Karangan 17
Persatuan Bahasa Malaysia sekolah anda telah mengadakan lawatan ke Tanah
Tinggi Cameron. Selaku setiausaha persatuan, tulis laporan tentang lawatan itu.
Laporan Lawatan ke Tanah Tinggi Cameron
Pada 28 September 2007, sebanyak 25 orang ahli Persatuan Bahasa Malaysia,
sekolah Kebangsaan Damai, Klang telah mengadakan lawatan ke Tanah Tinggi
Cameron. Kami bertolak dari sekolah tepat jam 6.30 pagi bersama-sama lima guru
pengiring.
Tempat lawatan kami yang pertama ialah kebun sayur. Kami begitu kagum melihat
keluasan kawasan kebun itu bersama-sama dengan kepelbagaian jenis sayur yang
ditanam. Antaranya ialah kubis, lobak merah, cili dan sawi. Semua tanaman itu
kelihatan segar dan lebih besar daripada kebiasaan yang kami nampak di pasar
biasa.
Kemudian, kami melawat pula ke bunga. Sebaik sahaja sampai, semua pelajar
berasa begitu gembira kerana melihat keindahan bunga yang pelbagai warna itu.
Puan Erra iaitu salah seorang guru pengiring kami telah membeli beberapa jambak
bunga ros untuk hiasan di rumahnya kelak. Kami mengambil banyak gambar di
kebun bunga yang memang indah itu.
Lawatan kami yang seterusnya ialah lading teh. Penyelia lading itu telah membawa
kami berjalan ke kawasan ladang sambil menerangkan jenis-jenis pokok teh dan
proses menghasilkan teh. Penerangan yang diberikan itu telah banyak memberikan
informasi baru kepada kami tentang teh. Ladang itu memiliki banyak pekerja.
Sebelum balik ke Klang, kami telah menghabiskan masa dengan berkelah di
kawasan air terjun. Di situ, kami sedang mandi-manda dan menikmati bekalan
yang sudah dibawa. Setelah berada hampir sejam di kawasan itu, bas kami bertolak
ke Klang dan sampai di Bandar itu menjelang jam 8 malam.
Sebenarnya, lawatan ini telah banyak memberi pengetahuan dan pengalaman baru
kepada pelajar semua. Kami bercadang utnuk melawat ke tempat lain pula
sekiranya berpeluang.
Laporan disediakan oleh, 28 Oktober 2008.
Kamal Sulaiman
(Kamal bin Sulaiman)
Setiausaha
Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Damai, Klang.
Karangan 18
Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergoyong-royong:.
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan
hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin.
Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan
yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.
Hadirin sekalian,
Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud
mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama.
Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara
bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.
Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan
cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis
perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat
bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang
datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya,
sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.
Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga
hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa
tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya
interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.
Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita
sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu
mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu
dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung
kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.
Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah
saya mengundurkan diri dahulu.
Sekian, terima kasih
Karangan 19
Pendidikan masa depan harus berteraskan teknologi maklumat.
Sebagai pencadang, sediakan teks perbahasan anda.
Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang Berusaha Tuan Pegawai Pendidikan
Daerah, uru Besar, guru-guru, panel hakim yang arif lagi bijaksana, serta hadirin
sekalian.
Pada hari ini, saya selaku pihak pencadang ingin membahaskan tajuk yang
diberikan kepada saya yakni, “Pendidikan Masa Depan Harus Berteraskan
Teknologi Maklumat”.
Hadirin sekalian,
Kita semua sudah sedia maklum bahawa teknologi maklumat akan menguasai
dunia. Semua teknologi yang ada kini pasti mempunyai kaitan dengan teknologi
maklumat yakni memudahkan manusia untuk mendapatkan sebarang informasi di
hujung jari mereka sahaja terutamanya penggunaan internet. Lantaran itu,
pendedahan akan teknologi maklumat perlulah diberikan kepada pelajar seawal
mungkin.
Cara yang paling mudah adalah menjadikan teknologi maklumat sebagai perantara
utama dalam sistem pendidikan engara. Pendedahan yang sebegini akan
menjadikan pelajar kita sudah biasa dengan teknologi ini lalu mereka tidak lagi
berasa kekok untuk menggunakannya pada masa hadapan. Pada masa yang sama
semua pelajar ini akan menjadi celik komputer yang pastinya memudahkan lagi
usaha menguasai teknologi maklumat kelak.
Penggunaan teknologi maklumat terutamanya komputer dalam pembangunan
negara bukanlah sesuatu yang asing terutama dalam aspek ekonomi. Semua urusan
perniagaan kini mampu dilakukan menerusi komputer dengan begitu mudah dan
telur. Kemampuan mendedahkan pelajar dengan teknologi maklumat di sekolah
bakal menghasilkan satu sumber manusia yang sudah mahir menggunakan
teknologi ini sejak muda lagi.
