuk menerima tawaran Tauke Lim itu.

Dahlia terkejut apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta Honda Civic milik Cikgu
Hisyam berhenti di depan pondok bas tersebut.

Bab 19 : Apabila Dua Jejaka Bertemu
Cikgu Hisyam dan Kavita menasihati Dahlia supaya tidak berhenti sekolah sebaliknya
terus bertahan lebih kurang empat lima bulan sahaja lagi sebelum menghadapi
peperiksaan. Namun begitu, Dahlia terasa amat sukar untuk ke sekolah semula kerana
memikirkan adik-adiknya yang memerlukan penjagaannya.Najib datang ke rumah
Dahlia. Najib melihat ada beberapa orang sedang mengukur tanah di kawasan itu.
Dahlia memaklumkan tanah itu akan dijual. Najib bersedia untuk membayar harga
tanah tersebut tetapi Dahlia menolak tawaran Najib. Kemudian, Azhari pula datang ke
rumah Dahlia. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Azhari mengenai hubungan
Najib dan Dahlia. Kedatangan Najib dan Azhari ke rumah Dahlia telah menyebabkan
Nek Kiah memandang serong akan cucunya. Nek Kiah telah memberitahu Dahlia,
tanah tersebut telah ada pembelinya. Oleh itu, Dahlia perlulah bersiap sedia untuk
berpindah.

Bab 20 : Ingin Kujunjung Langit
Nek Kiah datang lagi untuk mengingatkan Dahlia tentang tanah tersebut yang akan
dijual. Nek Kiah terkejut apabila melihat Embong ada di rumah. Apabila Nek Kiah
bertanya kepada Dahlia sama ada dia telah memberitahu abahnya tentang hal tanah,
Embong menggunakan kesempatan itu untuk mengenakan Nek Kiah dengan
menggunakan parang yang sedang dipegangnya dengan mengatakan parang itu tajam
dan senang hendak potong leher. Selepas itu,Nek Kiah pulang ke rumah. Dahlia
memberitahu abahnya dia ingin bekerja bagi membantu meringankan beban abahnya.
Akan tetapi, Embong tidak bersetuju kerana beliau mahu Dahlia belajar hingga ke
universiti.Tauke Lim datang ke rumah Embong dan menyatakan kesanggupannya
untuk membayar harga tanah yang mahu dijual oleh Nek Kiah supaya Embong dan
keluarganya dapat terus tinggal di situ. Menurut Tauke Lim, beliau ikhlas membantu
demi kebaikan bersama-sama.

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan
Pada pagi itu, Dahlia pergi ke balai raya. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang ke
balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan

diadakan malam nanti. Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim
turut menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut.Haji Sulaiman selaku
ketua kampung amat risau akan hal ini kerana kurang sambutan. Aton dan Abu Bakar
turut berada di balai raya itu. Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia
tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut. Aton banyak bercakap
daripada melakukan kerja. Dia memberitahu Mak Aji, isteri Haji Sulaiman bahawa
Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya. Kata-kata Aton telah
menyebabkan Dahlia bersedih. Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu
telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji
Sulaiman. Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu. Abu Bakar telah
memujuk Dahlia. Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu
Bakar juga telah memeluk abahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri
kambing milik abahnya.

Bab 22: Kain Merah yang Reput
Abu Bakar telah insaf akan perbuatannya yang terpengaruh oleh kawan-kawannya
yang datang daripada keluarga yang senang. Dia banyak membantu dalam melakukan
kerja-kerja rumah. Abu Bakar bertekad untuk memberi sumbangan kepada
keluarganya.Sewaktu mengemas barang-barang di bawah rumahnya, Abu Bakar
terjumpa kain merah yang hampir reput membalut dua biji telur ayam yang
mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir, dan dua batang paku. Barang-
barang ini menunjukkan selama ini ada orang yang berhasad dengki terhadap keluarga
mereka. Abu Bakar ingin menunjukkan barang-barang itu kepada Embong tetapi
dilarang oleh Dahlia. Dahlia menyuruh Abu Bakar membuangnya ke sungai. Dahlia
melarang adiknya menyimpan perasaan dendam.Dahlia mendapati Nek Kiah sudah
beberapa hari tidak kelihatan di rumahnya atau di mana-mana di kampung itu.
Keadaan ini merisaukan Dahlia. Dahlia telah pergi ke rumah Nek Kiah dan didapati
neneknya sedang sakit. Namun begitu, Nek Kiah telah menghalaunya.

