Penulis : Mohd Badrul Hisham
Edited Anyflip :Cg.Ariff
"Alif tempang! Alif tempang!"
Kedengaran riuh-rendah suara kanak-kanak
sedang mengejek seorang budak lelaki yang sedang
berjalan terhincut-hincut di tepi jalan.
Alif hanya mampu tersenyum. Dia sudah lali
dengan ejekan dan cacian yang dilemparkan
kepadanya. Suatu ketika dahulu, dia pernah
bergaduh dengan beberapa orang budak nakal yang
mengejeknya. Namun, kini itu semua sudah menjadi
kebiasaan bagi dirinya.
Alif sedar dia cacat. Kakinya tempang semenjak
dia masih kecil lagi. Menurut ibunya, kecacatan itu
terjadi kerana dia menghidap demam panas.
Walaupun begitu, Alif tetap reda dan bersyukur
dengan apa yang terjadi kepadanya.
1
Alif terus berjalan tanpa menghiraukan kanak-
kanak yang mengejeknya itu. Kakinya yang tempang
itu membuatkan Alif nampak sukar untuk berjalan.
Di tangannya terdapat sebuah bakul yang kosong.
Alif baru sahaja menghantar kuih ke kedai Mak
Piah. Itulah sumber pendapatan keluarganya. Alif
tinggal bersama-sama ibunya, Mak Lijah yang sudah
tua. Wang yang diperoleh daripada hasil jualan kuih
itu hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka
seharian sahaja.
Ayah Alif telah meninggal dunia. Ketika itu dia
baru berumur lima tahun. Ayah Alif meninggal dunia
kerana dilanggar oleh sebuah kereta ketika pulang
daripada bekerja.
Walaupun miskin dan cacat tetapi keadaan itu
tidak menghalang Alif daripada menuntut ilmu. Di
sekolahnya, Alif terkenal sebagai murid yang pintar
dan rajin. Alif juga tidak lokek untuk membantu
rakan-rakannya yang lemah dalam pelajaran.
2
Baginya, ilmu yang diperoleh harus dikongsi bersama
dan bukan untuk dirinya sahaja.
Sikap Alif itu menyebabkan dirinya disayangi
oleh guru-guru dan rakan-rakannya.
"Sudah kamu hantar kuih itu ke kedai Mak Piah,
Alif?" tanya Mak Lijah sebaik-baik sahaja Alif
sampai di rumah.
"Sudah, ibu!" jawab Alif ringkas.
Alif naik ke atas rumah lalu mengambil beg
sekolahnya untuk pergi ke sekolah. Itulah yang
dilakukannya pada setiap hari. Sebelum ke sekolah,
dia akan menghantar kuih dahulu. Kemudian, pada
waktu pulang dari sekolah, dia akan singgah di kedai
Mak Piah untuk mengambil hasil jualan kuihnya.
3
Bagi Alif, walaupun dia tempang tetapi dia tidak
mahu menjadikan hal itu sebagai alasan untuk tidak
mahu membantu ibunya. Dia tidak mahu dianggap
sebagai beban dan menyusahkan ibunya yang sudah
tua.
Ketika Alif menghampiri pintu pagar sekolah,
tiba-tiba dia terdengar suara di belakangnya.
"Alif, boleh kami tolong bawakan beg engkau?
Nampak berat beg itu."
Alif menoleh ke belakang. Dilihatnya Ah Seng
dan Raju sedang menghampirinya. Mereka berdua
merupakan rakan karibnya di sekolah.
"Tidak mengapalah! Aku boleh bawa beg ini,"
jawab Alif.
"Kita ini kawan. Marilah aku tolong bawa beg kau
itu," kata Raju sambil mengambil beg yang berada di
tangan Alif.
4
"Terima kasih, Raju!" ucap Alif.
"Sama-sama!" ujar Raju.
Mereka bertiga kemudiannya berjalan seiringan
menuju ke kelas 6 Bestari.