Sidang dewan yang dihormati,
Kita mesti menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk menjadikan pendidikan
masa depan berteraskan teknologi maklumat. Tindakan bijak kerajaan ini mampu
menjana pertumbuhan pembangunan negara menjadi lebih rancak dan stabil pada
masa mendatang berbanding negara jiran kita. Pada masa yang sama wawasan
negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 pasti tercapai dengan
mudah.
Sekian, terima kasih.
Karangan 20
Tulis sebuah berita tentang kejadian pelajar mati lemas.
KUALA LUMPUR, 2 April – Dua pelajar mati lemas ketika berenang bersama-
sama empat rakan mereka di sebuah tasik di Ampang. Mereka yang lemas itu
dikenali sebagai Ahmad bin Ali dan Kamal bin Murad. Kedua-duanya berumur 13
tahun dan merupakan pelajar di Sekolah Menengah Jalan Padang Tembak di sini.
Menurut empat lagi rakan mereka yang berada di tempat itu, tragedi itu berlaku
kira-kira jam 4 petang. Kedua-dua pelajar itu berenang bersama-sama rakan
mereka yang lain di tasik yang sering dikunjungi oleh orang ramai terutama pada
hujung minggu tetapi ketika kejadian itu tidak ada sesiapa yang datang membantu
mereka.
Keempat-empat rakan mereka cuba memberi bantuan tetapi gagal untuk
menyelamatkan dua mangsa lemas tersebut. Pihak polis berjaya menjumpai mayat
kedua-dua mangsa selepas empat jam menjalankan operasi mencari kerana tasik itu
agak dalam dan airnya agak keruh. Faktor hujan turut melambatkan operasi
mereka juga.
Tasik itu memang menjadi tempat tumpuan masyarakat terutama pada hujung
minggu. Namun, kawasan tasik itu merupakan tempat larangan berenang dan
kelihatan tanda amaran diletakkan di beberapa kawasan strategik di tasik tersebut.
Kebanyakan pelajar masih tidak memberi perhatian penting akan faktor
keselamatan diri mereka apabila berenang di tasik tersebut.
Pihak pengurusan tasik bercadang untuk meningkatkan tahap kelsematan di
kawasan tersebut dengan menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan untuk
mengawasi tingkah laku remaja yang menyalahgunakan kemudahan di tasik
tersebut.
Karangan 21
Lengkapkan surat di bawah untuk memberitahu keluarga anda
tentang kehidupan anda di asrama.
Sekolah Teknik Tuanku Jaafar,
Jalan Jejaka 2, Ampangan,
45500, Seremban,
Negeri Sembilan.
28 Ogos 2009.
Menemui ayahanda dan bonda, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Anakanda di sini dalam keadaan sihat jua.
Ayahanda,
Sudah genap sebulan anakanda berada di asrama sekolah ini. Sepanjang tempoh itu
anakanda sering teringat akan kehidupan bersama-sama dengan ayahanda dan
bonda tetapi anakanda sedar perpisahan ini sementara sahaja.
Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, pada hujung bulan April nanti, anakanda
akan menduduki peperiksaan sekolah. Oleh itu, setiap hari anakanda belajar
mengulangkaji pelajaran sebaik sahaja selesai sesi persekolahan biasa. Pada
sebelah malam pula anakanda dan pelajar yang lain wajib menghadiri sesi belajar
yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir asrama ini selama dua jam setiap hari
kecuali sabtu dan ahad.
Anakanda berasa gembira di asrama ini kerana kehidupan di sini memberikan satu
pengalaman baru buat anakanda. Bukan sahaja anakanda belajar berdikari tetapi
anakanda juga mula sedar bahawa kehidupan pada masa hadapan banyak
bergantung kepada sikap anakanda untuk menghadapi sebarang cabaran.
Rakan-rakan serta guru-guru di sini banyak memberi bantuan. Hubungan anakanda
dengan mereka semua berjalan lancar dan yakin prestasi pelajaran anakanda akan
semakin bertambah baik nanti.
Akhir kata, doakanlah kejayaan anakanda di sini dan anakanda akan senantiasa
merindui ayahanda serta bonda di sana.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Mustapha Kamal
Karangan 22
Majalah berbentuk komik ada kebaikan dan keburukannya untuk
pelajar. Bincangkan.
Komik merupakan bahan bacaan yang digemari oleh remaja kini. Amalan
membaca komik sudah menjadi sesuatu yang lumrah sehingga amalan ini
membawa pelbagai impak kepada pelajar.
