KERANA MU CIKGU
ACARA : SAYEMBARA PENULISAN DAKWAH KONTEMPORARI
MAHRAJAN GURU PENDIDIKAN ISLAM
(JPN PERAK – PEKDIS CAWANGAN PERAK)
TAHUN 2022
TAJUK : KERANA MU CIKGU
TAMAN SUNGKAI PERDANA, 2013
“Sayang, tengok jam dah pukul berapa?” Pertanyaan itu membuatkan Fatin berhenti
mengayuh basikal. Berlari Fatin masuk ke rumah Mary. Basikalnya ditinggalkan sahaja
di halaman rumah. “Dekat jam tiga dah Mama! Jarum pendek di nombor tiga, jarum
panjang di nombor sebelas.” Mary hanya tersenyum mendengar jawapan Fatin. Dia
hanya duduk sambil membaca di halaman rumahnya. Melihat telatah Fatin bermain
sangat memberikan ketenangan padanya. Fatinlah buah hati Mary. Sayang dan kasih
kepada Fatin tidak boleh dijual beli.
“Mama, Abah dah nak balik ke?” Mary hanya mengangguk sambil tersenyum.
Memang, sesiapa pun yang melihat Fatin pasti akan tersenyum. Seorang budak
perempuan yang sangat comel. Fatin memeluk manja Mary, yang dipanggilnya ‘Mama’.
Walaupun berumur lima tahun, sifatnya sangat disenangi. Cerdik, petah bercakap dan
pandai mengambil hati orang lain.
1
KERANA MU CIKGU
Dari kejauhan, sayup kedengaran bunyi motosikal yang amat dikenali Fatin.
“Vroom.., vroom…” Mata Fatin terus memandang Mary. Kedua-duanya tersenyum.
“Abah balik!” Kelihatan sebuah motosikal Kawasaki ZXR 750 memecah kesunyian
lorong di Taman Sungkai Perdana itu. Memang saat yang dinanti fatin. Melambai-
lambai tangannya menyambut kepulangan Azam. Mary hanya mampu tersenyum.
Dibiarkan sahaja Fatin terkinja-kinja seronok melihat ayahnya pulang.
Sesudah sampai, topi keledar dibuka, terlihat raut wajah dengan senyuman
dilemparkan untuk anak kesayangannya, Fatin. Didukungnya Fatin umpama anak
berusia tiga tahun. Fatin membalas dengan menghadiahkan ciuman di pipi Azam.
Seperti lazimnya, Mary hanya tersenyum. “Haa, Fatin baik tak hari ni? Dengar cakap
Mama tak?” Azam mengusik sambal menggeletek Fatin. Mary cepat-cepat membela
buah hatinya. “Baik sangat Si Pipi Merah ni. Hari ni Fatin belajar apa? Bagitau Abah.”
Fatin berlari masuk ke rumah. Sebentar kemudian terlihat dalam genggaman Fatin
sebuah set permainan baharu. Memang Mary amat suka manjakan Fatin. Sering
dihadiahkan Fatin dengan permainan yang dapat meningkatkan IQ buah hatinya itu.
Azam hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum memandang Mary. “Terima
kasih Mary.”
“Seronok tau mainan ni Abah! Fatin sayang Mama.” Dikucupnya pipi Mary.
“Kalau seronok Abah pun nak main jugalah nanti. Fatin jangan la bagi Abah kalah tau
hahaha. Ummi tak balik lagi? Rindu Ummi tak?” Azam mengingatkan Fatin kepada
ibunya. “Mestilah rindu!” Ibunya sama seperti ayahnya, seorang guru. Kebiasaannya
2
KERANA MU CIKGU
dalam pukul tiga petang pasti ibunya sudah pulang tetapi pada hari itu, ibunya terlibat
dengan mesyuarat sukan di sekolahnya. “Minta maaf Mary, saya masuk ke dalam dulu
ya. Nak solat dan rehat dulu.” Mary mengangguk memahami permintaan Azam.
Mary bukan sekadar seorang jiran. Mary adalah teman baik kepada Azam dan
Shima, yang mereka kenali sejak berpindah ke Sungkai. Mary adalah ibu angkat
kepada Fatin. Walaupun Mary bukan berbangsa Melayu, dia dan suaminya amat
menghormati budaya dan agama lain. Mary sudah berkahwin dengan Steven Lim
selama empat tahun, mereka masih tidak dikurniai cahaya mata. Sebab itulah kasih
sayang mereka dicurahkan kepada Fatin.