Pukul 7.40 pagi, loceng berbunyi menandakan waktu
persekolahan bermula. Mata pelajaran pertama pada
hari itu ialah Bahasa Melayu.
"Semua bangun," tiba-tiba terdengar suara
Hafizuddin, ketua kelas 6 Bestari, mengarahkan
murid-murid bangun. Kelihatan Cikgu Zaiton, guru
Bahasa Melayu melangkah masuk ke dalam kelas
5
sambil membawa beberapa buah buku.
"Selamat pagi, cikgu!" ucap Hafizuddin sambil
diikuti oleh murid-murid lain.
Selepas membalas ucapan, Cikgu Zaiton
mengarahkan semua muridnya duduk.
"Hari ini, cikgu akan mengajar karangan
bertajuk "Cita-cita Saya". Tetapi sebelum itu, cikgu
ingin mengetahui, apakah cita-cita kamu?" kata
Cikgu Zaiton.
Seorang demi seorang, murid kelas 6 Bestari
bangun sambil menyatakan cita-cita mereka. Apabila
tiba giliran Alif, dia pun bangun sambil berkata,
"Cita-cita saya ingin menjadi doktor, cikgu!"
6
"Ha! Ha! Ha! Alif hendak menjadi doktor. Diri
sendiri cacat, ada hati hendak menjadi
doktor," tiba-tiba kedengaran satu suara di barisan
belakang kelas.
Alif berpaling ke belakang. Dilihatnya, Syanti
sedang ketawa sambil memegang perutnya. Hati Alif
segera tersentuh. Tanpa disedari, air matanya
menitis membasahi pipinya. Dia berasa begitu sedih
kerana diejek oleh Syanti.
Sebenarnya Syanti selalu mengejek dan membuli
Alif, walaupun dia sering dimarahi oleh guru dan
murid-murid lain kerana perbuatannya itu.
"Syanti, tidak baik kamu berkata begitu! Masa
depan seseorang tidak diukur daripada fizikalnya,
tetapi daripada usahanya," marah Cikgu Zaiton
kepada Syanti.
Syanti terdiam apabila dimarahi oleh Cikgu
Zaiton. Cikgu Zaiton kemudiannya menyambung
kembali pengajarannya.
7
Pada pukul satu tengah hari, waktu persekolahan
tamat. Alif, Ah Seng, dan Raju keluar dari kelas
bersama-sama.
"Alif, bersabarlah! Jangan berkecil hati dengan
kata-kata Syanti tadi," kata Ah Seng.
"Aku sedar aku cacat tetapi aku akan
membuktikan bahawa insan yang cacat juga boleh
berjaya," balas Alif dengan nada penuh keyakinan.
"Bagus, Alif! Inilah yang kami hendak dengar.
Tetapi kalau ikutkan hati, aku ingin aku belasah
sahaja Syanti itu," jawab Raju pula sambil
menggenggam penumbuknya.
8
"Ah, sudahlah! Jangan kita ungkit lagi peristiwa
tadi," kata Alif sambil mengajak rakan-rakannya itu
pulang.
Pada suatu petang, Ah Seng dan Raju
bertandang ke rumah Alif. Mereka sudah berjanji
untuk belajar bersama-sama. Tahun ini merupakan
tahun yang penting kepada kepada mereka kerana
akan menghadapi peperiksaan UPSR.
"Alif ada, mak cik?" tanya Ah Seng dan Raju
kepada Mak Lijah.
"Ada! Tunggu sebentar, ya! Alif sedang mandi,"
jawab Mak Lijah.
9
Tidak lama kemudian, Alif pun keluar dan
mengajak rakan-rakannya itu untuk belajar di bawah
pokok berhampiran rumahnya. Di bawah pokok itu
sudah tersedia bangku dan meja untuk mereka
belajar.
"Alif, kamu fikir boleh atau tidak, dapat 5A dalam
UPSR nanti?" tanya Ah Seng kepada Alif.
"Entahlah, Ah Seng! Harap-harap boleh dapat
kerana aku ingin benar memasuki Maktab Rendah
Sains Mara. Aku ingin mencapai cita-citaku untuk
menjadi doktor," jawab Alif.
