INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2019 SEMESTER 4)
BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
(EDUP 3073)
NAMA PELAJAR : NOR IZZATI HAYANI BINTI NOR AZMAN
ANGKA GILIRAN : 2019192340013
NO KAD PENGENALAN : 000407-04-0160
KUMPULAN : PISMP E1
KOD TUGASAN : EDUP 3073
NAMA PENSYARAH : EN MOHD ZAKUAN BIN ABDULLAH
TAJUK TUGASAN : PENULISAN AKADEMIK (NPDL)
TARIKH HANTAR : 8 APRIL 2021
TARIKH MENERIMA MAKLUM BALAS :
DARIPADA PENSYARAH
Isi kandungan
Bil. Perkara Muka surat
1. Pengenalan 3
2. Langkah-Langkah Menguruskan Bilik Darjah Mesra Budaya dari 3-7
Aspek Fizikal, Emosi, Sosial dan Sosiolinguistik 7
3. Kesimpulan
4. Rujukan
2
1.0 Pengenalan
Seseorang guru bertanggungjawab untuk melahirkan murid yang cemerlang. Kecemerlangan
murid bermula dari bilik darjah. Hal ini kerana, persekitaran pembelajaran banyak
mempengaruhi kecemerlangan murid. Persekitaran pembelajaran yang mesra budaya akan
mengembangkan nilai sivik bagi kehidupan masyarakat yang harmonis dan aman damai
(Noriati et al., 2017). Umum sedia maklum bahawa Malaysia merupakan negara yang
mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan budaya. Sudah tentu persekitaran di sekolah
khususnya bilik darjah terdiri daripada pelbagai budaya kerana perbezaan bangsa (Zulkifley
Hamid, 2014). Sehubungan dengan itu, guru perlulah membina persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya bagi membolehkan murid-murid berasa selesa untuk belajar dan belajar untuk
menerima perbezaan dan persamaan antara mereka (Mohd Hasani Dali, 2014). Dengan
menyemai elemen mesra budaya dalam bilik darjah, suasana yang kondusif dan positif dapat
dipupuk dalam kalangan murid-murid.
2.0 Langkah-Langkah Menguruskan Bilik Darjah Mesra Budaya
Guru-guru perlulah berusaha untuk mengurus bilik darjah yang mesra budaya.
Terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dalam menguruskan bilik darjah yang
mesra budaya. Aspek-aspek yang perlu dititik beratkan ialah aspek fizikal, emosi, sosial dan
sosiolinguistik (Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2014).
2.1 Aspek Persekitaran Fizikal Bilik Darjah
Pengurusan bilik darjah diperlukan untuk mengekalkan persekitaran
pembelajaran yang positif dan produktif. Guru yang prihatin dan profesional terhadap
tugasnya sebagai pengurus bilik darjah dapat dilihat dari segi pengurusan fizikal dalam
bilik darjah. Persekitaran fizikal dalam bilik darjah mempunyai pertautan antara satu
sama lain seperti hubungan antara murid dengan murid dan murid dengan guru (Che
Nidzam et al., 2013). Sehubungan dengan itu, aspek pengurusan fizikal memainkan
peranan yang sangat penting dalam perkembangan pembelajaran murid-murid melalui
suasana dan persekitaran pembelajaran. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah
dari segi susunan kerusi dan meja murid.
Guru perlulah bijak menyusun kedudukan murid di dalam bilik darjah
seperti mencampurkan murid yang berbeza bangsa, kelas sosial supaya mereka
dapat bercampur gaul dan belajar bersama-sama. Dengan berbuat demikian, murid-
murid dapat membina hubungan yang positif antara mereka tanpa rasa diskriminasi.
Menurut Marinah Awang et al., (2018), guru juga perlulah bersikap adil dengan
mengubah kedudukan murid setiap kali melaksanakan aktiviti pengajaran dan
3
pembelajaran (PdP). Hal ini bertujuan untuk memastikan murid-murid dapat
bercampur dengan setiap ahli dalam kelas dan mereka lebih mengenali antara satu
sama lain. Selain itu, guru juga boleh menghias bilik darjah dengan hiasan yang
bersesuaian. Guru boleh memberikan tanggungjawab kepada murid dengan memberi
kebebasan untuk mereka menghias kelas. Dengan ini, kreativiti murid-murid dapat
ditunjukkan di samping mengukuhkan hubungan antara setiap ahli dalam kelas.
