The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

KAJIAN TINDAKAN PNGAJARAN TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by alvintajak1, 2023-08-20 08:38:51

KAJIAN TINDAKAN PNGAJARAN TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER

KAJIAN TINDAKAN PNGAJARAN TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER

MED3013 PENGAJARAN TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER TAJUK: PENGUASAAN MURID DALAM TAJUK PENYELESAIAN MASALAH SECARA INVENTIF BAGI TINGKATAN 2 DISEDIAKA NO. MATRIK NAMA PROGRAM D202021094678 ALVIN TAJAK ANAK KOLIN AT47 TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER D20201094679 DEREY ELDO BIN LAMIK AT47 TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER D202021094665 ANOL JOHN AT47 TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER D20201094677 JACKRENO BIN JAINIP AT47 TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER D20191089470 DEREN DASIM AT47 TEKNOLOGI REKA BENTUK BERKOMPUTER MARKAH


1.0 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Penyelidikan boleh didefinisikan sebagai pemerolehan fakta-fakta secara sistematik melalui proses pengumpulan, menganalisis dan pentafsiran sesuatu keputusan (Khalid, 2003). Penyelidikan merupakan satu prosedur yang sistematik, saintifik, kritikal dan dinamik digunakan oleh manusia untuk mencari makna, jawapan dan kebenaran terhadap sesuatu fenomena yang berlaku di dalam dunia ini. Di sekolah menengah melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Reka Bentuk dan Teknologi telah menjadi mata pelajaran yang perlu diajar kepada murid Tingkatan 1. Ia bertujuan untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin diri dalam keadaan teknologi yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Pengalaman yang diperolehi menjadikan murid lebih berkeyakinan, celik teknologi dan sentiasa bersedia seandainya keadaan memerlukan mereka melakukan sesuatu untuk kehidupan tanpa bergantung kepada individu lain (Novak, 1984). Pembelajaran dan pemudahcaraan dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi membolehkan murid-murid mempelajari teori serta mengendalikan pelbagai alatan tangan dan bahan. Murid-murid juga diberi peluang dan ruang bagi mengembangkan atau mempertajamkan bakat, minat dan daya kreativiti mereka. Mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi juga bertujuan untuk membina dan membentuk sebuah masyarakat yang berorientasikan teknologi selaras dengan perkembangan industri yang semakin pesat berkembang di negara kita. Secara tidak langsung akan menimbulkan keinginan dan minat murid terhadap teknologi dalam kehidupan. Prinsip utama seorang guru mesti faham bahawa tugas mengajar dan mendidik serta meneladan adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar ialah seorang yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar, pemudahcara, pemberi pedoman hidup serta contoh teladan ke arah kebaikan. Kerja mengajar pula adalah sebagai suatu ibadah (Abdul Fatah, 1996).


Seorang guru itu akan memainkan peranan mengikut situasi atau keadaan dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas. Pengurusan yang sistematik juga mampu melancarkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan murid di dalam bilik darjah walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu guru tempuhi pada masa kini. Oleh itu, sebagai seorang pendidik, guru hendaklah sentiasa ke hadapan seiring dengan perkembangan global agar pendidikan di negara kita berkualiti sepanjang masa. 1.2 Refleksi Pembelajaran Lalu Tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif merupakan salah satu topik dalam bidang mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi sekolah menengah Tingkatan 2. Pengalaman pengkaji selama setahun mengajar mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi mendapati, sub topik tajuk ini menyukarkan murid-murid untuk mengingat semua jenis prinsip inventif bagi cadangan penyelesaian masalah inventif. Dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang lalu, pengkaji telah membuat satu pemerhatian secara rambang ke atas keseluruhan murid di dalam kelas Tingkatan 2 bagi tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Pemerhatian dan penilaian ini kerap dilakukan terhadap murid-murid. Semasa langkah set induksi, pengkaji telah menunjukkan satu situasi sebenar berkaitan penggunaan kerusi yang selesa diduduki oleh murid yang berbeza ketinggiannya. Pengkaji mendapati langkah ini dapat menarik minat murid untuk belajar tentang Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Mereka tertarik dengan perbezaan keadaan antara dua orang murid yang berbeza ketinggiannya tetapi duduk di atas kerusi yang sama bentuknya. Pada langkah yang pertama, pengkaji telah menerangkan kepada murid tentang pengenalan terhadap Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Pada langkah ini, murid perlu mengenal pasti percanggahan fizikal yang wujud dalam set induksi yang ditunjukkan. Pengkaji telah menunjukkan alatan yang sebenar kepada murid-murid. Pada langkah ini, pengkaji menerangkan kepada murid tentang dua jenis percanggahan fizikal. Murid memberikan perhatian kepada penerangan yang diberikan serta boleh memahaminya. Ini menunjukkan bahawa langkah pertama ini berjaya dilaksanakan . Pada langkah kedua, pengkaji telah memberikan “hands out” kepada setiap murid. Ia mengandungi jadual prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Murid memberikan tumpuan pada pembelajaran dengan memberikan respon terhadap soalan