Kebaikan ketara membaca komik ialah pelajar mampu berlibur yakni berehat
untuk menenangkan emosi dan jiwa mereka dengan tenang. Penggunaan gambar
yang menarik dan jalan cerita yang unik menjadikan pembacaan komik satu
amalan yang menghiburkan Pada masa yang sama, amalan membaca komik ini
juga secara tersirat menjadikan seseorang pelajar itu minat untuk membaca.
Semakin banyak bahan komik yang dibaca sudah pasti timbul minat untuk
membaca sebarang bahan termasuklah buku teks yang pastinya memberikan kesan
positif kepada pelajar kita.
Namun, komik juga membawa impak negatif yakni harga bahan bacaan berunsur
komik yang begitu tinggi ini. Sudah pasti pelajar akan menghabiskan sejumlah
wang yang banyak untuk membeli bahan komik ini setiap minggu atau bulan yang
boleh digunakan untuk membeli keperluan penting lain juga.
Komik juga sering dianggap pencetus unsur keganasan kerana banyak aksi yang
dipaparkan melambangkan aspek keganasan. Tambahan pula, keganasan ini
menyebabkan pelajar mudah terpengaruh lalu berusaha untuk menirunya sehingga
menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat pula.
Kesimpulannya, pelajar perlu bijak untuk menilai jenis komik yang sesuai untuk
dibaca oleh mereka. Pelajar harus sedar bahawa sebarang pembacaan perlulah
berlandaskan rasa bertanggungjawab dan memberi informasi yang berguna.
Karangan 23
Andaikan anda seekor arnab. Tulis riwayat hidup kamu.
Nama saya arnab perang tetapi kadangkala saya mendengar orang memanggil saya
dengan nama sicomel. Kehidupan saya banyak di sebuah kedai haiwan. Setahu
saya, sejak kecil lagi saya sudah berada di kedai ini.
Saya ditempatkan di dalam sebuah sangkar yang agak besar bersendirian. Keadaan
sangkar itu juga bersih kerana pemilik kedai ini sering menjaga binatang
peliharaannya dengan baik. Di sebelah sangkar saya tinggal seekor arnab lain yang
dikenali sebagai arnab telinga panjang dan di sebelah kiri saya pula sangkar seekor
arnab berwarna hitam.
Suatu hari saya telah dibawa keluar dari sangkar itu dan dibawa pulang oleh
seorang lelaki. Sebaik sahaja tiba di rumah lelaki itu, saya terus diberikan kepada
seorang budak perempuan. Mungkin umur budak itu antara 8-11 tahun. Budak itu
terus memeluk saya dengan kuat dan mencium muka saya.
Sejak hari itu saya terus tinggal di rumah besar itu. Kawasan sangkar saya pula
agak besar malah lebih besar daripada tempat lama saya itu. Setiap hari budak
perempuan itu akan memastikan sangkar saya mempunyai bekalan air dan
makanan yang cukup. Saya juga sering kali dimandikan olehnya. Kadangkala
budak itu menggunakan sejenis cecair yang menyebabkan bulu saya berwarna
wangi.
Sesungguhnya, kehidupan saya di tempat baru ini memang menarik kerana saya
sedar budak itu begitu memahami dan menjaga keselesaan hidup saya. Mungkin
saya akan hidup lama di rumah ini.
Karangan 24
Anda telah terpilih untuk menyertai pertandingan syarahan antara
kelas. Tajuk syarahan itu ialah “Keburukan Siaran Televisyen
Kepada Kanak-kanak.”. Tulis teks syarahan anda selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana,
Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi
ini ialah “Keburukan Siaran Televisyen Kepada Kanak-kanak.”
Hadirin sekalian,
Akibat pembangunan negara yang begitu pesat hampir semua penduduk negara ini
sudah memiliki televisyen di rumah mereka. Televisyen sudah diketahui mampu
bertindak sebagai alat penyebaran maklumat yang berkesan kepada negara ini.
Pada masa yang sama unsur hiburan turut ditimbulkan oleh televisyen menerusi
penyiaran program dalam dan luar negara itu.
Namun, peranan televisyen yang membawa kebaikan itu turut menyelitkan impak
buruk yang ketara kepada kanak-kanak di negara ini. Kebanyakan program yang
ditayangkan itu merupakan program import yang memaparkan pelbagai unsur
ganas yang tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak seperti rompakan dan
pembunuhan. Sikap menonton program ini dengan kerap akan menyebabkan
kanak-kanak cuba meniru aksi tersebut.
