The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fitriahkumarudin700, 2024-03-12 22:28:34

DRAFT THESIS PENYELIDIKAN - KAJIAN TINJAUAN

Thesis PISMP- Kajian Tinjauan

TAHAP PENGHAYATAN AMALAN AGAMA SISWA GURU : KAJIAN TERHADAP SISWA GURU INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TAWAU NURUL FITRIAH HANIM BINTI KUMARUDIN PISMP Pendidikan Islam Pendidikan Rendah (Ambilan JUN 2021) Dr. Ismail Bin Husin INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS TAWAU 2024


i KANDUNGAN Muka Surat KANDUNGAN SENARAI JADUAL SENARAI RAJAH SENARAI SINGKATAN SENARAI LAMPIRAN i - ii BAB 1: PENDAHULULAN 1.1 Pengenalan 1.2 Penyataan Masalah 1.3 Tujuan Kajian 1.3.1 Objektif Kajian 1.3.2 Soalan Kajian 1.3.3 Hipotesis Kajian 1.4 Kepentingan Kajian Skop dan Batasan Kajian 1.5 Skop dan Batasan Kajian 1.6 Definisi Operasional 1.7 Rumusan 1 2 - 3 3 3 3 4 4 - 5 5 5 - 6 6


ii BAB 2: TINJAUAN LITERATUR 2.1 Pengenalan Kepada Konteks Kajian 2.2 Teori Kajian 2.3 Dapatan Kajian-Kajian Lalu 2.4 Kerangka Konseptual 2.5 Rumusan 7 7 - 9 10 - 11 12 12 BAB 3: METODOLOGI KAJIAN 3.1 Pengenalan 3.2 Reka Bentuk Kajian 3.3 Persampelan 3.4 Instrumen Kajian 3.4.1 Kesahan 3.4.2 Kebolehpercayaan 3.5 Kajian Rintis 3.6 Prosedur Pengumpulan Data 3.7 Prosedur Penganalisisan Data 3.8 Rumusan 13 13 13 - 14 14 15 15 16 16 17 17 RUJUKAN LAMPIRAN 18 - 20 21 - 40


1 BAB 1 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Pendidikan merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan di dalam Islam dan menjadi satu platform utama dalam membentuk individu yang sempurna pada akhlaknya, tingkah laku serta lisannya serta melahirkan keperibadian yang mulia. Melalui pendidikan, pembentukan modal insan yang berjaya dapat membantu memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada masyarakat, bangsa dan juga negara. Hal ini selaras dengan pernyataan yang dinyatakan di dalam Matlamat Pendidikan Islam (BPK, KPM. 2016) yang bertujuan untuk melahirkan insan yang soleh dan bertamadun, yang beriman serta beramal dengan ilmunya, mampu memikul tanggung jawab sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi, bagi memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya. Perkara ini juga turut merangkumi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam yang dipetik daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, dalam melahirkan perwatakan insan mulia, penghayatan serta pengamalan ilmu Islam haruslah dilaksana dan dipelihara sepanjang masa. Melihat kepada perkara ini, pembentukan insan kebiasaannya bermula daripada seorang guru. Menurut Ab. Halim & Mohamad Khairul (2010) yang menegaskan bahawa guru dilihat sebagai agen perubahan masyarakat dan harus menjadi suri teladan dan qudwah hasanah. Jelas disini menunjukkan, pembentukan bakal guru pada masa hadapan mempengaruhi perwatakan generasi baharu yang akan datang. Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau (IPGKT) merupakan salah sebuah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang bertujuan khusus untuk melatih bakal-bakal guru yang berketrampilan dan membawa personaliti sebenar sebagai seorang warga pendidik yang berwibawa. Dalam hal ini, perkara ini tentunya berkait rapat dengan penghayatan amalan agama seorang siswa pendidik terutamanya dalam membentuk keperibadian mulia seperti yang dinyatakan di dalam matlamat Pendidikan Islam sebelum bergelar seorang insan yang dipanggil guru. Justeru, perkara ini telah membawa kepada kajian berkenaan tahap penghayatan amalan agama yang diterapkan oleh guru-guru pelatih bagi memastikan usaha murni untuk melahirkan guru-guru yang unggul, berwibawa, berkeperibadian mulia dapat dilaksana.


