The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ashsyaera98, 2021-01-03 02:36:23

Article_8 (1)

Article_8 (1)

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN MAJALAH
HIBURAN DI MALAYSIA:

ANALISIS FAKTOR PEMILIHANNYA DI KALANGAN
REMAJA

MOHD ZAMIR BIN BAHALL

Abstrak

Kewujudan majalah berbahasa Melayu, khususnya
majalah hiburan mewarnai perkembangan majalah di
negara ini. Susur galur sejarah membuktikan keupayaan
para penerbit meneruskan kelangsungan hidup (survival)
penerbitan majalah sejak zaman prakemerdekaan sehingga
kini. Hipotesis kajian ini meramalkan terdapat hubungan
yang erat antara isi kandungan, bentuk persembahan dan
penerimaan masyarakat dalam menentukan jatuh bangun
dan jangka hayat sesebuah majalah. Justeru, satu soal
selidik dibuat terhadap 1,063 responden iaitu 241 remaja
lelaki dan 822 remaja perempuan. Senarai 15 majalah
hiburan dikemukakan kepada setiap responden dan
mereka diminta memilih sepuluh majalah hiburan yang
paling diminati mengikut turutan. Hanya lima majalah
hiburan yang mendapat pilihan tertinggi dijadikan bahan
kajian. Berpandukan hasil analisis, mentaliti penerbit,
pengusaha, dan golongan remaja dapat dinilai dalam
membuat pilihan dan tindakan. Hasil analisis ini juga
wajar dijadikan panduan oleh mana-mana pihak dalam
merangka pendekatan terbaik untuk menguasai pemikiran,
kecenderungan, dan personaliti remaja.

Pendahuluan

Sepanjang abad ke-20, kira-kira 1,071 buah majalah Melayu
telah diterbitkan dalam pelbagai kategori seperti pendidikan,
wanita, remaja, lelaki, sains dan teknologi, hiburan, perniagaan,
perubatan, kesihatan, sukan dan kategori lain. Majalah Melayu

143

Jurnal Penyelidikan Islam

mempunyai pengaruh yang besar terhadap sejarah dan kebudayaan
masyarakat Malaysia kerana ia mengandungi pemikiran, hala tuju,
dan wawasan yang boleh dimanfaatkan oleh para pembaca.

Malangnya, kewujudan majalah Melayu untuk pembaca yang
serius sering dibayangi oleh majalah yang sarat dengan hiburan,
santai, dan penuh dengan kisah hantu dan tahyul. Keadaan ini
menimbulkan persepsi bahawa majalah Melayu lebih cenderung
membuaikan pembaca dengan dunia khayalan serta fantasi dan
bukannya mendorong mereka ke arah kematangan berfikir,
terfokus, dan dengan minda yang terbuka. Akibatnya, timbul
tanggapan bahawa pembaca majalah Melayu kurang peka terhadap
isu globalisasi, hal ehwal dunia, kepenggunaan, budaya, ilmu,
teknologi maklumat, alam sekitar, dan isu-isu lain.

Perkembangan Majalah Hiburan

Majalah hiburan di Malaysia telah berkembang dengan pesat.
Ini dapat dilihat dengan munculnya pelbagai majalah di pasaran.
Perkembangannya terbahagi kepada beberapa fasa.

1. Selepas perang (1945-1957)'

Kepesatan yang berlaku dalam perkembangan majalah Melayu
selepas perang dan sebelum merdeka dapat dilihat dengan
kemunculan 145 buah majalah baharu tetapi riwayatnya tidak
panjang. Pada Januari 1946, Royal Press menerbitkan majalah
bulanan berjudul Hiboran. Apabila majalah tersebut menjadi
sangat popular bukan sahaj a di Singapura, bahkan di Semenanjung
Tanah Melayu, ia menjadi majalah dwimingguan pada Mac 1947.

1 Suratman Markasan (2003), Penerbitan Majalah Melayu di
Singapura Selepas Perang Dunia Kedua: Sebab Muncul, Penutupan
dan Masa Depannya. Kertas kerja dibentangkan dalam Simposium
Dun ia Permajalahan Melayu pada 12-13 Ogos 2003, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

144

Sejarah clan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Falaor Pemilihannya di Kalangan Remaja

Akhirnya pada Julai 1948, is dijadikan majalah mingguan. Isi
majalah Hiburan berbentuk umum dan sastera.

