PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2017
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan limpah rahmat-Nya kepada saya hingga
dapat saya siapkan ISI/SKEMA soalan-soalan kertas 1 Peperiksaan Percubaan SPM 2017 bagi negeri-negeri Malaysia.
Hanya 11 buah negeri dan 2 buah institusi yang dapat saya pilih soalan-soalannya. Terima kasih kepada Cikgu Tan Cl
yang bermurah hati membekalkan soalan-soalan tersebut kepada saya. Rangka isi ini bertujuan:
i. Memenuhi janji saya kepada rakan-rakan guru dan sekolah-sekolah yang telah menjemput saya dalam
jerayawara kertas 1 bagi sesi 2017.
ii. Sebagai bahan sokongan kepada semua guru dan sekolah yang telah menempah modul saya edisi 2017
untuk bahan PdPc.
iii. Berkongsi pengalaman dan menyokong usaha murni rakan-rakan guru di seluruh negara untuk membantu
anak-anak didik membuat persediaan terakhir sebelum menjelang SPM.
Sehubungan dengan perkara tersebut sukalah saya tegaskan perkara-perkara penting berikut:
i. Semua soalan yang dibekalkan adalah daripada soalan panel sama ada di peringkat negeri atau daerah.
ii. Semua rangka isi mahupun sampel jawapan merupakan milik saya secara asli dan tiada adaptasi daripada
mana-mana sumber.
iii. Saya tidak bertanggungjawab tentang mana-mana soalan yang akan keluar atau tidak keluar dalam
peperiksaan sebenar nanti. Saya sekadar berusaha dengan kudrat yang ada.
iv. Sebahagian besar soalan dan sampel jawapan telah pun saya pilih sebagai isi kandungan modul terbaru
saya edisi 2018. Sebarang usaha menjiplak untuk dikeluarkan semula oleh mana-mana pihak tanpa
kebenaran saya dianggap sangat tidak bermoral.
v. Semua bahan belum diedit secara tertib, justeru banyak kesilapan ejaan dan kelemahan tatabahasa berlaku
di mana-mana. Selepas saya terbitkan ke dalam grup, bahan ini akan diedit semula oleh cikgu Tan Cl dan
Puan Roosezah Sabri. Selepas diedit dan dikemaskinikan, barulah akan dipaparkan berulang kali agar
dapat disalin cetak oleh rakan-rakan.
vi. Semua idea dan bahasa yang saya olah dalam aras tinggi dengan harapan untuk membuat lonjakan saujana
dalam kalangan pelajar cemerlang. Kumpulan sederhana dan lemah sudah sewajarnya dibimbing oleh guru-
guru.
vii. Selepas dianalisis, 85% soalan yang keluar menepati kandungan dalam modul saya edisi 2017. Rakan-rakan
dan pihak sekolah yang telah menempah awal modul bolehlah teruskan aktiviti ulang kaji anda berpandukan
modul tersebut.
viii. Sebagai insan biasa, saya banyak kelemahan di sana sini. Saya memohon maaf atas sebarang kelemahan
dan kesilapan. Hanya sekadar ini sumbangsih saya untuk rakan-rakan yang tidak jemu-jemu menyokong
kerjaya saya.
SEKIAN TERIMA KASIH, SELAMAT MAJU JAYA
HAJI ISHAK BIN MD SHAH
ALOR SETAR – 019 4789803
STOK MASIH ADA. YANG BERMINAT SILA
PM 019 4789803
1
TERENGGANU
1. Kempen gaya hidup sihat telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang
mementingkan kesejahteraan hidup.
Bincangkan amalan yang wajar anda lakukan untuk memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga.
Dimensi: Dimensi diri – jawapan perlu rujuk kepada diri sendiri (saya)
Pendahuluan: Kesihatan ialah harga yang paling mahal. Kesihatan ialah anugerah daripada Allah kepada setiap insan
setelah semua sistem anatomi dan fisiologi disempurnakan. Kesihatan tidak boleh ditukarkan dengan nilai wang ringgit
kerana manusia yang paling kaya dalam dunia pun tidak boleh membeli kesihatan. Demikian juga dengan sepotong
ungkapan dalam lima perkara terpenting daripada Hadis Rasulullah yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum
datang masa sakit”. Oleh itu, alangkah besarnya makna kesihatan dalam kehidupan setiap insan, justeru saya wajar
menjadikan kesihatan sebagai agenda terpenting sesuai dengan peribahasa, jimat sementara belum habis, ingat
sementara belum kena.
Isi 1 : Saya perlu sentiasa mengawal keseimbangan kesihatan mental dan fizikal – fizikal yang cergas menjamin
mental yang cerdas serta emosi yang stabil – perlu menjauhi aktiviti yang tidak sihat seperti lepak, berjaga malam –
membendung emosi daripada mengalami tekanan dan kemurungan – emosi yang tidak stabil boleh menjejaskan mental.
Isi 2: Saya perlu teliti tentang cara pemakanan yang sihat – pemakanan menjadi terminologi utama yang menentukan
asas kesihatan – peka terhadap piramid makanan – pengambilan makanan yang berzat dan bukan mengambil makanan
yang mengikut sedap – mengurangkan makanan bergula dan berlemak yang menjadi punca obesiti, keradangan jantung,
komplikasi buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
Isi 3: Saya harus mementingkan riadah dan latihan jasmani secara teratur dan berjadual – riadah sebagai asbab
menjaga pertumbuhan fizikal yang sihat – menyusun jadual yang terancang untuk berehat, beriadah, bersosial dan tidur
Isi 4: Saya harus bijak bersosial dan berkawan – bersosial boleh meluaskan konteks silaturahim, menjalinkan
semangat setia kawan dan menstabilkan emosi – emosi yang stabil akan mempengaruhi minda yang waras serta
mengawal tindakan yang bijaksana – perlu memilih kawan yang boleh menunjukkan jalan kebenaran kerana salah pilih
terjadi kawan makan kawan
Isi 5: Saya hendaklah mendekati Allah – Allah Tuhan pencipta seluruh makhluk dan isi alam – Allah menguruskan jalan
hidup manusia dan isi alam dengan sunah-Nya – hendaklah patuh kepada ajaran agama seperti bersolat dan sebagainya
– insan yang sentiasa patuh kepada ajaran Tuhan akan selamat sama ada di dunia mahupun di akhirat
Kesimpulan: Dalam menguruskan kehidupan yang sihat, sejahtera dan harmoni, saya hendaklah sentiasa berpegang
kepada kata-kata bijaksana, “Seseorang yang gagal merancang dia telah merancang untuk gagal”. Kita hidup atas
rahmat dan kurniaan daripada Tuhan yang amat besar anugerah-Nya. Oleh hal yang demikian, menjaga kesihatan diri
merupakan sebahagian daripada amanah Tuhan kepada kita. Insan yang sihat sentiasa boleh beribadah kepada Allah,
memberikan sumbangan kepada negara dan berguna kepada masyarakat. Oleh itu, jagalah kesihatan dengan
mengamalkan gaya hidup sihat.
2. Sesebuah keluarga yang erat hubungannya akan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain seperti
aur dengan tebing.
Huraikan kebaikan yang diperoleh ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga seperti
majlis perkahwinan, sambutan perayaan hari keluarga dan sebagainya.
3. Isu keselamatan anak-anak sering diuar-uarkan dalam media massa. Sehubungan dengan itu, anda ingin
menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan tentang Keselamatan Kanak-kanak
Tanggungjawab Bersama.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Dimensi soalan : Dimensi masyarakat – melibatkan semua pihak yang berkaitan dalam masyarakat.
Pendahuluan: Mengambil mafhum daripada maksud sebuah Hadis, Nabi pernah menyatakan, “Setiap Nabi akan suka
dengan umatnya dan aku juga sangat suka akan umatku yang ramai. Demikianlah sunnah kehidupan manusia yang suka
akan jumlah dan khalayak yang ramai. Setiap bangsa akan bermegah dengan zuriat keturunan yang ramai. Kecil dan
besar bilangan umat manusia dimulakan dengan kelahiran. Anak-anak merupakan pewaris yang akan memakmurkan
generasi sama ada dalam aspek sosial mahupun ekonomi. Anak-anak yang dipelihara dan dididik dengan sempurna
tentu akan berada dalam atmosfera kehidupan yang selamat dan bakal menjadi modal insan yang produktif. Oleh sebab
2
itu, keselamatan kanak-kanak hendaklah dijadikan perkara primer kerangka membangunkan modal insan dan perlu
digembleng oleh semua pihak dalam masyarakat.
Peringatan: Tulis tajuk seperti yang telah diberikan serta nama penulis (sebaik-baiknya nama anda sendiri)
Aspek keselamatan yang harus dititikberatkan:
- Keselamatan fizikal,
- mental, emosi, sosial, pendidikan dan masa depan/pewaris
Isi 1: Kawalan keselamatan di sisi undang-undang dengan pihak kerajaan sebagai pemegang amanah negara dan
rakyat perlu bertanggungjawab – Pewujudan Akta 611 Undang-undang Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita
dan Kanak-kanak, Pindaan 2016 yang memberikan perlindungan dan keselamatan kepada kanak-kanak – kanak-kanak
ialah aset negara, justeru pihak kerajaan tidak boleh berlepas tangan dalam apa-apa jua isu berbangkit tentang kanak-
kanak
Isi 2: Peranan daripada pihak agensi kerajaan seperti kementerian yang terlibat dan jabatan-jabatan kerajaan –
Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Dalam Negeri – bertanggungjawab mewujudkan undang-undang yang memberikan fokus khusus demi masa depan
kanak-kanak – undang-undang dari segi perlindungan dan keselamatan, penjagaan kesihatan, dan peluang pelajaran
Isi 3: Peranan institusi sosial dan NGO – pihak yang sentiasa peka dan mengambil berat terhadap sebarang konflik
sosial – berperanan menyampaikan maklumat secara tepat dan telus – pihak badan bukan kerajaan hendaklah
memberikan cadangan yang bernas kepada pihak kerajaan agar segala ketirisan dan sikap lepas pandang agensi
kerajaan sentiasa dipantau
Isi 4: Komuniti atau masyarakat setempat juga hendaklah cakna terhadap keselamatan kanak-kanak - sentiasa
peka menjadi mata dan telinga - sentiasa kolaborasi dan saling memerhati gelagat kanak-kanak agar tidak terdedah
kepada anasir jenayah penculikan, pedofilia, pencabulan dan sebagainya.
Isi 5: Peranan ibu bapa dan penjaga – ibu bapa, penjaga atau waris orang yang paling dekat dengan anak-anak –
berpegang kepada prinsip anak-anak ialah amanah Allah – anak juga sebagai pembawa rahmat, mawaddah dan kasih
sayang – perlu cakna terhadap aspek kesihatan, keselamatan, pendidikan dan masa depan – elakkan malapetaka anak
menjadi mangsa dera oleh ibu bapa sendiri, jauhi tingkah laku jelak, haruan makan anak – sentiasa berpegang kepada
pesan Rasulullah dalam sabda Baginda, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, maka terputuslah segala amal baiknya,
melainkan tiga yang ditinggalkan iaitu anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah serta jariah”.
Kesimpulan: Anak-anak ialah permata hati dan pengubat duka resah ayah dan bonda. Anak-anak akan membawa
rahmat di dalam rumah tangga. Beruntunglah ibu bapa yang memperoleh anak yang ramai dan dapat menjaga mereka
dengan baik kerana dalam masa yang sama terdapat insan yang berhajatkan anak akan tetapi tidak dimakbulkan. Oleh
itu, bertindaklah dengan cara yang betul agar keselamatan anak-anak terjaga. Selain itu, seluruh institusi dalam
masyarakat hendaklah beranggapan bahawa anak-anak ialah aset negara. Sesungguhnya, jatuh bangun negara pada
masa hadapan terletak kepada generasi muda masa kini.
4. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang begitu pesat menyebabkan kita berasa
dunia ini semakin kecil.
Huraikan manfaat teknologi maklumat dan komunikasi kepada masyarakat dunia.
Pendahuluan : Memetik peribahasa yang menyatakan, “Sekali air bah sekali pasir berubah” menunjukkan bahawa,
kehidupan kita memang tidak dapat lari daripada dikejar perubahan dan kemajuan. Kemajuan datang bak air deras
sehingga melanda tamadun dan peradaban. Demikianlah kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan ICT dalam
media sosial seperti Facebook, WhatsApps dan Twiter kini telah membentuk dimensi dunia dengan pelbagai impak
positifnya. Fenomena tersebut memungkinkan pelbagai peranti mudah alih dan gajet telah melimpah dalam pasaran.
Situasi tersebut merupakan suatu pencapaian luar biasa dalam proses liberalisasi sistem maklumat tuntas dalam alam
siber. Walaupun terdapat pelbagai perdebatan tentang pro dan kontra namun tiada sesiapapun yang boleh lari daripada
ledakan teknologi maklumat yang cukup canggih itu. Semua pihak harus menjadi rasional kerana teknologi maklumat
ibarat batu permata jikalau disepuh menjadi permata, jikalau dibiarkan menjadi tongkol.
Isi 1 : Media sosial berjaya menyempitkan dan mendekatkan komunikasi sosial – mewajarkan kata-kata, ‘dunia
semakin sempit’.
Isi 2 : Menyampaikan maklumat secara tepat, jelas dan asli lagi tulen – maklumat bergerak tanpa melalui perantara
yang bertingkat-tingkat sehingga menjejaskan originalitinya
Isi 3 : Mendekatkan hubungan dan interaksi sosial di seluruh persada dunia – komunikasi langsung dan lebih mesra
tanpa dibatasi sempadan geografi sosial dan geografi politik – memupuk sifat saling hormat dan saling memahami
3
Isi 4 :Inovasi sistem maklumat lebih canggih dan sofistikated - perantaraan sistem teknologi digital– inovasi seperti
gambar, grafik dan ilustrasi membantu fakta dan data disampaikan lebih tepat
Isi 5 : Mempercepat segala urusan sama ada sama ada urusan secara peribadi mahupun agensi – semua
maklumat berlaku secara segera seolah-olah pengirim dan penerima berada di sebalik dinding sahaja
Kesimpulan : Kebanjiran pelbagai produk dalam ICT bagaikan air deras yang datang dari banjaran gunung. Andai
diempang nescaya melimpah kalau dirempuh nescaya hanyut. Demikianlah suatu gambaran yang menunjukkan
perkembangannya amat menakjubkan dan mencabar sekiranya gagal ditangani dengan bijaksana. Kewujudannya
banyak memberi manfaat daripada mudarat. Walau bagaimanapun, pelbagai musibah akan terjadi apabila salah
ditangani. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijaksana kerana jauharilah yang mengenal manikam.
5. Sesebuah karya sastera seharusnya mengandungi banyak keistimewaan agar boleh menarik minat
pembaca.
Ulaskan pernyataan tersebut.
Pendahuluan: Karya kreatif merupakan cetusan idea yang bersandarkan minda yang kreatif dan tajam. Wadah yang
ingin disampaikan adalah berdasarkan kepekaan terhadap segala isu dan konflik dalam kehidupan. Gabungan antara
minda dan emosi itu diketengahkan kepada masyarakat pembaca melalui medium bahasa yang indah, berseni dan tinggi
kreativitinya. Oleh hal yang demikian, karya-karya kreatif berupaya menggerakkan daya berfikir pembaca melalui
pemikiran yang kritis dan analitikal. Berbeza daripada sumber-sumber maklumat deskriptif, genre sastera memuatkan
pelbagai sumber seperti persoalan, gaya bahasa, teknik penyampaian, dan nilai-nilai estetika yang tinggi. Oleh itu, tidak
syak lagi kita bakal memperoleh pelbagai faedah apabila mengkaji pelbagai genre sastera.
Isi 1: Dapat menyelami daya berfikir orang-orang yang bijaksana - menggali segala khazanah ilmu melalui
perkongsian pemikiran kreatif - mengenali gaya berfikir dan cetusan ilmu yang diketengahkan melalui isu, persoalan, dan
tema yang digarapkan - mewujudkan interaksi tidak langsung dengan para ilmuwan, seniman, dan budayawan
Isi 2: Memperoleh idea-idea dan pemikiran besar melalui tema dan persoalan yang telah digarapkan -
menggerakkan minda untuk berfikir berdasarkan gagasan idea penulis - berfikir secara realistik dan pragmatik melalui
buah fikiran dan persoalan yang dikemukakan - menjana minda agar mampu menjadi insan bijaksana melalui
perkongsian dan percambahan idea yang kreatif dan inovatif
Isi 3 : Menggali khazanah budaya dan cara berfikir masyarakat - penerapan melalui latar tempat dan latar
masyarakat - secara tidak langsung dapat meninjau tentang sesuatu lokasi walaupun tidak pernah menjejakkan kaki -
mendalami corak hidup, corak pemikiran, dan pelbagai aktiviti sosioekonomi
Isi 4 : Memperkaya perbendaharaan ilmu dan kosa kata - teks kreatif memang kaya dengan variasi bahasa -
mempelajari pelbagai bentuk bahasa - menikmati pengucapan seni yang indah seperti dalam pengucapan falsafah,
bahasa tinggi, puisi, bidalan, dan peribahasa
Isi 5 : Menganjak paradigma minda, sikap, dan gaya bertindak - penerapan unsur nilai yang amat kaya dalam setiap
karya kreatif - menajamkan minda melalui penghayatan dan berfikir secara hikmah daripada pelbagai konflik dan episod
yang dipaparkan - mendidik diri untuk lebih positif berpandukan amanat yang disampaikan sama ada secara langsung
atau tidak langsung
Kesimpulan : Sesungguhnya, ilmu itu luas bak lautan yang tidak bertepian seperti yang diungkapkan dalam
serangkap syair,
Ilmu alat yang sangat berguna
Idaman orang yang bijaksana
Hamparnya luas amat saujana
Tepinya ajal sempadannya fana
Apabila mengkaji sesebuah karya kreatif sudah pasti pelbagai limpahan ilmu yang bakal saya peroleh. Saya yakin
dengan mengkaji genre sastera amat menguntungkan selain sangat menghiburkan.