2 1.2 Pernyataan Masalah Kajian Dasawarsa ini, masalah berkenaan kemerosotan akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat semakin berleluasa dan menjadi satu isu yang merisaukan sesetengah pihak terutamanya apabila ia melibatkan hal ehwal agama. Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam kalangan remaja dan dewasa seperti pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi. Jika dilihat semula, terdapat beberapa kajian yang mengetengahkan berkenaan kepincangan akhlak pelajar dan mahasiswa institusi pengajian tinggi yang semakin runtuh pada masa kini. Kajian yang sedemikian telah dilaksanakan di kebanyakan institusi pendidikan namun tidak pada institut pendidikan guru. Berdasarkan hasil kajian, perkara ini amat penting untuk mengetahui apakah sebab dan punca berlakunya kemerosotan akhlak dan tingkah laku masyarakat. Kebanyakan kajian yang dilakukan oleh penyelidik kebiasaannya menyatakan punca berlakunya keruntuhan akhlak dan moral disebabkan kurang pendedahan dan penghayatan agama, kefahaman ilmu serta didikan ibu bapa. Oleh itu, hal ini amat penting untuk memberi pendedahan awal berkenaan agama bagi membentuk nilai kerohanian di dalam diri seseorang individu sejak daripada kecil (Abdul Monir, 2007). Melihat kepada skop kajian pada kali ini, tinjauan dilakukan kepada siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau bagi mengetahui tahap penghayatan amalan agama dalam diri setiap siswa pendidik. Penghayatan amalan agama ini boleh dinilai berdasarkan pengetahuan kendiri yang diperolehi daripada mana-mana sumber serta pembelajaran subjek Pendidikan Islam. Di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, subjek Pendidikan Islam ini telah ditawarkan kepada semua siswa pendidik tanpa mengira opsyen pada sem-sem tertentu. Subjek ini telah dipelajari beberapa kali semasa Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan juga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang melibatkan kesemua opsyen secara umum . Pembelajaran subjek Pendidikan Islam ini juga turut memfokuskan kepada semua bidang utama yang dilihat sebagai aspek penting di dalam Islam iaitu akidah, fiqh asas ibadah, fiqh asas muamalat dan munakahat, akhlak, sirah dan juga peranan khalifah di muka bumi. Namun begitu, hal ini menjadi persoalan dan tanda tanya di dalam benak fikiran penyelidik berkenaan isu kemerosotan akhlak dari masa ke semasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, tidak dinafikan segelintir siswa pendidik masih tidak menonjolkan personaliti dan peribadi mulia sebagai seorang bakal guru yang akan menjadi contoh tauladan kepada generasi akan datang. Apatah lagi, pada masa kini pelbagai isu pendidikan akan dikaitkan dengan etika dan sahsiah yang dimiliki guru (Mohd Anuar Mamat, 2016). Seperti yang diketahui, masalah disiplin yang berlaku di institut pendidikan guru juga masih berleluasa setiap hari dan menunjukkan kepincangan dari sudut tingkah laku dan akhlak siswa pendidik itu sendiri.


3 Sedangkan, perkara ini merupakan pengetahuan yang penting dalam diri seorang muslim dan bakal pendidik untuk mencontohi keperibadian mulia Rasulullah S.A.W. Berdasarkan perkara ini, hal ini telah memberikan banyak persoalan sama ada pembelajaran Pendidikan Islam tidak memberi kesan atau pengetahuan berkenaan amalan agama tidak dicari sebaiknya? Bagaimana masalah akhlak dan tingkah laku masih berleluasa sedangkan ilmu berkenaan Islam disebarkan secara luas dan merata? Apakah masalah penghayatan amalan agama siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau masih berada di tahap yang rendah? Justeru, hal ini telah membawa kepada tinjauan penyelidik untuk mengetahui tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa guru Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau agar bakal guru yang dilahirkan mempunyai kualiti yang tinggi bukan sahaja dari ilmunya namun juga peribadi dan agamanya. 1.3 Tujuan Kajian Tujuan kajian ini adalah untuk melihat dengan lebih jelas tahap penghayatan amalan agama siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau (IPGKT) berdasarkan pengetahuan kendiri serta pembelajaran subjek Pendidikan Islam yang ditawarkan di institusi pendidikan bagi melahirkan guru berketrampilan dan berkualiti tinggi. 1.3.1 Objektif Kajian 1. Mengenal pasti tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau 2. Mengetahui perbezaan tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik berdasarkan jantina dan opsyen 1.3.2 Persoalan Kajian Berdasarkan pernyataan masalah kajian yang dikemukakan sebelum ini, terdapat beberapa soalan kajian yang memerlukan kajian mendapatkan jawapan yang jelas. Antara soalan kajian tersebut adalah : • Sejauh manakah tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau? • Apakah perbezaan yang terdapat diantara tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik mengikut jantina dan opsyen?


4 1.3.3 Hipotesis Kajian Ho Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap penghayatan amalan agama dengan pembelajaran Pendidikan Islam Ha Terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap penghayatan amalan agama dengan jantina dan opsyen siswa pendidik 1.4 Kepentingan Kajian Kajian ini sangat penting bagi mengkaji tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik bagi membentuk bakal guru yang mempunyai ciri lengkap untuk menjadi contoh tauladan kepada generasi baharu yang akan datang. Hal ini kerana, guru memainkan peranan penting dalam membantu pembentukan akhlak mulia dan penerapan nilai murni dalam diri pelajar (Mok Soon Sang, 2011). Melihat kepada sudut pandangan yang utama, sebagai seorang muslim, sudah tentu penghayatan amalan agama merupakan satu perkara yang amat penting bagi mendidik diri menjadi muslim yang sejati. Hal ini bukan sahaja melibatkan keperibadian sebagai seorang guru bahkan sebagai hamba Allah yang melaksanakan perintah dengan taat. Melalui kajian ini, permasalahan berkenaan ibadah, akidah, kepincangan akhlak dapat dikenal pasti dengan baik atas tujuan memperbaiki diri serta masyarakat sejagat. Dapatan kajian ini boleh digunakan oleh mana-mana institusi pendidikan sama ada institusi pengajian tinggi mahupun institut pendidikan guru yang lain bagi membantu memberi kesedaran berkenaan tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar dan bakal guru. Jika melihat kepada kepentingan kajian ini dilaksanakan, bakal guru sememangnya memerlukan persediaan yang rapi dan kukuh sebelum melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Hal ini dikatakan demikian kerana, tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik turut memberi implikasi dan mempengaruhi bagaimana keperibadian seorang guru, tingkah laku serta pengetahuan berkenaan agama dengan baik untuk disampaikan kepada murid. Perkara ini amat penting sebagai usaha untuk melahirkan seorang guru yang unggul dan berkualiti tinggi. Dapatan kajian ini juga akan menjadi manfaat dan memberi kesedaran bukan sahaja kepada siswa pendidik bahkan kepada semua institut pendidikan guru mengenai pentingnya penghayatan amalan agama dalam kalangan guru. Hal ini akan menjadi penekanan utama