Kebebasan dalam menghias kelas ini membuatkan murid-murid rasa dihargai dan
lebih seronok untuk datang ke sekolah.
Di samping itu dengan mewujudkan perpustakaan mini, elemen mesra
budaya dalam bilik darjah dapat diterapkan. Elemen mesra budaya dapat diwujudkan
melalui sumbangan buku mengenai etnik masing-masing oleh setiap murid di dalam
kelas. Apabila mereka mempunyai masa lapang seperti waktu rehat atau menunggu
guru untuk masuk ke kelas, murid-murid boleh membaca buku cerita yang dibawa oleh
rakan-rakan. Secara tidak langsung, pengetahuan mereka terhadap etnik yang
berlainan bertambah. Dengan ini, elemen mesra budaya dalam bilik darjah dapat
diwujudkan.
2.2 Aspek Persekitaran Emosi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), emosi ditakrifkan sebagai
perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Dalam erti kata
lain, apabila berlaku tindak balas fisiologi kerana ransangan terhadap emosi dalam
sesuatu keadaan, emosi atau gerak hati seseorang akan ditunjukkan (Andang
Andaiyani&Abdul Sain, 2020). Tokoh psikologi bagi perkembangan sosioemosi, Albert
Bandura berpendapat bahawa perkembangan emosi kanak-kanak diperoleh dengan
cara peniruan. Kanak-kanak ini akan memerhatikan tingkah laku orang di sekeliling
dan cenderung untuk meniru perlakuan tersebut (Albert Bandura, 1977). Oleh itu, guru
perlulah berhati-hati terhadap kelakuannya dalam bilik darjah. Guru perlulah melayan
semua murid dengan adil tanpa pilih kasih. Hal ini kerana, kanak-kanak cenderung
untuk meniru perbuatan orang sekeliling lebih-lebih lagi orang yang lebih dewasa. Jika
guru tidak bersifat adil terhadap layanan kepada semua murid, maka akan ada murid
yang berkecil hati. Ketidakadilan dalam bilik darjah biasanya berlaku apabila guru
melebihkan murid yang lebih cemerlang prestasi akademiknya berbanding murid yang
lemah. Hal ini perlulah dielakkan kerana guru merupakan suri teladan kepada murid-
murid. Jika guru menunjukkan sikap yang baik, sudah pasti murid akan meniru
perbuatan tersebut. Dengan bersikap adil juga, emosi murid terpelihara kerana
mereka tidak rasa tersisih.
4
Selain itu, persekitaran emosi juga dapat diurus apabila guru dan murid riang
dan ceria di dalam kelas. Hal ini kerana jika guru bersikap periang, peramah dan
penyayang, murid-murid akan seronok untuk mengikuti sesi PdP dalam bilik darjah.
Secara tidak langsung, murid-murid juga berasa selamat untuk ke sekolah. Guru yang
mudah didekati ini disayangi oleh murid-murid dan kadar kejayaannya dalam mendidik
murid juga meningkat (Suresh Kumar, 2016). Hal ini kerana, murid mempercayai guru
tersebut dan berasa dekat dengannya menyebabkan murid mudah menerima apa
sahaja yang diajar oleh guru. Apabila murid dan guru sudah mempunyai satu
hubungan yang akrab, mereka akan selesa untuk mengadu kepada guru tentang
masalah yang dihadapi dan seterusnya guru akan mengambil tindakan selanjutnya.
Kepercayaan yang kuat ini muncul hasil hubungan yang akrab antara guru dengan
murid. Oleh itu, guru perlulah membina satu hubungan yang mesra dengan murid-
muridnya.
Seterusnya, amalan nilai yang diterima oleh semua murid juga mampu
mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Guru perlulah menjadikan bilik darjah
sebagai ruang untuk mendidik murid memahami tentang perbezaan antara budaya
supaya wujudnya persefahaman antara murid-murid. Apabila murid-murid mempunyai
persefahaman serta saling menghormati antara satu sama lain, maka keharmonian
dalam bilik darjah dapat dicapai. Persefahaman ini dapat dibina melalui aktiviti dalam
PdP. Oleh itu, guru perlulah bijak merancang aktiviti pengajaran yang mendorong ke
arah amalan memahami dan menghormati contohnya melalui unsur kepelbagaian
budaya. Apabila murid-murid didedahkan dengan budaya yang pelbagai, maka
mereka akan lebih menghormati kepercayaan dan pegangan rakan dan mengelakkan
diri daripada menyentuh isu sensitif.
