GARIS PANDUAN PENGURUSAN SEKOLAH
PASCA-PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN
DISEBABKAN PENULARAN JANGKITAN COVID-19
SMK DATUK ABDULLAH
ASTANA RAJA
71350 KOTA
NEGERI SEMBILAN
DISEDIAKAN:
UNIT HAL EHWAL MURID
1.0 PENGENALAN
Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020.
Seterusnya, tempoh PKP telah dilanjutkan dalam beberapa fasa. Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat pula bermula pada 4 Mei 2020. Sepanjang tempoh PKP, kerajaan telah menetapkan
bahawa semua institusi pendidikan ditutup.
Tempoh pasca-PKP adalah masa yang kritikal dalam memastikan keselamatan murid, guru dan
warga sekolah. Sehubungan dengan itu, pengurusan sekolah dalam tempoh ini perlu memberi
keutamaan kepada langkah-langkah yang menjamin keselamatan dan kesihatan murid, guru serta
warga sekolah. Justeru, garis panduan ini disediakan sebagai rujukan dan panduan kepada pihak
sekolah dalam pengurusan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (pasca-PKP).
2.0 OBJEKTIF
2.1 Pengurusan sekolah dan asrama dapat berlaku dengan lebih teratur dan lancar.
2.2 Keselamatan dan kesihatan murid diutamakan semasa mereka berada di
sekolah dan asrama.
2.3 Proses PdPc berlaku dalam keadaan selamat seperti yang dirancang.
3.0 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB
3.1 Pentadbir Sekolah
3.1.1 Memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
3.1.2 Memberi penerangan dan pendidikan berterusan kepada murid, guru dan warga
sekolah mengenai jangkitan COVID-19 serta kepentingan penjagaan kebersihan.
3.1.3 Memastikan murid, guru dan warga sekolah yang hadir ke sekolah berada
dalamkeadaan sihat dan selamat
3.1.4 Memastikan semua murid, guru dan warga sekolah mematuhi garis panduan yang
ditetapkan.
3.1.5 Sentiasa bersedia dan peka dengan perkembangan terkini COVID-19.
3.1.6 Memantau PdPc yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian
kepada guru.
3.1.7 Menyediakan pelan laluan pergerakan terarah atau sehala. Tanda penjarakan
diletakkan untuk memandu arah pergerakan murid dalam kawasan sekolah
termasuk asrama.
3.1.8 Memastikan murid mendapat akses kepada PdPc dengan sokongan dan kerjasama
PPD, JPN, PIBG dan agensi-agensi yang berkaitan.
3.1.9 Melapor perkembangan pembelajaran murid kepada ibu bapa.
3.1.10 Membuat keputusan menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis
panduan yang dikeluarkan oleh KPM serta mengambil kira pandangan pihak yang
berkaitan seperti PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
3.2 Guru
3.2.1 Mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
3.2.2 Menyediakan Rancangan Pelajaran Harian yang mengandungi sekurang-
kurangnya maklumat seperti objektif, cara bagaimana hendak mencapai objektif
dan kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai, sebagaimana dalam Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran.
3.2.3 Mengingatkan murid untuk menjaga kebersihan dan penjarakan sosial.
3.2.4 Memaklumkan kepada pentadbir sekolah jika terdapat murid yang menunjukkan
gejala awal COVID-19.
3.2.5 Perlu menjaga penjarakan sosial antara murid dan guru.
3.2.6 Perlu diambil suhu, basuh tangan dengan sabun tangan atau menggunakan
sanitizer ketika memasuki sekolah dan setiap kali sebelum dan selepas PdPc.
3.2.7 Guru-guru bertugas dijadualkan untuk mengambil suhu dan menyediakan
sanitizer di pintu masuk setiap pagi.
3.2.7 Selalu menasihatkan murid supaya amalkan pematuhan pencegahan COVID- 19.
3.2.8 Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara
berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan peraturan baharu di
sekolah.
3.2.9 Guru memainkan peranan dalam menyusun pergerakan pelajar keluar dan masuk
kelas untuk ke bilik-bilik khas, surau dan ke kantin.
3.3 Murid
3.3.1 Setiap murid akan basuh tangan atau hand sanitized dan diambil suhu badan ketika
masuk pintu pagar sekolah setiap hari.
3.3.2 Keluar masuk kelas perlu dikawal secara maksimum. Tidak boleh ada 2 murid
dalam 1 kelas keluar ke tandas dlm satu-satu masa.
3.3.3 Murid perlu beratur dalam penjarakan sosial sewaktu keluar rehat dan waktu balik.
3.3.4 Susunan murid dalam kelas adalah satu meter atau sekurang-kurangnya jarak
seperti dalam peperiksaan.