5 dalam golongan pusat pengajian tinggi untuk menerapkan nilai-nilai dengan lebih berkesan. Melalui perkara ini, penghayatan amalan agama dalam diri siswa pendidik akan sentiasa dipantau dari masa ke masa agar guru yang mempunyai keperibadian mulia dapat dilahirkan. Pegangan agama yang kuat akan menjadi pengikat kepada akhlak seseorang individu (Ahmad Munawwar Ismail, 2009). Pihak institusi boleh melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan pengetahuan siswa pendidik dengan mengadakan pelbagai program yang dapat memelihara akhlak dan tingkah laku siswa sebelum bergelar insan bernama guru. Hal ini juga dapat menjadikan siswa guru itu sendiri berusaha untuk meningkatkan kualiti diri dengan menimba ilmu dari pelbagai sumber yang dipercayai bagi memastikan ilmu yang dimiliki dapat membantu kehidupan di dunia dan akhirat kelak. 1.5 Skop dan batasan kajian Skop kajian ini tertumpu tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik yang bakal bergelar seorang guru. Kajian ini telah dilaksanakan dengan melibatkan responden daripada siswa guru Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau bagi melihat tahap tahap penghayatan amalan agama berdasarkan pengetahuan kendiri serta pembelajaran subjek Pendidikan Islam sebagai persediaan menjadi warga pendidik. 1.6 Definisi operasional Secara umumnya, dari segi bahasa, penghayatan berasal daripada perkataan Arab iaitu “hayat”. Hayat didefinisikan sebagai hidup manakala jika dilihat pada sudut kata kerja menghayati, ia membawa maksud kepada mengalami dan merasai sesuatu dengan mendalam dan meresap ke dalam jiwa. Melihat pada tajuk kajian, penghayatan dimaksudkan sebagai menghayati atau merasai sesuatu secara batin dan telus (Sheikh Othman, 2002) Amalan agama pula dimaksudkan sebagai perbuatan atau perilaku yang diamalkan oleh seorang muslim yang sejati tanpa mengingkari perintah Allah SWT. Hal ini juga dapat dilihat sebagai satu pengetahuan mengenai agama seperti akidah, ibadah, sirah, akhlak dan sebagainya. Definisi amalan agama ini merujuk kepada pengamalan seseorang individu sama ada dari lisannya, tingkah lakunya dan juga hatinya. Pengetahuan mengenai amalan agama yang kukuh akan membantu menjadikan individu tersebut lebih beriman kepada Allah Yang Esa serta membentuk keperibadian mulia dalam diri manusia. Di samping definisi di atas, bersesuaian dengan maksud penghayatan dan amalan agama, hal ini berfokus kepada tahap penghayatan terhadap amalan agama itu sendiri dalam


6 melahirkan seorang muslim yang sejati dan berkeperibadian mulia. Tidak dinafikan, agama merupakan intipati utama yang mendorong manusia untuk memelihara fikiran dan tingkah laku daripada melakukan kemungkaran. Bahkan, kehidupan seseorang manusia juga menjadi lebih harmoni sekiranya penghayatan amalan agama sentiasa dititikberatkan. 1.7 Rumusan Kesimpulannya, kajian berkenaan tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik ini menjadi satu pokok perbincangan dan harus diselesaikan sebelum melangkah kea lam persekolahan. Hal ini dikatakan demikian kerana ianya amat berkait rapat dengan tingkah laku siswa pendidik dengan isu kepincangan akhlak yang masih berlaku. Perkara ini harus diperbaiki dari masa ke semasa agar guru yang unggul, berpengetahuan luas, bersahsiah tinggi dan berakhlak mulia dapat dilahirkan. Oleh itu, penghayatan agama ini perlu sentiasa diamal dan diterapkan agar ianya seiring dengan tingkah laku dan akhlak siswa pendidik sebelum bergelar seorang insan yang bernama guru.