yang diajukan. Murid boleh menguasai pelajaran pada langkah ini kerana dapat menjawab soalan yang berkaitan. Pada langkah ketiga, pengkaji mendapati hampir keseluruhan murid tidak dapat menguasai nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Ini kerana murid sering keliru dengan nama dan konsep prinsip inventif tersebut. Masalah masih berulang walaupun pengukuhan telah dijalankan. Terdapat 14 jenis prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Murid tidak dapat mengingat atau menguasai semua nama dan konsep prinsip inventif tersebut. Jawapan yang diterima apabila disoal ialah “….. mana boleh nak ingat semua, banyak benda yang nak kena ingat cikgu…..” Pengkaji juga dapat mengenal pasti masalah ini melalui lembaran kerja yang diberikan serta daripada hasil semakan buku latihan murid. Didapati hampir keseluruhan murid Tingkatan 2 tidak dapat menjawab soalan latihan berkaitan nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa dengan tepat dan betul semuanya. Mengajar kesemua nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa mengambil masa yang agak lama, apatah lagi untuk mengulang semula dari awal hingga akhir setiap nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Tambahan pula, masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran ini adalah terhad. Maka timbul pertanyaan, adakah kaedah yang digunakan tidak sesuai? Adakah cara guru mengajar tidak banyak membantu mereka? Apakah yang perlu dilakukan bagi membantu mereka?. Sekiranya tindakan yang perlu tidak diambil, murid-murid sudah pasti tidak akan dapat menguasai sepenuhnya tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif ini. Oleh yang demikian, pengkaji telah mencari kaedah pembelajaran yang sesuai bagi kalangan muridmurid Tingkatan 2 untuk meningkatkan penguasaan mereka berkaitan nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Ia akan dapat menarik minat murid untuk belajar serta tidak mengganggu murid lain semasa pembelajaran dan pemudahcaraan dijalankan. 1.3 Tinjauan Literatur Pendidikan bertaraf dunia haruslah mampu menjana generasi yang mengaplikasikan budaya berfikir secara kreatif dan kritis. Ini adalah kerana kemampuan berfikir secara kreatif


