The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN SEBAGAI AMANAH

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by asmahismail, 2022-10-04 03:36:50

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN SEBAGAI AMANAH

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN SEBAGAI AMANAH

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN SEBAGAI AMANAH

Dr. Mohd Farid Mohd Shahran1

“Katakanlah ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan. Engkau berikan kerajaan
kepada yang engkau kehendaki dan engkau cabut kerajaan dari dari orang yang

engkau kehendaki.” (Ā li ʿImrā n 3:26)

Pendahuluan

Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, salah satu elemen sekularisasi yang
melanda Peradaban Barat Moden Sekular ialah apa yang dinamakan desacralization of
politics iaitu usaha penyingkiran segala wibawa kudus (sacred authority) dari kuasa
politik. Natijahnya, ia telah membuka pintu kepada perubahan politik dan sosial
masyarakat Barat seterusnya membawa mereka ke arah nilai-nilai yang lebih sekular
berbanding nilai-nilai tertutup yang sebelum itu banyak dipengaruhi oleh Gereja. 2

Keadaan di atas juga telah merubah pandangan alam Tamadun Barat tentang politik
dan kepimpinan. Dimensi politik, melalui proses ini, telah dibebaskan dari nilai-nilai
keagamaan dan keruhanian apabila kedua-duanya telah dianggap tidak relevan lagi
untuk dikaitkan dengan tingkah laku politik manusia. Arus sekularisasi ini diperkukuhkan
dengan pengaruh falsafah politik pragmatisme yang dibawa oleh pemikir Barat seperti
Nicollo Machiavelli (m.1527)3 yang akhirnya telah menyebabkan ruang politik dan
kepimpinan hanya dinilai dari sudut pencapaian yang mengarah kepada matlamat
duniawi semata-mata. Sebahagian manusia yang berpegang kepada falsafah sebegini
akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kedudukan dalam hiraki kepimpinan

1 Pengarah, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
2 Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1993),ms.18
3 Niccolo Machiavelli seorang diplomat Itali dan ahli falsafah politik telah menulis karya The Prince berkaitan dengan
falsafah dan prinsip politik yang lebih mengutamakan hakikat semasa berbanding idealisme politik. Karya ini yang
mengenepikan dimensi etika telah mengundang kemarahan dari pihak agamawan gereja pada ketika itu.

1

di pelbagai peringkat hanya bermatlamatkan kuasa dan kebendaan. Tidak hairanlah
apabila kata-kata Lord Acton (1834-1902), “power corrupts, absolute power corrupts
absolutely menjadi cukup terkenal dalam menghuraikan sifat kuasa dan kepimpinan.”4

Berlatarbelakangkan permasalahan di atas kertas ini akan membincangkan tugas
kepimpinan sebagai satu amanah serta meneliti pandangan Islam terhadap amanah
kepimpinan ciri serta prasyarat yang harus ada pada mereka yang memikul
tanggungjawab kepimpinan.

Kepimpinan Dan Pandangan Alam Islam
Dari sudut pandangan alam Islam, prinsip kepimpinan harus difahami selari dengan
prinsip dan faham lain yang menjadi teras kepada kerangka pandangan alam Islam
seperti faham ketuhanan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa, faham Hari Akhirat dan
pembalasan dosa pahala, faham keadilan dan adab, faham ilmu, hikmah, pendidikan
dan lain-lain.5 Faham-faham inilah yang berperanan membina nilai-nilai akhlakiyah
yang utama dalam seluruh kehidupan seorang Muslim termasuklah yang berkaitan
dengan kepimpinan dan politik. Nilai-nilai akhlakiyah dan adab yang tertanam
berdasarkan pandangan alam yang betul akan menjadikan seseorang itu insan baik
yang sejagat (insān kulliy) tanpa mengira tugasan atau jawatan yang disandang.
Sebaliknya, kegagalan memahami unsur-unsur pandangan alam ini dalam satu
kesatuan dan keharmonian akan hanya menyebabkan seseorang melihat sesuatu
bidang dan profesionnya secara sempit serta cenderung melakukan ketidakadilan
kepada bidang dan dimensi lain dalam kehidupannya.
Khusus berkaitan kuasa dan kepimpinan, antara prinsip penting yang terbina
berteraskan kerangka pandangan alam Islam ialah yang pertama, Islam tidak

4 Ironisnya, kata-kata Lord Acton ini lebih merujuk kepada kelompok gereja yang seharusnya mengangkatkan nilai-
nilai etika, namun dalam sejarah terutama di abad pertengahan, cenderung menyalahgunakan kuasa agama.
5 Untuk meneliti lebih lanjut faham-faham penting dalam pandangan alam Islam lihat Syed Muhammad Naquib al-
Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001) Prolegomena to the Metaphysics of Islam Kuala
Lumpur: ISTAC,1995) dan Islam and Secularism (Kuala Lumpur:ISTAC, 1993)