2.3 Aspek Pengurusan Sosial
Bilik darjah yang mesra budaya dapat diwujudkan melalui pengurusan sosial.
Perkembangan sosial yang sihat mendorong pembinaan hubungan yang positif antara
keluarga, rakan dan orang sekeliling (Zakaria Stapa et al., 2012). Berdasarkan teori
pembelajaran sosial, aspek pemerhatian diberi penekanan sebagai proses
pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, guru perlulah bijak dalam merancang
persekitaran sosial yang positif dalam bilik darjah bagi mewujudkan bilik darjah yang
mesra budaya. Antaranya, guru boleh mengadakan aktiviti berkumpulan dalam PdP
yang dijalankan. Hal ini untuk melatih murid-murid bekerjasama sebagai satu pasukan
melalui pembelajaran koperatif. Melalui kerja berpasukan, murid-murid akan belajar
untuk saling bertolak ansur dan menghormati pendapat rakan yang lain. Pengalaman
5
bercampul gaul dengan rakan-rakan yang berbeza etnik ini akan mewujudkan
persefahaman antara satu sama lain dan seterusnya menjadi masyarakat yang
harmoni.
Selain itu dengan meraikan hari ulang tahun kelahiran rakan sekelas,
persekitaran sosial yang positif dapat dicapai. Hal ini kerana dengan menyambut ulang
tahun kelahiran setiap murid, nilai menghargai dapat disemai dan dipupuk dalam diri
mereka sejak kecil. Dengan ini, hubungan persahabatan yang lebih akrab dapat
dibentuk antara satu sama lain. Bagi murid yang diraikan, mereka akan berasa
seronok kerana dihargai di samping mendapat hadiah seperti kad ucapan dan
makanan daripada rakan sekelas. Di samping itu, guru boleh mengadakan aktiviti
pembelajaran di luar bilik darjah. Rasionalnya, pembelajaran tidak hanya berlaku
dalam bilik darjah bahkan tetap boleh dilaksanakan di luar. Murid-murid akan berasa
seronok dan teruja untuk menjalani aktiviti di luar. Sebagai contoh, aktiviti yang
menyeronokkan seperti permainan mencari harta karun edisi Bahasa Melayu
membolehkan murid-murid bersaing secara sihat untuk memenangi pertandingan
tersebut. Murid-murid juga boleh membawa sedikit makanan untuk dikongsi antara
satu sama lain. Dengan ini, hubungan silaturahim antara guru dengan murid dan
sesama murid dapat dieratkan dengan lebih lagi melalui aktviti pembelajaran di luar
bilik darjah.
2.4 Aspek Pengurusan Sosiolinguistik
Umum sedia maklum bahawa rakyat Malaysia mempunyai pelbagai etnik serta
budaya yang memberi cabaran dalam membentuk masyarakat yang mesra budaya.
Maka, terdapat variasi dalam bahasa kerana terdiri daripada pelbagai etnik berlainan
yang menjadikan Malaysia kaya dengan warisan bangsa dan penduduknya. Untuk
mewujudkan persekitaran yang mesra budaya dalam bilik darjah, guru perlu
menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Adi Setia,
2004). Bahasa Melayu amat penting dan menjadi alat penyatuan bangsa dan budaya
masyarakat pelbagai keturunan. Menurut Jeniri Amir (2013), penggunaan bahasa
Melayu membentuk persefahaman dan persaudaraan negara sehingga membentuk
bangsa Malaysia. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam bilik darjah perlulah
ditekankan supaya dapat mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya.
Dengan bertutur menggunakan bahasa Melayu, setiap murid dapat memahami
dengan baik apa yang disampaikan dan tidak menimbulkan salah faham akibat
komunikasi. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu dalam bilik darjah juga dapat
membantu murid yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
6
pertama di rumah dengan lancar seperti murid berbangsa Cina dan India.