dan kritis mampu melahirkan insan yang dapat bersaing bukan sahaja di peringkat negara tetapi sebagai pemikir globalisasi dalam pelbagai bidang. Al-Ghazali telah mengenal pasti lima fungsi otak iaitu ingatan, visual bayangan, perasaan, sintesis dan daya berfikir. Manusia mampu menjadi kreatif jika mereka tahu cara mengoptimakan minda. Jika suatu masa dahulu, pendidikan itu lebih bersikap formal, serius serta bertumpu kepada penguasaan ilmu semata-mata. Pada zaman yang serba moden ini, perubahan yang ketara telah berlaku terhadap sistem pendidikan negara. Pendidikan sekarang lebih mementingkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna yang menuntut guru untuk menjadi seorang individu yang kreatif dan inovatif. Noor Azmi (1998) menyatakan bahawa pengembangan kreativiti yang bermaksud aktiviti-aktiviti yang kreatif secara logik, membina daya imaginasi dan boleh memberi pandangan merupakan fokus pengisian kurikulum abad ke-21 selain daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas. Selaras dengan itu pengkaji terpanggil untuk menghasilkan suatu kreativiti dalam pembelajaran dan pemudahcaraan dengan penggunaan peta minda . Peta Minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu murid dengan mencatat nota dengan cara yang paling ringkas dan berkesan. Penggunaan peta minda semakin penting kerana ianya berperanan sebagai satu kemahiran mengorganisasikan maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif secara teratur. Berdasarkan pelbagai sumber bacaan terdapat ramai penyelidik menyatakan bahawa peta minda membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan. Menurut mereka lagi, peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada kreativiti seseorang. Melalui beberapa kajian yang dijalankan, telah menunjukkan bahawa penggunaan konsep dalam pembelajaran bermakna menjadikan pembelajaran lebih huristik melalui penggunaan peta konsep. Pembelajaran berterusan adalah satu proses mengakumulasi maklumat dan pengalaman secara berterusan yang berlaku dalam diri seseorang sejak dia dilahirkan. Proses ini berlaku dalam dua bentuk sama ada yang disedari dan yang tidak disedari. Pembelajaran melibatkan organ deria untuk mengesan semua bentuk pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berselerak di dalam persekitaran. Rangsangan yang sesuai dan perlu daripada persekitaran dipilih menggunakan organ-organ deria yang kemudiannya akan diproses di dalam otak untuk dijadikan pengalaman yang bermakna.


Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat menghasilkan struktur pola kreatif selaras dengan cara otak seseorang memproses maklumat. Peta minda membantu mencatat nota dengan pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan (Dilip, 1996). Nota tersebut wujud sebagai satu gambaran mental yang lengkap, bermakna dan senang diingati. Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Peta minda dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses maklumat secara linear dan dalam masa yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding, menganalisis dan sebagainya. Peta minda atau peta konsep adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting akan diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, anak panah, warna dan sebagainya. Kebolehan guru menyampaikan pengajaran dengan baik serta menggunakan kaedah yang betul dan sesuai amat diperlukan. Selain itu guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai sukatan pelajaran. Murid-murid di sekolah menengah perlu belajar dalam suasana yang membantu mereka membina pengetahuan secara aktif. Pembelajaran secara aktif perlu melibatkan interaksi sosial dan komunikasi dua hala. Amalan pengajaran menggunakan peta konsep atau peta minda dalam pembelajaran di dalam bilik darjah amat penting dalam merealisasikan matlamat kurikulum. Ini adalah kerana penggunaan peta konsep atau peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menunjukkan peningkatan sikap murid terhadap mata pelajaran yang diajar (Wahidin, 2004). Kaedah-kaedah alternatif yang selari dan bersesuaian dengan kehendak kurikulum perlu diketahui dan difahami oleh pengamalpengamal kurikulum. Pemilihan strategi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat dipengaruhi oleh kepercayaan yang benar tentang sesuatu pelajaran itu. Peta Minda ini telah banyak dilihat keberkesanannya di luar negara sebagai “advancer organizer”. 2.0 FOKUS KAJIAN/ISU KEPERIHATINAN Pengkaji telah membuat pemerhatian terhadap pembelajaran dan pemudahcaraan yang lalu pada langkah yang ketiga iaitu berkaitan dengan nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Hampir keseluruhan murid di dalam kelas