“Mary! Saya dah berbincang dengan Shima. Hari ini awak dan Steven datang
makan malam kat sini tau.” Tiba-tiba sahaja Azam muncul semula di muka pintu.
Terkejut Mary dan Fatin. “Yeaaa..!” Fatin melompat keseronokan mendengar kata-kata
Azam. Terlepas pegangan basikalnya yang sedang disorong masuk ke halaman
rumahnya. “Mama dan Papa datang tau!” Sekali lagi, Mary hanya mengangguk dengan
senyuman penuh kasih sambil melambaikan tangannya. Dia sungguh berasa bahagia.
Azam pernah membaca sebuah buku bertajuk “Dakwah Suatu Tuntutan Dalam
Islam” karya Dr. Abdul Munir Ismail. Penulis menulis;
“Dalam sebuah masyarakat, pergeseran dan salah faham pasti akan berlaku. Lebih-
lebih lagi melibatkan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai ragam budaya,
tahap pendidikan, latar belakang keluarga dan sebagainya. Kerana itu mencari jalan
3
KERANA MU CIKGU
bagi memperbaiki masalah yang timbul dalam masyarakat memerlukan kebijaksanaan
yang tersendiri. Antara tugas dan tanggungjawab orang Islam memastikan masyarakat
supaya sentiasa berada dalam keadaan aman damai, bersatu padu dan tidak rosak
warisan budaya. Jikalau generasi atau budaya setempat menjadi rosak, norma-norma
hidup dan nilai-nilai murni dalam masyarakat akan kucar kacir.”
Inilah matlamat Azam. Wujudkan masyarakat yang harmoni.
Selepas Maghrib, Mary dan suaminya Steven sudah berada di rumah Azam.
Sementara menunggu hidangan siap, Azam dan Steven berbual-bual di ruang tamu.
Sekejap-sekejap mereka memandang ke dapur dek kerana terganggu dengan aroma
masakan yang menyemarakkan rasa lapar mereka. Sesekali terdengar gelak ketawa
Shima dan Mary, tanpa diketahui butir perbualan mereka. Fatin pula sibuk membantu
Ummi dan Mama. Disusun pinggan dan cawan di meja makan. Sekejap diletak sebelah
sini, sekejap diubah letak di sebelah sana pula. Lumrah kanak-kanak, belajar melalui
pengalaman, berfikir melalui tindakan.
Azam memimpin bacaan doa. Fatin turut mengikut, membaca lafaz doa makan
yang telah pun dia hafaz. Tersenyum Mary dan Steven memandang keletah Fatin.
Pada mereka, Fatin sememangnya seorang anak yang bijak. Shima menghulurkan
bekas basuh tangan kepada Mary dan Steven. Di saat awal perkenalan, pernah Shima
sediakan sudu buat jirannya itu tetapi ditolak Mary dan Steven. Bagi Mary dan
suaminya, mereka amat selesa makan menggunakan tangan semasa bersama-sama
keluarga Azam. Itulah istimewanya Mary dan Steven, amat menghormati Azam dan
4
KERANA MU CIKGU
Shima. Lidah mereka tidak lagi asing untuk menikmati rasa makanan Melayu. Kata
Steven, “Saya tetap seorang Cina walaupun saya sukakan makanan Melayu. Saya tak
akan menjadi seorang Melayu sampai bila-bila. Tetapi saya seorang yang berjiwa
Malaysia.” Kata-kata itu membuatkan mereka ketawa. Memang bernada lucu dalam
serius, tetapi ada kebenarannya. Azam dan Shima tetap menghormati mereka.
Berpegang dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“..Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
berbuat baik.”
Malam itu mereka kekenyangan. “Sedapnya lala masak cili api, rendang daging.
Nanti awak mesti ajar saya tau Shima.” Mary menzahirkan rasa nikmat masakan Shima.
“Haa betul tu. Awak kena ajar Mary betul-betul. Bukan apa, takut nanti saya pula
ditimpa keracunan, penat nak ulang alik ke tandas.” Usikan Steven membuatkan
suasana menjadi ceria dengan gelak tawa mereka. “Abang tengok la nanti. Kalau
menjadi, saya tak akan masak percuma. Nak rasa kena bayar dulu. Padan muka!” Mary
pun tidak mengaku kalah dengan mudah. Dalam suasana mesra begitu mereka
berempat terlupa mengenai Fatin. Selepas makan malam, Fatin duduk di ruang tamu
menonton televisyen. Tetapi tidak lama kemudian dia beredar masuk ke dalam bilik.
