ULASAN BUKU
Diulas oleh : Levviyana Binti Jaual
26 Oktober 2022
Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser Yang Cekal Melawan. Selangor :
Dua Penulis PLT. 2018. 220 Muka Surat.
Kanser antara penyakit yang digeruni bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh
dunia. Pelbagai jenis kanser yang wujud pada masa kini dan ia menyerang tanpa
mengira usia. Kanser menjadi antara penyumbang punca kematian masyarakat
seluruh dunia. Lavender atau warna ungu cerah ialah warna reben kesederan kanser
secara umum. Buku ini menggabungkan kisah penyakit kanser yang pelbagai seperti
kanser payudara, pankreas, hati, paru-paru, usus, limfoma dan leukemia.
Ramai saja yang mengambil berat tentang kesihatan tubuh badan manusia dan
tidak ingin menghidap penyakit kanser. Namun jika sudah disahkan menghidap
penyakit tersebut dan diberitakan tentang penyakit kanser ini perasaan individu
tentunya bagai langit gelap dan hati bagai diremuk-remuk, mereka tidak dapat
melawan takdir dan dugaan yang sangat berat ini. Bicara tentang individu yang
menghidap penyakit kanser ini, mereka sangatlah memerlukan semangat dan
dorongan yang kental daripada ahli keluarga terdekat khususnya selain daripada
rakan-rakan mereka bagi melawan dan menghadapi penyakit kanser ini. Mendengar
istilah ini sahaja sudah menjerut hati dan perasaan.
Mendapat berita diri atau ahli keluarga yang disahkan menghidap kanser
seperti dijatuhkan hukuman mati sedangkan hakikatnya penyakit kanser boleh
dirawat jika ia dapat dikesan lebih awal. Tidak kurang yang gentar untuk menerima
rawatan kanser seperti radioterapi atau kemoterapi selepas mendengar cerita dan
kesan sampingan yang akan dialami. Stigma terhadap penyakit ini menyebabkan
seseorang individu khuatir untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjutan.
Buku ini menceritakan kisah-kisah pejuang kanser yang menghadapi penyakit
tersebut. Suka duka dikongsikan melalui penceritaan kisah yang dibukukan ini
sebagai salah satu bahan untuk memberi pendedahan tentang kanser kepada
masyarakat di luar sana. Kisah yang dikumpulkan ini dikongsikan oleh mereka yang
diberi ujian menghadapi kanser dan ahli keluarga terdekat yang melihat insan
kesayangan mereka menerima dugaan ini. Bukan satu perkara yang mudah untuk
berkongsi cabaran yang tidak putus-putus dialami sejak disahkan menghidap kanser.
Kanser bukan hanya mengubah kehidupan pesakit, ia juga mengubah persepsi
ahli keluarga pesakit. Perubahan dilakukan bagi memberi sokongan kepada pesakit.
Pengajaran yang paling besar adalah nilai sebuah kehidupan, perjuangan yang mesti
diteruskan sehingga akhir hayat.
Buku ini sangat menarik perhatian saya sebagai salah seorang pembaca,
individu yang disahkan menghidap penyakit kanser adalah individu yang hebat dan
istimewa dalam lingkungan mereka. Bukan calang-calang dugaan yang menimpa.
Berjuang hidup dengan kanser, berjuang untuk terus hidup. Kisah-kisah yang
dikongsikan dalam buku ini sangat memberi pendedahan kepada saya tentang
penyakit kanser, saya juga berasa empati kepada setiap insan yang sudah berkongsi
kisah benar yang diharungi dengan tabah dan sabar.
Pada keseluruhannya, diharapkan dengan pembacaan kisah yang dikongsi ini
membuatkan kita lebih cakna tentang kanser sekali gus menjadi masyarakat yang
lebih penyayang dan prihatin kepada penghidap kanser dan ahli keluarga mereka.
Kanser tidak mengenal siapa, justeru kita juga hendaklah lebih peka dan prihatin
dalam membuat pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa juga mengamalkan
gaya hidup sihat untuk merendahkan risiko menghidap kanser.
Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan.
Tajuk : Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser Yang Cekal Melawan
Penulis : Norsa'adah Ahmad & Dr Noor Hayati Yasmin Nga Timin
Koleksi DDC : MAN 616.994 PRO