Kesan-kesan Stratifikasi Sosial dan Faktor-faktor Kepelbagaian Sosiobudaya Terhadap Pendidikan di Malaysia 1.0 Pengenalan Stratifikasi sosial merupakan proses penyusunan dan pengkelasan individu dalam lapisan-lapisan sosial berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti status ekonomi, pendidikan, keturunan dan pekerjaan. Stratifikasi sosial memberikan kesan mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan manusia, termasuk aspek pendidikan. Ketidaksetaraan yang berlaku akibat stratifikasi sosial telah memberikan impak besar terhadap akses kepada peluang pendidikan dan kualiti pendidikan seseorang individu. Dalam penulisan ini, saya akan membincangkan kesan stratifikasi sosial terhadap pendidikan, meneliti bagaimana ia menyumbang kepada ketidaksetaraan pendidikan dan mengekalkan ketidaksetaraan sosial, di samping membincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi kepelbagaian sosiobudaya di sekolah. 2.0 Kesan-kesan Stratifikasi Sosial Terhadap Pendidikan di Malaysia 2.1 Sekolah Pendidikan, dikenal pasti sebagai tonggak pembangunan sesebuah negara, sentiasa dipengaruhi oleh stratifikasi sosial yang wujud dalam masyarakat. Salah satu aspek yang memaparkan kesan ini ialah pengkelasan sekolah. Ini dapat dilihat terhadap pembangunan pelbagai jenis sekolah yang mencerminkan perbezaan sosioekonomi dan geografi masyarakat di Malaysia. Sekolah-sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan kepada pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat. Menurut berita Sinar Harian, jumlah keseluruhan SK adalah sebanyak 5,877 sekolah, SJKC sebanyak 1,302 dan SJKT sebanyak 527. SK dikenali sebagai sekolah yang menyediakan pendidikan sejagat dengan menarik pelajar dari pelbagai latar belakang dan kebolehan. SJK Cina dan SJK Tamil pula menawarkan pendidikan yang menitikberatkan kepelbagaian budaya dan bahasa dengan memberi tumpuan kepada kurikulum yang khusus untuk memastikan pemeliharaan dan perkembangan bahasa dan budaya masing-masing. Sekolah-sekolah elit seperti Sekolah Berasrama dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah institusi pendidikan yang menarik pelajar berprestasi tinggi dan biasanya mempunyai kemudahan dan prasarana yang mencukupi. Sekolah kluster seperti Sekolah Kebangsaan Agama (SKA) menyediakan pendidikan berteraskan agama dengan menitikberatkan kurikulum Islam.
Dari tinjauan yang berbeza, terdapat perbezaan antara sekolah di bandar dan sekolah di luar bandar. Sekolah di kawasan bandar umumnya mempunyai kemudahan lebih baik dan akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sebaliknya, sekolah luar bandar menghadapi cabaran infrastruktur yang kurang lengkap, seperti bekalan elektrik yang tidak stabil, akses terhadap ICT, dan kekurangan bekalan air bersih. Bukan itu sahaja, kebanyakan jalan untuk mencapai sekolah di kawasan pedalaman hanya dapat diakses melalui jalan balak atau jalan ladang, menyebabkan kesukaran kepada pelajar untuk mengakses pendidikan. Ketidakseimbangan dalam infrastruktur ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap murid di kawasan pedalaman. Jurang ini bukan sahaja melibatkan kemudahan fizikal, tetapi juga memberi impak terhadap motivasi dan fokus pelajar terhadap pelajaran. Murid-murid yang terpinggir akibat kekurangan prasarana cenderung untuk kurang memberi tumpuan kepada pembelajaran disebabkan ketidakselesaan dan kesusahan dalam mengakses sumber pembelajaran. 2.2 Keluarga Perbezaan kelas sosial dalam masyarakat juga menjadi penentu utama akses terhadap pendidikan. Keluarga berkelas atas dan menengah cenderung mempunyai lebih banyak peluang untuk menjadi cemerlang dalam sistem pendidikan. Hal ini mencerminkan jurang yang terdapat dalam sistem pendidikan yang sepatutnya menyediakan peluang yang sama untuk semua. Keluarga yang berkelas atas dan menengah mempunyai lebih banyak sumber untuk menyokong pendidikan anak-anak mereka. Peluang seperti akses kepada buku, peralatan pembelajaran, dan program tambahan seperti tuisyen adalah biasa dalam kalangan golongan ini. Keadaan ini memanfaatkan pelajar berkelas sosial yang lebih tinggi apabila mereka dapat menikmati kelebihan tersebut untuk memantapkan pemahaman mereka dalam pelbagai mata pelajaran. Sebaliknya, golongan kelas bawah terhad kepada akses pendidikan yang terbatas, iaitu hanya melalui institusi formal