Penghargaan
Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin Allah S.W.T. saya Hidayatul izzah binti muhamad
saupi telah diberi kesempatan untuk melengkapkan dan menyiapkan Kerja Kursus Penghantar
bahasa Melayu komunikasi GPMK 1012.
Di sini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pensyarah iaitu Puan
Hajah Patimah Hj. Dullah kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan sehingga
tugasan ini berjaya dilaksanakan. Kesabaran beliau memberikan tunjuk ajar amat saya hargai.
Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada kedua ibu bapa kerana sentiasa
memberikan kata-kata semangat agar saya tabah melaksanakan setiap tugasan. Keikhlasan
mereka memberikan bantuan sama ada dari segi masa, tenaga dan kewangan amat saya
sanjungi.
Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan saya kerana
telah bekerjasama dan membantu menyiapkan tugasan ini. Sesungguhnya, pengalaman dan
pengetahuan yang saya perolehi amat bermakna. Sekian, terima kasih.
1
1.0 Pengenalan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kesantunan didefinisikan sebagai perihal atau sifat
santun, kesopanan dan kehalusan budi bahasa atau budi pekerti. Kesantunan berbahasa
diterjemahkan sebagai perlakuan, tutur kata yang tidak menyinggung hati kedua-dua pihak iaitu
penutur dan pendengar ketika berkomunikasi.(Ayuni Bakari, 2017). Kesantunan juga ditakrifkan
sebagai perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu masyarakat tertentu
sehingga kesantunan sekaligus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial(St
Mislikhah, 2014). Fungsi utama kesantunan bahasa ialah untuk melancarkan komunikasi.
Menurut Awang Sariyan (2007), kesantunan bahasa merujuk kepada pematuhan terhadap
peraturan yang wujud dalam bahasa sesebuah masyarakat.
Dewasa ini, komunikasi era digital telah memberikan pengaruh besar terhadap
pemartabatan bahasa kebangsaan. Perkembangan teknologi terutamanya dalam bidang
komunikasi menyebabkan kemunculan masalah-masalah baru berkaitan kesantunan dalam
berbahasa. Terdapat pelbagai jenis komunikasi era digital yang telah diciptakan oleh
pakar-pakar teknologi seiring dengan arus pemodenan seperti whatsapp, instagram, facebook,
twitter telegram dan tiktok. Menurut Noor Fazerra Paijin et. al (2022), sebanyak 69 peratus
rakyat Malaysia menggunakan Internet dengan kerap untuk membaca berita , menonton video
dan berhubung dengan rakan melalui platform media sosial. Lazimnya, individu yang bersopan
akan mematuhi tatasusila pertuturan dan mereka akan menggunakan perkataan yang sesuai
untuk berkomunikasi dengan orang lain.
2
2.0 Etika kesantunan berbahasa dalam era digital.
Umumnya, etika berkomunikasi dalam era digital tidak jauh berbeza dengan prinsip
komunikasi secara bersemuka.Penutur yang peka dalam dalam mengaplikasikan strategi
kesantunan dalam komunikasi mereka akan menggunakan bahasa yang halus dalam bertutur.
Antara etika yang perlu diterapkan dalam komunikasi era digital ialah menggunakan bahasa
yang sopan. Etika sopan ini merujuk kepada penggunaan bahasa yang beradab dan tidak kasar
sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain. Kata-kata yang diungkapkan mestilah tidak
mempunyai maksud sindiran atau ejekan, sebaliknya kata-kata yang diungkapkan
mengandungi unsur yang positif, dan tidak menyinggung perasaan orang lain yang
mendengarnya. Etika kesopanan ini boleh dikaitkan dengan definisi kesantunan bahasa yang
diterjemahkan oleh Asmah Haji Omar (2006), kesantunan berbahasa adalah penggunaan
bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan, dan rasa tersinggung
daripada pendengar.
Selain itu, etika kesantunan berbahasa dalam era digital adalah jujur . Kejujuran adalah
elemen yang penting bagi setiap individu termasuklah ketika berkomunikasi melalui era digital.
