The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NUR LIYANA BINTI ABDUL GHANI (F2F)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 790-3-liyana, 2022-03-26 23:26:37

Tugasan 1 BMMB1104

NUR LIYANA BINTI ABDUL GHANI (F2F)

Keywords: SASTERA

Tugasan 1
BMMB1104

NUR LIYANA BINTI ABDUL GHANI (F2F)
ANGKA GILIRAN: 2021252310135

01 Takrif Kesusasteraan Melayu

02 Jenis, Bentuk dan Ciri
- Prosa tradisional
- Prosa moden
- Puisi tradisional
- Puisi moden

ISI KANDUNGAN 03 Fungsi Kesusasteraan Melayu

04 Manifestasi Akal Budi dalam Puisi Tradisional
- Pantun
- Syair
- Seloka
- Gurindam

05 Rujukan

Takrif Kesusasteraan Melayu

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan untuk memberi makna kepada kata ‘kesusasteraan’. Menurut Hashim Awang
dalam Artikel akademik, istilah kesusateraan yang digunakan dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan
Sanskrit, iaitu sastra. Kata dasar sas- bermaksud mengarahkan, mengajar atau memberi petunjuk. Bagi -tra pula
merujuk kepada alat. Dengan itu sastra bererti alat untuk mengajar. Awalan su- pula bermaksud baik atau indah.
Imbuhan ke- dan -an pula membawa maksud yang menyeluruh, iaitu segala yang tertulis, yang bernilai seni dan
estetika serta dengan maksud memberikan petunjuk dan pengajaran. Dengan itu, kesusasteraan bermaksud satu
bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Sastera juga dikatakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa
adalah medium pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu membentuk tamadun
dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya (Arba’ie et al.,2008).

Bagi konteks pendidikan pula, kesusasteraan Melayu merupakan karya asal yang tertulis dalam bahasa Melayu
berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk prosa tradisional mahupun puisi tradisional bagi
mengimbangi intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan dan citra masyarakat.
Dalam bahasa yang mudah, kesusasteraan Melayu merupakan hasil karya masyarakat Melayu yang mempunyai kata-
kata yang indah, memberi mesej dan menggambarkan perasaan mengenai diri sendiri ataupun masyarakat.

Jenis, bentuk dan ciri

Genre sastera ialah kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya bentu atau kandungan
tertentu. Menurut Mako Deng (2008), kesusasteraan Melayu dibahagikan kepada dua bentuk iaitu bentuk prosa dan bentuk
puisi. Kedua-dua bentuk ini pula dikategorikan mengikut era atau zaman kemunculannya iaitu kategori klasik atau
tradisional dan jenis moden atau kotemporari. Oleh itu,, kesusasteraan Melayu dari segi jenis dan bentuknya dapat
dibahagikan kepada empat, iaitu prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden. Prosa Melayu
Tradisional terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu naratif dan bukan naratif. Prosa Tradisional berbentuk naratif
terbahagi pula kepada dua jenis, iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif Lisan di dalam Kesusasteraan Melayu
terbahagi kepada tiga genre, iaitu mitos, legenda dan cerita rakyat. Manakala, Cerita Rakyat pula terbahagi kepada sub
genre iaitu cerita jenaka, cerita binatang dan cerita dongeng. Cerita dongeng pula merupakan cerita lipur lara dan cerita
teladan. Secara tidak langsung, pembahagian ini juga telah membawa kepada ciri-ciri sastera yang berbeza bagi setiap
satunya.

Prosa Tradisional

Prosa tradisional berbeza dengan sastera lama kerana sastera lama bersifat sementara. Hal ini dikatakan sedemikian
kerana apabila datang yang baharu, maka hilanglah yang lama. Namun, prosa tradisonal merupakan sastera yang diwarisi
secara turun temurun walaupun jangka masa sastera itu telah lama dihasilkan. Menurut Siti Hajar (2011), tradisional
bermaksud serius dan abadi nilainya. Prosa tradisional pada mulanya menerima pengaruh Hindu dan Buddha. Walau
bagaimanapun, setelah kedatangan Islam pada abad ke-14 hingga abad ke-16, kesusasteraan prosa tradisional mengalami
perkembangan yang positif. Hasilnya, muncul tulisan Jawi yang merupakan tulisan penting bagi penganut agama Islam.
Dapat dilihat bahawa, prosa tradisional merupakan karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Tujuannya, adalah untuk
menyatukan falsafah pencipta dan penerimanya ketika itu. Dengan itu, prosa tradisional terbahagi kepada dua genre, iaitu
sastera rakyat (lisan) dan sastera istana (tulisan).

Sastera rakyat ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya daya ciptaan imaginasi pencipta
yang mengandungi atau menggambarkan nilai world view itu sendiri. Rakyat pula merupakan orang biasa yang
hidup kolektif bagi membentuk satu sistem kekeluargaan yang besar. Sastera rakyat merupakan hasil karya yang
diinspirasikan dan disampaikan secara lisan. Menurut Zaidan et al., (2002), sastera lisan adalah ungkapan dari
mulut ke mulut. Dengan perkataan lain, sastera rakyat disebut juga sebagai sastera lisan.

Antara ciri sastera rakyat adalah disebar dan diwariskan secara lisan. Seterusnya, sastera ini bersifat tradisional
dan lama kerana berada dalam sesutu kebudayaan dalam tempoh yang lebih lama daripada dua generasi. Selain
itu, sastera rakyat turut wujud dalam variasi yang berbeza-beza serta bersifat anonimi, iaitu menggunakan nama
samaran atau langsung tiada nama pencipta. Sastera rakyat juga menjadi hak milik semua masyarakat yang
menghasilkannya. Malahan, sastera rakyat turut mempunyai bentuk berpola dengan plot yang hampir sama dengan
fungsi untuk memberi pengajaran.

