1
1
MERAKYATKAN GERAKAN,
MEMPERKUAT GENERASI
PEMIMPIN YANG BAIK.
Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung
kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar
Ahmad Farhan Rosli
Presiden PKPIM
1
2
UCAPAN DASAR
MAJLIS PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN KALI KE-60
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA
MERAKYATKAN GERAKAN, MEMPERKUAT GENERASI
Ahmad Farhan Rosli
Presiden PKPIM
ﻢ, اﻟﺮﺣﻤﻦ اﻟﺮﺣ% "ﺴﻢ
(٨٨) ُﺐB ِﻪ @أ ِﻧ,ۡ ﻟ2 >ِﻠ ُﺖ َو: 89 ِﻪ َﺗ َﻮ,ۡ ﻠ2 ۚ َﻋOِ 9 ﭑMِ ِإ ﱠﻻGٓ Hِ , َﺢ َﻣﺎ ٱ ۡﺳ َﺘ َﻄ ۡﻌ ُﺖۚ َو َﻣﺎ َﺗ ۡﻮ ِﻓZٰ ﻠ2 ُﺪ ِإ ﱠﻻ ٱ ۡ ِﻹ ۡﺻUرT ِإ ۡن @أ
Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku
akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada
Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.
Yang Dihormati Prof. Dato Dr. Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan (MSK)
Yang Dihormati Saudara Mohamad Fazril Mohd Saleh,
Pengerusi Majlis Kebangsaan Pelajar Islam (MKPI)
Yang Berbahagia Datuk Haji Ahmad Azam Ab. Rahman
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Yang Dikasihi Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Ahli Parlimen Malaysia.
Yang dimuliakan tetamu-tetamu kehormat,
Ahli Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Ahli Majlis Kebangsaan Pelajar Islam (MKPI),
Sahabat-sahabat seperjuangan; Saf Ahli Jawatankuasa Kerja PKPIM peringkat Pusat,
Badan Gabungan Negeri, Kampus dan Cawangan, dan para Alumni PKPIM
Para Petugas dan Penggerak Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM ke-60
dan seluruh kaum kerabat pendukung jamaah WADAH-ABIM-PKPIM.
3
ﺎﺗﻪfﺮe و% ﻢ ورﺣﻤﺔc,اﻟﺴﻼم ﻋﻠ
Alhamdulillah. Kepada Allah SWT, kita sembahkan setinggi-tinggi kesyukuran
dengan nikmat dan izin-Nya jualah dapat disempurnakan Majlis Perhimpunan
Agung Tahunan PKPIM kali ke-60. Mudah-mudahan medan muhasabah ini akan
berlangsung dalam suasana mahabbah dan penuh harmoni. Moga perpisahan kita
juga diakhiri dengan pembaharuan iltizam, penuh semangat, kemesraan dan
bermotivasi tinggi demi meneruskan perjuangan.
1. Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 menghantarkan kita memasuki
era kematangan dalam perjalanan sejarah panjang hampir satu abad PKPIM.
Hari ini, kita bersaksi bahawa gerakan tercinta ini masih wujud walau dibadai
pelbagai mehnah dan tribulasi perjuangan. Barangkali generasi penubuh
PKPIM akan terkejut dengan ketangkasan PKPIM merangkul semangat
zaman tanpa melupakan asal-usul kewujudan dan akar tradisi gerakan.
2. Penghargaan setingginya buat pimpinan di negeri dan kampus seluruh
negara yang berjiwa kental mengemudi bahtera sendi-sendi PKPIM di kala
waktu mencabar. Bagi pihak rakan-rakan pimpinan dan perwakilan, kami
teruja dengan kecekalan rakan-rakan memimpin dengan jayanya
meneruskan kegiatan PKPIM di balik kekangan wabak pandemik. Andai Agus
Salim menyatakan “Memimpin itu menderita, kami katakan Memimpin Waktu
Covid-19 adalah sengsara”.
3. Dalam melaksanakan misi dakwah dan visi islah, kita selamanya dipandu
dengan kebijaksanaan memahami realiti waktu dan semangat zaman. Apa
yang selama ini diungkapkan sebagai “zeitgeist” (a collective attitude of
people in a specific time) tidak lain adalah kebijakan menangkap keanjalan
dan kecepatan perubahan zaman.
4. Umat global sedang membina suatu resam baharu kehidupan akibat badai
pandemik yang telah mengubah struktur masyarakat. Dalam meneliti
kerencaman normal baharu dunia, wajar kita waspadai pelbagai cabaran
yang melingkari persoalan umat sejagat. Di balik kesediaan sebahagian
belahan dunia yang siap siaga menangkap realiti baharu sejagat, masih ada
belahan dunia yang lain terus diancam cabaran kemiskinan, kelaparan, buta
huruf, ancaman penyakit, beban hutang dan pencemaran.
4
5. Berhadapan persoalan zaman yang sedia mencabar, kita meletakkan
kepercayaan dan iltizam bahawa seluruh kader PKPIM mempunyai suatu
“internal force” ditambah dengan “divine intervention” dalam menggarap
usaha meneruskan agenda dakwah dan pencerdasan rakyat. Dalam rangka
ini, pujian dan syabas buat seluruh penggerak daripada pucuk pimpinan
hingga ke akar umbi. Generasi inilah yang menjadi saksi segala badai yang
melanda, daripada krisis kesihatan hinggakan kemaruk pergelutan
kekuasaan. Inilah generasi yang berdaya saing dan mempunyai keunikan
memacu kebitaraan gerakan.
GENERASI MUDA DAN KETAHANAN ZAMAN
Young adults (ages 15–24) around the world are experiencing their second major global
crisis within a decade:1 they entered youth in the throes of the financial crisis,2 and are now
exiting at the outset of a pandemic not seen in generations. They will face serious
challenges to their education, economic prospects and mental health.1
(Pandemials: Youth in an Age of Lost Opportunity)
6. Meneliti laporan risiko global 2021, permasalahan kekecewaan anak muda
(youth disillusionment) merupakan antara 10 permasalahan yang melanda
dunia sejagat. Laporan ini disokong dengan beberapa kajian yang wajar itu
ditangani secara serius. Antaranya, 80% anak muda berkemungkinan
terdedah kepada sindrom kekecewaan, masalah mental serta kemurungan
dan hampir 30% pelajar tidak mendapat akses pendidikan berkualiti.2 Dalam
masa yang sama, cabaran terkait perubahan iklim, kerosakan nilai sosial
disebabkan kepesatan pendigitalan dan landskap baharu dunia pekerjaan
berasaskan kepintaran pembuatan (AI) telah menambah beban dalam
kehidupan anak muda hari ini
7. Isu-isu ini boleh membawa kepada pembentukan gerakan belia yang lebih
radikal selepas krisis kewangan global 2008. Tinjauan Persepsi Risiko Global,
Forum Ekonomi Sedunia menyenaraikan 'kekecewaan anak muda yang
meluas' sebagai ancaman kritikal kepada dunia yang boleh "mencabar
institusi negara yang rapuh, malah juga akan menjejaskan kestabilan sistem
politik dan ekonomi." Sesungguhnya di hadapan kita dihamparkan dengan
cabaran generasi yang unik , yang sedang bangkit daripada igauan
pandemik. Ekosistem terbuka telah memberi ruang seluasnya untuk anak
muda menyatakan pandangan daripada media sosial hinggalah ke jalanan.