"Apalah kamu ini, Ah Seng! Tentulah Alif boleh
dapat 5A. Dia murid paling pintar di sekolah kita.
Yang aku risau, kita ini. Entah-entah dapat 5E,"
sampuk Raju pula.
Alif dan Ah Seng ketawa berdekah-dekah
mendengar kata-kata gurauan daripada Raju itu.
10
Setelah kira-kira satu jam belajar bersama-
sama, Ah Seng dan Raju meminta diri untuk pulang
ke rumah masing-masing.
Beberapa bulan kemudian, tibalah hari yang
ditunggu-tunggu. Sebelum turun dari rumah untuk
ke sekolah, Alif mencium tangan ibunya sambil
memohon restu.
Sebaik-baik sahaja sampai di sekolah, Alif lihat
sudah ramai rakannya yang datang. Dia tercari-cari
Ah Seng dan Raju. Tiba-tiba bahunya ditepuk dari
belakang.
11
"Ah, kamu berdua ini! Tidak habis-habis
mengejutkan aku. Nasib baik aku tidak ada penyakit
lemah jantung. Kalau tidak, sudah lama aku
meninggal dunia," kata Alif sambil memandang Ah
Seng dan Raju yang tersengih-sengih seperti kerang
busuk.
"Maaflah, Alif! Kami bukan sengaja," jawab
mereka berdua.
"Tidak mengapalah! Mari kita masuk ke dewan
peperiksaan," ajak Alif. Mereka bertiga
kemudiannya menuju ke dewan peperiksaan.
Sewaktu peperiksaan berlangsung, Alif
menjawab dengan berhati-hati. Segala ilmu yang
diajar oleh gurunya digunakan sepenuhnya untuk
menjawab soalan peperiksaan. Alif yakin, dia boleh
mendapat keputusan yang cemerlang.
Pada suatu petang, seminggu selepas
peperiksaan UPSR, Ah Seng dan Raju pergi ke
rumah Alif. Setibanya mereka di rumah Alif, mereka
12
melihat Alif sedang duduk termenung seperti orang
yang bermasalah. Mereka segera menghampiri Alif.
"Mengapa, Alif? Kami lihat engkau seperti ada
masalah," tanya Ah Seng.
"Sebenarnya, aku sedang memikirkan nasibku. Aku
mungkin tidak dapat pergi ke Maktab Rendah Sains
Mara, walaupun mendapat keputusan yang cemerlang
nanti," jawab Alif.
"Mengapa pula?" serentak Ah Seng dan Raju
bertanya.
"Kamu sendiri tahu, kami orang miskin. Jika aku
berjaya pun, siapa yang akan menanggung
perbelanjaan persekolahanku nanti? Dengan
13
pendapatan yang diperoleh sekarang, kami tidak
mampu," jelas Alif dengan nada yang sayu.
"Bersabarlah, Alif! Jangan berputus asa.
Mungkin ada jalannya nanti. Tuhan pasti akan
menolong orang yang berada dalam kesusahan," kata
Raju memujuk Alif.
Pada suatu petang, Alif berjalan-jalan
berseorangan. Tiba-tiba dia ternampak sebuah
dompet di tepi jalan. Alif terus mengambil dompet
itu. Sebaik-baik sahaja dia membuka dompet itu,
dilihatnya di dalam dompet itu mengandungi banyak
wang. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat
wang sebanyak itu.
14
Alif segera membawa dompet itu ke balai polis
berhampiran. Dia tahu tentu tuan punya dompet itu
mencari-cari dompetnya. Selepas menyerahkan
dompet itu kepada pihak polis, Alif pun pulang ke
rumahnya.
Sampai sahaja di rumah, Alif menceritakan
peristiwa yang dialaminya tadi kepada ibunya. Mak
Lijah berasa bangga kerana mempunyai seorang anak
yang jujur.
Seminggu selepas peristiwa itu, tibalah hari yang
ditunggu-tunggu oleh Alif dan rakan-rakannya.