Sastera rakyat ini pula terbahagi kepada dua kategori, iaitu naratif dan bukan naratif. Sastera naratif ini terbahagi
pula kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sastera bukan naratif terdiri daripada puisi rakyat.

Mitos merupakan cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci oleh empunya cerita dan masyarakat
yang mendukungnya. Cerita mitos ini kebiasaannya berkisarkan kejadian alam semesta, manusia, binatang, tumbuh-
tumbuhan, bentuk muka bumi dan kejadian alam. Tokoh atau watak yang terlibat pula terdiri daripada makhluk halus,
dewa atau separuh dewa yang terjadi pada zaman dahulu. Walau bagaimanapun, mitos dalam sastera Melayu terdiri
daripada tiga jenis, iaitu mitos asal usul, mitos institusi sosial dan mitos politik. Mitos asal usul berlaku pada masa
lampau dan dianggap keramat seperti kisah Tasik Cini. Manakala, mitos institusi sosial pula merupakan cerita yang
mengisahkan asal usul sesebuah institusi sosial dalam masyarakat Melayu seperti mitos kedatangan Islam. Mitos
politik pula ialah cerita yang berkaitan dengan struktur pemerintahan dan kerajaan seperti cerita keturunan raja-raja
Melayu.

Ciri-ciri mitos termasuklah dianggap benar-benar terjadi, peristiwa aneh, tetapi penting, dianggap keramat dan
memberikan kesan kepada masyarakat serta berlaku pada zaman lampau.

Legenda pula merupakan cerita yang dipercayai benar-benar berlaku tetapi tidak dianggap suci. Tokohnya dikatakan
terdiri daripada manusia yang mempunyai sifat luar biasa. Ciri-ciri legenda termasuklah sejenis komunikasi lisan yang
bercorak cerita berasaskan kisah-kisah tokoh atau pahlawan. Latar masa dan sejarahnya tidak semestinya masa
lampau, tetapi masih ada hubung kait dengan masa silam. Bukan itu sahaja, kisahnya juga ada kaitan dengan sama
sekarang seperti Legenda Perigi Hang Tuah. Jenis legenda dalam masyarakat Melayu pula terbahagi kepada legenda
keagamaan, legenda alam ghaib, legenda perseorangan, legenda tempat dan legenda tokoh.

Seterusya, cerita rakyat pula merupakan berbentuk prosa dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Cerita rakyat
menjadi sumber hiburan di samping menegakkan kebenaran dan mengandungi moral atau sindiran. Jenis cerita rakyat
terbahagi kepada cerita binatang, cerita lipur lara, cerita jenaka dan cerita teladan. Cerita binatang ditokohi oleh
binatang yang mempunyai gambaran sikap dan tingkah laku seperti manusia. Biasanya watak utama binatang bersaiz
kecil namun cerdik manakala watak antagonis pula bersaiz besar tetapi kurang cerdik. Misalnya, cerita Sang Kancil yang
menipu gergasi. Cerita lipur lara pula banyak mengandungi unsur magis dan kesaktian seperti Hikayat Malim Dewa dan
Hikayat Malim Deman. Ciri-ciri cerita teladan pula wataknya terdiri daripada manusia biasa yang mengalami suka duka
pada awal cerita tetapi memperoleh kegembiraan pada akhir cerita. Sebagai contoh, Bawang Putih Bawang Merah dan
Batu Belah Batu Bertangkup.

Bagi sastera istana pula turut dikenali sebagai sastera tulisan. Sastera tulisan terbahagi kepada sastera hikayat,
sastera undang-undang, sastera epik, sastera panji, sastera agama dan sastera ketatanegaraan. Sastera hikayat
terbahagi kepada tiga jenis berdasarkan unsur-unsur yang terdapat di dalamnya, iaitu unsur Hindu, Islam dan Hindu-
Islam. Contoh sastera hikayat ialah Hikayat Seri Rama dan Hikayat Raja Pasai. Sastera undang-undang pula dijadikan
sebagai bahan kajian tentang sistem pemerintahan, sistem pentadbiran dan susun lapis masyarakat lama. Contoh
sastera undang-undang ialah Hukum Kanun Melaka, Adat Perpatih dan Undang-undang Pahang. Bagi sastera epik pula
turut disebut sebagai sastera pahlawan dan bersifat sejagat. Genre ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu epik
kebangsaan dan epik berunsur Islam. Contoh bagi sastera panji pula ialah karya yang berkisar kisah pengembaraan,
percintaan dan peperangan seperti Hikayat Cendawan Putih. Sastera agama pula kebanyakannya berfokus pada cerita
yang menggambarkan kehebatan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Islam seperti yang terkandung
dalam Hikayat Bulan Terbelah. Akhir sekali sastera ketatanegaran pula melibatkan panduan dalam pemerintahan
negara seperti yang terkandung dalam Kitab Nasihat Segala Raja-Raja.

Prosa Moden

Prosa tradisional seterusnya digantikan dengan kehadiran prosa moden kerana hasil karya sastera selepas tahun
1800 Masihi digolongkan dalam sastera moden (Annas Hj. Ahmad, 1988). Pembahagian dari segi masa ini bertujuan
untuk memudahkan masyarakat memahami bentuk dan unsur perbezaan dalam sastera Melayu. Contohnya, sajak
bebas hari ini merupakan suatu penyimpangan daripada bentuk puisi lama seperti pantun dan syair. Kehadiran prosa
moden ini ditandai dengan hasil karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang merupakan pengkarya sastera Melayu
Moden. Dengan itu prosa moden ini melibatkan kemunculan cerpen, novel dan drama.