Selepas Perang Dunia Kedua, penerbit di Singapura lebih
cenderung menerbitkan majalah berbentuk hiburan. Ini bertujuan
untuk mencari keuntungan di camping memberikan bahan
bacaan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Pada April 1951,
Melayu Raya Press telah menerbitkan Filem Raya dan diikuti
bulanan Filem Raya pada November 1952. Seterusnya Utusan
Melayu Press menerbitkan Cenderamata Bintang (Mei 1953) dan
diikuti oleh Bintang Raya (Ogos 1953). Kemudian Qalam Press
menerbitkan pula majalah hiburan iaitu Filem (Februari 1954)
dan Aneka Warna (Oktober 1954). Seterusnya Geliga Publication
menerbitkan Asmara (Ogos 1954), Rumaja (November 1954),
Album Asmara (1955) dan Irama (April 1955). Gambar-gambar
bintang filem Barat yang mengghairahkan di dalam majalah-
majalah bersifat hiburan telah menjadikan edarannya meningkat
berbanding dengan majalah dalam kategori-kategori lain.

2. Pascamerdeka (1958-1969)2

Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 kurang memberi
impak yang positif terhadap perkembangan majalah yang baharu,
manakala majalah yang sedia ada berkubur satu persatu. Pada 1
Januari 1958, terdapat hanya 21 buah majalah yang masih bertahan
di mana kebanyakannya diterbitkan di Singapura melainkan
majalah agama kerajaan negeri yang diterbitkan masing-masing
di Kota Bharu (Pengasuh), Ipoh (Seruan Majlis) dan Johor Bahru
(Warta JAAJ).

2 Hamedi Mohd Adnan (2003), Perkembangan Majalah Melayu
Selepas Merdeka Sehingga 1999, Kertas kerja dibentangkan
dalam Simposium Dunia Permajalahan Melayu pada 12-13 Ogos
2003, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

145

Jurnal Penyelidikan Islam

Kebanyakan majalah yang masih bertahan di Singapura
merupakan majalah hiburan. Dua buah majalah yang cenderung
mengeksploitasi hiburan dan seks iaitu Asmara dan Aneka
Warna yang muncul pada awal 1954 masih terus bertahan
meskipun elemen seks yang disiarkan semakin berkurangan. Pada
umumnya, majalah pascamerdeka masih banyak dipengaruhi
era sebelumnya iaitu era selepas perang. Majalah hiburan yang
berkisar pada dunia perfileman masih meneruskan dominasinya
dan semakin berpengaruh meskipun penerbitan majalah bukan
hiburan bertambah rancak.

Sekiranya pada dekad 50-an kita melihat penguasaan majalah
berbentuk hiburan, dekad 60-an ialah penerusan daripadanya.
Selepas merdeka, perkembangan dunia perfileman Melayu
bertambah rancak dan ini memberi kesan yang positif terhadap
perkembangan majalah hiburan. Antara majalah hiburan yang
diterbitkan pada era ini ialah Gelanggang Filem (15 Mac 1958),
Arena Filem (20 November 1959), Dunia Radio (Mei 1959), edisi
rumi Gelanggang Filem (Februari 1961), Majalah Filem (April
1960), Kisah Bintang dan Filem (Julai 1961), Seni (Jun 1968) dan
Masa (Julai 1969).

Berdasarkan jumlah majalah baharu yang diterbitkan dari tahun
1958 hingga 1969, majalah kategori hiburan dan pertubuhan
terus mendominasi majalah Melayu. Jumlah keseluruhan majalah
hiburan dalam tempoh tersebut ialah 29 buah iaitu bagi tahun
1958 (3 buah), 1959 (2 buah), 1960 (8 buah), 1961 (3 buah), 1962
(5 buah), 1963 (1 buah), 1966 (2 buah), 1967 (2 buah), 1968 (1
buah), dan 1969 (2 buah). Manakala jumlah keseluruhan majalah
kategori pertubuhan ialah 28 buah dan kategori agama 27 buah.

3. Dekad 70-an

Pada dekad 70-an ini, sebanyak 170 buah majalah baharu telah
diterbitkan iaitu meningkat sebanyak 54 buah daripada dekad
sebelumnya. Majalah agama yang sekian lama menjadi tulang

146

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

belakang dunia permajalahan Melayu masih mengekalkan
fungsinya pada dekad ini. Majalah hiburan pula terus meningkatkan
dominasinya. Kali ini fenomena tersebut lebih ketara dengan
munculnya 34 buah majalah baharu. Apabila dicampurkan
dengan lima buah majalah hiburan dekad sebelumnya yang masih
bertahan, jelaslah bahawa majalah hiburan merupakan majalah
yang paling popular pada dekad 70-an ini. Pada 15 Januari 1970,
muncul Utusan Radio Dan TV (URTV) yang sehingga kini masih
bertahan sebagai majalah hiburan yang utama di negara ini.