7 BAB 2 TINJAUAN LITERATUR 2.1 Pengenalan kepada konteks kajian Kajian yang dilaksanakan ini berkisarkan tentang tahap penghayatan amalan agama siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Kajian ini dilaksanakan berdasarkan jantina dan opsyen dengan memfokuskan kepada pengetahuan dan penghayatan amalan agama siswa guru secara lisan, perbuatan dan pengakuan hati. Konteks kajian ini memperlihatkan tentang sejauhmana penghayatan amalan agama ini mampu membentuk bakal guru yang bermutu tinggi dan berakhlak mulia. 2.2 Teori/Model Kajian Bab ini juga turut membincangkan berkenaan teori dan model yang akan digunakan mengikut kesesuaian kajian yang dilaksanakan. Antara teori dan model yang digunakan di dalam kajian penyelidikan ini adalah : 2.2.1 Teori Al Ghazali Kajian ini menggunakan teori Psiko-spiritual Al Ghazali yang berunsurkan qalb, ruh, nafs dan ‘aql. Menurut Abu Raiya (2012), keempat-empat unsur ini telah disebut secara berulang kali di dalam Al Quran sebagai penegasan betapa pentingnya konsep ini kepada manusia. Jelaslah, keempat-empat unsur ini merupakan teras di dalam pembinaan teori tersebut. Melihat kepada perbincangan teori ini, teras utama yang dibincangkan adalah qalb. Qalb ataupun hati difahami sebagai seketul daging yang terletak di sebelah dada kiri manusia bahkan qalb ini menjadi organ yang memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia. Qalb ini juga dilihat sebagai penentu sama ada seseorang individu menuju kea rah kebaikan atau keburukan. Hal ini dikatakan demikian kerana, qalb merupakan pendorong utama manusia untuk mencapai insan kamil yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah. Berbalik pada kajian, penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik juga menggunakan qalb iaitu hati sebagai peranan utama dalam memahami agama Islam. Dengan hati, seseorang individu dapat mengawal tingkah laku dengan menggunakan akal daripada mengikut nafsu semata-mata. Hal ini penting bukan sahaja untuk membentuk keperibadian unggul seorang guru bahkan ianya bertujuan untuk membina personality seorang muslim yang sejati.


8 Selain itu, teori pembinaan akhlak Imam Al Ghazali pula membincangkan berkenaan pembinaan akhlak manusia. Terdapat empat prinsip utama yang dikemukakan oleh Imam Al Ghazali dan menjadi tunggak utama dalam pembentukan akhlak. Antaranya adalah kebijaksanaan, keberanian, kesucian dan juga keadilan. Keempat-empat elemen tersebut dilihat sebagai dasar kepada pembentukan akhlak mulia seseorang individu sepertimana yang dituntut di dalam agama Islam. Merujuk kepada empat elemen yang menjadi dasar utama pembentukan akhlak, hal ini tentunya berkait rapat dengan penghayatan amalan agama kerana kepatuhan kepada satu Allah SWT merupakan perkara yang menjadi teras utama dalam membentuk individu yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Setiap individu perlu menghayati amalan agama dan meningkatkan pengetahuan berkenaan Islam agar muslim yang sejati dapat dibentuk. Perkara ini dilihat sangat berkaitan dengan pembentukan seorang bakal guru yang semestinya memerlukan pengetahuan, pemahaman dan penghayatan agama secara mendalam agar didikan yang diberikan kepada generasi baharu dapat dicontohi dan diteladani. Pengaplikasian keempat-empat elemen ini amatlah penting dalam penghayatan amalan agama agar guru yang berkeperibadian mulia dapat dilahirkan. 2.2.2 Model Konseptual Pendidikan Guru Kajian ini juga merujuk kepada Model Konseptual Pendidikan Guru yang dibina berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Terdahulu Bahagian Pendidikan Guru (1996) telah merangka Model Konseptual Pendidikan memfokuskan liabiliti guru yang terbahagi kepada tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kendiri dan kemasyarakatan. Hal ini menunjukkan model ini membawa usaha murni yang berterusan dalam menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam bagi melahirkan insan berilmu dan berkeperibadian mulia. Melalui tiga dimensi ini, bakal guru yang dilahirkan akan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada murid dan masyarakat disamping melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Berikut merupakan tiga dimensi yang dinyatakan : i. Ketuhanan : Menganjurkan peningkatan ilmu,penghayatan dan amalan individu sebagai insan yang percaya dan patuh kepada ajaran agama. ii. Kemasyarakatan : Menekankan peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan sebagai agen perubahan. iii. Kendiri : Menjurus kepada pembinaan daya ketahanan, patriotisme, pemupukan budaya ilmu, pembentukan sahsiah dan berpekerti mulia.


9 Selain itu, model ini dilihat menekankan tiga aspek utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan juga nilai secara bersepadu. i. Pengetahuan : Merangkumi pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran KBSR dan KBSM serta pengetahuan ikhtisas keguruan. ii. Kemahiran : Merangkumi kemahiran ikhtisas yang menjurus kepada kemahiran berkomunikasi, kemahiran belajar, kemahiran berfikir, literasi komputer dan pedagogi. Pembinaan dan pengukuhan aspek ”how to” dengan memberi tumpuan kepada pengintegrasian teknologi maklumat dalam pelaksanaan kurikulum. iii. Nilai: Merujuk kepada penerapan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni keguruan yang menampilkan sahsiah dan perlakuan sebagai guru yang penyayang, berpekerti mulia,berdaya tahan,patriotik, inovatif, kreatif, berketrampilan dan berwibawa serta patuh kepada profesion perguruan. Segala penjelasan mengenai Model Konseptual Pendidikan Guru diambil secara menyeluruh dari Kursus Persediaan Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam PPISMP bahagian Pendidikan Guru yang berkuatkuasa mulai Julai 2006. Jelas disini, penerapan nilai dalam kursus dapat membantu siswa pendidik menghayati nilai-nilai murni serta amalan agama agar dapat melahirkan guru yang berperilaku baik, bersahsiah tinggi, pekerti mulia sekaligus kreatif, kritis dan inovatif. Rajah 1 : Model Konseptual Pendidikan Guru