Tingkatan 2 Ibnu Sina tidak dapat menguasai nama dan konsep prinsip inventif bagi keduadua kaedah pemisahan ruang dan masa. Masalah ini berlaku kerana murid perlu mengingat semua nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Mereka berasa keliru dengan nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa dengan membuat kesilapan yang sama semasa membuat latihan yang diberikan sama ada lembaran kerja atau dalam buku tulis. Perkara ini berlaku mungkin kerana pengkaji hanya menggunakan bahan maujud atau sedia ada dalam proses pembelajaran. Murid rasa teruja pada awalnya, tetapi jika diteruskan membuatkan murid berasa bosan kerana sudah biasa proses pengajaran yang dijalankan oleh guru. Jadi, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan cara pengajaran yang sesuai agar dapat menarik minat murid semasa pembelajaran dan pemudahcaraan dijalankan. Pelbagai bahan bantu mengajar perlu digunakan supaya dapat menarik minat murid dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan. Masalah bukan hanya datang daripada cara pengajaran pengkaji sahaja, masalah juga datang daripada murid-murid lain yang terdapat di dalam kelas tersebut. Contohnya, terdapat murid yang tidak menumpukan perhatian sepenuhnya kepada maklumat yang ingin disampaikan. Ada murid yang gemar bercakap tentang perkaraperkara yang tidak berkaitan, bermain alat tulis atau membuat contengan. Pengkaji juga telah melakukan pelbagai cara, antaranya mengarahkan mereka berpindah tempat duduk atau kumpulan lain. Namun mereka sering melakukan perkara sama yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada murid lain. Proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang dijalankan oleh seseorang guru pastinya mempunyai masalah tertentu. Ini kerana guru berhubung dengan murid untuk menyampaikan maklumat serta membina kefahaman minda-murid. Ini memberi peluang kepada pengkaji memfokuskan kajian terhadap masalah Penyelesaian Masalah Secara Inventif.


3.0 OBJEKTIF KAJIAN 3.1 Objektif Umum Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan murid-murid Tingkatan 2 dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi untuk tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif. 3.2 Objektif Khusus i. Mengenal pasti keberkesanan penggunaan peta minda ini ke arah meningkatkan penguasaan murid dalam tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif. ii. Menilai tahap minat murid terhadap penggunaan peta minda bagi tajuk nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa 4.0 KUMPULAN SASARAN 4.1 Sampel Kajian Kajian melibatkan murid Tingkatan 2 seramai 20 orang. Responden terdiri daripada murid yang mempunyai latar belakang yang berbeza dari segi pencapaian kurikulum dan kokurikulum. Masing-masing mempunyai kebolehan serta keistimewaan tersendiri. Berdasarkan pencapaian peperiksaan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi yang lepas, responden berada pada tahap sederhana sahaja iaitu memperoleh markah 35% - 75%. Responden terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam. Responden ada yang tinggal di bandar dan di luar bandar. Pengkaji telah membahagikan kelas kepada dua kumpulan iaitu, Kumpulan Eksperimental dan Kumpulan Terkawal. Kumpulan Eksperimental seramai 10 orang dan Kumpulan Terkawal juga 10 orang. 5.0 PELAKSANAAN KAJIAN Menurut Kamus Dewan (2000), Reka Bentuk ialah suatu aturan susunan perancangan bahan dalam konteks penghasilan semua produk. Teknologi ialah pengajian dan pengetahuan tentang usaha manusia dalam mencipta sesuatu dengan menggunakan pelbagai alat, sumber, teknik dan sistem untuk mengurus kehidupan di samping meluaskan potensi manusia. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Bagi mengatasi masalah tersebut, pengkaji telah mencadangkan


