Alif dan Alia merupakan sepasang kembar yang tidak seiras dan mereka sangat gemar akan aktiviti-aktiviti pengembaraan. Setiap hari, mereka akan membaca buku-buku tentang haiwan dan dinosaur. Apabila mereka membaca buku, ibu mereka akan turut sama menemani mereka membaca. Bukan itu sahaja, ibu mereka juga akan menerangkan perkara yang Alia dan Alif tidak faham. “Ibu, kenapa Alia tak pernah tengok burung dodo ni di zoo?” tanya Alia kepada ibunya. “Kerana spesis burung dodo ini telah pupus disebabkan habitatnya diancam” jawab ibunya.
Bapa mereka, Encik Hakim merupakan seorang saintis dan mempunyai makmal kecil di belakang halaman rumah mereka. Setiap kali cuti sekolah, Encik Hakim akan membawa Alif dan Alia ke zoo atau taman haiwan untuk melihat haiwan-haiwan. Dalam masa yang sama, mereka dapat mengenali spesis-spesis haiwan yang mereka jumpa. Mereka juga akan mengambil gambar mereka sekeluarga apabila ke zoo untuk disimpan sebagai kenangan.
Pada suatu hari, Alif dan Alia bermain basikal di halaman rumahnya. Tiba-tiba Alia nampak seekor ramarama terbang berhampiran mereka lalu Alia memberitahu Alif. “Alif tengok tu ada rama-rama, jom kita tangkap!” ujar Alia. Alif turut melihat rama-rama yang ditunjukkan oleh Alia sambil berkata “wah! Ini spesis rama-rama yang jarang dilihat, jom tangkap!”. Mereka mengejar rama-rama tersebut tanpa sedar rama-rama tersebut telah masuk dalam makmal ayah mereka. Apabila Alif hampir berjaya menangkap rama-rama tersebut, mereka tersedar bahawa mereka telah masuk ke makmal bapa mereka tanpa sedar. “Alamak, kita dah masuk ke makmal ayah tanpa kebenaran ayah. Jom kita keluar sebelum ayah nampak kita” kata Alif.
Semasa mereka menuju ke pintu keluar, tiba-tiba suatu mesin telah menarik perhatian Alia. “Alif, tengok mesin tu ada gambar dinosaur, Alia nak lihat mesin tu sekejap” kata Alia kepada Alif. Alif hanya mengikuti langkah Alia tanpa sedar di hadapannya terdapat batu yang agak besar sehingga dia tersadung. “Aduh!” kata Alif. Namun, tangan Alif tidak sengaja menekan butang merah yang ada pada mesin sewaktu dia terjatuh. Dalam sekelip mata sahaja, keadaan sekeliling mereka tiba-tiba berubah seakan mereka berada di alam lain.
Alif dan Alia melihat kawasan sekeliling mereka dipenuhi dengan haiwan liar seperti badak sumbu dan terdapat juga gunung berapi yang menggelegak dan berasap. “Kita dekat mana ni Alif?” tanya Alia dengan penuh hairan. “Alif rasa kita dah aktifkan mesin masa yang berada di makmal ayah dan kita telah kembali ke zaman dahulu” jawab Alif sambil melihat sekeliling. “Macam mana kita nak kembali ke masa hadapan semula?” tanya Alia lagi. “Alif pun tak pasti, tapi jangan risau ayah pasti akan cari kita di sini, sementara kita tunggu ayah datang, bolehlah kita teroka tempat ini” jawab Alif. “Betul juga tu Alif, bolehlah kita mengenali pelbagai spesis haiwan yang jarang dijumpai di sini” ujar Alia.
Tidak lama kemudian, mereka terus berjalan untuk meneroka kawasan lalu mereka melihat sekumpulan dinosaur yang pelbagai jenis. “Alif, tengok di sana ada sekumpulan dinosaur!” Kata Alia dengan penuh teruja. “Alia, Alif rasa kita bukan sahaja kembali ke zaman dahulu malah kita dah kembali ke zaman dinosaur, iaitu kira-kira seratus lima puluh juta tahun yang lalu” kata Alif. “Wah! Ini sangat menyeronokkan. Alia masih tak percaya kita boleh lihat dinosaur depan mata. Setahu Alia itu dinosaur spesis humosurous” kata Alia.
Mereka teruskan perjalanan sambil menikmati pemandangan yang sangat asing bagi mereka. Tiba-tiba, Alif berhenti berjalan kerana dia terjumpa sebiji telur yang besar berdekatan dengan semak. “Eh, ini telur apa pula? Kenapa telur ini tiada ibu menjaganya?” Ujar Alif sendirian. Alif dan Alia cuba mendekati telur tersebut dan alangkah terkejutnya telur tersebut menetas dan keluarlah bayi dinosaur. “Alif, ini anak dinosaur yang dikenali sebagai ‘stegosaurus’ mana ibunya?” Tanya Alia. “Alif rasa ibunya kehilangan dia, kesiannya bayi dinosaur ini tersesat, mesti dia mahukan ibunya” jawab Alif.