2

memisahkan antara nilai hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan prinsip tauhid yang
mengisbatkan keesaan Allah Taala dan pegangan kepercayaan bahawa kehidupan di
dunia adalah persediaan manusia untuk menuju ke alam lebih kekal abadi di akhirat,6
segala tindak-tanduk manusia di dunia ini harus dipandu oleh nilai-nilai yang selari
dengan matlamat ukhrawinya sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah melalui
KitabNya dan ajaran RasulNya termasuklah soal-soal yang berkaitan dengan politik dan
kepimpinan. Walaubagaimanapun, ini bukan bermaksud bahawa Islam meletakkan
mereka yang terlibat dengan politik dan kepimpinan sebagai wakil Tuhan yang suci dan
bersih dari dosa sepertimana faham papal infallibility dalam sistem teokrasi agama
Kristian,7 akan tetapi ia bermakna nilai-nilai keagamaan dan akhlak harus berperanan
melandasi tingkah laku siyasah manusia.

Prinsip kedua ialah, dari sudut pandangan alam Islam, pemimpin dan mereka yang
dipimpin tertakluk kepada nilai yang sama, iaitu nilai-nilai agama yang ditanzilkan oleh
Allah menerusi wahyu dan ajaran Nabi. Tiada pemisahan kasta antara golongan
pemimpin dan rakyat atau antara mereka yang menguasai dan mendalami agama (para
ulama’) dan masyarakat awam yang mengikuti panduan ilmu mereka. Begitu juga
dengan hukum-hakam yang dikenakan terhadap manusia, ia tidak membezakan antara
pemimpin atau pengikut. Ini kerana dalam Islam, pemimpin dan pengikut adalah hamba
Allah yang berkongsi matlamat hidup yang sama iaitu untuk tunduk menyerah diri
kepada Allah sebagaimana yang jelaskan oleh al-Qur’an,

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk tunduk
menyembah (kepada Tuhan).”8

6 Al-Ḍ uḥ ā 93:4
7 Dalam doktrin agama Kristian Katolik, Pope atau ketua agama tertinggi adalah bebas dari melakukan dosa. Doktrin
ini telah diputuskan secara rasmi pada Persidangan Vatikan Pertama pada 1869.
en.m.wikipedia.org/wiki/Papal_infallibility
8 Al-Dhā riyā t: 56

3

Prinsip ketiga ialah, setinggi manapun kedudukannya, tidak ada dalam kalangan
manusia yang boleh mendakwa mempunyai kuasa yang mutlak. Ini kerana kuasa mutlak
hanyalah milik Allah,9 Tuhan yang memiliki sekalian alam dan juga yang menguasai Hari
Pembalasan.10 Setinggi manapun hiraki kepimpinan yang dipegang oleh seseorang,
kuasa yang milikinya tetap merupakan amanah dari Allah yang boleh dicabut dari
mereka pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Allah.11 Al-Qur’an telah memberikan
contoh mengenai golongan penguasa yang telah diberikan balasan buruk atas sikap
sombong dan dakwaan kemutlakan kuasa yang mereka lakukan. Fir’aun yang diberikan
kekuasaan yang besar, namun disebabkan sifat takabburnya sehingga mendakwa
dirinya adalah Tuhan, telah dicabut kekuasaannya dan ditenggelamkan bersama
tenteranya di Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa.12

Berlatarbelakangkan tiga premis di atas, kepimpinan dalam Islam harus dilihat sebagai
satu amanah yang bersifat sementara dan akan dipertanggungjawabkan. Seterusnya,
kertas ini akan menjelaskan maksud amanah dan asas yang menjadikan kepimpinan
sebagai satu amanah.

Takrif Amanah

Dari segi bahasa, istilah amanah terbit dari kata dasar amina )‫ ) أمن‬yang membawa
maksud aman dan selamat.13 Secara istilah ia bererti ‘sesuatu yang diberi kepercayaan
untuk dilaksanakan.’ Dari segi semantik, istilah amanah, lawan kepada khianat,
mempunyai akar kata yang sama dengan istilah iman - kepercayaan dan keyakinan
yang teguh, bebas dari segala bentuk keraguan.14

9 Ali ʿImrā n 3:189, al-Anʿām 6:57
10 Al-Fā tiḥ ah: 1:4
11 Ali ʿImrā n 3:26
12 Al-Shuʿarā ’ 26:60-67
13 Ibn Manzū r, Lisān al-ʿArab, jilid 13, (Beirut: Dā r al-Ṣ ā dirm,1994),ms. 21.
14 Ibid,.

