The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by xinmin3808, 2021-09-30 05:00:53

buku skrap karangan

buku skrap karangan

Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu
khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu
memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah
lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang
mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan
rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh
menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.

(447 patah perkataan)

08

PENCEMARAN
ALAM SEKITAR

langkah-langkah untuk
menanganinya

Kehendak soalan

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut
masyarakat sejak belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media
tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak
berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan
bukan pekerjaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan
alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam
masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau
dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk
menangani gejala ini.

Huraikan langkah-langkah untuk menangani masalah pencemaran alam
sekitar yang kian berleluasa di Malaysia.

Alam sekitar merupakan sesuatu yang penting
dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa,
agama, dan negara kerana alam sekitar terdiri
daripada kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara
dan air seperti sungai dan laut. Pada musim
perkembangan negara, pelbagai projek sosioekonomi
dijalankan dengan begitu rancak sehingga tidak
sedar alam sekitar sudah terjejas. Oleh itu,
masyarakat tidak kira di luar ataupun di dalam
negara mestilah mengambil tindakan untuk
melindungi alam sekitar. Persoalannya, apakah
langkah-langkah untuk menangani masalah
pencemaran alam sekitar yang kian berleluasa di
Malaysia?

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk
menangani pencemaran alam sekitar ialah
mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana
bahan kimia akan menyebabkan masalah kebersihan
alam sekitar. Hal ini jelas akan mendatangkan impak
dalam jangka masa yang panjang kepada alam
sekitar. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan
racun serangga dan penghawa dingin merupakan
salah satu kesan yang paling ketara dan serius.
Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah
tanah dijejaskan oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat
bahaya kepada masyarakat di Malaysia. Oleh itu,
penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh
kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga
alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang
menyeluruh. Hal ini demikian, boleh membantu menjaga alam sekitar kita dengan lebih
efektif. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang-kilang yang telah dibina oleh
kerajaan mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Di sini saya memberi
contoh, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun laut
secara terbuka. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diketatkan lagi
oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil
perhatian kerana mampu menjaga alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh
diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan
bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang telah
disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien
bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.
Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka
mahupun kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui
kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar.
Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga
kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit demi sedikit masalah dan hal
ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam
sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat
diatasi apabila semua rakyat sedar kepentingan alam sekitar.

Tuntasnya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk
mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan
masalah ini di atas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama
yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih
bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinomin
dengan slogan negara “ Negara Bersih, Rakyat Sihat ”

450 patah perkataan

09
NILAI MURNI

peranan untuk menyemainya
dalam kalangan anak-anak

KEHENDAK SOALAN

“Berdasarkan pemerhatian saya, sikap orang ramai masih belum berubah kerana
sifat-sifat yang baik seperti belas ihsan, sopan santun, sabar, merendah diri,
toleransi dan hormat- menghormati belum menjadi cara hidup kita. Lebih banyak
lagi perlu dilakukan untuk menyemai nilai-nilai murni ini dalam kalangan rakyat
Malaysia terutamanya generasi muda.”

Dipetik daripada ucapan Tan Sri Datuk Seri Panglima Lee Lam Thye Utusan Malaysia 12 Julai 2018

Sebagai respons terhadap kandungan ucapan di atas, setiap individu perlu
memainkan peranan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak.
Jelaskan peranan-peranan tersebut.

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya
hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, berperikemanusian dan sebagainya. Namun, pada era
dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman. Persoalannya, apakah prakarsa
istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan ini terus diamalkan?

Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak kecil lagi, bak kata pepatah, melentur buluh,
biarlah dari rebungnya. Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua
dan menyayangi haiwan. Mereka mestilah memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap
biadab terhadap sesiapa sahaja. Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap
dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang. Dengan ini, kanak-kanak boleh
membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Ibu bapa juga haruslah menjadi
teladan yang terbaik kepada anak-anak kerana bak kata pepatah bapa borek anak rintik. Ikhtisarnya, ibu
bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam
mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang disanjungi.

Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni tidak harus
kita kesampingkan. Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan wajar diterapkan dalam subjek
seperti Pendidikan Moral. Untuk mencapai misi yang komprehensif, nilai-nilai murni haruslah
diamalkan secara berkesan. Pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita
dan memberi anugerah kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan
berhemah tinggi supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain. Tambahan pula, para
pendidik harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran
dengan mengajar murid-murid tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas dan
berkomunikasi dengan guru serta rakan.

Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah
kanak-kanak. Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan
bukan kerajaan seperti Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia untuk menggerakkan kempen Budi
Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh.
Kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan,iaitu tadika untuk memupuk
nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Pertandingan menulis esei, melukis poster,

pertandingan syarahan dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini. Pihak sekolah pula
haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya.

Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik
amat penting dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma kanak-kanak.
Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti
televisyen, radio dan internet serta akhbar mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak
kerana kanak-kanak pada era moden ini sudah celik teknologi maklumat. Oleh hal yang
demikian, pihak media massa boleh mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan,
dokumentari, drama dan siaran kartun. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media
massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari kanak-kanak.

Konklusinya, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk memupuk nilai-nilai
murni dalam kalangan kanak-kanak. Kekurangan nilai-nilai murni dalam diri individu akan
menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat.
Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat
dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita memupuk
nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

10

MATA PELAJARAN
SEJARAH

Kepentingan

KEHENDAK SOALAN

Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah satu mata pelajaran
yang asing kepada murid-murid. Sejak sekolah rendah, murid sudah mula
berkenalan dengan mata pelajaran Sejarah. Menyedari kepentingan
mata pelajaran Sejarah kepada generasi muda, maka mata pelajaran
tersebut dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi semua calon Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.
Petikan di atas menyatakan maklumat yang berkaitan dengan mata
pelajaran Sejarah dan kepentingan mempelajarinya. Bincangkan
kepentingan-kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Mata pelajaran Sejarah sering dikatakan susah oleh para pelajar masa ini. Mereka
tidak memahami bahawa Sejarah amat penting untuk masa depan negara. Dengan
mempelajari sejarah kita dapat mengenal asal usul kemunculan tulisan, bandar, sistem
pemerintahan dan sebagainya. Setiap rakyat Malaysia haruslah mengetahui latar belakang
dan pembentukan negara kita kerana ini merupakan sejarah negara kita. Oleh itu, terdapat
pelbagai kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Kepentingan mempelajari Sejarah ialah menjadi iktibar kepada kita supaya tidak
melakukan kesalahan yang pernah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Hal ini
demikian kerana mereka yang tidak mempelajari sejarah berkemungkinan mengulangnya dan
menyebabkan kejatuhan negara. Kesilapan orang terdahulu sewajarnya diambil berat dan
bukannya dipandang enteng sahaja kerana natijahnya amat menyedihkan kita. Buktinya,
pada zaman pendudukan Jepun, orang kita terdahulu hidup terseksa dan dibunuh tanpa
belas kasihan akibat mempercayai janji palsu Jepun. Sesungguhnya, seseorang yang
mempelajari sejarah dapat mengambil iktibar daripadanya.

Selain itu, mempelajari Sejarah dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Masyarakat tidak lagi menghargai jasa-jasa pejuang tanah air kita yang telah bersusah payah
membebaskan negara kita daripada dijajah. Akibatnya, semangat patriotisme semakin terhakis dalam
kalangan masyarakat terutamanya golongan pelajar. Sambutan hari kemerdekaan juga sering tidak
diendahkan oleh para pelajar kerana mereka menganggap sambutan itu tidak mendatangkan apa-apa
faedah sedangkan sambutan itu diadakan adalah untuk menghargai jasa-jasa pejuang tanah air.
Mereka harus sedar bahawa segala kesenangan dan kebebasan yang diperoleh oleh mereka pada hari
ini ialah hasil usaha pewira-pewira negara kita. Dengan itu, nama mereka sentiasa meniti di bibir
masyarakat kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Seterusnya, generasi muda dapat menyedari kepentingan perpaduan kaum. Hal ini demikian

kerana kestabilan negara bergantung pada perpaduan masyarakat. Negara kita ibarat pokok dan

