ULASAN BUKU
Ditulis Oleh : Whalevver Jay Walter
07 Oktober 2022
Apa Khabar Depresi?, Terapi Psikologi, Motivasi Diri, Perspektif Islam, Dr. Sakinah
Salleh, Kuala Lumpur : PTS Publishing House SDN. BHD. 2020,179 Muka Surat.
Buku ini ditulis bertujuan bagi mengatasi masalah kemurungan merupakan
pendekatan berdasarkan kefahaman bahawa agama menyediakan panduan untuk
memahami nilai pegangan kehidupan seseorang individu yang mempengaruhi fizikal,
sosial, emosi dan intelektual. Islam itu sendiri mempengaruhi cara bagaimana individu
menafsirkan pengalaman hidup mereka dan membantu dalam mencapai kehidupan yang
sejahtera baik dari segi kesihatan mental dan fizikal individu.
Hari kesihatan mental sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun bertujuan
meningkatkan kesedaran umum terhadap kesihatan mental. Persatuan Kesihatan Mental
Malaysia (2018) melaporkan kesihatan mental adalah keperluan bagi setiap individu. Ini
kerana kesihatan mental bukan hanya fokus kepada penyakit mental, tetapi merangkumi
kesejahteraan hidup, kebahagiaan, dan kemampuan seseorang menangani cabaran yang
ada. Seseorang yang sihat mental sentiasa positif dengan keadaan sedia ada serta
optimis dengan kehidupannya.
Kemurungan adalah penyakit mental yang dikenal pasti oleh pertubuhan kesihatan
sedunia (WHO) sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit
global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia ketika ini. Statistik
kemurungan global menunjukkan keadaan yang semakin membimbangkan. Menurut
(WHO) kemurungan mampu melumpuhkan jiwa seseorang individu. Malah, penyakit ini
juga didapati lebih ketara berbanding hipertensi (tekanan darah tinggi) mahupun diabetes.
Masalah kemurungan dalam kalangan masyarakat diramalkan menjadi penyebab
utama masalah kesihatan di negara-negara membangun menjelang tahun 2020 selepas
penyakit jantung. Maka tidak pelik sekiranya kita kerap mendengar dan membaca di
media perihal kemurungan. Kajian epidemiologi menyatakan bahawa peluang seseorang
penghidap kemurungan sepanjang tempoh kehidupannya adalah sebanyak 11 hingga 15
peratus.
Bagi memastikan pencegahan pada isu kemurungan, kita perlu tahu apa itu
kemurungan dan apakah simpton yang menunjukkan seseorang itu mengidap
kemurungan. Selain itu, faktor dan risiko kemurungan juga perlu diketahui oleh semua
supaya bantuan dan rawatan bersesuaian dapt diberikan kepada yang berkenaan.
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak cara menghilangkan depresi yang boleh
dilakukan bagi mengatasi tekanan atau stres. Ia adalah perasaan semula jadi yang ada
pada setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada desakannya terhadap
sesorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap perkara
ini, ramai pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi memperkenalkan mekanisme
kawalan terhadap tekanan atau stres yang dihadapi oleh ahli masyarakat. Perkara ini
boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk mencapai segala bentuk
kejayaan dalam perkara yang mereka ceburi. Kita hanya memerlukan kepakaran dan
kajian yang telus supaya dapat membantu golongan yang terkesan serta untuk
mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Semoga
segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang diatur dapat memangkin sifat
mahmudah dalam diri setiap individu seterusnya melahirkan komuniti yang hidup
sejahtera, aman dan harmoni.
Dapatkan Buku Di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan.
Tajuk : Apa Khabar Depresi?
Penulis : Dr. Sakinah Salleh
Koleksi : MAN 616. 8527 SAK