penggunaan “Peta Minda” iaitu bahan bantu mengajar sebagai panduan yang lebih jelas kepada murid semasa proses mengingat nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Data diperoleh daripada ujian pra dan ujian pos. Soal selidik juga dilakukan kepada murid-murid Tingkatan 2 untuk mengenal pasti adakah penguasaan murid dapat ditingkatkan 5.1 Langkah-Langkah Tindakan Tindakan 1 : Tinjauan Awal Satu Kitaran Kajian Tinjauan Awal Merancang Tindakan Melaksana Tindakan Dan Pemerhatian Refleksi Tinjauan dilakukan semasa proses pembelajaran dan pemudahcaraan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid semasa tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif dilaksanakan. Pengkaji melakukan pemerhatian secara rawak untuk mendapatkan maklumat awal mengenai masalah murid. Tindakan 2 : Ujian Pra Ujian tentang Penyelesaian Masalah Secara Inventif ini dijalankan selepas sesi pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan tinjauan awal. Ujian ini dinilai berdasarkan penilaian kompetensi semasa responden menjalani ujian. Tempoh pelaksanaan ujian adalah selama 30 minit. Selain itu, pengkaji juga telah membuat pemerhatian melalui senarai semak untuk lebih mengenal pasti masalah utama murid-murid dalam mengenal pasti nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Pengkaji mendapati bahawa murid sebenarnya tidak dapat menjawab dengan baik tentang nama dan konsep prinsip inventif setelah selesai sesi pengajaran dibuat penilaian. Tindakan 3 : Merancang Tindakan Pengkaji perlu merancang perkara yang hendak dilaksanakan. Pengkaji telah membuat rujukan ke atas kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan pendidik di dalam dan di luar negara. Penggunaan Peta Minda banyak digunakan dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan mereka. Kaedah ini diterapkan kerana daya ingatan murid dapat ditingkatkan serta mudah menguasai apa yang dipelajari. Oleh yang demikian, pengkaji ingin melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan dengan penggunaan peta minda di samping bahan bantu mengajar yang lain seperti gambar atau slide power point. Tindakan 4 : Melaksanakan Tindakan Pengkaji telah memulakan intervensi semasa aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan berlangsung. Pengkaji telah merancang untuk menggunakan kaedah peta minda terhadap responden. Responden akan ditunjuk beberapa contoh peta minda yang boleh dihasilkan. Pengkaji menggunakan peta minda semasa


pengajaran nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Responden akan diberikan kertas bersaiz A3 serta pen pelbagai warna untuk membina atau melukis peta minda. Pengkaji menayangkan slide power point berkaitan prinsip inventif, manakala responden akan membina peta minda mengikut kreativiti masing-masing. Slide power point tersebut memaparkan nama, konsep serta contoh prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Tindakan 5 : Ujian Pos Pengkaji akan melaksanakan ujian setelah selesai melaksanakan kaedah yang digunakan iaitu peta minda. Responden diberikan masa selama 30 minit untuk menjawab soalan berkaitan nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Pengkaji juga melakukan pemerhatian melalui senarai semak untuk mendapatkan dapatan data dengan lebih tepat untuk mengetahui sama ada responden dapat meningkatkan penguasaan tentang nama dan konsep prinsip inventif bagi kedua-dua kaedah pemisahan ruang dan masa. Tindakan 6 : Refleksi Setelah pengkaji melaksanakan apa yang telah dirancang, pengkaji akan membuat penilaian terhadap keberkesanan penggunaan kaedah peta minda terhadap penguasaan murid. Setelah selesai proses pembelajaran dan pemudahcaraan, pengkaji telah mengedarkan borang soal selidik yang mempunyai lima skala bagi setiap item kepada responden. Penjelasan telah dibuat sebelum responden mula menjawab. Responden diberikan tempoh sepuluh minit untuk menjawab soalan tersebut. Setelah borang itu dihantar, pengkaji perlu membuat analisis tentang maklumat yang diperoleh. Soalansoalan tersebut telah diberikan pilihan jawapan menggunakan skala likert iaitu bermula dari Sangat Tidak Setuju (1), Tidak Setuju (2), Tidak Pasti (3), Setuju (4) dan Sangat Setuju (5). 5.2 Analisis Pengumpulan Data 5.2.1 Ujian Penilaian (Ujian Pra dan Ujian Pos) Ujian Pra dan Ujian Pos dibina untuk memperolehi maklumat dan mengukur tahap penguasaan murid terhadap tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Ujian Pra diberikan sebelum sesi pembelajaran dan pemudahcaraan dijalankan dengan tujuan untuk mendapatkan gambaran tentang pengetahuan sedia ada responden mengenai tajuk yang dikaji. Ujian Pos diberikan setelah selesai kesemua sesi pembelajaran dan pemudahcaraan. Ujian yang dijalankan kepada responden adalah menepati Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Reka Bentuk dan Teknologi Tingkatan 2.