Cerpen merupakan gabungan dua perkataan, iaitu cerita pendek. Cerpen berkembang apabila kegiatan persuratan
Melayu mencapai zaman kegemilangannya sekitar tahun 1930-an. Cerpen bukan sahaja menjadi alat menggambarkan
sikap, perasaan, pandangan dan fikiran pengarang malah turut memberi gambaran bagi sesuatu zaman sama ada
berhubung masalah sosial, politik atau ekonomi. Ciri-ciri cerpen berkisar mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa
yang menjadi fokus utama. Selain itu, cerpen hanya membawa satu tema sahaja dan beberapa persoalan bagi
meninggalkan kesan tertentu dan mendalam kepada pembaca. Seterusnya, cerpen memusatkan perkembangan
watak kepada beberapa orang tertentu sahaja. Dalam penulisan cerpen juga hanya terdapat satu plot sahaja yang
kemudiannya akan dikembangkan dengan rapi dan tidak rumit.

Novel pula merupakan prosa rekaan yang panjang yang di dalamnya termuat sebahagian daripada sebuah
kehidupan. Novel juga dikatakan satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera
cereka (Shahnon Ahmad, 1972). Dengan itu, novel merangkumi tiga faktor utama yang saling berkait antara satu sama
lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi.

Novel yang bercorak kemasyarakatan telah dihasilkan oleh Harun Aminurrashid seperti Cinta Gadis Rimba (1947),
Darah Kedayan (1947) dan Minah Joget Moden (1949). Di samping itu, novel yang bercorak semangat kebangsaan
juga lahir pada pertengahan tahun 1940-an, iaitu novel Pahlawan Rimba Malaya (1946). Dalam novel ini diceritakan
menenai semangat pejuang gerila Melayu yang menentang penjajahan Jepun. Walau bagaimanapun, zaman
kegemilangan novel Melayu adalah pada tahun 1960-an yang merupakan tahun-tahun mengisi kemerdekaan. Justeru,
hasil karya dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuaniti. Tambahan pula, peraduan mengarang yang diadakan berjaya
melahirkan beberpa naskhah novel yang baik dan tinggi nilainya seperti novel Salina, Merpati Puteh Terbang Lagi dan
Desa Pinggitan. Secara tidak langsung peraduan ini turut melahirkan pengarang baharu seperti A Samad Said, Arena
Wati, Shahnon Ahmad dan ramai lagi.

Drama juga digolongkan dalam genre prosa moden. Hal ini demikian kerana, drama merupakan salah satu bentuk
karya sastera yang penyampaian mesejnya dilakukan melalui lakonan serta dialog. Ciri drama ini dilihat melalui
pembinaan unsur intrinsik, iaitu satu kesatuan yang membentuk karya secara kesuluruhan. Antara unsur yang
mendukung drama ialah skrip drama itu sendiri di samping pentas atau panggung yang bertujuan untuk pementasan
drama. Dalam melaksanakan pementasan pula beberapa unsur seperti cahaya, bunyi, pakaian dan penonton juga
merupakan unsur-unsur penting dalam kesempurnaan bagi pementasan sesebuah drama.

Puisi Tradisional

Puisi merupakan genre sastera paling awal bagi semua bangsa di dunia . Hal ini demikian kerana puisi telah dijadikan
kesusasteraan awal bagi masyarakat Eropah, masyarakat Hindu dan bangsa Arab. Orang Melayu pula mula bekarya
dengan puisi tradisional. Menurut Harun Mat Piah (1989), antara genre dalam puisi tradisional ialah pantun, syair,
gurindam, seloka, talibun, mantera, teka teki dan sebagainya. Walau bagaimanapun, puisi tradisional yang akan
difokuskan dalam perbincangan ini melibatkan empat jenis, iaitu pantun, gurindam, syair dan seloka.

Pantun merupakan puisi Melayu asli yang tertua dan paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Memang
tidak dapat dinafikan lagi bahawa pantun adalah satu-satunya puisi Melayu tradisional yang paling asli dan lahir di
rantau Alam Melayu. Buktinya, semenjak orang Melayu belum tahu surat menyurat pun mereka telah pandai
berpantun dan berbalas-balas pantun antara mereka (Za’abaa, 1978). Penciptaannya yang terkandung dalam dua
rangkap, empat rangkap, enam rangkap, lapan rangkap, dua belas rangkap dan pantun berkait telah menjelaskan
bentuk pantun itu sendiri. Pantun juga merupakan pengungkapan yang mengandungi unsur pembayang maksud dan
maksud.

Pantun dapat dilihat melalui dua aspek iaitu dalaman dan luaran. Aspek dalaman dapat dilihat menerusi nilai estatik
yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu dan makna atau maksud pantun yang disampaikan
mengikut ketegori pantun seperti pantun kanak-kanak untuk memberi nasihat dan panduan kepada kanak-kanak.

Menurut Harun Mat Piah (1989), dari segi tema dan isi, pantun dapat dibahagikan kepada tujuh iaitu pantun kanak-
kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun teka-teki, pantun puji-pujian atau
sambutan, pantun nasihat, agama dan adat, dan pantun naratif atau cerita. Pantun mempunyai unsur estetika alamiah
yang bersifat bertentangan, berpasangan, dan berangkapan. Sebab itu, antara ciri-ciri pantun ialah berskema rima a/b
/a/b yang terdiri daripada dua komponen, iaitu pembayang atau sampiran dan maksud. Setiap serangkap dapat
menyelesaikan keseluruhan idea. Penjenisan pantun berdasarkan bentuk dan strukturnya yang tetap. Setiap barisnya
mempunyai antara lapan hingga sepuluh suku kata yang sesuai dengan pernafasan normal, dan mempunyai antara
empat hingga lima perkataan. Setiap pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berlainan. Maksudnya berdiri sendiri
(kecuali pantun berkait), dan setiap rangkap membawa persoalan yang sempurna.

