The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Nota Kuliah Syarah Asmaul Husna Ustaz Amin

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by My Flower English, 2019-10-03 22:14:25

Syarah Asmaul Husna Vol 3

Nota Kuliah Syarah Asmaul Husna Ustaz Amin

Keywords: Syarah Asmaul Husna Ustaz Amin

Walaupun Allah jadikan benda-benda yang kita tak ada pilihan, Allah suruh kita
usaha. Kematian tak ada pilihan tapi Allah suruh kita usahakan keselamatan sebab
Allah nak bagi pahala.

So kuncilah rumah baik-baik.

Bila sakit, pergilah berubat supaya Allah dapat bagi pahala di atas usaha/ikhtiar.
Yang menyembuhkan, bukan ubat itu.

2. Allah jadikan benda yang kita boleh pilih.

Ada tiga(3) benda yang kita boleh pilih.

i. Nak taat ataupun tidak. Diaturkan untuk kita panduan hidup. Nak taat atau tak? Itu
pilihan kita. Dan tujuannya adalah...

"Untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya."
QS Al-Mulk 67:2

Sekarang kita belajar mentaati Allah SWT. Ujiannya nanti di luar sana. Kita di ajar
tentang solat. Di luar itu ketika tengah betul-betul sibuk, soalan pun datang:

Okay. Ini tengah sibuk.
a. Solat jamak qasar.
b. Jamak taqdim.
c. Jamak takhir.
d. Jamak takyah.

Yang mana satu nak buat?

Ketika kita belajar tentang halal dan haram, pilihannya ketika di luar sana:
a. Halal.
b. Haram.
c. Halam. (Halal + haram. Cincai!)

Halal itu jelas. Haram itu jelas. Di antara keduanya, ada syubhat iaitu yang tidak
jelas.

Orang yang bekerja di kedai serbanika 24 jam yang menjual arak. Dia bekerja di
kedai itu yang menjual macam-macam yang lain. Bagaimana pengurusan gajinya?
Buat ijtihad sendiri dan ketepikan sebagai contoh 10% ke atau 5% dari gajinya
sebagai 'wang syubhat'.

Tukang jahit yang diminta oleh pelanggan untuk skirt dengan belahan sisi yang
tinggi. Untuk menolak adalah tidak profesional. Bagaimana? Ketepikan upahnya.

Itulah soalannya. Nak taat ataupun tidak. Allah bagi kita pilihan.

Sekarang dalam bab taat suami. Nak taat ataupun tidak. Siapa yang suruh taat
suami?

Kita bagi nafkah kepada isteri, bukan sebab isteri itu. Sebab Allah suruh. Kalau
terbagi lebih, niatkan sedekah. Pasti dibalas balik.

ii. Nak taubat ataupun tidak. Sebaik-baik orang yang buat kesalahan adalah orang
yang bertaubat kepada Allah SWT.

Belajar untuk pandai menilai keaiban diri. Banyak orang buat salah tapi tak rasa
bersalah. Orang macam ni susah nak taubat. Walau kita malu nak mengaku
kesalahan kita, paling kurang dalam hati sebagai permulaan. Jangan kita rasa hanya
kita yang betul.

Biasanya orang yang nak taubat atau menganjurkan taubat adalah orang yang dah
baik. Kerana dia ada kemampuan untuk melihat kelemahan diri.

Orang yang jahat atau berdosa, tidak nampak kelemahan dirinya. Sebab itu, dia tidak
mahu taubat.

Kalau belum ada (kemampuan melihat kelemahan diri), kena belajar. Baliklah
kepada Allah dalam keadaan 'memperbaiki diri'. Macam mana kita nak perbaiki diri
kalau kita tak tahu kelemahan diri?

iii. Nak pilih kebaikan (hasanah) atau tidak?
Sebab itu, doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi SAW adalah...

