Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah HUBUNGAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER (PPBK) DENGAN APLIKASI CANVA ABSTRAK Proses pembelajaran dalam konteks pendidikan yang efektif seharusnya menggunakan bantuan teknologi supaya lebih menarik dan berkesan. Dalam konteks pengajaran menurut Giesert dan Futrell (1990), seorang guru yang menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai bakat dan kebolehan tambahan. Perkara ini tidak lagi membabitkan guru sahaja malah pelajar juga boleh dilihat sebagai mempunyai kebolehan dan berbakat jika ingin menyampaikan maklumat dengan menggunakan alat elektronik. Penggunaan komputer digunakan di sekolah bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran makanya pengkaji melihat kepada model Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) untuk melihat hubungan di antara aplikasi dan model tersebut. Pengkaji telah memilih aplikasi Canva sebagai bahan kajian atas faktor penggunaanya yang mudah, senang dan berkesan. Kata kunci: Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK), pendidikan, Canva. 1.0 PENGENALAN Komputer merupakan satu perkara yang boleh dikatakan penting pada masa kini. Komputer beserta sambungan internet adalah satu tambahan yang paling penting kerana hanya mempunyai komputer tanpa sambungan internet ibarat pokok yang tidak berbuah, tidak mampu digunakan segala yang ada secara maksimum. Ilmu tentang perkomputeran perlu diajar sejak sekolah rendah lagi. Pendedahan awal merupakan perkara yang perlu bagi sesuatu perkara yang sentiasa ada penambahbaikan dari masa ke masa. Hal ini mampu menjadikan seseorang itu sentiasa cakna akan perubahan yang telah dilakukan. Bidang pendidikan di Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengikuti arus kemodenan ini. Proses Pengajaran dan Pembelajaran menggunakan konsep ‘Chalk and Talk’ telah disulami dengan penggunaan komputer agar menjadikannya lebih interaktif serta dapat meransang dan menarik minat pelajar terhadap sesuatu topik. Hal ini bertepatan dengan Jamaluddin Badusah & Hashimah
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah Haji Hashim (2005) yang menyatakan bahawa penggunaan aplikasi internet memberikan wadah atau inovasi baru untuk menarik minat pelajar membaca dan mengumpul maklumat. Pada zaman yang serba canggih, terdapat banyak aplikasi yang mampu menyelesaikan sebarang masalah dengan kewujudan ruang tutorial dan laman web yang memaparkan penyelesaian bagi sesuatu masalah. Ini bertepatan dengan pandangan Heinich (1993) yang berpendapat bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran. Atas faktor manfaat menggunakan komputer dalam memudahkan proses pembelajaran, makanya model Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) digunakan pengkaji bagi melihat kerelevanan di antara aplikasi dan proses pembelajaran yang efektif. Dalam melihat hubungan model ini dengan penggunaan komputer, pengkaji telah memilih aplikasi Canva yang merupakan satu laman web reka bentuk grafik yang percuma. Kini, aplikasi Canva boleh didapati dalam peranti telefon pintar dan tablet. Perkara ini amat memudahkan para guru dalam menyediakan slaid pembentangan untuk digunakan di dalam kelas. Keterbatasan capaian wifi di sekolah memaksa para guru menggunakan alternatif ini untuk menyediakan slaid pembentangan bagi menarik minat pelajar. Dengan menggunakan aplikasi Canva di dalam peranti telefon pintar dan tablet, para guru mampu melaksanakannya di mana-mana sahaja. Kajian ini juga memfokuskan kepada cara membuat slaid pembentangan menggunakan Tablet.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 2.0 LATAR BELAKANG PPBK Model ini telah diadaptasi daripada Projek PLATO (Programme Logic Automatic Teaching Operation) di Amerika Syarikat. Program ini bertujuan untuk membangunkan perisian pembelajaran. Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mula mengadakan projek rintis literasi komputer di 20 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan pembelajaran subjek Pengenalan Kepada Komputer. Pada tahun 1990, projek ini telah ditukar nama kepada Pembelajaran dan Pengajaran Berbantukan Komputer (PPBK). Negara-negara lain juga mempunyai kaedah seperti ini yang dikenali sebagai Computer-Assisted Instruction (CAI) di Amerika Syarikat, Computer-Aided Learning (CAL) di United Kingdom dan Computer-Based Learning (CBL) di kebanyakan negara. Projek ini menjadikan komputer sebagai alat pembelajaran dan membantu guru-guru menjalankan tugas harian khususnya dalam situasi pengajaran dan pembelajaran. PPBK ini bertujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui penggunaan komputer dalam pembelajaran dan pengajaran. Di samping itu, teknik pembelajaran dan pengajaran juga dapat dipelbagai bagi