ULASAN BUKU Diulas oleh : Levviyana Binti Jaual 20 November 2023 Diabetes Melitus Punca, Cara Kawalan dan Rawatan: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2010. 73 Muka Surat. Salah satu masalah kesihatan yang utama dalam kalangan penduduk di Malaysia ialah penyakit diabetes melitus atau juga dikenali sebagai penyakit kencing manis. Keadaan penyakit ini ialah apabila kadar gula (glukosa) yang sangat tinggi terdapat dalam perederan darah, hal ini disebabkan oleh badan kita kekurangan hormon insulin. Hormon insulin ini dihasilkan oleh organ pankreas yang diperlukan badan kita untuk menukarkan gula kepada tenaga. Terdapat dua jenis diabetes iaitu pesakit yang memerlukan insulin yang berterusan untuk hidup dan yang kedua, pesakit tidak memerlukan insulin yang berterusan untuk hidup tapi hanya mengawal diet dan mengambil ubat yang diberikan. Antara tanda dan gejala yang biasa berlaku pada seseorang penghidap diabetes ialah kerap kali kencing malam, sentiasa dahaga, peningkatan selera makan, glikosuria, mudah letih dan gatal-gatal di kemaluan. Glikosuria bermaksud kehadiran gula dalam urin yang mana kepekatan gula di dalam darah terlalu tinggi. Buku ini sangat menarik perhatian saya, kerana melalui buku ini kita dapat memahami dan mengetahui punca diabetes ini dan cara bagi mengawal pengambilan gula seharian agar tidak terlalu teruk juga rawatan yang perlu sekiranya menghidap penyakit ini kerana kadangkala juga penyakit ini timbul secara tiba-tiba tanpa disedari oleh pesakit. Buku ini juga memaparkan pelbagai panduan dalam mengurangkan pengambilan lemak dan contoh diet yang seimbang dengan jumlah kalori yang tertentu. Gaya hidup sihat perlu diamalkan bagi mencegah penyakit dihidapi kerana kekayaan yang paling utama adalah kesihatan. Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan. Tajuk : Diabetes Melitus Punca, Cara Kawalan dan Rawatan Penulis : Jamaludin Mohamed & Khairul Osman Koleksi DDC : MAN 616.462 JAM