PRAKATA Buku ini dihasilkan bertujuan menggalakkan kanak-kanak membaca. Gaya bahasa dan perkataan dalam buku ini sudah ditapis. Buku ini juga mengandungi penerangan bergambar yang boleh dijadikan panduan. Antara kelebihan yang terdapat dalam buku ini adalah: i) ilustrasi yang menarik ii) Mudah difahami
Di sebuah hutan terpencil, terdapat sebuah perkampungan yang sangat cantik dan mewah. Perkampungan itu dinamakan ‘Rimba bersinar’. Nama ini sangat sesuai dengan keadaan yang penuh dengan sinaran. Kampung ini terletak di sebuah hutan yang jauh dari bandar. Tiada seorang pun yang mengetahui kewujudan kampung ‘rimba bersinar’. Kampung ini dipenuhi dengan emas, buah-buahan yang segar, sungai mengalir dan keadaan sekeliling yang sangat wangi. Keadaan di kampung ini tidak pernah berbau busuk dan bising. Semua penduduknya sangat patuh kepada pemerintahnya.
Kampung ‘rimba bersinar’ ini diperintah oleh seorang lelaki yang sangat tampan dan segak. Beliau digelar sebagai ‘Raja Rimba’. Gelaran ini dicipta olehnya sendiri. Semua perlu memanggilnya ‘Raja rimba’. Jika ada yang mengingkari perintahnya, mereka akan ditukarkan menjadi haiwan, dibunuh atau dibuang kampung. Oleh kerana Raja rimba mempunyai kuasa sakti, semua penduduk terpaksa akur.
Setiap hari, semua orang perlu menyediakan makanan atau kemewahan kepadanya. Ada yang terpaksa mengabaikan kesihatan dirinya demi melengkapi keinginan Raja Rimba. Raja Rimba tidak pernah melengkapi keperluan penduduknya. Raja Rimba hanya menginginkan kemewahan, kesempurnaan dan keindahan di matanya. Disebabkan ketamakkan dan sifatnya yang angkuh, hari demi hari bilangan penduduknya semakin berkurang kerana telah disumpah dan dibunuh.
Disebabkan bilangan penduduknya yang semakin berkurang, Raja Rimba tidak lagi mendapat hidangan yang mewah dan banyak seperti sebelum ini. Raja Rimba sangat marah dan memaksa setiap orang menyediakan kemewahan kepadanya dua kali ganda. Oleh kerana sikapnya yang tidak pernah menyedari kesilapan sendiri, akhirnya salah seorang bersuara ‘hei Raja Rimba yang angkuh. Bukankah ini terjadi kerana sikap mu yang mementingkan diri ?’. Raja Rimba menjadi bertambah marah lalu mengarahkan tongkat saktinya dan berkata ‘Berambuslah kau dari sini.’
Abu yang merupakan seorang petani di kampung itu, akhirnya dihalau keluar. Namun begitu, Abu tidak sedih malah bersyukur kerana dapat keluar daripada halaman raja yang sombong itu. Dia berniat untuk mencari manusia lain. Dia ingin mengadu mengenai nasib yang ditimpa ke atasnya dan penduduk di ‘Rimba bersinar’. Dia berjalan seorang diri selama dua hari. Akhirnya, Abu menemukan seorang wanita cantik yang memakai serba putih.
Rupa-rupanya, itulah Sang Puteri yang sangat baik hati. Abu mendekati Sang Puteri lalu mengadu nasibnya dan kisah mengenai ‘kampung Rimba bersinar’. Sang Puteri terkejut dan menggunakan cermin ajaibnya untuk melihat keadaan di sana. Sang Puteri sangat marah dan ingin menghentikan kuasa Raja Rimba dengan menyumpahnya menjadi serigala yang hodoh. Sang Puteri menggunakan kereta kudanya bersama Abu untuk ke sana.
Mereka tiba dengan selamat. Sang Puteri mencari helah untuk berjumpa dengan Raja Rimba. Sang Puteri perlu memancarkan cermin ke arah Raja Rimba untuk menghentikan kuasa saktinya dan berubah menjadi serigala hodoh. Sang Puteri menggunakan kecantikkannya untuk berjumpa dengan Raja Rimba. Akhirnya, Raja rimba bersetuju untuk berjumpa. Sebaik sahaja mereka berjumpa, Raja Rimba terus bertukar menjadi serigala yang hodoh. Semua sumpahan di kampung itu akhirnya kembali normal. Semua penduduk mengucapkan terima kasih kepada Sang Puteri.
Raja Rimba akhirnya dihalau. Raja Rimba sangat menyesal atas perbuatannya dan meminta peluang sekali lagi kepada Sang Puteri. Sang Puteri kasihan lalu bersetuju dan menetapkan perjanjian. ‘Jika kau dicintai seseorang disebabkan kebaikan kau dan disukai sekurang-kurangnya sepuluh jenis haiwan atau manusia, sumpahan akan terbatal.’ Raja Rimba pun bersetuju. Sang Puteri terus berangkat ke istana semula.