Penguasaan dalam bahasa Melayu ini diperoleh daripada hasil peniruan pertuturan
orang sekeliling (Indhumaty Munusamy, 2013). Maka, persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya dapat diwujudkan dengan menggunakan satu bahasa sahaja untuk
berinteraksi iaitu bahasa Melayu.
3.0 Kesimpulan
Oleh itu, seorang guru perlulah memainkan peranannya dalam membentuk iklim bilik
darjah yang mesra budaya supaya setiap murid mempunyai persefahaman dan saling
bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain. Guru juga bukan hanya sebagai
pendidik semata-mata malah sebagai pemudah cara dan pembimbing bagi memastikan
murid-murid mampu mencapai kecemerlangan secara holistik (Surjit Singh & Naginder Kaur,
2003). Dengan mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya, kecemerlangan secara holistik
akan dapat dicapai. Melalui kebijaksanaan guru terhadap pengurusan persekitaran dari aspek
fizikal, emosi, sosial dan sosiolinguistik dalam bilik darjah, maka elemen mesra budaya itu
dapat diwujudkan. Akhirul kalam, guru perlulah bertindak dengan bijak sebagai perancang
dalam bilik darjah kerana guru merupakan ejen dalam membina perpaduan dan integrasi
nasional.
7
Rujukan
Adi Setia. (2004). Hakikat bahasa menurut Chomsky dan Al-Attas. Kesturi, hlm. 14.
Albert Bandura. (1977). Social Learning Theory. N.J : Practice Hall.
Andang Andaiyani Ahmad & Abdul Sain Ambotang. (Vol 5 No 5 (2020). Gaya Pembelajaran
dan Persekitaran Sekolah serta Perkaitannya Dengan Kecerdasan Emosi Pelajar
Sekolah Menengah Luar Bandar. Malaysian Journal of Social Sciences and
Humanities (MJSSH), 141-148.
Che Nidzam Che Ahmad, Noraini Mohamed Noh, Mazlini Adnan, Marzita Putih, & Mohd Hairy
Ibrahim. (2013). PENGARUH PERSEKITARAN FIZIKAL BILIK DARJAH TERHADAP
TAHAP KESELESAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN. Jurnal Pendidikan
Bitara UPSI, 1-7.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Oxford Fajar Sdn Bhd.
Indhumathy A/P Munusamy (2013). Penguasaan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar
Peralihan di Tiga Buah Sekolah di Daerah Skudai. Laporan Projek, Universiti
Teknologi Malaysia.
Jeniri Amir (2013) Bahasa Melayu: Suara dari Bawah. Penerbit Universiti Malaysia Sarawak
Marinah Awang, Mohd Ezrizal Zakaria & Ramlee Ismail. (2018). Hubungan Persekitaran
Fizikal Bilik Darjah dan Kesejahteraan dan Keselesaan Pembelajaran dan Pengajaran.
Management Research Journal, 86-99.
Mohd Hasani Dali. (2014). Pengurusan Bilik Darjah Untuk Guru Novis. UUM Press.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.
(2017). Budaya dan Pembelajaran Edisi Kedua. Oxford Fajar Sdn Bhd.
Suresh Kumar N Vellymalay. (Vol 1, No 1 (2016). KEBERKESANAN HUBUNGAN GURU
KELAS-MURID DALAM MERANGSANG KESEDARAN TERHADAP INTEGRASI
ETNIK DALAM KALANGAN MURID DI BILIK DARJAH. Jurnal Ilmi.
Surjit Singh, Naginder Kaur. (2003). Pengaruh nilai guru di dalam pelaksanaan pengetahuan
isi kandungan pedagogi di bilik darjah . Jurnal Intelek, 46-53.
Zakaria Stapa, Ahmad Munawar Ismail, Noranizah Yusuf. (2012). FAKTOR PERSEKITARAN
SOSIAL DAN HUBUNGANNYA DENGAN PEMBENTUKAN JATI DIRI (Social
Environmental Factors and Their Relation to Identity Formation). Jurnal Hadhari.
Zulkifley Hamid. (2014). Faktor persekitaran sekolah dan etnik dalam perancangan dan
pelaksanaan program pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia (School environmental
and ethnic factors in the planning and implementation of Malay Language Education
in Malaysia). Malaysian Journal of Society and Space, 99-109.
8