Selain itu, televisyen menyebabkan kanak-kanak menghabiskan terlalu banyak
masa dengan menonton tanpa membuat sebarang aktiviti yang berfaedah seperti
membuat kerja sekolah mereka. Alasan menonton program kesukaan mereka
sering menjadi alasan yang menyebabkan banyak aktiviti lain terganggu. Keadaan
ini boleh menyebabkan prestasi peperiksaan mereka menurun lalu menimbulkan
pelbagai kesan negatif kepada kanak-kanak itu pada masa hadapan pula.
Hadirin yang dihormati,
Semua pihak terutama ibu bapa perlu sedar akan pentingnya sikap mengawal
amalan menonton televisyen ini dengan lebih baik. Ibu bapa harus mengutamakan
program yang mampu menambahkan pengetahuan dan memupuk sikap baik dalam
diri kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan pemimpin negara pada masa
hadapan. Kita perlu sedar bahawa rancangan televisyen dapat mempengaruhi
fikiran dan tindakan kanak-kanak. Oleh itu, pilihlah rancangan televisyen yang
sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak.
Sekian, terima kasih.
Karangan 25
Anda telah terpilih untuk menyertai pertandingan syarahan antara
kelas. Tajuk syarahan itu ialah “Keburukan Siaran Televisyen
Kepada Kanak-kanak.”. Tulis teks syarahan anda selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana,
Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi
ini ialah “Keburukan Siaran Televisyen Kepada Kanak-kanak.”
Hadirin sekalian,
Akibat pembangunan negara yang begitu pesat hampir semua penduduk negara ini
sudah memiliki televisyen di rumah mereka. Televisyen sudah diketahui mampu
bertindak sebagai alat penyebaran maklumat yang berkesan kepada negara ini.
Pada masa yang sama unsur hiburan turut ditimbulkan oleh televisyen menerusi
penyiaran program dalam dan luar negara itu.
Namun, peranan televisyen yang membawa kebaikan itu turut menyelitkan impak
buruk yang ketara kepada kanak-kanak di negara ini. Kebanyakan program yang
ditayangkan itu merupakan program import yang memaparkan pelbagai unsur
ganas yang tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak seperti rompakan dan
pembunuhan. Sikap menonton program ini dengan kerap akan menyebabkan
kanak-kanak cuba meniru aksi tersebut.
Selain itu, televisyen menyebabkan kanak-kanak menghabiskan terlalu banyak
masa dengan menonton tanpa membuat sebarang aktiviti yang berfaedah seperti
membuat kerja sekolah mereka. Alasan menonton program kesukaan mereka
sering menjadi alasan yang menyebabkan banyak aktiviti lain terganggu. Keadaan
ini boleh menyebabkan prestasi peperiksaan mereka menurun lalu menimbulkan
pelbagai kesan negatif kepada kanak-kanak itu pada masa hadapan pula.
Hadirin yang dihormati,
Semua pihak terutama ibu bapa perlu sedar akan pentingnya sikap mengawal
amalan menonton televisyen ini dengan lebih baik. Ibu bapa harus mengutamakan
program yang mampu menambahkan pengetahuan dan memupuk sikap baik dalam
diri kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan pemimpin negara pada masa
hadapan. Kita perlu sedar bahawa rancangan televisyen dapat mempengaruhi
fikiran dan tindakan kanak-kanak. Oleh itu, pilihlah rancangan televisyen yang
sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak.
Sekian, terima kasih.
Karangan 26
Sejak akhir-akhir ini, masyarakat begitu bimbang tentang masalah
salah laku yang melanda pelajar-pelajar. Tulis sebuah karangan
tentang cara-cara mengatasi masalah tersebut.
Masalah salah laku dalam kalangan murid memang semakin membimbaangkan
terutama di kawasan bandar. Media massa sering menjadikan isu salah laku pelajar
ini sebagai berita utama mereka. Pada masa yang sama wujud pelbagai langkah
yang boleh dilakukan untuk mengatasi kemelut sosial yang melanda golongan
muda negara ini.
Tindakan yang paling efektif ialah pelajar-pelajar perlu diberikan pendedahan
motivasi. Langkah ini mampu menguatkan jati diri pelajar supaya lebih tabah
menghadapi dugaan kehidupan remaja yang penuh cabaran. Pelajar juga boleh
diselitkan dengan pendedahan ilmu keagamaan dan moral yang tinggi.
Malah, pihak sekolah perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling yang berkualiti
di sekolah mereka. Semua pelajar yang sejak awal dikesan bakal mempunyai
masalah salah laku perlu menghadiri sesi kaunseling yang konsisten. Pengawasan
sebegini memastikan gejala ini mampu ditangani sejak awal lagi.