1 World Economic Forum, Global Risk Report, 2021 http://reports.weforum.org/global-risks-report-
2021/pandemials-youth-in-an-age-of-lost-opportunity/
2 ibid
5
8. Generasi pandemials adalah generasi yang optimistik dan berdaya tahan.
Optimisme dan ketahanan anak muda haruslah dimanfaatkan umat. Generasi
muda tidak boleh lagi dipandang enteng. Benarkan optimisme dan
ketahanan generasi muda membawa keluar dunia daripada belenggu
kerosakan dan kebobrokan sistem. Generasi muda paling terjejas kerana
pandemik tetapi wajar diyakini, krisis ini sebagai peluang untuk menetapkan
semula dan memacu perubahan yang mereka mahu lihat —mereka mahu
melihat PERUBAHAN.
9. Hakikatnya, ledakan perubahan tanpa kompas moral, akhlak dan ilmu adalah
suatu perubahan yang tidak punyai nilai. Menjadi tanggungjawab PKPIM
sebagai gerakan pemuda Islam menyediakan kompas perubahan
berteraskan kefahaman waqieyyah atas pasak jati diri ‘KeIslaman,
KeMalaysian dan Kemahasiswaan’ daripada sudut pemikiran, kejiwaan dan
fikrah haraki. PKPIM yakin inilah tonik terbaik dalam membangun ketahanan
generasi baharu gerakan dakwah yang menjiwai ledakan perubahan yang
terisi dengan ilmu dan faham yang tuntas.
10.Dalam membina ketahanan generasi pelanjut perjuangan, penting buat
PKPIM menyebarkan idealisme perjuangan yang murni. Kegagalan terbesar
dalam proses pembinaan generasi adalah usaha membenihkan fikrah dan
daya juang yang tulen yang akan mengakibatkan lunturnya idealisme
perjuangan. Fenomena ini diungkapkan Dato Dr Siddiq Fadzil sebagai “the
death of idealism” (kematian idealisme). Kematian idealisme dalam kalangan
juruislah akan menyumbang kepada kemusnahan etika perjuangan.
11.Pengungkapan idealisme mewakili suatu aspirasi kolektif sesebuah generasi.
Ungkapan idealisme kemudian hadir sebagai suatu nyala rasa, pegangan
aspirasi yang menjadi daya motivasi pembebasan daripada kemelut yang
melanda. Idealisme dalam naratif etika oleh Nicholas Rescher ialah ‘prinsip
atau nilai yang mana prinsip dipegang oleh seseorang individu dengan
penuh dedikasi yang tersusun dari dasar ke pucuk.’ Meghan Elizabeth
Kallman dalam The Death of Idealism mengungkap idealisme sebagai
fenomena sosial yang dipengaruhi pengungkapan dengan kefahaman yang
mendalam, bukan sekadar ungkapan umum tanpa disiplin kefahaman.3
3 Mawanda, James. "Meghan Elizabeth Kallman, The Death of Idealism: Development and Anti-
politics in the Peace Corps, Columbia University Press, New York, 2020, pp320. (2021).
6
12.Idealisme adalah pengungkapan faham ilmu kepada arena kebaktian
keumatan. Idealisme generasi muda adalah hasil mencernakan jiwa yang
menderita, menginginkan kejernihan dan keadilan dengan keuletan dan
kegigihan mereka menolak rasuah dan kezaliman.4 Winston Churchill
misalnya dalam ucapan pertamanya, “Blood, toil, tears and sweat’, telah
menjadi sumber kekuatan buat tentera Britain dengan ungkapan idealisme;
KEMENANGAN!!!
“I would say to the House, as I said to those who have joined this Government: I have
nothing to offer but blood, toil, tears and sweat. We have before us an ordeal of the
most grievous kind. We have before us many, many long months of struggle and of
suffering. You ask, what is our policy? I can say: It is to wage war, by sea, land and air,
with all our might and with all the strength that God can give us; to wage war against
a monstrous tyranny, never surpassed in the dark, lamentable catalogue of human
crime. This is our policy. You ask, what is our aim? “I can answer in one word: It is
victory, victory at all costs, victory in spite of all terror, victory, however long and hard
the road may be, for without victory, there is no survival.”
13.Apakah ungkapan idealisme kepemudaan PKPIM? Dengan cabaran
pandemik yang mengekang, PKPIM memperkenalkan tema MUDA sebagai
ungkapan aspirasi generasi muda PKPIM. Idealisme MUDA PKPIM
diformulasikan seperti berikut
M : Madani
U : Ummatik
D : Demokratik
A : Akomodatif
Madani
Dari jawharnya, minda madani melambangkan konotasi Islam bertitik asas
daripada faham ad-deen, sifat-sifat peradaban dan ketamadunan (al-
madinah). Idealisme kepemudaan mengikut acuan PKPIM adalah berasaskan
faham Islam yang luhur dan ketamadunan yang tinggi. Fikrah Madani adalah
suatu kepatuhan pada aturan ad-deen, moral, nilai dan etika. Fikrah madani
adalah seiring saranan Malek Bennabi dan Ibnu Khaldun yang
menitikberatkan soal akhlak masyarakat sebagai bekalan kebangkitan
tamadun Islam. Dua tokoh ini menjelaskan kemajuan tamadun Islam bertitik
tolak daripada “fikrah dinniyah”, wawasan fikir yang jelas berasaskan
penghayatan nilai, tabiat dan tatasusila yang luhur demi kemajuan sesebuah
generasi. Fikrah Madani menyediakan kerangka fikir yang kukuh sebagai
bekalan ke arah agenda pembangunan tamadun umat sejagat.
4 Anwar Ibrahim, 2016. Surat Dari Sungai Buloh
7
Ummatik
Saranan untuk umat bersatu dalam satu ‘unifying force’ harus didasari
dengan kesedaran penyatuan etika dan akhlak sebagaimana disinggung
Anwar Ibrahim yang menganggap konsep ummah bukannya bersifat
pembenturan budaya atas normal dominasi buta tetapi siap berkongsi
kesedaran keumatan.5 Difahami bahawa faham umat tidak boleh lagi
dipecah-belahkan. Generasi muda PKPIM harus siap membawa mesej
“ummah insaniah”, suatu konsep seruan kesatuan atas mesej keinsanan yang
bertitik tolak daripada perlawanan daripada semua nilai yang bercanggah
dengan norma keinsanan.