Mungkin Fatin kekenyangan dan berasa mengantuk.
“Mama, Papa!” Tiba-tiba Fatin memanggil ibu bapa angkatnya sambil
menunjukkan sesuatu. Terkejut Azam memandang Fatin. Riak wajahnya berubah
tatkala terpandang apa yang sedang dipegang Fatin. Shima pun begitu. Sepanjang
5
KERANA MU CIKGU
umur Fatin, inilah kali pertama mereka melihat Fatin menyentuh barang kesayangan
Azam itu. “Fatin!” Cepat-cepat Azam bangun, lalu dengan pantas merampas barangan
itu daripada pegangan Fatin. Mary dan Steven terkejut dan tertanya-tanya dengan
reaksi spontan Azam . Fatin kelihatan ketakutan.
“Mengapa Azam?” Steven tenteramkan Azam. Sementara itu, Shima dan Mary
merangkul Fatin. Mereka tidak biasa melihat keadaan Azam seperti itu. Apa
istimewanya barangan itu? Pada pandangan Mary, Steven dan Fatin, barang itu
hanyalah sepasang kasut putih yang sudah koyak, yang disimpan rapi di dalam sebuah
bekas kaca. “Mengapa Azam?” Steven mengulangi pertanyaannya.
“Ini bukan sekadar… ‘sepasang kasut putih’.” Jawab Azam dengan genangan air
mata, yang membuatkan semua mata tertumpu kepadanya.
SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGKAI, MAC 1990
“Azam, apakah kesalahan kamu?” Tiba-tiba Cikgu Kamal beralih memandang Azam
dari atas ke bawah. “Minta maaf Cikgu, saya tidak tahu apakah kesalahan saya.” Azam
menjawab tanpa rasa takut tetapi amat menghormati gurunya. Azam mengenali Cikgu
Kamal sebagai seorang guru matapelajaran Alam Dan Manusia dan Muzik untuk
kelasnya. Cikgu Kamal tidak akan menghukum muridnya tanpa mengetahui kesalahan
yang jelas. “Siapa yang menahan Azam?” Cikgu Kamal memandang para pengawas.
6
KERANA MU CIKGU
“Atas sebab apa?” Aziz, pengawas Tahun 6 tampil sedikit ke hadapan sambil
mengangkat tangan. “Minta maaf Cikgu. Saya yang menahan Azam sebab kasutnya
Cikgu.” Azam tertunduk, malu mendengar alasan Aziz. Tidak sepatutnya dia
diperlakukan sebegitu, ditahan selepas perhimpunan disebabkan kasutnya.
“Dengar sini semua! Adakah satu kesalahan memakai kasut yang koyak?” Cikgu
Kamal berkata-kata sambil merapati Azam. Dipegangnya bahu Azam. Azam
memandang Cikgu Kamal. “Adakah satu kesalahan disiplin memakai kasut yang koyak?
Walaupun koyak, kasut ini masih putih. Dengan kasut ini, membawa Azam ke sekolah.
Adakah wajar Azam dikenakan hukuman? Sudah tentu, tidak! Azam, saya bangga
dengan semangat kamu. Jangan berasa rendah diri. Belajarlah bersungguh-sungguh.
Saya percaya satu hari nanti kamu boleh beli apa saja lebih daripada sepasang kasut
putih. Kamu tidak pernah membawa masalah kepada diri kamu dan orang lain.
Belajarlah bersungguh-sungguh!” Berdentum hati Azam ibarat dipanah petir bagi
membangkitkan semula semangatnya yang hampir layu. Air mata Azam bergenang
memandang Cikgu Kamal yang masih menepuk-nepuk bahunya. Azam tidak sangka
Cikgu Kamal membelanya. Tidak semena-mena Azam bersuara, “Terima kasih Cikgu!”
“Azam, kamu mengingatkan saya pada zaman sewaktu saya kecil dahulu.
Teruskan pembelajaran kamu dengan bersungguh-sungguh.” Kata-kata Cikgu Kamal
membuatkan Azam terkejut.
KAMPUNG HAJI, SUNGKAI, APRIL 1990
7
KERANA MU CIKGU
Hari itu menjadi sejarah buat Azam. Langkah kakinya diiringi amanat Cikgu Kamal. Dia
mahu ibunya membukakan bungkusan itu. Dia mahu ibunya menjadi orang pertama
melihat hadiah pemberian Cikgu Kamal.