Oleh itu, istilah-istilah yang merujuk kepada jenis-jenis pantun, seperti “pantun kanak-kanak”, “pantun kasih-sayang”,
“pantun budi” dan sebagainya bukanlah tergolong sebagai jenis tetapi lebih jelas sebagai pengelasan tema yang boleh
berubah-ubah menurut tafsiran dan penumpuan pengkaji. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Azman et al., (2022),
jenis-jenis pantun dibahagikan bergantung pada fungsi kandungan pantun itu sendiri seperti menghibur, nasihat,
menduga akal, nasihat dan sebagainya. Bagi setiap baris pantun ada jeda di dalamnya. Pantun-pantun ini memiliki
gaya bahasa dan lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat. Terdapat juga pantun-pantun
yang pembayangnya mempunyai hubungan dengan maksudnya. Pantun sebagai milik semua lapisan masyarakat,
mampu membawa berbagai-bagai tema, persoalan dan mesej.

Gurindam sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional seperti mana yang dikenali sekarang telah diperkenalkan oleh
Raja Ali Hj. pada tahun 1846 melalui ‘Gurindam Dua Belas’. Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal
daripada bahasa Sanskrit. Walaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu,
gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan kelainan dengan
gurindam dalam bahasa Sanskrit.

Bentuk gurindam adalah terikat. Ciri-ciri gurindam pula terdiri daripada dua baris serangkap yang mengandungi tiga
hingga enam patah perkataan dengan skima rima akhir ‘a’. ‘a’. Manakala, suku kata gurindam dalam sebaris ialah
antara 8 hingga 12 suku kata. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan
idea. Bahasanya pula bernas dan serius yang terkandung nasihat, pengajaran dan kebenaran (Dr. Azman et al., 2022).
Walau bagaimanapun, menurut menurut Za’ba (1962), gurindam merupakan puisi yang tidak mengandungi sukatan
yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubahkan dalam bahasa yang indah untuk dinyanyikan bagi
tujuan hiburan. Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa istilah Gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit
dan masuk ke bahasa Melayu menerusi bahasa tamil, tetapi pengisiannya tidak menurut puisi Sanskrit atau Tamil
(Za’ba, 1965).

Syair pula merupakan sejenis puisi berlagu yang dikatakan berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara
bersama-sama kedatangan Islam. Menurut Mohd. Yusuf Md. Nor (1985), syair dikatakan berasal daripada puisi Arab
iaitu sy’ir tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab. Keseluruhan
pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam
bahasa Melayu, istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada
tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu ( Harun Mat
Piah,1989 ).

Syair boleh dikenali melalui bentuk,isi dan perbandingan dengan puisi Melayu tradisional yang lain. Berbanding
pantun, bentuk syair lebih ketat dan terikat kepada ciri–ciri tertentu. Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi
empat baris serangkap dengan rima akhir a/a/a/a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu
walaupun terdapat juga variasi-variasi bentuk yang lain. Manakala, setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah
perkataan dan suku kata pula 8 hingga 12 bagi setiap baris. Ciri-ciri syair ini lebih jelas dilihat apabila di setiap baris
terdapat suatu hentian dan setiap rangkap memerlukan beberapa rangkap yang berurutan untuk memberi idea yang
lengkap. Syair juga dikatakan suatu pernyataan yang berlarutan contohnya, untuk mengemukakan cerita, buah fikiran,
nasihat dan puji-pujian.

Bagi seloka pula, menurut Harun Mat Piah (1989), istilah ‘seloka’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘sholoka’
yang bermaksud berseloroh, berjenaka atau menyindir. Sebagai satu bentuk puisi tradisional yang bercorak karangan
berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpaan yang mengandungi unsur
jenaka atau gurau senda (Dr. Azman et al., 2022). sungguhpun begitu, isi dan mesejnya sarat dengan sindiran yang
berguna sebagai panduan dan pengajaran kepada masayarakat.

Bentuk dan ciri seloka dapat dilihat sebagai puisi yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya
mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, seloka
merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap, jumlah
baris dalam serangkap tidak menentu begitu juga jumlah perkataan dalam sebaris. Contohnya, Seloka Pak Kaduk,
Seloka Pak Pandir dan Seloka Emak Si Randang. Seloka boleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka juga biasanya
memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989). Walau
bagaimanapun, sebahagian besar seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat, iaitu empat baris serangkap seperti
pantun seloka namun binaannya lebih mirip kepada bentuk pantun atau syair (Dr. Azman et al., 2022).

Puisi Moden

Sajak merupakan satu-satunya genre puisi dalam puisi moden. Sajak ialah puisi moden yang lebih
bebas yang hanya terikat pada sesuatu pola khusus, walaupun ada ketikanya memerikan ciri matra,
rima dan rentak. Dapat dilihat bahawa sajak lebih mementingkan keberkesanan pengucapan
perasaan melalui pemilihan dan pemakaian kata-katanya yang saling menumpang dan terjalin
menurut erti serta irama. Hal ini bertepatan menurut H. B. Jassin (1983), yang mengatakan sajak
adalah pengucapan perasaan dengan perasaan yang di dalamnya terkandung fikiran dan tanggapan.