Pada awal 70-an, pengaruh budaya luar iaitu gaya hidup hippies
menyerang generasi muda berpendidikan. Hiburan pop yang telah
bertunas pada pertengahan dekad 60-an pula berkembang pesat
pada dekad ini. Pada masa yang sama, industri filem tempatan
juga mengalami peningkatan dan filem asing dari Hollywood,
Hong Kong, Bollywood, dan Indonesia terus menguatkan
cengkamannya. Bagi menarik penonton, filem yang memaparkan
aksi lucah mula meresap dan kecenderungan ini menjangkiti
majalah Melayu. Lantaran itu, pada lima tahun pertama dekad
ini, kehadiran majalah hiburan yang didominasi elemen seks amat
ketara.

Namun keadaan ini tidak berlanjutan kerana pihak kerajaan,
khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) cepat
menyedarinya, lalu syarat permit penerbitan diperketatkan di
bawah Akta Penerbitan Diimport 1969. Ketegasan kerajaan ini
telah menyebabkan majalah lucah berkubur.

4. Dekad 80-an

Terdapat penurunan yang mendadak untuk majalah hiburan pada
dekad 80-an apabila hanya enam buah majalah hiburan baharu
diterbitkan sepanjang dekad tersebut. Namun, ini tidak bermakna
pengaruh majalah sedemikian semakin terhakis. Pada hakikatnya,
banyak majalah hiburan yang diterbitkan pada dekad sebelum
ini (60-an dan 70-an) masih terus bertahan dalam pasaran pada

147

Jurnal Pemvelidikan Islam

dekad 80-an. Antaranya ialah URTV, Variapop dan Kisah Cinta.
Kedudukan majalah yang sudah kukuh itu mungkin menjadi
penghalang kepada penerbitan majalah hiburan baharu.

5. Dekad 90-an

Pada permulaan dekad 90-an terdapat saingan yang sengit kepada
majalah untuk terus menjadi medium memenuhi masa terluang
masyarakat pembaca. Saingan yang diterimanya adalah daripada
akhbar-akhbar harian dengan sisipan khusus dunia hiburan, 13
siaran radio (Januari 1998), lima sistem televisyen termasuk siaran
Metrovision (1994) dan NTV7 (1997) serta interne (1997).

Dalam dekad 90-an ini juga, beberapa perkembangan menarik
dalam industri permajalahan telah berlaku. Pertama, meningkatnya
kadar edaran majalah. Kedua, bertambahnya bilangan penerbit
baharu di samping beberapa penerbit sedia ada yang semakin
kukuh. Sebanyak 316 buah majalah baharu diterbitkan pada
dekad ini. Ia melibatkan 246 penerbit sama ada swasta ataupun
kerajaan.

Namun kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada bulan
Julai 1997 telah memberi cabaran yang paling getir kepada
kebanyakan penerbit. Apabila kesan kemelesetan mula dirasai pada
awal dan pertengahan tahun 1998, ramai penerbit memberhentikan
pengeluaran majalah yang kurang menguntungkan atau sekurang-
kurangnya menukar kekerapan daripada mingguan kepada
dwimingguan. Bahkan terdapat segelintir penerbit yang terus
menghentikan penerbitan.

Pada era pascakemelesetan ekonomi, banyak majalah bercorak
human interest telah diterbitkan. Ia berkisar tentang hal misteri,
aneh, pelik, seram, dan luar biasa serta diselang-seli dengan cerita
berunsur seks. Langkah ini dilakukan dengan harapan memperoleh
keuntungan segera memandangkan penerbit tidak hanya
bergantung pada pendapatan hasil iklan. Bagi tempoh Januari 1998

148

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

hingga Disember 1999, daripada 128 buah majalah baharu yang
diterbitkan, 98 buah adalah yang bercorak sedemikian. Antara
majalah yang mampu bertahan lebih setahun dalam pasaran ialah
Bisik-Bisik (Mac 1997), Wow (Mei 1998), Kriminal Dan Misteri
(Julai 1998), Pesona (Julai 1998), Hidayah (September 1998),
Permata (September 1998), Intisari (September 1998), Diari
(November 1998), Fenomena Ajaib (Disember 1998) dan Definisi
(Januari 1999). Majalah-majalah lain tidak bertahan lama dalam
pasaran kerana tidak mampu bersaing dengan majalah yang sedia
ada.

