DI SEDIAKAN OLEH :
MOHD SHAKIRIN BIN ROBANI
TAJUK KAJIAN TINDAKAN :
PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN
(PdP) GEOGRAFI MELALUI BAHAN
BANTU MENGAJAR (BBM)
2021
PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN (PdP) GEOGRAFI MELALUI BAHAN
BANTU MENGAJAR (BBM)
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan ingatan pelajar dalam mengingati Pengajaran dan
pembelajaran yang diajar serta meningkatkan minat pelajar terhadap subjek yang diajar dan mewujudkan
persekitaran yang seronok antara guru dan pelajar semasa PdP dijalankan.
Seramai 32 orang pelajar Tingkatan Satu Erat, SMK Air Tawar, Kota Tinggi,Johor terlibat dalam kajian ini.
Tinjauan awal menunjukkan pelajar tidak mahir dan tidak dapat mengingati pembelajaran geografi yang
diajar.
Pelajar juga kurang yakin dan kurang berminat dalam pembelajaran geografi. Selain daripada itu, saya
mendapati pelajar lebih banyak bermain daripada memberi tumpuan semasa PdP dijalankan. Pelajar
juga cepat berasa bosan dengan pengajaran geografi. Dua tindakan telah diambil untuk menangani
masalah ini, iaitu melalui aktiviti Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) semasa PdP dijalankan dan
menjalankan aktiviti permainan dengan menggunakan BBM yang menarik.
Penggunaan BBM semasa mengajar merupakan satu kaedah dalam menarik tumpuan pelajar di
samping dapat membawa pelajar kepada keadaan sebenar melalui gambaran bbm yang digunakan.
Aktiviti permainan pula merupakan suatu aktiviti permainan yang membolehkan pelajar berfikir dan
mengurangkan kebosanan pelajar di dalam kelas sepanjang PdP dijalankan. Aktiviti permainan yang
dilakukan perlulah mengikut subjek yang diajar oleh guru. Dengan ini, pelajar lebih mengingati di samping
dapat keseronokan dan mengeratkan kemesraan antara guru dan pelajar.
1.0 Pengenalan
Pengajaran dan pemebelajaran (PdP) ialah sesuatu tugasan atau aktiviti yang diusahakan bersama oleh
guru dan muridnya. Tanpa salah satu daripada elemen tersebut pengajaran tidak akan berlaku.
Pengajaran dirancang oleh guru secara sistematik dengan menggunakan kaedah dan teknik yang
sesuai bagi mencipta lingkungan yang memungkinkan terjadinya proses belajar (Noor Hisham Md
Nawi,2011). Hasil daripada pengajaran berlakulah perubahan yang secara relatifnya kekal sama ada
dalam bentuk yang eksplisit ataupun implisit (Shababuddin et al. 2003). Pengajaran boleh ditambah baik
secara berterusan menerusi penyelidikan, pengembangan ilmu, pemantapan kemahiran dan rujukan
kepada amalan profesional yang berkaitan.
Pengajaran juga merangkumi proses mereka bentuk kurikulum, penyampaian kurikulum, dan sistem
penilaian pelajar. Dalam proses pengajaran, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diaplikasikan
seperti pengajaran berpusatkan murid, guru, hasil, proses dan nilai (Noor Hisham Md Nawi ,2011).
Secara ringkas, komponen asas yang membentuk sesuatu proses pengajaran seharusnya mengandungi
ciri-ciri berikut iaitu guru, pelajar atau murid, kandungan, kaedah, tujuan, hasil (perubahan yang kekal
secara relatif) dan penilaian.
Sekolah merupakan sebuah tempat di mana proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung.
Asas pemilihan kaedah yang betul dan tepat seperti yang ditegaskan oleh al-Syaibani (1979) adalah
mengikut kesesuaian tujuan pendidikan yang ingin dicapai dalam sesuatu bidang pelajaran, tahap
perkembangan, kematangan, serta kecerdasan para pelajar.
Kepelbagaian metodologi dan kaedah bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai dengan situasi dan
keupayaan pelajar merupakan seni pengajaran guru cemerlang. Menurut Fuller (1969) dan Berliner
(2005), pengalaman mengajar guru cemerlang biasanya mampu meningkatkan kemahiran pemilihan
pengkaedahan ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Menurut Abd Rahim Abd
Rashid (2002), skop pembelajaran sangat luas meliputi domain kognitif (pemikiran dan minda), afektif
(perasaan dan emosi) dan psikomotor (anggota fizikal badan).