10 2.3 Dapatan Kajian Lalu Terdapat banyak kajian yang memaparkan tahap penghayatan amalan agama dari sudut penghayatan akidah, ibadah, sirah, akhlak dan sebagainya. Kajian-kajian ini kebanyakannya telah dilakukan di institusi pengajian tinggi bagi melihat tahap penghayatan agama dalam kalangan mahasiswa. Antara kajian yang dilakukan di institusi pengajian tinggi adalah kajian Nazneen et,al (2019) yang membawa tajuk pengamalan hidup beragama dalam kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Islam di Malaysia. Jika dilihat semula pada dapatan kajian ini, pengkaji ada menyatakan bahawa hasil data kajian mahasiswa agak merisaukan pengkaji itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat 75.8 peratus (%) mahasiswa yang bersetuju apabila item soal selidik menyatakan keharusan meninggalkan solat dalam keadaan darurat sedangkan pelbagai tatacara solat di dalam Islam yang menuntut untuk mengutamakan solat hatta di dalam peperangan misalnya solat khauf, solat hormat waktu dan sebagainya. Solat merupakan satu ibadah dimana setiap muslim wajib menunaikannya walau bagaimanapun keadaan yang dialami pada ketika itu. Hal ini jelas menunjukkan masih terdapat segelintir mahasiswa yang kurang menguasai penghayatan amalan agama dalam kehidupan. Dalam kajian ini juga, turut dinyatakan masih terdapat mahasiswa yang mempunyai kekeliruan bentuk wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W bahkan data kajian turut menggambarkan sebanyak 76.1 peratus (%) seolah-olah tidak mengetahui bahawa wahyu juga merangkumi kata-kata dan perbuatan baginda serta perakuan baginda. Bukan itu sahaja, persoalan akidah secara asas yang berkenaan perbuatan mendahulukan keutamaan Allah dengan keutamaan dunia juga mempunyai peratus yang rendah. Hal ini bermaksud mahasiswa masih tidak memahami bahawa tiada keperluan dunia yang dapat mengatasi perintah Allah SWT. Berdasarkan kajian lalu, dapat kita simpulkan masih terdapat mahasiswa yang tidak menghayati sepenuhnya amalan agama yang diterapkan dalam kehidupan seharian. Di samping itu, kajian Annasaii et.al (2020) dalam penghayatan pelajar terhadap nilai Islam dalam kalangan pelajar Malaysian Aviation Training Academy (MATA), Kuantan juga turut menyatakan bahawa tahap pengamalan pelajar terhadap nilai Islam hanya berada pada tahap sederhana. Hal ini menunjukkan pengamalan nilai Islam masih berada pada tahap yang kurang memuaskan. Nilai-nilai Islam bermaksud setiap individu perlu mengamalkan dan menghayati amalan agama yang dilakukan, sifat-sifat mahmudah seorang muslim dan sebagainya. Namun begitu, data kajian lalu yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi menunjukka hasil dapatan yang kurang memuaskan pengkaji.


11 Didapati kajian Seri Kartini Jurami dan Fariza Md Sham (2013) yang bertujuan mengkaji tahap pengamalan ajaran Islam dalam kalangan responden kajian iaitu pelajar Politeknik Ungku Omar dari aspek akidah, ibadah dan akhlak. Hasil kajian mendapati tahap pengamalan ajaran Islam dalam kalangan pelajar dalam semua aspek yang dikaji berada pada tahap yang tinggi. Kesimpulan dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tahap pengamalan ajaran Islam dalam kalangan pelajar di Politeknik Ungku Omar adalah berada pada tahap memuaskan. Jika dilihat pula pada dapatan kajian yang dilakukan di institut pendidikan guru, hal ini menggambarkan persamaan di dalam hasil kajian berkenaan tahap penghayatan amalan agama. Namun begitu, kita sedia maklum bahawa kajian seumpama ini kurang dilakukan di institut pendidikan guru. Data kajian lepas yang diperolehi adalah daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) namun kedua-dua institusi ini membawa tajuk yang berbeza dengan tajuk yang dijalankan oleh pengkaji. Melihat kepada kajian Nik Zul dan Musliha (2018) dalam tahap penghayatan akhlak Islam dalam kalangan pelajar muslim Ipgk Tun Abdul Razak, Kota Samarahan berdasarkan Teori Penghayatan Akhlak Islam Oleh Imam Al Ghazali, pengkaji menyatakan bahawa tahap pengamalan agama dalam kalangan siswa pendidik IPGKTAR berada pada tahap yang tinggi kerana hasil dapatan kajian penghayatan akhlak juga berada pada tahap yang tinggi. Hal ini mempunyai persamaan dengan kajian Jainudin et.al (2018) yang dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dimana dapatan kajian tahap penghayatan amalan agama adalah berada pada tahap yang tinggi dan memuaskan. Tidak dinafikan, hal ini amat penting untuk dikaji dan dikenal pasti kerana siswa pendidik yang bakal bergelar guru perlu mempunyai pemahaman dan penghayatan amalan agama yang betul dan mencukupi disamping membentuk keperibadian mulia seorang guru. Melihat kepada kajian-kajian lepas, hal ini telah membawa pengkaji untuk mengenal pasti tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau memandangkan kajian berkenaan tahap penghayatan amalab agama ini kurang dilaksanakan pada peringkat institut pendidikan guru. Di samping mengetahui tahap penghayatan siswa guru sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan, hal ini juga dapat memberi jawapan kepada pengkaji sama ada siswa pendidik mempunyai persamaan dengan mana-mana institusi pengajian tinggi yang telahpun dijalankan kajian terhadapnya atau seiring dengan institut pendidikan guru yang lain