3.3.5 Tidak digalakkan murid berkumpul dalam kumpulan.
3.3.6 Elakkan bersalaman atau bersentuhan sesama rakan . Meletak tangan di dada
boleh dipraktikkan
3.4 Ibu Bapa/Penjaga
3.4.1 Meluangkan masa menemani anak belajar di rumah.
3.4.2 Memberi motivasi anak untuk terus belajar.
3.4.3 Membantu anak belajar mengikut kemampuan ibu bapa/penjaga.
3.4.4 Memastikan anak-anak tanggungan mereka yang akan hadir ke sekolah berada
dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19.
4.0 PELAKSANAAN
Pengurusan sekolah semasa pasca-PKP adalah merangkumi lima (5) aspek iaitu pengurusan
prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, pengurusan pengajaran dan
pembelajaran, peranan ibu bapa/penjaga dan pengurusan asrama.
4.1 Pengurusan Prasarana
4.1.1 Melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman
(i) Sebelum sekolah dibuka:
➢ Pembersihan perlu dilakukan sebelum sekolah dibuka.
➢ Pentadbir perlu memastikan pekerja pembersihan mengamalkan
penjarakan sosial dan hand hygiene (memadai mencuci tangan dengan air
bersih dan sabun).
➢ Fokus utama pembersihan adalah kepada permukaan yang sering disentuh
dan pada paras ketinggian yang boleh dicapai oleh tangan seperti tombol
pintu, suis lampu, sinki, kepala paip, pemegang flush tandas, pelapik
duduk tandas dan lain-lain.
➢ Pengurusan berkaitan kontraktor kebersihan, keselamatan, bekalan
makanan bermasak, pengusaha kantin dan lain-lain penyedia
perkhidmatan.
➢ Pihak sekolah akan memberikan taklimat keselamatan kepada semua
kontraktor dan pengusaha kantin.
- pihak sekolah perlu memastikan semua pekerja kontrak dan pekerja kantin
diimbas suhu badan mereka setiap hari sebelum memulakan tugas.
- pekerja yang bergejala tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah-pekerja
mematuhi arahan pemakaian penutup mulut dan hidung.
- penjarakan sosial dan prosedur keselamatan yang lain.
- semua kontraktor dan pengusaha kantin bertanggungjawab menyediakan
sabun atau hand sanitizer bagi pekerja mereka.
(ii) Semasa sesi persekolahan:
➢ pembersihan dilaksanakan setiap hari oleh pekerja kontrak selepas tamat
sesi persekolahan.
➢ pihak sekolah perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa jika
terdapat kes COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah.
➢ Sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru
dan warga sekolah yang disahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),
pihak sekolah perlu mengambil tindakan berikut:
o mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi
membantu PKD;
o memberi kerjasama kepada anggota PKD dan
o mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan
melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal
pasti.
4.1.2 Menyebarkan maklumat berkaitan COVID-19
(i) Bahan bercetak:
➢ Bahan bercetak KKM boleh dimuat turun dari laman sesawang KKM.
➢ Pihak sekolah mempamerkan bahan bercetak di lokasi strategik
seperti laluan murid, kantin, bilik-bilik PdPc, pejabat, bilik guru, ruang
menunggu dan asrama sebelum sesi persekolahan bermula.
(ii) Hebahan lisan:
➢ Dilaksanakan oleh pentadbir/guru bimbingan dan kaunseling/guru
bertugas melalui siar raya pada waktu pagi, waktu rehat dan sebelum
tamat sesi persekolahan setiap hari.
➢ Dilaksanakan menerusi peringatan secara berterusan oleh guru semasa
PdPc.
4.1.3 Pengurusan bilik PdPc
(i) Semua bilik PdPc disusun atur sebelum sesi persekolahan bermula.
(ii) Susunan meja bagi setiap kelas mesti berada dalam jarak radius satu (1) meter
antara satu dengan yang lain.
(iii) Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan
murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.
(iv) Memastikan pengudaraan yang baik bagi setiap bilik PdPc:
➢ Kipas/alat ventilasi berfungsi dengan baik di semua bilik yang
digunakan.
➢ Pintu dan tingkap dibuka supaya pengudaraan dan pencahayaan
berada dalam keadaan baik.
(v) Tidak dibenarkan berkumpul bersama-sama dalam satu masa di dalam kelas
(vi) Gunakan peralatan tulis sendiri. Elakkan meminjam/menggunakan peralatan
orang lain.