rakyat ibarat akar, pokok tidak akan berdiri kukuh tanpa akar begitu juga negara kita. Jika rakyat

bersatu padu, negara kita akan aman dan stabil. Dengan itu, perpaduan dapat dikekalkan. Negara

kita pernah mencatatkan sejarah hitam selepas merdeka iaitu tragedi persalahfahaman antara kaum

pada 13 Mei 1969. Tragedi ini meragut banyak nyawa dan perpaduan negara itu ibarat telur di hujung

tanduk, Selepas terjadinya peristiwa hitam ini, kita mestilah sentiasa memastikan bahawa antara

kaum dipelihara agar tragedi tidak berulang kembali.

Di samping itu, pengajaran mata pelajaran Sejarah mampu
mewujudkan jati diri dalam kalangan generasi muda. Sejarah
mendedahkan ketinggian peradaban dan tamadun nenek moyang
kita. Pelajar akan dapat melihat ketinggian nilai seni, adat resam,
dan pemikiran mereka. Mereka turut akan sedar dan menghargai
warisan bangsa sendiri. Bukan itu sahaja, mereka akan berasa
bangga terhadap pencapaian dan kedudukan warisan sendiri.
Natijahnya, golongan muda akan membentuk identiti diri dan tidak
akan mengagung-agungkan budaya Barat. Tegasnya, Sejarah
penting untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda.

Kesimpulannya, mata pelajaran Sejarah mempunyai banyak
kepentingan kepada pelajar. Sejarah merupakan ilmu hidup yang
memandu manusia untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Subjek
ini harus diberikan perhatian sewajarnya oleh para pendidik, ibu
bapa, dan pelajar. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah
berusaha mencapai matlamat mata pelajaran Sejarah demi
kesejahteraan dan keamanan negara.

11

SEKTOR
PERTANIAN

usaha-usaha untuk menarik minat generasi
muda menceburkan diri dalam bidang
pertanian

KEHENDAK SOALAN

Perkembangan pesat sektor pertanian di Malaysia boleh dikaitkan dengan alam
semula jadi, iaitu mempunyai tanah yang kaya dengan mineral, corak taburan
hujan yang baik dan bekalan air yang mencukupi untuk pertumbuhan tanaman.
Kini produk pertanian Malaysia tidak terhad kepada hasil ladang seperti sawit,
getah dan koko yang menjadi komoditi besar negara.

Sumber : BH Online, Sabtu, 7 Julai 2017

Petikan akhbar menerangkan bahawa Malaysia merupakan negara yang sesuai
untuk aktiviti pertanian.Walaupun sektor ini boleh menjamin masa depan akan
tetapi kerjaya dalam sektor pertanian dikatakan kurang diminati oleh generasi
muda. Huraikan usaha-usaha yang seharusnya dilakukan untuk menarik minat
generasi muda menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dewasa ini, semua negara rancak menggerakkan usaha pengembangan teknologi dan
kemahiran bagi menjayakan Revolusi Perindustrian 4.0. Namun, sektor pertanian semakin
dilupakan dan disisihkan daripada usaha pembangunan negara. Pihak kerajaan telah
meningkatkan kedudukan sektor ini dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan
Malaysia Kesembilan apabila menyedari bahawa negara terpaksa berbelanja melebihi RM15 bilion
setahun untuk mengeksport barangan dan makanan. Persoalannya, apakah peranan pihak-pihak
dalam mengambil inisiatif untuk menarik minat para siswazah menceburkan diri dalam bidang
tersebut?

Salah satu langkah bagi menarik perhatian para siswazah menceburkan diri dalam bidang
tersebut ialah ibu bapa perlulah mendedahkan anak-anak dengan bidang pertanian sejak kecil
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah menunjukkan teladan dengan
melakukan aktiviti pertanian bersama-sama di halaman rumah masing-masing. Sikap cinta akan
pertanian dalam diri anak-anak dapat disemai dengan membawa mereka ke Pameran Pertanian,
Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) supaya dapat meneroka cabang
pertanian dengan lebih lanjut. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting bagi
melahirkan siswazah-siswazah yang meneruskan legasi bidang pertanian di negara kita.