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan
lindungilah kami dari azab neraka.”
QS Al-Baqarah 2:201

3. Allah SWT Al-Matin yang menciptakan takdir hidup kita.

"Sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari Kiamat; dan Dia yang
menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada
seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya
besok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan
mati. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal."
QS Luqman 31:34

Ada lima perkara yang Allah jadikan perjalanan takdirnya hanya Allah yang tahu:

• bila berlakunya hari kiamat,
• turunnya hujan, manusia hanya boleh buat ramalan cuaca.
• bukan jantina anak tetapi siapakah anak yang sedang dikandung wanita. Apakah
anak ini bakal Perdana Menteri atau ulama?
• apa yang akan berlaku pada hari esok. Kita hanya boleh merancang.
• di mana seseorang akan meninggal.

Kita ini ada takdir masing-masing. Mohonlah takdir yang baik dari Allah SWT. Mohon
kebaikan. Jangan minta benda-benda derhaka. Atau terlintas untuk menderhakai,
kalau Allah sayang, Allah 'jentik' kita. Bila nak buat je, terjatuh lah etc. Terima kasih
Ya Allah.

Kalau Allah tak sayang, Allah biarkan terus sampai kita tak rasa apapun bila berbuat
salah.

‫ا ْﻟ َو ِﻟ ﱡﻲ‬

(55) Allah SWT Al-Waliyy
Allah SWT Yang Maha Melindungi

Nota: Bezakan dengan Al-Waaliyy [77] (Yang Maha Menguasai)

• Dzikirkan "Ya Waliy" banyak-banyak kali, let's say more than 1000x dan hembus
pada air. Boleh beri kepada orang yang kerasukan.

Apakah Yang Kita Nak Minta Berlindung Dari Allah SWT?

Ada 5 perkara:

1. Minta berlindung dari kemurkaan Allah SWT.

Sebab Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Dialah Yang Maha Membalas. Kalau Allah
nak hancurkan seseorang, Allah akan hancurkan hatinya terlebih dulu. So hati dia
jadi tak tenang, tak tenteram, gundah-gulana etc. Macam ada saja benda yang tak
kena.

"Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari
depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah
keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap
suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi
mereka selain Dia."
QS Ar-Ra'd 13:11

2. Minta berlindung dari syaitan.

Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahwa aku
sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku
akan menyesatkan mereka semuanya,
Qs Al-Hijr 15:39

Mohon perlindungan dari apa?

i. Dari ajakan iblis.
Macam mana nak doa?
"Ya Allah, peliharalah suamiku ini. Kalau dia perlukan teguran, tunjukkanlah."

ii. Dari tipudaya Syaitan yang memperelok maksiat di mata manusia &
gangguan-gangguan syaitan yg zahir.

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan
kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah
syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah
penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya."
QS Al-Baqarah 2:257

iii. Kejahatan diri kita sendiri yang tak mampu kita kawal.

Kadang-kadang, kita sendiri pun tak sedar benda jahat tu ada dalam diri kita. Ketika
marah, melampau-lampau marah kita.

Baca doa ini: Allahumma inni a'udzubika minal hammi wal hazan....

"Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya
(syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang
kamu minta."
QS Fussilat 41:31

iv. Dari fitnah(tarikan/attraction) dunia.
Tarikan dunia kadang-kadang membuatkan kita lalai. Ada harta itu bagus tapi jangan
sampai mengambil hak orang lain. Awas dengan tarikan-tarikan dunia yang
menyenangkan hati, jangan sampai ia menyenangkan nafsu yang membawa ke arah
kejahatan.

Manusia suka hiburan. Berapa ramai penghibur yang menghiburkan orang lain tapi
jiwa sendiri tak terhibur? Berapa ramai penghibur yang menghiburkan orang lain tapi
dia sendiri tak terhibur sampai bunuh diri?

v. Dari kejahatan orang lain.