Pembelajaran boleh berlaku pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja. Pembelajaran memerlukan
kaedah dan proses dari yang paling mudah sehinggalah kepada yang paling kompleks. Pembelajaran
boleh berlaku tanpa melalui proses pengajaran formal begitu juga maksud di sebalik pengajaran yang
tidak semestinya menghasilkan pembelajaran. Namun secara lazimnya pengajaran yang baik akan
menghasilkan pembelajaran yang berkesan.
Dalam situasi tertentu, terdapat pembelajaran yang tetap memerlukan proses pengajaran. Justeru,
terdapat kemungkinan di mana pembelajaran yang berlaku tidak memenuhi syarat dan gagal mencapai
kehendak sebenar pentakrifan pendidikan. Secara ringkas, komponen asas yang mesti dipenuhi untuk
menghasilkan pembelajaran ialah pelajar, perkara yang dipelajari (bersifat kandungan atau pengalaman
pembelajaran, kaedah dan hasil (perubahan yang kekal secara relatif) (Noor Hisham Md
Nawi ,2011).Pierce dan Lorber (1967) berpendapat bahawa terdapat dua prinsip utama dalam memilih
strategi atau kaedah PdP, iaitu kebanyakan strategi atau kaedah pembelajaran perlu dirancang.
Perancangan pembelajaran yang tidak cukup mengakibatkan pengajaran tersebut tidak berpandu
kepada objektif pembelajaran yang nanti membazirkan masa pembelajaran pelajar atau mengakibatkan
pengajaran lebih berpusatkan kepada teks atau guru sebagai sumber pengajaran ( Kamarul Azmi Jasmi,
Ab. Halim Tamari, Mohd Izham dan Mohd Hamzah, 2011).
2.0 Refleksi Pengajaran
Pada permulaan sesi persekolahan tahun 2021, saya telah ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran
Geografi tingkatan 1 Erat , satu kelas Tingkatan 1 yang prestasinya agak lemah dalam subjek Geografi.
Saya berasa agak tertekan kerana kumpulan pelajar ini merupakan pelajar yang lebih suka bermain dan
kurang memberi tumpuan yang sepenuhnya semasa PdP dijalankan.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila kebanyakan daripada kumpulan pelajar ini telah mula
menunjukkan kurang minat dalam subjek Geografi semasa pengajaran dan pembelajaran dilakukan.
Selepas lebih kurang sebulan bersama dengan kumpulan pelajar ini, saya telah mengadakan satu ujian
formatif untuk mendapat maklum balas terhadap kebolehan mereka dalam subjek Geografi.
Jadual 1 menunjukkan 60% pelajar gagal dalam ujian formatif ini. Saya berasa amat terperanjat dan
bimbang terhadap prestasi mereka dalam ujian ini kerana soalan-soalan yang disediakan adalah terdiri
daripada 10 soalan yang mudah dan sederhana sahaja. Malahan, soalan-soalan yang diutarakan dalam
ujian formatif tersebut merupakan soalan yang diambil daripada buku rujukan yang dibuat pelajar sebagai
kerja rumah dan merupakan soalan yang pernah dijawab oleh pelajar. Saya berasa amat sedih dan
tertekan kerana pelajar saya gagal dalam ujian yang dilakukan.
Jadual 1 : Prestasi Pelajar dalam Ujian Formatif
Markah Peratus
0 - 39 (F) 60 %
40 - 49 ( E ) 35 %
50 - 59 (D) 5%
60 - 69 ( C ) 0%
70 - 84 (B) 0%
85 -100 (A) 0%
Daripada maklum balas pelajar, saya mendapati ramai di antara mereka berasa bosan dan tidak berminat
dengan subjek Geografi yang diajar. Kefahaman yang amat rendah terhadap Geografi menyebabkan
mereka sukar untuk mempraktikkan atau menggambarkan pembelajaran tersebut ke dalam dunia realiti
sedangkan subjek Geografi merupakan subjek yang sangat berkait rapat dengan alam sekeliling.