meningkatkan mutu pendidikan. PPBK juga dapat mendedahkan pelajar kepada penggunaan komputer. PPBK adalah salah satu cara pemindahan pengetahuan atau maklumat daripada pelajar mahupun pendidik. Siti Fatimah (2001) mendefinisikan PPBK sebagai perisian pendidikan dan latihan yang dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan (programming language), pengarangan dan pengaturcaraan multimedia (multimedia authoring and programming) untuk mengajar dan belajar sesuatu objek. Alensi dan Trollip (1985) juga mengaitkan PPBK dengan penggunaan komputer untuk menyampaikan maklumat, melatih dan menilai prestasi pelajar. Kajian ini melihat kepada model Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) dan hubungannya dengan penggunaan aplikasi Canva. Unsur-unsur dalam PPBK seperti teks, bunyi dan gambar bertujuan untuk membolehkan pengguna berinteraksi dengan komputer serta menerima maklum balas daripadanya. Apabila cara pendidikan yang konvensional diganti dengan cara yang lebih moden, ia dapat memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menggalakkan dan produktif. Bostock (1996) juga menekankan bahawa tujuan utama perisian PPBK dibangunkan adalah untuk menggalakkan pembelajaran.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 3.0 KERELEVENAN PPBK PADA ABAD KE-21 Semua maklum bahawa PPBK adalah satu model yang lahir pada tengah tahun 90an. Model yang menggunakan pengantaraan komputer sebagai medium pembelajaran dan pengajaran ini telah digunakan hampir 20 tahun di Malaysia dengan melalui beberapa fasa penambahbaikan. PPBK juga melalui fasa peralihan teknologi daripada Web 1.0 kepada Web 2.0. Ketika Web 1.0, pengguna hanya boleh membaca maklumat di laman sesawang. Maklumat yang dipaparkan di laman sesawang juga tidak boleh ditulis oleh orang selain pemilik laman sesawang tersebut. Hal ini membuatkan maklumat terbatas dan komunikasi dua hala ketika menggunakan internet tidak terjadi. PPBK yang tidak terlepas melalui fasa ini juga mempunyai beberapa perisisan yang tidak boleh diubah oleh guru di sekolah. Perisian cakera padat mengenai subjek hanya boleh digunakan untuk mengajar pelajar tanpa boleh terus melakukan latih tubi menggunakan perisian tersebut. Hal ini membuatkan pelajar kurang memahami secara total segala ilmu yang hendak diajarkan. Peralihan kepada Web 2.0 pada akhir 2004 oleh Darcy DiNucci yang dipopularkan oleh Tim O’Reilly telah membawa satu inovasi baru kepada internet. Web 2.0 dianggap menggunakan kerana ia adalah mudah bagi pengguna untuk menerbitkan karya mereka, berhubung dengan pengguna lain serta berkongsi dan bertukar-tukar maklumat. Antara contoh aplikasi yang berteraskan Web 2.0 adalah Canva. Menggunakan Canva mampu menjana pendapatan bagi mereka yang mempunyai kemahiran mereka bentuk corak. Aplikasi Canva telah menawarkan peluang kepada mereka yang berkemahiran untuk meletakkan templat mereka di dalam aplikasi itu. Mereka akan memperoleh pendapatan jika ada pengguna lain yang menggunakan templat mereka. Hal ini bertepatan dengan konsep Web 2.0 yang mampu memberikan pengguna peluang untuk mengedit dan memuat naik semula templat mereka sendiri di dalam aplikasi.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah Bagi model PPBK pula, KPM tidak terlepas peluang dalam menelusuri perubahan ini. Aplikasi yang betepatan dengan PPBK telah dicipta seperti laman sesawang Frog. Laman sesawang ini boleh digunakan oleh guru dan pelajar sebagai medium unutk latih tubi, tutorial, simulasi dan pembelajaran. Hal ini membuatkan PPBK jelas masih releven sehingga kini kerana KPM sentiasa menyesuaikan model tersebut dengan perkembangan teknologi internet dan maklumat pada masa kini. Jelas, walaupun kita sudah berada pada abad ke-21, model PPBK ini masih lagi boleh digunakan dalam pendidikan di Malaysia. 4.0 JUSTIFIKASI PEMILIHAN APLIKASI CANVA Aplikasi Canva lebih senang, mudah dan berkesan berbanding aplikasi lain yang lebih kompleks. Selain daripada percuma, Canva juga menyediakan pelbagai reka bentuk yang sesuai dengan tema yang diingini oleh pengguna. Reka bentuk yang disediakan juga megikut citarasa yang terkini. Pengguna juga mampu menggunakan gambar sendiri sebagai templat. Aplikasi ini juga ada menyediakan jenis tulisan yang pelbagai dan sesuai dengan pemilihan reka bentuk. Selain daripada itu, aplikasi ini telah tersedia beberapa templat yang biasa digunakan oleh pengguna masa kini seperti Instagram photo, headline, facebook photo dan sebagainya. Aplikasi Canva juga boleh dimuat turun setelah selesai diedit dan dapat digunakan secara luar talian selepas dimuat turun. Percampuran kesemua elemen seperti pemilihan warna reka bentuk, latar belakang, saiz fon dan warna fon mampu menjadikan sesebuah slaid pembentangan cantik dan menarik. Lumrah manusia akan tertarik dengan perkara yang menarik dan hal ini secara tidak langsung mampu membuatkan proses penyampaian maklumat tersebut berjaya. Semua kelebihan Canva ini diperkukuhkan lagi dengan wujudnya aplikasi Canva di Play Store yang membolehkan Canva digunakan di mana-mana sahaja. Atas faktor ini, ia mampu menyelesaikan isu keterbatasan capaian wifi di dalam kawasan sekolah membantutkan PPBK.