Sampai sahaja di rumah, Azam menceritakan dengan bangga kepada ibu dan
ayahnya tentang pemberian hadiah Cikgu Kamal. Sangat baik dalam penulisan dan
dapat menyiapkan tugasan pelajaran Alam Dan Manusia dengan baik sekali. Dengan
berbesar hati, Azam menyerahkan hadiah itu kepada ibunya. Mak Siti membuka
bungkusan kotak itu dengan berserta linangan air mata. Semua terpana melihat isi
kotak itu. Azam teruja menerima hadiah itu daripada ibunya. Dengan senyuman dia
berkata,
“Sepasang kasut putih!”
SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGKAI, APRIL 1990
Hari ini Azam melangkah dengan bergaya. Selamat tinggal kasut putih lama!
Cikgu Kamal akan berbangga melihat Azam segak memakai kasut putih baharu.
Kawan-kawannya pasti perasan kelainannya.
“Kriinnggggg!” Loceng menandakan perhimpunan berbunyi. “Eh, hari ini hari
Khamis mana ada perhimpunan! Kenapa ya?” Hadi setia menemani Azam yang baru
8
KERANA MU CIKGU
sampai ke sekolah. “Mana aku tau. Marilah kita ke tapak perhimpunan.” Azam
menjawab pertanyaan Hadi. “Wah, kasut baru tu! Ini mesti hadiah Cikgu Kamal. Cantik!”
Azam hanya tersenyum mendengar telahan dan pujian Hadi.
“Murid-murid, pada hari ini saya ingin menyampaikan satu perkhabaran yang
mendukacitakan. Saya harap kamu semua bertenang. Untuk makluman semua pada
malam tadi kita semua telah kehilangan seorang guru yang amat kita sayangi. Beliau
pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Beliau telah terlibat dalam kemalangan
jalan raya dan meninggal dunia semasa dirawat di hospital. Guru tersebut ialah
Allahyarham Cikgu Kamal bin Hamid. Salam takziah buat keluarga beliau. Sekian,
harap maklum.” Ucapan Guru Besar itu ibarat guruh yang memekakkan telinga Azam.
Terbayang wajah Cikgu Kamal. Tanpa dia sedari, air matanya menitis dan semakin laju.
Begitu juga dengan Hadi yang memandang tepat ke wajahnya. Azam hanya
memandang kasut putihnya dengan linangan air mata.
TAMAN SUNGKAI PERDANA, 2013
Steven dan Mary mendengar dengan penuh sayu. Kini fahamlah mereka mengapa
kasut putih itu menjadi terlalu bererti buat Azam. Shima hanya mampu menangis
meratapi kisah sejarah hidup suaminya.
9
KERANA MU CIKGU
“Sejak hari itu, saya tidak pernah memakai kasut lain. Hinggalah kasut ini tidak
lagi muat untuk dipakai. Saya belajar bersungguh-sungguh hingga ke universiti.
Dorongan Cikgu Kamal menjadi pembakar semangat saya. Maaf Steven, Mary, sebab
mungkin merosakkan suasana malam ini dengan cerita saya.”
“Tak apa Azam, secara peribadi saya dan Mary seronok mendengar kisah awak.
Harap masih wujud guru yang berjiwa besar seperti Cikgu Kamal.”
Terdetik di hati Azam, “Fatin… jangan dihilangkan ungkapan ‘Terima kasih
Cikgu’. Hormatilah mereka, sanjungilah mereka, sayangilah mereka” Seperti mana
Hadis Qudsi yang bermaksud;
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata,
Rasulullah s.a.w. bersabda; Sesungguhnya Allah berfirman pada hari Kiamat,
“Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana Ku? Pada hari ini, Aku
naungi mereka di bawah naunganKu, pada hari yang tiada sebarang naungan
melainkan naunganKu.”
1532 patah perkataan
SUMBER RUJUKAN :
10
KERANA MU CIKGU
1. AL-QURAN DAN TERJEMAHANNYA (RASM UTHMANI), Pustaka Darul Iman
Sdn. Bhd., Kuala Lumpur
2. HADIS QUDSI, MUHAMMAD YUSUF A KADIR, Telaga Biru Sdn. Bhd., Kuala
Lumpur, Cetakan Kedua 2015
3. DAKWAH SUATU TUNTUTAN DALAM ISLAM, ABDUL MUNIR ISMAIL,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Cetakan Pertama 2014
11