“The ummah as a network of communities is required to acknowledge moral
and practical responsibility for the Earth as a trust and its members are
trustees answerable for the condition of the Earth. This makes ecological
concerns a vital element in our thinking and action, a prime arena where we
must actively engage in changing things in rapidly changing times.”
Demokratik
Kefahaman kita terkait demokrasi tidak wajar disempitkan soal politik sahaja
tetapi harus diluaskan sebagaimana pembahagian Pak Natsir iaitu
‘demokrasi politik yang menjamin kemerdekaan berfikir, berbicara dan
berhimpun dan demokrasi ekonomi yang menjamin keadilan sosial bagi
setiap anggota masyarakat’. Menurut Pak Natsir lagi ‘demokrasi menurut
Islam adalah usaha untuk mendahulukan kebenaran di atas kepentingan
individu ataupun golongan sehingga bentuk demokrasi itu memberikan
ruang kepada rakyat untuk mengkritik, menegur, membetulkan
pemerintahan yang berlaku zalim. Jika tidak cukup dengan kritikan dan
teguran, Islam memberikan hak kepada rakyat untuk menentang pelbagai
bentuk kezaliman yang terjadi atas nama negara.’6
Dalam rangka pemahaman demokrasi inilah anak muda harus mampu
menjadi kekuatan bagi menjalankan usaha pendemokrasian demokrasi.
Demokrasi tidak boleh dilihat sebagai wacana elit mahupun urusan eksklusif
parti politik dan akademia tetapi sudah seharusnya menjadi keprihatinan
seluruh rakyat terutama generasi muda.
5 Anwar Ibrahim, Where is the Umamah. (2021)
6 Natsir, Muhammad. "Capita Selecta." (1961).
8
Akomodatif
Idealisme kepemudaan PKPIM harus menangani persoalan kepelbagaian
dalam bingkai kesatuan. Latar Malaysia sebagai negara majmuk menuntut
kita menghormati keunikan ini sebagai tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Ini
menuntut generasi muda PKPIM memahami fiqh at-Taayush as-Silmi, fiqh at-
Ta’adduddiyyah, dan fiqh al-Muwathanah yang meliputi kefahaman terhadap
hak setiap individu daripada pelbagai latar agama, etnik dan fahaman.
Persoalan ini menuntut anak muda PKPIM memahami Manhaj Malizi
seterusnya melebarkan faham pendekatan dakwah yang penuh hikmah.
Keterbukaan kita harus berlunaskan hukum, perlembagaan, rukun negara
dan elemen tradisi Malaysia dalam soal kedudukan Islam sebagai agama
persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kedudukan
istimewa orang Melayu. Idealisme ini dipasakkan atas keterbukaan dengan
perubahan yang penuh cermat mengambil kira tradisi, adat dan budaya
masyarakat Malaysia seluruhnya.
14.Inilah idealisme kepemudaan PKPIM. MUDA PKPIM yang tidak tenggelam
dengan rempuhan kegalauan pemikiran yang mengelirukan. MUDA PKPIM
siap beradaptasi dengan zaman, tetapi masih mempertahan akar tradisi
Bangsa Malaysia. MUDA PKPIM menginginkan keadilan saksama untuk
semua rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman. MUDA PKPIM tidak akan
takut menyanggah kebobrokan sistem dan mempertahankan nilai, moral
serta akhlak yang murni.
REFOMASI SISTEM & REFORMASI NILAI
(٤١) ﻠ ُﻬ ۡﻢ َﻳ ۡﺮ ِﺟ ُﻌﻮ َن9 ﻟ َﻌ2 ﻟ ِﺬى َﻋ ِﻤ @ﻠﻮ{ا9 ۡﻌ َﺾ ٱMَ َﻘ ُﻬﻢt ِﺬ,ُ س ِﻟT ِﺪى ٱﻟ ﱠﻨﺎtۡ أ2 ۡﺖsَ ﻛ َﺴ2 َﻤﺎMِ ﺮT ۡﺤpَ ﻟ: َوٱmَ ﱢn ﻟ: ٱkl ِ ﻟ َﻔ َﺴﺎ ُد: ﻇ َﻬ َﺮ ٱ2
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian)
kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan
buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (41)
15.Ibnu Ashur dalam Tafsir at-Tahrir wa at-Tahrir menyatakan ‘al-Fasad’ meliputi
semua bentuk kerosakan di bumi di daratan mahupun daratan. HAMKA
dalam tafsir Al-Azhar menyatakan ‘al-Fasad’ membawa konotasi kerusakan,
dan kebinasaan dan kekacauan. Jika dilihat dengan lebih luas, kerosakan ini
tidak terhad kepada kerosakan fizikal, namun merangkumi kerosakan moral,
nilai dan akhlak yang berakar “RASUAH”.
9
16.Akibat rasuah, rakyat tertindas, akibat rasuah jenayah-jenayah berleluasa,
akibat rasuah negara bencana melanda dan akibat rasuah negara boleh
tumbang. Kita berkongsi keprihatinan dengan Profesor Kamal Hasan tentang
rasuah yang begitu berleluasa dalam negara. Katanya, rasuah telah menjadi
‘way of life’ dalam negara kita.
“The corruption of politics in Malaysia, in which I would include cronyism,
nepotism, collusion between politics and business, has confirmed beyond any
shadow of a doubt what Lord Acton predicted in 1887;” Power tends to
corrupt; absolute power to corrupt; absolute power corrupts absolutely”, and
the spread epidemic of political hypocrisy in recent years is a proof that
Machiavellian pragmatism which uploads the doctrine of “the end justifies the
means” is a dominant feature of Malaysian politics.7
17.Difahami yang kita ingin ubah adalah suatu sistem yang telah rosak hingga
ke akar. Dari institusi pencegahan rasuah, pengurusan bencana, institusi
agama hinggalah institusi pendidikan, rasuah telah menjadi barah yang
merebak ke dalam segenap ruang yang akan merosakkan ekosistem
masyarakat. Rasuah merupakan masalah akar yang sudah lama mencengkam
dan tidak akan hilang hanya dengan perubahan kerajaan
18.Keseriusan PKPIM dalam menangani rasuah ditonjolkan melalui inisiatif
MYACT di bawah kendali Pejabat Setiausaha Agung bersama Bahagian
Pendidikan Masyarakat SPRM. Penubuhan Malaysian Youth Anti-Corruption
Task Force (MYACT) merupakan usaha tepat dalam membantu Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutamanya Bahagian Pendidikan
Masyarakat bagi menyebar luas mesej anti rasuah kepada ahli-ahli persatuan,
pelajar universiti serta golongan belia.
