ULASAN BUKU
Diulas oleh : Levviyana Binti Jaual
21 Ogos 2022
Hari-hari Perayaan di Malaysia. Shafiee Ahmad & Sulaiman Zakaria. Kuala
Lumpur: Buku MUST Sdn. Bhd. 2008. 42 Muka Surat.
Negara Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang bangsa.
Kehidupan dalam masyarakat majmuk mewujudkan berbagai-bagai bentuk dan
ragam kebudayaan, sekali gus menjadikan negara Malaysia ini sebagai sebuah negara
yang mempunyai tarikan pelancong dari serata dunia. Hal demikian terdapat banyak
perayaan yang dirayakan oleh penduduk Malaysia.
Setiap satu-satu perayaan yang dirayakan oleh masyarakat di Malaysia, seluruh
rakyat akan bersama-sama meraikannya. Hal ini menyebabkan Malaysia dikenali
sebagai negara perayaan sepanjang tahun. Semua masyarakat boleh bergaul mesra di
samping bersukaria. Bagi perayaan-perayaan yang penting, kerajaan Malaysia akan
mengisytiharkan hari tersebut sebagai cuti umum.
Salah satu perayaan besar yang akan diraikan di seluruh Malaysia dan rakyat
yang beragama islam setiap tahun ialah perayaan Hari Raya Puasa atau juga dikenali
sebagai Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, Hari Raya Aidiladha dan Maulidur Rasul juga
diraikan dengan penuh bermakna dan turut dirasai keriangannya bagi seluruh rakyat
Malaysia.
Bagi masyarakat Cina pula, perayaan yang disambut ialah Tahun Baru Cina
yang penuh dengan kemeriahan, satu simbol yang menjadi keutamaan dalam
perayaan ini ialah tarian singa. Kemeriahan perayaan ini juga turut dirasakan oleh
masyarakat lain di Malaysia ini. Selain itu, masyarakat Cina juga meraikan perayaan
Cap Goh Mei, Hari Cheng Beng, Perayaan Bulan Ketujuh, dan Perayaan Kuih Bulan.
Masyarakat India di Malaysia pula meraikan perayaan Thaiponggal,
Thaipusam, Tahun Baru Hindu, Nawarathi dan Deepavali. Sambutan Deepavali ini
merupakan perayaan yang terbesar bagi masyarakat India, perayaan ini diserikan
dengan cahaya pelita yang membawa maksud yang mendalam.
Dalam buku ini turut menyatakan perayaan yang tersendiri bagi masyarakat
Orang Asli yang terdapat di Malaysia ini. Salah satunya ialah perayaan Hari
Gengulang, masyarakat Orang Asli di negeri Perak akan meraikan Hari Gengulang
ini yang memiliki inti pati yang tersendiri. Musim Kelarai ini diraikan bagi
masyarakat Orang Asli yang berada di negeri Pahang, manakala masyarakat Orang
Asli di negeri Kelantan meraikan musim Sekoi. Tambahan pula, perayaan Menuai
Padi dan Menyulung Tahun, Berlancang atau Perayaan Pantai, Membuka Ladang
Baru, Perayaan Mareg, Musim Buah-buahan, Bersunat, Musim Tampoi, Berjerom
dan Musim Burung Rakit.
Negeri Sarawak juga mempunyai perayaan yang besar yang diraikan setiap
tahun. Perayaan yang terkenal di Sarawak ialah perayan hari Gawai. Terdapat banyak
jenis Gawai yang masyarakat Sarawak raikan antaranya ialah Perayaan Gawai Batu,
perayaan ini bercorak keagamaan. Selain daripada itu, Gawai Kenyalang, Gawai
Antu, Gawai Dayak turut diraikan oleh masyarakat Sarawak.
Perayaan masyarakat di Sabah, perayaan-perayaan yang ada di Sabah diraikan
dengan meriah. Perayaan terbesar di Sabah adalah Sambutan Kaamatan yang setiap
tahun dinantikan, majoriti masyarakat Sabah akan menyambutnya dengan penuh
meriah dan mempunyai makna yang tersendiri. Selain itu, perayaan Regatta Lepa
juga diraikan bagi masyarakat di Pantai Timur, Sabah. Perayaan besar yang menarik
mata ramai masyarakat dengan keindahan dan keunikan sebuah kapal yang besar
penuh dengan warna warni juga diadakan setiap tahun.
Masyarakat Melayu, India dan Cina yang terbesar di Malaysia menyambut dan
meraikan perayaan yang mengikut kepercayaan mereka, begitu juga bagi masyarakat
tempatan di Sabah dan Sarawak. Hal ini dapat menarik dan membuka mata para
pelancong dan kemasukan mereka ke negara Malaysia sekali gus dapat menjana
ekonomi Malaysia.
Buku ini sangat menarik perhatian saya sebagai salah seorang rakyat Malaysia.
Pentingnya untuk setiap individu mengetahui perayan-perayaan yang ada di Malaysia
ini yang diraikan dari pelbagai bangsa ini. Adalah diharapkan agar setiap golongan
masyarakat masa kini mempunyai tanggungjawab dan pengetahuan berkenaan
perayaan-perayaan tersebut dan juga mampu mengetengahkan agar dapat membawa
keunikan yang ada ini diperingkat antarabangsa yang mampu meningkatkan lagi
sektor pelancongan negara Malaysia ini.
Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan.
Tajuk : Hari-hari Perayaan di Malaysia
Penulis : Shafiee Ahmad & Sulaiman Zakaria
Koleksi DDC : MJN 394.269M SHA