Setiap individu mestilah bertanggungjawab dalam memastikan setiap maklumat atau informasi
yang disebarkan tidak mengandungi unsur penipuan atau pemalsuan. Kejujuran dalam
komunikasi menggambarkan peribadi yang mulia dan mencerminkan integriti dalam seseorang
individu. Pengguna aplikasi digital juga dilarang menyebarkan berita palsu kerana bimbang
menimbulkan perselisihan faham dalam kalangan masyarakat.
3
3.0 Halangan Kesantunan Berbahasa Dalam Era Digital
Reputasi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia berhadapan dengan
cabaran yang rencam ekoran peredaran zaman. Penerapan kesantunan berbahasa dalam era
digital dalam kalangan masyarakat bukanlah perkara yang mudah. Terdapat pelbagai halangan
dalam menerapkan kesantunan berbahasa dalam era digital seperti kemunculan bahasa slanga
yang sering digunakan oleh golongan remaja terutamanya. Pernyataan tersebut dapat
dibuktikan melalui Zuraidah Mohd Sulaiman, remaja merupakan golongan yang paling kerap
menggunakan bahasa slanga ketika berkomunikasi (dipetik daripada Noor Fazerra Paijin et. al,
2022) . Menurut Zaid Daud( 2018), slanga merujuk kepada perkataan yang membentuk suatu
makna baru yang berlainan daripada maksud asal dimana individu tersebut bertutur secara
bebas tanpa memperdulikan aspek kegramatisan ayat (juga dipetik daripada Noor Fazerra
Paijin et. al).. Penggunaan bahasa slanga ini mampu mewujudkan pelbagai variasi perkataan
baru dalam pertuturan. Perkataan-perkataan slanga yang digunakan dalam komunikasi ini tidak
menepati etika kesopanan dalam pertuturan era digital.
Halangan lain yang perlu ditempuhi dalam menerapkan elemen kesantunan berbahasa
dalam era digital ialah dengan penerapan bahasa rancu di media sosial. Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat, rancu disifatkan sebagai tidak atur, campur aduk atau kekacauan.
Bahasa rancu ini juga merupakan elemen yang bertentangan dengan etika kesantunan dalam
komunikasi era digital. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa rancu ialah bahasa yang
melanggar peraturan sama ada dari segi ejaan, sebutan, peristilahan, perbendaharaan kata,
tatabahasa, laras bahasa, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa. Kerancuan bahasa yang
digunakan ini juga mampu mendatangkan kesan negatif dari pelbagai aspek dan sekaligus
mencemarkan martabat bahasa Melayu.
Rajah 1 menunjukkan penggunaan bahasa rancu di Twitter
4
Bukan itu sahaja, penggunaan komunikasi era digital juga berdepan dengan beberapa
masalah seperti kos dan capaian telefon. Bukan sahaja kos untuk membeli gajet, malah setiap
aplikasi digital yang ingin digunakan memerlukan kredit atau capaian internet yang cukup untuk
memastikan komunikasi boleh dilakukan dengan berkesan. Penggunakan juga perlu
memastikan capaian telefon yang lancar agar gadjet atau telefon tersebut berfungsi dengan
baik.
4.0 Kesan kesalahan berbahasa dalam komunikasi
Kesalahan berbahasa yang berleluasa dalam komunikasi era digital sudah pasti
meninggalkan kesan buruk kepada individu, masyarakat, mahupun negara. Bahasa melayu
merupakan bahasa kebangsaan yang diguna pakai dalam pertuturan seharian. Namun,
terdapat banyak kesalahan berbahasa yang berlaku terutamanya dalam komunikasi era digital
sehinggakan meninggalkan kesan dan impak yang mendalam dari segenap aspek. Kesan yang
dominan kesalah berbahasa dalam komunikasi ialah persefahaman. Umum mengetahui
bahawa masyarakat kini gemar menggunakan bahasa rojak ketika berkomunikasi. Bahasa rojak
ini merupakan percampuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Penggunaan bahasa rojak
ini boleh menyebabkan ketidakjelasan dan kekeliruan kepada maklumat yang disampaikan
sehingga boleh menimbulkan perselisihan faham dan pergaduhan.
