Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah merupakan hari yang
disyariatkan untuk disambut sebagai hari
kegembiraan dan hari kemenangan, bagi umat
Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan
sempurna pada bulan Ramadan, juga sebagai
menzahirkan kesyukuran kepada Allah s.w.t, di atas
rahmat dan petunjukNya.
Selaras dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam
Surah Al Baqarah ayat 185:
“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya
kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya
kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
Pertama:
Bertakbir pada malam raya dan
pagi raya di mana sahaja mereka
berada (selain dalam tandas).
Kedua:
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada
Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca
al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan
sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas
kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang
mati segala hati” (H.R Ibnu Majah)
Ketiga:
Mandi sunat hari raya, memakai
pakaian yang baik dan memakai
bau-bauan sebelum keluar
menunaikan solat hari raya.
Keempat:
Bagi makmum sunat pergi ke tempat
solat raya lebih awal, sementara Imam
disunatkan datang lewat sedikit, iaitu
ketika hendak mendirikan solat.
Kelima:
Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat
Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan
daripada Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya
Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu
beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam
jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].
Keenam:
Memberi kelapangan kepada keluarga
dari segi perbelanjaan,
memperbanyakkan sedekah sekadar
yang termampu.
Ketujuh:
Keluar pergi solat melalui jalan lain dan
balik ke rumah semula selepas solat
melalui jalan lain.
Bagi yang mampu adalah lebih afdhal
pergi solat berjalan kaki
Kelapan:
Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu
dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi
mengeratkan silaturrahim, serta mengucapkan sebarang
ucapan yang baik. Para sahabat Rasulullah s.a.w ketika
bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut
(semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu).
Kesembilan:
Tidak berjabat salam antara lelaki
dan perempuan yang bukan
mahram, seperti ipar, isteri bapa
saudara atau suami emak
saudara dan seumpamanya.