WACANA CINTA RASUL
12 Rabiulawal datang lagi..saban tahun menjengah diari kehidupan umat Islam. Tersingkap
kembali lembaran sejarah kelahiran Rasul teragung Muhammad SAW. Kedatangan insan
yang disambut dengan kemuliaan dan kegirangan. Bagaikan terpancar kembali sinaran
mentari yang sekian lama sirna. Hadir baginda membawa rahmat untuk seluruh alam,
menyuluh terang cahaya kebenaran, menyubur hati insan dengan makrifat iman,
memperelok budi pekerti penuh kesantunan, membakar jihad dan semangat juang tertinggi
demi ISLAM. Jasa Rasulullah SAW terlalu besar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Keperitan menyusur getir perjalanan yang sarat dengan ranjau tekanan, terlalu sakit
untuk dibayangkan. Sesungguhnya, setiap kali kita menyingkap sirah agung ini pasti kita
temui tulusnya CINTA Rasulullah untuk umatnya, sanggup berkorban jiwa hingga ke hujung
nyawa. Ditelah segala kepahitan demi CINTA suci ini.
Namun, masih terasakah kita getaran CINTA Rasul pada kita? Kitalah! Umat akhir zaman
yang menjadi kecintaan Nabi SAW tatkala ditanyakan kepada baginda siapakah yang paling
dikasihi dan dicintai dari kalangan umatnya? Tidak banggakah kita menerima pengakuan
cinta dari Sang Rasul yang menjadi KEKASIH ALLAH? Kalau mahu diungkapkan bukti cinta
Rasul pada kita, cukuplah dengan pengorbanan baginda yang tiada hentinya untuk umat ini.
Semakin tinggi cinta, semakin banyak pengorbanan yang dicurahkan. Lihatlah bagaimana
baginda telah menumpahkan keringat, mengalirkan air mata bahkan rela menyabung nyawa
demi menyelamatkan umat baginda daripada seksaan api neraka. Firman Allah maksudnya;
‘ Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu
sendiri. Terasa berat olehnya dengan penderitaanmu, yang sangat
menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan
serta penyayang terhadap orang mukmin (Surah at-taubah, 9:128)
Cintakah kita pada Rasulullah SAW
Budi dan jasa Rasulullah SAW untuk kita sangat luar biasa, CINTA baginda pada kita
bukan cinta biasa. CINTA baginda menyelamatkan manusia bukan sahaja daripada
kesengsaraan di dunia malahan CINTA Rasul membawa kebahagiaan di akhirat. Dakwah,
nasihat, bimbingan, doa dan kepimpinan Rasulullah bukan sahaja membersihkan dunia
daripada kejahatan, malahan membersihkan hati manusia daripada dosa dan kemungkaran.
Sememangnya CINTA Allah itu tujuan, CINTA Rasulullah itu jalan. Jalan ini wajib
ditempuh oleh setiap insan. Tidak mungkin tercapai tujuan ‘Lailahaillallah’ tanpa mengikut
jalan “Muhammad Rasulullah”. CINTAI Rasul untuk mendapat cinta dan kasih sayang Allah!
CINTA inilah yang perlu digapai untuk berpeluang bersama baginda nanti di dalam syurga-
Nya. Persoalannya; Di mana Rasulullah di hati kita? Mekarkah lagi ingatan kita padanya?
Mustahil hati yang menyukai kebaikan tidak mencintai Rasulullah selaku insan yang terbaik
dan paling banyak menabur kebaikan. Butalah hati kita jika tidak mampu melihat keindahan
akhlak Rasulullah SAW; senyuman, sapaan, teguran, didikan, pujukan, galakan bahkan
marahnya sekalipun tetap indah. Inilah insan yang wajar dicintai, insan yang dalam setiap
nadinya mengalir cinta dan kasih buat umatnya. Insan yang bukan sahaja dipuji oleh kawan
dan lawan, malah Tuhan Yang Maha Pencinta. Firman Allah maksudnya;
“Sesungguhnya Kamu (Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti
yang agung” (Surah al-Qalam 68:4)
5 cara mengekspresikan CINTA kepada Rasulullah SAW
Bila mencintai seseorang, kita sanggup berbuat apa sahaja untuknya. Namanya sering
terukir di bibir. Segala sifat kebaikannya menjadi ratib dan zikir. Bila namanya sering
disebut, pasti membuahkan rindu dan perasaan ingin bertemu. Begitu jugalah sifir cinta
kita kepada Rasulullah SAW. Caranya untuk bertemu Rasulullah ialah dengan mati dalam
keadaan sedang berjuang menegakkan sunnahnya dalam kehidupan. Justeru, ekspresikan
cinta kita pada Rasulullah dengan cara berikut:
a. Kenali Rasulullah SAW- Kita perlu mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah
baginda. Tidak cukup sekadar membaca sirah, tetapi perlu difahami dan dihayati
sehingga semangat, keyakinan dan prinsip baginda menyerap dalam jiwa.
