The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Pusat Sumber As-Sofiyyah, 2020-11-21 23:06:42

KKM pada mulanya cadang PKP di Selangor, ada sebab diganti PKPB... ini jawab Dr Noor Hisham

MSTAR TERKINI

MSTAR TERKINI

KKM pada mulanya cadang PKP di
Selangor, ada sebab diganti PKPB... ini
jawab Dr Noor Hisham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mencadangkan untuk melaksanakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor bermula 14 Oktober lalu, namun ia tidak dapat
dilaksanakan.
Sebaliknya, ia digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Namun, langkah PKPB yang dilaksanakan di beberapa negeri telah berjaya mengelak angka
jangkitan kes Covid-19 daripada melonjak secara mendadak dalam negara, kata Ketua
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, pada peringkat awal berlakunya gelombang ketiga wabak itu,
beberapa agensi termasuk Imperial College di London contohnya menjangkakan bilangan kes
akan meningkat sehingga 5,000 ke 8,000 kes sehari dan beliau sendiri pernah mengatakan
bahawa jangkaan KKM adalah 4,500 kes sehari pada hujung Oktober.
"Tetapi ini tidak berlaku kerana kita melaksanakan PKPB, jadi ada keberkesanannya.
Bagaimanapun, peperangan kita tidak berakhir lagi," katanya dalam Taklimat Khas Covid-19 di
Putrajaya, Sabtu.

Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon;
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah
Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.
Dalam taklimat lebih dua jam itu, Dr Noor Hisham berkata, pada peringkat awal penularan
pandemik Covid-19 di negara ini, kerajaan telah melaksanakan PKP yang terbukti berkesan
memutuskan rantaian jangkitan namun menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion
sehari.

"Jadi ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, kami telah mengambil kira antara soal nyawa
dan kehidupan termasuk keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi sebelum memutuskan untuk
melaksanakan PKPB," katanya sambil menambah KKM ada mencadangkan agar PKP dilaksanakan
di Selangor bermula 14 Oktober lalu namun tidak dapat dilaksanakan kerana mengambil kira faktor
ekonomi dan digantikan dengan PKPB.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan netizen yang mahukan PKP dilaksanakan semula di
negara ini susulan lonjakan kes harian pada gelombang ketiga ketika ini.
Dalam pada itu, ditanya adakah KKM akan menjalankan saringan ujian Covid-19 secara besar-
besaran di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini pihaknya hanya melaksanakan saringan
ujian Covid-19 secara besaran-besaran bersasar seperti individu yang pulang dari tempat berisiko
tinggi dan pekerja warga asing.

Selain itu, katanya, pihak KKM juga mencadangkan untuk melaksana saringan berkala ke atas
pekerja sektor berisiko seperti pembinaan dan pengeluaran di negeri tertentu termasuk Lembah
Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.
Sementara itu, Dr Norhayati berkata, Malaysia telah bersedia lebih awal dari segi fasiliti dan
sebagainya untuk menangani kebarangkalian berlakunya pandemik seperti Covid-19 yang melanda
negara dan dunia.

"Pada Disember tahun lepas, Malaysia telah menjemput pakar luar negara dan Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membuat penilaian terhadap kesiapsagaan Malaysia terhadap
sebarang kejadian yang mungkin akan berlaku, dan pakar-pakar itu mendapati Malaysia telah
memenuhi segala keperluan yang digariskan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, di sebalik kesediaan KKM mengawal pandemik ini, berita-berita
palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab merupakan antara cabaran yang perlu
ditangani sebaiknya.
"Ia antara yang mencabar. Bagaimana nak yakinkan orang awam dan semua peringkat yang ia
(Covid-19) memang kejadian sebenar dengan semua individu perlu bersama-sama dengan
kerajaan untuk cegah dan mengawal pandemik ini," katanya. - Bernama


Click to View FlipBook Version