Penulis : Rosli Nik Mat
Edited anyflip : @riff
Sekali peristiwa, di salah sebuah desa di Tanah
Arab tinggal seorang pemuda miskin bersama-sama
dengan seorang isterinya. Sungguhpun mereka sudah
lama berkahwin, tetapi mereka masih belum
mempunyai anak.
Pemuda miskin itu mempunyai seorang sahabat.
Isterinya sudah lama meninggal dunia. Tetapi dia
mempunyai seorang anak lelaki yang berusia kira-
kira 10 tahun.
Pada suatu hari, sahabat si pemuda miskin itu
jatuh sakit. Sudah berbagai-bagai ikhtiar dilakukan,
namun penyakitnya tiada sembuh. Dia berasa ajalnya
sudah hampir tiba. Dia lalu meminta seseorang
supaya memanggil sahabatnya si pemuda miskin itu.
Si pemuda miskin itu segera datang menemuinya.
"Wahai sahabatku, aku tahu engkau sangat
miskin! Tetapi engkaulah sahabatku yang paling jujur
dan berakhlak mulia," kata sahabatnya itu.
1
"Kalau aku sudah meninggal dunia, mahukah
engkau menolongku?" sahabatnya itu bertanya.
"Pertolongan apakah yang dapat kuberikan?" si
pemuda miskin itu bertanya.
"Mahukah engkau memelihara anakku yang masih
kecil itu?" sahabatnya bertanya lagi.
Alangkah terharunya hati si pemuda miskin itu
apabila mendengar kata-kata itu. Dia menangis
kerana terlalu belas kasihan mendengar permohonan
sahabatnya.
"Sudah tentulah aku sanggup memelihara
2
anakmu itu, walau aku seorang yang sangat miskin,"
jawab si pemuda miskin itu.
"Engkaulah seorang sahabat yang sangat berhati
mulia!" ujar sahabatnya itu.
Tidak lama kemudian, sahabatnya itu meninggal
dunia. Si pemuda miskin itu pun lalu memelihara anak
sahabatnya. Anak itu dianggapnya sebagai anaknya
sendiri.
Pada suatu hari, si pemuda miskin itu berhasrat
untuk pergi ke sebuah negeri lain. Dia ingin berniaga
secara kecil-kecilan. Dia lalu memberitahu isterinya
tentang hasratnya itu.
3
Pada mulanya, isterinya berasa agak keberatan.
Namun, akhirnya dia bersetuju dengan cadangan
suaminya itu.
"Saya pergi tiada lama. Kelak saya akan segera
pulang," kata si pemuda miskin itu kepada isterinya.
"Pergilah! Saya doakan semoga awak akan selamat
kembali. Awak seorang yang sangat jujur. Mudah-
mudahan awak akan beroleh untung lumayan dalam
perniagaan," kata isterinya.
Apabila tiba harinya, si pemuda miskin itu pun
segera pergi ke sana. Tetapi negeri yang ditujuinya
itu terletak jauh dari desanya. Namun, si pemuda
miskin itu tetap tabah menunggang untanya.
Beberapa hari kemudian, si pemuda miskin itu
tiba di sebuah wadi. Di situ terdapat mata air dan
pokok-pokok yang tumbuh subur.
4
"Syukur kepada Tuhan!" si pemuda miskin itu
berkata dalam hatinya. "Bolehlah aku berehat di sini
selama sehari dua."
Si pemuda miskin itu segera memberi minum
untanya. Kemudian dia memasang khemah untuk
berehat. Selepas selesai memasang khemahnya, dia
berehat sambil menikmati pemandangan indah di
wadi itu.
"Sungguh indah alam yang diciptakan oleh
Tuhan," katanya dalam hati.
5
Tiba-tiba si pemuda miskin itu terpandang
sesuatu. Di atas pasir itu, tidak berapa jauh dari
tempat duduknya itu, terdapat sebuah uncang.
Alangkah terkejut hatinya apabila terpandang
uncang itu.
"Tentu ada sesiapa yang telah tercicir uncang
itu!" kata si pemuda miskin itu dalam hatinya.