seperti sekolah. Kekangan untuk mengakses sumber daya seperti buku, komputer, dan bahan-bahan pembelajaran lain telah memudaratkan keupayaan pelajar berkelas sosial rendah untuk mengejar kecemerlangan akademik. Hal Ini bukan sahaja mencipta jurang prestasi, malah juga membentuk landasan ketidaksetaraan yang dapat berterusan sepanjang hayat. Saifuddin Hj Masduki dalam kajiannya pada tahun 1977 mendapati hubungan positif antara pendapatan dan tahap pendidikan ibu bapa dengan pencapaian akademik anak-anak mereka (Hitam, 2015). Ini membuktikan bahawa faktor ekonomi dan pendidikan keluarga memberikan impak yang signifikan terhadap prestasi pelajar. Beliau juga menunjukkan bahawa keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan
peralatan atau bahan pembelajaran menghadapi cabaran yang besar. Ketidakupayaan untuk menyediakan sumber daya ini secara tidak langsung menipiskan peluang anak-anak mereka untuk bersaing dan mengambil peluang pendidikan secara optimum. 2.3 Masyarakat Memang tidak dapat dinafikan bahawa stratifikasi sosial juga memberikan impak yang besar dalam pemilihan pekerjaan dan taraf ekonomi seseorang individu. Pelajar daripada golongan atasan dan menengah biasanya mendapat peluang pekerjaan yang lebih tinggi berkat daripada jaringan sosial yang lebih kukuh. Sebaliknya, golongan kelas bawah mengalami situasi yang terpinggir dan tidak menerima peluang pekerjaan secara adilnya. Hal ini memburukkan lagi kedudukan sosial mereka. Keadaan ini tidak semata-mata disebabkan oleh keciciran dalam pelajaran, tetapi juga disebabkan oleh kekurangan keutamaan terhadap pendidikan dalam kalangan golongan kelas bawah. Kesannya, perbezaan taraf pendidikan membawa kepada masalah pengangguran yang semakin bermaharajalela dalam kalangan masyarakat. Hal ini telah menambah buruk masalah kesenjangan sosial yang telah lama berakar. Secara holistik, kesan stratifikasi sosial terhadap pendidikan menyumbang kepada pengekalan ketidaksetaraan sosial. Perbezaan pendidikan berdasarkan status sosioekonomi mencipta satu kitaran yang berterusan apabila individu dari lapisan atasan lebih cenderung berjaya dari segi akademik dan profesional, manakala individu dari lapisan yang kurang bernasib baik berusaha untuk mengatasi rintangan. Jurang ini semakin melebar dari semasa ke semasa, secara tidak langsung mengekalkan situasi kemiskinan antara generasi. Ekoran daripada itu, struktur sosial akan kekal bersifat kaku, mengakibatkan peluang untuk mobiliti ke atas menjadi terhad. Video 1.0: Contoh Stratifikasi Sosial dalam Pendidikan di Malaysia
3.0 Faktor-faktor Kepelbagaian Sosiobudaya Terhadap Pendidikan di Malaysia 3.1 Pengertian Sosiobudaya Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sosiobudaya bermaksud hubungan masyarakat dengan budaya seperti cara hidup dan adat istiadat (Hajah Noresah Baharom et al., 2016). Sosiobudaya diertikan sebagai amalan gaya hidup dan tamadun bagi sesuatu masyarakat yang zahir dari pegangan dan kecenderungan diri masyarakat tertentu untuk pembangunan dan pembaharuan sosial kehidupan masyarakat (Rosfazila Abd Rahman, 2019). Pegangan terhadap nilai-nilai sosiobudaya yang diwarisi memberikan dorongan kepada pembangunan sosial dalam kalangan masyarakat. Amalan sosiobudaya yang ditunjukkan kepada masyarakat lain membentuk identiti bagi masyarakat yang mengamalkannya. Di Malaysia, kepelbagaian penduduk telah membentuk pelbagai budaya yang menjadi asas dan cara hidup. Kebudayaan orang Melayu, orang Cina, orang India dan kumpulan etnik yang lain telah menjadi asas kepada kebudayaan kebangsaan di Malaysia. Rabuskha (1972) menekankan bahawa perbezaan budaya, seperti bahasa, agama, dan adat resam dalam masyarakat pelbagai kumpulan etnik menjadi cabaran terhadap integrasi sosial dan perpaduan (Aisyah Mat Sulaiman., n.d.). Guru-guru memegang peranan penting dalam menangani cabaran ini dengan mengenali dan memahami pelbagai budaya dalam masyarakat Malaysia. Dengan pemahaman ini, mereka dapat mengaplikasikan pendekatan yang sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hasilnya, generasi pelajar akan dilatih menjadi warganegara yang bersatu padu dan harmoni. Video 2.0: Kepelbagaian Sosiobudaya di Malaysia