4
MRSM
1. Keracunan makanan yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan oleh sikap kurang prihatin seseorang
terhadap penjagaan kesihatan.
Sebagai pelajar yang prihatin, jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri
menjadi mangsa keracunan makanan.
2. Media massa sering memaparkan iklan barangan dan perkhidmatan untuk melahirkan pengguna yang
bijak. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk, “Peranan Iklan Dalam
Melahirkan Pengguna Yang Bijak”.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Dimensi : Dimensi umum/masyarakat
Pendahuluan: Industri media, sama ada media cetak mahupun media elektronik telah membuka suatu wahana
dalam kemajuan sistem maklumat yang pantas. Semua perkara atau peristiwa akan dapat diketahui seberapa
pantas yang mungkin. Dalam ruang siber yang terbuka luas semua pihak mempunyai peluang mengakses
maklumat. Dengan kemajuan dalam bidang teknologi digital itu, sektor yang paling menguntungkan ialah industri
pengiklanan. Pelbagai maklumat tentang produk, perkhidmatan dan barangan dapat disampaikan kepada
kumpulan sasar dengan cepat dan mudah. Atas kemudahan itulah, industri pengiklanan perlu lebih beretika agar
dapat menjadi saluran mendidik masyarakat pengguna menjadi lebih bijak tentang isu-isu kepenggunaan dan
hak-hak pengguna.
Isi 1: Iklan hendaklah mematuhi kod etika pengiklanan seperti mengutamakan budaya dan keperibadian
Malaysia – mencerminkan kepelbagaian penduduk dan masyarakat dan mesti tertakluk kepada falsafah Rukun
Negara – iklan hendaklah terikat kepada undang-undang
Isi 2: Iklan perlu mendidik pengguna untuk memperoleh barangan dan keperluan yang munasabah
berasaskan keperluan dan bukan nafsu – iklan menjadi medium primer yang membantu masyarakat
merancang perbelanjaan
Isi 3: Iklan hendaklah telus dan bukan auta – masyarakat menerima maklumat yang tepat – tidak
mengutamakan retorik, pujukan dan penipuan – sebagai lidah penyampai maklumat tepat bukan khianat
Isi 4: Iklan hendaklah berpegang kepada prinsip dalam falsafah menang–menang antara pengeluar,
peniaga dan pengguna – tiada unsur diskriminasi dan mencari keuntungan sebelah pihak
Isi 5: Iklan menjadi perantara antara pengeluar dengan pengguna – iklan harus mendidik pengguna
mendapat maklumat tepat tentang barangan sama ada kandungan bahan, kualiti dan perbandingan harga
Kesimpulan: Pendek kata, iklan hendaklah mengambil tanggungjawab sosial yang berwibawa dengan
mementingkan sifat ketelusan, kebenaran dan kebertanggungjawaban. Iklan bukanlah suatu retorik penceritaan
untuk mempengaruhi lalu membodohkan masyarakat pengguna sehingga mereka lalai dan tertipu. Oleh hal yang
demikian, industri pengiklanan hendaklah sentiasa berdiri atas prinsip kebenaran, berani kerana benar takut
kerana salah.
3. Orang Kelainan Upaya (OKU) turut memberikan sumbangan untuk memajukan negara dalam pelbagai
bidang.
Ulaskan pernyataan di atas.
Catatan: Saya padankan soalan ini dengan sampel karangan sedia ada di dalam modul saya:
Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya.
Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.
5
Di sebuah lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang
menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak
cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang untuk membantunya menolak kerusi roda. Malahan di
asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario
Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di
negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak
pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan
menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan
yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.
Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk
kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota, manakala cacat mental seperti
‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti
golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana
masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini
jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan
golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang
untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.
Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah
dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya
malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim
menjadi penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma membuktikan
golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa orang
individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk
meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang
ditugaskan, malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.
OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal.
Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua
usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian.
Dalam usaha membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang
perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum
mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang lebih serius lagi.
Malahan OKU perlu menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan
dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.
Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan
mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah
betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang mampu menghafal juzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula
betapa mahirnya golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan, dan
melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua
perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk lebih fokus dalam aspek-aspek yang
tertentu pula.
Sikap masyarakat yang memandang lekeh terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi
penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke
hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun
sekadar menumpang kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan
profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi golongan pekak pula tiada suatu
pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik
Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini
IPT tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.
Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan,
usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib terutama Kementerian
Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk
dibawa ke kabinet sebagai usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba
masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan
6
profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah
payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.
Sesungguhnya, tiada seorang pun insan yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari.
Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak
boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus
dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita.
4. Jenayah pemerdagangan manusia kini merentas sempadan negara. Hal ini memerlukan kerjasama
berkesan antara negara untuk menanganinya.
Bincangkan.
Pendahuluan : Perubahan dunia alaf baru telah mula membentuk suatu fenomena tentang pola migrasi manusia.
Peperangan, kemiskinan, dan bencana alam telah mengubah landskap dunia apabila migrasi gelombang kedua semakin
mengancam kestabilan politik dan sosial di beberapa buah wilayah di dunia. Pola tersebut ialah sindiket pemerdagangan
manusia yang ditunjangi oleh rangkaian penjenayah antarabangsa yang turut dikenali sebagai tekong laut dan tekong
darat. Kesan daripada jenayah tersebut menimbulkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila manusia dengan sewenang-
wenangnya dijadikan bahan dagangan demi mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Turut menjadi masalah dalam
krisis ini ialah jenayah rentas sempadan seperti pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Sementara itu, negara
yang menjadi transit dan negara penerima turut mengalami masalah sama ada dalam aspek politik, demografi, ekonomi,
dan sosial. Ketika berdepan dengan masalah yang semakin meruncing ini, semua kerajaan hendaklah menggembleng
usaha untuk membendung gejala yang tidak berperikemanusiaan ini.
Isi 1 : Memperkukuh sistem politik dan keamanan dalam negara masing-masing – kestabilan dalam negeri boleh
menjadi aset untuk menghalang kemasukan warga asing dengan sewenang-wenangnya
Isi 2 : Membanteras gejala rasuah yang masih berleluasa dalam kalangan negara-negara dunia ketiga – berusaha
mengurangkan indeks rasuah terutama dalam kalangan penguat kuasa seperti polis, tentera, dan pengawal pintu masuk
perairan negara (peribahasa amalan buruk lontar batu sembunyi tangan)
Isi 3 : Mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran – mencegah kemasukan warga asing secara
haram – kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutama Indonesia yang kondusif kepada kemasukan pendatang
asing tanpa izin (hidup berjiran, ibarat aur dengan tebing)
Isi 4 : Komitmen diplomatik yang jujur dalam kalangan pemimpin negara – pertelagahan politik memberi laluan
mudah untuk orang lain mengambil kesempatan (peribahasa jong pecah yu yang kenyang)
Isi 5 : Memperkasakan pendidikan dengan nilai murni – masyarakat antarabangsa hendaklah dididik akan nilai-nilai
universal yang menjadi impian masyarakat sejagat – masyarakat dunia perlu belajar akan hak dan kesaksamaan,
menghormati insan lain – mengurangkan sikap tamak dan haloba dengan menjadikan insan yang lemah sebagai alat
untuk mencapai matlamat jahat yang berpaksikan nafsu.
Kesimpulan : Gejala pemerdagangan manusia dan krisis kemanusiaan merupakan sebahagian daripada perbuatan
zalim yang telah berlarutan sejak zaman-berzaman. Jenayah tersebut terus berlarutan hingga kini, cuma yang berbeza
hanya modus operandinya sahaja. Oleh itu, penyelesaian secara global dan serantau hendaklah diteruskan agar
landskap politik dunia dan wilayah tidak terancam oleh sikap dan amalan manusia yang bersikap pepat di luar runcing di
dalam.
5. Peribahasa, “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” boleh dikaitkan dengan amalan berjimat cermat.
Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah amalan berjimat cermat dalam kehidupan generasi kini.
KEDAH
1. Anda mengambil bahagian dalam pertandingan pidato peringkat sekolah. Tajuk pidato ialah, “Faedah
Perhimpunan Pagi kepada Murid”.
Sediakan teks pidato tersebut selengkapnya.
2. Peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan harga makanan telah menimbulkan masalah kewangan
dalam keluarga.
Bincangkan.
Pendahuluan: Orang tua-tua pernah ternukil bahawa tiada kehidupan tanpa masalah dan sesungguhnya masalah itulah
kehidupan. Masalah akan menatijahkan rasa tertekan dan kemahuan untuk mencari jalan penyelesaian. Manusia mula
7
berfikir dan menjadi bijak untuk menyelesaikan segala masalah. Benarkah? Untuk mengeyakan hakikat ini bukan semua
masalah yang boleh diselesaikan secara mudah. Masalah yang bertali-temali dalam kehidupan harian memang menjadi
punca tertekan terutama dalam peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan harga makanan telah menimbulkan
masalah kewangan dalam keluarga.
Isi 1: Peningkatan dalam kos pendidikan memberi kesan negatif jangka panjang untuk melahirkan masyarakat
yang berpengetahuan – peningkatan mendadak dalam aspek logistik pendidikan seperti harga buku, alat tulis, yuran
tidak berjadual dan peralatan kokurikulum amat merimaskan ibu bapa – yuran kelas tuisyen dan akses pendidikan yang
lain turut naik juga - ramai kanak-kanak di bangku sekolah yang tercicir
Isi 2: Peningkatan yang mendadak untuk memperoleh akses pengajian tinggi – rata-rata ibu bapa merungut tentang
yuran pendaftaran ke IPT amat membebankan – kos sara hidup dan kos peralatan pengajian di IPT juga telah melonjak
naik - ramai siswa yang terpaksa ikat perut – menjadi punca kemerosotan pencapaian akademik.
Isi 3: Kos rawatan dan perubatan terutama di hospital swasta telah meningkat naik dengan begitu luar biasa –
golongan miskin yang tiada kemampuan untuk membeli insurans kesihatan menghadapi masalah untuk memperoleh
rawatan yang sempurna – menjadi punca kes menunggu yang panjang sehingga ada yang menemui ajal – harga ubat-
ubatan di klinik dan farmasi juga sangat membebankan – boleh menjadi punca kegagalan kempen rakyat sihat negara
sejahtera.
Isi 4: Peningkatan harga makanan dan barangan mentah juga banyak memberikan kesan negatif kepada
masyarakat – Malaysia yang bergantung kepada import makanan mengalami defisit yang teruk ketika krisis penurunan
nilai ringgit – masyarakat terpaksa memperuntukkan kos yang lebih untuk makanan – keperluan sampingan yang lain
seperti pakaian, riadah dan sosial terpaksa dikurangkan – golongan miskin mungkin mengalami sindrom kurang zat
makanan yang boleh mengancam pertumbuhan fizikal dan mental.
Kesimpulan: Tuntasnya peningkatan kos telah menyebabkan perbelanjaan isi rumah meningkat hingga berganda-ganda.
Golongan berpendapatan rendah sudah pasti menjadi mangsa fenomena seperti ini. Oleh hal yang demikian, pihak
kerajaan dan rakyat hendaklah berganding bahu bagi menangani masalah ini daripada berlarutan. Sikap menudung jari
dan menyalah antara satu sama lain tidak akan memberi apa-apa signifikan kepada pertumbuhan ekonomi, sosial dan
siasah negara. Semua pihak harus berusaha dan berdoa agar malapetaka yang sedang melanda negara akan pulih
secepat mungkin.
3. Kerjasama ibu bapa, komuniti, dan pihak sekolah dapat mengurangkan kes buli yang berlaku di sekolah.
Ulaskan pernyataan di atas.
Catatan: Sampel jawapan bagi soalan ini boleh anda petik daripada sampel karangan A++ dalam modul
saya edisi 2017.
4. Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Sehubungan
dengan itu, penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian perlu diberi perhatian.
Jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang
pertanian.
Catatan: Isu yang berkaitan dengan sektor pertanian telah keluar dalam SPM 2014
5. Karya sastera merupakan karya yang mengandungi banyak perkara yang boleh dijadikan pedoman hidup.
Berdasarkan karya yang anda baca, jelaskan perkara-perkara yang boleh dijadikan pedoman dalam
kehidupan kita.
Catatan: Soalan ini telah keluar dalam SPM 2015
8
JOHOR – SET 1
1. Golongan remaja amat wajar memberikan sumbangan dalam usaha untuk mengisi kemerdekaan negara
yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
Bincangkan sumbangan yang dapat anda berikan demi keamanan dan kemajuan negara kita.
PERINGATAN: Anda boleh membaca sampel jawapan lengkap soalan ini dalam modul saya ms 48, sampel 6.
Pendahuluan: Slogan yang menyatakan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” merupakan sebuah
pengiktirafan yang meletakkan harapan dan nasib masa depan negara di atas batu jemala orang muda. Orang muda atau
remaja merupakan komposisi terbesar modal insan dalam mana-mana negara sekalipun. Ketahanan fizikal yang sasa,
minda yang cerdas dan obsesi yang futuristik menyebabkan orang muda sentiasa diberi harapan untuk menggalas
amanah negara. Dalam konteks sebuah negara yang berdaulat, remaja mempunyai tanggungjawab penting untuk
menyempurnakan pengisian kemerdekaan negara yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Ayuh, bangunlah
orang muda dan berikan sumbangan anda kepada negara pada tahap kelas pertama.
Isi 1: Membangunkan jati diri untuk menjadi warganegara yang hebat, bersolidariti serta futuristik – negara akan
pantas membangun apabila memiliki modal insan yang berpandangan jauh - bercita-cita tinggi dan patriotik
Isi 2: Menggunakan potensi mental dan fizikal serta cita-cita untuk memajukan potensi ekonomi negara – anak
muda harus ke hadapan memberikan pelbagai cadangan untuk memanfaatkan hasil mahsul negara – elakkan menjadi
anak muda yang hanya berpeluk tubuh dan membenarkan potensi kekayaan dimonopoli oleh orang lain.
Isi 3: Menjalinkan semangat setia kawan di bawah panji-panji bangsa Malaysia demi mewujudkan perpaduan dan
keamanan yang berkekalan - lucutkan fahaman assobiyah yang saling membenci – sentiasa berganding bahu dan
memupuk persefahaman dan kasih sayang
Isi 4: Bersedia mengisi dada dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran teknologi – menyahut cabaran
dunia alaf baru – bersedia untuk bersaing di pentas global – memacukan kebolehan untuk sama-sama bangkit dengan
negara-negara yang hebat di dunia
Isi 5: Menanamkan sifat sayang dan mengagumi keindahan dan kesejahteraan alam sekitar – bertekad untuk
mengekalkan potensi alam semula jadi untuk dikongsi bersama dan untuk diwariskan kepada generasi seterusnya –
berani menentang sebarang percubaan yang boleh mencetuskan kemusnahan khazanah alam
Kesimpulan: Berdasarkan pengertian dalam sebuah Hadis, Nabi SAW pernah menyatakan, “Setiap bangsa telah
dianugerahi Allah daulahnya serta buminya, justeru itulah watan yang perlu dipelihara”. Sehubungan dengan itu, kita
sebagai bangsa yang berdaulat sewajarnya menyayangi bumi bertuah ini. Kita perlu mengisi kemerdekaan yang paling
berharga dengan segala agenda pembangunan, moga-moga kita terus bangkit sebagai bangsa yang gah di persada
antarabangsa.
2. Dewasa ini permainan rasional seperti layang-layang, gasing dan congkak kurang diminati serta semakin
dilupakan oleh generasi muda.
Bincangkan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional.
3. Usaha kerajaan menarik pelabur-pelabur asing ke negara kita memang wajar kerana pelaburan asing
memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara.
Bincangkan.
*** Ikuti sampel karangan di bawah yang berkaitan dengan pelaburan asing. Sampel ini IHSAN daripada
sampel Karangan Cemerlang A++ daripada modul saya, edisi 2017.
Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.
9
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.
Pelaburan asing merupakan strategi lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi kepada sesebuah negara.
Dalam konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah kerajaan atau konglomerat cuba menjualkan teknologi,
kepakaran dan produk menjangkau ke pasaran global. Dalam era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian
daripada insentif ekonomi berimpak besar untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Sama seperti
negara-negara di dunia yang lain, Malaysia turut tidak ketinggalan sebagai pemain ekonomi industri yang sedang
berkembang dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan untuk
mengembangkan sayap perniagaan di lapangan antarabangsa. Hal demikian telah menunjukkan bahawa pelaburan asing
sebagai suatu kemestian jikalau sesebuah negara mahu bersaing di pentas ekonomi antarabangsa. Pelaburan asing
yang bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat pada hari ini adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor sama
ada faktor dalaman mahupun luaran.
Keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara menjadi bonus untuk negara tersebut mendapat
pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kini dalam suatu nada untuk mewujudkan kesamarataan sejagat, kestabilan
politik dan keamanan di sesebuah negara menjadi agenda penting. Hal tersebut akan mendorong syarikat-syarikat besar
di peringkat antarabangsa untuk memperkembangkan polisi pelaburan mereka di rantau lain. Dengan hal yang demikian,
setiap negara mula menggerakkan inisiatif agar iklim politik dan keamanan domestik sentiasa terkawal. Dengan
keyakinan tersebutlah, syarikat-syarikat ternama antarabangsa seperti Apple, Panasonic, IBM, SAMSUNG dan
sebagainya sudah wujud dalam lingkungan geopolitik antarabangsa. Asas yang utama daripada minat pelabur tersebut
adalah atas faktor keselamatan dan iklim pelaburan yang menjamin keuntungan.