Tanpa berlengah lagi, si pemuda miskin itu pun
segera pergi ke tempat itu. Dia lalu mengambil
uncang tersebut. Apabila uncang itu dibukanya,
sekali lagi dia sangat terkejut. Di dalam uncang itu
tedapat begitu banyak permata intan berlian.
Berkilau-kilauan intan berlian itu terkena cahaya
matahari.
"Wah, intan berlian ini tersangat mahal
harganya!" si pemuda miskin itu berkata sendirian.
"Kalau kuambil dan kujual intan berlian ini, sudah
tentulah aku akan menjadi kaya-raya!" katanya lagi.
6
Tetapi si pemuda miskin itu tidak berniat untuk
berbuat demikian. Dia seorang yang sangat jujur.
Dia tidak ingin memiliki barang yang bukan menjadi
haknya.
Si pemuda miskin itu tahu bahawa seseorang telah
tercicir uncang tersebut. "Mudah-mudahan Tuhan
akan mempertemukan aku dengan si pemilik uncang
ini. Kelak aku akan kembalikan uncang ini kepadanya,"
si pemuda miskin itu berdoa. Dia lalu menyimpan
uncang tersebut.
Keesokan harinya, si pemuda miskin itu segera
berlalu dari situ. Dia meneruskan perjalanannya.
Selang beberapa hari, akhirnya dia tiba di sebuah
wadi lain pula.
7
Di situ, dia bertemu dengan sebuah kafilah yang
sedang berehat. Kafilah itu adalah kepunyaan
seorang saudagar yang kaya-raya. Mereka
menyambut baik ketibaan si pemuda miskin itu. "Kita
boleh bersama-sama berehat di tempat ini," kata
mereka.
Rupa-rupanya kafilah itu pergi berdagang di
sebuah negeri lain. Sekarang mereka sedang dalam
perjalanan pulang ke negeri asal mereka. Negeri itu
ialah negeri yang ingin ditujui oleh si pemuda miskin.
Pada sebelah malamnya, ketika mereka sedang
bersama-sama berehat, si pemuda miskin itu melihat
saudagar yang kaya-raya itu sedang termenung
panjang.
8
Si pemuda miskin itu segera menghampiri
saudagar tersebut, lalu bertanya, "Mengapakah tuan
termenung nampak seperti orang yang sedang
bersusah hati?"
Saudagar itu lalu menceritakan bahawa dia
bersusah hati kerana sebuah barang kepunyaannya
telah tercicir di pertengahan jalan. Tetapi dia tidak
tahu di manakah barangnya itu terjatuh. Hendak
mencarinya, adalah tidak mungkin, kawasan padang
pasir itu tersangat luas.
"Apakah barang yang tercicir itu?" si pemuda
miskin itu ingin tahu.
"Sebuah uncang! Di dalamnya terdapat begitu
banyak intan berlian," jelas saudagar tersebut.
Terkejutlah si pemuda miskin itu apabila
mendengar kata-kata tersebut. Tahulah dia bahawa
uncang yang ditemuinya adalah kepunyaan saudagar
yang kaya-raya itu.
9
Tanpa berlengah lagi, si pemuda miskin itu pun
segera mengambil uncang yang ditemuinya.
"Adakah uncang ini yang tuan maksudkan?" si
pemuda miskin itu bertanya kepada saudagar.
"Ya, benar!" saudagar itu berasa sangat gembira. Dia
segera membuka uncang itu. Didapatinya di dalam
uncang itu memang terdapat begitu banyak permata
intan berlian.
Saudagar itu segera membilang jumlah permata
intan berlian tersebut. Alangkah gembira hatinya!
Didapatinya tiada sebiji pun daripada permata intan
berlian itu hilang.
10
Saudagar itu berasa sangat kagum terhadap si
pemuda miskin itu. "Sungguhpun engkau seorang
yang miskin, namun engkau adalah seorang yang
tersangat jujur. Hatimu sungguh mulia!" kata
saudagar itu.
"Sekarang aku hadiahkan separuh daripada
permata intan berlian ini kepadamu!" ujar saudagar
itu. Namun si pemuda miskin itu enggan
menerimanya. "Saya tidak mengharapkan apa-apa
balasan," jelas si pemuda miskin itu.
