UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING
SMK TAMAN DESAMINIUM
LESTARI PERDANA,
43300 SERI KEMBANGAN, SELANGOR DARUL EHSAN
DISEDIAKAN OLEH ;
LILY NORMALA BT MAHDI
( GBKSM )
1. MEMBACA AL-QURAN
➢ Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran
walaupun sehari sehelai. Membaca Al-Quran dapat menenangkan
jiwa, perasaan dan menajamkan daya ingatan.
2. TIDUR YANG CUKUP
➢ 1/3 daripada hidup kita dihabiskan dengan tidur. Jika kita
kurang tidur, otak akan sukar menyimpan data atau maklumat.
Amalkan tidur pada waktu malam dengan secukupnya
sekurang-kurangya 7 atau 8 jam sehari.
3. MENGAWAL TEKANAN
➢ Apabila tertekan, anda akan sukar memberikan tumpuan dan
tidak peka kepada persekitaran. Kawal tekanan anda dengan
cara seperti bermeditasi, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.
4. MENGAMBIL VITAMIN ATAU MAKANAN TAMBAHAN
➢ Sebelum mengambil sebarang vitamin atau makanan tambahan,
seelok-eloknya rujuklah kepada doktor dahulu kerana tidak
semua vitamin yang dijual di pasaran sesuai untuk meningkatkan
daya ingatan anda.
5. BERSENAM
➢ Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan perjalanan
darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan anda akan menjadi lebih baik.
Amalkan bersenam walaupun hanya dengan berjalan kaki. Sekurang-
kurangnya bersenam 30 minit setiap minggu.
6. MEMAKAN KURMA, KISMIS ATAU BADAM
➢ Dengan memakan kurma, daya ingatan akan menjadi lebih kuat.
Makanlah kurma dalam bilangan yang ganjil seperti 3 biji, 5 biji atau 7
biji setiap hari sebelum memulakan aktiviti harian. Kurma juga boleh
digantikan oleh kismis atau badam.
7. AWASI PENGAMBILAN UBAT
➢ Daya ingatan boleh menjadi lemah jika mengambil ubatan seperti pil
hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda
mengalami masalah daya ingatan yang disebabkan oleh ubat, konsultasi
dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.
8. BELAJAR SESUATU YANG BARU
➢ Cuba aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari perkara baru seperti
belajar bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau
menghadiri ceramah atau motivasi. Bermain permainan seperti ‘board game’
juga dapat merangsang minda anda. Contohnya seperti catur, sahiba (scrabble),
dan monopoli. Pilih permainan yang mencabar minda.
9. BANYAK MEMBACA
➢ Jadikan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan
pengetahuan, mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan.
Cuba ingat sedikit sebanyak fakta yang dibaca dalam bahan bacaan.
10. KATAKAN BERULANG KALI
➢ Untuk meningkatkan daya ingatan anda tentang sesuatu maklumat
atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda
benar-benar ingat maklumat tersebut.
11. BERMAIN DENGAN ANGKA
➢ Asahkan minda anda dengan mengingati nombor telefon rakan anda
atau tarikh hari lahir mereka. Anda juga boleh menghubungkait
nombor tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.
12. MEMBERI FOKUS
➢ Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda memberi fokus kepada
sesuatu perkara, contohnya matlamat hidup anda. Selain itu, belajar
fokus dengan menumpukan fikiran anda kepada sesuatu perkara dan
catat apa yang anda fikirkan.
Semoga tips yang diberikan dapat membantu anda
mengingati apa yang dipelajari dan dibaca dengan
lebih berkesan.
“ Manusia yang biasa, memiliki keupayaan biasa
tidak mustahil akan membina
kejayaan yang luar biasa”
SEKIAN, TERIMA KASIH…
Terima kasih kerana sudi
membaca dan memberikan
perhatian.