Bab 23: Sinar Kebahagiaan
Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran dahlia disambut dengan gembira oleh
kawan-kawannya.Kavita memberitahu Dahlia bahawa Najib begitu berharap agar
Dahlia dapat menerima cintanya. Akan tetapi, Dahlia hanya menganggap Najib
sebagai sahabat sahaja, tidak lebih daripada itu.Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat

gembira apabila mendapati emaknya telah pulang dari hospital. Saleha telah pulih
daripada penyakitnya.Azhari juga ada bersama-sama ketika itu. Dahlia mengajak
Azhari pergi ke rumah neneknya. Nek Kiah terbaring dalam keadaan mata yang
terpejam. Panggilan Dahlia juga tidak disahutnya.

Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan
Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas dimasukkan ke wad selama dua hari. Nek
Kiah berasa bersalah terhadap keluarga Embong. Mereka melayan Nek Kiah dengan
baik. Anak-anak dan cucunya yang lain, termasuk Seman langsung tidak
menziarahinya ketika beliau sakit. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Air sungai
sudah mula melimpah. Abu Bakar memaklumkan jambatan telah patah dan orang
kampung telah mula mengemas barang-barang untuk berpindah ke balai raya.
Embong dan ahli keluarganya turut berkemas untuk berpindah ke balai raya.Dahlia
dan keluarganya berpindah dengan menaiki bot ke balai raya. Terdengar rungutan
penduduk tentang keadaan yang berlaku itu. Bagi Haji Sulaiman, banjir yang berlaku
itu ada hikmah yang tersendiri.

Bab 25: Inilah Kampungku !
Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh . Nek Kiah telah mengajak Embong
sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah. Nek
Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu.Sebelum semua
mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan
ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar penduduk
kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran
tetangga. Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama
menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat. Kesan
daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk kampung itu mulai insaf dan mereka
telah bergotong-royong membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan
parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya. Begitu
juga dengan Tauke Lim. Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan.
Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin.

Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan
Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM menjelang.
Dalam kesibukan itu, Azhari telah datang dengan ibunya bagi membincangkan tarikh
pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat
peperiksaannya Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan
keluarganya.Selepas tamat peperiksaan, Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah
dengan kawan-kawannya. Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang
pertunangannya. Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang untuk mencari
pengalaman.

Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman
Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah
terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di Jepun selama empat
tahun. Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor
berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia
akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.Azhari terdengar
berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan mereka.Dia
mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun. Dahlia akan mendaftar
di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari.

Bab 28 : Koi-bito
Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat.
Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas
pertunangannya. Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.Dahlia
teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari. Kawan-
kawan Dahlia dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya. Bas ke
Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari
belum juga sampai. Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk
bertolak ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung
kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak
RM300. Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-
kira 17 kilometer dari kampungnya. Azhari datang berjumpa dengan Dahlia dan
memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak
ciknya lambat sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai

songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga menyebut “Koi-
bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri
sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.

5 KEKUATAN NOVEL
Pada pendapat saya terdapat beberapa kekuatan yang terkandung dalam novel ini.
Antaranya, novel ini memberikan iktibar kepada pembaca tentang kehidupan seorang
manusia yang tabah menghadapi segala rintangan yang berlaku dalam hidupnya.
Seterusnya, dalam novel ini juga menceritakan betapa sayangnya seorang kakak
terhadap keluarganya yang susah. Sebagai contoh, perwatakan Dahlia yang menjaga
adik-adiknya walaupun dia masih bersekolah kerana dia tahu keadaan emaknya.
Selain itu, perwatakan yang dipilih oleh penulis sangat membangkitkan lagi jalan
penceritaan kisah-kisah dalam novel ini. Hal ini demikian kerana perwatakan dalam
sesuatu penceritaan itu sangat memainkan peranan penting. Bukan itu sahaja, malah
pengutaraan tema oleh pengarang sangat menusuk ke dalam jiwa pembaca. Akhir
sekali penulis juga menceritakan tentang keinsafan seseorang dalam menginsafi
kesilapan yang telah dilakukannya juga sangat menginspirasikan pembaca-pembaca
dan boleh dijadikan teladan.