Walau pun saya berasa cemas dan bimbang, namun saya juga berasa bersyukur kerana saya
mendapati kebanyakan pelajar dalam kelas ini bersikap positif dan bersedia untuk berusaha
bersungguh-sungguh demi memperbaiki diri mereka khasnya dalam subjek Geografi. Saya mendapati
diri saya terlalu senang naik darah apabila pencapaian pelajar tidak dapat menepati jangkaan saya.
Saya juga tidak dapat menerima hakikat bahawa begitu ramai pelajar tingkatan 1 kelas ini yang gagal
dalam satu ujian formatif yang senang. Saya terlalu berasa yang pengajaran dan pembelajaran yang
dilakukan sudah berjaya meningkatkan prestasi tingkatan 1 kelas ini dalam subjek Geografi namun
sangkaan saya jauh sekali.
Kebanyakan daripada mereka tidak faham perkara yang diajar tersebut. Saya sedar budaya
salah-menyalah di antara satu sama lain tidak akan mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.
Sesuatu usaha mesti dilakukan untuk meningkatkan profesionalisme saya dan membantu pelajar-pelajar
ini untuk mengharungi cabaran yang akan datang.
3.0 Tinjauan Literature
3.1 Pembelajaran secara kumpulan ataupun pembelajaran Koperatif
Menurut Johnson, (1999), pembelajaran koperatif merupakan satu kaedah untuk menggalakkan pelajar
belajar antara satu sama lain. Kumpulan pembelajaran koperatif digunakan untuk mengajar topik tertentu
(kumpulan pembelajaran koperatif formal), untuk memastikan memproses maklumat kognitif secara aktif
semasa pengajaran (kumpulan pembelajaran kognitif tidak formal) dan juga untuk menyediakan
penguasaan jangka panjang dalam kemajuan akademik (Johnson, Johnson dan Smith, 1991).
Sulaiman (2004) menyatakan bahawa pengajaran koperatif ialah suasana pengajaran yang mana
pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Pelajar terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan,
penyelesaian masalah, melukis dan banyak lagi. Kaedah yang digunakan dalam pengajaran berpusatkan
pelajar ialah pembelajaran kendiri, pengarahan kendiri, kaedah dapatan, penyelesaian masalah,
perbincangan dalam kumpulan, inkuiri, penemuan dan pembelajaran koperatif (Ee, 1997).
Berdasarkan refleksi yang telah dibuat, saya telah mengenal pasti beberapa masalah dalam pengajaran.
Saya telah membuat andaian bahawa terdapatnya beberapa masalah utama
yang saya hadapi, iaitu:
1. Pelajar berasa dirinya lemah dalam Geografi
2. Pelajar mudah bosan semasa PdP dijalankan.
Kajian tindakan ini berfokus kepada peningkatan kemahiran mengingati pelajar dalam isi-isi penting yang
diajar dalam subjek geografi fizikal bagi tajuk,Peta lakar ( Bab 3 Tg 1.) Dalam pada itu, saya telah cuba
mengubah amalan pengajaran, iaitu daripada kaedah kelas yang berpusatkan guru kepada
pembelajaran koperatif yang berpusatkan pelajar.
4.0 Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah seperti berikut :
1.Objektif Umum:
Meningkatkan kemahiran mengingati pelajar dalam isi-isi penting yang diajar dalam subjek geografi fizikal
bagi tajuk,Peta lakar ( Bab 3 Tg 1.) dengan menggunakan kaedah bahan bantu mengajar (BBM) dan
aktiviti permainan.
2.Objektif Khusus:
a) Meningkatkan kemahiran daya ingatan pelajar
b) Memupuk semangat bekerjasama di kalangan pelajar.
c) Meningkatkan keyakinan pelajar terhadap Geografi.
d) Meningkatkan kemesraan antara guru dengan pelajar.
5.0 Kumpulan Sasaran
Kumpulan sasaran kajian ini merangkumi 32 orang pelajar Tingkatan 1 Erat, SMK Air Tawar, Kota Tinggi,
Johor.. Berdasarkan pencapaian Geografi dalam peperiksaan, kebolehan asas Geografi pelajar
dalam kelas ini agak lemah.