3.2 Faktor Bangsa Faktor yang mempengaruhi kepelbagaian sosiobudaya di sekolah adalah faktor bangsa. Identiti bangsa membentuk asas kesatuan apabila warga sekolah berkongsi kehendak, tanggungjawab, dan cita-cita yang serupa. Pentingnya kefahaman terhadap identiti bangsa yang berbilang kaum membuka pintu kepada toleransi sesama pelajar. Dalam konteks ini, rakyat Malaysia perlu berfikiran terbuka tanpa mengira kaum masing-masing. Dengan pemahaman yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya, guru-guru dapat membimbing pelajar melalui pendekatan yang inklusif, membuka ruang untuk dialog dan pemahaman bersama. Kesannya, keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia dapat diperkukuhkan, memberikan landasan yang kukuh untuk masa depan yang lebih bersatu padu. Dalam konteks sekolah Malaysia, kepelbagaian budaya memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang inklusif. Program kebudayaan dan seni sekolah merupakan salah satu cara untuk menggalakkan integrasi sosial. Contohnya, program tarian tradisional yang mendedahkan pelajar dari pelbagai etnik bekerjasama dalam persembahan seni. Melalui kerjasama ini, pelajar dapat membina hubungan yang erat dan saling memahami. Pasukan sukan sekolah yang terdiri daripada pelajar berbilang etnik juga mencerminkan semangat integrasi apabila mereka bersatu padu demi mencapai matlamat bersama dalam sukan. 3.3 Faktor Bahasa Seterusnya, faktor yang mempengaruhi kepelbagaian sosiobudaya termasuk aspek bahasa. Bahasa diertikan sebagai alat pewujudan budaya yang membantu manusia berkomunikasi dan berinteraksi secara efektif. Setiap bahasa mempunyai simbol dan perlambangan yang khusus bagi sesuatu kelompok masyarakat. Antaranya berkembang menjadi bentuk sejagat yang dapat difahami oleh semua ahli masyarakat yang berlainan. Dengan adanya akuan daripada Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152, Bahasa Melayu memegang kedudukan penting sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia. Pengiktirafan ini memberi kesan langsung terhadap sistem pendidikan negara apabila Akta Pendidikan 1996 menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di seluruh institusi pendidikan di Malaysia. Melalui penggunaan Bahasa Melayu dalam komunikasi seharian, semangat perpaduan dalam kalangan murid dapat diperkukuhkan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Hal ini adalah penting untuk mewujudkan penerimaan terhadap perbezaan aspek sosiobudaya dalam kalangan murid bagi melahirkan perasaan saling menghormati antara satu sama lain selaras dengan saranan yang diutarakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (2013-2025), iaitu aspek identiti kebangsaan (Al Afzan Ali Hussin, 2018). Langkah tersebut bukan sahaja menegaskan Bahasa Melayu sebagai alat pengantar, malah juga menjadikannya sebagai asas untuk murid memahami dan menghargai kepelbagaian budaya dalam masyarakat Malaysia. 4.0 Implikasi Kepelbagaian Sosiobudaya Terhadap Pendidikan di Malaysia Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap pendidikan di Malaysia memberikan kesan positif kepada guru, terutama dalam peningkatan kendiri. Guru yang mempelajari budaya kaum lain kurang menghadapi masalah ketika berinteraksi dengan ibu bapa pelajar dari latar belakang berlainan, terutama dalam hal bahasa rasmi (Hie et al., 2018). Pengalaman mengajar memainkan peranan penting dalam meningkatkan sensitiviti kepelbagaian budaya guru. Menurut Ahmad & Yusof (2016), didapati bahawa guru dengan pengalaman lebih dari 10 tahun dalam mendidik murid dari pelbagai kaum dan budaya mempunyai tahap sensitiviti yang lebih tinggi. Selain itu, kepekaan guru terhadap kepelbagaian sosiobudaya turut memberi kesan positif kepada murid. Program seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) membuktikan keberkesanan melibatkan pelajar dalam aktiviti seperti perhimpunan, sukan, lawatan dan perkhemahan dalam membentuk sikap positif terhadap perpaduan dan menerima kepelbagaian sosiobudaya di sekolah (Hussien & Abdullah, 2018). Sikap positif yang diterapkan dalam diri pelajar dapat memupuk perpaduan dan menghormati perbezaan tanpa mengira agama atau kaum (Sintang et al., 2019). Hal Ini dapat dilihat dari segi pemakanan halal apabila murid mengamalkan sikap menghormati perbezaan antara kaum dalam kehidupan seharian. Secara ringkasnya, pendekatan ini membentuk batu asas dalam melahirkan masyarakat yang berfikiran terbuka serta mementingkan nilai keharmonian dalam kepelbagaian hidup masyarakat.