5 KEKURANGAN NOVEL
Kelemahan pertama di dalam novel ini ialah watak utama di novel ini tidak dapat
berfikir dengan jelas kerana dia memilih Azhari yang melamarnya lebih awal
berbanding dengan Najib yang mana merupakan sahabat baiknya lalu dia menolak
lamaran Najib dengan begitu sahaja tanpa alasan yang kukuh. Watak antagonis di
novel ini jika kita bandingkan dengan novel Bimasakti kurang melawan matlamat
watak utama kerana matlamat antagonis di novel ini hanya untuk menyusahkan hidup
cucunya lalu dia berubah pada pengakhiran novel. Perkembangan watak sampingan di
novel ini juga kurang memberangsangkan kerana jika kita bandingkan dengan novel
Bimasakti, sebahagian watak di dalam novel ini tidak memberikan impak langsung
kepada penceritaan novel. Semangat kemasyarakatan dalam novel ini kurang kita lihat
kerana semasa kejadian banjir itu masyarakat kurang membantu watak utama
membina semula rumah mereka yang telah hanyut dibawa oleh air banjir Pengakhiran
novel ini tergantung kerana ia tidak menceritakan dengan lebih lanjut apa yang terjadi
kepada Azhari dan Dahlia sel\berbanding dengan novel Bimasakti Menari dimana kita
dapat lihat yang Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik hidup dengan bahagia selepas
itu

5 PENAMBAHBAIKAN
Pada pendapat saya, terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dimurnikan lagi
untuk menaikkan kisah-kisah dalam novel ini. Cadangan saya yang pertama, penulis
seharusnya menceritakan tentang bagaimana Said boleh tiba-tiba terjatuh dan
menyebabkan dia meninggal dunia. Seterusnya, untuk membangkitkan lagi kisah
dalam novel ini, penulis boleh menceritakan dengan lebih lanjut bagaiman keadaan
mak Dahlia, Saleha setelah di masukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan
selanjutnya tentang penyakit yang dihadapinya itu. Di samping itu, penulis juga
memendekkan jalan penceritaan dalam novel ini sesuai dengan tahap pembacaan oleh
remaja dan pelajar-pelajar. Hal ini akan membuatkan para pelajar lebih bersemangat
untuk membacanya. Dalam pada itu, penggunaan alur dan latar yang kurang jelas juga
perlu ditukar untuk lebih mudah difahami dan diketahui oleh para pembaca. Akhir
sekali, penulis perlu mengurangkan penggunaan watak dalam novel ini supaya jalan
penceritaannya tidak meleret dan pembaca dapat mendalami watak-watak dalam
novel ini.

PENGENALAN NOVEL TIRANI

Novel Tirani hasil karya Beb Sabariah bukan sekadar novel yang sarat dengan
penceritaannya tetapi turut menyelitkan warna budaya dan resam masyarakat
setempat khususnya etnik sarawak.Keunikan etnik Sarawak diketengahkan oleh
pengarang menerusi usaha gigih watak utamanya, Waheeda untuk mempromosikan
industri pelancongan di Sarawak.

BIOGRAFI PENULIS NOVEL TIRANI

Beb Sabariah atau nama penuhnya puan Hajah Bibi Sabariah binti Haji Abang
Awet.Beliau lahir di Kampung Hulu, Pusa, Saribas, Bahagian Betong, Sarawak pada
7 November 1949. Beliau bersekolah dasar di Sekolah Melayu Pusa dan Sekolah
Rendah Enche BuyongKuching. Beliau ke sekolah menengah di Madrasah Melayu
Kuching sebelum ke SekolahMenengah Kerajaan Green Road Kuching. Beliau
meneruskan pendidikan ikhtisas di MaktabPerguruan Rajang Bintangor, Sarikei,
Sarawak dan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim,Johor Bahru, Johor.Beliau
mula aktif dalam penulisan karya kreatif pada tahun 1999 dalam genre cerpen, puisi
dan rencana.