19.PKPIM sambut baik kesepakatan kerajaan bersama Pakatan Harapan melalui
MOU untuk kestabilan politik dan transformasi institusi. Melalui perjanjian itu
kerajaan menjanjikan pembaharuan yang merangkumi reformasi parlimen,
menurunkan had usia mengundi, meluluskan rang undang-undang
antilompat parti, menghadkan tempoh jawatan perdana menteri ke dua
penggal, memberi fokus kepada Covid-19, memastikan kebebasan
kehakiman dan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963. Ini penting dalam usaha
melaksanakan proses pembaharuan dalam ekosistem politik dan demokrasi
Malaysia yang berhadapan ketidakstabilan yang kemudiannya telah
menjejaskan ekonomi dan kepercayaan pelabur luar.
7 Hasan, K. Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical
Transformation. Emir Research, 2021.
10
20.Namun begitu, reformasi sistem harus diselarikan dengan usaha berterusan
menggerakkan reformasi nilai karakter bangsa. Umat harus disedarkan
daripada belenggu kerosakan dan kejahilan, membiasakan yang betul dan
membetulkan yang biasa dan mengembalikan maruah rakyat.
Penyimpangan nilai yang melanda umat kini harus dibetulkan dengan
pendekatan penuh hikmah bukannya dengan menghukum mudah.
21.Menjadi tanggungjawab buat gerakan dakwah memperbaik semula nilai
insani yang sebenar ke arah melahirkan warganegara yang baik dan
bertaqwa. Warganegara yang sedar bahawa lingkaran kerosakan itu harus
dipecahkan dengan kesedaran daripada warga yang diorientasikan dengan
sikap kritis terhadap kebobrokan dan kerosakan.
22.Reformasi tiada erti sekiranya lompong tanpa roh. Roh Reformasi bukan
pada slogannya, bukan pada laungannya, bukan juga pada pemegang
panjinya. Roh Reformasi adalah pada umat dan rakyatnya. Reformasi sedaya
upaya kita demi umat seluruhnya.
PEREMAJAAN DEMOKRASI DAN KEPIMPINAN
23.Kita mengalami fenomena peremajaan institusi awam, ekonomi dan politik
yang sangat drastik. Pada 23 Januari 2019, Bloomberg menerbitkan suatu
rencana yang menyimpulkan bahawa, , “The rich are getting richer, and
younger.” Meskipun Forbes menjelaskan bahawa sebahagian daripada
mereka ini mewarisi kekayaan orang tua mereka, tetapi dalam masa yang
sama sebahagian besar yang lain merupakan ‘self-made billionaire’.
24.Dalam arena politik pula, tahun 2017 merupakan titik peremajaan politik
dunia. Dalam masa satu tahun, empat pemimpin muda diangkat sebagai
ketua kerajaan, Austria, New Zealand, Perancis dan Ireland, masing-masing
antara umur 31 hingga 39 tahun ketika itu. Pada November 2017, Alexandria
Ocasio-Cortez dilantik sebagai Ahli Kongres Amerika Syarikat termuda
dalam sejarah AS, pada usia 29 tahun. Typhanie Degois pula dilantik sebagai
ahli Parlimen Perancis termuda pada usia 24 tahun. Edison Broce, 27, dari
Panama, Jordon Steele-John, 22, dari Australia dan Ebba Hermansson, 22,
dari Sweden, masing-masing memegang amanah rakyat pada usia bawah 30
tahun ketika dilantik. Dan pastinya, rekod baharu, harapan baharu dan
sejarah kebanggaan Malaysia, apabila YB Menteri Belia dan Sukan dilantik
sebagai ahli Kabinet termuda dalam sejarah dunia pada usia 25 tahun pada
tahun 2018.
11
25.Yang paling mustahak ialah lapangan aktivisme. Tahun 2018 menjadi saksi
kepada lahirnya aktivis muda daripada Sweden, Greta Thunberg. Pada usia
15 tahun, berdiri tunjuk rasa di hadapan Parlimen Sweden menyatakan
protes dan advokasi isu iklim dunia. Greta kini dikagumi dunia kerana
kematangannya dan kekuatan idealismenya itu, hari ini melahirkan generasi
baharu aktivis muda, yang disebut oleh The Guardian, sebagai ‘Generasi
Greta’.
26.Proses peremajaan demokrasi dan kepimpinan turut berlaku di Malaysia.
Penguatkuasaan undi18, YB18 dan penurunan had umur belia daripada 40
tahun kepada 30 tahu secara tidak langsung membuka ruang kepada
perubahan struktur demokrasi dan kepimpinan negara.
27.PKPIM sambut baik serta akan terus bersama bagi menjayakan usaha murni
peremajaan demokrasi Malaysia. Jangkaan pertambahan hampir 3.8 juta
pengundi baru oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menzahirkan kepentingan
segmen anak muda dalam proses pemilihan pemimpin dan pembuatan
keputusan. Aktivis PKPIM di setiap peringkat harus meneruskan agenda
pendidikan kewarganegaraan bagi memastikan hak perlembagaan ini tidak
dipersiakan. Cabaran utama pasca undi 18 adalah bagi memastikan
golongan muda keluar mengundi dan mengundi pemimpin yang tepat.
28.Polemik had umur belia juga memprihatinkan PKPIM. Aktivis PKPIM harus
dipersiapkan untuk menerajui pergerakan belia di peringkat akar umbi. Kita
mempercayai kemampuan para aktivis PKPIM untuk terampil dalam
lapangan yang lebih mencabar berinteraksi dengan rakan-rakan luar
lingkungan PKPIM.
12
DINAMIKA GERAKAN MAHASISWA : KESATUAN & KERAKYATAN
There are lots of other vein (student organizations) but most important to mention
especially for PKPIM, it is also religious activism which has also cultural and academic
background.
(Prof. Meredith L. Weiss, 2020)
29.Meredith L. Weiss merujuk gerakan mahasiswa sebagai student activism
dengan menyimpulkan gerakan mahasiswa sebagai “students who enrolled
in tetiary-level institutions that have times in joining the political fray”.8
Gerakan mahasiswa juga punyai konotasi yang lebih luas, sangat berkait
dengan elemen futuristik dan perubahan yang tidak wajar difahami dengan
pemahaman positif. Dengan kata lain, gerakan mahasiswa haruslah sentiasa
bergerak, tidak boleh kaku dalam corak pendekatan, pemikiran dan
pembawakan serta perubahan.
30.Harus diakui perbahasan berkaitan gerakan mahasiswa makin mendapat
tempat dalam kalangan mahasiswa apabila kerajaan Pakatan Harapan
membenarkan penubuhan semula Kesatuan Pelajar di universiti pada 2019.