4

Berdasarkan huraian makna istilah amanah di atas, dapatlah disimpulkan bahawa
seorang yang beramanah adalah seseorang yang bertanggungjawab atas sesuatu tugas
yang diberikan. Disebabkan oleh sifat ini, ia juga dipercayai oleh manusia sekelilingnya.
Natijah dari sifat amanahnya pula akan menghasilkan persekitaran kehidupan yang
tenteram dan sejahtera. Ini kerana seorang yang amanah pada dasarnya mempunyai
jiwa yang tenteram dan juga mampu untuk mententeramkan jiwa orang lain. Sifat
amanah yang sebenar ini pula terhasil dari keimanan yang kukuh terhadap kekuasaan
Allah.

Apa ertinya apabila sesuatu dianggap sebagai amanah? Pertamanya, ia adalah satu
bentuk perjanjian antara yang memberi amanah dan yang diberi amanah. Kedua,
disebabkan ianya satu perjanjian, maka ia mengikat mereka yang diberi amanah kepada
mereka yang memberi amanah. Ketiga, ia manggambarkan sesuatu itu diberikan
berdasarkan kepercayaan terutama dari si pemberi amanah kepada yang diberi
amanah. Dan yang keempat, perjanjian yang diikat dan diberikan berdasarkan
kepercayaan tersebut mengandaikan ia mestilah disempurnakan dengan baik.

Amanah Adalah Sebahagian Dari Tuntutan Agama
Amanah merupakan satu sifat yang diletakkan amat tinggi dalam kerangka nilai-nilai
keagamaan. Keseluruhan agama digambarkan sebagai amanah oleh al-Qur’an
sebagaimana yang tergambar dalam al-Qur’an:

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit dan
bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan memikul amanah
itu dan mereka khuawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah
amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan
bodoh” 15

15 Al-Aḥ zā b 33:72:

5

Menurut Ibn Abbas, yang dimaksudkan dengan amanah dalam ayat di atas ialah segala
tanggungjawab agama (‫ ( الفرائض‬yang diturunkan oleh Allah.16 Apabila agama
dimisalkan sebagai satu amanah, sudah tentulah kedudukan amanah menjadi begitu
tinggi terutama terhadap yang memikul amanah tersebut.

Amanah juga menjadi pra-syarat pegangan agama yang benar sehingga mereka yang
tidak beramanah dianggap sama seperti manusia yang tidak mempunyai iman dan
agama, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah dalam satu hadis:

‫لا اىمان لمن لا أمانة له ولا دين لمن لا عهد له‬

“Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak beramanah dan tiada agama bagi
seseorang yang tidak melaksanakan perjanjian”

Teras iman yang mendasari amanah ini diperkukuhkan lagi dengan hakikat bahawa
amanah juga disifatkan sebagai salah satu prasyarat keimanan yang sempurna kepada
Allah sebagaimana tergambar dalam ayat al-Qur’an dalam surah al-Mu’minun yang
secara umumnya memperincikan ciri-ciri orang yang beriman. Antara cirinya ialah:

“Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya”17

Justeru itu tidak hairanlah apabila terdapat hadis yang meletakkan mereka yang tidak
memelihara amanah sebagai salah satu dari ciri nifaq yang amat buruk di sisi Islam:

“Dari Abu Hurayrah bahawa Nabi s.a.w bersabda, “tanda-tanda orang
yang munafik ada tiga; jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia
mengingkari, dan jika diberi amanah, ia khianat.”18

Dalam akidah Islam pula, kepentingan amanah tergambar dalam kedudukannya
sebagai salah satu dari sifat yang wajib bagi Rasul di samping sifat-sifat yang lain seperti
benar (ṣiddīq), menyampaikan (tablīgh) dan kebijaksanaan (faṭānah). Cerminan sifat

16 Ibn Kathir, Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓ īm, vol.3 (Beirut: Dā r Iḥ yā ’ Turā th al-ʿArabī, 2000), ms.526.
17 Al-Mu’minun 23:8
18 Riwayat Bukhari dan Muslim.