(vii) Pelan perancangan susun atur bilik-bilik PdPc dengan mengoptimumkan.
penggunaan bilik-bilik khas dan lain-lain lokasi yang bersesuaian dan boleh
berfungsi dengan baik untuk PdPc (seperti contoh lampiran).
(viii) Penjarakan sosial - tanda penjarakan diletakkan di kaki meja baris pertama
untuk rujukan
4.1.4 Pengurusan Bilik Guru / Pejabat:
(i) Guru dan kakitangan yang tidak sihat tidak dibenarkan hadir bertugas.
(ii) Membasuh tangan dengan sabun atau gunakan hand sanitizer sebelum masuk
ke bilik guru atau pejabat.
(iii) Guru dan kakitangan digalakkan memakai topeng muka.
(iv) Tanda penjarakan diletakkan di kaunter dan tempat mengimbas kehadiran..
(v) Jarakkan meja peribadi di bilik guru dan di pejabat.
(vi) Tidak dibenarkan berkumpul dalam satu masa di bilik guru dan pejabat.
(vii) Elakkan perkongsian atau menggunakan peralatan orang lain.
(viii) Elakkan bersalaman atau bersentuhan sesama rakan . Meletakkan
tangan di dada boleh dipraktikkan
4.1.5 Pengurusan Kantin
(i) Perlu dibuat 2 sesi waktu rehat berbeza.
(ii) Murid hendaklah berada dan makan di dalam bilik PdPc di bawah seliaan guru
pada waktu rehat bagi mengelakkan kesesakan di kantin.
(iii) Sekiranya terdapat murid yang makan di dewan makan asrama pada waktu rehat,
mereka perlu memaklumkan kepada guru bertugas pada setiap hari.
(iv) Pengusaha kantin hanya boleh menyediakan makanan berbungkus sahaja dan
sebaiknya dibungkus di dalam bekas yang bertutup.
(v) Penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin adalah tidak dibenarkan.
(vi) Penjualan makanan dan minuman selain di kantin adalah tidak dibenarkan.
4.1.6 Pengurusan Surau
(i) Gunakan surau secara bergilir-gilir sekiranya bilangan murid ramai
(ii) Jaga penjarakan ketika mengambil wuduk dan solat berjemaah
(iii) Guru mesti bersama murid untuk kelas Amali Solat dan mengawal pergerakan
murid mengikut prosedur yang ditetapkan semasa pergi dan balik dari surau
(iv) Tiada aktiviti bersalaman selepas solat. Selawat sahaja dibenarkan
(v) Sentiasa menjaga tertib dan adab ketika berada di surau. Jangan bergurau senda
atau berhimpun rapat dalam satu-satu masa ketika di surau
4.1.7 Pengurusan Bilik Kesihatan
(i) 2 Bilik kesihatan bagi menempatkan murid yang bergejala sementara menunggu
ibubapa datang mengambil atau untuk dihantar ke klinik berdekatan.
(ii) Bilik tersebut dilengkapi 1katil setiap satu dan sentiasa dipantau tahap kebersihan
seperti nyahkuman dan lain-lain.
4.2 Keselamatan Murid, Guru dan Warga Sekolah
Pihak sekolah akan sentiasa merujuk Standard Operating Procedure (SOP)
Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di sekolah
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 13 Mac 2020
4.2.1 Semua murid, guru dan warga sekolah hendaklah dalam keadaan sihat dan tidak
bergejala sebelum hadir ke sekolah.
4.2.2 Pihak sekolah akan meletakkan peringatan langkah-langkah pencegahan COVID-
19 di luar pintu masuk utama sekolah.
4.2.3 Saringan status kesihatan murid dilaksanakan di pintu masuk sekolah/asrama
sebelum sesi persekolahan bermula. Murid, guru dan warga sekolah yang tidak
melepasi saringan ini tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.
4.2.4 Pihak sekolah perlu mengingatkan ibu bapa/penjaga supaya tidak menghantar
anak-anak mereka ke sekolah jika tidak sihat atau bergejala. Murid yang
mempunyai alahan atau asma hendaklah memakai penutup mulut dan hidung.
4.2.5 Murid yang bergejala semasa di sekolah perlu dibekalkan dengan penutup mulut
dan hidung dan diasingkan di bilik sakit/kesihatan sementara menunggu ibu
bapa/penjaga membawa pulang.
4.2.6 Pihak sekolah melantik guru bertugas untuk:
(i) Mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan
pulang.
(ii) Memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengesan suhu badan infrared.
(iii) Mengawal pergerakan murid semasa rehat.
4.2.7 Pihak sekolah sentiasa memastikan murid, guru dan warga sekolah mematuhi
penjarakan sosial pada setiap masa dan memastikan murid sentiasa berada di
bawah pengawasan guru.