Kini terdapat 400 tajuk majalah di Malaysia yang melibatkan 80
penerbit. Sebanyak 20 hingga 40 tajuk diterbitkan pada tahun 2002
tetapi hanya 15 peratus yang dapat bertahan lebih daripada enam
bulan. Majoriti pembaca majalah terdiri daripada golongan bawah
umur 25 tahun yang kebanyakannya membeli majalah hiburan
dan wanita. Terdapat 200 tajuk majalah dalam kategori ini sahaja.
Namun trend yang agak ganjil dalam tahun 1998-2002 ialah
majalah bercorak misteri dan pelik yang diungguli oleh majalah
Mastika. Mastika berjaya menjadi majalah yang paling laris di
Malaysia dengan jualan sebanyak 244,920 naskhah pada tahun
2002 (Jadual 1) berbanding dengan 9,000 naskhah sahaja pada
akhir 90-an. Akibatnya, lahir 34 klon yang cuba menyainginya.
Ini juga menunjukkan bahawa pembaca Melayu lebih berminat
kepada cerita-cerita sensasi, misteri dan dongeng.3

3 Adi Satria (2003), Cabaran Iklan dalam Penerbitan Majalah
Berbahasa Melayu, Kertas kerja dibentangkan dalam Simposium
Dunia Permajalahan Melayu pada 12-13 Ogos 2003, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

149

Jurnal Penyelidikan Islam

Jadual 1: Majalah berbahasa Melayu terlaris bagi tahun 2002

Judul majalah Jualan (Naskhah)

Mastika 244,920

Mangga 166,014

Mingguan Wanita 132,063

Remaja 97,682

URTV 95,545

Wanita 83,806

Seri Dewi Keluarga 75,326

Anjung Seri 60,026

HAI* 58,000

Jelita 47,767
Nota: *Hiburan, Aksi, dan Informasi (HAI).

Jadual 2 menunjukkan penerbit majalah berbahasa Melayu lebih
tertumpu kepada dua bidang iaitu hiburan dan wanita, sedangkan
bidang-bidang lain dikuasai oleh majalah berbahasa Inggeris.
Satu-satunya bidang yang dikuasai sepenuhnya oleh majalah
berbahasa Melayu ialah tahyul dan misteri. Kini terdapat kira-kira
30 jenis majalah dalam bahasa Melayu seumpamanya. KDN telah
meluluskan 80 permit untuk majalah seperti ini.4

4 Abd. Jalil Ali (2003), Ketelusan Dan Masalah Mendapatkan Permit
Majalah, Kertas kerja dibentangkan dalam Simposium Dunia
Permajalahan Melayu pada 12-13 Ogos 2003, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

150

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

Jadual 2: Permit KDN untuk majalah berbahasa Melayu dan
Inggeris mengikut kategori

Kategori Majalah berbahasa Majalah berbahasa
Melayu Inggeris
Pertanian 0 3
Perdagangan 0 15
Auto 3 12
Ekonomi 2 15
Komputer 1 8
Pendidikan 6 10
Perubatan 1 11
Dekorasi 2 8
Sukan 3 9
Pelancongan 1 13
Hiburan 27 11
Wanita 24 12

Majalah Hiburan Pilihan Remaja Islam

Satu soal selidik ringkas telah dibuat untuk mengenal pasti majalah
hiburan berbahasa Melayu yang menjadi pilihan remaja Islam. Ia
melibatkan seramai 1,063 responden terdiri daripada 241 remaja
lelaki dan 822 remaja perempuan. Setiap responden dikemukakan
dengan senarai 15 majalah hiburan dan diminta memilih sepuluh
majalah hiburan yang paling diminati mengikut urutan. Majalah-
majalah yang disenaraikan ialah Mastika, Mangga, URTV,
Wanita, HAI, Bacaria, Dara.com, Libur, Maskulin, Media
Hiburan, Mingguan Wanita, Nona, Remaja, Sarina, dan Seri Dewi
& Keluarga. Hanya lima majalah hiburan yang mendapat pilihan
tertinggi dijadikan bahan kajian.

151

Jurnal Penyelidikan Islam

Hasil coal selidik ini mendapati bahawa urutan pilihan majalah
hiburan berbeza mengikut gender (Jadual 3 dan Jadual 4).

Jadual 3: Majalah hiburan pilihan responden lelaki

Pilihan Nama majalah
1 Mastika
2 Remaja
3 Bacaria
4 Mangga
5 URTV
6 Maskulin
7 Media Hiburan
8 HAI
9 Mingguan Wanita
10 Keluarga

Jadual 4: Majalah hiburan pilihan responden perempuan

Pilihan Nama Majalah
1 Remaja
2 Mastika
3 Mingguan Wanita
4 Wanita
5 Dara.com
6 Mangga
7 URTV
8 HAI
9 Nona
10 Bacaria

Latar Belakang Majalah

152

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Petnilihannya di Kalangan Remaja

Memandangkan kajian ini melibatkan majalah berbahasa Melayu
yang lebih berorientasikan dunia hiburan dan clam remaja serta
bukan kekeluargaan, maka lima majalah hiburan yang memenuhi
konsep ini dan yang mendapat pilihan tertinggi kedua-dua gender
telah dipilih. Majalah-majalah tersebut ialah Mangga, URTV,
HAI, Remaja, dan Media Hiburan.