Polisi yang telus dan mesra pelabur yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan turut menyokong pelaburan
asing. Kebanyakan negara Dunia Ketiga khususnya mula membuka mata kepada pelaburan asing sebagai suatu strategi
untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mereka. Hal demikian telah membuka laluan kepada
berkembangnya pasaran luar oleh negara-negara industri seperti Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara EU. Di
Asia Tenggara sendiri, polisi yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand telah
membuka peluang pekerjaan yang banyak di samping berjaya memacukan ekonomi domestik. Pada hari ini, industri
seperti automobil yang dikuasai oleh Jepun telah mula membuka pelaburan mereka terutama di Indonesia dan Thailand.
Syarikat-syarikat automotif ternama Jepun seperti Toyota, Honda, Isuzu dan Nissan pada hari ini telah mula
memindahkan teknologi mereka terutama ke Indonesia dan Thailand atas dasar ketelusan negara terbabit dalam polisi
pelaburan asing mereka ibarat sambil menyelam minum air.
Pasaran tempatan di sesebuah negara turut menjadi insentif utama kemasukan pelaburan asing. Matlamat
utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk. Oleh itu, peluang terbaik kepada pelabur adalah dengan
terus menanam modal di negara terbabit. Selain memperoleh bekalan buruh tempatan yang murah, antara 20 hingga 30
peratus produk dapat dipasarkan untuk kegunaan domestik. Sementara itu, bagi kebanyakan Negara Dunia Ketiga,
pertumbuhan kadar kelahiran tidak pernah disekat. Sebagai contoh, negara-negara seperti Indonesia 280 juta, Thailand
80 juta, Pakistan 196 juta sudah tentu mempunyai potensi pasaran yang terlalu besar. Fenomena tersebut telah memberi
insentif besar kepada kemajuan pasaran domestik bak kata peribahasa banyak air ikan tidak mati.
Pada hari ini dasar buruh di peringkat global menjadi semakin kompleks dengan fenomena pergerakan
migrasi dan pendatang. Gelombang perpindahan dari negara miskin ke negara-negara maju dan Negara Dunia Ketiga
menyebabkan peningkatan buruh asing di kebanyakan negara semakin sukar dikawal. Fenomena yang sama jelas terjadi
ke Malaysia apabila limpahan buruh asing telah mencecah 6.8 juta orang. Limpahan tersebut telah memaksa kerajaan
lebih berlembut atas dasar kemanusiaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada pekerja asing untuk berkhidmat
dalam sektor swasta dan syarikat multinasional. Lama-kelamaan dasar tersebut sudah menjadi suatu polisi pula apabila
lebih banyak pelabur asing yang berminat untuk melabur. Hal demikian samalah seperti kata peribahasa, di mana-mana
ada air bertakung di situlah ikan bernaung.
Selain itu, kemasukan pelabur asing turut disokong oleh dasar pelaburan kebangsaan yang diamalkan
oleh kebanyakan negara. Apabila dirujuk Malaysia, kerajaan melalui MITI sentiasa menghantar misi kempen galakan
pelaburan luar ke negara-negara maju. Langkah tersebut yang merupakan strategi serampang dua mata yang
memberikan fokus kepada penyediaan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi menyebabkan pelabur luar bagai
pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Kemasukan pelabur asing juga turut menerima
pelbagai insentif daripada pihak kerajaan seperti zon perindustrian bebas, kemudahan prasarana, jaminan pinjaman bank
dan keselamatan operasi yang terjamin. Di samping itu, negara turut menerima tempias positif apabila berlaku
pemindahan teknologi kepada anak-anak tempatan yang menjadi sebahagian daripada dasar melahirkan lebih ramai
tenaga profesional tempatan.
10
Tuntasnya, dalam era yang dikawal oleh polisi global kini, sesuatu polisi hendaklah dirancang untuk mewujudkan
situasi menang menang kepada semua pihak yang berkepentingan. Dasar perlindungan dan dasar monopoli sudah tidak
relevan lagi. Hal yang sama sudah tentu berlaku dalam dasar pelaburan antara negara kerana ekonomi menjadi tangan
ghaib yang menentukan kedudukan politik dan sosial di sesebuah negara. Sesungguhnya, polisi pelaburan asing yang
diamalkan oleh Malaysia pada masa ini adalah tepat juga.
4. Pendidikan maya atau pendidikan yang memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK) mempunyai pelbagai kepentingan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu,
berwibawa dan bertaraf dunia.
Bincangkan.
Pendahuluan: Perubahan dalam teknologi digital telah memungkinkan pelbagai inovasi berlaku. Perubahan yang berlaku
itu kadang-kadang tidak tercapai fikir oleh minda. Kini dalam kemajuan teknologi siber, transformasi maklumat berlaku
dengan begitu pantas sekali. Kewujudan pelbagai peranti mudah alih seperti telefon pintar, gajet, I-pad dan tablet
memudahkan penyaluran sumber maklumat. Aplikasi pintar seperti Internet, WhatsApps, telegram, twiter dan instagram
telah memudahkan interaksi saling bertukar maklumat. Kemudahan ini sebenarnya apabila dilihat dalam sudut yang
positif telah membawa seribu rahmat kepada alam pendidikan. Ilmu pengetahuan yang bersifat universal boleh diakses
dengan mudah dengan kewujudan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Sejajar dengannya, generasi alam siber
kini haruslah merebut peluang untuk memperoleh akses ilmu pengetahuan dengan seluas yang mungkin agar menjadi
masyarakat yang berbudaya ilmu, berwibawa dan bertaraf dunia.
Isi 1: Pendidikan maya telah memungkinkan segala yang dahulunya dianggap mustahil menjadi nyata –
menghubungkan antara murid dengan guru dalam jarak ribuan kilometer – pendidikan maya boleh menyalurkan ilmu
pengetahuan secara bebas, tanpa had dan tanpa khalayak – sesiapa juga bebas mencari ilmu pengetahuan
Isi 2: Pendidikan maya tiada sempadan geografi, politik, sosial dan kelas – sumber pengetahuan boleh memasuki
mana-mana ruang siber – tiada lagi istilah kawasan pedalaman terpencil atau kota raya
Isi 3: Pendidikan maya boleh membentuk suatu pemikiran terbuka dala kalangan warga dunia – berfikiran lebih
terbuka, berkongsi dan berfikir secara kritis dan bertanggungjawab – semua orang bebas memberikan pendapat dan
semua orang berhak memberikan komen
Isi 4: Memungkinkan individu lebih bertanggungjawab dalam menyalurkan idea yang berkaitan dengan
masyarakat sejagat – semua maklumat yang masuk ke laman maya boleh diakses dengan mudah oleh semua
pengguna halaman maya – individu hendaklah lebih bertanggungjawab dan berwibawa dalam menyalurkan sebarang
maklumat
Isi 5: Taraf berfikir masyarakat akan mencapai taraf dunia – akan berlaku suatu gagasan, satu dunia, satu maklumat
dan satu matlamat
Kesimpulan: Dalam inovasi dan kreativiti manusia pada era pascamilenium ini, pencapaian luar biasa dalam teknologi
siber telah mengangkat darjat pemikiran manusia untuk menerima hakikat ketuhanan. Seandainya ada yang masih
sangsi tentang tersebarnya agama wahyu melalui perantaraan para Nabi dengan Allah SWT, kini penyebaran maklumat
siber telah menyangkal semua kejahilan tersebut. Manusia pada hari ini justeru lebih mempercayai maklumat maya
daripada yang nyata. Oleh itu, revolusi TMK telah menganjak gaya pemikiran manusia jauh lebih bijaksana, rabbaniah
dan berwibawa.
5. Apabila terpelihara lidah
Nescaya dapat daripadanya faedah
Petikan gurindam di atas membawa maksud kepentingan seseorang menjaga tutur kata agar berjaya
dalam kehidupan.
11
SELANGOR – SET 1
1. Anda telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa(AJK) Rukun Tetangga di kawasan kejiranan anda. Anda
ditugaskan untuk membuat laporan tentang masalah-masalah yang berlaku di kejiranan anda.
Tulis laporan itu selengkapnya.
2. Kesibukan ibu bapa dalam memenuhi tanggungjawab mereka terhadap anak-anak telah menyebabkan
kepentingan menjaga semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat diabaikan.
Bincangkan.
3. Keunikan tempat-tempat menarik di Malaysia seperti Cameron Highlands, Pulau Langkawi, dan Genting
Highlands telah menggamit kedatangan pelancong asing ke Malaysia.
Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah industri pelancongan kepada masyarakat Malaysia.
Pendahuluan: Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang sama ada ke negara-
negara Barat mahu pun di negara-negara Asia Timur Jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah
kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang ke negara kita. Oleh itu, jelaslah
bahawa Malaysia pun tidak kurang hebat dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita
manfaatkan demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan
ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.
Isi 1 : Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej Malaysia akan
dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong
Isi 2 : Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan kepada industri pelancongan
itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian,
cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.
Isi 3 : Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada interaksi dengan orang
asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir
Isi 4 : Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan, kemudahan
prasarana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan
Isi 5 : Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat yang tinggi daripada
pelancong-pelancong dari Timut Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang
negara.
Kesimpulan : Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak negara di dunia.
Walaupun industri pelancongan sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej tersebut boleh
diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama. Janganlah
sebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.
4. Tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan melabur seperti dalam Amanah Saham Bumiputera,
(ASB), Amanah Saham Wawasan (ASW) dan Amanah Saham Didik (ASD) masih rendah.
Bincangkan.
Pendahuluan: Amat banyak peringatan daripada peribahasa mahupun nasihat daripada orang tua-tua tentang
kepentingan berjimat cermat. Antara peribahasa tersebut seperti sehari selembar benang, lama-lama menjadi
kain dan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Perihal berjimat cermat telah lama terbudaya dalam masyarakat
Melayu malahan turut diamalkan oleh masyarakat lain juga. Tinggal lagi cara melaksanakan amalan berjimat
cermat itu sahaja yang berbeza. Kini, dalam zaman moden, amalan tabung buluh mungkin sudah tidak relevan
lagi sebaliknya telah bertukar secara moden seperti menyimpan dalam pelbagai skim simpanan yang dianjurkan
12
oleh institusi kewangan. Walaupun terdapat pelbagai insentif dan laba di sebalik amalan menabung dan membeli
saham, namun produk kewangan seperti itu belum terbudaya dalam masyarakat Malaysia apabila syer yang
ditawarkan seperti dalam pelbagai saham amanah belum terjual sepenuhnya. Hal demikian terhalang oleh
beberapa faktor dan sewajarnya diberikan perhatian serius.
Faktor-faktor:
Isi 1: Rata-rata masyarakat masih jahil tentang polisi dan modus operandi dalam pembelian saham –
kurang nampak nilai keuntungan dalam tempoh jangka panjang – berasa terlalu lama untuk memperoleh semula
wang yang dilaburkan
Isi 2: Rata-rata masyarakat masih berada di bawah paras kemiskinan – kemampuan kewangan cukup untuk
sara hidup – ada yang masih hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang – tiada
kesempatan untuk mereka melabur
Isi 3: Terdapat sebilangan kecil masyarakat yang terikat dengan dogmatisme agama terhadap halal haram
membeli saham – hukum dan fatwa agama yang kurang jelas – ramai yang berfikiran negatif kerana idea
pembelian saham bukan bermula dalam tradisi masyarakat tempatan – lambat berlaku anjakan paradigma
Langkah-langkah:
Isi 1: Pihak institusi kewangan hendaklah lebih proaktif menjejaki masyarakat – memberi penerangan
tentang polisi secara lebih jelas – perolehan untung hendaklah ditunjukkan dengan betul – berikan pelbagai
insentif kepada pelabur yang aktif
Isi 2: Pendidikan kewangan dan pelaburan hendaklah ditanamkan dalam kalangan murid sekolah –
generasi ini akan membesar dan mempunyai pemahaman yang jelas tentang pelaburan – produk seperti SSPN
hendaklah diwujudkan dengan lebih banyak dan institusi kewangan hendaklah turut dilibatkan secara meluas
Kesimpulan: Sesungguhnya, orang yang paling bijaksana bukan yang tahu membelanjakan hartanya pada
sesuatu waktu sahaja, sebaliknya yang tahu menilik nasib masa hadapannya. Susah mahupun senang ibarat
geruh tidak berbunyi malang tidak berbau, justeru haruslah individu tersebut bersedia dari awal. Oleh itu, dalam
situasi ekonomi moden seperti sekarang, perihal bijak wang seperti membeli saham hendaklah dipopularkan
dalam kalangan masyarakat.
5. Slogan Bahasa jiwa Bangsa bermaksud bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi
identiti kebangsaan.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan dalam merealisasikan slogan
tersebut.
Pendahuluan: Menurut rekod dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bahasa di dunia yang didaftarkan
berjumlah 6809 bahasa. Bahasa melambangkan bangsa dan jati diri. Bahasa menjadi cerminan budaya dan maruah
bangsa dengan kata-kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Selain itu, terdapat bangsa yang pupus nilai budaya mereka seperti
masyarakat Red Indian apabila bahasa mereka turut pupus. Oleh sebab itu, dalam usaha mempertahankan imej dan
budaya setiap bangsa hendaklah sentiasa cakna terhadap solidariti bahasanya. Hal sama perlu dilakukan kepada bahasa
Melayu agar terus lestari dalam cabaran global yang semakin pantas. Oleh hal yang demikian, seluruh warganegara
Malaysia wajar menghayati roh kebahasaan dan bersama-sama mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan.
Isi 1: Menghayati dengan seluruh jiwa raga akan bertuahnya menjadi bangsa yang berdaulat dan memiliki bahasa
– semua pihak daripada pemimpin hingga marhaen mesti memiliki perasaan sayang dan bangga terhadap bahasa sendiri
Isi 2: Memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi mahupun tidak rasmi dalam
negara – mewartakan suatu peraturan yang mendaulatkan bahasa Kebangsaan – kebiasaan menggunakan kod
bercampur yang telah terbudaya dalam masyarakat hendaklah dibanteras secara perlahan-lahan - mengenakan tindakan
tegas terhadap mana-mana pihak yang mempersendakan penggunaan bahasa Kebangsaan
Isi 3: Menjadikan bahasa Kebangsaan sebagai penyatu perpaduan kaum – interaksi yang merentas kaum wajib
menggunakan Bahasa Kebangsaan – penggunaan bahasa asing/etnik dibenarkan dalam kaum tertentu sahaja –
Isi 4: Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa pengantar wajib dalam semua institusi pendidikan sama ada
peringkat rendah mahupun IPT – graduan tempatan mahupun luar negara mesti boleh menguasai bahasa Kebangsaan
dengan lantar dan petah
Isi 5: Semua pengamal media sama ada media cetak mahupun media elektronik diwajibkan menggunakan bahasa
pengantar dalam bahasa Kebangsaan – kerajaan secara konsisten dari semasa ke semasa melaksanakan kempen
penggunaan bahasa Kebangsaan
13
Kesimpulan: Kedaulatan, bahasa dan budaya adat resam merupakan ciri penting yang melambangkan identiti sesuatu
bangsa. Setiap bangsa di dunia ini dianugerahkan oleh Tuhan dengan kepelbagaian ciri yang unik agar bangsa tersebut
dapat dikenali akan jati diri mereka. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia juga harus mempertahankan identiti kebangsaan
yang antara lain berusaha mengangkat martabat bahasa Kebangsaan agar gah dan tersohor di mata dunia.
SELANGOR SET 2
1. Tuntutan pasaran kerja pada hari ini telah melonjakkan permintaan tinggi terhadap belia lepasan institusi
berasaskan kemahiran seperti Koleh Vokasional, Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Ulas pernyataan tersebut selengkapnya.
PERINGATAN: Sila ubah suai soalan ini dengan satu lagi bentuk soalan seperti di bawah:
Selaras dengan transformasi pendidikan dalam arus perdana, penjenamaan semula dalam sistem pendidikan
teknik vokasional turut dilakukan.
Bincangkan pendapat anda tentang faedah-faedah transformasi pendidikan teknik vokasional untuk melahirkan
rakyat yang berkebolehan (Teks Tkn 5, Unit 6 Bhg B).
Pendahuluan : Pepatah yang menyatakan, hukum dijunjung, ilmu dikelek memberi maksud bahawa kesempurnaan
hidup manusia hendaklah diasaskan kepada dua perkara iaitu peraturan yang dipatuhi dan ilmu yang dimanfaatkan.
Sejajar dengan hasrat menuju matlamat negara maju, justeru masyarakat Malaysia hendaklah menjulang tinggi
kedaulatan dan Keluhuran Undang-undang manakala ilmu pula dijadikan wahana untuk melahirkan masyarakat yang
bijak dan produktif. Oleh itu, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM), Pendidikan Teknik
dan Vokasional turut diperasakan sebagai inisiatif untuk melahirkan rakyat yang berketerampilan sama ada dalam aspek
ilmu pengetahuan mahupun kemahiran tinggi. Pemerkasaan semula kedua-dua aliran tersebut akan memberi sinar baru
untuk anak-anak Malaysia membuka langkah bagi bersaing di persada global. Tidaklah dinafikan sama sekali bahawa
banyak manfaat kepada rakyat dan negara dengan langkah pragmatik tersebut.