6.0 Tinjauan Masalah Prestasi Pelajar Sasaran dalam Ujian Pra
Markah
( x / 100 ) Ujian Pra
16 - 20 2 ( 8% )
11 - 15 3 ( 16% )
6 - 10 6 ( 24% )
0 - 5 21 ( 52% )
Jumlah 32 ( 100% )
Analisis keputusan ujian pra menunjukkan semua pelajar mendapat kurang daripada 20 markah, iaitu
semua pelajar gagal dalam ujian pra ini. Keadaan ini bermakna kumpulan sasaran ini amat lemah dalam
aspek geografi fizikal bagi tajuk, Peta lakar ( Bab 3 Tg 1.) Malahan, 52% pelajar itu mendapat kurang
daripada 5 markah (markah penuh ialah 100 markah). Keputusan ini amat mengejutkan dan amat
merisaukan saya.
7.0 Refleksi Pelajar
Murid-murid telah diminta oleh guru untuk membuat refleksi diri selepas ujian pra. Refleksi pelajar
menunjukkan mereka berasa sedih, bimbang, terperanjat, takut, panik, tidak puas hati dan insaf
kelemahan diri apabila tidak dapat menjawab soalan-soalan dalam ujian. Pelajar dapat mengenal pasti
kegagalan mereka adalah disebabkan oleh faktor faktor seperti berikut:
1. Lemah dalam mengingati isi penting.
2. Kurang membuat latihan.
3. Tidak menumpu perhatian semasa PdP diadakan.
4. Mudah lupa apa yang telah dipelajari
7.1 Pelaksanaan Tindakan
Berdasarkan tinjauan awal, beberapa strategi telah saya rancangkan untuk membantu pelajar dalam
tingkatan 1 Erat supaya mereka dapat mengingati isi-isi penting tajuk peta lakar dengan penuh keyakinan.
Aktiviti-aktiviti yang dirancang adalah seperti berikut:
1. Aktiviti “Lovely Teacher”
1. Aktiviti “Lovely Teacher”
A. Refleksi Awal
Daripada refleksi pengajaran yang dijalankan, saya mendapati sikap tegas saya telah memisahkan diri
saya dengan anak murid. Pelajar takut bertanya saya semasa atau selepas waktu pembelajaran dan
pengajaran walaupun mereka menghadapi masalah. Saya mendapati masalah yang saya hadapi ini ialah
merupakan masalah yang berkaitan dengan emosi.
Jika direnung kembali intisari Falsafah Pendidikan Negara, unsur emosi memang menjadi satu elemen
yang penting dalam pendidikan. Perkara ini jika dibiarkan boleh mengakibatkan sikap negatif dan
menyebabkan pelajar hilang minat dalam mata pelajaran yang dipelajari dan seterusnya menjejaskan
pencapaian mereka.
Menurut Yahya (2003), guru yang mengingat nama pelajar mampu menarik minat pelajarnya
mempelajari apa yang diajarnya di bilik darjah. Pelajar tidak merasa terpinggir. Keadaan ini akan
mewujudkan ruang kepada pelajar dan mengurangkan tahap kebosanan pelajar terhadap PdP yang
dijalankan. Sikap yang positif akan menjamin perubahan yang berbeza. Oleh itu, saya cuba mengubah
amalan saya sendiri dalam tindakan ini. Saya memulakan kajian tindakan ini dengan mengadakan
program “Lovely Teacher” untuk menangani masalah ini.
B. OBJEKTIF
1. Meningkatkan kemesraan antara pelajar dengan saya.
2. Meningkatkan minat pelajar terhadap Geografi.
C. PELAKSANAAN
Mengetahui dan menggunakan nama seseorang pelajar merupakan cara yang terbaik untuk membentuk
sikap yang positif dan disiplin dalam kalangan pelajar. Secara positif, dengan mengingati dan
menggunakan nama setiap pelajar ia dapat mewujudkan motivasi yang tinggi dalam proses
pembelajaran kerana setiap pelajar diberi status sebagai individu yang unik, bukannya seorang ahli yang
tidak dikenali atau tidak bernama dalam sekumpulan pelajar yang ramai.
Tugas pengajaran saya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan kerana mengingati nama
pelajar mampu menarik minat pelajar mempelajari apa yang diajar di bilik darjah. Pelajar berasa tiada
halangan untuk bertanya saya jika ada masalah pelajaran dengan terjalinnya hubungan mesra antara
pelajar dengan saya.