12 2.4 Kerangka Konseptual Kajian 2.5 Rumusan Tinjauan Literatur Secara keseluruhannya, bab ini menerangkan berkenaan tinjauan literatur yang mengandungi pengenalan konteks kajian, teori dan model yang digunakan, dapatan kajian yang lepas serta kerangka konsep kajian. Melalui penjelasan kajian lalu yang terdapat di dalam bab ini, tahap penghayatan agama dalam kalangan siswa pendidik harus sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa agar keperibadian mulia dapat dilahirkan seiring dengan waktu sebagai seorang warga pendidik. TAHAP PENGHAYATAN AMALAN AGAMA Perbuatan Lisan Qalb/Hati


13 BAB 3 METODOLOGI KAJIAN 3.1 Pengenalan Bab ini membincangkan tentang metodologi yang digunakan dalam kajian ini. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat-maklumat dan pengiraan data secara tepat bagi menjawab persoalan kajian yang dinyatakan di dalam kertas cadangan ini. Beberapa perkara yang terdapat di dalam bab ini adalah reka bentuk kajian, persampelan, kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian berkenaan soal selidik, kajian rintis, prosedur pengumpulan data dan penganalisisan data serta rumusan perlaksanaan kajian. 3.2 Reka Bentuk Kajian Perancangan reka bentuk kajian merupakan suatu perkara yang penting dalam sesebuah kajian yang dilaksanakan. Penggunaan reka bentuk kajian yang bersesuaian haruslah ditetapkan agar tujuan kajian dilaksanakan dapat dicapai dengan berkesan. Kajian ini adalah berbentuk kajian tinjauan. Dalam kajian ini, pengkaji telah menggunakan kajian kuantitatif melalui instrument soal selidik untuk mengumpul data. Reka bentuk kajian ini digunakan kerana ianya dilihat sebagai satu bentuk kajian yang bersesuaian bagi mengkaji tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Selain itu, rasional reka bentuk kajian yang digunakan ini bersesuaian dengan objektif kajian ini adalah : 1. Data berbentuk numerikal 2. Penglibatan responden dalam kalangan siswa pendidik lebih tersusun mengikut jantina dan opsyen 3. Penilaian yang dillaksanakan lebih jelas dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak 3.3 Persampelan Sampel bagi kajian ini adalah terdiri daripada beberapa orang responden daripada siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Kajian ini telah melibatkan kesemua siswa pendidik yang beragama Islam tanpa mengira opsyen dan jantina. Hasil jumlah responden yang melibatkan diri adalah seramai 68 orang siswa pendidik daripada pelbagai peringkat ambilan kursus. Bagi mendapatkan data kajian, satu set soal selidik telah pun diedar secara


14 meluas kepada sampel kajian bagi mengetahui tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Set soal selidik tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu demografi responden serta analisis deskriptif yang merangkumi 27 soalan berkenaan tahap penghayatan amalan agama siswa pendidik. 3.4 Instrumen Kajian Pengkaji telah menggunakan satu set borang soal selidik yang bertujuan untuk mengumpul data-data responden berkenaan tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Set borang soal selidik ini mengandungi dua bahagian yang penting untuk mengenal pasti data dengan baik dan tepat. Bahagian pertama di dalam set soal selidik tersebut adalah berkenaan demografi responden yang merangkumi jantina, opsyen, program ambilan dan tahap penguasaan Al-Quran. Bahagian kedua pula terdiri daripada 27 soalan berkenaan tahap penghayatan amalan agama yang memerlukan maklum balas secara telus daripada siswa pendidik yang beragama Islam Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Kajian ini telah menggunakan instrumen soal selidik yang dibina oleh penyelidik kajian lepas iaitu kajian Jainudin (2018). Kedua-dua bahagian di dalam set soal selidik ini menggunakan 5 mata skala likert. Skala tersebut adalah sangat tidak setuju, kurang setuju, tidak setuju, setuju dan sangat setuju. Melaluinya, responden hanya perlu memilih salah satu skala tersebut ketika menjawab soalan yang dikemukakan di dalam instrumen soal selidik. Jadual Skala Likert Bagi Item Skor Skala Likert 1 Sangat tidak setuju 2 Kurang setuju 3 Tidak setuju 4 Setuju 5 Sangat setuju