Penghayatan ini membuahkan rasa cinta lalu sunnah baginda diperjuangkan walau
dalam apa jua keadaan.
b. Mematuhi ajaran Rasulullah SAW- Seseorang Bila namanya sering disebut, pasti
yang mencintai Rasulullah akan menjadi hamba membuahkan rindu dan perasaan ingin
Allah yang paling patuh terhadap ajaran yang bertemu. Begitu jugalah sifir cinta kita
disampaikan oleh baginda. Kepatuhan itulah kepada Rasulullah SAW. Caranya untuk
bukti kebenaran cintanya. Bukan sekadar bertemu Rasulullah ialah dengan mati
membudayakan retorik dan simbolik dengan dalam keadaan sedang berjuang
marhaban, berzanji atau berarak. Tetapi yang menegakkan sunnahnya dalam
utama melaksanakan segala sunnah dan kehidupan
ajarannya dalam kehidupan.
c. Memuliakan dan menghormati Rasulullah SAW- Kita dianggap memuliakan
Rasulullah dengan cara membenarkan segala ajaran yang disampaikan, melakukan
segala suruhan dan meninggalkan larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara
yang ditunjukkan oleh baginda. Menegakkan
sunnah Rasulullah pada akhir zaman ini adalah bukti cinta teragung kerana orang
yang melaksanakan sunnah Nabi ibarat menggenggam bara api, bahkan dianggap
asing. Merekalah yang dijanjikan ganjaran 50 kali pahala kerana sabar dan teguh
mengamalkan sunnah Rasulullah di saat orang lain semakin meminggirkannya dari
kehidupan.
d. Mencintai keluarga, kaum kerabat dan sahabat Rasulullah- Bukti cinta kita pada
Rasulullah ialah dengan cara mencintai seluruh ahli keluarga baginda, memuliakan
para sahabat dan kaum kerabat baginda serta membenci orang yang menghina
mereka. Kita tidak boleh berdiam diri apabila ahli bait dan sahabat baginda
dikecam oleh sesiapa sahaja. Kita perlu memberikan penjelasan tentang keutamaan
dan keistimewaan yang mereka miliki
e. Mencintai ulama yang gigih berdakwah- Ulama merupakan pewaris nabi.
Merekalah golongan yang paling teguh berpegang dengan sunnah dan gigih
berdakwah. Lisan mereka menyambung risalah dakwah para Rasul dan berjuang
untuk menegakkan Islam. Meskipun sebagai manusia biasa, ulama juga ada
kelemahan dan kekhilafan, namun itu bukan alasan untuk mencemuh dan menghina
mereka
Muhasabah diri kita. Sejauhmana pengakuan cinta kepada Rasulullah telah
dibuktikan dengan tindakan. LOVE is a verb, not a word. Adakah cara hidup kita
telah bertepatan dengan sunnah dan ajaran Rasulullah? Berapa kerap kita
berselawat ke atas baginda SAW dalam sehari? Adakah cinta kepada Rasulullah
telah melebihi kecintaan terhadap diri sendiri dan orang lain? Mampukah kita
menjadi seperti Umar al Khattab tatkala beliau menyatakan “ Sesungguhnya demi
Allah! Sekarang engkau (wahai Muhammad) lebih aku cintai daripada diriku sendiri”
(Riwayat al-Bukhari)
Subhanallah! Indahnya merasai kemanisan bercinta dengan Rasulullah. Apabila kita
mencintai Rasulullah, kita tidak akan bertepuk sebelah tangan. Cinta kita pasti
berbalas.
Nukilan: al-Faqirah NSA
Rujukan: Solusi, Februari 2013