Untuk mengingati dan menggunakan nama setiap pelajar di dalam kelas Tingkatan 1 Erat ini, saya
menjalankan tindakan berikut:
1. Saya cuba mengingati nama semua pelajar di dalam kelas itu walaupun mengingati nama seseorang
individu merupakan satu tugas yang amat mencabar bagi saya. Saya meminta ketua kelas menyediakan
pelan duduk kelas untuk membantu saya mengingati nama setiap pelajar. Selain itu, saya menggunakan
kaedah kumpulan untuk mengingati nama pelajar dalam kelompok yang kecil.
2. Semasa di kelas, saya menggunakan nama pelajar itu apabila berkomunikasi dengan pelajar.
Sebelum ini, saya memanggil mereka dengan panggilan umum “Awak” atau “Kamu” bagaikan seorang
individu yang tidak bernama. Selain itu, saya juga memuji pelajar semasa pengajaran apabila mereka
cuba untuk bertanya atau menjawab soalan yang saya kemukakan walaupun soalannya mudah atau
jawapannya tidak betul atau kurang sempurna. Tambahan pula, saya juga mengambil langkah yang
proaktif untuk berjumpa pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran selepas waktu pengajaran.
3. Apabila saya mengembalikan buku nota yang telah disemak kepada pelajar, saya memanggil nama
pelajar itu demi membantu saya mengingat nama setiap pelajar. Saya juga menulis komen positif seperti
“BAGUS”, “CEMERLANG” , “USAHA LAGI” dan “JUMPA CIKGU” dalam buku latihan pelajar apabila
mereka menunjukkan prestasi kerja yang baik atau menghadapi masalah dalam latihan yang ditugaskan.
D. HASIL PEMERHATIAN
Saya menggunakan kaedah pemerhatian untuk mengumpul data dalam gelung ini. Pemerhatian secara
rawak sepanjang proses kajian ini dicatat dalam sebuah nota kecil. Hasil pemerhatian saya menunjukkan
pelajar pendiam mula berani untuk bertanya soalan semasa pengajaran dan pembelajaran diadakan.
Selain itu, pelajar yang lemah mula mencuba untuk menjawab soalan di dalam kelas. Suara gelak ketawa
mula kedengaran semasa pengajaran dan pembelajaran diadakan.
Pada waktu rehat dan waktu selepas sekolah, pelajar bergilir-gilir untuk bertanya saya soalan
masing-masing.Komunikasi satu hala sebelum itu menjadi komunikasi dua hala selepas tindakan diambil.
Saya bermotivasi untuk mengajar dengan bersungguh-sungguh. Suasana pembelajaran menjadi lebih
selesa dan harmoni. Pada keseluruhannya, respons positif pelajar merangsang saya untuk mencuba
sesuatu yang lebih baik dan lebih mesra dengan mereka.
E. REFLEKSI AKHIR
Apabila saya cuba mendampingi anak murid, saya mendapati mereka sanggup berusaha untuk
memperbaiki diri walaupun asas geografi mereka lemah. Tambahan pula, saya berasa mesra apabila
bersama dengan mereka. Saya dapat menyimpulkan bahawa program “Lovely Teacher” berjaya
meningkatkan kemesraan antara pelajar dengan saya dan minat pelajar terhadap geografi. Suasana PdP
yang dulunya bosan sekarang bertukar kepada suasana yang mesra dan harmoni.
Rujukan
Abd Rahim Abd Rashid. (2002). Agenda perubahan pendidikan saisn sosial dalam mengharungi alaf baru.
Dlm. Abd Rahim Abd Rashid. (pnyt.). Pengajaran dan pembelajaran sains sosial: teori dan amalan, hlm.
1-21. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Leonard M.S. Yong & Karen L. Biraimah. (1996). Guru yang Kreatif. Kuala Lumpur:
Noor Hisham Md Nawi (2011). Pengajaran Dan Pembelajaran; Penelitian Semula konsep Asas Menurut
Perspektif Gagasan Islamisasi Ilmu Moden.
Shahabuddin, Rohizani & Mohd Zohir.( 2003). Pedagogi : strategi dan teknik mengajar dengan berkesan.
Shah Alam: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Yahya Zainal Abidin (2003). Mengingat Nama Pelajar Sebagai Satu Teknik Pengajaran Mesra Pelajar
Prosiding Kajian Tindakan Seminar Penyelidikan Pendidikan
Kebangsaan ke-X.