Isi 1 : Negara dapat melahirkan rakyat (graduan) dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran – golongan
teknikal/vokasional menjadi tangan emas kepada negara – bakal mewujudkan pelbagai bidang kerjaya
Isi 2 : Negara mampu bersaing dengan negara-negara industri yang tersohor di dunia – memiliki tenaga kerja pakar
dalam bidang industri – boleh bersaing dengan negara-negara seperti Jerman, Perancis, Jepun dan Korea
Isi 3 : Boleh menjanakan pelbagai peluang kerjaya terutama dalam sektor industri – pengetahuan teknik/vokasional
boleh melahirkan tenaga mahir – pelbagai produk industri terhasil – berupaya memanfaatkan segala potensi hasil mahsul
negara menjadi produk industri
Isi 4 : Mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dan tenaga pakar asing – pembangunan negara mampu
dibikin oleh kemahiran anak-anak tempatan – mengurangkan pengaliran wang keluar negara sebagai kos upah warga
asing – strategi terbaik mengurangkan kebanjiran buruh asing
Isi 5 : Malaysia mampu menjadi negara industri dalam tempoh dua dekad lagi – usaha kerajaan dalam Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) – melipatgandakan produk eksport barangan siap selain produk elektrik dan elektronik
– meningkatkan pendapatan KDNK negara
Kesimpulan : Apabila kita merujuk kata-kata falsafah Confucious yang menyatakan, “Perjalanan jauh yang beribu-ribu
batu hendaklah bermula dengan langkah yang pertama”, justeru langkah kerajaan memperkasakan kedua-dua
bidang ini amatlah bertepatan sekali. Sebarang matlamat yang ingin kita capai dalam tempoh satu dekad lagi, nescaya
perancangannya hendaklah bermula dari sekarang. Oleh itu, strategi yang terbaik tentulah transformasi dalam sistem
pendidikan perlu berubah terlebih dahulu. Sesungguhnya, kita yakin dan percaya segala usaha kerajaan itu akan
memberi natijah yang besar kepada rakyat dan negara.
14
2. Seorang pegawai dari Fakulti Pertanian Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan sebuah ceramah
yang bertajuk kepentingan-kepentingan dan langkah-langkah mewujudkan bandar dalam taman.
Tulis ceramah itu selengkapnya.
PERINGATAN: Calon diingatkan supaya patuh kepada kehendak format soalan
Pendahuluan: Manusia dan alam saling berkolaborasi. Malahan, manusia itu sendiri merupakan sebahagian daripada
komponen alam. Yang membezakannya, alam sebagai asbab manusia memperoleh pelbagai faedah untuk kelangsungan
hidup, manakala manusia bertanggungjawab sebagai khalifah untuk menjaga kelestarian alam. Apabila hilangnya sifat
cakna manusia terhadap alam, banyak malapetaka seperti tanah runtuh, banjir kilat dan udara yang tercemar melanda.
Oleh hal yang demikian, suatu inovasi harus dicetuskan agar generasi hari ini menyedari betapa pentingnya landskap
kejiranan yang disuburkan oleh persekitaran semula jadi melalui pemerkasaan bandar dalam taman.
A: Kepentingan:
Isi 1: Bandar dalam taman mampu memenuhi fitrah manusia yang sentiasa berhajat kepada alam sekitarnya –
membuktikan hubungan lestari flora dan fauna tidak boleh dipisahkan –kehidupan dalam landskap hijau yang damai,
sejahtera dan harmoni
Isi 2: Boleh mengekalkan alam semula jadi yang segar, indah dan mesra alam – mengekalkan pandangan hijau,
bersih, nyaman – mampu menstabilkan ekosistem
Isi 3: Memberi pendedahan kepada generasi muda agar mensyukuri nikmat Tuhan – flora dan fauna merupakan
anugerah semula jadi oleh Allah SWT – manusia harus bersyukur dan memanfaatkan rahmat tersebut
B: Langkah-langkah:
Isi 4: Pihak berwajib hendaklah merancang pelan struktur perbandaran, petempatan dan bandar raya dengan
pembangunan lestari yang berkonsepkan flora dan fauna – setiap pertumbuhan bandar baru hendaklah
mementingkan landskap hijau – PBT atau Dewan Bandar raya harus mempunyai dasar yang tegas terhadap sebarang
cubaan merosakkan taman dalam banda
Isi 5: Menguatkuasakan akta larangan menebang dan menggondolkan kawasan hijau – setiap kawasan bandar
baru yang hendak dibangunkan dilarang sama sekali merosakkan kawasan hijau (semula jadi)
Isi 6: Memperbanyak kawasan hijau dan kawasan rekreasi di tengah-tengah bandar – sebagai langkah
menghindarkan sebarang cubaan memusnahkan kawasan hijau di bandar – akta tanah kosong dan tanah lapang mesti
dikuatkuasakan
Kesimpulan: Sifat saling bergantungan antara manusia dan alam sekitar merupakan warisan sejagat sejak azali. Tanpa
alam dan kehijauan flora, fauna tidak mempunyai habitat yang sempurna. Manusia merupakan haiwan berakal dalam
spesies fauna yang memikul tanggungjawab untuk menjaga kehijauan alam daripada terus pupus. Oleh hal yang
demikian, idea dan inovasi bandar dalam taman boleh menjadi kelangsungan zon hijau yang indah, sejahtera dan
harmoni.
3. Malaysia terkenal dengan kepelbagaian adat dan warisan budaya kerana terdiri daripada masyarakat
yang berbilang kaum. Adat perkahwinan ialah salah satu keunikan budaya warisan kaum-kaum di
Malaysia.
huraikan pengalaman anda semasa menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Malaysia.
CATATAN: Soalan dalam isu ini pernah keluar dalam SPM 2015
4. Putrajaya merupakan mercu tanda kejayaan negara dalam membina sebuah bandar terancang yang
mempunyai landskap dan seni bertaraf antarabangsa.
Bincangkan.
CATATAN: Jika dilihat dalam konsep liberalisasi, soalan ini kurang adil kepada sebahagian besar pelajar
yang berada jauh dari Putrajaya.
5. Peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang bermaksud melakukan sesuatu sehingga mencapai
kejayaan.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.
PULAU PINANG SET 1
15
1. Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa
hadapan mereka.
Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.
CATATAN: Soalan ini kurang memenuhi ciri soalan KBAT kerana tiada pecahan aras.
Pendahuluan: Kerjaya atau menjawat sesuatu jawatan selepas menamatkan fasa pengajian merupakan
destinasi penting kepada setiap individu. Pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semua calon sudah
boleh meletakkan hala tuju yang hendak dicapai sepadan dengan pencapaian akademik masing-masing. Pada
tahap ini pemilihan kerjaya boleh dirancang berdasarkan bidang pengajian pada pasca-SPM. Oleh hal yang
demikian, pelbagai faktor harus dipertimbangkan sebelum menceburi sesuatu kerjaya, ibarat peribahasa, akal
tidak sekali datang, fikir tidak sekali tiba atau kurang ringgit boleh dicari, kurang merancang habis bicara.
Isi 1: Minat sebagai laluan kerjaya yang paling besar pengaruhnya – tanpa minat seseorang tidak dapat
melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin – minat menjadi motivasi seseorang lebih fokus dan lebih berjaya –
minat mendorong individu sentiasa menambah baik lapangan kerjayanya.
Isi 2: Kemahiran dan kepakaran – kemahiran merupakan potensi individu yang Allah kurniakan – setiap
manusia memiliki bakat dan potensi diri yang tidak sama antara satu dengan yang lain – kemahiran menjadi aset
seseorang itu lebih pantas menyerlah dan produktif dalam kerjaya yang diceburi
Isi 3: Faktor tawaran gaji dan kemudahan sokongan – gaji ialah nyawa dan nadi kepada setiap pekerja –
setiap pencari kerja hendaklah menimbangkan dengan teliti setiap tawaran bersesuaian dengan gaji – insentif
lain seperti elaun, kemudahan tempat tinggal, kenderaan dan cuti rehat yang munasabah
Isi 4: Faktor persekitaran tempat kerja – boleh mewujudkan suasana kerja yang menarik, seronok dan selamat
– rakan sekerja yang saling membantu dan saling menyokong – jarak yang berdekatan dengan tempat tinggal
Isi 5: Polisi/dasar majikan yang baik dan bertimbang rasa – majikan yang baik, telus dan bertimbang rasa
sangat penting – sentiasa memikirkan kebajikan pekerja – tidak lokek dan boleh menerima pekerja sebagai
keluarga besar
Kesimpulan: Kerjaya dan masa depan ialah dua perkara yang sangat penting untuk difikirkan oleh setiap
individu. Apabila memperoleh kerjaya yang baik, justeru jaminan masa depan juga pasti selamat. Oleh itu
perancangan masa depan hendaklah diatur ketika masih di peringkat belajar. Jangan tersalah pilih kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
2. Remaja kini banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet yang memberikan pelbagai kesan
kepada mereka.
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak.
Pendahuluan : Memetik peribahasa yang menyatakan, “Sekali air bah sekali pasir berubah” menunjukkan bahawa,
kehidupan kita memang tidak dapat lari daripada dikejar perubahan dan kemajuan. Kemajuan datang bak air deras
sehingga melanda tamadun dan peradaban. Demikianlah kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan ICT kini
seolah-olah menjadi suatu ancaman baru di sebalik impak positifnya. Fenomena tersebut memungkinkan pelbagai peranti
mudah alih dan gajet telah melimpah dalam pasaran. Situasi tersebut merupakan suatu ancaman baru kepada ibu bapa
sama ada ancaman dalam bentuk kewangan malah dalam kerangka yang lebih luas ialah kesan terhadap salah guna dan
salah didik yang akan menimpa generasi muda. Ibarat ditelan mati emak diluahkan mati bapa, ibu bapa terpaksa melayan
kehendak anak-anak dengan penuh dilema. Oleh itu, dalam mengimbangi antara kedua-dua kepentingan, ibu bapa perlu
bijak membimbing anak-anak, ibarat batu permata jikalau disepuh menjadi permata, jikalau dibiarkan menjadi tongkol.
Isi 1 : Ibu bapa sendiri perlu memperlengkap diri dengan pengetahuan teknologi ICT – pengetahuan supaya ibu
bapa tidak tertipu oleh anak-anak – sentiasa mengikuti perkembangan semasa – tidak menjadi ibu bapa yang fobia
teknologi dan buta komputer – timbul rasa gerun kepada anak-anak
Isi 2 : Ibu bapa berkongsi pengetahuan ICT dengan anak-anak – ibu bapa sekarang sudah celik ilmu dan teknologi –
wujud interaksi yang sihat – anak-anak berasa diri mereka dihargai kerana ibu bapa turut berkongsi maklumat dengan
mereka
Isi 3 : Mendedahkan anak-anak tentang kemajuan teknologi ICT – berfikiran positif daripada negatif – membimbing
tentang manfaat yang diperoleh daripada gajet dan peranti – berkunjung ke pusat pameran ICT untuk menambah
pengetahuan
Isi 4 : Mendidik anak-anak tentang nilai moral, etika dan budaya berilmu – orang yang bijak tahu mencari yang
signifikan bukan ancaman – anak-anak perlu faham segala perkara yang bersifat sadis, hedonis, dan anarkis yang
membawa musibah kepada diri keluarga
16
Isi 5 : Ibu bapa mewujudkan interaksi/jalinan yang mesra dengan pihak sekolah – mencegah anak-anak
terperangkap antara dua keperluan iaitu sekolah dan rumah – ibu bapa boleh mendapat maklumat sahih dari sekolah
tentang penggunaan Internet dan ICT – mencegah anak-anak terdedah dengan unsur-unsur porno dan bahan yang
antimoral.
Kesimpulan : Kebanjiran teknologi gajet bagaikan air deras yang datang dari banjaran gunung. Andai diempang nescaya
melimpah kalau dirempuh nescaya hanyut. Demikianlah suatu gambaran yang menunjukkan perkembangan dalam
bidang peranti dan gajet menjadi cabaran hebat sekiranya gagal ditangani dengan bijaksana. Kewujudannya banyak
memberi manfaat daripada mudarat. Walau bagaimanapun, pelbagai musibah akan terjadi apabila salah ditangani. Oleh
itu, jadilah pengguna yang bijaksana kerana jauharilah yang mengenal manikam.
3.
BERJIMAT AMALAN MULIA
Ulaskan pernyataan tersebut.
4. Filem-filem Barat telah memberikan pelbagai pengaruh terhadap kehidupan masyarakat sejagat.
Huraikan pengaruh yang diterima oleh masyarakat sebagai akibat kemasukan filem-filem dari Barat.
5. Peribahasa bagai lebah menghimpun madu bermaksud seseorang yang sangat rajin.
Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.
KELANTAN
1. Guru merupakan insan penting yang perlu dihargai disebabkan mereka menyumbang kepada
pembentukan generasi cemerlang yang diperlukan oleh negara.
Huraikan cara-cara anda menghargai guru.
Pendahuluan: Guru ialah insan penyuluh masa hadapan kepada setiap anak murid. Guru ialah insan yang memiliki
hemah dan peribadi mulia sanggup berkorban diri ibarat dian yang membakar diri demi menerangi orang lain. Setitis
liur basah guru yang menuturkan ilmu bakal menjadi mutiara hikmat yang memandu jalan kebenaran kepada setiap
anak didik. Oleh itu, guru merupakan insan yang wajar dihormati kerana sumbangan sebagai arkitek yang meneroka
masa hadapan anak-anak didik. Sebagai insan yang pernah menerima sentuhan hikmah daripada para guru saya
akan menghormati mereka dengan pelbagai cara.
Isi 1: Menyanjung mulia para guru – memberikan penghormatan tertinggi atas jasa bakti dan jerih keringat yang
telah disumbangkan – sentiasa meletakkan profesion keguruan antara bidang kerjaya yang amat dihormati
Isi 2: Mendoakan kesejahteraan mereka – memohon kepada Ilahi agar memberikan kerahmatan kepada para guru
– rahmat sihat, jiwa yang sakinat dan rezeki yang melimpah
Isi 3: Berusaha sedaya upaya untuk menjadi pelajar yang cemerlang sama ada dalam akademik mahupun
sahsiah – kecemerlangan akademik merupakan hadiah yang paling istimewa kepada para guru – guru tidak pernah
menuntut sebarang bayaran mahupun hadiah sebaliknya amat berbangga apabila anak-anak didik berjaya
Isi 4: Menghubungkan silaturahim dengan guru – tidak pernah memutuskan hubungan dengan para guru
walaupun sudah lama meninggalkan pusat pendidikan – berusaha menjejaki guru walau di mana-mana mereka
berada – berkirim salam dan menziarahi mereka sama ada dalam keadaan susah mahupun senang
17
Isi 5: Menjauhi segala sifat keji dan mazmumah – semua sifat buruk yang dilakukan oleh seseorang murid ibarat
menyapu arang ke muka guru – tiada seorang pun guru yang mengajarkan perkara keji kepada anak didik – imej
guru akan terpalit dengan aib
Kesimpulan: Kecekalan hati para guru mendidik pelajar diibaratkan sepuluh tahun bah melanda kapar tak hanyut,
inikan pula kemarau panjang. Walaupun berhadapan dengan pelbagai kerenah anak-anak didik, para guru tidak
pernah merungut dan tidak pernah menyisih pelajarnya walau seberapa nakal dan nanarnya seseorang anak didik.
Mereka tega mendidik dengan berpaksikan segala ramuan kesabaran, ketabahan dan semangat yang cekal. Oleh hal
yang demikian, saya akan pahatkan bahawa jasa guru sebagai pasak kejayaan bangsa yang tidak boleh dilupakan
sama sekali.
2. Permintaan air bersih kian meningkat sedangkan sumbernya semakin berkurangan.
Sebagai pengguna, kita berperanan penting untuk menjimatkan penggunaan air dalam aktiviti seharian.
Catatan : Soalan ini tiada arahan khusus, mungkin boleh mengelirukan calon.
Saya gantikan dengan sampel cemerlang yang tersedia dalam modul saya edisi 2017 ms 50.
Air bersih merupakan keperluan penting dalam kehidupan manusia. Malangnya kebanyakan sumber air bersih di
negara ini telah tercemar.
Huraikan langkah-langkah untuk mendidik masyarakat agar menghargai sumber air.
Berdasarkan kajian saintifik telah menunjukkan bahawa, manusia boleh hidup hingga lapan hari jikalau tanpa
makanan, sebaliknya manusia akan mati dalam tempoh 48 jam jikalau tiada air. Hal demikian terbukti kerana berdasarkan
sistem biologi manusia pun, air terdiri 80 peratus daripada keseluruhan berat badan seseorang manusia. Selain itu, air
turut dikaitkan dengan nilai-nilai sentimental dalam kehidupan seperti keindahan sungai, lautan yang terhampar malahan
di dalam syurga juga sentiasa dikaitkan dengan air yakni keenakan air telaga Kautsar. Sekalipun air telah terbukti amat
penting dalam tamadun manusia, namun belakangan ini manusia semakin jahil akan kepentingan air. Di mana-mana jua
sungai kian tercemar, permukaan laut semakin kotor dan krisis bekalan air dijangka akan berlaku dalam tempoh satu
abad dari sekarang. Alangkah jahilnya manusia apabila sumber yang teramat penting kepada kehidupan telah dirosakkan
kerana sikap rakus atau tiada kepedulian. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum kudis menjadi tokak,
eloklah masyarakat hari ini diberikan pendidikan untuk menghargai sumber warisan iaitu air.
Pendidikan ialah aspek yang paling prima untuk mendidik masyarakat menghargai air. Mereka perlu dididik untuk
mengenali pencipta (khaliq). Manusia yang mengenali Tuhan sudah pasti tahu bersyukur. Inilah nilai murni yang perlu
dipegang kukuh sejajar dengan maksud Firman Allah, “Bersyukurlah! Andai kamu bersyukur nescaya aku tambahi
nikmatmu dan sebaliknya apabila engkau kufur nescaya azab-Ku terhadapmu teramatlah pedih”. Belakangan ini
akibat terbebat dengan tabiat tidak tahu bersyukur, manusia tidak pernah tahu bahawa nikmat Allah yang amat berharga
itu telah dicemari. Manusia telah hilang pertimbangan dan budi bicara dan sombong akibat tidak takut akan musibah dan
jauh sekali mengenali akan dosa dan pahala.