5.0 Kesimpulan Kesimpulannya, stratifikasi sosial memainkan peranan penting dalam menentukan akses dan kualiti pendidikan seseorang individu di Malaysia. Pengkelasan sekolah, perbezaan antara sekolah di bandar dan sekolah di luar bandar, serta jurang infrastruktur mencipta ketidaksetaraan akses dan kualiti pendidikan. Stratifikasi sosial juga melebarkan jurang dari segi sumber daya pendidikan apabila golongan kelas atas dan menengah mempunyai lebih banyak peluang dan sokongan berbanding dengan golongan kelas bawahan. Kesan stratifikasi sosial juga turut menjejaskan pemilihan pekerjaan dan taraf ekonomi. Keadaan ini telah menyumbang kepada masalah pengangguran dan ketidaksetaraan sosial. Di samping itu, faktor sosiobudaya seperti kepelbagaian bangsa, amalan budaya, dan bahasa memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang inklusif di sekolah. Guru-guru perlu memikul tanggungjawab dalam memahami dan menghayati kepelbagaian sosiobudaya bagi membina hubungan erat dan semangat perpaduan yang padu dalam kalangan pelajar. Dalam usaha mengatasi ketidaksetaraan pendidikan dan sosiobudaya, perlulah adanya usaha yang berterusan untuk menyediakan akses yang sama dan sokongan kepada semua lapisan masyarakat. Pendidikan perlu dijalankan secara inklusif dan menyeluruh dengan memberi penekanan kepada penghapusan jurang dari segi infrastruktur, sumber daya, dan peluang. Pendekatan inklusif perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua pelajar merasai keharmonian dan kebersamaan dalam persekitaran pendidikan.
6.0 Rujukan Ahmad, Y., & Yusof, N. M. (2016). Sensitiviti kepelbagaian budaya dalam kalangan guru pelbagai etnik di sekolah menengah kebangsaan di Malaysia. Jurnal Pendidikan Malaysia, 41(1), 71-78. Aisyah Mat Sulaiman. (n.d.). Kepelbagaian Sosiobudaya. Scribd. https://www.scribd.com/presentation/481415121/KEPELBAGAIAN-SOSIOBUDAYA-pptx Al Afzan Ali Hussin (2018). Laporan temu bual mengenai aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia. Blogger. https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/04/laporan-temu-bual-mengenai-aspek-kesan.ht ml Hajah Noresah Baharom, Md. Nor Ab. Ghani, Ibrahim Ahmad, Aizah Supardi, Saidah Kamin, Hajah Aziah Tajudin, Salmah Jabbar, Hairani Mohd Khalid, & Rodziah Abdullah. (2016). Kamus dewan (edisi ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka. Hie, Y. H., Samsu, K. H. K., Adnan, Z. H., Awang, M. D., & Ab Halim, A. (2018). Peranan guru sebagai agen sosialisasi dalam membentuk perpaduan kaum di sekolah. Akademika, 88(2), 95-108. Hitam, P. (2015). Ketaksamaan Peluang Pendidikan di Malaysia. www.academia.edu. https://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan-Peluang-Pendidikan-%20di-Malaysi a. HUSSIEN, H. H., & ABDULLAH, M. S. (2018). Keberkesanan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) Dalam Memupuk Kesepaduan Sosial: The Effectiveness Of The Pupils Integration For Unity Programme (Rimup) In Nurturing Social Cohesion Among Students. MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, 28, 33-50. Idrul Hisham Ismail, Rosly Kayar, Hanapiah Khamis. (2024) Sosiologi dalam pendidikan. Local Publications.
Norimi Bt Mohd Rani (t.t). Kesan Stratifikasi Sosial Dalam Pendidikan. https://dokumen.tips/documents/stratifikasi-dlm-pendidikan.html?page=1v Rosfazila Abd Rahman. (2019). Kesepaduan sosiobudaya dalam kepelbagaian masyarakat majmuk. Jauhar 3(1): 44-50. KUIS. Sintang, S., Tamring, B. A. M., Rahman, N. F. A., Lukin, S. A., & Yakin, H. S. M. (2019). Kesepaduan sosial dalam hubungan antara Agama di Pedalaman Sabah. Borneo International Journal eISSN 2636-9826, 2(1), 5-15. Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu 1. Oxford Fajar. Yusri Yusuf (2019). Topik 6 : Stratifikasi Sosial. https://www.slideshare.net/cikgutika/topik-6-stratifikasi-sosial-mobiliti-sosial Zulkifli, N., & Yusoff, M. Y. M. (2022). Elemen-Elemen Sosiobudaya dalam Kalangan Masyarakat Boyan di Semenyih, Selangor. Jurnal Wacana Sarjana, 6(2), 1-13. 3,017 sekolah dalam negara kurang murid. (2022). Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/220250/berita/nasional/3017-sekolah-dalam-neg ara-kurang-murid