ULASAN BUKU Diulas oleh : Levviyana Binti Jaual 29 Mei 2023 Nasihat Guru Tanda Sayang: Focus Learning Publications. 2017. 32 Muka Surat. Seperti yang kita tahu kerjaya sebagai seorang guru amatlah mulia di sisi masyarakat. Peranan dan tanggungjawab yang dipikul di bahu seseorang yang bergelar guru amatlah berat dan mencabar demi melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang selaras dengan falsafah pendidikan negara. Guru adalah insan yang mendidik dan mengajar kita dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang berguna pada masa akan datang. Menuntut ilmu merupakan satu amalan dan kewajipan yang sangat diterapkan dalam kehidupan kini. Kita hendaklah mempunyai adab yang baik dalam menimba ilmu pengetahuan, terutama sekali ketika pelajar sering berjumpa dengan guru, mereka hendaklah mempunyai adab berguru yang baik termasuklah menjaga tingkah laku dan percakapan terhadap guru. Selain itu, menghormati guru juga merupakan nilai moral yang perlu ada dalam setiap diri pelajar itu sebagaimana mereka menghormati ibubapa mereka sendiri, seperti sentiasa mendengar nasihat guru dan mematuhi peraturan di sekolah. Sehubungan itu, bagi memperingati jasa baik seorang guru itu setiap tahun kita akan meraikan “Hari Guru” bagi menghargai penat lelah dalam mendidik dan melahirkan individu yang berjaya. Semua nasihat guru haruslah disemat sampai bilabila kerana nasihat dari seorang guru adalah tanda sayang mereka kepada semua pelajarnya. Buku ini sangat menarik perhatian saya, kerana dalam buku ini mempunyai ringkasan cerita melalui ilustrasi yang menarik, bahasa yang mudah difahami dan sangat padat dengan pelbagai nasihat dan nilai-nilai moral yang wajib dipratikkan oleh semua golongan khususnya bagi mereka yang berada di sekolah rendah, kerana mendidik seseorang itu hendaklah bermula sejak mereka kecil lagi agar nilai-nilai yang baik dapat dan mudah diserap dalam diri mereka seperti melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Oleh itu, bagi mencari keberkatan dalam menimba ilmu, hal yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh adalah menghormati guru dan memiliki adab yang baik di samping berdoa dan berusaha bagi mencapai titik kejayaan dalam hidup. Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan. Tajuk : Nasihat Guru Tanda Sayang Penulis : Zubir Zakaria Koleksi DDC : MJN 499.2886 ZUB