Selepas 3 tahun kemudian, keluarga Sang Puteri jatuh miskin kerana terkena sumpahan oleh pihak musuh. Bagi memulihkan semula keadaan, Sang Puteri perlu berkahwin dengan Putera yang tidak dikenalinya. Ini demikian kerana, dengan perkahwinan sahaja dapat mengembalikan keadaan seperti sebelumnya. Sang Puteri sangat sedih mengenangkan nasib yang ditimpa keluarganya. Sang Puteri tidak rela berkahwin dengan jejaka yang tidak dikenalinya. Dia sedih lalu membawa diri ke hutan.
Setibanya di hutan, dia menemukan sebuah sungai yang indah. Dia berehat di situ dan menangis teresak-esak. Tangisannya didengari oleh penduduk haiwan di sekitar itu. Penduduk di situ terdiri daripada kancil, rusa, tupai, ikan, serigala dan banyak lagi. Kesemuanya boleh bercakap seperti manusia. Sang Puteri sangat tergamam apabila disapa oleh seekor ikan. ‘Hei gadis yang cantik, kenapa kamu bersedih?’. Sang Puteri pun menceritakan nasib yang ditimpanya.
Ikan tersebut sayu mendengarnya dan memanggil rakannya yang lain untuk menyediakan tempat berehat kepada Sang Puteri. Sang Puteri berehat di sana dan dijaga rapi oleh seekor serigala yang hodoh. Setiap hari, Sang Puteri sangat gembira. Semua baik kepadanya dan menyayanginya. Sang Puteri belajar memburu, memasak, dan banyak lagi. Sang Puteri sangat mengagumi kebaikan penduduk di sana. Setiap hari, dia dihidangi dengan makanan yang lazat.
Tiba-tiba, datang sebuah rombongan dari istana Putera yang ingin menjemputnya pulang. Sang Puteri sangat takut dan tidak ingin mengikuti Putera. Sang Puteri memutuskan untuk tinggal bersama penduduk haiwan. Oleh kerana sikapnya yang degil, Putera pun mula marah dan memaksa pengikutnya mengheret Sang Puteri masuk ke dalam kereta kuda. Putera menipu Sang Puteri bahawa Ayahandanya akan dibunuh jika Sang Puteri mengingkari perintahnya. Sang Puteri akhirnya akur.
Namun, seekor serigala mengamuk lalu melawan pengikut-pengikut Putera yang zalim itu. Semua pengikut Putera akhirnya mati diterkam. Akan tetapi, serigala itu tidak sempat menghalangi kereta kuda yang dinaiki putera dan Sang Puteri. Serigala itu mengejarnya tetapi tidak berjaya kerana keadaannya yang cedera akibat pergaduhan tadi. Dia terjatuh dan meraung kesakitan. Rakannya yang lain bergerak dengan cepat menolong serigala itu.
Sepanjang perjalanan, Sang Puteri menangis teresak-esak. Setibanya di istana, Sang Puteri terkejut apabila melihat sebuah majlis perkahwinan yang siap dihiasi untuknya. Sang Puteri sangat marah atas penipuan Putera mengenai ayahnya. Sang Puteri menolak perkahwinan itu. Sang Puteri mengatakan bahawa dia sudah menemukan seseorang untuk dikahwininya. Dia akhirnya memacu kereta kuda dengan cepat menuju ke hutan.
Ketika tiba di sana, Sang Puteri terus mencari serigala hodoh yang menolongnya tadi. Tanpa rasa segan, Sang Puteri meluahkan perasaannya kepada serigala itu. Sang Puteri menyedari perasaan ini apabila melihat kebaikannya sepanjang menetap di kediaman penduduk haiwan ini. Serigala itu membalas cinta Sang Puteri. Tiba-tiba, serigala itu bertukar menjadi manusia yang segak dan tampan. Sang Puteri sangat terkejut dan mula teringat bahawa serigala itu merupakan Raja Rimba yang disumpahnya dahulu.
Namun begitu, Sang Puteri percaya bahawa Raja Rimba telah berubah dan mampu menjaganya dengan baik. Mereka pun berkahwin dan hidup bahagia. Setelah itu, keadaan keluarga Sang Puteri berbalik asal. Mereka sangat bahagia. Raja Rimba dan Sang Puteri akhirnya memutuskan untuk tinggal di kampung ‘Rimba bersinar’ dan menjadi pemerintah yang baik bagi menebus semula kesilapan suaminya. Mereka berdua disambut baik. Semua penduduk menyayangi mereka.
SINOPSIS Cerita ini dicipta khas untuk kanak-kanak berumur 10 tahun dan ke atas. Cerita ini mengandungi unsur hiburan untuk menarik minat kanak-kanak dan mempunyai nilai positif. Contohnya, hormat-menghormati, merendah diri, berdikari, tolong-menolong, insaf dan saling menyayangi. Nilai-nilai murni wajar dipupuk dalam kalangan kanak-kanak agar membentuk sahsiah yang baik. Cerita ini mengisahkan seorang raja yang digelar ‘Raja Rimba ’ kerana tinggal di hutan. Dia sangat zalim dan angkuh. Pada suatu hari, Sang Puteri mengetahui kezalimannya kepada rakyat. Raja Rimba akhirnya menerima sumpahan menjadi serigala yang hodoh. Dia menyesal lalu berusaha menghilangkan sumpahannya dengan kebaikan. Akhirnya, dia berjaya membatalkan sumpahan itu dengan membuat seseorang jatuh cinta kepadanya kerana kebaikan. Mereka berkahwin dan hidup bahagia.