Soalan untuk kedua-dua ujian adalah setara. Namun begitu, tempoh pelaksanaannya adalah dalam jarak dua minggu. Seterusnya pengkaji akan melakukan analisis terhadap data ujian untuk melihat perubahan markah bagi kedua-dua kumpulan, iaitu Kumpulan Eksperimental dan Kumpulan Terkawal. Markah tersebut akan menunjukkan keberkesanan kaedah yang digunakan. Perbandingan akan dibuat di antara kedua-dua keputusan ujian tersebut antara Kumpulan Eksperimental dan Kumpulan Terkawal. 5.2.2 Pemerhatian Pemerhatian secara langsung akan dilakukan sebanyak dua kali supaya pengkaji dapat mengenal pasti tingkah laku responden sepanjang pembelajaran dan pemudahcaraan berjalan. Fokus utama pemerhatian ini dilakukan adalah untuk melihat tingkah laku responden yang menunjukkan minat dalam sesi pembelajaran. Bentuk pemerhatian yang dijalankan adalah secara berstruktur di mana pengkaji merekod pemerhatian berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Terdapat empat tema utama yang diperhatikan merangkumi minat, tingkah laku pasif, penglibatan dan masalah disiplin. Setiap satu tema mempunyai dua pecahan aspek. Dapatan pemerhatian akan menunjukkan sama ada kajian ini berjaya atau tidak dalam meningkatkan penguasaan murid Tingkatan 2 Ibnu Sina bagi tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif. 5.2.3 Soal Selidik Pengkaji juga mengedarkan borang soal selidik untuk mendapatkan reaksi responden berkaitan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan yang dijalankan. Borang soal selidik yang diberikan berbentuk soalan tertutup yang menggunakan skala Likert di mana responden perlu memberi skala (1 hingga 5) bagi setiap item dalam borang tersebut. Soalan yang dibina menjurus kepada objektif kajian, menggunakan laras bahasa yang sesuai, jelas, mudah difahami, soalan tidak terlalu panjang serta tiada diskriminasi. Ketika soal selidik hendak dijalankan, pengkaji terlebih dahulu memberikan penerangan setiap item soalan beserta skala kepada responden. Pengkaji juga mengingatkan responden agar menjawab soalan soal selidik tersebut dengan jujur dan telus. Berdasarkan dapatan soal selidik tersebut, kesimpulan akan dapat dibuat sama ada penggunaan peta minda dalam pembelajaran dan pemudahcaraan dapat meningkatkan penguasaan murid dalam tajuk Penyelesaian Masalah Secara Inventif.


5.2.4 Kesahan dan Kebolehpercayaan Kesahan dan Kebolehpercayaan adalah penting dalam setiap kajian yang dijalankan. Segala instrumen yang digunakan akan disahkan terlebih dahulu. Bell (1999) menyatakan bahawa kebolehpercayaan ialah satu perhubungan kepada sesuatu ujian atau prosedur untuk menghasilkan keputusan yang sama di bawah tahap yang sama. Ini bermaksud, kaedah pengumpulan data yang dilakukan akan menghasilkan keputusan yang sama walaupun dilakukan berulang kali. Namun begitu, kenyataan di atas adalah merujuk kepada fakta yang tetap dan tidak berubah. Sepanjang proses pengumpulan data bagi kajian ini, pengkaji memastikan bahawa responden berada dalam keadaan stabil dan selesa. Ianya dilakukan supaya mereka tidak dipengaruhi oleh faktor sekeliling yang boleh mengganggu hasil dapatan kajian. Sebagai langkah tambahan, pengkaji turut mengelakkan kelakuan yang boleh menimbulkan kerisauan atau kebimbangan di kalangan responden. Pengkaji akan membantu responden untuk berada dalam keadaan tenang serta bersedia sebelum ujian dijalankan. Selain itu, pengkaji juga memastikan bahawa responden benar-benar faham akan soalan atau ujian yang digunakan dalam kajian dengan memberikan penerangan yang jelas dan terperinci bagi setiap item yang digunakan. Pengkaji sentiasa mengingatkan responden agar menjawab setiap item soalan terutamanya soal selidik dengan jujur dan telus. Rasional bagi semua tindakan ini adalah bagi memastikan data kajian yang diperolehi mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. 6.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA Kaedah penggunaan peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran Reka Bentuk dan Teknologi sememangnya berkesan dalam membantu menaikkan minat serta penglibatan murid dalam pembelajaran. Seterusnya berjaya meningkatkan penguasaan murid pada tajuk yang dipelajari. Proses pembelajaran dan pemudahcaraan subjek Reka Bentuk dan Teknologi bukan hanya berpusatkan kepada amali sahaja tetapi teori juga amat dititikberatkan. Dapatan hasil daripada kajian ini seharusnya dikongsi atau diperluaskan kepada mata pelajaran lain. Namun begitu, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan sekiranya kajian seumpama ini dijalankan lagi pada masa akan datang. Cadangan tersebut seperti :