6

amanah dalam diri baginda jelas apabila baginda digelar orang yang dipercayai (al-
amīn) sejak di umur muda lagi oleh masyarakat Quraysh Mekah. Antara peristiwa
penting yang menggambarkan sifat ini dalam kehidupan Rasulullah ialah ketika
peristiwa hijrah ke Madinah, baginda meminta sahabatnya, Saidina Ali untuk tinggal di
Mekah antara lain dengan tujuan dan tugasan untuk memulangkan kembali barangan
yang diamanahkan oleh orang-orang Mekah kepada baginda kerana mereka
mengenali sifat amanah yang ada pada baginda.19

Kesimpulannya, amanah merupakan sifat yang begitu tinggi sehingga ia dianggap
sebagai sebahagian dari agama. Pengkhianatan terhadap sesuatu amanah terutama
yang memberi implikasi besar kepada agama dan umat Islam adalah pengkhianatan
kepada agama. Sebab itulah al-Qur’an dengan tegas mengatakan bahawa Allah
memerintahkan manusia supaya memberikan amanah kepada yang layak
menerimanya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada
yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan
hukum supaya kamu menetapkan dengan adil.”20

Dan di dalam ayat yang lain:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah
dan Rasul dan junga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah
yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.21

Kepentingan amanah ini juga terzahir pada hadis dari Abu Hurayrah, Rasulullah
menyebut, “Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran.” Apabila
para sahabat bertanya tentang apa yang dimaksudkan dengan amanah itu disia-siakan,

19 Saʿid Ramaḍ ā n al-Bū ṭī, Fiqh al-Sīrah, terjemahan Darus Sanawi (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar,2000), ms.253
20 Surah al-Nisa’ 4:58
21 Surah al-Anfal 8:27

7

Rasulullah menjawab, “Apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang
tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran.”22

Kepimpinan Sebagai Satu Amanah

Kepimpinan yang baik merupakan sesuatu perkara yang penting dalam menentukan
kejayaan dan keberkesanan sesuatu kelompok manusia. Manusia memerlukan
pemimpin bagi membolehkan urusan kehidupan mereka dapat disempurnakan
dengan baik. Dalam Islam, pemilihan pemimpin adalah sebahagian dari maslahah kaum
Muslimin yang paling besar dan merupakan wasilah penting untuk mencapai pelbagai
matlamat shari’ah dan agama. Berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan bahawa ‘jika
sesuatu yang wajib tidak tercapai disebabkan ketiadaan satu perkara, maka satu perkara
tersebut adalah wajib,’ maka kepimpinan sebagai jalan untuk mencapai pelbagai
matlamat yang wajib dalam agama, juga menjadi wajib.

Antara cerminan kepentingan kepimpinan yang baik dalam kehidupan manusia ialah
Allah melantik dalam kalangan Nabi-nabi sebagai pemimpin pelbagai kelompok
manusia. Kepada Nabi Ibrahim a.s., Allah berfirman:

“Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan
beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Ibrahim pun
menyempurnakannya.. setelah itu Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku
melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia.”
Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata, “(Ya Tuhanku) jadikanlah
juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).” Allah berfirman.
“Janjiku ini tidak akan didapati oleh orang-orang zalim.”23

22 Sahih Bukhā rī, Kitāb al-Riqāq.
23 Al-Baqarah 2:124

8

Dalam Surah Anbiya’, Allah berfirman:

“Dan kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin
(manusia ke jalan yang benar) dengan perintah kami, dan kami
wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan
sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat
kepada kami.”24

Memandangkan para anbiya’ merupakan cerminan manusia yang mempunyai amanah
yang paling tinggi, pemilihan mereka sebagai pemimpin oleh Allah jelas menunjukkan
bahawa amanah adalah pra-syarat utama kepada kepimpinan.

Hatta dalam kelompok kumpulan yang terkecil pun jelas tergambar kepentingan
kepimpinan seperti yang jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa
Rasulullah bersabda:

“sekiranya tiga orang (dalam kalangan kamu) keluar dalam suatu
perjalanan, salah seorang darinya haruslah dilantik sebagai ketua
(pemimpin - Amīr).”25

Sekiranya kumpulan yang kecil pun memerlukan pemimpin, adalah lebih utama untuk
sesebuah kelompok yang lebih besar seperti pertubuhan apatah lagi sebuah negara
untuk mempunyai sebuah kepimpinan.

Berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para Rasul terdahulu dalam
kehidupannya, sesebuah kumpulan tersebut bukan sahaja memerlukan seorang
pemimpin, malah pemimpin yang dilantik juga haruslah seorang yang kuat dan
mempunyai amanah serta integriti yang tinggi. Rasulullah sendiri sebagai pemimpin
umat Islam yang pertama adalah seorang yang mencerminkan tahap kewibawaan dan
amanah yang amat tinggi. Seperti yang telah disebutkan, sejak kecil lagi Rasulullah telah

24 Al-Anbiyā ’: 73
25 Sunan Abu Daud, jilid 2, no.2273.

9

dikenali dalam kalangan masyarakat Arab Quraish di Mekah sebagai al-Amīn iaitu
seorang yang amanah. Begitu juga dalam kehidupan kepimpinan baginda, baginda
sering melantik pemimpin-pemimpin yang memegang tanggungjawab dalam sesuatu
tugas dari kalangan mereka yang berintegriti dan amanah. Misalnya Ja’far bin Abū Tā lib
yang dilantik menjadi ketua dalam kalangan kelompok yang berhijrah ke Habsyah.
Kualiti kepimpinan Ja’far jelas ternyata apabila beliau dapat menyampaikan mesej Islam
yang jelas terhadap Raja Najashi, penguasa Habsyah ketika itu. Begitu juga dengan
kepimpinan tentera yang telah dilantik oleh Rasulullah seperti Zaid bin Harithah yang
telah dilantik oleh Rasulullah sebanyak enam kali ekspedisi ketenteraan,26 Uthā mah bin
Zaid, Khalid al-Walid, Amru b. Al-‘As dan Sa’ad bin Abi Waqqas, kesemuanya
merupakan individu yang mempunyai kehebatan dari segi peribadi dan integriti.

Asas Kepimpinan Diangkat Sebagai Amanah
Antara sebab mengapa kepimpinan dianggap sebagai satu amanah yang besar ialah:
Pertama, ia menjamin kelangsungan fitrah manusia di setiap peringkat untuk hidup
dalam keadaan sejahtera di samping tunduk dan patuh terhadap Allah selari dengan
tujuan manusia dijadikan. Demikian antara lain tugas seorang pemimpin sebagaimana
yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun iaitu “memelihara agama dan mentadbir dunia”
(hirāthat al-dīn wa siyasat al-dunyā). Sementara al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam
al-Sultāniyyah mengatakan bahawa tanggungjawab pemimpin ialah “melaksanakan
dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini
dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.”
Justeru itu, seorang pemimpin yang amanah bukan sahaja mampu menyelamatkan
manusia di dunia ini melalui pentadbirannya yang adil sehingga setiap manusia dapat
menjalankan kehidupan di dunia ini dengan baik, akan tetapi juga mampu untuk

26 Mohammad Yasin Mazhar, Organisasi kerajaan Pimpinan Rasulullah, terj. Khalil Mohd Zain dan Md Yunus Md Said
(Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1993).

10

memastikan jalan manusia untuk kebahagiaan di alam akhirat juga terjamin dengan
pemeliharaan dan penjagaan hak-hak keagamaan setiap rakyat yang ditadbir.

Ini selari dengan apa yang disebut oleh al-Qur’an

“Dan kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin
(manusia ke jalan yang benar) dengan perintah kami dan Kami
wahyukan kepada mereka mengerjakan kebajikan dan mendirikan
sembahyang, serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat
kepada kami.”27

Kedua, kepimpinan yang baik akan menghasilkan suasana masyarakat yang aman stabil
dan harmoni. Kepimpinan akan menjamin undang-undang berjalan dengan baik dan
ketersusunan berlaku. Sejarah dan juga peristiwa semasa telah membuktikan bahawa
ketiadaan pelaksanaan undang-undang di bawah kepimpinan akan menyebabkan
suatu bangsa yang telah mempunyai tamadun dan peradaban yang tinggi boleh hancur
dalam sekelip mata. Kepentingan rule of law melalui kewujudan kepimpinan ini jelas
sehinggakan ketiadaannya dikatakan lebih baik dari tiada undang-undang langsung
sebagaimana yang djelaskan dalam satu riwayat bahawa “pemimpin zalim untuk 60
tahun masih lebih baik dari anarki sesaat.”

)‫) امام فاجر لستين عاما خير من فوضى ساعة‬

Ini menunjukkan betapa pentingnya kepimpinan sebagai penjamin perjalanan undang-
undang dan ketenteraman. Kalaulah kepimpinan seorang yang zalim pun dari segi
perbandingan dengan keadaan anarki mampu paling kurang mempertahankan
kelangsungan sesebuah negara, inikan pula kepimpinan yang adil dan beramanah?

Yang ketiga, kesan dari keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh seseorang
pemimpin terhadap masyarakat adalah amat besar. Perkara ini melibatkan kepimpinan
di setiap peringkat. Semakin tinggi hiraki kepimpinan yang dipegang, semakin besar

27 Surah al-Anbiya 21:73

11

kuasa dan kesan tindakannya kepada orang bawahannya. Sekiranya kuasa itu
dilaksanakan dengan amanah dan dilakukan pada hiraki yang tinggi, maka semakin luas
kesan positif dari kuasa yang dipegang tersebut terkesan kepada orang bawahan.
Sebaliknya, sekiranya kuasa tersebut dilaksanakan dengan dengan khianat dan zalim
serta dilakukan pada hirarki yang tertinggi, maka semakin besarlah ruang kerosakan
yang sebabkan oleh pelaksanaan tersebut.