Generasi yang paling awal yang harus menerima pendidikan agar menghargai sumber alam ialah generasi
kanak-kanak. Seawal usia setahun anak-anak harus dididik untuk menghargai harta benda. Pendidikan yang paling teras
adalah yang bermula di rumah. Asas pendidikan yang kukuh hendaklah dimantapkan di sekolah. Para guru dengan
segala kebijaksanaan haruslah menanamkan nilai-nilai murni seperti bersyukur, berkasih sayang dan jimat cermat agar
generasi pelajar tahu akan nilai anugerah alam khususnya air. Pelbagai program mencintai alam sekitar boleh
dimasukkan ke dalam program luar sekolah dan aktiviti kokurikulum. Apabila pelajar sentiasa mesra kepada alam sekitar
nescaya mereka teruja untuk menjaganya. Sesungguhnya, inilah generasi yang diharapkan dapat memulihkan semula
segala sumber alam yang semakin tercemar terutama sekali sumber air.
Golongan sasar yang lebih penting ialah masyarakat umum. Golongan ini perlu diajak bersama-sama untuk
menyedari betapa air amatlah penting kepada kesinambungan nyawa rakyat Malaysia. Krisis air dan kegiatan
merosakkan sumbernya banyak dilakukan oleh golongan ini. Kalangan peniaga dan industri merosakkan sumber air
dengan cara mengalirkan bahan-bahan sisa industri ke dalam sungai. Selain itu, masyarakat awam pula masih banyak
yang tiada kesedaran tentang kebersihan alam sekitar. Mereka mencampakkan sampah dengan sesuka hati dan
termasuk melupuskannya ke dalam sungai. Tanpa kesedaran yang mendalam daripada kelompok sasar ini, seharusnya
kelestarian air bersih pasti akan terancam. Oleh itu, sistem pendidikan, kempen dan tindakan tegas hendaklah
dilaksanakan secara berterusan untuk berdepan dengan kelompok sasar ini.
Inisiatif yang seterusnya ialah tindakan proaktif daripada pihak kerajaan. Pelbagai prakarsa harus dijalankan oleh
pihak berkuasa sebagai respons kepada pelbagai amaran tentang krisis air yang bakal dihadapi. Barangkali masa telah
tiba untuk Malaysia bertindak menjadikan sungai-sungai di negara ini sebagai produk pelancongan seperti yang terdapat
18
di negara-negara maju. Kegiatan perniagaan yang mesra sungai seperti di San Francisco Waterfront, North Vancouver
Waterfront dan Auckland Waterfront harus dicontohi. Sementara itu, inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri
Melaka yang mewujudkan River Cruise sebagai produk pelancongan hendaklah diambil iktibar oleh kerajaan-kerajaan
negeri yang lain juga. Ingatlah pelbagai usaha boleh dijalankan selagi ada ikhtiar kerana akal tidak sekali tiba ikhtiar
tidak sekali datang.
Konklusinya, semua isi alam yang dianugerahi Allah adalah untuk manfaat manusia yang bijak menghargainya.
Alangkah jahilnya kita apabila sumber alam yang kaya dimusnahkan begitu sahaja sehingga kita berhadapan dengan
masa depan yang kabur. Janganlah disebabkan mengejar keuntungan peribadi untuk jangka pendek kita mengaburkan
masa depan generasi akan datang. Fahamilah akan amaran Allah dalam sepotong ayat al0 Quran, Surah Ar Rom yang
bermaksud, “Segala kerosakan yang berlaku sama ada di laut mahupun di darat akibat perbuatan tangan manusia
yang durjana”.
3. Pengangkutan awam di negara kita semakin tidak mendapat sambutan disebabkan beberapa faktor . hal
ini sudah pasti dapat diatasi dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam di negara kita.
Sehubungan dengan tu, anda ingin menulis sebuah rencana yang berjudul, “Usaha Meningkatkan Sistem
Pengangkutan Awam Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.
PERINGATAN: Oleh sebab soalan ini dalam format rencana, calon hendaklah menulis tajuk rencana seperti yang
diberikan dan menulis nama penulis.
Pendahuluan: Pada masa ini sudah menjadi fenomena biasa apabila para pemandu terperangkap berjam-jam lamanya
di jalan raya akibat kesesakan trafik. Keadaan menjadi lebih parah di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan
Johor Baharu terutama dalam waktu puncak. Keadaan tersebut mengakibatkan peningkatan kos dan pembaziran tenaga
serta masa. Adakah keadaan yang bertambah parah ini sekadar dapat ditonton dan didengari sekadar masuk telinga
kanan keluar telinga kiri? Bagi kalangan warga kota, inilah suatu cabaran besar yang terpaksa mereka harungi sejak
puluhan tahun yang lampau. Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti menambahkan rangkaian lebuh raya, namun
situasi sama terus berulang. Oleh hal yang demikian, penyelesaian yang berbentuk konvensional haruslah diperluas
kepada penyelesaian yang bersifat menyeluruh melalui pelbagai inisiatif daripada semua pihak.
Isi 1 : Memodenkan sistem pengangkutan awam terutama di bandar-bandar besar – mengangkat taraf
pengangkutan awam kepada perkhidmatan profesional – pengangkutan awam lebih canggih, lancar dan istimewa
daripada kenderaan persendirian – cadangan mewujudkan lorong khas untuk pengangkutan awam
Isi 2 : Mempelbagaikan jenis kenderaan pengangkutan awam – dapat menarik minat penumpang serta sesuai dengan
pilihan mereka – kenderaan konvensional seperti bas dan teksi kepada kenderaan yang lebih sofistikated
Isi 3 :Melancarkan sistem bersepadu antara semua jenis rangkaian pengangkutan awam – menyediakan
kemudahan pengangkutan yang bersambungan dan transit dengan setiap destinasi utama ke destinasi hiliran – sebagai
contoh pengguna kereta api/LRT tidak perlu parkir kenderaan di setiap stesen disebabkan wujud perkhidmatan bas awam
yang efisien
Isi 4 : Memberi suatu penanda aras cemerlang/status sosial yang tinggi kepada pengguna perkhidmatan awam –
menukar paradigma berfikir masyarakat bahawa pengangkutan awam sekadar untuk golongan marhaen – logistik dan
status kenderaan hendaklah memenuhi pilihan dan cita rasa setiap kelas masyarakat – ambil cara modus operandi
perkhidmatan teksi Uber yang sangat efisien
Isi 5 : Memperkemas sistem waktu bekerja anjal – untuk mengurangkan lambakan kenderaan dalam waktu
puncak – mewujudkan jarak masa pekerja yang anjal antara agensi kerajaan, GLC, institusi pendidikan dan sektor
swasta (perlu dilaksanakan secara tegas melalui arahan kerajaan)
Isi 6 :Mengangkat budaya dan pemikiran operator/pengusaha pengangkutan awam dalam budaya berfikir kelas
pertama (pemikiran berkelas dunia) – menjadikan bidang pengangkutan awam sebagai pekerjaan yang mulia dan
lumayan – menjadi pemandu yang berhemah, mesra pelanggan dan berilmu pengetahuan – membuang imej buruk
pemandu teksi dan sebagai kasar, baran dan pengotor
Kesimpulan : Berpandukan kata-kata tokoh, “Jikalau mahu maju bersedialah untuk keluar daripada kepompong jumud
katak di bawah tempurung dan berani membuat anjakan paradigma barulah nampak kejayaannya. Sesungguhnya,
kejayaan yang hakiki biasa lahir daripada kebolehan insan-insan biasa yang mampu berfikir secara luar biasa. Oleh
sebab itu, dalam mencari penyelesaian kepada masalah kronik kesesakan trafik, sudah tiba masanya sesuatu idea baru
yang kreatif dan produktif dicetuskan segera. Biarlah lontaran idea tersebut tidak logik kepada sesetengah pihak tetapi
relevan dalam menyelesaikan masalah yang tiada kesudahannya.
19
4. Perkembangan industri pertanian menambahkan pendapatan negara, membuka peluang pekerjaan dan
meningkatkan imej negara di mata dunia.
Huraikan pernyataan tersebut.
CATATAN: Soalan tentang isu pertanian telah keluar dalam SPM 2014
5. Peribahasa, “Serumpun bak serai, seludang bagai tebu” menggambarkan sikap bersatu hati dalam segala
hal.
Jelaskan kelebihan-kelebihan mengamalkan sikap bermuafakat dalam kehidupan bermasyarakat.
Pendahuluan: Sebuah lagi peribahasa dengan versi yang sama, turut disebut sebagai “serumpun bak serai, sejunjung
bak sirih, jangan dipagar nyiur yang condong kelak buahnya jatuh ke halaman orang. Peribahasa dalam rentak perbidalan
ini membawa maksud yang tersirat tentang nilai persahabatan, kasih sayang, kejiranan dan menjauhkan sifat sombong
meninggi diri. Manusia sebagai makhluk terpilih yang berasal daripada nasab Adam dan Hawa sepatutnya sedar bahawa
kita berasal daripada benih yang sama. Masyarakat yang kuat ialah masyarakat yang saling bersatu padu dan saling
memahami, ibarat sebatang lidi mudah patah apabila berkumpul menjadi penyapu. Oleh hal yang demikian, seruan ke
arah amalan bersatu padu dan seia sekata wajar diperkasakan dalam mana-mana komuniti kerana amat banyak
signifikan di sebalik amalan yang murni seperti itu.
Mafhum daripada sebuah Hadis Rasulullah yang menyatakan, “Antara seseorang mukmin dengan mukmin yang
lain bandingannya sebagai suatu timbunan batu bata yang mendirikan sebuah bangunan, andainya satu yang jatuh,
justeru runtuhlah bangunan itu”. Begitulah nilai permuafakatan dan perpaduan yang dapat menatijahkan solidariti ummah.
Sesungguhnya kekuatan ummah amatlah penting sebagai maslahat untuk membentuk sebuah negara bangsa yang utuh,
dinamik lagi makmur. Benarlah bak kata tokoh falsafah klasik, Aristotle, “Majunya sesebuah negara itu bukan terletak
kepada buminya yang subur, sebaliknya terletak pada rakyatnya yang bersatu padu, bebas dan merdeka”. Hubungan
akrab antara bangsawan, berpangkat darjat hingga marhaen memberi isyarat bahawa rakyat di sesebuah negara itu amat
teguh solidaritinya ibarat resam hidup ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni, hati kuman sama dicecah, hati
gajah sama dilapah.
Sesebuah negara yang teguh perpaduan dalam kalangan rakyatnya mudah menerima pengiktirafan sebagai
sebuah kerajaan yang berdaulat, digeruni dan disegani oleh sahabat dan lawan. Oleh itu, resipi yang terbaik, setiap
anggota masyarakat hendaklah beriltizam untuk mencurahkan bakti dan taat setia kepada negara melalui agenda
perpaduan dalam pengertian peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Rasa hormat dan
kagum oleh jiran dan kawan akan membawa tuah kepada sesebuah negara apabila banyak tetangga dan masyarakat
antarabangsa akan berkunjung dan menikmati kehidupan penuh harmoni dan sejahtera di negara berkenaan. Secara
tidak langsung wadah tersebut memberi seribu rahmat kebaikan apabila industri pelancongan, tukaran wang asing dan
peningkatan produk akan berkembang dengan pantas. Demikianlah nikmat perpaduan, untung sama diraih tuah sama
dirasai.
Perpaduan turut menjadi prasyarat kemajuan ekonomi sesebuah negara berkembang dengan pesat. Hal ini tidak
boleh dinafikan kerana perpecahan dan pertelagahan menjadi duri dalam daging yang menghalang kemajuan negara.
Masyarakat yang pincang dan saling berbantahan tidak berpeluang untuk membangunkan potensi hasil mahsul negara
untuk kejayaan iktisad hasil buminya. Apabila timbul anasir salah faham, maka gejala fitnah dan adu domba akan
menjalar dalam masyarakat. Elemen negatif seperti ini boleh menjadi barah yang membawa kepada masalah perkauman,
pertumpahan darah dan akhirnya kegiatan ekonomi terbantut. Dalam dasawarsa yang mementingkan pelaburan luar
sebagai wadah pertumbuhan ekonomi, justeru perpaduan dan keamanan di sesebuah negara akan menjadi pilihan utama
pelabur. Hal yang demikian ini dapat dirujuk kepada negara-negara di wilayah Scandinivia seperti Norway, Denmark dan
Sweden yang begitu kompetitif pertumbuhan ekonomi kerana keamanan wilayah tersebut bak tenangnya air di kali.
Produk budaya, sejarah warisan dan adat resam dapat disuburkan dan disebarluaskan apabila suasana dalam
sesebuah masyarakat itu tenteram. Kehidupan yang aman dan tenteram sentiasa mendambakan nilai-nilai keindahan,
estetika dan citra sesuatu bangsa boleh dijadikan identiti negara. Kejayaan beberapa negara maju seperti Eropah, Jepun
dan Korea mempertahankan unsur-unsur seni warisan adalah disebabkan oleh sikap bangsanya yang cukup cakna
terhadap kehidupan bermasyarakat. Eiffel Tower di Perancis, modenisasi pertanian di Belanda, nilai moral masyarakat
Jepun dan Korea telah menggamit jutaan pelancong untuk mengunjungi negara-negara berkenaan pada setiap tahun.
Sebaliknya semua produk tersebut menjadi tidak berguna apabila rakyatnya sentiasa bertelagah, bersengketa dan
berperang. Inilah ironi yang terjadi kepada legasi sejarah dan tamadun yang terletak di wilayah Arab, Afrika dan benua
kecil India kerana jong pecah yu yang kenyang.
20
Perpaduan dan keamanan menjadi uslub kepada kelestarian zuriat dan warisan bangsa. Sudah sekian banyak
bangsa yang pupus nasab dan warisan kerana gagal mempertahankan sebuah masyarakat yang saling bersatu padu dan
bersefahaman. Peperangan yang tercetus sejak zaman klasik hingga pascamodenisme telah memisahkan pertalian
persaudaraan. Pemisahan Taiwan sebagai koloni Cina, sejarah air mata Tembok Berlin dan terputusnya saudara mara
serta keturunan Korea Selatan dan Korea Utara tercetus disebabkan harga peraduan telah dilacurkan oleh bangsa itu
sendiri. Sebagai bangsa Malaysia, kita harus berwaspada agar pertalian dalam wilayah ini yang ditunjangi oleh
peradaban Melayu tidak terkubur begitu sahaja. Lunas yang terpenting, haruslah kita berpegang kepada amanat,
serumpun bak serai, seludang bagai tebu.
Kesimpulannya, banyak sekali peribahasa dan amanat orang tua-tua supaya masyarakat berpegang teguh
kepada amalan hidup bersatu padu. Amalan bantu-membantu ibarat sedikit tanda ingat banyak tanda ada dan jauhi
tingkah laku sokong membawa rebah boleh menjadi paksi tertegaknya masyarakat yang kuat, beridentiti dan berperibadi
mulia.
PAHANG
1. Anda selaku tokoh usahawan desa peringkat negeri diminta menyampaikan sebuah ceramah kepada
sekumpulan usahawan desa di tempat anda. Tajuk ceramah tersebut ialah “Rahsia Menjadi Usahawan
Desa yang Berjaya”.
sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.
Catatan: Sila rujuk dan ubah suai soalan ini dengan sampel cemerlang A++ dalam modul saya edisi 2017,
ms 36.
2. Keluarga bahagia merupakan keluarga yang penyayang, bertolak ansur dan sering menyantuni antara
satu sama lain.
Sehubungan dengan itu, jelaskan ciri-ciri keluarga bahagia idaman anda.
3. Pengguna bijak mendatangkan pelbagai manfaat kepada keluarga.
Jelaskan manfaat-manfaat tersebut.
Pendahuluan: Terdapat banyak slogan tentang hak pengguna, antaranya ‘Kuasa Beli Dalam Tangan Pengguna’,
‘Pengguna Ialah Raja’ dan ‘Pengguna Menentukan Kuasa Pasaran’. Alangkah hebatnya hak pengguna dalam
pasaran terbuka. Betulkah andaian tersebut? Sesungguhnya, slogan tersebut sekadar muluk dan indah tetapi
hakikatnya pengguna bagaikan singa tiada berkuku. Acap kali kedengaran isu pengguna tertipu dan menjadi mangsa
peniaga di mana-mana sahaja. Kini, dengan kemudahan media alternatif, trend pasaran menjadi semakin kompleks.
Terdapat bermacam-macam urus niaga seperti pembelian dalam talian, prapesanan, prabayar dan pelbagai lagi
teknik jual beli cara moden. Walau apa-apa pun urusan jual beli sudah sewajarnya pengguna lebih bijak agar tidak
menjadi mangsa sesetengah peniaga yang gemar menangguk di air keruh dan menahan lukah di pergentingan.
Apabila pengguna lebih bijak tentang segala produk urus niaga, justeru banyaklah manfaat yang diperoleh pengguna.
Isi 1: Pengguna dapat mengawal perbelanjaan dan berbelanja secara berhemat – berwaspada dengan taktik
iklan, promosi dan pujuk rayu – gunakan kuasa beli pada tempat yang betul – jadilah pengguna bijak bukan terlajak
Isi 2: Pengguna berhak menggunakan kuasa yang ada dalam menentukan urusan beli belah – merancang
terlebih dahulu sebelum membeli - berbelanja atas keperluan bukan atas keinginan
Isi 3: Pengguna tidak mudah tertipu dengan sewenang-wenangnya – menyiasat dan mengenal pasti aspek kualiti
barangan – menilai secara bijak helah penjual melalui iklan yang tidak munasabah – tidak terburu-buru membeli –
biar peniaga yang memujuk bukan pengguna yang terlalu obsesi membeli
21
Isi 4: Dapat mewujudkan situasi pasaran menang-menang – peniaga bertindak secara lebih demokratik dan
bertanggungjawab – pengguna menyokong peniaga secara berhemat – urusan jual yang dikawal oleh norma agama
dan moral
Kesimpulan: Sesungguhnya, antara peniaga dan pengguna masing-masing saling memerlukan. Tanpa pengeluar
dan peniaga pengguna akan menghadapi masalah keperluan hidup. Demikian pula dengan peniaga, pengguna ialah
nadi dan talian hayat kepada perniagaan mereka. Oleh itu, bertindaklah secara bermaruah bukan menjadi lintah darat
yang memerah keringat pengguna. Sementara itu, pengguna juga hendaklah tahu akan hak-hak mereka bukan
membeli secara membujur lalu melintang patah.