Selain itu, pihak berkuasa turut boleh memainkan peranan dengan mengawal
penyiaran unsur-unsur hiburan yang tidak bermoral terutama di media massa.
Kawalan yang ketat memastikan media massa tidak menyiarkan sebarang budaya
negatif yang boleh ditiru oleh golongan muda ini pula. Kerajaan harus memandang
jauh dalam usaha menangani kemelut sosial ini.
Tambahan pula, sikap pelajar itu sendiri perlu berubah. Semua pelajar harus
memiliki jati diri yang utuh untuk menghalang mereka terjebak ke dalam masalah
salah laku ini. Pelajar harus bijak menilai perkara yang buruk dan baik lalu
membuat keputusan dengan sebaik mungkin.
Kesimpulannya, masalah salah laku dalam kalangan pelajar di negara ini harus
ditangani secara holistik. Semua pihaak perlu bekerjasama melaksanakan perana
mereka baik ibu bapa, kerajaan dan pelajar itu sendiri. Pelajar merupakan
pemimpin negara pada masa hadapan.
Karangan 27
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Cara-cara Menggunakan
Masa dengan Bijak”.
Masa amat penting buat seseorang manusia itu. Manusia yang tidak tahu
menggunakan masanya dengan baik sering kali dikatakan manusia yang tidak
bijak. Maka, ada pelbagai cara yang membolehkan masa seseorang itu habiskan
dengan baik.
Tindakan pertama ialah manusia menghabiskan sebahagian besar masanya dengan
melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Antara aktiviti ini ialah bekerja,
melakukan hobi atau menghabiskan masa dengan membaca buku. Semua aktiviti
yang dilakukan ini boleh membawa manfaat kepada seseorang itu.
Selain itu, seseorang itu terutamanya pelajar boleh menggunakan masanya dengan
mengulang kaji pelajarn mereka. Tindakan ini bukan sahaja memastikan masa
mereka dihabiskan dengan efektif malah aspek pendidikan pelajar itu turut
meningkat. Semakin banyak masa dihabiskan dengan membaca bahan sekolah
semakin baiklah buat pelajar tersebut.
Masa yang ada juga boleh digunakan untuk mempelajari ilmu keagamaan. Kita
semua sedia maklum tanpa benteng agama sudah pasti seseorang itu mudah
melakukan perkara yang tidak baik. Pada masa yang sama mempelajari ajaran
agama menjadikan seseorang itu insan yang lebih sempurna.
Malah, seseorang itu juga boleh menghabiskan masa dengan bersenam terutama
ketika waktu petang. Amalan yang positif ini mampu memberikan tahap kesihatan
yang baik kepada seseorang itu dalam jangka masa panjang. Kajian perubatan juga
membuktikan bahawa senaman mampu menjadikan minda seseorang itu lebih
cerdas.
Kesimpulannya, setiap manusia berhak menghabiskan masanya dengan baik.
Mereka yang bijak sahaja mampu memenuhi masanya dengan amalan yang positif.
Mereka yang degil sahaja pasti akan kehilangan kepentingan masa dalam
kehidupan mereka itu.
Karangan 28
Tulis sebuah karangan yang bertajuk „Jika aku Seorang Jutawan”.
Panjangnya karangan anda tidak kurang daripada 80 patah
perkataan.
Aku memang berhasrat untuk menjadi jutawan. Dengan memiliki wang dan harta
yang banyak, pelbagai perkara mampu dilakukan buaat diriku dan orang lain
terutama keluarga tercinta. Semua impianku pasti akan terlaksana dengan menjadi
seorang jutawan itu.
Namun, usaha menjadi seorang jutawan memerlukan ketekunan yang tinggi.
Langkah awal untuk menjadi jutawan ialah aku perlu belajar dengan baik sehingga
berjaya memasuki menara gading. Kemudian, aku perlu memiliki satu kerjaya
yang baik. Ketika inilah perancangan amat penting terutama sikap menyimpan
wang harus diamalkan dengan lebih praktikal lagi.
Sebaik sahaja menjadi jutawan, aku akan memberikan derma kepada badan-badan
kebajikan yang amat memerlukan bantuan seperti rumah anak yatim dan orang tua.
Wang derma itu mungkin mampu menjadikan individu yang bernasib malang ini
lebih ceria dan mampu meneruskan kehidupan harian mereka dengan baik.
Aku juga akan memberikan sejumlah wang kepada ayah dan ibu sebagai bekalan
masa tua mereka. Wang itu akan disimpan dalam satu akaun amanah yang akan
memberikan wang secara bulanan kepada ibubapaku dengan lancar. Jasa mereka
mendidik aku ketika kecil sehingga berjaya harus menjadikan tugas menjaga
mereka satu kewajipan yang utama.
