ULASAN BUKU
Ditulis Oleh : Whalevver Jay Walter
26 Jun 2022
Etnik Dusun Tatana , Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah, Joisin Romut, Lembaga
Kebudayaan Negeri Sabah, 106 Muka Surat.
Inventori Budaya Etnik merupakan satu langkah untuk memenuhi kehendak Enakmen
Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (Pindaan) 2010 untuk memelihara , memulihara dan
memartabatkan kebudayaan pelbagai etnik di Sabah. Inventori ini juga merupakan kerja
lanjutan daripada kajian Etnik di sabah yang dilaksanakan pada tahun 2007 oleh Lembaga
Kebudayaan Negeri Sabah yang pada dasarnya merumus dan menyenaraikan sejumlah 35
etnik dan 214 sub etnik dengan menggunakan kaedah self determination atau penentuan diri
sendiri.
Secara umumnya, aktiviti ekonomi tradisional etnik Dusun Tatana ialah bertani. Aktiviti
ekonomi ini yang banyak mempengaruhi kehidupan bermasyarakat dalam kalangan etnik
Dusun Tatana pada zaman dahulu sehinggalah ke hari ini. Bahagian ini akan menerangkan
tentang kegiatan sosioekonomi dalam kalangan Dusun Tatana di Kuala Penyu sabah. Seperti
etnik kadazandusun yang lain, Dusun Tatana menganggap bahawa padi merupakan tanaman
yang paling penting dalam kehidupan mereka. Selain menjadi makan ruji masyarakat,
kepentingan penanaman padi juga membentuk budaya masyarakat melalui perayaan Odou
Kaamatan atau pesta menuai yang menandakan bahawa semua kerja menuai padi telah
selesai dijalankan. Odou Kaamatan juga merupakan pesta kesyukuran kepada semangat
padi yang telah membantu mereka dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan padi. Upacara
menghormati semangat padi dilakukan melalui Mamalapas do bilod semasa pesta tersebut.
Dalam menjalankan penanaman padi, penggunaan radu atau bajak yang ditarik oleh
seekor kerbau menjadi salah satu peralatan yang ditarik oleh seekor kerbau menjadi salah
satu peralatan yang penting dalam kalangan petani tradisional Dusun Tatana. Walau
bagaimanapun, pada hari ini penggunaan radu semakin kurang popular dengan pengenalan
teknologi bari iaitu jentera. Sehingga ke hari ini, terdapat banyak kawasan sawah padi yang
masih diusahakan di beberapa lokasi seperti di Kampung Melampai, Kampung Menunggang,
Kampung Gorowat dan kampung Bundu.
Dusun Tatana mempunyai adat istiadat dan pantang larang yang unik dan menarik.
Antara adat istiadat dan pantang larang ialah adat menyambut kelahiran bayi dan adat
kematian. Adat menyambut kelahiran bayi dalam kalangan Dusun Tatana dibahagikan
kepada tiga iaitu semasa kelahiran bayi, pengurusan uri bayi dan penjagaan ibu dan bayi.
Apabila sesebuah keluarga baru menimang cahaya mata, terdapat beberapa peraturan dan
pantang larang yaang perlu dipatuhi khususnya oleh ibu bapa si bayi. Sekiranya ibu bapa
bayi menggunakan khidmat bidan kampung, sebaik sahaja bayi tersebut lahir, bayi akan
diangkat ke arah cahaya matahari yang terang. Sekiranya bayi lahir pada waktu malam, bayi
tersebut haruslah disilaukan dengan pelita sehingga bersin.
Inventori budaya etnik yang telah dilaksanakan berjaya mengetengahkan beberapa
aspek dan ciri budaya dusun Tatana di Kuala penyu untuk direkodkan untuk tujuan rujukan
akan datang. Ciri-ciri budaya tersebut termasuklah latar belakang etnik, tempat dan sejarah,
aktiviti sosioekonomi tradisional, adat istiadat, kepercayaan dan amalan, tarian-tarian tradisi ,
muzik ,pakaian tradisi, perkhawinan, seni bina dan kraf tangan, makanan, permainan dan
sukan rakyat, perayaan-perayaan, strata sosial dan nyanyian rakyat.
Adalah diharapkan agar penulisan-penulisan berkaitan kebudayaan etnik di sabah
seperti ini akan dapat menyemarakkan lagi penyebaran maklumat budaya kepada semua
lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang etnik, keturunan dan agama ke arah
pencapaian gagasan 1Malaysia.
Dapatkan Buku Di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan
Tajuk : ETNIK DUSUN TATANA
Penulis : Joisin Romut
Koleksi : LHC 305.8992250H INV