1. Mangga

Mula diterbitkan pada April 1995 oleh Utusan Melayu (M) Berhad
yang bertemakan "Bukan Sebarang Hiburan". Ia merupakan
majalah komik-hiburan bulanan yang disasarkan kepada para
remaja/belia berusia di antara 15 hingga 35 tahun. Jumlahpembaca
seramai 595,000 orang (AC Nielsen Q1, 2003) manakala jumlah
edarannya pula sebanyak 166,014 naskhah (The Audit Bureau
of Circulation - ABC 2002). Harga senaskhah RM3.50 bagi
Semenanjung dan RM4.30 bagi Sabah dan Sarawak.

2.URTV

Penampilan URTV tetap berwarna-warni dan menghiburkan
sebagaimana is pertama kali diterbitkan pada 15 Januari 1970 oleh
Utusan Melayu (M) Berhad yang bertemakan "Majalah Hiburan
Paling Popular". Jumlah pembaca seramai 439,000 orang (AC
Nielsen Q1, 2003) manakala jumlah edarannya pula sebanyak
94,545 naskhah (The Audit Bureau of Circulation — ABC, 2002).
Harga senaskhah RM3.50 bagi Semenanjung dan RM4.30 bagi
Sabah dan Sarawak. Ia diterbitkan secara dwimingguan.

3. HAI

HAI bermaksud Hiburan, Aksi, dan 1nformasi. Ia mula diterbitkan
pada 4 Ogos 1996 oleh Utusan Melayu (M) Berhad bertemakan
"Hiburan, Aksi & Informasi". Ia merupakan majalah mingguan
dalam Bahasa Melayu yang memaparkan bahan baharu dan liputan
menyeluruh tentang hiburan, sukan dan rekreasi di peringkat

153

Jurnal Penyelidikan Islam

tempatan dan antarabangsa. Ia disasarkan kepada golongan remaja/
belia berumur di antara 15 hingga 35 tahun. Jumlah pembaca
seramai 202,000 orang (AC Nielsen Q1, 2003) manakala jumlah
edarannya pula sebanyak 58,295 naskhah (The Audit Bureau
of Circulation - ABC 2002). Harga senaskhah RM2.00 bagi
Semenanjung dan RM2.70 bagi Sabah dan Sarawak.

4. Remaja

Majalah Remaja merupakan majalah untuk golongan remaja yang
paling popular di pasaran kerana is memaparkan informasi terkini
yang dapat memenuhi cita rasa peminatnya yang gemar bergaya,
bersemangat, dan aktif Ia diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf
Sdn. Bhd. bertemakan "Sensasi, Glamor, Informatif'. Jumlah
edaran sebanyak 100,000 naskhah. Harga senaskhah RM3.50 bagi
Semenanjung dan RM4.30 bagi Sabah dan Sarawak. Ia diterbitkan
pada setiap bulan.

5. Media Hiburan

Majalah hiburan sensasi ini memuatkan berita-berita terkini
tentang artis tempatan dan antarabangsa. la mula diterbitkan pada
12 April 1985 oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. bertemakan
"Top, Hit & Pop". Jumlah edaran sebanyak 50,000 naskhah. Harga
senaskhah RM3.50 bagi Semenanjung dan RM4.30 bagi Sabah
dan Sarawak. Ia diterbitkan pada setiap minggu.

Faktor-Faktor Pendorong

Faktor-faktor yang mendorong remaja Islam memilih lima
majalah utama ini adalah pelbagai dan berbeza antara satu sama
lain. Ini disebabkan perbezaan antara majalah sama ada dari
segi pendekatan, persembahan, mutu kertas, reka bentuk atau
pengisian.

154

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia..
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. telah mewujudkan Taman
web bagi majalah-majalah keluaran mereka khususnya majalah
Media Hiburan dan Remaja di alamat www.karangkraf.com.my/
Emajalah. Analisis telah dibuat terhadap 903 e-mel bagi majalah
Media Hiburan dan 702 e-mel bagi majalah Remaja untuk
mengenal pasti faktor-faktor pendorong remaja Islam memilih
majalah-majalah berkenaan. Kajian juga telah dibuat atas surat-
surat kiriman pembaca dalam ruangan-ruangan khas bagi majalah
keluaran Utusan Melayu (M) Berhad iaitu URTV, HAI, dan
Mangga. Kedua-dua pendekatan ini diambil dengan anggapan
bahawa maklum balas menerusi e-mel dan surat dilakukan oleh
pembaca setia, peminat, dan pelanggan tetap majalah.