4.3. Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)
PdPc dalam tempoh pasca-PKP berlaku dalam dua kaedah iaitu PdPc di sekolah dan PdPc
di rumah. Murid yang dibenarkan hadir ke sekolah akan mengikuti PdPc di sekolah,
sementara murid-murid lain akan mengikuti PdPc di rumah. Bagi memastikan proses
PdPc berjalan lancar bagi kedua-dua kaedah yang dinyatakan, perkara-perkara berikut
akan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah:
4.3.1 Pengurusan PdPc oleh pentadbir/panitia:
(i) Mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan PdPc.
(ii) Menyusun jadual PdPc dengan mengambil kira keperluan dan kesediaan guru
serta murid melaksanakan proses PdPc.
(iii) Melakukan semakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi menyusun
semula perancangan PdPc.
(iv) Melaksanakan pemantauan PdPc.
(v) Memberi bimbingan secara berfokus kepada guru untuk memastikan
pembelajaran berkesan berlaku.
4.3.2 PdPc di sekolah:
(i) Pentadbir perlu menyusun semula jadual waktu berdasarkan bilangan kelas yang
beroperasi dengan mengambil kira penjarakan sosial. Guru yang tidak mengajar
kelas peperiksaan turut dilibatkan.
(ii) Pentadbir merancang pelbagai kaedah penyampaian PdPc yang bersesuaian
berdasarkan bilangan kelas yang beroperasi dan bilangan guru yang ada serta
kemudahan prasarana sekolah seperti berikut:
➢ pembelajaran teradun (Blended Learning) – bersemuka dan dalam talian.
➢ rakaman video PdPc, live streaming atau mass lecture.
(iii) Guru perlu merancang dan melaksanakan aktiviti PdPc yang akur kepada
keperluan penjarakan social.
(iv) Semua PdPc yang melibatkan aktiviti luar bilik darjah adalah tidak dibenarkan
dan semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka ditangguhkan
sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.
4.3.3 PdPc di rumah
(i) Guru boleh menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian, tv pendidikan,
radio atau media sosial bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah
pembelajaran tersebut, atau
(ii) Guru menggunakan kaedah konvensional dengan memberi tugasan berdasarkan:
➢ latihan sedia ada dalam buku teks, buku kerja atau yang disediakan oleh
guru sendiri bagi murid yang tidak mempunyai akses internet, atau
➢ guru boleh melaksanakan Pembelajaran Berasaskan projek
menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid, atau
➢ guru juga boleh menggunakan kaedah serahan bahan PdPc di sekolah.
Bahan dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok
keselamatan untuk diakses oleh guru dan ibu bapa/penjaga mengikut
jadual yang ditetapkan.
(iii) Guru yang memilih untuk melaksanakan PdPc secara dalam talian perlu
mengambil kira faktor seperti capaian internet, alat peranti dan kesediaan serta
keupayaan murid.
(iv) Guru digalakkan mempelbagai kaedah penyampaian PdPc mengikut kreativiti
masingmasing berdasarkan kesesuaian setempat.
(v) Guru boleh melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan hasil kerja murid
seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian
atau serahan tangan.
(vi) Bagi murid yang tidak mempunyai akses untuk menyerahkan tugasan mereka
secara dalam talian atau serahan tangan, pentaksiran boleh dilaksanakan apabila
sesi persekolahan bermula.
4.3 Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga
4.3.1 Memastikan anak/anak jagaan yang sihat dan tidak bergejala sahaja hadir
ke sekolah
4.3.2 Menggalakkan ibu bapa/penjaga menghantar dan mengambil anak/anak jagaan
4.3.3 Membantu pihak sekolah meningkatkan kesedaran dan kefahaman
berkaitan penularan COVID-19:
(i) Memberi kesedaran penjarakan sosial kepada anak/anak jagaan sebelum, semasa
dan selepas menaiki kenderaan;
(ii) Menasihati anak/anak jagaan supaya tidak bersalam dengan guru atau rakan
ataupun bersentuhan antara satu sama lain; dan
(iii) Memastikan amalan kebersihan sebelum dan selepas makan sentiasa diamalkan
oleh anak/anak jagaan.
4.3.4 Membantu sekolah mengawal pergerakan murid semasa sesi persekolahan
mengikut keperluan pihak sekolah menerusi:
(i) Penubuhan task force (sukarelawan) oleh PIBG dalam kalangan ibu bapa bagi
membantu pihak sekolah menangani COVID-19 dengan kerjasama pihak sekolah.
(ii) Penjadualan tugas dalam kalangan task force bagi membantu sekolah mengawal
pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik.
