ULASAN BUKU Di ulas oleh : Nurul Adilah Binti Abdillah 30 Januari 2024 15 Kisah Srikandi Hebat Islam.Telaga Biru SDN. BHD. Selangor. 162 Muka Surat. Pada era kini, generasi muda Islam didedahkan dengan pelbagai watak fantasi adiwira yang tidak wujud dan kebanyakan nya berasal dari budaya Barat. Karakterkarakter itu dipuja sehingga menampakkan watak itu wujud didunia yang nyata. Walhal, kita sendiri sebagai umat Islam memiliki tokoh-tokoh yang benar-benar hidup dan hebat untuk dijadikan sebagai idola. Buku ini menarik minat saya kerana ia menceritakan tokohtokoh silam wanita Islam atau juga dikenali sebagai srikandi Islam. Islam sangat memuliakan kaum wanita sama ada seorang gadis, isteri, anak dan ibu. Mereka dimartabatkan pada suatu tempat yang begitu tinggi berbeza berbanding zaman jahiliah dahulu. Didalam buku ini juga menceritakan bagaimana Al-Quran sendiri mengemukakan beberapa orang tokoh wanita yang memainkan peranan penting dalam sejarah Isalam. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada pelbagai latar belakang daripada isteri pemerintah tertinggi seperti Asiah hinggalah hinggalah suri rumah desa seperti ibu Nabi Musa. Malah, beberapa surah dalam Al-Quran dinamakan dengan nama-nama berkaitan mereka misalnya Surah al-Nisa' yang bermaksud perempuan , Surah Maryam yang menceritakan kisah ibu Nabi Isa dan Surah Saba' merujuk kepada sebuah kerajaan yang diketuai oleh seorang wanita. Allah juga mengangkat persoalan-persoalan berkaitan wanita untuk dijawab menerusi wahyu kepada rasul-Nya. Ini disebabkan kepentingan dan peranan wanita dalam kalangan umat. Ia menunjukkan betapa pentingnya keberadaan wanita dalam kalangan umat, jatuh bangun serta buruk baiknya sesuatu umat itu dapat dilihat dengan jelas melalui keadaan wanitanya. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara kemuliaan dan martabat golongan wanita yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Natijahnya, generasi muda masa kini terutama wanita perlu menghayati dan didedahkan lagi kepada lembaran tokoh-tokoh wanita Islam yang telah menempuhi bermacam-macam onak dan dugaan demi mempertahankan akidah yang benar. Mereka juga sanggup melakukan pengorbanan tidak kira melibatkan harta, tenaga dan jiwa raga demi menegakkan agama Allah yang tercinta. Semoga dengan membaca buku ini dapat menambah kan lagi kefahaman kita terhadap agama Islam.
Jom dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan. Tajuk : 15 Kisah Srikandi Hebat Islam Penulis : Ahmad Shamil Shahrin Koleksi DDC : MTN 297.18 AHM