ULASAN BUKU
Ditulis Oleh : Whalevver Jay Walter
5 September 2022
Ramuan Tradisional Untuk Kesihatan, Tanaman Herba untuk mengatasi Diabetes
Mellitus, Noraida Ilias, Synergy Media Books, 133 Muka Surat.
Seperti yang kita ketahui, penggunaan ubat-ubatan daripada sumber tumbuhan
telah diwarisi manusia secara turun temurun. Pelbagai jenis tumbuhan telah dikenalpasti
memiliki unsur-unsur penawar dan sekurang-kurangnya dijadikan sebagai tambahan
kepada ubat-ubatan yang diperolehi dari farmasi. Selain itu, tumbuh-tumbuhan ini juga
sesuai dijadikan perisa dan perencah makanan (serai, kunyit daun limau purut, cekur,
daun pandan, daun kari dan bonglai) ataupun sebagai ubat dan perhiasan halaman rumah
(pokok ati-ati, bunga cina, bunga butang, pokok puding , bunga raya dan bunga tahi
ayam).
Sejak mendalami ilmu perubatan moden dan tradisional dalam merawat penyakit
kronik dengan menggunakan tumbuhan ubatan, penulis mendapati hanya segelintir
daripada masyarakat kita yang menyedari akan kelebihan dan kepentingannya dalam
dunia perubatan. Melalui beberapa pemerhatian yang dilakukan, kebanyakan buku-buku
perubatan yang berada di pasaran hanya menerangkan sejarah penggunaan tumbuhan
ubat-ubatan secara ringkas. Apatah lagi, hanya masyarakat melayu tradisional sahaja
yang mempunyai kemahiran dalam mengenalpasti tumbuh-tumbuhan yang sesuai
dijadikan sebagai ubat dan penawar kepada penyakit. Justeru itu, bukanlah sesuatu yang
merugikan seandainya terdapat satu bahan bacaan yang dapat menjelaskan secara
terperinci tentang sistem rawatan dan teknik rawatan yang bertunjangkan sistem
etnoperubatan yang menggunakan tumbuhan ubatan. Keadaan ini telah mendorong
penulis menghasilkan satu penulisan yang dapat mengungkap teknik perubatan diabetes
melalui kaedah terapi herba.
Buku ini juga menghuraikan sedikit sebanyak tentang penyakit diabetes mellitus
atau nama tempatannya, penyakit kencing manis. Antara yang dihuraikan adalah definisi
penyakit, sejarah dan faktor-faktor penyebab, gejala-gejala awal, cara mendiagnosis
penyakit, klasifikasi sehingga setiap komplikasi yang timbul akibat penyakit ini.
Seterusnya, menghuraikan tentang rawatan yang boleh digunakan untuk merawat
penyakit diabetes baik dari segi perubatan moden atau terapi herba. Dalam bahagian
berikutnya, penulis menjelaskan tentang jenis-jenis tumbuhan ubatan yang sesuai
digunakan untuk mengurangkan penderitaan pesakit daibetes dan cara menyediakan
ramuan daripada tumbuhan tersebut. Selain itu, penulis turut menyelitkan beberapa
analisis yang dijalankan ke atas pesakit diabetes serta pengalaman beberapa orang
pesakit yang berjaya mengawal penyakit mereka dengan menggunakan sistem
etnoperubatan ini.
Penggunaan ubatan herba tidaklah mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil
dalam jumlah dan tempoh yang diperlukan sahaja. Tidak dinafikan terdapat banyak
tumbuhan herba yang memberikan manfaat kepada manusia sejak zaman dahulu lagi.
Manusia mencipta ubatan moden adalah melalui struktur kimia bahan bioaktif yang
ditemui melalui tumbuhan. Struktur kimia bahan bioaktif yang ditemui melalui tumbuhan
adalah ilmu Allah yang disampaikan kepada manusia sebagai rujukan. Dengan struktur
asas bahan kimia tumbuhan maka terhasil pelbagai ubatan moden pada masa kini.
Dengan fakta yang dihuraikan di atas, pengguna perlulah bijak bagi menilai sejauh
mana penggunaan ubatan herba tradisional memberi manfaat atau bahaya di kemudian hari.
Pembelian ubat tradisional yang tidak berdaftar mendedahkan pengguna kepada risiko
yang boleh membahayakan kesihatan dan lebih parah lagi berisiko untuk mengundang maut.
Dapatkan Buku Di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan
Tajuk : Tanaman Herba Untuk Mengatasi Diabetes Mellitus
Penulis : Noraida Ilias
Koleksi : MAN 615.321 UTA