Selain itu, aku juga akan mula membuka perniagaan keluarga pula. Buat masa ini
aku belum dapat memikirkan jenis perniagaan itu tetapi yakin perniagaan itu bakal
menjanjikan sumber pendapatan yang mantap buat diri sendiri dan keluarga untuk
satu jangka masa yang lama. Aku sedar semua perniagaan mempunyai risiko tetapi
aku yakin akan kemampuan diri.
Aku amat berharap dan berdoa agar impianku menjadi realiti. Sehingga impian itu
menjadi kenyataan, aku akan terus berusaha dengan gigih mencapainya kerana
semua impian tanpa usaha hanyalah satu angan-angan siang hari sahaja.
Karangan 29
Tulis sebuah karangan yang bertajuk „Dikejar Seekor Harimau”.
Pada cuti sekolah yang lalu, aku telah mengikuti satu aktiviti meredah hutan
anjuran persatuan pengakap sekolah. Aku dan beberapa rakan yang lain telah siap
mendirikan khemah kami lalu duduk menikmati makanan di kawasan unggun api.
Malam memang gelap tetapi cahaya api unggun mampu memberikan sedikit
cahaya ketika itu.
Tiba-tiba aku mendapati semua rakan-rakanku hilang satu demi satu. Aku
memandang ke kiri dan ke kanan tetapi tidak menemukan sesiapun. Mereka
soelah-olah ghaib begitu sahaja ditelan kegelapan malam itu. Aku mula panik dan
cuba bangun untuk menuju ke khemahku. Mungkin di sana aku akan menemui
rakan-rakan semula.
Namun, sebaik sahaja aku memusingkan badan ke arah khemahku kelihatan satu
makhluk di depan khemah dengan matanya merah menyala. Semakin lama
semakin jelas mahkluk itu. Jantungku terus berdegup kencang kerana menyedari
makhluk itu ialah seekor harimau belang yang begitu besar. Bunyi ngaumannya
menyebabkan aku menutup telinga dengan lama.
Aku berlari dengan kuat ke arah yang bertentangan. Peluh mula menitis pantas
mungkin kerana rasa takut. Larianku tidak mempunyai arah hanya mahu
menyelamatkan diri daripada haiwan pemangsa yang ganas ini. Tiba-tiba, kakiku
tersandung akar pokok lalu aku tercampak di tengah-tengah hutan itu. Bunyi tapak
kaki harimau semakin lama semakin hampir. Bunyinya begitu menakutkan. Aku
sedar maut sedang berada di depanku sahaja. Aku terus menjeris kuat dengan mata
tertutup rapat.
Tidak lama kemudian, aku terdengar suara orang memanggilku. Suara yang biasa
aku dengar. Aku tersedar. Rupa-rupanya aku bermimpi dan ibu sedang berada di
sebelahku. Dia hanya tersenyum tetapi aku terus memandang tepat ke arah gambar
poster harimau yang tergantung di bilikku itu.
Karangan 30
Tulis karangan dengan berdasarkan peribahasa „genggam bara api
biar jadi arang‟. Panjangnya karangan anda itu tidak kurang
daripada 80 patah karangan.
Dalam budaya Melayu terdapat pelbagai peribahasa yang bukan sahaja sedap
untuk didengar tetapi mempunyai maksud yang tersirat. Peribahasa „genggam bara
api biar jadi arang‟ merupakan antara peribahasa yang menjadi pegangan hidup
masyarakat negara ini kerana peribahasa ini bermaksud jika kita melakukan
sesuatu pekerjaan yang sukar hendaklah dilaksanakan dengan sabar sehingga
berjaya memperoleh manfaatnya.
Peribahasa ini menuntut seseorang supaya melakukan sesuatu sehingga berjaya
jadi peribahasa ini mampu memberikan panduan kepada kita semua dalam
kehidupan. Usaha mengamalkan peribahasa ini menjadikan seseorang itu berusaha
dengan tekun seperti pelajar yang pastinya akan terus belajar untuk mencapai
impian mereka.
Pada masa yang sama, peribahasa ini turut memberikan peringatan bahawa dalam
usaha mencapai sesuatu itu pasti akan wujudnya cabaran yang getir. Untuk
mendapatkan kejayaan yang baik seseorang itu hendaklah mampu menahan atau
menangani cabaran yang wujud itu dengan sebaik mungkin. Sama seperti bara api
yang begitu panas tetapi jika digenggam dengan baik akan menjadi arang yang
membuktikan betapa cabaran akan menjadi mudah jika dihadapi dengan baik.