"dari kejahatan (bisikan) setan yang bersembunyi,
yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,
dari (golongan) jin dan manusia.”
QS An-Nas: 4-6

"dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”
QS Al-Falaq 113:5

"Tidakkah kamu tahu bahwa Allah memiliki kerajaan langit dan bumi? Dan tidak ada
bagimu pelindung dan penolong selain Allah."
QS Al-Baqarah 2:107

‫ا ْﻟ َﺣ ِﻣﯾ ُد‬

(56) Allah SWT Al-Hamid
Allah SWT Yang Maha Terpuji

Memang selayaknya Allah SWT menerima sanjungan dan pujian hambaNya kerana
Dialah Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Jika kasih sayang itu ada 100 dan satu diturunkan ke muka bumi ini dan dikongsi
sesama makhluk Allah SWT sehinggakan seekor singa menyimpan kukunya ketika
anak sedang menyusu untuk tidak mencederakan anaknya.

Dengan satu yang diturunkan ke bumi dikongsikan oleh seluruh manusia dan
makhluk-makhluk lain, makhluk lain ada rasa kasih dan sayang. 99 lagi ada dengan
Allah SWT. Sungguh Allah Maha Pengasih. Maha Penyayang. Sebab itu, selayaknya
Allah dipuji.

Hukum Memuji (makhluk)

i. Haram memuji bila yang dipuji, sampai jadi pemujaan.

• gantung gambar yang memuja.

Yang layak dipuja hanya Allah SWT. Manusia itu berjasa dengan takdir dan izin
Allah tetapi tidak menciptakan.

"Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan
gelap dan terang, namun demikian orang-orang kafir masih mempersekutukan
Tuhan mereka dengan sesuatu."
QS Al-An'am 6:1

• Berhati- hati dengan lirik lagu yang memuja perempuan.

ii. Makruh memuji bila orang yang dipuji lupa diri. Memuji sampai boleh
merosakkan orang itu.

"Awak kalau tak datang, memang tak ceria majlis." Lalu orang itu pun mula
mengembang.

Nota: Saidina Umar RA pernah baling pasir kepada orang yang memujinya.

Orang Melayu, memuji setakat 'bodek'. Tapi orang Arab memuji boleh sampai tahap
'mujamalah'(bodek extreme).

iii. Wajib memuji. Kalau tak puji, berdosa. Bila tu? Kita letakkan satu
reputasi(pujian-pujian yang bagus) pada dia dalam keadaan mudarat. Kalau tak puji,
boleh jatuh haram.

Contoh: Ada orang sedang nak terjun bangunan. Atau orang tengah mengamuk
pegang parang ke. Kita kena puji dia. "Awak sebenarnya orang yang baik. Saya
kenal sangat awak ni. Jiwa awak bukan macam ni." (Ketika ini, wajib puji).

iv. Sunat memuji. Kita rangsang seseorang itu untuk dia buat ibadah-ibadah yang
bagus.

Nota:
Ada pujian yang berbentuk sapaan. Hukumnya harus. "Eh...ceria nampak hari ni!"
"Lawa nampak baju hari ini."

Awas!! Memuji manusia, jangan sampai memuja.

Ketika kita menerima pujian, apa patut dibuat?

Sebutkan dua perkara.

1. Balikkan pujian itu kepada Allah. Katakan Alhamdulillah. (Segala puji hanya
untuk Allah)

"Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan (pemilik) langit dan bumi, Tuhan seluruh alam."
QS Al-Jathiya 45:36

2. Sebutkan aameen.
Sebab, pujian itu suatu doa.
Kalau betul kita dalam nikmat itu, Allah kekalkan. Kalau tak, mudah-mudahan Allah
kurniakan kita nikmat itu.

Bicara tentang Allah SWT Al-Hamid dari empat(4) sudut:

1. Kita sedar dengan kewarasan kita bahawa Allah memang layak dipuji. Manusia
yang dipuji mungkin tak layak atau kurang layak.