Bentuk dan ciri sajak jelas dilihat sebagai puisi moden yang tidak terikat pada peraturan seperti
pemilihan kata atau diksi, pembentukan rangkap, baris serta pematuhan skima rima akhir seperti
dalam puisi tradisional. Satu lagi ciri puisi moden yang jelas dilihat adalah dengan adanya nama
penulis sebagai pengakuan hak ke atas sesebuah karya walaupun menggunakan nama samaran atau
nama pena. Secara kesimpulannya, puisi Melayu moden adalah hal karya kreatif yang mempunyai
bentuk yang bebas dan tersendiri mengikut selera penulisnya. Hal ini bertentangan seperti yang
terdapat dalam puisi tradisional. Dengan itu, jelaslah bahawa puisi Melayu moden membawa suasana
serta pandangan terhadap yang lebih moden.

Fungsi Kesusasteraan Melayu

Sesuatu yang dipaparkan dalam karya mempunyai tujuan dan fungsinya yang tersendiri berdasarkan
pertimbangan dan pengamatan pengarangnya. Sastera sebagai hasil karya kreatif dan imaginatif mempunyai
tujuan dan fungsi tertentu akan penghasilannya. Dengan perkataan lain, peranan dan fungsi sastera
merangkumi aspek luaran dan dalaman yang dapat dikesan melalui genre sastera tradisional mahupun genre
moden. Walau bagaimanapun, menurut Muhammad Haji Salleh (2000), peranan dan fungsi sastera zaman
tradisional lebih luas dan pelbagai cabarannya. Manakala, fungsi kesusasteraan pramoden ternyata lebih
besar berbanding dengan fungsinya pada zaman moden yang agak menipis. Dengan itu, fungsi sastera
Melayu dapat dilihat dari lima aspek, iaitu hiburan, pendidikan, dakwah, kritikan sosial dan instrumen
perpaduan.

Kewujudan karya sastera yang membawa keseronokan yang indah bagi memenuhi keperluan menghiburkan
menjelaskan fungsi sastera sebagai hiburan (Dr. Azman et al., 2022). Hiburan merupakan fungsi asas bagi
sesebuah karya sastera. Hiburan dalam karya sastera ini terhasil daripada keindahan kata-kata yang
diungkapkan, irama atau rentak yang tersusun, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca
atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya. Fungsi ini lebih nyata dalam sastera lisan, misalnya si
nenek bercerita kepada cucu-cicitnya. Karya sastera juga berupaya menjadi bahan hiburan yang bermutu.
Cerpen dan novel remaja, misalnya, menyajikan bahan bacaan ringan kerana plotnya yang tidak kompleks.
Temanya adalah biasa sahaja. Konflik yang timbul pula tidak memaksa kita berfikir secara mendalam.
Selalunya pengakhiran cerita memberi kepuasan kepada pembaca yang mahukan hiburan.

Contoh unsur hiburan ini boleh dilihat dalam karya sastera rakyat, iaitu cerita jenaka seperti Pak Kaduk.
Sebagaimana dimaklumkan cerita ini mengisahkan watak Pak Kaduk yang sering bernasib malang berlaga
ayam dengan raja. Cerita ini menjadi hiburan apabila watak Pak Kaduk yang tingkah lakunya mencuit hati
pembaca kerana kedunguannya. Walau bagaimanapun, cerita ini bukanlah hiburan semata kerana sarat
dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, pengarang ingin menyedarkan
pembaca berjudi hanyalah perbuatan yang sia-sia. Dalam puisi tradisional pula, pantun misalnya merupakan
karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya membawa keindahan yang menghiburkan.
Tambahan pula, pantun dapat disampaikan dalam pelbagai variasi yang semakin menambahkan fungsi
menghiburkan seperti lirik lagu dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kategori hiburan adalah berbeza antara seorang pembaca
dengan seorang pembaca lain (Mohd Rodzi, 2008). Malah sebuah karya serius masih boleh dibaca sebagai
sebuah karya yang menghiburkan. Ia tidak pula menjatuhkan nilai dan martabat karya berkenaan. Sebaliknya
menunjukkan betapa karya berkenaan bersifat subjektif dan fleksibel. Oleh itu, cerita penglipurlara diterima
oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai suatu ketika dahulu kerana kepentingannya sebagai
fungsi hiburan.

Antara fungsi kesusasteraan Melayu menurut Siti Hajar Abdul Aziz pula ialah sebagai alat pendidikan. Hal ini
demikian kerana, pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh
mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Buktinya,
pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu
pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip oleh para pembaca maka berlakulah pendidikan
secara tidak langsung. Jadi dapat dilihat dengan jelas bahawa kesusasteraan mampu menjadi alat pendidikan buat
masyarakat. Dengan itu, Malaysia telah memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sejak tahun 1957
lagi bagi membina modal insan yang diharapkan oleh pemimpin negara. Hal ini demikian kerana, peranan sastera
terutamanya, sastera Melayu berperanan untukt membina insaniah dalam kehidupan manusia.

Bukan itu sahaja, hakikat bahawa sastera Melayu menjadi media pendidikan masyarakat Melayu adalah sesuatu
yang tidak dapat dinafikan lagi. Tambahan pula, pada zaman tiada instutisi pendidikan yang formal, selain terdidik
daripada pengalaman sendiri, masyarakat juga dapat menimba ilmu pengetahuan dengan mendengar cerita dan
pengalaman orang lain dalam kelompok asing. Secara tidak langsung, para sasterawan melalui karya mereka akan
memberi pengajaran melalui hasil karya kesusasteraan mereka yang mana banyak menyingkap tentang nilai-nilai
murni dalam kehidupan. Sebagai contoh Seloka Pak Pandir dan Pantun Nasihat. Karya-karya ini banyak menjadi
rujukan buat masyarakat dalam menjalani kehidupan harian. Contoh lain pula seperti Cerita Sang Kancil dengan
Buaya, bukan semata-mata kerana ceritanya menghiburkan tetapi keupayaannya untuk memasyarakatkan nilai,
unsur moral dan pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Misalnya, cerita tersebut diperingatkan betapa
buruknya sikap tidak mengenang budi. Oleh itu, jelaslah pengarang berperanan memberi kesedaran kepada
masyarakat, mengubah pemikiran, serta memberi ruang untuk masyarakat menyerap nilai-nilai moral yang dibawa
dalam karya sastera.