Seterusnya, pihak bank perlulah memberi pinjaman dan modal kepada para siswazah yang
baru memulakan projek pertanian mereka. Siswazah-siswazah pada umumnya tidak mempunyai
simpanan wang yang banyak kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap bagi mereka
memulakan usaha pertanian. Skim pinjaman berkadar faedah rendah perlulah ditawarkan kepada
para siswazah. Tamsilnya, bank Agrobank telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada
para petani baru untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian.
Natijahnya, ramai siswazah boleh mengusahakan bidang pertanian tanpa perlu rungsing memikirkan
jalan penyelesaian bagi membekalkan dana yang cukup untuk memulakan usaha pertanian.

Selain itu, pihak kerajaan perlulah membuat reformasi terhadap sektor pertanian agar
siswazah-siswazah tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Ramai anak-anak muda
kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana berfikiran bahawa perlu
bertani dengan kaedah tradisional. Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri, sektor
pertanian perlulah digabungkan dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih bagi memantapkan
proses pertanian dan melonjakkan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Melalui ilmu
bioteknologi, petani dapat menanam baka benih berkualiti yang mempunyai daya ketahanan
terhadap serangga perosak dan dapat tumbuh cepat seperti benih padi Bahagia dan Malinja
yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI). Tegasnya, reformasi
terhadap sektor pertanian perlulah dilaksanakan oleh pihak kerajaan agar siswazah-siswazah
lebih tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Akhir sekali, kempen kepentingan sektor pertanian perlulah giat dijalankan oleh pihak
kerajaan. Maklumat mengenai maslahat-maslahat sektor pertanian perlulah disebarkan melalui
media massa dan media sosial seperti Instagram dan Facebook kerana mudah untuk disebarkan ke
seluruh negara. Konsekuensinya, persepsi siswazah-siswazah terhadap pekerjaan dalam sektor
pertanian akan berubah. Pelbagai inovasi dan pengembangan dapat dilakukan oleh pelajar jurusan
sains apabila kempen kepentingan sektor pertanian menyedarkan mereka tentang potensi-potensi
yang tersembunyi di sebalik sektor pertanian. Sesungguhnya, kempen kepentingan sektor pertanian
dapat mengubah persepsi siswazah-siswazah untuk menceburi bidang pertanian ini.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah menggembleng tenaga untuk menggalakkan penglibatan
siswazah-siswazah dalam bidang pertanian. Marilah kita bersama-sama menyemai sikap cinta akan
pertanian agar kejayaan gemilang kerajaan agrarian yang dulunya megah bertapak di tanah
Nusantara dapat kita wujudkan kembali.

12

MAKANAN

LANGKAH

KEHENDAK SOALAN

Negara merupakan negara yang subur dan kaya dengan pelbagai
sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah negara yang
membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping
mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.

Sumber : Internet

Petikan atas menjelaskan Malaysia merupakan negara yang dapat
menghasilkan makanan yang banyak.Jelaskan langkah-langkah yang
perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.

Dewasa ini, kita sering diuar-uarkan dengan hasil pertanian Negara yang
tidak mencukupi untuk membekalkan makanan kepada rakyat sehingga terpaksa
diimport dari negara luar. Contohnya, beras diimport dari negara Thailand
walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur untuk menanam padi. Hal ini
demikian kerana kurangnya kesedaran rakyat dan pihak berwajib berkaitan
makanan di Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia sebagai negara yang
kaya dengan pelbagai sumber seharusnya membekalkan makanan yang cukup
kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan terhadap makanan
yang diimport. Dengan hal yang demikian, pelbagai langkah yang perlu diambil
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup
untuk rakyatnya.