NEGERI SEMBILAN
1. Remaja pada hari merupakan aset negara dan pemangkin kemajuan negara.
Jelaskan ciri-ciri remaja yang berwawasan.
Salah seorang tokoh falsafah Islam yang tersohor, Imam Al Ghazali pernah berkata, “Jikalau kamu mahu
melihat negara pada masa hadapan, lihatlah kepada remajamu pada hari ini”. Kata-kata tersebut memberi inspirasi
bahawa, peranan pemuda pemudi amatlah besar dalam menentukan corak dan masa depan negara. Merekalah yang
akan menjadi penggerak tamadun dan mengambil alih tampuk kepimpinan negara yang akan diwariskan oleh para
pemimpin pada hari ini. Watan tercinta ini akan cukup cerlang dan gemilang cernaan minda dan citra anak-anak muda
yang berwawasan. Bertepatan dengan kata-kata pujangga, “Kejayaan yang jauh beribu-ribu batu itu hendaklah bermula
dengan langkah yang pertama”, membuktikan bahawa wawasan adalah amat penting sebagai prasyarat memajukan
negara. Sesungguhnya, sebagai anak muda, saya harus mengungguli ciri-ciri terpuji remaja yang berwawasan,
berpandangan jauh realistik dan futuristik.
Menyedari amanah besar yang sedang menanti, para remaja perlu memperlengkap diri sebagai orang muda
yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Hal yang demikian itu amatlah penting kerana sifat takwa akan membentuk
diri sendiri agar lebih patuh kepada khaliq. Individu remaja hendaklah melaksanakan segala tuntutan agama dan
meninggalkan segala larangan sebagai wahana melahirkan insan yang istiqamah dengan kualiti iman, amal dan akal budi.
yakinlah bahawa insan yang bertakwa ialah modal insan yang berkualiti dan sentiasa bermotivasi untuk menjadi aset
besar kepada negara. Tanpa iman, diri akan hilang pedoman malah menjadi manusia nanar umpama layang-layang yang
terputus talinya. Oleh sebab itu, sifat takwa juga bakal mengajar insan akan erti perjuangan terhadap watan tercinta
berdasarkan kata-kata dalam peribahasa Arab, “Kasih akan watan adalah sebahagian daripada iman”.
Untuk berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan, para remaja perlulah bersedia memperlengkap diri
dengan pakej, fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang sempurna. Semua pakej asas tersebut amatlah penting dalam hal
membina jati diri remaja alaf baru. Tanpa ketahanan dan jati diri, remaja mudah tewas dalam mengharungi cabaran
kerana usia yang masih muda ibarat darah baru setampuk pinang usia baru setahun jagung. Demi menyahut seruan
negara, para remaja hendaklah mengikuti aura tokoh-tokoh hebat sama ada di peringkat antarabangsa mahupun
tempatan. Ikon anak muda seperti Azizul Hasni, Muqarobin, Zaharif dan ramai lagi harus dicontohi. Sesungguhnya, azam
dan tekad hendaklah diabadikan demi negara, bak kata peribahasa, gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati
meninggalkan belang manusia mati meninggalkan jasa.
Mantan Presiden Indonesia (Sukarno) pernah berkata, “Aku mampu goncangkan dunia ini dengan hanya
sepuluh pria (pemuda) sebaliknya aku akan macet (gagal) walaupun diberikan seribu orang yang sudah tua”.
Menyedari hakikat tersebut, sewaktu usia masih muda para remaja perlu memanfaatkannya sebagai persediaan untuk
berdepan dengan pelbagai cabaran. Falsafah ‘songsang’ muda hanya sekali dan gunakanlah untuk berseronok adalah
sekali-kali tidak sesuai kepada seseorang remaja yang berwawasan. Oleh sebab itu, beberapa prakarsa perlu
diperkasakan seperti memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan, memacu kerjaya dengan kemahiran dan sentiasa
kebal terhadap segala cabaran. Para remaja perlu bangkit untuk mengangkat martabat negara ini agar setanding
dengan negara-negara maju yang lain seperti Luxembourg, Singapura, Jepun, dan Norway. Seandainya jati diri remaja di
negara-negara maju mampu melonjakkan imej negara mereka, seyogia tiada apa-apa yang kurang kepada remaja
Malaysia asalkan hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
Mampu mengenali potensi yang dianugerahi Allah merupakan ciri remaja hebat. Sesungguhnya, Allah itu maha
adil, menganugerahi hamba-Nya dengan pelbagai potensi dan kebolehan. Dalam hal ini, remaja harus sedar dengan
nasihat Nabi SAW bahawa, “Jadilah insan yang tangan di atas kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada
tangan yang di bawah”. Oleh itu, ketika negara berada di ambang menjadi negara maju, potensi dalam bidang kemahiran
22
dan profesional amatlah serasi untuk melahirkan remaja yang berwawasan. Bidang kemahiran seperti kejuruteraan,
inovasi dan ICT wajib diperkasakan sebagai pelengkap kepada aspirasi negara. Tanpa kemahiran, anak-anak muda
tunjang bangsa akan tersisih di bumi sendiri dengan saingan daripada 6.7 juta orang warga asing sedang memenuhi
pasaran kerja di negara ini. Oleh itu, sedarlah dan jangan berpeluk tubuh kelak kita akan terjadi seperti tempelak
peribahasa, ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.
Kesimpulannya, dalam merealisasikan sebuah negara bangsa yang berjaya, maka hakikatnya pemuda dan
pemudilah yang menjadi taruhan. Jatuh bangun atau maju mundur sesebuah negara adalah terletak kepada sejauh mana
ketahanan orang muda telah bersedia untuk menggalas amanah negara. Sebagai anak muda yang memiliki citra
terhadap bangsa dan tanah air, bangunlah dengan azam untuk memajukan negara ini agar setanding dengan negara-
negara maju yang lain. Oleh itu, ketika usia masih muda dan darah masih panas inilah masa untuk para remaja
merealisasikan wawasan terhadap bumi yang dipijak dan langitnya dijunjung..
2. Warga tua merupakan teras masyarakat dan telah banyak berjasa terhadap negara. Oleh itu golongan ini
haruslah dihargai atas jasa dan pengorbanan mereka.
Huraikan usaha-usaha yang patut dilakukan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Pendahuluan : “Warga Emas Teras Masyarakat”. Itulah suatu slogan yang memberikan pengiktirafan atas keberadaan
warga emas di engah-engah masyarakat. Walaupun sebahagian mereka boleh dianggap sebagai Quran buruk, namun
kewujudan mereka banyak memberikan impak positif untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan tahu
membalas budi. Malahan berdasarkan sepotong pepatah Cina yang bermaksud, “Apabila di dalam rumah kamu
tersimpan seorang tua, tahulah bahawa di dalam rumah itu sudah menyimpan suatu barang yang berharga”. Oleh hal
yang demikian, keberadaan warga emas perlu dianggap sebagai suatu rahmat dan hendaklah diberikan penghormatan
pada kedudukan tertinggi. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang
dan hormat akan warga emas.
Isi 1: Kerajaan selaku pemegang amanah negara wajar melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kebajikan
warga emas – warga emas perlu dijadikan komuniti terpilih dan terjaga kebajikan mereka – menyediakan pelbagai
institusi seperti rumah penjagaan dan rumah transit – memperuntukkan biaya makanan dan ubat-ubatan
Isi 2: Agensi kerajaan dan NGO hendaklah menjalankan kempen secara aktif tentang kesedaran menjaga warga
emas – menangani sikap rakyat Malaysia yang kurang prihatin terhadap nasib golongan lemah ini – Jabatan Kebajikan
masyarakat, hospital dan Kementerian Pengangkutan perlu ada dasar yang tegas terhadap keselamatan mereka
Isi 3 : Ibu bapa berperanan menceritakan kehebatan dan sumbangan datuk dan nenek kepada anak-anak – anak
akan faham bahawa kehidupan berkeluarga yang mereka sedang alami adalah hasil daripada pengorbanan induk yang
lebih tua
Isi 4 : Masyarakat harus memupuk kesedaran supaya warga emas perlu tinggal bersama dengan anak-anak –
mengelak nasib buruk warga tua terbiar dan terlantar bersendirian – memupuk kasih sayang dalam kalangan anak cucu –
terjalin perasaan mesra dan hormat
Isi 5 : Generasi muda perlu dididik supaya bersikap merendah diri kepada orang-orang tua – memberi ucapan
hormat dan sedia mendengar cakap golongan tua – elakkan bercerita tentang sejarah silam orang tua terutama tentang
perkara negatif
Kesimpulan : Warga emas ialah insan yang amat banyak meninggalkan jasa kepada generasi masa kini. Segala jerih
payah mereka perlu dihargai dan diberi balasan yang setimpal dengan sumbangan mereka. Biarlah pengorbanan
tersebut terus lestari dengan sikap tahu membalas budi daripada anak-anak dan cucu-cucu. Inilah hakikat hidup dalam
rangkaian generasi dan salasilah keturunan yang tidak putus buat selama-lamanya.
3. Program kitar semula yang disarankan oleh pihak kerajaan banyak mendatangkan manfaat.
Pada pendapat anda, apakah manfaat yang diperoleh daripada program kitar semula.
Pendahuluan: Kempen Kitar Semula telah berlalu melebihi dua dekad. Jika diukur kepada manusia, tempoh itu sudah
mencapai usia remaja dan semakin matang. Malangnya, inovasi kitar semula belum benar-benar menyerap ke dalam
benak dan urat nadi rakyat Malaysia. Sampah dan sisa pepejal terus menjadi liabiliti kepada kesejahteraan sosial. Ketika
kempen kitar semula masih tenggelam timbul, muncul pula ujaran lucu, ‘Surat Khabar Lama’ yang menyelinap masuk ke
merata pelosok negara. Fenomena tersebut membuktikan bahan terbuang terutama kertas dan plastik masih memenuhi
alam sekitar kita. Kitar semula merupakan idea yang cukup baik dan signifikannya amat besar kepada kesejahteraan
23
alam sekitar di samping dapat mengekalkan kualiti kesihatan. Sesungguhnya, banyak lagi manfaat lain, sama ada kepada
alam sekitar, manusia, budaya dan sosial apabila program ini diperkasakan secara berkesan.
Isi 1: Kualiti alam sekitar akan terus terjaga – terhindar daripada masalah longgokan sampah-sarap – terhindar
daripada bencana pencemaran bau dan mencacatkan pemandangan - keindahan alam terjaga bersih dan cerlang –
kehidupan lebih sihat dan sejahtera
Isi 2: Dapat mengurangkan tragedi malapetaka seperti banjir, kebakaran dan pemanasan – pembuangan sampah
tanpa sistem menyebabkan longkang dan sungai tersumbat, cetek dan menyekat aliran – kebakaran tempat pelupusan
sampah mengakibatkan pelepasan gas beracun – mengundang pelbagai penyakit berbahaya
Isi 3: Meminimumkan eksploitasi sumber baharu – banyak bahan terpakai yang boleh diproses semula –
memaksimumkan potensi penggunaan bahan mentah terpakai – mengurangkan penerokaan sumber baharu seperti
pembalakan dan perlombongan – hasil mahsul negara boleh dimanfaatkan dalam jangka masa yang panjang
Isi 4: Kitar semula sebagai satu sektor industri hiliran/industri kecil dan sederhana (IKS) - bahan terbuang boleh
diproses semula – suatu industri yang inputnya rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi – mengurangkan barangan
import - mewujudkan peluang pekerjaan
Isi 5: Strategi terbaik menarik kedatangan pelancong – mengambil contoh negara-negara maju di Eropah dan Jepun
yang amat mementingkan aspek kebersihan sebagai produk pelancongan – Norway sebuah negara maju yang amat
terkenal dengan jolokan negara sifar sampah – alam sekitar terkawal, pemandangan cantik, udara bersih hidupan flora
dan fauna segar dan sihat
Kesimpulan: Dalam kata-kata bijaksana, “Sayangilah bumi ini kerana bukan kamu warisi daripada generasi terdahulu,
sebaliknya kamu pinjam daripada generasi akan datang, justeru yang meminjam mesti menjaga barang yang dipinjami”.
Seandainya falsafah ini direalisasikan dengan penuh bertanggungjawab, nescaya program kitar semula bakal memberi
natijah yang berlipat ganda.
4. Bencana alam seperti tanah runtuh, kemarau dan gempa bumi sering melanda dunia akhir-akhir ini.
Huraikan peranan yang dapat dilakukan oleh Malaysia untuk membantu negara-negara yang ditimpa
bencana tersebut.
CATATAN: Sila rujuk jawapan penuh soalan ini dalam modul saya edisi 2015. 2016 dan 2017.
MELAKA
1. Sebagai tokoh murid, anda diundangkan untuk memberikan syarahan tentang masalah sosial yang
melanda remaja pada hari ini.
Tulis teks syarahan tersebut dengan memberikan fokus pada punca-punca berlakunya masalah ini.
CATATAN: Soalan ini kurang menepati aras KBAT kerana tiada pemberatan penyelesaian masalah.
2. Cuti sekolah yang panjang digunakan oleh ibu bapa untuk menghantar anak-anak mengikuti program-
program berbentuk akademik dan sahsiah. Hakikatnya cuti sekolah merupakan waktu terbaik untuk
merapatkan hubungan antara ahli keluarga.
Bincangkan peranan ibu bapa bagi memanfaatkan cuti sekolah anak-anak untuk merapatkan hubungan
kekeluargaan.
3. Kestabilan politik, ekonomi dan sosial menjadi faktor tarikan kemasukan pelancong asing ke negara kita.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk membantu perkembangan industri pelancongan
negara.
24
CATATAN: Sila rujuk sampel jawapan lengkap soalan ini dalam modul saya edisi 2017, ms 55.
4. Isu kemiskinan telah menjadi masalah global yang mengancam sebahagian negara di dunia. Sebagai
sebuah negara yang dipandang tinggi oleh negara luar, Malaysia telah mencadangkan beberapa langkah
untuk menangani masalah tersebut.
Jelaskan cadangan-cadangan yang boleh dikemukakan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan isu
kemiskinan.
Pendahuluan: Kemiskinan ialah malapetaka kemanusiaan. Kemiskinan menjadi rantaian yang bertali-temali
membelenggu manusia dalam kesengsaraan dan penderitaan. Kemiskinan telah menjadi duri dalam daging yang
menghalang manusia bangkit mencipta tamadun, budaya dan ilmu. Berdasarkan kajian, terdapat tiga puluh buah negara
yang berada di bawah paras paling miskin di dunia dengan dua puluh buah daripadanya terletak di benua Afrika.
Malapetaka kemanusiaan seperti kebuluran, kematian, pergaduhan terus merebak di negara-negara tersebut. Tragedi
menyayat seperti ini tidak sewajarnya terjadi dalam era pascamilenium ini. Di sebalik jutaan kanak-kanak bangkai
bernyawa yang sedang menunggu saat kematian, bertan-tan makanan dimusnahkan begitu sahaja di beberapa buah
negara yang kaya raya. Ironinya, mengapakah tiada suara pejuang kemanusiaan yang bangkit untuk menyelamatkannya?
Sesungguhnya, inilah malapetaka dunia. Sesungguhnya, sebagai masyarakat prihatin yang amat terkesan dengan
fenomena ini, Malaysia seharus mengambil inisiatif untuk menggerakkan dunia sejagat agar segera menangani bencana
kemiskinan sejagat ini.
Isi 1: Mengelak krisis politik dan ketenteraan yang tiada kesudahan – memusnahkan harta benda dan
mengorbankan jiwa – amat rumit untuk membangunkan semula sesuatu tamadun yang telah musnah – kembalilah
kepada fitrah manusia untuk hidup berkasih sayang
Isi 2: Kuasa besar hendaklah lebih bertanggungjawab dan lebih bermoral – tidak menjadikan negara-negara lemah
sebagai proksi untuk meluaskan pengaruh dan kuasa
Isi 3: Negara-negara kaya dan negara perindustrian perlu memperluas misi pelaburan – membuka industri di
negara-negara yang relatifnya miskin - negara miskin yang situasi politiknya lebih stabil – boleh menyediakan peluang
kerja – membantu mengeksploitasi hasil mahsul tempatan untuk dikomersialkan
Isi 4: Badan dunia khususnya PBB hendaklah mengambil inisiatif yang lebih tegas untuk mendamaikan pihak
yang bertelingkah – kemiskinan yang melanda negara-negara Afrika sebahagian besarnya berpunca daripada krisis
politik dan peperangan saudara
Isi 5: NGO di peringkat global haruslah lebih serius memperjuangkan tema membasmi kemiskinan dalam
kalangan warga dunia – membawa misi keamanan dan kasih sayang ke peringkat PBB – bertemu pemimpin dunia
untuk memujuk mereka agar lebih mengutamakan kemanusiaan daripada kuasa dan pengaruh – misi bantuan makanan,
ubat-ubatan dari negara kaya hendaklah disalurkan
Kesimpulan: Peribahasa ada menyatakan, sepanjang-panjang jalan yang berliku tetap ada penghujungnya.
Sesungguhnya, tiada masalah yang tidak boleh diungkai dan demikianlah dengan krisis kemiskinan dunia. Dunia yang
terhampar luas ini cukup makmur dengan hasil mahsul, namun komitmen semua pihak untuk mewujudkan keamanan
sejagat amatlah menyedihkan. Tanpa keamanan yang mutlak krisis kemiskinan tidak akan selesai hinggalah dunia kiamat.
5. Bakat, minat dan kreativiti merupakan sebahagian daripada kriteria untuk melahirkan penulis karya
sastera yang berkualiti.
Berikan pendapat anda.
PERAK
1. Setiap pelajar pasti mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) demi
masa depan yang gemilang.