15 3.4.1 Kesahan Kesahan di dalam kajian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kesahan muka dan kesahan kandungan. Kesahan ini dilihat sebagai kemampuan alat pengukuran dalam mengumpul data-data kajian untuk menggambarkan kandungan tajuk yang dikaji (Majid Konting, 1998). Kesahan-kesahan ini amat penting untuk diperolehi terutamanya daripada struktur teknikal dan kandungan Pendidikan Islam itu sendiri. Kebiasaannya, instrument kajian yang digunakan di dalam penyelidikan akan disemak terlebih dahulu oleh pensyarah pembimbing yang juga merupakan pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), pensyarah bidang penyelidikan dan juga pensyarah bidang bahasa. Hal ini amat penting dalam memastikan kesahan instrument kajian berada pada tahap yang tinggi sebelum diedar kepada responden untuk dijawab sebagai maklum balas kajian. Semakan instrument amat penting agar soalan-soalan yang diberikan mudah untuk difahami responden sekaligus membantu mencapai objektif kajian 3.4.2 Kebolehpercayaan Kebolehpercayaan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan sesuatu instrumen terutamanya dari sudut kejelasan pernyataan item, ketepatan item, keseragaman item yang digunakan serta mempunyai arahan yang jelas dan ringkas. Dalam kajian ini, kebolehpercayaan kajian ditentukan oleh kaedah ketekalan Cronbach Alpha melalui pengiraan pekali pembolehubah dalam kajian yang dilaksanakan. Berikut merupakan jadual interpretasi skor Cronbach Alpha yang digunakan di dalam kajian : Interpretasi Skor Alpha Cronbach Skor Tahap kebolehpercayaan 0.8 hingga 1.0 Sangat baik dan efektif dengan tahap konsistensi yang tinggi 0.7 hingga 0.8 Baik dan boleh diterima 0.6 hingga 0.7 Boleh diterima < 0.6 Item perlu diperbaiki < 0.5 Item perlu digugurkan


16 3.5 Kajian Rintis Dalam kajian penyelidikan ini, pengkaji telah melakukan kajian rintis terhadap siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau yang beragama Islam tanpa mengira jantina dan juga opsyen. Kajian ini telah dilaksanakan bagi menguji tahap kebolehpercayaan item yang digunakan di dalam set soal selidik yang diedarkan semasa kajian sebenar dijalankan. Kajian rintis ini dilakukan secara sederhana untuk menjadi kajian percubaan bagi mengenal pasti kelemahan instrumen kajian (Franklen et al., 2012). Terdapat dua bahagian yang dipaparkan di dalam google form dan perlu dijawab oleh responden dengan teliti. Dua bahagian tersebut terdiri daripada profil responden serta analisis deskriptif tahap penghayatan amalan agama yang mengandungi 27 soalan yang perlu dijawab. Kesemua soalan tersebut perlu dijawab oleh responden bagi mengetahui tahap kebolehpercayaan item secara keseluruhan melalui Cronbach Alpha. Melihat kepada hasil kajian rintis, nilai Cronbach Alpha di dalam instrumen kajian pada kali ini menunjukkan skor yang tinggi. Nilai keseluruhan yang diperolehi daripada Cronbach Alpha adalah 0.867 yang mana ia menunjukkan skor berada pada tahap yang tinggi dan efektif. Melihat kepada skor interpretasi Cronbach Alpha, 0.8 hingga 1.0 merupakan nilai skor yang amat tinggi di dalam indeks kebolehpercayaan item dan ia menunjukkan bahawa instrumen tersebut boleh digunakan untuk meneruskan kajian penyelidikan 3.6 Prosedur Pengumpulan Data Dalam konteks kajian ini, pengkaji telah menggunakan set borang soal selidik untuk mengumpul maklumat dan data yang diperlukan. Proses pengumpulan data telah dimulakan dengan mengedarkan instrumen kajian iaitu set borang soal selidik kepada responden yang terdiri daripada siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. Pengedaran instrumen adalah melalui cara Google Form dan diberikan kepada siswa guru yang beragama Islam. Sebelum menjawab soalan, siswa guru diberikan sedikit taklimat atau pencerahan berkenaan tatacara menjawab soal selidik tersebut. Kesemua responden diminta untuk menjawab dengan teliti dan terperinci kerana maklum balas responden akan dijadikan sebagai data kajian yang dilaksanakan. Tempoh pengumpulan data ini telah mengambil masa selama seminggu untuk mendapatkan jumlah responden yang mencukupi.


17 3.7 Prosedur Penganalisisan Data Dalam kajian ini, proses penganalisisan data pula telah menggunakan statistik deskriptif yang melibatkan min, median, peratus, sisihan piawai dan kekerapan. Menurut Mohd Majid Konting (1994), statistic deskriptif ini menunjukkan sesuatu peristiwa. Penggunaan statistik deskriptif ini memudahkan pengkaji untuk menilai dan menghurai tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau secara keseluruhan. Penganalisisan data ini telah dilaksanakan dengan menggunakan IBM SPSS Statistics 27. Proses penganalisisan data menggunakan SPSS akan memaparkan data-data yang lebih jelas dan tepat sekiranya mengikut prosedur yang betul. Pemerolehan data tersebut akan dihuraikan secara ringkas dan teliti bagi melihat hasil kajian yang dilaksanakan. 3.8 Rumusan Kesimpulannya, bab ini telah menunjukkan metodologi kajian yang digunakan secara menyeluruh di dalam kajian ini. Berdasarkan metodologi di atas, jelaslah kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif untuk memudahkan proses pengumpulan data. Data yang dikumpul adalah menggunakan instrumen soal selidik yang mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. instrument ini memerlukan maklum balas responden daripada kalangan siswa pendidik sendiri untuk merealisasikan kajian tahap penghayatan amalan agama dalam kalangan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau.


