SIRI CERITA TELADAN UBK SMK SRI KURAU Kisah Burung Layang-Layang dan Burung merak
Dalam sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung layang-layang yang suka meniru. Pada suatu petang, burung layang-layang telah mendengar suara teriakan daripada burung-burung yang lain. "Ke tepi! Ke tepi! beri laluan kepada raja Burung. " Burung layang-layang berasa hairan mendengar teriakan tersebut. Tidak lama kemudian, beberapa ekor burung merak melalui kawasan itu. Burung layang-layang terpegun melihat kecantikan burung merak.
Maka, timbullah perasaan pada burung layang-layang yang ingin menjadi seperti burung merak. Burung layang-layang menoleh ke kiri dan ke kanan lalu melihat beberapa helai bulu burung merak tercicir di atas tanah. Apabila kumpulan burung merak telah berlalu, burung layang-layang mengutip semua bulu merak yang tercicir di atas tanah dan menyisipkan ke badannya. Apabila selesai, burung layanglayang berjalan di atas laluan burung merak tadi.Burung-burung lain yang melihatnya berteriak," Ke tepi! Ke tepi! Berikan laluan kepada Raja Burung."
Burung layang-layang berasa sangat seronok dan berjalan lebih pantas sehingga terlupa tentang bulu-bulu burung merak yang disisipkan di badannya. Lalu, satu demi satu bulu burung merak tertanggal dan tercicir di atas tanah. Burung-burung lain yang menyaksikan kejadian tersebut ketawa berdekah-dekah sambil berteriak, " Rupa-rupanya burung layang-layang menyamar menjadi Raja Burung."
Burung layang-layang berlalu dari situ sambil menundukkan kepalanya kerana berasa sangat malu. Semasa berjalan dengan kepala tertunduk, burung layanglayang telah terlanggar burung merak. Apabila burung layang-layang mendongak, dia mendapati burung merak sedang berdiri di hadapannya dengan muka yang bengis. Burung merak berkata, " kami tidak suka kepada burung yang cuba menyamar menjadi burung yang lain. Pergi dari sini!" Burung layang-layang segera terbang meninggalkan kawasan tersebut.
Semasa terbang, burung layanglayang ternampak sekumpulan burung seakan-akan serupa dengan dirinya. Burung layang-layang mendekati burung dalam kumpulan tersebut. Seekor burung dalam kumpulan itu bertanya, "Anda ahli baru dalam kumpulan inikah?" Burung layanglayang pun menjawab, "Ya, saya ahli baru dalam kumpulan ini." Burung layang-layang berasa sangat gembira kerana telah mendapat sahabat baru.
Ye….adik-adik….. Demikianlah tadi cerita si burung layang-layang. Berikan 3 pengajaran daripada cerita tersebut ? Jumpalagi, bye..bye…. Nor@2021