Di samping persefahaman, kesalahan berbahasa dalam komunikasi juga akan
meninggalkan kesan kepada tingkah laku seseorang. Individu yang sering melakukan
kesalahan berbahasa ketika berkomunikasi akan menjadi tabiat buruk itu sebagai rutin
percakapan harian mereka. Namun, individu yang bertindak melampaui batas akan dikenakan
tindakan undang-undang jika disabitkan kesalahan tingkah laku yang tidak sopan dan
menggunakan bahasa yang melampau.Justeru, setiap individu mestilah peka akan setiap
perkataan yang ingin dituturkan terutamanya ketika berkomunikasi melalui era digital.
5
Kesalahan berbahasa dalam komunikasi juga mampu merenggangkan hubungan
kekeluargaan dan persahabatan. Contoh kesalahan berbahasa yang sering dilakukan oleh
segelintir masyarakat ialah penggunaan bahasa yang tidak sopan dan perkataan yang kesat.
Perkara tersebut mungkin boleh menimbulkan kemarahan dan menjatuhkan maruah kepada
individu yang dituturkan.
Akhir sekali, kesalahan berbahasa dalam komunikasi juga meninggalkan kesan kepada
agama dan budaya. Agama Islam amat menitikberatkan kesempurnaan tingkah laku termasuk
unsur kesantunan. Al-Quran juga mengemukakan prinsip berbahasa dengan melarang
penganutnya menuturkan perkataan yang buruk (Ayuni Mohamad Bakari). Perkataan yang
buruk merupakan perkataan yang tidak elok untuk diucapkan seperti mencarut, memaki,
mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati pendengar, dan sebagainya. Penggunaan
bahasa yang baik, sopan dan beradab semasa berkomunikasi akan memberikan kesan yang
positif, misalnya meminimumkan konflik dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
6
5.0 Penutup
Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah
komunikasi yang tidak beretika, pasti ada cara atau langkah yang dapat mengatasi masalah
tersebut. Salah satu cara mengatasi masalah komunikasi yang tidak beretika ialah pihak
ibubapa menerapkan pertuturan yang betul dan sopan kepada anak-anak sejak kecil. Ibu bapa
merupakan penggerak utama dalam menerapkan kesantunan bahasa kepada anak-anak.
Pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah komunikasi yang
tidak beretika dalam kalangan pelajar sekolah. Guru-guru sekolah perlu memantau bahasa
komunikasi yang digunakan oleh para pelajar dalam kelas dan membimbing pelajar untuk
menerapkan aspek kesantunan dalam komunikasi. Dengan ini, pelajar sekolah akan lebih
terdedah dengan etika kesantunan dalam komunikasi.
Pada pandangan saya, komunikasi dalam era digital kini tidak mematuhi etika
kesantunan yang sewajarnya, contohnya dapat dilihat daripada rajah satu diatas yang
membuktikan penggunaan bahasa rancu di akaun twitter. Juteru, pihak berkenaan mestilah
bertanggung jawab menangani masalah ini supaya ketidaksantunan ini tidak berterusan
sehingga generasi akan datang.
7
Rujukan
Awang Sariyan. (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar. (2006). Wacana, perbincangan, perbahasan dan perundingan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noor Fazerra Paijin, Nuratikah Ja’afar & Nur Farahkhanna Rusli. (2022). Penggunaan
bahasa slanga dalam akaun twitter. Jurnal Wacana Sarjana.
St Mislikhah. (2014). Kesantunan berbahasa. Ar-Raniry, International Journal of
Islamic Studies.
Asmah Haji Omar. (2000). Wacana, perbincangan, perbahasan dan perundingan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ayuni Mohamad Bakari. (2017). Kesantunan berbahasa dalam drama zahara.
Kamus Dewan Edisi keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
8