18 Rujukan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Dokumen standard Kurikulum dan pentaksiran: Pendidikan Islam Tingkatan 2, KSSM. Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Azman Ajury. (2010). Akhlak Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Jurnal Akademika 86(2). http://doi.org/10.17576/akad-2016-8602-02 Abdul Monir. (2007). Kefahaman dan Pengamalan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Proceeding of ICECRS, 1 (2016) 663-676. http://dx.doi.org/10.21070/picecrs.v1i1.540 Mohd Anuar Mamat. (2016). Personaliti Guru Pendidikan Islam dan Kesannya Terhadap Akhlak Pelajar : Satu Tinjauan Awal di Sekolah Menengah Daerah Marang, Terengganu. International Journal of Education, Psychology and Counseling http://www.ijepc.com/PDF/IJEPC-2018-14-06-06.pdf Mok Soon Sang. (2011). Hubungan Elemen Nilai Terhadap Kompetensi Guru Pelatih. Prosiding [eISSN 2756-8199]. https://www.researchgate.net/profile/HafizanMohamadDain/publication/365891689_HUBUNGAN_ELEMEN_NILAI_TERHADAP_ KOMPETENSI_GURU_PELATIH/links/63886404148d2362a4b6b7ac/HUBUNGANELEMEN-NILAI-TERHADAP-KOMPETENSI-GURU-PELATIH.pdf Ahmad Munawwar Ismail. (2009). Perbezaan Kualiti Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Berdasarkan Jantina, Lokasi Sekolah dan Kekerapan Menyertai Latihan dalam Perkhidmatan. The Online Journal of Islamic Education. http://mjs.um.edu.my/index.php/O-JIE/article/view/5261 Sheikh Othman Sheikh Salim. (2002). Penghayatan Agama Sebagai Asas Pembangunan Pelajar : Analisis Terhadap Beberapa Pandangan Al Imam Al Ghazali. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). https://core.ac.uk/download/pdf/11777171.pdf Raihan Marzuki & Pabiyah Hajimaming@Toklubok. (2017). Elemen Pembinaan Akhlak Al Imam Al-Ghazali Menerusi Karya Klasik Kalilah Wa Dimnah. Malaysia Journal For Islamic Studies. https://journal.unisza.edu.my/mjis/index.php/mjis/article/view/14/4


19 Nor Ezdianie & Mohd Tajudin. (2019). Teori Kaunseling Psiko-Spiritual Al-Ghazali : Suatu Pendekatan Alternatif dalam Intervensi Kaunseling. Global Journal Al-Thaqafah. http://www.gjat.my/gjat122019/GJAT122019-7.pdf Bahagian Pendidikan Guru. (1996). Guru Pendidikan Islam Sebagai Model Akhlak. Journal of Islamic and Arabic Education. http://jiae.pimm.my/wpcontent/uploads/2018/07/JIAE-Vol.-61-2014-1-9.pdf Nazneen Ismail, Norul Huda Bakar, Mariam Abd. Majid & Hasnan Kasan. (2019). Al-Irsyad : Journal Of Islamic And Contemporary Issues. https://alirsyad.kuis.edu.my/index.php/alirsyad/article/view/57/43 Nik Zul Azhar & Musliha. (2018). Tahap Penghayatan Akhlak Islam Dalam Kalangan Pelajar Muslim IPGK Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Berdasarkan Teori Penghayatan Akhlak Islam Oleh Imam Al-Ghazali. Proceedings 5 th International Conference On Research In Islamic Education And Arabic Language 2018. https://www.academia.edu/download/57554743/Proceedings_ICRIALE2018.pdf#page=494 Annasaii Jamar, Fatin Nazmin Mansor & Mohd Aderi Che Noh. (2020). Penghayatan Pelajar Terhadap Nilai Islam Dalam Kalangan Pelajar Malaysian Aviation Training Academy (MATA), Kuantan. Attarbawiy Malaysian Online Journal of Education. https://www.researchgate.net/publication/372563411_PENGHAYATAN_SUNNAH_DI_KALA NGAN_MAHASISWA_FAKULTI_PENGAJIAN_ISLAM_UNIVERSITI_KEBANGSAAN_MALA YSIA Seri Kartini Jurami & Fariza Md Sham. (2013). Pengamalan Ajaran Islam dalam Kalangan Pelajar Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Jurnal Islamiyyat 35 (1). https://core.ac.uk/download/pdf/19508552.pdf Jainudin Ngah, Nurul Huda, Norlela & Muaaz. (2018). Tahap Penghayatan Amalan Agama Siswa Guru PISMP Ambilan Jun 2017 di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Jurnal Penyelidikan Tempawan. http://tempawan.ipgkik.edu.my/wp-content/uploads/2023/04/Artikeln10.pdf Abu Raiya. (2012). Teori Kaunseling Psiko-Spiritual Al-Ghazali: Suatu Pendekatan Alternatif dalam Intervensi Kaunseling. Global Journal Al-Thaqafah http://www.gjat.my/gjat122019/GJAT122019-7.pdf


20 Mohd Majid Konting. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Franklen, J.R., Wallen, N.E., & Hyun, H.H. (2012). How to design and evaluate research in education (Vol.7,p.429). New York : McGraw-hill Mohd Majid Konting. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Click to View FlipBook Version