Fungsi sastera Melayu yang seterusnya adalah sebagai dakwah. Menurut Ali Mahfudh dalam kitab Hidayatul
Mursyidin, dakwah ialah mendorong manusia untuk berbuat kebajikan dan mencegah mereka dari perbuatan
mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Malahan, dalam berdakwah seseorang
dapat menyembunyikan pesan-pesan yang hendak dikomunikasikan kepada khalayak pembacanya, melalui
aneka bentuk dan ragam estetika, metafora, simbolsimbol, subjek dan objek yang ada dalam kehidupan.
Justeru, muncul karya sastera Islam dalam pembentukan akhlak manusia di alam Melayu (Dr. Azman et al.,
2022). Walau bagaimanapun, Ismail Hamid menggariskan, teks-teks sastera Islam ini tidak lagi terbatas
kepada cerita para nabi dan lain-lainnya, tetapi ianya telah terbuka kepada cereka yang lain seperti puisi,
novel dan cerpen. Sebagai contoh, Syair Perahu yang dikarang oleh Hamzah Fansuri yang berbentuk
kerohanian. Syair ini ditulis dengan menekankan tentang kematian dan seksaan Allah SWT di hari akhirat.
Oleh itu, jelaslah bahawa karya sastera turut berfungsi sebagai medium penyampaian dakwah.

Seterusnya, sastera juga berfungsi sebagai sebagai medium protes dan saluran kritikan sosial. Hal ini kerana, sastera
merupakan rakaman kehidupan yang menggali dan menyelongkar kehidupan manusia daripada pelbagai dimensi dan
sudut pandang yang berbeza-beza. Dengan perkataan lain, sastera adalah gambaran kehidupan manusia sebagaimana
yang ditegaskan oleh Usman Awang, A. Samad Said dan Dharmawijaya. Pelbagai susun lapis masyarakat pula
membawa kepada kewujudan dalam jurang dalam kalangan mereka. Hal ini akan mempengaruhi tindakan dan susila
adab sama ada untuk tujuan menegur, mengkritik mahupun menyampaikan mesej. Justeru, karya sastera digunakan
sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap raja atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui
cerita-cerita jenaka seperti cerita Pak Kaduk, jelas menyindir golongan berkuasa (raja) yang bersikap zalim, tamak,
pentingkan kuasa dengan mengetepikan kesejahteraan hidup rakyat jelata. Juga melalui cerita Pak Pandir, Lebai Malang,
terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang yang tamak, kedekut, gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil
kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan kekayaan diri sendiri.

Fungsi sastera yang terakhir adalah sebagai instrumen perpaduan, iaitu dengan memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin
Yassin, sastera dijadikan instrumen penting bagi mewujudkan semangat kekitaan atau `esprit de corp’ di kalangan rakyat
dalam usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hal ini demikian kerana, sastera negara
menitikberatkan nilai perpaduan dan penghargaan kepada satu bentuk budaya kebangsaan untuk dikongsi bersama
sebagai pemangkin bagi menyatupadukan rakyat. Tambahan pula, dalam karya sastera terdapat unsur dan nilai-nilai
positif atau optimis yang dapat memajukan fikiran, kesedaran dan membuka mata hati masyarakat terhadap kepentingan
semangat perpaduan di Malaysia.

Manifestasi akal budi

Puisi tradisional merupakan satu eleman yang penting bagi mengungkapkan
pemikiran dan akal budi orang Melayu semasa berkomunikasi. Penggunaannya
sejak sekian lama terhasil daripada pengamatan yang cukup tinggi masyarakat
dahulu terhadap kejadian alam sekeliling, tingkah laku, norma hidup, adat dan
budaya. Oleh itu, puisi tradisional ini dapat dikatakan sebagai cerminan kehalusan
budi, ketinggian ilmu serta pemikiran masyarakat Melayu dahulu ketika berbahasa.
budi mewakili tempat perasaan, kesedaran, keyakinan dan dorongan. Oleh hal
yang demikian, budi dapat dilihat dalam pertuturan, perlakuan, kehalusan
berbahasa dan gaya hidup. Sedangkan akal atau pemikiran merupakan proses
menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu.
Akal budi mencerminkan perbuatan, pemikiran dan sikap seseorang manusia yang
mendokong kebijaksanaan, kehalusan jiwa serta keindahan. Manifestasi akal budi
ini dapat dilihat melalui empat aspek utama, iaitu pemikiran, pertuturan, perlakuan
dan gaya hidup. Berikut merupakan akal budi yang terdapat dalam puisi tradisional.

Akal Budi dalam Pantun

Pantun Nasihat

Burung tiung terbang tinggi,
Burung merpati mencari sarang;

Kalau sombong meninggi diri,
Ke mana pergi dibenci orang.