Selain itu, peribahasa ini turut menegaskan peri pentingnya sikap tidak berputus
asa dalam mencapai cita-cita. Sikap putus asa bukan sahaja akan melunturkan daya
juang seseorang malah mampu menjejaskan keyakinan diri seseorang jua. Maka,
peribahasa ini mengajak kita agar tidak mudah mengaku kalah dan terus berjuang.
Kesimpulannya, peribahasa ini memang sesuatu yang positif untuk diamalkan. Kita
bukan sahaja akan berjaya malah kehidupan seseorang itu akan menjadi lebih baik
jika memegang utuh maksud peribahasa ini.
Karangan 31
Tulis sebuah cerita yang bertajuk „Belakang parang sekalipun kalau
diasah nescaya akan menjadi tajam juga‟. Panjangnya karangan anda
tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Keputusan peperiksaan penggal pertama yang sudah diumumkan dua hari lalu.
Amirul hanya berdiam diri sahaja sambil tangannya memegang buku laporannya
dengan matanya masih berair merah. Dia masih berada di tangga terakhir dalam
kelas.
Ketika duduk di tepi pintu pagar sekolahnya menanti bas sekolahnya, dia dihampiri
oleh Cikgu Azman. Guru muda itu memang rapat dengan Amirul lalu memberikan
nasihat agar Amirul tidak bersediah lagi. Cikgu Azman menjelaskan bahawa
semua orang boleh berjaya kerana „belakang parang sekalipun kalau diasah
nescaya akan menjadi tajam juga‟.
Sebaik sahaja mendengar kata-kata gurunya itu, Amirul bangun lalu bertekad akan
belajar dengan bersungguh-sungguh mulai hari itu. Dia mengucapkan terima kasih
kepada Cikgu Azman lalu berjalan menuju ke arah bas yang sudah menunggunya
itu. Hati Amirul sudah membuat keputusan untuk mendapat kejayaan cemerlang
dalam UPSR kelak.
Sejak itu Amirul mula belajar dengan tekun. Dia sering memberikan perhatian
ketika guru mengajar di dalam kelas. Semua latihan guru dilakukannya dengan
segera dan penuh tumpuan. Semua kelas tambahan yang diberikan oleh gurunya
dihadiri tanpa banyak alasan lagi. Amirul tidak lagi banyak menghabiskan
masanya dengan bermain di padang atau di kelas.
Perubahan sikap Amirul itu mula menyaksikan prestasi peperiksaan semakin
bertambah baik. Guru-guru sekolahnya juga mula menyedari perubahan sikap
Amirul itu lalu mereka terus memberikan sokongan padu agar perubahan ini
berterusan. Sokongan guru-guru ini menjadikan Amirul semakin bersemangat
untuk melakukan yang terbaik dalam UPSR yang bakal berlangsung tidak lama
lagi.
Apabila keputusan UPSR diumumkan, hati Amirul penuh ceria dan bangga. Dia
berjaya mendapat 4A dan 1B yang merupakan satu pencapaian yang cemerlang
buat dirinya. Kejayaan itu membuatkan dia semakin yakin untuk terus berjaya
terutama dalam peperiksaan PMR kelak.
Karangan 32
Rakan anda mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sekolah
berasrama penuh. Tulis sepucuk suraat kepada rakan anda itu.
23, Jalan Maharaja 2/2
Taman Desa Maharaja
77660, Jitra,
Kedah.
28 Oktober 2009.
Ke hadapan sahabatku saudara Halim yang kini berada di Selangor. Semoga
saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera. Saya dan keluarga di sini dalam
keadaan sihat belaka.
Saudara,
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan
saudara diterima memasuki sekolah berasrama penuh di Selangor itu. Kejayaan ini
membuktikan bahawa impian saudara untuk belajar di sekolah berasrama sudah
tercapai. Saya yakin saudara berasa begitu ceria.
Pada masa yang sama saya juga akan kehilangan saudara sebagai sahabat saya.
Walaupun kita akan berjauhan tetapi saya yakin kita akan terus berhubungan antara
satu sama lain. Kehadiran saudara sebagai sahabat saya telah banyak membantu
saya menjalani kehidupan dengan lebih baik terutama ketika menghadapi
peperiksaan UPSR yang lalu itu.
Saya berharap saudara akan terus berjaya dalam pelajaran dan impian saudara
untuk menjadi seorang doktor kelak. Dalam mengejar impian itu saya berharap
saudara akan terus mengirim khabar berita buat saya di sini. Begitu juga dengan
diri saya akan terus memaklumkan perkembangan diri saya kepada saudara.
