The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Ayie Aye, 2021-02-16 07:12:49

SOALAN TUNDINGAN KARANGAN SPM 2020

SOALAN TUNDINGAN KARANGAN SPM 2020

Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan atau sakit juga cara kita menghargai
jasa dan pengorbanan para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi
pelbagai masalah dalam kehidupan. Tamsilnya guru mungkin ditimpa kemalangan,
bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi
mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan perasaan
simpati ibarat cubit peha kanan peha kira terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit,
kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika
mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi
meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa 'guru, jasamu dikenang,
budimu disanjung' bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa
dikenang oleh para pelajar. Dengan berbuat demikian kita dapat mengurangkan beban dan
masalah yang dihadapi guru. Mudah-mudahan Tuhan akan memberikan ganjaran atas
kebaikan yang kita berikan.

Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru
yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa
hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa
mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera
dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka
akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dan generasi seterusnya dengan sempurna.
Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka
diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta
pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa. Dalam hal ini, tidak rugi sekiranya
kita berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain apatah lagi guru yang telah
banyak berjasa kepada kita. Sesungguhnya guru, 'jasamu seharum limau kasturi yang terus
mewangi mengiringi kejayaan seseorang anak didikmu'.

Konklusinya, guru merupakan insan mulia yang sepatutnya dihargai oleh setiap insan.
Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru sukar untuk dibalas
walau dengan menghadiahkan mereka segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana
gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Tanpa jasa dan pengorbanan guru
yang berkaliber dan tidak pernah mengaku kalah dalam perjuangan mereka, nescaya sukar
untuk pemimpin atasan melaksanakan visi dan misinya bagi mencapai wawasan negara
maju pada tahun 2020. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu
yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. Untuk itu marilah kita
renung bait-bait puisi di bawah.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020
E-mail : [email protected] Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

KARANGAN 23 - PERANAN PROGRAM MOTIVASI DALAM MENINGKATKAN
KECEMERLANGAN PELAJAR

Program motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu
kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut kepada
pelajar.

Program motivasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar.
Perkara ini turut diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam
peperiksaan awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi
Cuti Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan
pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat mencapai
kecemerlangan dalam akademik tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu,
terdapat pelbagai perkara yang menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak
sekolah dan swasta itu dapat membantu kecemerlangan pelajar.

Program motivasi itu melatih pelajar dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini
dikatakan demikian kerana selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi
cabaran dalam pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program
motivasi itu para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan fizikal
dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para
pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan dihadapi
oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program motivasi berupaya untuk
meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Selain itu, dalam program motivasi itu juga, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar
dan teknik menjawab soalan yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan
menyediakan pakar-pakar yang mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang
mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan pengetahuan mereka
untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program tersebut. Di samping itu, para
pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh
pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini memberikan kebaikan yang
banyak kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Melalui program motivasi ini, para pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa
yang berkesan. Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus masa dengan bijaksana dan
berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat dijalankan secara teratur kerana masa mereka
terisi dengan perkara yang sesuai dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu
membantu pelajar membuat perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang
berkesan untuk manfaat pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut
berupaya untuk menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.

Program motivasi yang dijalankan itu turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai
bidang. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian
program yang penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri sendiri
yang selama ini terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang
tahu. Di samping itu, program seperti itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan
berfikiran positif dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula
dapat digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam
segenap bidang.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020
E-mail : [email protected] Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

Tidak ketinggalan juga, program motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri
pelajar. Para pelajar akan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga,
masyarakat, negara, dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan
pakar motivasi dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan
terhadap agama yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan,
kefahaman dan penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya.
Secara tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek
kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap
pelajar mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa
perlulah menghantar anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk
anak-anak mereka. Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti
yang tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi, ibu bapa harus memberikan
galakan dan menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk
kebaikan anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan
menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020
E-mail : [email protected] Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A


Click to View FlipBook Version