Langkah yang perlu diambil oleh pihak berwajib adalah menggalakkan pembukaan
tanah-tanah pertanian yang baharu. Hal ini demikian kerana dengan pembukaan
tanah-tanah pertanian yang baharu, semakin banyak sumber makanan yang dapat
ditanam dan diusahakan oleh petani. Pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu
ini boleh diletakkan di bawah rancangan FELDA atau FELCRA. Kesannya, petani dapat
memanfaatkan tanah pertanian tersebut sebaik-baik mungkin di samping menghasilkan
produk pertanian yang berkualiti tinggi. Hasil pertanian ini dapat dibekalkan kepada
rakyat sebagai sumber makanan secara berterusan. Dengan ini, kebergantungan
Malaysia terhadap makanan yang diimport dari negara luar dapat dikurangkan.
Jelaslah bahawa dengan membuka tanah-tanah pertanian yang baharu dapat
menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar makanan yang cukup kepada
rakyatnya.

Selain itu, kerajaan boleh memberikan galakan kepada rakyat dengan
mengadakan kempen dan menyediakan modal dari segi kewangan kepada rakyat.
Kerajaan boleh mengadakan pameran pertanian di tempat-tempat yang berpotensi
untuk membuka tanah pertanian kerana dapat memberikan pengetahuan kepada
rakyat berkaitan pertanian dan menarik minat rakyat untuk bertani. Dari segi
penyediaan modal, kerajaan boleh menyediakan peruntukan kewangan kepada petani
atau rakyat yang berminat untuk bertani. Dengan ilmu yang diperoleh daripada
pameran pertanian dan modal yang disediakan, mereka akan berminat untuk bertani
sekali gus menghasilkan sumber makanan kepada Malaysia. Jelaslah bahawa dengan
mengadakan kempen dan menyediakan modal dapat menjadikan Malaysia sebagai
negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Akhir sekali, rakyat juga haruslah prihatin dengan menyahut kempen yang diadakan
oleh pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana usaha rakyat dan kerajaan haruslah bergerak
seiring agar hasrat tersebut dapat dicapai. Rakyat akan menghadiri pameran-pameran
pertanian yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka untuk mendapatkan maklumat
berkaitan dengan pertanian. Mereka juga membaca risalah pertanian yang diedarkan untuk
mendapatkan maklumat berkaitan pertanian. Kesannya, rakyat dapat memanfaatkan
kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam bidang pertanian sebaik-baik mungkin
dan dapat menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi untuk mencapai hasrat
menjadikan negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.
Persefahaman dan permuafakatan yang terjalin antara pihak kerajaan dengan rakyat
membawa kebaikan kepada negara bak kata pujangga muafakat membawa berkat. Oleh itu,
jelaskah bahawa jika rakyat menyahut segala kempen yang diadakan oleh kerajaan maka
Malaysia dapat menjadi negara yang menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat haruslah berganding
bahu mengambil langkah yang bersesuaian dan pragmatik agar dapat
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menyediakan
makanan yang cukup untuk rakyatnya.

13

TANGGUNGJAWAB

anak-anak terhadap ibu bapa

KEHENDAK SOALAN

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi
sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam
sesebuah masyarakat. Jelaskan tanggungjawab yang
sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

Pada era globalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat
menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Hal ini
mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang
tidak cukup mapan untuk menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga
mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam
merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang
cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya
tak hendak seribu dalih dan prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang
kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak
hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi
membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak tanggungjawab yang boleh dilaksanakan oleh
anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka. Antaranya ialah memberikan
kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Anak-anak hendaklah belajar
bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu
bapa mereka. Orang tua-tua menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi
usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang
manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan
bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya
mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi
kehidupan mereka. Tuntasnya, jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan
dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu
bapa.

Selain itu, ibu bapa akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati
mereka. Aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam
Falsafah Pendidikan negara mampu menjadi platform untuk anak-anak
membahagiakan ibu bapa mereka. Aspek jasmani yang boleh dipraktikkan
adalah dengan menghormati orang tua mereka. Sebagai contoh, seorang anak
bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka
menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam
aspek emosi, anak-anak menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak
melakukan sesuatu perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka. Dalam
aspek intelektual, anak-anak mendengar nasihat yang diberikan oleh ibu bapa
bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika belajar. Eksplisitnya,
sifat hormat seseorang anak terhadap ibu bapa mereka mampu membahagiakan
mereka.