Merujuk pantun di atas, aspek pemikiran pantun dilihat melalui aspek tersirat, iaitu pemilihan diksi bagi pembayang
yang berkaitan dengan alam. Kedua-dua baris pembayang ini memberikan senario kegiatan unggas, iaitu burung tiong
dan burung merpati. Kesesuaian burung tiong adalah mampu terbang tinggi sedangkan burung merpati lebih suka
kepada kegiatan mencari sarang sahaja. Kegiatan burung tiong yang terbang tinggi sesuai dibandingkan dengan isu
yang hendak dibawa dalam maksud pantun, iaitu perbuatan sombong dan tinggi diri. Hal ini berlainan pula dengan
sifat merpati, yang sibuk dengan hal sendiri, iaitu mencari sarang. Justeru, menyebabkan dirinya lalai dan terlalu
bersifat individualistik. Dengan itu, kedua-dua sifat ini hanya akan menimbulkan kebencian orang sekeliling walau di
mana pun berada.

Ketinggian akal budi dalam pantun ini jelas cara nasihat yang disampaikan agar masyarakat menjauhi sikap
sombong serta pentingkan diri yang akan membawa kepada kebencian orang. Tambahan pula, pemahaman konsep
itu dijelmakan dalam pembayang burung tiung serta burung merpati. Hal ini bertepatan seperti sifat manusia yang
kebiasaannya, mampu mencapai pencapaian yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu terlalu berbangga diri
sehingga dianggap sebagai orang yang sombong dan bongkak. Contohnya seperti sudah belajar tinggi, sudah kaya,
lebih kuat, lebih berkuasa dan lain-lain lagi. Bagi merpati pula, jika dikaitkan dengan sifat manusia, orang yang hanya
memikirkan hal diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain boleh menyebabkan dirinya dianggap sombong.
Malahan, jika hidup berjiran, mereka hanya pergi dan balik ke rumah semata-mata kerana mencari rezeki dan
menyelesaikan urusan diri sendiri sahaja.

Kesimpulannya, akal budi dalam pantun ini mendidik masyarakat supaya jangan bersifat sombong serta pentingkan
diri. Hal ini demikian kerana, sifat ini tidak disukai oleh orang lain. Perkara ini sangat diambil perhatian oleh ahli
masyarakat melayu kerana amalan bertegur sapa dan mengambil berat adalah budaya masyarakat yang diamalkan
sejak sekian lama dan berterusan.

Akal Budi dalam Syair

Syair Kelebihan Ilmu




Ilmu itulah gemala sakti, Bagi yang duka ia penghibur,

Sinarnya cerah cahaya sejati; Ia penerang bagi yang kabur;

Asal puncanya lamun didapati, Ialah kandil di dalam kubur,

Sukar bercerai sehingga mati. Lamun dengannya beramal subur.





Harganya tidak dapat ternilaikan, Ia penerang jalan ke syurga,

Sebuah dunia belinya bukan; Ia pemuas tekak yang dahaga;

Kuasanya besar sukat digunakan, Ialah sungai ia telaga,

Di laut di darat di rimba di pecan. Laut yang luas ialah juga





Masa seorang ialah taulan, Ialah alat sangat berguna,

Teman berbeka, suluh berjalan; Idaman orang yang bijaksana;

Masa berhimpun ia pengenalan. Hamparnya luas amat saujana,

Hias penyata polan si polan. Tepinya ajal sempadannya fana.

Syair di atas memberikan gambaran dan pemikiran Za’ba yang mewakili bangsa Melayu tentang kelebihan seseorang
yang berilmu pengetahuan. Kerap kali diulang bahawa ilmu sangat berguna kerana dengan ilmu pengetahuanlah yang
dapat menerangi hidup dan dijadikan panduan. Ilmu yang diperoleh oleh individu tersebut sudah tentu dapat
dimanfaatkan sepanjang hayat.

Rangkap kedua syair di atas meletakkan ketinggian ilmu yang tidak terhingga nilainya. Za’ba membuat perbandingan
bahawa nilai ilmu tidak dapat ditukar ganti walaupun dengan sebuah dunia. Selanjutnya, pemikiran yang cuba
diberikan oleh beliau ialah faedah atau manfaat bagi orang yang berilmu tiada hadnya dan dapat digunakan di mana-
mana sahaja. Selanjutnya, kita melihat sifat ilmu yang menjadi penghias diri seseorang, menjadi sahabat yang
memberikan panduan semasa mengembara, dan ilmulah juga yang membezakan diri seseorang daripada seseorang
yang lain.

Perkara ini turut disokong dengan kata-kata yang pernah diluahkan oleh Aristotle iaitu: “Yang meninggikan darjat
seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya.” Aristotle mengaitkan akal dan adab di mana seseorang
yang mempunyai ilmu sudah pasti disertai dengan adab yang terpuji yang akan meletakkan dirinya di tahap yang jauh
lebih baik daripada orang yang tidak berilmu. Dengan ilmu seseorang itu dapat menghiburkan hati yang gundah serta
membantunya memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas.

Pemikiran yang terkandung dalam rangkap keempat ini cuba menjelaskan kepada masyarakat bahawa ilmu tetap
berguna walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia dan hidup akan lebih bahagia bagi setiap orang yang
berilmu. Kelebihan ilmu terus digarap oleh Za’ba dalam dalam rangkap kelima syair di atas. Sebagai pembaca, kita
melihat pemikiran beliau yang menegaskan lagi tentang orang yang berilmu akan memperoleh ganjaran pahala.
Dengan ilmu juga, seseorang itu berupaya mencapai cita-citanya dan ilmu itu luas sekali bidangnya.

Akal Budi dalam Seloka

Seloka pak kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai

Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;

Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

Akal budi manifestasi masyarakat Melayu yang terdapat dalam seloka ini ialah menyindir individu yang bersikap
terburu-buru tanpa berfikir sebelum bertindak. Sikap negatif ini perlu ditinggalkan kerana akan memberi kesan di
kemudian hari. Sikap yang sepatutnya ialah berfikir sebelum bertindak dalam sesuatu perkara. Sebagai contoh, Pak
Kaduk yang membinasakan kehidupan masa depan dan kampungnya dengan menukar ayam miliknya dengan raja
dan menjadikan kampungnya sebagai cagaran untuk bertanding sabung ayam sebagaimana dalam frasa ‘ayamnya
menang kampung tergadai’.