Yang keempat, pemimpin merupakan contoh yang akan ditauladani oleh rakyat. Oleh
yang demikian, tauladan yang ditunjukkan oleh pemimpin juga begitu penting dalam
memberi kesan limpahan terhadap kehidupan rakyat. Kata-kata hukama’ yang dikaitkan
dengan Ibn Khaldun bahawa “manusia akan mengikuti ‘agama pemimpinnya”(al-nās
ʿalā dīni mulū kihim) amat menggambarkan hakikat tersebut.

Begitu juga apa yang disebutkan dalam ungkapan Melayu:

“Apabila pemimpin memegang amanah,
negeri makmur rakyat semenggah,
Apa tanda negeri bertuah,
pemimpinya kukuh memegang amanah.”

“Bila negeri tidak beraja
bila kampung tidak berpengulu
Bila rumah tidak bertuan
Angin lalu tempias pun lalu
tuah hilang maruah terbuang
hidup celaka sengketa datang”

“Menjadi pemimpin ia amanah
Taat memegang janji dan sumpah
Terhadap rakyat ia peramah

12

Terhadap sahabat ia pemurah
Dalam bekerja ia semenggah
Dalam bercakap berhalus lidah
Dijadikan pemimpin membawa berkah
Bersama tegak tuah dan maruah
Dijadikan tua besar faedah
Umat sentosa rezeki bertambah
Dijadikan induk ia ternama
Negeri terjaga umat terpelihara”28

Cabaran Amanah Kepimpinan

Kepentingan kepimpinan pada umumnya berkait dengan kuasa. Sedangkan kuasa
secara mutlaknya adalah milik Allah dan Allah yang memberikan kuasa dan mencabut
kuasa dari sesiapa yang dikehendakiNya sebagaimana Allah juga berkuasa memuliakan
seseorang dan menghinakan seseorang:

“Katakanlah ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan. Engkau berikan
kerajaan kepada yang engkau kehendaki dan engkau cabut kerajaan
dari dari orang yang engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang
engkau kehendaki dan engkau hinakan orang yang engkau kehendaki.
Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engakau Maha
kuasa atas segala sesuatu.29”

Peringatan al-Qur’an berkaitan sumber kepada kuasa ini penting untuk difahami oleh
golongan pemimpin. Ini kerana manusia yang dikurniakan kuasa cenderung lupa dari
mana asalnya kuasa yang mereka miliki sehingga mereka mengaitkan kuasa kepada diri
mereka sendiri sepertimana yang berlaku kepada Fir’aun yang akhirnya

28 Tenas Affendi, Pemimpin dalam Ungkapan Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000).
29 Ali Imran 3:26

13

mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan apabila terkeliru dan terpedaya dengan
pemilikan kuasa pada dirinya.30

Oleh yang demikan, al-Ghazali dalam karyanya Naṣ īḥ at al-Mulū k memulakan
perbahasan dan nasihatnya kepada Raja-Raja dengan mengingatkan persoalan akidah
yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah yang Maha Agung.31

Pra-syarat Utama Melandasi Amanah Kepimpinan

Kesedaran tentang amanah kepimpinan ini walaubagaimanapun tidak akan mampu
difahami oleh seseorang pemimpin sekiranya ia tidak didahului dengan beberapa pra-
syarat:

Pertama, seorang pemimpin tersebut haruslah berilmu dan sedar tentang keesaan Allah
dan kekuasaan Allah. Dengan kata lain ia harus bertauhid dengan tauhid yang sebenar-
benarnya. Ini kerana hanya dengan tauhid yang betul, seseorang akan mengenali sifat
qudrah (kuasa) sebagai salah satu sifat kesempurnaan Allah.

Menurut perbahasan ulama Tauhid berkaitan dengan sifat qudrah, sifat ini berkait
(berta’alluq) dengan segala yang wujud. Ini memberi makna bahawa tiada apa yang
wujud di alam ini yang akan terlepas dari kekuasaan Allah. Selari dengan itu, seseorang
pemimpin juga harus faham tentang hari akhirat dan pembalasan amalan manusia.