Secara undang-undang, kewujudan kesatuan pelajar diperakukan namun
rangka pelaksanaan jelas tidak dilakukan berasaskan semangat unionism.
Jadual Pertama Seksyen 48(1), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1976
memperuntukkan :
(1) Pelajar berdaftar Universiti, selain pelajar luar, hendaklah pada
kesemuanya menjadi suatu badan yang dinamai Kesatuan Pelajar-Pelajar
Universiti (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut
“Kesatuan”).
31.Kesatuan Pelajar seharusnya mampu memberikan dimensi baharu kepada
gerakan mahasiswa. Keperluan kesatuan pelajar diakui penting dalam aspek
dunia kemahasiswaan. Nilai asas yang harus ada dalam kesatuan mahasiswa
adalah perwakilan (representativeness), keterbukaan (openness),
demokratik (democracy) dan kebebasan (independence). Kesatuan
mahasiswa haruslah mewakili seluruh mahasiswa, bergerak secara terbuka
menyantuni mahasiswa pelbagai latar, pembuatan keputusan secara
musyawarah dan sebuah gerakan bebas daripada pengaruh kepartian, dan
institusi kerajaan.9
8 Weiss, Meredith Leigh. Student Activism in Malaysia: Crucible, Mirror, Sideshow. NUS Press, 2011.
9 Proteasa, Viorel, Matt Tabone, Stein Erik Kirkeboen, Pascal Hartmann, Regina Weber, and Marko
Stojanovic. "The Student Union Development Handbook for a Stronger Student Movement."
European Students' Union (NJ1) (2009).
13
32.Kekangan utama ke arah pembentukan kesatuan mahasiswa nasional adalah
untuk membentuk suatu solidariti bersama yang bersatu atas suara
mahasiswa. Campur tangan melampau institusi politik dan kementerian
menyukarkan langkah ke arah pembentukan kesatuan mahasiswa nasional.
Lebih mendukacitakan, ada dalam kalangan pimpinan mahasiswa terikut-ikut
acuan feudal lama, bersikap dungu menjadi pak sanggup, pak turut dan
perkakas penguasa rakus. Lebih memeritkan, ekosistem pendidikan tinggi
negara juga tidak mesra mahasiswa. Struktur undang-undang pendidikan
tinggi harus diubah dalam merekayasa sebuah ekosistem baharu
membenarkan mahasiswa benar-benar dilayan sebagai pemegang taruh
terbesar di institusi pengajian tinggi.
33.PKPIM akan terus konsisten bersama gerakan mahasiswa yang lain bagi terus
mendesak pemansuhan AUKU 1976 dengan suatu akta yang lebih inklusif.
Satu undang-undang yang holistik sebagai jalan keluar kepada AUKU 1976
yang bersifat menindas harus diperkenalkan bagi memperbaik struktur
pendidikan tinggi negara.
34.PKPIM harus lebih berperanan mempertingkat wacana pencerahan dan
menjadi watak damai dan penyatu. PKPIM siap menjambatangi pelbagai
kelompok anak muda dan mahasiswa mencari titik temu sebarang sifat
pesimis mahupun syak wasangka liar. Kesediaan PKPIM adalah untuk
mengadakan “corrective engagement” terutama dalam ruang demokrasi
yang menuju kematangan selepas situasi unprecedented democracy yang
melanda negara. PKPIM menghormati perbezaan pandangan dan
kecenderungan politik rakan-rakan mahasiswa namun demi kepentingan
dan solidariti mahasiswa, tinggalkanlah topi perbezaan ideologi dan
fahaman politik.
PKPIM sebagai Model Kesatuan Mahasiswa
35.Menurut UNESCO, autonomi institusi difahami sebagai “a degree of self-
governance, necessary for effective decision-making by institutes of higher
education regarding their academic work standards, management and
related activities”.
36.Autonomi kesatuan mahasiswa boleh dilihat daripada tiga eleman iaitu (i)
autonomi organisasi, (ii) autonomi kewangan, dan (iii) autonomi pentadbiran.
Kesatuan Mahasiswa haruslah mempunyai jaringan struktur organisasi yang
kukuh dan diperakukan oleh undang-undang, mampu mengurus dan
menjana kewangan serta mempunyai kebijaksanaan mentadbir perjalanan
organisasi secara mandiri.
14
37.Pengalaman PKPIM sebagai sebuah kesatuan pelajar (mahasiswa) selama
hampir satu abad membuktikan aktivis PKPIM di seluruh negara mampu
menjadi contoh kepada pembentukan kesatuan mahasiswa nasional. Kita
mempunyai struktur kepimpinan yang baik melalui gabungan daripada
rakan-rakan gabungan negeri, cawangan negeri dan kampus, mempunyai
badan semak imbang dan penasihat yang berkepakaran (MKPI dan Syura
PKPIM) dan kepimpinan yang mandiri.
38.Kekuatan PKPIM didokong oleh jaringan alumni, akar umbi dan
antarabangsa yang lebar. PKPIM berbangga dengan institusi yang dimiliki
seperti Koperasi PKPIM, Yayasan Pelajar Islam Malaysia dan Pusat Kegiatan
Pelajar Islam Malaysia. Kita juga berbangga dengan kemampuan rakan-rakan
BGN yang memiliki insitusi dan aset tersendiri seperti mana PEPIAS (PULPA
& BUDI Care) dan KPIP (PPI).
39.Sebagai sebuah organisasi yang progresif, para aktivis PKPIM harus
membuka corak fikir yang lebih besar ke arah penginstitusian jamaah. Kita
yakin berbekalkan bantuan jaringan para alumni PKPIM, idea penginsitusian
PKPIM mampu dilaksanakan. Idea ini boleh dilaksanakan oleh rakan-rakan
umbi yang mempunyai inspirasi dan kemampuan yang sama.
40.Oleh itu, kita tawarkan pengalaman PKPIM untuk dikongsikan bersama
rakan-rakan mahasiswa Malaysia. Iltizam kita adalah bagi merangkul seluruh
gerakan mahasiswa ke arah pembentukan sebuah Kesatuan Mahasiswa
Malaysia yang bebas dan mandiri. Iltizam ini bukan bermaksud kita mendabik
dada, tetapi adalah iltizam merekayasa kebangkitan mahasiswa.
MODEL SEGAR GERAKAN MAHASISWA ISLAM PROGRESIF
41.Gerakan Mahasiswa Islam adalah suatu kelompok minoriti kreatif (creative
minorities) dan angkatan terpilih (sofwah al-mokhtarah) dalam menjalankan
misi islah dan tajdid. Perjuangan islah dan tajdid gerakan mahasiswa tidak
lain tidak bukan adalah suatu daya kekuatan pencerahan,pembebasan dan
perubahan ke arah pembaikan masyarakat yang lebih baik.