Daripada basil analisis sampel-sampel berkenaan maka sebanyak
lapan faktor telah dikenal pasti sebagai pendorong para remaj a
memilih lima majalah hiburan ini sebagai pilihan utama mereka
iaitu:

1. Ruangan Gosip

Terdapat pembaca yang menjadikan ruangan gosip tentang
artis sebagai faktor utama mengapa mereka meminati sesebuah
majalah. Cerita-cerita `panas' yang sering dipaparkan menjadikan
mereka tidak sabar untuk mendapatkan keluaran terbaharu agar
tidak ketinggalan mengikuti berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi
apabila melibatkan artis kesayangan atau idola mereka. Gosip-
gosip liar atau nakal merangsang remaja untuk mengetahui
keadaan atau situasi sebenar.

Tentang isu ini, golongan remaj a atau pembaca terbahagi kepada
tiga kumpulan. Pertama, kumpulan yang mempercayai 100 peratus
gosip tersebut; kedua, kumpulan yang tidak mempercayainya
langsung; dan ketiga, kumpulan yang mengambil sikap
"tunggu dan lihat". Kumpulan pertama dan kedua akan segera
memberi maklum balas menerusi surat dan e-mel. Kecaman dan
ketidakpuasan hati mereka terserlah melalui gaya bahasa penulisan

155

lama! Penyelidikan Islam

mereka. Manakala kumpulan yang ketiga pula, lazimnya lebih
sederhana dalam penulisan dan komentar mereka. Apa yang pasti,
ketiga-tiga golongan ini akan terus mengikuti kesudahan kisah
gosip tersebut sama ada bagi membuktikan kebenaran pendirian
mereka ataupun untuk mengetahui hakikat.

Pendekatan majalah menjadikan gosip para artis sebagai pelaris
jualan turut mendorong remaja Islam memilih majalah tersebut.
Mengumpan pembaca dengan perkataan "panas", "eksklusif",
"gempar", "kecoh", dan seumpamanya seperti sudah sebati
dengan majalah hiburan ini. Ramai pembaca yang mengikuti
kisah-kisah gosip ini dengan penuh minat. Lebih malang lagi,
apabila sesetengah pembaca menjadi penyampai berita kepada
wartawan majalah. Hal ini semestinya amat dialu-alukan oleh
editor. Maklum balas sebegini menjadikan gosip tersebut semakin
mendapat perhatian pembaca. Ia seolah-olah satu bonus kepada
wartawan kerana mendapat pengesahan daripada orang ramai atas
gosip yang dipaparkan. Pengesahan sebegini juga sering menarik
perhatian pembaca.

2. Kisah Kehidupan Artis

Artis sebagai public figure sememangnya menjadi tumpuan
masyarakat. Masyarakat umum ingin mengetahui bagaimana rutin
seharian kehidupan seseorang artis. Apabila pihak majalah hiburan
memfokuskan kehidupan seharian artis dan mendedahkannya
kepada pembaca, maka sudah pasti is menjadi daya tarikan,
khususnya kepada golongan remaja.

Kesediaan para artis mendedahkan rutin kehidupan harian,
gaya hidup, personaliti, dan keperibadian mereka telah menarik
tumpuan pembaca dan peminat. Dalam keadaan di mana pembaca
atau peminat ingin mengetahui lebih lanjut atau lebih mendalam
perihal artis kesayangan mereka dan para artis pula men jadikan
pendedahan tersebut sebagai langkah meningkatkan populariti
mereka, maka kehadiran majalah sebagai orang tengah yang

156

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

menjayakan kedua-dua hasrat tersebut telah melonjakkan tarikan
masyarakat kepada majalah berkenaan. Tidaklah keterlaluan
jika dikatakan majalah hiburan ialah pihak oportunis terhadap
kehendak masyarakat semasa.

Banyak permintaan daripada pembaca menerusi e-mel dan surat
yang mahu pihak majalah membuat liputan perihal artis kesayangan
mereka seperti tentang rumah kediaman, ahli keluarga, sukan
kegemaran dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa ruangan
kehidupan artis menjadi fokus utama mereka sehingga mereka
mampu mengingati biodata artis termasuk apa yang disukai atau
dibenci, warna kegemaran, makanan kesukaan dan sebagainya.