Kedua, melaksanakan tanggungjawab keagamaan dengan baik dan sempurna. Ini selari
dengan apa yang ditegaskan oleh al-Qur’an dalam Surah al-Hajj, ayat 41:

“Mereka (umat Islam) apabila kami teguhkan kedudukan mereka
(berikan kekuasaan) di buka bumi, nescaya mereka mendirikan solat,

30 Al-Nā ziʿāt 79:24
31 Abū Ḥ ā mid al-Ghazā lī, Naṣ īḥ at al-Muluk, terjemahan Jelani Harun, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
2006), ms.5-12

14

menunaikan zakat, menyuruh membuat yang ma’ruf dan mencegah
dari perbuatan mungkar dan kepada allahlah kembali segala urusan

Tanggungjawab keagamaan dapat dilihat sebagai cerminan dan bukti ketundukan
seorang pemimpin kepada Tuhan hasil dari kepercayaannya terhadap tauhid dan sifat-
sifat kesempurnaan Allah. Sifat ini penting untuk menyedarkan seorang pemimpin
bahawa ia kekal seorang hamba kepada Tuhan yang lebih berkuasa darinya dan akan
mengelakkannya dari menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Ketiga, ia harus sedar tentang erti pertanggungjawaban dan keperluan untuk
melaksanakan sesuatu pertanggungjawaban. Seseorang pemimpin perlu faham
bahawa kepimpinan adalah sesuatu yang diberikan untuk disempurnakan dengan baik.
Kepimpinan bukan hak milik mutlak pemimpin dan jauh sekali untuk digunakan bagi
memenuhi kepentingan peribadi yang menzalimi hak dan kepentingan rakyat dan
pengikut. Terdapat pemimpin yang mengambil tugas kepimpinan hanya untuk
mengambil kesempatan mendapatkan manfaat-manfaat sampingan dan bukannya
untuk menyempurnakan tanggungjawab kepimpinan.

Justeru itu seorang pemimpin bukan sahaja perlu mengambil tugas kepimpinan dengan
serius, dia juga harus mengambil risiko terhadap segala keputusan dan usaha yang telah
dilakukan sepanjang menggalas tugas kepimpinan tersebut. Ini selari dengan makna
istilah ‘tanggungjawab’ itu sendiri yang membawa erti bahawa seseorang itu bukan
sekadar menanggung tugasan yang diberikan akan tetapi ia juga harus ‘menjawab’
segala perkara yang timbul hasil dari tugasan kepimpinannya. Di sini jelas menunjukkan
betapa beratnya tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin.

Selari dengan semangat di atas, Rasulullah pernah mengingatkan seorang sahabat yang
bernama Abu Dhā r (apabila beliau meminta jawatan kepimpinan) tentang beratnya
tanggungjawab kepimpinan dengan mengatakan “Kepimpinan adalah sumber

15

kehinaan dan penyesalan di Hari Kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan
penuh tanggungjawab.”32

Keempat, seorang pemimpin harus ikhlas dalam melaksanakan amanah tersebut.
Keikhlasan dalam memimpin bererti seorang pemimpin akan melakukan amanah
kepimpinan semata-mata kerana Allah dan akan mengenepikan semua kepentingan
yang tidak terkait dengan amanah yang diberikan.

Keikhlasan juga tidak akan dapat dicapai sekiranya ia tidak bermula dengan tauhid iaitu
mengisbatkan kewujudan dan keesaan Allah. Ini kerana hanya dengan ikatan
perhambaan yang kuat antara seorang hamba dengan Tuhannya, segala yang
dilakukan oleh seorang hamba akan selari dengan ketundukannya kepada Allah. Dari
situlah timbulnya sifat ikhlas dari seorang hamba kepada Allah.

Sifat ikhlas juga bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan latihan jiwa secara
berterusan dengan memusatkan jiwa seseorang terus kepada Allah dan menjauhkan
segala bentuk kepentingan yang lain apabila seseorang melakukan sesuatu. Bagi
seorang pemimpin, ia harus melatih jiwanya agar segala perkara yang dilakukan
bukanlah disebabkan ia mahukan penghormatan dari pengikutnya atau mahu
mengekalkan kekuasaannya.

Kelima seorang pemimpin harus zuhud dengan habuan dunia yang datang bersama-
sama dengan kekuasaan dan kepimpinan, dalam ertikata jiwanya tidak terikat dengan
kemewahan dunia yang berpotensi datang bersama kepimpinan. Memandangkan
kepimpinan dan kekuasaan selalunya dikaitkan dengan kekuasaan yang menghasilkan
habuan kebendaan kepada seorang pemimpin, seorang pemimpin perlu mendidik
jiwanya agar ia tidak terikat dengan pengaruh keduniaan yang sentiasa mendatanginya.