SINOPSIS KESELURUHAN NOVEL TIRANI

Novel ini mengisahkan tentang kisah seorang gadis yang mahu menjadi cantik dan
berhidung mancung kerana hidungnya pesek. Gadis yang bernama Waheeda juga
ingin mengecapi kemajuan atas anma dirinya dalam bidang pelancongan sehingga
suaminya, Zahid mengatakan bahawa Waheeda telah mengabaikan batas-batas
pergaulan sebagai isteri. Waheeda telah membuat kebetulan hidungnya yang
kebetulan digigit monyet dengan melakukan pembedahan rekonstruksi wajah untuk
menjadi lebih cantik. Dengan kecantikan yang dibentuk, maka datanglah kejayaan
dalam kerjayanya. Bidang pelancongan yang diterokainya telah mempertemukan
suaminya dengan anak rakan niaganya di Sarawak Datuk Yasser. Kecantikan dan
kejayaan yang dicapai oleh Waheeda tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga
malah merosakkan kehidupannya. Kecantikannya menyebabkan tugasnya bertambah
berat dan harapan prang terhadapnya melambung tinggi sehingga Waheeda tidak larat
memikulnya. Cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga jatuh
sakit jiwa setelah diceraikan oleh suaminya. Penceraian berpunca daripada wajah
anaknya yang tidak ada mewarisi kecantikannya dan ditambah rasa cemburu oleh
Zahid. Akhirnya, Waheeda bertekad untuk berjaya dan berdikari dalam bidang
pelancongan dengan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. kemajuan
chalet yang diusahakan oleh Waheeda dan anaknya Izzati telah menarik kehadiran
ramai pelancong termasuklah Zahid. Akhirnya mereka dipertemukan di chalet
tersebut. Namun, disudut hati Waheeda dan Zahid terserlah satu falsafah hidup
bahawa kecantikan seseorang hanyalah satu Tirani.

SINOPSIS SETIAP BAB NOVEL TIRANI

BAB 1: MELONTAR PUING DUKA
Semasa di homestay miliknya, Waheeda sedang melayari laman sesawang tentang
kecantikan diri seorang wanita yang merupakan sinonim dengan sifatnya yang terlalu
obsess dengan kecantikan. Lalu Waheeda teringat akan hidungnya yang kemet yang
menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi.
Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Atas nasihat ibunya, Raidah dan
kawannya Nasuha serta Ustazah Ruqaiyah perasaan benci dan bergelora terhadap
kawan-kawannya dapat diredakan.

BAB 2: DAYANG MUDA
Semasa di pejabatnya, Waheeda dan Fatimah sibuk berbincang tentang 2 lawatan
institusi pelancongan dan lawatan Putera Andrew ke Rumah Panjang Annah Jais
seterusnya ke Dusun Tajau Emas. Mereka juga menyenaraikan barang-barang yang
penting untuk dipamerkan bagi menggambarkan indentiti budaya masyarakat Sarawak
kepada rombongan yang hadir.Kehadiran para pelancong ini menyebabkan Waheeda
berasa amat gembira. Namun disebalik kehadiran pelancong itu, Waheeda berasa
amat kecewa atas penampilan dirinya yang tidak cantik dan Waheeda memasang niat
untuk membuat pembedahan plastik. Hasrat ini telah dinyatakan kepada ibunya,
Raidah. Tetapi bapa Waheeda tidak menggalakkankan kerana bercanggah dengan
hukum agama. Emak Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan apa
yang dihajatinya.Tidak beberapa lama kemudian, keadaan chalet pada malam itu
menjadi kelam kabut. Seekor monyet Belanda telah menempa masuk ke dalam chalet.
Nasib malang telah menimpa Waheeda kerana monyet itu telah menggigit muka
Waheeda. Dia luka parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang
dikendalikan oleh Dr. Zakaria. Melalui perbincangan antara Waheeda dengan Dr
Zakaria, Waheeda telah bersetuju untuk melakukan pembedahan plastik dengan
menggunakan kepakaran di Singapura.

BAB 3: KATARSIS
Perjalanannya menuju ke lapangan terbang Kuching pada pagi itu ditemani oleh Ibu
Waheeda(Raidah), Kamri dan Ghazi selaku pemandu kereta pacuan empat roda


Click to View FlipBook Version