(iii) Membantu pihak sekolah membuat pelabelan penjarakan sosial.
4.3.5 Menggalakkan penyediaan bekalan makanan dan minuman kepada anak/anak
jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin.
4.3.6 Memastikan anak/anak jagaan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke
sekolah.
4.3.7 Menasihati anak/anak jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan
murid lain di sepanjang tempoh pasca-PKP.
4.3.8 Membantu sekolah dalam memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak
menerusi:
(i) Amalan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan mandi sebelum dan
selepas pergi ke sekolah.
(ii) Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa
(KSIB) dalam menyediakan hand sanitizer untuk diletakkan dalam kelas/tempat
yang strategik dan alat pengesan suhu badan infrared untuk kegunaan pihak sekolah
(jika mampu dan berkeperluan).
4.4 Pengurusan Asrama
4.5.1 Penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.
4.5.2 Murid tidak dibenarkan kembali ke asrama sekiranya tidak sihat dan bergejala.
Mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum
bersedia untuk balik ke asrama.
4.5.3 Sekiranya kemudahan asrama adalah mencukupi, murid yang menduduki
peperiksaan SPM digalakkan tinggal di asrama.
4.5.4 Semasa pendaftaran masuk ke asrama, pihak sekolah perlu melaksanakan
saringan kesihatan dan memeriksa suhu badan. Murid dengan suhu badan 37.5°C
ke atas atau bergejala perlu diasingkan di bilik kesihatan, diberi penutup mulut
dan hidung untuk dipakai dan dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau
dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.
4.5.5 Persediaan pihak sekolah sebelum murid masuk ke asrama:
(i) Katil murid dijarakkan sekurang-kurangnya dalam radius 1 meter antara satu
dengan yang lain. Bagi katil double-decker (2 tingkat), hanya di bahagian bawah
sahaja digunakan.
(ii) Tanda penjarakan 1 meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas
(tandas, bilik air/ mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri).
(iii) Jadual penggiliran waktu makan disediakan di dewan makan sekiranya perlu.
(iv) Tempat beratur dan kedudukan tempat makan dewan makan diletakkan penandaan
bagi penjarakan sosial (contoh: jarak 1 meter untuk beratur semasa mengambil
makanan dan menghantar dulang makan di dewan makan asrama) dan tanda
tempat duduk dengan penjarakan sosial semasa waktu makan.
(v) Susunan tempat duduk kelas persediaan (prep) ditandakan dengan jarak
sekurangkurangnya satu (1) meter.
(vi) Alat pengesan suhu infrared disediakan di asrama.
4.5.6 Makluman dan peringatan berkaitan penjarakan sosial dalam kalangan murid perlu
dilaksanakan sebelum murid pulang dari sekolah dan ketika murid berada di asrama.
4.5.7 Tiada perkumpulan/perjumpaan dalam kalangan murid di asrama dan selepas light
off. Warden perlu memantau keberadaan murid di asrama.
4.5.8 Semasa di asrama, murid yang tidak sihat perlu diasingkan dan diberi penutup mulut
dan hidung untuk dipakai serta dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau
dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.
4.5.9 Murid hendaklah melaporkan dengan segera kepada warden sekiranya diri sendiri
atau rakan mengalami tanda-tanda demam, batuk, selsema atau sesak nafas.
4.5.10 Penangguhan solat berjemaah di surau dan sukan serta semua aktiviti berkumpulan
untuk memastikan murid mematuhi arahan mengehadkan pergerakan. Murid
digalakkan menggunakan sejadah sendiri untuk solat.
4.5.11 Pelawat dilarang berjumpa dengan murid asrama. Sekiranya terdapat urusan
kecemasan, pelawat perlu mendapat kebenaran daripada pentadbir/Ketua Warden
sahaja dengan mengamalkan penjarakan sosial
4.5.12 Pemantauan secara berkala perlu diadakan bagi memastikan murid sentiasa
mematuhi penjarakan sosial dan
4.5.13 Aktiviti outing dan pulang bermalam tidak dibenarkan.
5.0 PENUTUP
Pelaksanaan Garis Panduan PdPc Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan ini diharap
dapat memastikan pengurusan sekolah dan proses PdPc boleh beroperasi dengan lancar. Semoga
negara kita dapat segera bebas dari wabak Covid 19 ini dan kita dapat hidup sejahtera seperti
biasa
Rohana binti Alias
Penolong Kanan HEM
SMK Datuk Abdullah
Lampiran 1: Pelan Lantai Kedudukan Bilik Darjah
Lampiran 2: Pelan Lantai Kedudukan Dorm Asrama