Dalam satu hadis yang diriwayat Ibn Majah, Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi, ia berkata ada
seseorang yang mendatangi Nabi s.a.w. lantas berkata, “Wahai Rasulullah, tunjukkan

32 Riwayat Muslim dan Abu Daud.

16

kepadaku suatu amalan yang apabila aku melakukannya maka Allah akan mencintaiku
dan begitu pula manusia.” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Zuhudlah pada dunia, Allah akan
mencintaimu. Zuhudlah pada apa yang ada di sisi manusia, manusia pun akan
mencintaimu.”

Bersifat zuhud walaubagaimanapun bukan bermaksud seseorang membuang dunia,
akan tetapi seseorang tidak terikat dengan dunia, akan tetapi menggunakannya pada
jalan yang diperintahkan oleh Allah. Seorang pemimpin yang zuhud, berdasarkan
maksud di atas, akan menggunakan segala wahana keduniaannya bagi memastikan
matlamat kepimpinannya tercapai selari dengan saranan agama.

Keenam, ia harus mempunyai keupayaan pentadbiran dan pengurusan khususnya yang
berkaitan dengan tugas kepimpinannya. Ini kerana, walaupun seorang pemimpin
mempunyai kekuatan jiwa dalam menghadapi cabaran kebendaan yang datang dalam
dunia kepimpinannya, kesempurnaan amanah kepimpinannya masih bergantung
kepada keberkesanan tugasnya dalam memimpin yang amat bergantung kepada
keupayaannya dan kebijaksanaannya dalam mentadbir, mengurus dan memimpin.
Inilah yang dimaksudkan oleh al-Qur’an apabila meletakkan syarat mereka yang paling
layak diangkat menjadi pemimpin atau pekerja dalam kisah Nabi Musa adalah dari
kalangan yang kuat dan amanah “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak
engkau ambil bekerja ialah yang kuat dan amanah )‫)القوي الأمين‬.”33 Kadangkala terdapat
pemimpin yang dilantik berdasarkan kewarakannya atau nilai keagamaannya yang
tinggi, akan tetapi disebabkan kelemahannya dalam aspek pentadbiran dan
pengurusan, kepimpinanya tetap tidak berkesan dan akhirnya menjadi fitnah kepada
imej ‘kepimpinan Islamnya.’ Dengan kekuatan aspek kepimpinannya ditambah dengan
sifat amanah dan sifat akhlakiyah yang lain, maka seseorang pemimpin tersebut akan
mencapai tahap kepimpinan yang cemerlang.

33 Al-Qaṣ aṣ 28:26

17

Penutup

Berdasarkan huraian di atas dapatlah difahami mengapa sebuah hadis nabi meletakkan
kedudukan pemimpin yang amanah dan adil (‫ ( امام عادل‬di tempatnya yang paling tinggi
di antara tujuh golongan yang akan diberikan perlindungan di hari yang “tiada
perlindungan lain selain dari perlindungan Allah (yawma lā ẓ illa illā ẓ illuhu).” 34Ia adalah
kerana kepimpinan yang dipikul sebagai satu amanah sudah pasti akan memberikan
manfaat dan kesan yang begitu besar kepada keamanan manusia.

Rujukan Umum
 Ibn Manzur (1990). Lisan Al-Arab, Jilid 13. Beirut : Dar al-Sā dir.
 Al-Ghazali, (2006) Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, terjemahan bahasa Melayu
Nasihat al-Muluk: Nasihat kepada Raja-Raja, suntingan Jelani Harun Dewan
Bahasa.
 Syed Muhammad Naquib al-Attas (1993), Islam and Secularism. Kuala Lumpur:
ISTAC.
 Mohd Zaidi Ismail & Mohd Sani Badron, (2011) Good Governance: Adab-
Oriented Tadbir in Islam. Kuala Lumpur: IKIM.
 Tenas Affendi (2000).Pemimpin dalam Ungkapan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
 Raja Ali Haji (1985), Thamarāt al-Muhimmah, dalam Naskah Melayu Kuno Daerah
Riau, suntingan U.U. Hamidy (Pekanbaru)
 Abdul Rashid Moten (2011). “Leadership in the West and the Islamic World : A
comparative analysis.” World Applied Science Journal 15(3): 339-349, 2011.

34 Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurayrah r.a.

18

 Kasim Randeree, (2009) “An Islamic Perpective on Leadership: Quranic
Worldview on the Qualities of Leaders,” The Global Studies Journal, vol.2,
Number 1.

 Hadari Nawawi (1993). Kepimpinan Menurut Islam. Yogyakarta : Gadjah Mada
University Press.

 Mohammad Yasin Mazhar, (1993). Organisasi kerajaan Pimpinan Rasulullah, terj.
Khalil Mohd Zain dan Md Yunus Md Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

19


Click to View FlipBook Version