Seterusnya saudagar yang kaya-raya itu ingin
menghadiahkan wang dan barang-barang mahal yang
lain. Namun, si pemuda miskin itu tetap enggan
menerimanya.
11
"Saya ikhlas kerana Tuhan! Saya tidak
mengharapkan apa-apa balasan daripada tuan," kata
si pemuda miskin itu lagi.
Termenunglah saudagar itu. Seumur hidupnya,
dia belum pernah menemui seorang yang jujur
seperti si pemuda miskin itu.
"Semoga Tuhan akan mengurniakan segala
kebaikan ke atas dirimu!" saudagar itu berdoa.
Keesokan harinya, si pemuda miskin itu
bermohon diri untuk meneruskan perjalanannya.
"Kami akan singgah di suatu tempat yang lain,
sebelum pulang. Oleh demikian, kami ucapkan
selamat meneruskan perjalanan kepada kamu.
Semoga kamu selamat dalam perjalanan," saudagar
itu mengucapkan selamat jalan kepada si pemuda
miskin itu.
12
Si pemuda miskin itu pun segera meneruskan
perjalanannya. Selang beberapa hari kemudian,
tibalah dia di negeri yang ditujuinya.
Selama beberapa hari berada di negeri itu, si
pemuda miskin itu menjalankan perniagaan secara
kecil-kecilan. Dia hanya memperoleh untung yang
sedikit kerana berniaga secara kecil-kecilan. Namun,
dia tetap bersyukur kepada Tuhan kerana
memperoleh keuntungan dalam perniagaannya itu,
walaupun hanya sedikit sahaja.
"Esok aku akan pulang semula ke desaku," kata si
pemuda miskin itu dalam hatinya.
13
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si pemuda
miskin itu bersiap-siap untuk pulang. Tetapi belum
sempat dia berangkat pulang, tiba-tiba datanglah
beberapa orang pengawal istana.
"Raja negeri ini menitahkan kami supaya
menangkap kamu!" kata salah seorang pengawal.
Terkejutlah si pemuda miskin itu. "Saya tiada
bersalah apa-apa!" dia merayu supaya dirinya tidak
ditangkap.
"Kami telah menangkap seorang saudagar yang
kaya-raya. Sekarang kami dititahkan menangkap
kamu pula," kata pengawal itu lagi.
14
Si pemuda miskin itu tiada dapat berbuat apa-
apa lagi. Dia teringatkan saudagar kaya-raya yang
pernah ditemuinya dulu."Barangkali permata intan
berlian itu adalah barangan curi," fikir si pemuda
miskin itu.Si pemuda miskin itu lalu dibawa
menghadap raja di negeri tersebut. Tetapi alangkah
terkejutnya si pemuda miskin itu apabila terpandang
akan raja negeri itu. Rupa-rupanya raja itu ialah
saudagar kaya-raya yang pernah ditemuinya dulu.
Raja itu ketawa.
"Beta sengaja menyamar sebagai saudagar
supaya tidak dikenali oleh sesiapa," jelas baginda.
"Ketika itu, beta dalam perjalanan pulang dari
sebuah negeri yang jauh."
"Beta tahu kamu akan pulang ke desa kamu. Kamu
seorang pemuda yang sangat jujur dan berhati mulia.
15
Beta tetap ingin membalas budi baik kamu. Sekarang
semua intan berlian dalam uncang ini, beta hadiahkan
kepada kamu. Kamu tidak boleh menolak hadiah
daripada beta," tegas baginda. Terpaksalah si
pemuda miskin itu menerima hadiah tersebut. Dia
mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada
baginda.
"Beta berdoa semoga kamu dan keluarga kamu
akan hidup bahagia!" ujar baginda. Pemuda miskin
yang berhati jujur itu pun segera pulang ke desanya
untuk menemui keluarganya.
NILAI MURNI
Adik-adik, sesungguhnya orang yang berhati jujur
ialah orang yang sangat mulia budi pekertinya. Orang
yang berbudi pekerti sangat dikasihi oleh Tuhan.
Oleh yang demikian, adik-adik haruslah sentiasa
mengamalkan budi pekerti mulia.
16