42.Gerakan Mahasiswa Islam harus proaktif dengan perkembangan zaman.
PKPIM tidak perlu menjadi jaguh mana-mana kelompok yang menunggang
sentimen populariti murahan demi mendapatkan sokongan anak muda atau
menyaingi kelompok retorik perkauman dan ekstrem agama mengula-
gulakan rakyat dengan slogan “Hidup Islam”, “Hidup Melayu” dan apa jua
propaganda demi menagih sokongan di peti undi.
15
43.Gerakan mahasiswa Islam tidak boleh melakukan perubahan yang bersifat
reaktif tetapi haruslah proaktif dan bersedia dalam melaksanakan
perubahan. Sheikh Fathi Yakin dalam risalah “Generasi Muda dan
Perubahan” menyatakan tiga perkara pokok sebagai persediaan berinteraksi
dengan perubahan, (i) persediaan pemikiran, persediaan kejiwaan dan
persediaan pergerakan.
a) Persediaan pemikiran
Pemuda Islam harus bersiap sedia membentuk suatu cara fikir Islami
berteraskan pengetahuan Islam yang merangkumi faham agama, al-
Quran,as-Sunnah, Sirah Nabi, Fiqh dan Usul Fiqh, ilmu Aqidah, tazkiyah dan
sistem Islam. Pemahaman ilmu asas Islam ini harus dipadankan dengan
‘thaqafah ammah’ merangkumi isu pemikiran, kemanusiaan, hak asasi, realiti
semasa dan sejarah bagi membolehkan pemuda mempunyai kebijakan
menangani penyelewengan dan kefasadan.
b) Persediaan Kejiwaan
Persediaan kejiwaan ialah menjinakkan jiwa untuk terikat dengan syarak
dalam memenuhi kehendak dan kemahuan. Pemuda Islam pula hendaklah
memahami bahawa perhatian berat hendaklah diberi kepada Tazkiatan-Nafsi
(membersihkan diri) melalui pendekatan zikrullah, kedekatan dengan al-
Quran, Muraqabah billah dan mujahadah an-Nafs.
c) Persediaan Haraki
Persediaan haraki ini lebih merupakan latihan berhubung dengan
persekitaran dakwah, penyusunan (tarkib) serta masalahnya. Ini sudah
pastinya terkait soal perlatihan ketaatan dan ibadat kepada Allah SWT,
latihan uslub dakwah, latihan pemahaman dan tanggungjawab tanzim
haraki, dan melatih pemuda Islam untuk siap menanggung kecekalan dalam
kesusahan.
44.Aib besar jika gerakan mahasiswa Islam bersifat elit, eksklusif dan jauh
daripada denyut nadi rakyat. Keberadaan kita di tengah-tengah pergelutan
zaman adalah komitmen besar ke arah memastikan umat tidak berada dalam
belenggu kejahilan dan penindasan.
16
45.Atas tekad ini, seluruh jentera wajar diperkemaskan dalam membawa suara
masyarakat terbanyak. Kader PKPIM harus siap menjadi mata, telinga dan
lidah rakyat bagi memastikan kehadiran PKPIM dirasai mulai pinggiran
Tanjung Piai hingga pedalaman Kapit. Agenda pencerdasan rakyat dengan
merangkul seluruh kekuatan gerakan madani setempat harus digerakkan
dalam usaha memastikan penampilan PKPIM terus relevan di mata
masyarakat. Kita tidak mahu menjadi gerakan bersifat “Bangsar Bubble” yang
hanya di meriah di tiktok dan twitter tetapi PKPIM mahu menjadi gerakan
yang bersama umat, tidak eksklusif dan elit.
46.Bagi PKPIM, lapangan umat adalah medan dakwah besar PKPIM.
Perkenalkan PKPIM kepada yang curiga dan takut. Kalau pun mereka tidak
bergabung dan berintima’ dengan perjuangan ini, cukuplah mereka tidak
membenci dan memusuhi PKPIM. Andai mereka tidak menyertai PKPIM,
cukuplah mereka menjadi simpatisan kita dan menyebarkan kerja baik kita
kepada umat. Andai mereka menyertai dan bersama-sama PKPIM, menjadi
amanah besar untuk kita mengilap idealisme dan melatih mereka menjadi
pemimpin umat di kemudian hari.
KELESTARIAN AGENDA DAN ASAS GERAKAN
Sahabat-sahabat perjuangan sekalian
47.Sepanjang diberikan pinjaman amanah kepemimpinan, kita akui banyak
perkara yang terkhilaf dalam mengharungi samudera perjuangan. Terima
kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberi ingatan. Kami
terkesan dengan saranan “3P” YDP KPIP, Saudara Syahir Abdul Razak ketika
pertemuan bersama rakan-rakan pimpinan KPIP yang merumuskan
kepimpinan perlu “Turun PADANG, Selami PERASAAN dan laksanakan
PENYELESAIAN”.
48.Demi kelangsungan agenda Dekad Baharu PKPIM yang diusulkan dalam
Ucapan Dasar yang lalu, molek kiranya untuk kita lakarkan empat aulawiyyat
penting bagi memastikan PKPIM, BGN, kampus dan cawangan sentiasa
berada dalam landasan terbaik.
17
Aulawiyyat Pertama : Perkuat Usrah
Pertama, aktivis PKPIM di semua peringkat mesti menambah baik sistem
usrah bagi menyalakan semua roh tarbiah dalam kalangan para aktivis. Usrah
kita harus dikemas-kini daripada bersifat issue based, movie based dan syok
sendiri. Perbincangan dalam usrah harus mempertahankan tradisi budaya
ilmu dan pemurnian fikrah gerakan serta memastikan segmentasi usrah
meliputi solat jamaah, tadabbur al-Quran, perbincangan topik bina fikrah
dan perbahasan isu semasa tidak luput dalam perbahasan. Ini termasuklah
mengatur semula usrah unit, usrah rijal dan hewi, usrah qiadah dan usrah
umum dengan lebih sistematik.
Komitmen ini bukanlah bererti kita menolak fleksibiliti dan adaptasi zaman
tetapi adalah penting mengembalikan disiplin dalam usrah bagi memastikan
komitmen roh usrah sebagai nadi gerakan dapat dikembalikan. PKPIM juga
mencadangkan buku “Aspirasi PKPIM’ dan “Kod Etika Dakwah” dijadikan
bahan wajib sebagai perbincangan dalam usrah.
Aulawiyyat Kedua : Perkukuh Budaya Ilmu
Prof Wan Nor Wan Daud dalam buku Penjelasan Budaya Ilmu menyatakan
“Budaya ilmu bermaksud wujud satu keadaan setiap individu atau
masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan bagi setiap
kesempatan. Setiap tindakan diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu
pengetahuan sama ada melalui pengkajian atau syura. Selain itu, ia juga tidak
mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu.”