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 5.0 CARA MEMBUAT SLAID PEMBENTANGAN MENGGUNAKAN TABLET 1. Muat turun aplikasi Canva di App Store atau Google Play Store dalam peranti telefon anda. 2. Baca terma dan syarat yang tertera dan tekan "Terima". 3. Selepas membuka aplikasi Canva, anda boleh mencari templates pembentangan atau menggunakan ruang carian untuk mendapatkan hasil yang lebih pantas. 4. Masukkan perkataan presentations pada ruangan carian dan tekan cari. 5. Tekan simbol '+' yang berada di bahagian kanan bawah, menu akan keluar dan anda boleh pilih sama ada text, image, graphic, template atau page. 6. Dalam menu text, anda boleh menulis input yang ingin disampaikan. Pelbagai jenis tulisan yang menarik disediakan secara percuma. Saiz tulisan juga boleh dilaraskan bertepatan dengan kehendak anda. Pelarasan tulisan sama ada ingin diletakkan di tengah, kanan atau kiri juga boleh dilakukan. Fungsi gelapkan(bold) dan condong(italic) juga disediakan. Jarak huruf dan ketinggian juga boleh dilaraskan di dalam menu ini. 7. Dalam menu menu image, anda boleh memasukkan gambar bagi menjadikan pembentangan lebih menarik. Anda boleh memasukkan gambar daripada galeri telefon anda ataupun mencari secara atas talian.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 8. Dalam menu graphic, terdapat banyak jenis grafik yang menarik. Corak yang disediakan mampu menjadikan pembentangan lebih cantik. 9. Dalam menu templates, terdapat banyak acuan yang mempunyai reka bentuk yang cantik dan menarik. Jika ingin cepat, anda boleh terus menggunakan carian untuk mencari acuan yang bersesuaian. 10. Dalam menu page, anda boleh menambah slaid. Paparan akan menunjukkan jenis reka bentuk yang boleh dipilih oleh anda. Setiap slaid boleh menggunakan acuan yang berlainan bertepatan dengan cita rasa anda. 11. Selepas semuanya selesai, anda boleh menyimpan segala data. perlu ditekan untuk menyimpan pembentangan yang telah siap. 12. Anda boleh memilih untuk menyimpan fail tersebut pada mana-mana medium yang bersesuaian dengan keperluan anda.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 6.0 KEBAIKAN PENGGUNAAN APLIKASI CANVA Aplikasi Canva merupakan salah satu medium yang diterima umum kini. Selain daripada kebanyakan isiannya percuma, Canva juga menyediakan ruang kepada pereka reka bentuk untuk mendapat duit sampingan. Canva telah cuba menjual reka bentuk mereka kepada yang berminat. Duit yang diperoleh akan diberikan kepada pereka reka bentuk tersebut. Selain itu, pelbagai reka bentuk templat yang menarik membuatkan ramai pengguna gemar menggunakan aplikasi ini. Tema juga digunakan bagi mengkategorikan jenis templat dan memudahkan carian. Canva juga menyediakan pelbagai pilihan warna, tulisan dan saiz. Perkara ini menjadikan Canva sentiasa di fikiran apabila ingin membuat sesuatu slaid pembentangan ataupun reka bentuk. Penggunaan Canva juga fleksibel sama ada di komputer riba mahupun peranti telefon bimbit. Hal ini menjadikan penggunaannya lebih berkesan dan menyeluruh. Selain itu, kepakaran dalam reka bentuk juga tidak diperlukan memandangkan Canva menyediakan segalanya. Canva menggunakan konsep “ambil dan letak” yang membuatkan semua orang mampu menggunakannya. Perkara yang paling disukai apabila menggunakan Canva adalah templat yang banyak melebihi 60,000 jenis templat. Pengguna juga mudah unutk menggunakan templat yang bertepatan dengan tema yang mereka inginkan kerana hanya perlu menuliah di ruangan carian sahaja tanpa perlu membelek setiap satu templat. 7.0 PENUTUP Kesimpulannya, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa dalam proses Pembelajaran dan Pengajaran Berbantukan Komputer (PPBK) amat diperlukan. Tambahan pula pada zaman yang serba canggih dan teknologi ini, kebanyakan pelajar sekarang lebih cenderung dan tertarik dengan penggunaan imej yang menarik dan penggunaan warna yang betul. Disebabkan itu, aplikasi Canva ini diajdikan piihan supaya proses pembelajaran dan pengajaran itu menjadi lebih senang, mudah dan berkesan.
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah 8.0 LAMPIRAN Gambar 1: Brosur Tajuk Kajian (Depan) Gambar 2: Brosur Tajuk Kajian (Belakang)
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah Gambar 3: Brosur Aplikasi Canva (Depan) Gambar 4: Brosur Aplikasi Canva (Belakang)
Muhammad Haziq Bin Ariffadzilah Gambar 5: Poster