Tambahan pula, tanggungjawab yang boleh dilaksanakan untuk membahagiakan
ibu bapa adalah dengan mendengar nasihat mereka. Hal ini demikian kerana
anak-anak yang mendengar nasihat akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka.
Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke
daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu.
Deduksinya, jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang
menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Lantaran itu, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara
tanggungjawab yang boleh dilaksanakan untuk membahagiakan ibu bapa. Anak-anak
hendaklah sentiasa mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan
kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Konklusinya, memang tidak dapat
dinafikan bahawa doa merupakan senjata yang penting dan utama untuk
membahagiakan ibu bapa.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita
sentiasa gembira. Oleh itu, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan
hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

14.

PERMAINAN

TRADISIONAL

usaha-usaha memartabatkannya

KEHENDAK SOALAN

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang
dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan
tradisional pada masa lalu adalah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan
harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Situasi
ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah, sejak kecil
lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila musim menuai padi
berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja
sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan
antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.

Petikan di atas menyatakan masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan
yang digarap daripada pelbagai keturunan. Salah satunya ialah permainan tradisional.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi
memartabatkan permainan tradisional di negara kita.

CONTOH PERMAINAN TRADISIONAL

GASING BATU SEREMBAN

Permainan tradisional ialah permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai
jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Pada zaman
pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan
permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat. Kebanyakan
daripada permainan tersebut juga kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan
bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman. Persoalannya, apakah
usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan
memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah
dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan
tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar
bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat
tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional
yang ada di negara kita. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk
memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin
popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan
permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan
dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti
sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk
ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan
tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya
bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan
permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan
kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai
remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada
pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik.

Seterusnya, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai
pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah
agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan
kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi
persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian
daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan
memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Ibarat kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana dengan cara
tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk
agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara.

Akhir sekali, remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya
terutama permainan tradisional. Hal ini demikian kerana permainan tradisional
merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan
dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan
sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti
permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan
memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan
tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat
di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka
golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang
lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan
dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling
bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan
dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai
dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

15

SEMANGAT
PATRIOTISME

peranan ibu bapa

KEHENDAK SOALAN

Semangat sayang dan cinta akan negara atau patriotisme mampu menyumbang
kepada perpaduan erat dalam kalangan generasi muda dan masyarakat ke arah
kejayaan dan kemajuan negara. Lantaran itu, pemupukan semangat cinta akan
negara bukan hanya pada bulan Ogos atau bulan kemerdekaan sahaja, malah
perlu dilakukan pada setiap masa.

(Dipetik dan diubah suai daripada Dewan Siswa, Bil.08 2018)

Petikan majalah di atas menunjukkan maklumat tentang semangat patriotisme.
Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memastikan semangat patriotisme dalam
kalangan rakyat Malaysia kukuh dalam jiwa masing-masing. Oleh itu, anda
dikehendaki menulis karangan tentang peranan ibu bapa untuk memupuk
semangat patriotisme.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang
ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat
yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya.
Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana
mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka.
Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, kurang bersyukur
dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu,
pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat
patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke
tempat-tempat yang bersejarah. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan
tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak
untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan
seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Aktiviti lawatan
ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana
anak-anak dapat menimba ilmu pengetahuan selain hubungan silaturahim yang
erat antara keluarga juga dapat dikekalkan. Jelasnya, lawatan ke tempat yang
bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa
sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan
dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan
semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui
proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan
dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai
isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa
usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah
amat penting. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak
dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak
membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca
kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak.
Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti
yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Oleh itu, ibu bapa haruslah
melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat
menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotic kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada
anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.

Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai
sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia
pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan
ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,
anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi
sajak kemerdekaan, mendengar perkisahan cerita-cerita tentang kesengsaraan
pengorbanan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara, dan sama-sama
menyaksikan perbarisan yang boleh menyemarakkan semangat cinta akan tanah air.
Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan
seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka. Jelaslah bahawa, jika
ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun
sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Click to View FlipBook Version