DNA PKPIM adalah budaya ilmu. Punca kerelevanan dan kekuatan PKPIM
adalah budaya ilmu. Menjadi kebimbangan sekiranya kegiatan keilmuan
makin menipis dalam kalangan generasi muda disebabkan ekosistem
moden seperti ‘Netflix, Disney Plus dan sebagainya. Menjadi tanggungjawab
dan kewajiban buat para aktivis PKPIM memperhebatkan kembali wacana
keilmuan, bibliophila dan kegiatan intelektual di setiap peringkat serta
memilih bahan bacaan yang berkualiti dan berimpak tinggi. Usaha bersama
harus digerakkan bagi mempertahankan watak aktivis PKPIM yang sinonim
sebagai individu buku dan cinta ilmu.
18
Aulawiyyat Ketiga : Perhebat Budaya Dakwah Fardiyyah
Mustafa Masyhur menghuraikan kepentingan dakwah fardiah dalam
mengukuhkan kekuatan gerakan Islam. Peranan dakwah fardiah istimewa
kerana ia mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza
dengan dakwah am seperti ceramah dan majlis ilmu kerana ia tidak
melahirkan hubungan mesra secara langsung antara daie dan mad’u.10
PKPIM percaya pendekatan dakwah fardiah harus difahami dalam jiwa para
pimpinan untuk mendekati cita rasa anak muda bersekalikan melebarkan
idealisme PKPIM. Kita yakin dengan watak dan karakter rakan-rakan PKPIM
yang mudah didekati dan tidak elit merupakan cerminan penting dalam
melaksanakan dakwah fardiah.
Aulawiyyat Keempat: Perbaiki Tarbiyah Dan Latihan
PKPIM wajib memberi penekanan dalam aspek tarbiyah harakiyyah. Jamaah
ini bukan persatuan atau organisasi biasa laksana kelab basikal lajak, kelab
mendaki gunung mahupun kelab mengumpul setem. Kegiatan PKPIM
bukannya bersifat program-programan mahupun kesukarelawan semata.
Jawhar al-Amal PKPIM, kegiatan esensi PKPIM sebagai Harakah Islamiyah
adalah Dakwah, Tarbiyah dan bina generasi.
Sistem latihan kita harus diperkemas dan dilaksanakan secara berstruktur.
Aspek latihan melalui program tamrin harus diberi penekanan serius oleh
aktivis gerakan. Pelaksanaan tamrin dan program perlatihan memerlukan
kesiap-siagaan sistem dan pasukan jurulatih yang berkemahiran. PKPIM
beriltizam untuk merangkul kelompok yang berkepakaran dalam
melaksanakan latihan melalui penubuhan Majlis Nuqaba dan Jurulatih PKPIM
yang akan dipantau secara terus MKPI. Platform ini akan menyemak
pelaksanaan program tarbiah dan persiapan para nuqaba’ berwibawa di
seluruh negara.
Tahapan tarbiah dan latihan harus mengambil kira marhalah ta’arif, takwin
dan tanfiz. Hakikatnya, proses ini harus bersifat fleksibel dan anjal, tidak ketat
dan menyantuni kemampuan, kapasiti dan kekuatan abnaul harakah.
10 Mustafa Masyhur, Risalah Dakwah Fardiah
19
PEMBENTUKAN GENERASI BAHARU KEPIMPINAN PKPIM
49.Menurut Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah, kitaran ketamadunan ditandai
dengan tahap kelahiran, kegemilangan dan kejatuhan. Tahap kelahiran
ditandai dengan semangat kekitaan yang tinggi atau asabiyah positif demi
keperluan asasi. Kemudian, sesebuah tamadun akan merasai zaman
keemasan dan kemudian menuju fasa kejatuhan disebabkan keruntuhan nilai
kekitaan dan keruntuhan moral yang kemudiannya membawa kerosakan
kepada sesebuah tamadun.
50.Dalam konteks gerakan, adaptasi faham ketamadunan penting dalam
mempersiap generasi pelanjut perjuangan. Generasi pelanjut perjuangan
mestilah dipersiapkan dengan persediaan ilmu, persediaan karakter,
persediaan ekonomi dan persediaan roh. Generasi penerus kepimpinan
PKPIM perlu mempunyai satu set kepimpinan versatil merangkumi elemen
pemikiran kritis (critical thinking), pembacaan kritis (critical reading),
penulisan kritis (critical writing) dan pidato kritis (critical speaking), aksi kritis
(critical action) dan refleksi kritis (critical reflection) dan kesedaran harakah
(Harakah consciousness).11
‘To me, leadership is not about necessarily being the loudest in the room, but
instead being the bridge, or the thing that is missing in the discussion and
trying to build a consensus from there.’
(Jacinda Ardern, Prime Minister of New Zealand)
51.PKPIM cenderung untuk mempersiap generasi kepimpinan atas teras
Pemimpin EMPATI, yang mempunyai kredibiliti dan watak kepimpinan
meliputi watak syakhsiy, watak tanzimiy dan watak iijtimaie. Kepimpinan
manusiawi berasaskan empati adalah ramuan kebitaraan kepimpinan yang
diperlukan.
E : Empati, meletakkan keperluan organisasi sebagai keutamaan
M : Marhein, prihatin masalah umat
P : Progresif, berminda masa hadapan
A : Artikulatif, kaya dengan idea dan gagasan
T : Taqwa, integriti moral dan ketaatan agama yang luhur
I : Keperibadian yang menginspirasikan (Inspiring personality)
11 Jufitri Joha, Ucapan Dasar MPAT 70 Majlis Belia Malaysia; “Melahirkan Pemimpin MBM Yang
Berwibawa : Dia – Yang Tinggi Tampak Jauh, Yang Dekat Julung Bersua”, 2021
20
52. PKPIM mengimani kepimpinan dalam jamaah adalah berasaskan kepimpinan
kolektif bukannya pemusatan pada seseorang figura. Pimpinan PKPIM, BGN dan
kampus adalah duta jamaah dan mewakili imej gerakan keseluruhan. Keperluan
terbesar adalah menyediakan qiyadah jama’iyyah, yang memahami amal jamaie,
menjunjung nilai syura dan bersifat konsultatitf bukan cara arah dan kerah.
53. Kualiti generasi pelapis dalam PKPIM adalah untuk mempersiap a breed of leaders
yang mampu meminpin diri dengan baik, memimpin organisasi dengan baik dan
memimpin islahul ummah. Generasi pelapis PKPIM haruslah mempunyai keyakinan
dan kemampuan menjadi penyelesai masalah yang wujud antara organisasi. Oleh
itu, pendedahan kepada bakal kepimpinan harus dibuat secara insentif dan fast-
track.