Keputusan UPSR akan diumumkan. Hati Alif
berdebar-debar. Dia berharap segala usahanya
selama ini akan membuahkan hasil.
Setibanya di sekolah, Alif melihat sudah ramai
rakannya yang sedang menanti keputusan yang akan
diumumkan oleh Guru Besar.
"Mohd Alif bin Jahan," tiba-tiba Alif terdengar
15
namanya dipanggil. Dia segera memandang ke arah
suara itu. Rupa-rupanya Guru Besar yang memanggil
namanya. Dia segera menghampiri Guru Besar.
"Ini keputusan kamu! Tahniah untuk kamu, Alif!"
kata Guru Besar sambil menyerahkan sekeping
kertas kepada Alif.
Alif mengambil kertas tersebut dan melihat
keputusan yang diperolehnya. Tanpa disedari, air
matanya mengalir laju. Dia telah mendapat
keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.
Sebaik-baik sahaja mengetahui keputusan yang
diperoleh oleh Alif, rakan-rakannya yang lain segera
16
mengucapkan tahniah.
"Tahniah, Alif!" ucap Ah Seng dan Raju sebaik-
baik sahaja mereka bertemu.
"Terima kasih! Kamu berdua pula bagaimana?"
tanya Alif pula.
"Kami berdua dapat 4A 1B," jawab Ah Seng. Alif
segera mengucapkan tahniah kepada kedua-dua
orang rakannya itu atas kejayaan mereka. Mereka
kemudiannya menemui guru-guru untuk mengucapkan
terima kasih.
Alif berjalan dengan pantas. Dia ingin segera
sampai di rumah untuk menunjukkan keputusan
peperiksaannya kepada ibunya.
17
Dari jauh dilihatnya ada sebuah kereta di
halaman rumahnya. "Siapa pula itu?" Alif tertanya-
tanya di dalam hatinya.
Sebaik-baik sahaja Alif masuk ke dalam rumahnya,
ada beberapa orang anggota polis dan seorang lelaki
yang berumur dalam lingkungan pertengahan 40-an
sedang berbual-bual dengan ibunya.
"Siapa ini, ibu?" tanya Alif.
"Alif, pak cik ialah orang kehilangan dompet
yang dijumpai oleh Alif tempoh hari. Sebenarnya di
dalam dompet itu terdapat beberapa dokumen yang
amat penting. Pak cik amat terhutang budi kepada
Arif kerana mendapat semula dompet itu. Pak cik
bangga kerana dompet itu dijumpai oleh orang jujur
seperti kamu," jelas lelaki itu.
"Bagaimana keputusan peperiksaan kamu?" tiba-
tiba Mak Lijah bertanya.
"Alif berjaya mendapat 5A, ibu," jawab Alif.
18
"Wah, tiada sangka Alif ini cerdik orangnya!
Nanti bolehlah melanjutkan pelajaran ke sekolah
berasrama penuh," kata lelaki itu.
Alif segera menundukkan kepalanya ke lantai
sebaik-baik sahaja mendengar kata-kata lelaki itu.
"Sebenarnya, encik, saya tidak mampu untuk
menanggung pembelajarannya, jika Alif pergi ke
sekolah berasrama penuh. Maklumlah kami ini orang
susah," Mak Lijah menjelaskan perkara yang
sebenarnya.
19
"Oh, begitu! Jangan bimbang. Jika Alif berjaya
ke sekolah berasrama penuh nanti, segala
perbelanjaan persekolahannya akan saya tanggung.
Begitu juga dengan perbelanjaan mak cik seharian,"
janji lelaki itu.
Alif terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Dia
segera mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu.
Masa depannya yang disangka gelap akhirnya telah
bersinar kembali.
Alif teringat kembali pada kata-kata yang
pernah diucapkan oleh gurunya, iaitu setiap kebaikan
yang kita lakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan
juga nanti. Tanpa disedari, sekali lagi air mata Alif
mengalir laju membasahi pipinya.
20