i) Mengaplikasikan penggunaan peta minda bagi tajuk-tajuk lain dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi bukan sahaja bagi Tingkatan 2, malah diperluaskan kepada murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 3. ii) Menambah bilangan responden supaya hasil dapatan kajian lebih jitu, selain dapat memanfaatkan keberkesanan kajian ini kepada jumlah murid yang lebih ramai. iii) Memperluaskan skop kajian dengan membuat perbandingan di antara kelas. iv) Menggunakan instrumen temubual dengan murid serta guru pakar bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dalam mengenal pasti masalah murid bagi memantapkan lagi dapatan kajian. v) Menaiktaraf kajian dengan menggunakan video animasi atau info grafik supaya pembelajaran lebih menarik sejajar dengan pendidikan abad ke-21 yang menggalakkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan.


RUJUKAN Abdul Fatah (1996). Kecemerlangan Minda Dalam Pembelajaran Keseluruhan Otak dan Daya Berfikir.Utusan Publication & Distributor. Sdn. Bhd. Al-Ghazali (1976). Ihya’ Ulumiddin,Jilid I-XII. Pustaka Indonesia,Medan.Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia (2008).Buku Manual Kajian Tindakan Edisi Ketiga. Putrajaya:Penerbit BPPDP,KPM. Bell, J. (1999). dalam Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Manual Kajian Tindakan. Kuala Lumpur: Penerbit BPPDP,KPM. Buzan,T. (1974). Use Your Head.BBC Publication. Buzan,T. & Barry, B. (2003). Tony and Barry Buzan The Mind Map Book. BBC Worldwide Limited: London. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. (2000). Kamus Dewan (Edisi Ketiga). Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dilip, M. (1996).Superbrain-Train your brain and Unleash The Genius Within. Singapore:Oxford University Press. Dunn, R., & Dunn, K. (1992). Teaching Elementary Students Through Their Individual ‘Learning Styles: Practical Approaches for Grades 3-6. Boston, MA: Allyn &Bacon. Khalid Mohamed Nor, Ph.D. (2003).Kaedah Pembelajaran Berkesan. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai(M) Sdn. Bhd. Kementerian Pendidikan Malaysia (2014), Modul Pengajaran Reka Bentuk dan Teknologi Tahun 5, Kuala Lumpur. Kemmis,S. & McTaggart,R (1988). dalam Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Manual Kajian Tindakan. Kuala Lumpur: Penerbit: BPPDP,KPM. Noor Azmi Ibrahim. (1998). Pembangunan Kurikulum Abad Ke-21. Berita Kurikulum.9 (1):6-7. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. Novak, J.D. & Gowin, D.B. (1984). Learning how to learn. New York: Cambridge University Press.


Pusat Perkembangan Kurikulum,(2013), Huraian Sukatan Pendidikan RBT Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Kuala Lumpur: PPK. Wahidin. (2004). Penggunaan Peta Konsep dan Peta Vee Dalam Meningkatkan sikap Pelajar Terhadap Kimia. Jurnal Pendidikan,(29). Ms 125-140.


Click to View FlipBook Version