ULASAN BUKU Di ulas oleh : Nurul Adilah Binti Abdillah 25 NOVEMBER 2023 Cara Untuk Mengatasi Stress. Bright Publications SDN. BHD. Selangor. 28 Muka Surat. Sejak kebelakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang dibincangkan dalam masyarakat konvensional. Kenaikan kos sara hidup dan ketidak tentuan ekonomi negara telah menyebabkan isu yang sebelum ini tidak diberi perhatian umum kini menjadi masalah utama dalam kalangan komuniti terutamanya golongan remaja dan belia. Buku yang bakal saya ulas ini amat menarik perhatian saya kerana ia mengajar kita terutama sekali remaja bagaimana cara untuk mengatasi stres. Tekanan stres yang berpanjangan atau keterlaluan boleh menyebabkan masalah depresi atau kemurungan. Ia merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap sesuatu perkara. Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak. Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah. Kesedaran kendiri, membina kemahiran peribadiserta menangani emosi adalah langkah penting untuk membantu remaja untuk berkembang maju. Buku ini dapat membantu pembaca muda membina kemahiran mereka melalui senario, aktiviti dan latihan yang bersesuaian dengan usia.
Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur. Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan. Tajuk : Cara Untuk Mengatasi Stress Penulis : Nadiia Norizan Koleksi DDC : MTN 155.9042 NAD