Alia pun mendapat idea setelah mendengar apa yang dikatakan Alif. “Apa kata kita tolong anak dinosaur ini pulang ke pangkuan ibunya?” tanya Alia lagi. “Idea yang bernas Alia, kita boleh gunakan ilmu haiwan yang kita ada untuk kenal pasti siapa ibunya, jom!” ujar Alif penuh semangat.
Kemudian, mereka berjalan sekeliling hutan yang berwap sambil mencari ibu dinosaur. Namun, hanya spesis dinosaur lain sahaja yang kelihatan dan setelah lama mencari, mereka berehat seketika di bawah pokok. “Kita dah mencari ibu dinosaur ini di serata tempat tetapi ibunya masih tidak kelihatan” kata Alif. “Betul tu, Alia pun tidak nampak ibunya tetapi Alia rasa sangat dahaga untuk terus mencari ibu kepada bayi dinosaur ini” kata Alia. “Kalau macam tu, mari kita cari sumber air untuk dapatkan tenaga semula, Alif pasti anak dinosaur ini juga dahaga” kata Alif.
Setelah berjalan beberapa minit melalui hutan, akhirnya mereka menjumpai sumber air iaitu air terjun. Pemandangan air terjun yang jatuh daripada tempat yang tinggi itu begitu mempersonakan. Di tambah lagi dengan air yang jernih melalui batu-batu membentuk kolam yang luas. Alif dan Alia bersorak keriangan menjumpai sumber air tersebut, kemudian mereka memberi anak dinosaur minum air. Namun, tanpa mereka sedar bukan mereka sahaja yang berada di situ ada sesuatu yang memerhati mereka.
Tidak lama setelah mereka berehat di situ, barulah mereka ingat tujuan utama mereka untuk menghantar anak dinosaur ini kepada ibunya. “Alif, di mana lagi kita nak cari ibu dinosaur ini?” tanya Alia sambil mengusap anak dinosaur. “Hmm...Alif pun sudah buntu” jawab Alif. Sebaik sahaja Alif berpaling untuk melihat sekeliling, Alif melihat seekor dinosaur yang bersaiz bas kecil melihat ke arah mereka dengan ekspresi muka yang marah.
“Eh! Itu bukan ke spesis dinosaur ‘stegosaurus’ yang sedang lihat kita?” tanya Alif. “Alamak! itu mungkin ibu kepada dinosaur yang kita jumpa ini dan dia mesti ingat kita telah mengambil anak dia, apa kita nak buat ni Alif?” tanya Alia. “Bertenang dahulu, mengikut apa yang dinyatakan dalam buku dinosaur, dinosaur ‘stegosaurus’ ini tidak bahaya kerana dinosaur ini hanya mampu berjalan kirakira kelajuan lima kilometer sejam sahaja” ujar Alif.
Namun begitu, tanpa diduga anak dinosaur yang berada di tangan Alia melompat lalu berlari ke arah ibunya. Kemudian, dia mengusap ibunya seperti memberitahu bahawa Alif dan Alia telah membantunya. Tidak lama kemudian, ibu dinosaur menghampiri Alif dan Alia lalu menggeselkan badannya kepada mereka sebagai tanda terima kasih. Alif dan Alia turut mengusap ibu dinosaur tersebut.
Selepas itu, ibu dinosaur membawa Alif dan Alia ke tempat di mana spesis-spesis ‘stegosaurus’ berkumpul. Di situ, mereka melihat lebih sepuluh ekor dinosaur pelbagai saiz sedang makan dan anak-anak dinosaur pula sedang bermain. “Wah! Banyaknya dinosaur stegosaurus di sini. Alia tengok, anak-anak dinosaur yang kecil itu sedang bermain. Comelnya!” kata Alif dengan penuh teruja. “Rupanya mereka sangat jinak, bukan seperti yang kita fikirkan” kata Alia sambil mengusap kepala salah seekor dinosaur di situ. Setelah itu, mereka beredar daripada habitat dinosaur ‘stegosaurus’ untuk meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi nama mereka di panggil. “Alif...Alia...!” jerit Encik Hakim. Alia dan Alif yang melihat ke arah suara tersebut terus berlari mendapatkan bapanya. “Ayah!” jerit Alif dan Alia sambil berlari. “Syukurlah kamu berdua selamat, mari kita pulang ibu kamu sangat risaukan kamu berdua” ujar Encik Hakim sambil mendakap kedua anaknya. “Kan Alif dah cakap ayah akan datang cari kita” ujar Alif kepada Alia.
“Kami minta maaf ya ayah kerana masuk ke makmal tanpa kebenaran ayah. Kami juga tidak sengaja mengaktifkan mesin masa, kami janji kami takkan ulangi kesalahan kami lagi” ujar Alia dengan penuh rasa bersalah. “Tak apa ayah maafkan kamu berdua, dah jom pulang hari dah semakin senja” kata Encik Hakim. Sewaktu pulang, mereka menceritakan apa yang mereka lalui sepanjang berada di zaman dinosaur kepada Encik Hakim. Mereka bercerita dengan penuh semangat dan mereka gembira kerana dapat membantu mengembalikan anak dinosaur yang hilang kepada ibunya.
Tamat