Penelitian terhadap ujaran pada baris ‘ada nasi dicurahkan’, ‘nyaris mati oleh tak makan’ merupakan perlian
terhadap tindak tanduk dari perbuatan yang mendatangkan kerugian. Menerusi konteks ujaran tersebut, pengarang
menyindir sikap seseorang yang tamak dan tidak bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan menerusi watak
Pak Kaduk. Dalam seloka ini, Pak Kaduk tidak berfikir panjang kerana sanggup mempertaruhkan aset tunggal
miliknya, iaitu tanah sebagai cagaran untuk memerangi cengkaman raja.

Manakala, pada baris ‘mudik menongkah surut, hilir menongkah pasang’ merupakan tindakan Pak Kaduk yang
akhirnya mendatangkan kerugian kepadanya. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut merupakan sesuatu perkara
yang bertentangan dilakukan dalam dunia pelayaran. Tindakan Pak Kaduk bermudik dalam arus air bertentangan itu
mendatangkan kepenatan serta membuktikan bahawa Pak Kaduk merupakan orang yang lurus dan dungu.

Pengarang juga mengkritik sikap individu yang panas baran dan tidak menggunakan akal fikiran yang waras
dalam sesuatu tindakan seperti ‘ada isteri dibunuh’ . Hal ini demikian kerana, Pak Kaduk yang berang terhadap
pertanyaan yang diaju oleh isterinya, lalu tanpa dapat mengawal emosi dan nafsu dia telah membunuh isterinya.

Keseluruhan isi seloka Pak Kaduk menyindir dengan sinis sikap sebahagian daripada masyarakat Melayu yang
bersikap negatif, terutamanya dalam membuat keputusan. Secara tidak langsung, seloka ini menggambarkan
banyak kelemahan yang wujud di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu. Dengan itu, jelaslah bahawa
watak Pak Kaduk hanyalah seseorang yang mewakili sikap keturunan Melayu yang perlu diberi teguran supaya
mengubah sikap.

Akal Budi dalam Gurindam

Gurindam Dua Belas: Pasal yang Ketiga

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

Akal budi pada pasal ketiga ini, pengarang menjelaskan kepada pembaca bahawa pentingnya menjaga budi pekerti
dalam kehidupan sehari-hari dengan mengawal anggota badan untuk menahan godaan. Tambahan pula, tindakan
seseorang manusia yang menunjukkan perilaku tertib dan patuh pada pelbagai ketentuan dan peraturan merupakan
ciri orang yang disiplin.

Apabila seseorang itu memelihara anggota mata, telinga, lidah, tangan, perut, anggota tengah dan kakinya, maka
selamatlah ia dari sebarang perkara yang tidak memberi sebarang faedah. Hal ini bertepatan seperti yang dianjurkan
dalam agama Islam untuk menjaga setiap tingkah laku dan perbuatan.

Perbincangan akal budi masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam konteks falsafah serta pemikiran dalam puisi
tersebut. Falsafah membawa maksud cinta kepada ilmu dan kebenaran (Dr. Azman et al.,). Falsafah yang
terkandung dalam karya Gurindam Dua Belas membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, kehidupan di
dunia dan akhirat. Falsafah bagi gurindam pasal yang ketiga ini melibatkan falsafah dalam bidang sosial, iaitu
gambaran tentang realiti kehidupan manusia yang bersifat kontekstual.

Penyair memperlihatkan tentang menjaga adab dan tingkah laku dalam kehidupan pada pasal ketiga ini
bersesuaian dengan falsafah dalam bidang sosial. Penyair menyatakan sebagai orang Islam, kita perlu menjaga
kelakuan dengan menjaga anggota sebaiknya agar terhindar dari sebarang kemaksiatan. Secara tidak langsung,
penyair memberi gambaran terhadap kehidupan masyarakat Islam yang sewajarnya melalui pasal ketiga ini.

Rujukan


Abdul Malik. (2015). Nilai-nilai Budi Pekerti Dalam Karya Raja Ali Haji. Jurnal Peradaban Melayu Jilid 10, 103.

Dosen Pendidikan 2. (2021, November 30). Gurindam – Pengertian, Ciri, Jenis, Nilai, Cara dan Contoh. Diambil daripada Gurindam.pdf.

Dr. Azman bin Rahmat, Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin, Shamsudin bin Abu Bakar, Haji Abdul Rani bin Hassan & Dr. Hasnah binti Awang. (2022).
Pengenalan Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu. Pustaka Al-Ehsan.

Mako Deng. (2008). Fungsi Sastera. Diambil daripada https://www.academia.edu/35999639/Fungsi_sastera .

Md Hasri B Rajali. (2012). Keunikan dan Keistimewaan Kesusasteraan. Diambil daripada
https://www.academia.edu/8060073/KESUSASTERAAN_MELAYU .

Mohd Rodzi. (2008). Fungsi Sastera dalam Masyarakat. Diambil daripada
https://www.academia.edu/10263421/Fungsi_sastera_dalam_masyarakat .

Nordiana Ab Jabar & Mohd Faradi Mohamed Ghazali. (2021). Komunikasi bahasa sindiran dalam seloka Pak Pandir dan Pak Kaduk. Jurnal
Komunikasi ; Malaysian Journal of Communication, 37 (1). pp. 364-378.

Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Zurinah Hassan. (2012). Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka. Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

sekian,

Terima Kasih.


Click to View FlipBook Version