Berikan pendapat anda tentang persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan sebelum melanjutkan
pelajaran ke IPT.
Pendahuluan: Meminjam kata-kata besar daripada Saiyidina Ali KW, “Berjual belilah olehmu akan ilmu kerana ilmu akan
bertambah apabila diperdagangkan, sebaliknya harta akan berkurang apabila diperdagangkan. Ilmu menjaga kamu dan
kamu menjaga harta”. Tafsiran daripada falsafah tersebut menunjukkan bahawa ilmu merupakan modal niaga kehidupan
25
yang amat bernilai. Semakin tinggi ilmu di dada semakin tinggilah martabat seseorang itu. Oleh sebab itu, setiap anak
muda wajar sekali menyimpan iltizam untuk sampai ke puncak ilmu di menara gading. Walau bagaimanapun, ilmu tidak
semudah kata-kata yang diucapkan, ilmu harus digali dan diteroka, justeru cukup banyak pengorbanan dan persediaan
yang mesti dilakukan sebelum kaki membuka langkah pertama ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Isi 1: Persediaan mental dan psikologi – ketahanan mental psikologi menjadi prasyarat mutlak kelayakan ke IPT – perlu
lulus dengan cemerlang dalam semua peringkat peperiksaan – beroleh gred mata timbunan tertinggi sebagai syarat
memasuki kursus-kursus yang ditawarkan
Isi 2: Perlu gigih belajar – belajar merupakan jihad (kaitkan dengan maksud sepotong Hadis, Tuntutlah ilmu walau
hingga ke negeri Cina sekalipun) – memerlukan ketajaman minda dan emosi – sanggup bersengkang mata dan
mengerah otak
Isi 3: Mesti kenal pasti bidang yang sesuai dengan minat dan kebolehan – senang membuat persediaan – minat
menjadi motivasi untuk berusaha lebih gigih – tahu matlamat dan cita-cita yang hendak ditujui – tidak kecewa dan terus
gagal apabila tersalah pilih bidang di IPT
Isi 4: Berusaha mendapat nasihat pakar – memperoleh maklumat yang tepat – berbincang dengan guru, kaunselor
atau ahli keluarga yang telah berjaya – nasihat dan bimbingan yang diberi boleh dijadikan garis panduan untuk ke IPT
Isi 5: Merancang dan mengenal pasti sumber kewangan – kewangan menjadi nadi penting semasa di IPT – mencari
maklumat tepat tentang sumber dana seperti PTPTN, sumber penajaan, pinjaman daripada institusi kewangan –
tabungan sendiri, peribahasa sediakan payung sebelum hujan
Kesimpulan: Kejayaan sampai ke IPT merupakan matlamat akhir paling manis dalam sejarah pendidikan seseorang.
Selain kepuasan dalam aspek mental dan emosi, kejayaan ke IPT menjadi jaminan untuk hidup senang-lenang apabila
dewasa. Tawaran gaji yang lumayan dan persekitaran kerja yang kondusif akan melonjakkan prestasi kerja seseorang.
Oleh itu, semasa di bangku sekolah, individu hendaklah bijak menentukan hala tuju masa depannya dengan meneroka
jalan hidupnya di IPT.
2. Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini dikatakan kian luntur.
Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ahli keluarga untuk memupuk semangat kejiranan.
CATATAN: Saya gantikan soalan ini dengan soalan alternatif dimensi masyarakat
Amalan positif kejiranan seperti budaya tegur-menegur dan semangat bergotong-royong semakin pupus dalam
kalangan masyarakat.
Huraikan langkah-langkah untuk mengembalikan budaya tersebut dan kebaikannya (Ruj. Teks Tkn 4, Unit 1 Bhg
2).
Pendahuluan : Kita hidup sandar-menyandar, bak aur dengan tebing. Kita sentiasa berpegang dengan amalan murni
budaya lama ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah dan hati kuman sama dicecah.
Kehidupan seperti inilah yang bakal menjanakan sebuah masyarakat yang prihatin, dinamik, dan progresif. Walau
bagaimanapun, akibat perubahan zaman yang dibelenggu dengan hambatan mengejar kerjaya dan kehidupan yang
semakin kompleks, manusia mula mengabaikan tradisi mulia itu. Kini kehidupan dirasakan terlalu rumit, merimaskan dan
tiada roh kesejahteraan. Demi menjadikan kehidupan kita lebih bermakna, seyogialah kita kembalikan semula amalan
lama tersebut dengan menyuburkan budaya tegur-menegur dalam kalangan masyarakat.
Isi 1 : Menghidupkan semula tradisi masyarakat silam – masyarakat silam terlalu kuat ikatan kejiranan dan kasih
sayang – menyuburkan tradisi kunjung-mengunjungi - tradisi bergotong-royong, unjuk-mengunjuk, memberi dan
menerima hendaklah diperkasakan dalam masyarakat (sedikit tanda ingat dan banyak tanda ada)
Isi 2 : Berusaha memupuk persefahaman dan saling hormat sesama jiran tetangga – jiran ibarat saudara mara
sendiri - sentiasa bersama dalam menghadapi sebarang masalah besar atau kecil - tidak membezakan status dalam
masyarakat – tiada perbezaan pangkat, miskin atau kaya - amalan menegur kesalahan dengan nasihat secara ikhlas –
amalkan tanggungjawab anakku anakmu dan anakmu anakku
Isi 3 : Mengembalikan tradisi secara contoh dan teladan - kalangan berpengaruh dalam masyarakat hendaklah
menjadi rol model -ibu bapa mengajarkan anak-anak cara-cara menghormati orang yang lebih tua –golongan tua dan
berpengalaman sentiasa dijadikan pakar rujuk -pemimpin sentiasa mendekati rakyat – sentiasa berinteraksi secara sopan,
jujur, dan telus
Isi 4 : Saling membantu dan menyokong dalam urusan harian – boleh memperkukuh jalinan kejiranan - golongan
berada sentiasa menjadi tempat merujuk golongan miskin manakala yang miskin menghormati dan menyokong yang
berada - mengadakan jamuan dan kenduri – tidak mengukur nilai kebendaan tetapi ikhlas sebagai paksi perhubungan
mesra
26
Isi 5 : Berusaha menghidupaktifkan institusi masyarakat – sebagai landasan untuk anggota masyarakat berinteraksi
– mengaktifkan program surau, masjid, rukun tetangga dan persatuan penduduk – mengambil bahagian secara aktif
dalam program sukarela – menjadi institusi untuk melahirkan pemimpin pelapis
Kesimpulan : Walaupun amalan tradisi nenek moyang itu semakin terhakis dalam kehidupan masyarakat global, namun
rohnya masih dirasai oleh sebahagian masyarakat di pedalaman. Oleh hal yang demikian, amalan yang sudah lama
menjadi darah daging masyarakat itu tidak wajar diabaikan semata-mata merasai kehidupan kini sudah terlalu selesa.
Ingatlah hidup kita sandar-menyandar, bak aur dengan tebing, ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, biar sedikit
tanda ingat banyak tanda ada.
3. Bangunan lama atau bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan
datang. Anda ingin menulis sebuah rencana bertajuk “Kepentingan Bangunan Bersejarah kepada
Negara”.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.
PERINGATAN: Soalan ini telah keluar dalam SPM 2012, soalan A Karangan Rangsangan.
4. Pergolakan yang berlaku di beberapa buah negara di dunia telah menggugat keamanan dan kesejahteraan
masyarakat.
Huraikan kerjasama yang boleh dilakukan oleh pemimpin negara untuk menjamin keamanan di beberapa buah
negara di dunia.
5. Penggiat sastera atau sasterawan merupakan golongan yang banyak berjasa kepada pembangunan
negara.
Bincangkan langkah-langkah untuk mengiktiraf golongan penggiat sastera di negara kita.
CATATAN: Soalan ini telah ditanya dalam SPM 2016.
PERLIS
1. Disiplin diri merupakan pemangkin kejayaan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Bincangkan
CATATAN: Soalan yang berkaitan dengan isu disiplin pernah keluar dalam SPM 2010. Sebagai
ganti , saya masukkan semula sampel karangan cemerlang saya dalam format ceramah yang
boleh dipetik di dalam modul saya Edisi 2015. Semoga memberi manfaat.
“Disiplin Sebagai Teras Kejayaan”. Demikianlah sebuah tajuk pidato yang telah anda sampaikan dalam satu
pertandingan pidato di peringkat sekolah anda.
Tulis semula teks pidato itu selengkapnya.
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati Pengacara Majlis. Tuan-tuan Panel Hakim yang sentiasa peka dengan misi keadilannya. Yang mulia,
Tuan Pengetua dan seterusnya guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang dihormati sekalian.
Hadirin sekalian,
Pada waktu ini saya sedang berdiri di hadapan saudara dan saudari. Hadirin sekalian begitu setia untuk
menghayati setiap kata yang bakal saya titipkan. Kita bersama-sama menghayati suatu wadah keilmuan dalam suasana
yang tenang dan harmoni. Peserta, masing-masing dapat berhujah dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing.
27
Soalannya, mengapakah kita mampu mewujudkan situasi yang sedemikian rupa? Semuanya terjawab dengan sendirinya
kerana kita masih mempertahankan disiplin yang baik, saling membantu dan saling menyokong. Lantas, hadirin sekalian
marilah bersama-sama saya kita lunasi suatu wacana yang bakal saya hidangkan kepada anda dengan mauduk wacana
saya, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Hadirin sekalian,
Disiplin Teras Kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang
betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Justeru, disiplin menjadi jurupandu untuk
seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita.
Pesan orang tua-tua, “Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal”. Segala-galanya
perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul.
Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-tokoh yang
terkemuka. Kejayaan yang telah dikecap oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang
keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam
usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat
tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan
sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi.
Rakan-rakan sekalian,
Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab boleh membantu kita
mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan longlai, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai.
Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri, memilih segala-gala yang baik
dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri anda, merancang masa dan mengurus personel yang
baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam
perancangan yang teliti. Inilah sumber orang-orang yang pasti berjaya.
Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, rutin harian yang terancang, dan sentiasa
meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah! Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa
yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata berceloteh dalam SMS? Tanpa disiplin, berapakah lama
masa yang berlalu dengan hanya asyik berserakan dengan rakan-rakan? Semakin lama kita melayani perkara-perkara
yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita telah membazir masa dan usia, bak
seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.
Saudara dan saudari,
Peribahasa menyatakan, meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah jangan ditolak, rezeki
harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, uruslah disiplin
dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mesti kepada tokoh-tokoh yang telah berjaya. Merekalah yang menjadi idola kita.
Gerak dan langkah mereka, cara berfikir dan cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan. Mereka yang
telah berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap
kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat.
Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu berhati-hati kerana dalam
setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan
pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang tidak berdisiplin sentiasa berdamping dengan program-program
yang tidak berfaedah. Berwaspadalah terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-
rakan yang tidak mempunyai matlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dengan kegiatan negatif seperti melepak,
berpelesiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang menunggu untuk menjerat kita.
Raka-rakan seperjuangan sekalian,
Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik kita untuk
mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau inginkan kejayaan,
berpeganglah kepada falsafah, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Sekian terima kasih.
2. Sebagai ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa memberikan sumbangan yang bermakna
demi kemajuan sekolah.
Huraikan sumbangan-sumbangan tersebut.
Pendahuluan: Perihal kemenjadian pelajar sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah menjadi
matlamat akhir sekolah. Semua guru beriltizam untuk melahirkan murid yang serba boleh, terampil dan kebolehpasaran.
28
Walaupun tanggungjawab membentuk personaliti pelajar menjadi tugas profesional guru, namun pihak lain turut
berperanan untuk menyokong segala usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah. Dalam hal ini ibu bapa melalui saluran
PIBG memainkan peranan penting untuk menyokong pihak sekolah meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah murid.
Amat banyak sumbangan yang boleh diberikan oleh ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak, dalam bentuk
kebendaan mahupun moral. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya tidak lokek menyumbangkan sumbangan mereka kepada
pihak sekolah.
Isi 1: Ibu bapa menjadi sumber dana yang membantu perbelanjaan pelbagai program – sebagai modal asas
melaksanakan sesuatu program koakademik - sumbangan ibu bapa sama ada dalam bentuk yuran berjadual atau adhoc
banyak membantu menyelesaikan masalah kewangan sekolah – sekolah-sekolah terkemuka di bandar seperti sekolah-
sekolah beraliran Cina selalu mendapat suntikan kewangan yang besar daripada ibu bapa
Isi 2: ibu bapa menjadi enjin kedua penjana kecemerlangan – menyokong semua aktiviti di sekolah – memberi
dorongan, motivasi dan nasihat kepada anak-anak – pembekal maklumat primer tentang peribadi dan potensi anak-anak
– berkongsi masalah dan menyelesaikan masalah anak-anak dengan para guru
Isi 3: Menjadi mata dan telinga terhadap segala gerak geri anak-anak – menyampaikan segala maklumat tentang
kegiatan negatif anak-anak pada waktu luar persekolahan – menjadi panel PIBG dalam membincangkan segala hal
berkaitan pelajar
Isi 4: Menjadi delegasi rasmi dalam perjumpaan tahunan (Mesyuarat Agung PIBG) – membawa segala usul untuk
diperdebatkan – memberi sokongan secara kolektif tentang segala resolusi untuk kemenjadian akademik anak-anak –
mengambil bahagian aktif dalam sebarang program anjuran PIBG (hari sukan, kokurikulum dan program kecemerlangan
akademik)
Isi 5: Rakan kongsi dalam perkongsian pintar akademik dengan guru-guru – kalangan ibu bapa yang profesional,
tokoh akademik, tokoh sosial dan pemimpin tempatan sentiasa membantu para guru – sekolah memperoleh tenaga pakar
dan profesional yang percuma
Kesimpulan: Sekolah juga sebagai sebuah institusi masyarakat sudah sewajarnya memperoleh suntikan daripada
pelbagai pihak untuk meningkatkan kecemerlangan murid. Ibu bapa hendaklah sedar bahawa sumbangan mereka
amatlah ditagih oleh pihak sekolah. Tanpa sokongan padu daripada ibu bapa banyak kerenah yang dibawa oleh anak-
anak remaja ke sekolah boleh menjadi duri dalam daging yang menggagalkan Pelan Transformasi Pendidikan Nasional.
3. Alam sekitar yang berkualiti menjamin kesejahteraan hidup manusia.
Ulaskan pernyataan tersebut.
CATATAN: Soalan berkaitan isu alam sekitar telah keluar dalam SPM 2016, soalan nombor 4
4. Kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat agar melakukan inovasi iaitu penghasilan produk baharu dan
perkhidmatan yang lebih baik.
Jelaskan kepentingan-kepentingan inovasi kepada rakyat dan negara.
Pendahuluan: Memetik kata-kata daripada peribahasa, sungai yang terus mengalir airnya pun jernih. Apabila
mengambil tamsil daripada peribahasa tersebut jelas menunjukkan sesebuah kehidupan yang sentiasa bermobiliti sama
ada berfikir dan bertindak justeru banyaklah positifnya. Sebagai bangsa yang sedang mengorak langkah untuk setanding
dengan negara-negara yang telah tersohor, perihal anjakan paradigma dan inovasi amatlah mustahak dijanakan oleh
rakyat Malaysia. Tanpa iltizam untuk berfikir dan bertindak secara bijaksana kita akan terus terperap bagai katak di
bawah tempurung. Oleh itu, dalam bidang ekonomi juga, kerajaan sentiasa memberikan galakan kepada rakyat agar lebih
berinovasi dalam setiap produk kerana inovasi dapat memberikan impak atau hasil yang berganda selain boleh bersaing
dalam pasaran global.
Isi 1: Inovasi dapat meningkatkan kualiti produk – kualiti menjadi pilihan dan sesuai dengan cita rasa manusia yang
mahukan idea-idea baharu – inovasi membuka laluan persaingan yang sihat – perlu sentiasa menjalankan penyelidikan,
rajin berfikir dan berusaha – boleh melahirkan rakyat Malaysia yang kreatif
Isi 2: Inovasi meningkatkan daya saing – daya saing penting kerana dapat mencetuskan idea-idea baharu yang lebih
segar – semua pihak berkaitan seperti institusi pengajian tinggi, pakar-pakar penyelidik dan agensi kerajaan sentiasa
mencari idea-idea baharu (contoh penghasilan pelbagai jenama – makanan, pakaian, kenderaan dan sebagainya)
Isi 3: Inovasi sentiasa berusaha mencapai kualiti standard antarabangsa dan bertaraf eksport – sesuai dalam
pasaran terbuka yang dikuasakan oleh teknologi maklumat – semua produk boleh diakses dalam pasaran maya – (ambil
contoh inovasi oleh Lazada, Zalora dan banyak lagi agensi pengiklanan maya)
29
Isi 4: Mencetuskan idea-idea baharu yang sentiasa berkembang selaras dengan perkembangan pasaran abad
milenium – idea-idea baharu sentiasa merangsang minat pengguna untuk mencuba – idea baharu juga sentiasa
mengutamakan kualiti – idea baharu perlu mewujudkan jaringan kerjasama dan saling bersaing secara sihat.
Isi 5: Memaksimumkan idea dan sentuhan pakar – inovasi memerlukan pemikiran bertaraf tinggi, penyelidikan (R & D)
– tenaga pakar dari IPT, pereka fesyen, cef terkenal dan broker pasaran sentiasa berganding bahu
Kesimpulan: Persaingan dalam dunia terbuka tidak dapat dielakkan lagi. Kerancakannya tercetus lebih-lebih lagi dengan
pencapaian hebat dalam aplikasi teknologi maklumat seperti Facebook, WhatsApp, Twiter dan Instagram. Semua inovasi
mudah alih teknologi maklumat itu menuntut rakyat Malaysia juga sentiasa cakna untuk berubah seiring dengan revolusi
dunia siber. Oleh itu, idea inovasi dan kreativiti hendaklah dijadikan landasan untuk melahirkan rakyat yang berdaya saing,
produktif dan kebolehpasaran di persada antarabangsa.