3. Poster Dan Gambar Artis

Kelebihan sesetengah majalah hiburan adalah pada poster
artis atau selebriti yang disertakan di bahagian tengah majalah.
Terdapat pembaca yang berasa puas hati dan gembira apabila
dapat memiliki poster tersebut. Di samping itu, terdapat banyak
permintaan supaya penghias halaman hadapan majalah dan
gambar poster terdiri daripada artis atau selebriti yang menjadi
bintang pujaan mereka. Situasi sebegini menggambarkan betapa
kuatnya daya tarikan gambar dan poster seseorang artis dalam
mendorong remaja memilih sesebuah majalah sehingga ada yang
membeli terus keluaran terbaharu sebaik sahaja mengetahui artis
kesayangan mereka menjadi penghias majalah tanpa terlebih
dahulu melihat isi kandungannya. Pengakuan pembaca bahawa
poster-poster selebriti tersebut digantung di dinding dan di dalam
bilik mereka mengesahkan betapa kuatnya daya tarikan poster.

4. Berita Dunia Hiburan

Sebahagian pembaca menyukai sesebuah majalah hiburan
kerana is memaparkan berita dunia hiburan dari dalam dan luar
negara. Mereka amat tertarik dengan perkembangan terkini
tentang artis-artis luar negara seperti Korea, Jepun, dan Taiwan.

157

Jurnal Penyelidikan Islam

Mereka menjadikan majalah hiburan sebagai wadah utama untuk
mengetahui perkembangan terbaharu dunia hiburan. Keupayaan
pembaca membuat perbandingan antara satu majalah hiburan
dengan majalah hiburan yang lain menunjukkan betapa luasnya
pengetahuan mereka. Mereka juga sanggup melanggan beberapa
majalah hiburan yang berbeza.

Ulasan filem dan perakam kaset video/video compact disc
(VCD) terbaharu di dalam sesebuah majalah juga menarik minat
pembaca kerana ia merupakan sebahagian daripada dunia hiburan
selain bidang nyanyian. Dengan kata lain, asalkan ia berbentuk
hiburan, maka semua informasi diselitkan oleh pihak penerbit
majalah sehingga bunyi deringan telefon bimbit pun tidak terlepas
daripada liputan. Dalam hal sebegini, maka memang wajarlah
majalah hiburan menjadi pilihan utama remaja lantaran luasnya
ruang lingkup liputan yang diberi atas nama hiburan.

5. Berwarna-warni

Sesuatu yang menarik tentang majalah hiburan ialah keseluruhan
majalah ini berwarna-warni. Ini pastinya menarik minat pembaca
kerana berasa puas menatap gambar artis mereka yang bukan
sahaja berwarna, malahan bersaiz besar dan jelas. Gambar artis
yang diambil oleh jurufoto majalah lazimnya amat baik, menarik
dan berkualiti sehingga membuatkan pembaca tidak jemu-jemu
menatap gambar artis idola mereka.

6. Banyak Maklumat

Majalah hiburan mengandungi banyak maklumat dan tip berfaedah
berkaitan dengan kehidupan seseorang remaja. Antaranya ialah
informasi dari aspek kesihatan, pakaian, kerjaya, pemakanan,
sukan, motivasi, hiburan, kecantikan, kaunseling dan sebagainya.
Pendekatan penyampaian yang hampir dengan diri remaja
menjadikan majalah ini lebih `remaja' atau `mesra remaja'.

158

Sejarah dan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Pemilihannya di Kalangan Remaja

Kepelbagaian isi kandungan yang menepati kehendak diri dan
jiwa remaja menjadikan majalah hiburan terns menjadi pilihan
utama. Ramai pembaca yang sudah melewati usia remaja masih
terus melanggan majalah hiburan yang berkonsepkan remaja atas
alasan banyak maklumat dan informasi yang dapat diperoleh
daripadanya.

Sesungguhnya majalah merupakan kuasa yang merancakkan minda
atau pemikiran, menyalurkan maklumat dan berinteraksi dengan
para pembaca menerusi cara yang tidak dapat dilaksanakan oleh
media komersial lain seperti televisyen, akhbar malahan interne
sekalipun.5

7. Isu Semasa

Kupasan yang menarik berhubung dengan isu-isu semasa yang
dihubungkaitkan dengan dunia remaja juga menjadi faktor tarikan
para remaja kepada majalah hiburan. Antara isu yang pernah
disiarkan oleh sebahagian majalah secara berulang-ulang dalam
banyak keluaran ialah masalah sumbang mahram.

Terdapat pembaca yang bersedia membantu wartawan bagi
menjadikan kupasan sesuatu isu itu lebih menarik, lengkap,
menyeluruh, dan jauh daripada kekeliruan atau salah tanggapan.
Ini menunjukkan para remaja atau pembaca mengikuti kupasan
isu semasa yang dipaparkan dengan penuh minat, teliti dan peka.