(٩) ًﺪاt ُﻘﻮ@ﻟﻮ{ا َﻗ ۡﻮ ً۬ﻻ َﺳ ِﺪ,َ ﻟ: َوOَ 9 ﻠ َﻴ ﱠﺘ ُﻘﻮ{ا ٱ: ﻠ ۡﻴ ِﻬ ۡﻢ َﻓ2 ًﻔﺎ َﺧﺎ ُﻓﻮ{ا َﻋZٰ ً۬ﺔ ِﺿ َﻌUﻠ ِﻔ ِﻬ ۡﻢ ُذ ﱢ ﱠر: ﻟ ۡﻮ َﺗ َﺮ @‚ﻮ{ا ِﻣ ۡﻦ َﺧ2 ﻟ ِﺬﻳ َﻦ9 ۡﺨ َﺶ ٱ,َ ﻟ:َو
Dan hendaklah takut (kepada Allah) yang jika ditakdirkan mereka pula
meninggalkan anak-anak yang daif di belakang mereka, (tentulah) mereka akan
merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh
itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan
perkataan yang betul (menepati kebenaran).
54.Kita terkesan dengan ungkapan bahawa orang hebat adalah manusia yang
mampu meninggalkan generasi penerus yang lebih hebat dari dirinya.
Orang hebat adalah ia yang ketika jasadnya telah tiada, kebaikannya terus
tertanam di dalam jiwa orang-orang yang ditinggalkannya, semangat
perjuangannya terus menyala dalam hati para penerusnya hingga merekalah
yang kemudian meneruskan amal kebaikan yang telah ditanamkan saat ia
masih hidup di dunia.
KHATIMAH
55.Akhirul kalam, kita akui kekuatan PKPIM menjangkaui setengah abad kerana
wujudnya hati yang ikhlas dalam Jamaah. Kita akui banyak ruang
penambaikan memperkuat Jamaah terutama ketika dikekang badai
Covid19. Cabaran kini adalah bagaimana untuk kita kendalikan cabaran
normal baharu dengan iltizam teguh untuk terus memperkuat jamaah.
Kebijakan kita dalam mengurus perbezaan, menjaga disiplin, setia dan yakin
kepada perjuangan adalah kunci untuk memastikan gerakan ini terus
dihormati.
21
ۗ ۡﻢ ُﺷ َﮩ َﺪ™ا َءc@ ﱠﺘ ِﺨ َﺬ ِﻣﻨU(َو١َ ا٤{ﻮ١ﻦ َ َﻦءا)َﻣ ُﻨUَ‹Tِ ِﺬﻔﻳZٰﻟ9 ٱ2 ﻟ:O ُٱ9ﻠﻤ َ َﻢﺤٱ َﻖ2ۡ ۡﻌUَو,ََ ُﻨس َﻮ{اوِﻟTَﺬ”ﻳ َٱﻦﻟ ﱠﻨَءﺎا َﻣl ِ ۡ•ﺑﻟ9َﺎٱOﻟ َ ُﻬ9@وTﺎﱢ ُﺤم ُﻧ ََﺺﺪاٱt ََﻷﱠﻤ,ُۡ ﻠ( َ َﻚوِﻟٱ١: وِﺗ٤َ ۥ٠ۚ َۡﺜ”@ﻠ ُ)ﻪl ‹ِ ٌ۬ﻠ ِحﻤ •ﱢﻣZَٰۡﻗﻈ9 ﻟ َ ﱡﻘ ۡﺐﻮ َٱمﻟ:ﺲ ِٱﺤt ََﻣﻻ ُﱠO ۡ ُﺪ9 ۡﻢ َﻗ ۡ‹ ٌ۬ح ََﻓوٱَﻘc@ ۡﻤ َﺴ ۡﺴtَ ِإن
Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang
sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-
orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang
zalim. (140) Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari
dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. (141)
56.Kita mengagumi kesungguhan dan kerja keras kalian. Komitmen dan kerja
keras kalian adalah bukti keikhlasan dalam melaksanakan misi islah. Jangan
pernah mengeluh, jangan pernah mengalah dan yakinilah masa depan umat
yang gemilang.
Pisang emas di atas para
Masak sebiji di atas peti
Meskipun kita berpisah jiwa
Tetap diingat di dalam hati.
Allahuakbar.. Allahuakbar..Allahuakbar..
Hidup Biar Berjasa
22
RUJUKAN
Fadzil, Siddiq. Islam dan Melayu; Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Selangor:
Akademi Kajian dan Ketamadunan (AKK), 2012.
. Pendidikan Al-Hikmah dan Misi Pencerahan : Himpunan Pidato
Kependidikan. Kajang, Akademi Pendidikan Ketamadunan (AKK), 2009.
Global Risk Report 2021. World Economic Forum, 2021.
http://www3.weforum.org/docs/WEF_The_Global_Risks_Report_2021.pdf.
Ibrahim, A."Where is the Ummah?", Critical Muslim, 2021
. Gelombang Kebangkitan Asia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997.
Hasan, K. Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-
Ethical Transformation. Emir Research, 2021.
Hassan, Z. "Kesatuan Pelajar Di Malaysia: Naratif Baharu Gerakan
Mahasiswa." Malaysian Journal of Islamic Movements and Muslim Societies 1, no. 2
(2021): 121-143.
. Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam. Kuala Lumpur: Angkatan
Belia Islam Malaysia & ILHAM Books, 2017.
. Student Union; Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa. Kuala Lumpur:
ILHAM Books, 2020.
Kallman, M.E., The Death of Idealism: Development and Anti-politics in the Peace
Corps, Columbia University Press, New York, 2020, pp320. (2021).
Masyhur, M. Dakwah Fardiah. Pustaka Salam, 1985
Natsir, Muhammad. "Capita selecta." (1961).
Persatuan Kebangssan Pelajar Islam Malaysia, Empat Dekad Satu Tekad: Koleksi
Ucapan Dasar PKPIM, 2002.
Protease, Viorel, Matt Tabone, Stein Erik Kirkeboen, Pascal Hartmann, Regina
Weber, and Marko Stojanovic. "The Student Union Development Handbook for a
Stronger Student Movement." European Students' Union (NJ1) (2009).
23
Sardar, Ziauddin et al. Muslim Societies in Postnormal Times.London: International
Institute of Islamic Thought & Centre for Postnormal Policy and Future Studies,
2019.
Weiss, Meredith Leigh. Student Activism in Malaysia: Crucible, Mirror, Sideshow.
NUS Press, 2011.
Yakan, Fathi, Generasi muda dan Perubahan. Pustaka Salam, 1982.
24
25
www.pkpim.org.my
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur
“Hidup Biar Berjasa”
26