5. Sesebuah karya sastera yang bermutu akan menarik minat masyarakat untuk membaca karya tersebut.
Bincangkan.
CATATAN: Soalan ini pernah ditanya dalam SPM tahun??
SBP
1. Bersempena dengan persaraan pengetua sekolah anda, pihak sekolah telah mengadakan majlis
perpisahan. Selaku wakil pelajar, anda dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Tulis teks ucapan anda selengkapnya.
Assalamualaikum dan salam sejahtera’
Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Geliga, Tuan Haji
Ramli Bin Mohamad Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Atas
limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasih, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya
kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Geliga. Kita sangat bertuah dan
bersyukur kerana di sekolah inilah tempat anak-anak didik mencipta masa depan dan sebagai tempat guru-guru
mengatur langkah dan strategi pembelajaran
Hadirin sekalian,
Mengalir sungai menuju muara
Air jernih genang-genangan
Sama berada sama bermesra
Apabila pergi terpahat kenangan
Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk insan istimewa, Tuan Haji Ramli bin
Mohamad Zaini yang telah banyak menaburkan budi di alma mater yang bertuah ini. Seuntai pantun yang berat
untuk saya ungkapkan, namun demikian itulah hakikatnya, bertemu dan berpisah sudah adat manusia biasa.
Hadirin sekalian,
Sebelum menelusuri lebih jauh, terlebih dahulu saya mengambil peluang untuk mengimbau semula
sejarah lima tahun Tuan Pengetua di sekolah ini. Kali pertama beliau menjejaki kaki pada 16 Disember 2012, kini
jejak-jejak terakhir beliau bersama-sama kita semakin hampir. Beliau bersama-sama kita selaku ketua pentadbir,
selaku guru, selaku ayahanda, selaku rakan dan teman ketika warga sekolah berada dalam susah mahupun
senang. Indahnya lima tahun atmosfera SMK Geliga berada di bawah seliaan seorang insan berdedikasi yang
cukup cakna terhadap semua kerenah dalam alam pendidikan. Tradisi kecemerlangan sama ada akademik,
koakademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah insan pelajar terus gemerlap dan terpancar ke serata pelosok
alam. Kami kagum dan kami bangga. Terima kasih Tuan Pengetua.
Hadirin yang dihormati sekalian,
30
Dalam aspek akademik, Tuan Pengetua cukup mengambil berat akan prestasi pelajar. Jika boleh beliau
tidak mahu seorang pun yang gagal dalam mana-mana mata pelajaran. Beliau rajin memantau dan selalu
berkongsi sesi pembelajaran dengan guru-guru di dalam kelas. Beliau sudi menjenguk ke dalam kelas semasa
sesi pembelajaran berjalan. Dalam bahasa yang lembut sopan beliau melangkah masuk setelah memperoleh
keizinan daripada guru yang sedang mengajar. Waduh! Inilah situasi yang kami tidak dapat lupakan sama sekali.
Mesranya Tuan Pengetua dengan anak-anak didik, kasih sayangnya jelas terpancar daripada raut wajah yang
tenang dan mudah senyum. Tidak hairanlah, rata-rata dalam kalangan murid senang menyapa beliau dengan
panggilan ayahanda. Terima kasih ayahanda! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang
tidak bertepian .
Rakan-rakan sekalian,
Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak
sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kami dididik menjadi insan serba boleh dalam
bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta motivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada
yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat
dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di
negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita
amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan.
Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang. Sesungguhnya, semua
kejayaan tersebut menjadi tanda aras iltizam Tuan Pengetua yang memimpin dan memantau semua program .
Hadirin sekalian,
Mewakili pelajar tingkatan V yang akan berhadapan dengan peperiksaan SPM tidak beberapa hari lagi,
saya amat terharu dan bangga namun tiada mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun
tingkah laku. Besar sungguh jasa pihak sekolah, khususnya dengan bimbingan dan tunjuk ajar ayahanda
menjadikan guru-guru cukup istiqamah mengajar. Pelbagai program kecemerlangan yang diadakan, sama ada di
dalam mahupun di luar sekolah telah menatijahkan keyakinan yang tinggi untuk kami melangkah ke gerbang
SPM. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap Tuan Pengetua dan guru-guru sebagai ibu dan
ayah. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat
prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang
melainkan SMK Geliga, ayahanda dan guru-guru tetap kekal di lubuk hati. Izinkan kami mengambil segala
inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan. Ingatlah rakan-rakan, jangan sekali-kali kita menjadi
kacang lupakan kulit sebaliknya kita ibarat tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Dalam jejak-jejak terakhir ayahanda melangkah pergi yang pasti diiringi dalam deraian air mata,
terasakan sebak di dada untuk melepaskan kasih dan rindu kita. Selepas ketiadaan kelibat beliau pasti rasa rindu
dan kehilangan akan bertandang di benak kita. Marilah kita berdoa agar insan hebat yang sangat kita sayangi
terus berada dalam peliharaan Allah, sihat fizikal, cerdas minda dan tenang emosi. Semoga ayahanda terus
berbahagia pada hari-hari mendatang di samping keluarga dan sahabat taulan. Insya-Allah nama ayahanda tidak
hilang di sini dengan terabadinya nama dewan yang penuh bersejarah ini dengan nama DEWAN HAJI RAMLI.
Tahniah dan syabas ayahanda!
Hadirin sekalian,
Berat hati dan longlai langkah untuk saya menutup ucap bicara ini Lipatan sejarah yang telah ternukil
sepanjang dididik di sini hasil kombinasi cendekia Tuan Pengetua dan guru-guru terus menjadi usikan kenangan.
Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi tuan-tuan tetap dikenang bak budi setahun segunung intan.
Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada ayahanda dan semua guru. Izinkan
saya menutup bicara ini dengan serangkap pantun,
Burung terbang melintas sempadan
Terbang menuju muara segara
Biar jauh berbilang lautan
Sebutir katam menjadi mutiara
Sekian terima kasih.
31
2. Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan
kebejatan institusi keluarga.
Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut.
Tragedi haruan makan anak, kanak-kanak mati didera oleh ibu atau ayah kandung dan anak-anak yang terbiar
terlantar bukan lagi isu asing di negara ini. Kisah-kisah sadis ini sering menjadi ‘hiasan’ muka depan akhbar arus perdana
dan seolah-olah tiada penghujung. Sebak dada apabila melihat anak kecil terbujur kaku dek perbuatan manusia yang
bertopengkan syaitan. Ironi sungguh, anak-anak yang sepatutnya menjadi permata hati akhirnya terpaksa berdepan
dengan kehidupan yang amat menyeksakan. Semua fenomena tersebut telah memusibahkan pelbagai impak negatif
jangka panjang apabila anak-anak mula membawa diri dan terdedah kepada kebejatan moral seperti pergaulan bebas,
vandalisme dan lari dari rumah. Semua fenomena ini ibarat sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan, justeru
institusi keluarga hendaklah kembali ke landasan asal mengambil tanggungjawab menangani masalah sosial yang
semakin membarah kini.
Institusi keluarga yang ditunjangi oleh ibu dan ayah sudah sewajarnya kembali kepada fitrah bahawa jodoh
pertemuan mereka adalah berpaksikan kasih sayang. Kasih sayang ialah sifat bagi Rabb yang dipinjamkan kepada
manusia agar manusia dapat merasai sebuah kehidupan bagaikan di syurga. Daripada adunan kasih sayang itulah
lahirnya zuriat. Sedarlah bahawa zuriat ialah darah dan daging sendiri, masakan boleh diapa-apakan. Seandainya fitrah
ini bertunjang kukuh di dalam hati nurani, justeru nikmatnya akan melimpah kepada anak-anak. Betapakah akan berlaku
krisis anak lari dari rumah, bergelandangan dan memilih rakan yang salah sekiranya fitrah nurani fizikal, mental dan
emosi mereka mendapat belaian yang cukup daripada ibu bapa? Jawapannya, anak-anak seperti ini akan sempurna dan
seimbang sahsiah mereka. Sesungguhnya, ingatlah kepada kata-kata Imam Al Ghazali bahawa, “Anak-anak yang diajar
erti berkasih sayang sentiasa belajar untuk memaafkan orang lain”.
Amalan nilai murni dan segala sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh para Nabi dan golongan soleh elok dijadikan
garis panduan dalam kehidupan berkeluarga. Hamparan kasih sayang, raut belai, nasihat dan hemah dalam berbicara
amat penting diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Semua elemen ini harus dipelopori oleh ibu bapa agar terbentuk iklim
mawaddah dalam keluarga. Anak-anak akan berasa mereka benar-benar disayangi dan sebagai balas tidak tergamak
untuk menconteng arang ke muka ibu bapa. Dalam kalangan abang dan kakak tanami mereka perasaan
bertanggungjawab supaya cakna terhadap adik-adik. Inilah yang dikatakan keluarga dalam iklim ‘Rumahku Syurgaku’.
Dapatkah kita bayangkan, apakah mungkin akan berlaku kepada seseorang anak untuk lari membawa diri seandainya
dari kecil merasai kehidupan di dalam rumah tangga bagaikan syurga? Oleh itu, penyelesaian yang telah ditunjukkan
dalam kaedah mendidik anak-anak yang berpaksikan agama dan moral hendaklah dijadikan pedoman kerana air yang
jernih di hulu, justeru di muara pun tetap jernih.
Keredaan juga harus dicari dalam perkara berkaitan dengan rezeki, makan minum dan semua perkara dalam rumah
tangga. Tanpa membezakan mana-mana agama mahupun budaya, tiada suatu pun kepercayaan, bahawa sesuatu yang
bermula dengan yang haram boleh menatijahkan kebaikan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sangat tegas
dalam perkara haram dan halal yang dibatasi oleh agama. Memetik kata-kata dalam Firman Allah, yang mafhumnya,
“Barang sesuatu pada tubuhnya yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka yang lebih utama kepadanya ialah api
neraka”. Inilah terminologi utama yang menentukan kelahiran zuriat sama ada membawa rahmat atau musibah. Perkara-
perkara yang haram dan subahat apabila menjadi kebiasaan dalam rumah tangga sudah tentu akan menjadi virus untuk
merosakkan minda dan akhlak anak-anak. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah berwaspada terhadap unsur halal dan haram,
ibarat adat bersendi hukum, hukum bersendikan kitabullah.
Dalam abad milenium ini juga, ibu bapa haruslah lebih peka terhadap perubahan massa. Ibu bapa hendaklah celik
maklumat, celik teknologi dan sensitif terhadap segala perubahan sosial. Keengganan sesetengah ibu bapa untuk
bersama-sama anak-anak meneroka perubahan semasa pasti akan terbina jurang yang dalam antara mereka. Kedapatan
ayah yang terlalu angkuh dengan status quo mereka seolah-olah anak-anak tidak mengetahui apa-apa. Seandainya
perkara ini terjadi yakinlah bahawa tidak lama kemudian ibu atau bapa akan menjadi mangsa penipuan oleh anak-anak
sendiri. Ibu bapa pada zaman ini perlu mengiktiraf anak-anak terlalu pantas menguasai teknologi, justeru mereka perlu
didekati, dibimbing dan berkongsi maklumat secara sihat. Isu-isu pergaulan bebas, sumbang mahram dan haruan makan
anak kerap terjadi apabila ibu bapa jahil akan perkembangan maklumat digital dan ICT. Unsur-unsur pornografi, seks
bebas dan bersekedudukan boleh diakses dengan begitu meluas hanya melalui akses telefon pintar. Oleh itu, pantaulah
anak-anak dengan cara mendekati mereka dan ingatlah akan pesan Rasulullah, “Bahawa zaman anak-anak bukan
zamanmu”.
32
Selain itu, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga terdekat haruslah berkolaborasi dalam memantau kelibat anak-anak.
Keluarga yang dimaksudkan bukan sekadar keluarga nukleus, sebaliknya meliputi keluarga luas yang ada hubungan
kerabat dan darah daging. Situasi pada hari ini amatlah ironi apabila dalam keluarga sendiri pun wujud jurang seperti
tidak bertegur sapa dan mementingkan diri sendiri. Sepatutnya dalam kalangan ibu bapa tidak boleh terlalu eksklusif
bahawa anak-anak mereka tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak hatta ibu atau bapa saudara sekalipun. Inilah
malapetaka yang sedang melanda institusi keluarga abad moden apabila pengaruh kebendaan terlalu menguasai
kehidupan. Masing-masing percaya dengan kebendaan mereka tidak perlu saling bergantung kerana semua keperluan
sudah tersedia. Sayang seribu kali sayang, material bukan penyelamat kepada anak-anak. Akhirnya berlakulah krisis
anak-anak yang biadab, pembawa onar dan vandalisme apabila mereka berasa bebas di belakang ibu atau bapa.
Sesungguhnya, jalan penyelesaian yang terbaik kembalilah kepada adat lama, anak orang anak kita, anak kita anak kita
jugalah.
Intihanya, semua pihak haruslah berpegang kepada kata-kata, keluarga sebagai teras masyarakat. Apabila keluarga
pincang maka rosaklah masyarakat. Dalam dunia yang semakin kompleks, kesepaduan dalam kalangan ahli keluarga
akan menyelamatkan anak-anak daripada terjatuh ke dalam jurang kebejatan sosial. Sesungguhnya, pembinaan sebuah
keluarga sakinat memerlukan komitmen yang tinggi berdasarkan adunan ilmu, iman, akhlak dan sosial yang harmoni.
Ingatlah akan pesan Nabi SAW bahawa, “Anak yang dilahirkan itu ialah fitrah, bergantunglah kepada ibu bapa yang
mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi atau Nasrani”.
3. Pada alaf baharu ini, pihak kerajaan bersungguh-sungguh untuk memajukan industri desa kerana industri
ini berpotensi meningkatkan ekonomi negara.
Bincangkan.
Pendahuluan: industri desa merujuk kepada perusahaan untuk memaksimumkan penghasilan sumber-sumber domestik
daripada penghasilan secukup hidup kepada aktiviti yang boleh dikomersialkan. Sesungguhnya, amat banyak sumber
yang berpotensi untuk dijadikan sumber perusahaan. Sama ada bahan makanan, perhiasan atau kraf tangan bahan
mentahnya amat mudah diperoleh. Halangan besar isu industri desa sukar berkembang ialah ketiadaan kepakaran,
kurang kesedaran dan penglibatan yang minimum daripada pihak agensi kerajaan. Penduduk desa yang rata-ratanya
kurang berpendidikan tentu sukar untuk memulakan perusahaan atas faktor seperti yang disebutkan tadi. Oleh itu,
cadangan kerajaan untuk membangunkan industri desa wajar disokong demi pertumbuhan ekonomi negara.
Isi 1: Industri desa lebih berfokus kepada produk domestik yang mesra pengguna – rata-rata bahan mentahnya
ialah hasil keluaran tempatan – mudah diproses dan mudah dijual kerana menjadi pilihan masyarakat setempat – bahan
mentah seperti buah-buahan tempatan, hasil pertanian dan ternakan ruminan dan hasil laut boleh diproses untuk pasaran
tempatan
Isi 2: Langkah menganjak tradisi daripada aktiviti secukup hidup kepada idea komersial – mengajak masyarakat
desa berfikir tentang langkah-langkah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan – memberi kesedaran betapa input
komoditi amat berpotensi untuk dikomersialkan
Isi 3: Membuka peluang kerja kepada masyarakat desa – membuang mitos di kampung tiada pekerjaan – mendidik
anak-anak muda desa supaya lebih inovatif, kreatif dan produktif – mengangkat cara berfikir masyarakat glokal kepada
global
Isi 4: Memanfaatkan sumber semula jadi sebagai penyumbang ekonomi – mengurangkan pembaziran sumber-
sumber domestik – saban tahun bertan-tan buah-buahan tempatan dilupuskan sahaja – sumber hutan seperti kayu dan
buluh dibakar begitu sahaja – hasil laut yang tidak diproses dibiarkan membusuk dan dibuang ke laut semula
Isi 5: Mengubah suasana desa yang suram kepada sebuah pekan perusahaan – mempelbagaikan aktiviti ekonomi
dan sosial – menambah baik sistem prasarana dan infrastruktur – mengangkat gaya hidup masyarakat desa supaya lebih
moden, berdaya saing dan berfikiran positif
Kesimpulan: Pepatah Melayu ada menyatakan, kurang ringgit boleh dicari, kurang akal habis bicara dan akal tidak sekali
datang, fikir tidak sekali tiba menunjukkan, jika mahu berjaya ikhtiar dan usaha yang disokong oleh berfikir secara
bijaksana boleh menyelesaikan segala masalah. Dalam hal kemiskinan yang telah saban lama membelenggu masyarakat
desa, jalan penyelesaiannya sudah terpampang di hadapan mata. Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng minda
dan usaha untuk memanfaatkan industri desa ke tahap komersial kerana hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
4. Dunia hari ini kian terhimpit dengan peperangan yang membawa kesan-kesan negatif.
Jelaskan peranan badan-badan dunia bagi membendung permasalahan ini.
33
5. Kewujudan teknologi maklumat dan Komunikasi (TMK) dapat memupuk minat orang ramai terhadap
karya sastera.
Huraikan pernyataan di atas.
MODUL MAHIR MENGARANG EDISI 2017
KANDUNGAN
- 10 set soalan latihan karangan A
- 17 set latihan berpandu terutama untuk
kumpulan sederhana/lemah (Panduan Guru
disediakan)
- 30 set sampel karangan A++
- 41 set soalan Aktiviti Kendiri (rangka isi
disediakan. Amat mesra PdPc dan cukup
berguna sebagai persediaan latihan intensif
- Dilengkapkan dengan aksesori mengarang
seperti peribahasa, sumber rujukan dan
daftar kata.
- STOK MASIH ADA. Sila PM saya 019 4789803
jika masih berminat
34