Pilihan isu-isu semasa sebagai fokus utama sesuatu majalah
hiburan menjadikan majalah tersebut lebih hampir dan akrab
kepada masyarakat khasnya pembaca. Namun, tidak semua
majalah mengupas isu semasa secara serius, ilmiah, dan berat.
Ada majalah yang memilih pendekatan secara tidak langsung
iaitu melalui pelahiran rasa, cerpen, kisah benar, siri novel, liku

5 Anwar Ridhwan (2003), Penerbitan Majalah Melayu — Mengisi
Agenda Negara, Dewan Masyarakat, September, hlm 20.

159

Jurnal Penyelidikan Islam

kehidupan dan seumpamanya di mana isu semasa dijadikan
intipati dan mese] tersembunyi. Kedua-dua pendekatan paparan
isu semasa iaitu secara langsung dan secara tidak langsung
mempunyai peminat yang tersendiri.

8. Model Remaja

Kecenderungan pihak majalah memperkenalkan beberapa remaja
perempuan dan lelaki seumpama model menjadi daya tarikan para
pembaca. Remaja perempuan yang cantik dan remaja lelaki yang
tampan sering dipilih. Kejelitaan dan ketampanan mereka diberi
fokus utama di samping memaparkan mereka menggayakan
fesyen; dan paparan sedikit biodata. Jolokan Dewi Remaja dan
Hero Remaja sering menjadi tumpuan pembaca sehingga ada yang
meminta agar model remaja dipilih secara terbuka dan dipastikan
masih dalam usia remaja serta belum berkahwin. Tidak kurang juga
ada yang menghubungi model-model tersebut untuk berkenalan.
Ini membuktikan betapa sudut model remaja mendapat perhatian
yang tinggi di kalangan pembaca.

Penutup

Berdasarkan faktor-faktor pendorong yang dikemukakan ini maka
dapatlah kita menilai sejauh mana mentaliti golongan remaja dalam
membuat pilihan. Kesemua faktor ini menjelaskan kepada kita satu
persamaan iaitu faktor-faktor tersebut ialah sesuatu yang begitu
hampir dengan diri remaja. Dengan kata lain, untuk mendapat
perhatian golongan remaja maka unsur-unsur keremajaan tidak
dapat tidak mesti dipenuhi. Elemen-elemen hiburan, fantasi,
menarik perhatian orang lain dan mempunyai teman yang
memahami menjadi inti pati dalam hampir keseluruhan faktor ini.
Selayaknya ini dijadikan renungan dan panduan oleh pihak yang
berminat dalam merangka sebarang pendekatan untuk menguasai
pemikiran, kecenderungan dan personaliti remaja.

160

Sejarah clan Perkembangan Majalah Hiburan di Malaysia:
Analisis Faktor Peniilihannya di Kalangan Remaja

Rujukan

Abd. Jalil Ali (2003), Ketelusan dan Masalah Mendapatkan
Permit Majalah, Kertas kerja Simposium Dunia Permajalahan
Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Adi Satria (2003), Cabaran Iklan dalam Penerbitan Majalah
Berbahasa Melayu, Kertas kerja Simposium Dunia
Permajalahan Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Anwar Ridhwan (2003), Penerbitan Majalah Melayu — Mengisi
Agenda Negara, Dewan Masyarakat September, hlm 20.

Datuk Dr Hassan Ahmad (2003), Kesan Dasar Bahasa Terhadap
Penerbitan Majalah, Kertas kerja Simposium Dunia
Permajalahan Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hamedi Mohd Adnan (2003), Perkembangan Majalah Melayu
Selepas Merdeka Sehingga 1999, Kertas kerja Simposium
Dunia Permajalahan Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Jeniri Amir dan Hamedi Mohd Adnan (2003), Profil Majalah
Melayu Sebelum Perang, Kertas kerja Simposium Dunia
Permajalahan Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Johan Jaaffar (2003), Wartawan Hiburan Persepsi Masyarakat,
Dewan Masyarakat Julai, hlm 32-33.

Mohd Zakaria Ghazali (2002), Penerbitan Majalah Kumpulan
Karangkraf Sdn. Bhd. Temu bual, 2 April.

161

Jurnal Penyelidikan Islam

Rossfa Hashim (2003), Penerbitan Majalah Ekonomi Melayu
1917-2000, Kertas kerja Simposium Dunia Permajalahan
Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Suratman Markasan (2003), Penerbitan Majalah Melayu di
Singapura Selepas Perang Dunia Kedua: Sebab Muncul,
Penutupan dan Masa Depannya, Kertas kerja Simposium
Dunia Permajalahan Melayu 2003 pada 12-13 Ogos 2003,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

William R.Roff (1972), Bibliography of Malay and Arabic
Periodicals Published in the Straits Settlements and Peninsular
Malay States 1876-1941. London: Oxford Univ. Press.

1E0


Click to View FlipBook Version