Setakat ini sahaja buat kali ini. Semoga saudara berjaya menjalani kehidupan baru
di sekolah berasrama itu. Saya juga berharap agar kita mempunyai peluang untuk
berrtemu lagi.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Azman
Karangan 33
Sebagai seorang pakar motivasi, anda telah diundang untuk
memberikan ceramah yang bertajuk, „Sekolahku, Rumahku‟.
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Selamat sejahtera buat guru-guru dan murid-
murid sekalian. Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih atas jemputan
pihak sekolah untuk saya memberikan ceramah yang bertajuk, „Sekolahku,
Rumahku‟.
Sebaik sahaja kita membicarakan mengenai „sekolahku‟ dan „rumahku‟ kita
sebenarnya memperkata perkara yang serupa. Rumah dan sekolah merupakan
tempat yang mampu memberikan pendidikan kepada pelajar. Justeru, pelajar yang
mampu menganggap sekolahnya umpama rumahnya, sudah psti pelajar itu mampu
belajar dengan lebih baik kerana hubungannya dengan pihak guru terjalin dengan
baik sama seperti hubungan rapat mereka dengan ibubapa. Hubungan yang positif
sebeginilah yang mampu memberikan impak positif kepada aspek pembelajaran
pelajar itu.
Selain itu, sekolah yang dianggap sebagai rumah sendiri mampu membentuk
sahsiah yang baik kepada pelajar tersebut. Amalan menjaga kebersihan, sikap
menghormati dan berdisiplin yang diamalkan di rumah dibawa ke sekolah
menjadikan murid-murid lebih berperibadi mulia.
Hadirin sekalian,
Sekolah merupakan gedung ilmu yang hanya menunggu untuk digunakan oleh
pelajar. Maka, pelajar yang selesa untuk menggunakan kemudahan sekolah ini
seperti di rumahnya pasti akan mendapat banyak manfaatnya. Perasaan keserasian
sebeginilah yang mampu menjadikan kehidupan pelajar di sekolah itu sesuatu yang
seronok dan merangsang minat untuk belajar.
Saya yakin jika semua informasi yang saya sebutkan tadi dapat difahami oleh
pelajar semua, maka impian kita untuk menjadikan sekolahku rumahku akan
menjadi kenyataan. Sebagai mengakhiri ceramah ini, ingin saya tegaskan bahawa
kejayaan sesuatu usaha itu banyak bergantung kepada kesungguhan dan kerjasama
semua pihak untuk mencapainya. Sekian, terima kasih.
Karangan 34
„Telefon merapatkan hubungan‟. Tulis sebuah karangan berdasarkan
tajuk yang diberikan.
Telefon merupakan hasil cipata seorang lelaki yang dikenali sebagai Alexander
Graham Bell. Ciptaan beliau itu kini telah menjadi salah satu alat telekomunikasi
yang popular terutama kepada generasi muda. Kini akibat perubahan teknologi
yang canggih pelbagai jenis telefon telah muncul seperti telefon talian tetap,
mudah alih dan telefon awam.
Telefon masih menjadi pilihan ramai walaupun kini persaingan sengit daripada alat
telekomuniasi lain mula kelihatan. Alat ini menjadi pilihan kerana penggunaan
yang cepat dan mudah. Kewujudan alat ini menjadikan komunikasi antara manusia
begitu mudah dilakukan.
Selain itu, teknologi ini juga menjadikan hubungan keluarga dan manusia menjadi
semakin rapat kerana mudah untuk berhubung. Jarak yang jauh bukan lagi menjadi
halangan besar buat manusia untuk berkomunikasi menerusi telefon. Interaksi
manusia menjadi begitu dekat akibat penciptaan teknologi ini.
Malah, telefon juga memastikan setiap manusia menerima maklum balas tentang
sesuatu perkara dengan segera. Sebarang keputusan yang diambil oleh seseorang
itu boleh disampaikan kepada orang lain dengan pantas terutama dengan
penggunaan perkhidmatan pesanan ringkas (sms). Keadaan ini memastikan
tindakan yang lebih tepat mampu dilaksanakan kerana maklumat disampaikan
dengan segera.
Bukan sahaja telefon mudah dan moden tetapi kosnya yang murah menjadikan
hampir semua keluarga mampu memilikinya. Sudah menjadi satu kelaziman
remaja kini mempunyai telefon bimbit yang menjadi lambang peribadi mereka.
Harga yang murah menjadikan alat ini sesuatu yang perlu dalam kehidupan
manusia moden.
Kesimpulannya, telefon memudahkan perhubungan antara dua hala. Tamadun
manusia menerima impak yang positif daripada teknologi ini. Tanpa telefon
kemungkinan interaksi manusia tidak akan menjadi sebegini intim.