Puji Allah, dapat reward/ganjaran. Apakah ini bodek Tuhan?. Bukan!! Memuji Allah
melahirkan rasa tauhid kepada Allah SWT. Memuji dan memuja membuatkan kita
rasa nak menyembah Allah SWT. Rasa berterima kasih Allah jadikan semua
keadaan.

Sebab itu di dalam ayat-ayat Al-Qur'an, yang dua ini dibentuk iaitu:

• disuruh kita berterima kasih.
DAN
• disuruh kita rasa kagum kepada Allah SWT.

Kalau tiada rasa berterima kasih dan kagum kepada Allah SWT, kita susah nak
menyembah Allah dengan sebenar-benarnya. Jadi sedarlah...pujilah Allah SWT
kerana itu mendatangkan pahala.

2. Memuji Allah mendatangkan rasa faham.

"Dan ketahuilah bahwa Allah Mahakaya, Maha Terpuji."
QS Al-Baqarah 2:267

*Ketahuilah.....maksudnya kena ada ilmu.

**Faham macam mana? Faham macam mana nak puji Allah SWT.

Cara puji Allah:
• Dengan Lisan: ucapkan alhamdulillah.
*Sebab itu, setiap lepas solat kita ucap Alhamdulillah 33x bukan semata-mata
menghabiskan biji tasbih.

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
"Ya Allah. Engkau memang layak dipuji."

• Dengan Hati: ingat Allah. "rasa berbunga di hati" nak rapat dengan Allah SWT.
Sampai tertunggu-tunggu waktu solat. Kalau terlambat, rasa bersalah.

• Dengan perbuatan. Gunakan apa yang ada pada kita untuk membesarkan Allah
SWT.

Kalau kita ada kereta yang bagus, gunakan untuk rapat kepada Allah SWT. Contoh:
pergi masjid, pergi kelas, tumpangkan kawan, ziarah orang.

Hiasi rumah kita dengan bagus bila kita menghargai pemberian Allah SWT. Jadikan
seperti mana yang Allah suruh. Terima tetamu, pahalanya besar.

3. Hayati pujian kepada Allah SWT. Maksudnya kita latih diri supaya konsisten
dalam memuji Allah SWT. Apa-apa pun perkara, tengok dan pujilah Allah dulu.

Sewaktu orang-orang beriman melihat keagungan Allah SWT dalam...

penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau
menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.
QS Ali Imran 3:191

Hadis Nabi SAW:
"Sesiapa yang mengingati Allah ketika dia senang, Allah akan mengingatinya ketika
dia susah." (Maknanya Allah utamakan kita, tak tinggalkan kita keseorangan. Dalam
susah, ada saja jalan keluarnya nanti.)

Manusia memang semuanya diuji. Orang beriman juga diuji. Jadi, jangan tawar-
menawar dengan Tuhan.

Contoh:
"Aku dah solat. Kenapa aku yang diuji? Kawan yang tak solat tu, kenapa dia tak
kena? Kenapa dia senang-lenang?"

Orang beriman adalah orang yang diuji dan diberi jalan keluar dari ujiannya.

4. Perjuangkan atau sampaikan pujian itu kepada orang lain. Ajar orang lain
memuji Allah Al-Hamid.

Kita bersyukur kepada Allah SWT. Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW mengajarkan sahabat bagaimana memuji Allah SWT kerana sebelum itu,
sahabat memuji patung-patung, dewa-dewa, bintang-bintang, makhluk-makhluk etc.

Kemudian sahabat bertebaran ke muka bumi mengajar manusia cara memuji Allah
SWT.

‫ا ْﻟ ُﻣ ْﺣ ِﺻﻲ‬

(57) Allah SWT Al-Muhsi
Allah SWT Yang Maha Menghitung

"Allah menghitungnya (semua amal perbuatan itu), meskipun mereka telah
melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu."
QS Al-Mujadila 58:6

Di akhirat nanti, yang menjadi saksi kepada amalan kita lima(5) perkara:

1. Allah SWT sendiri yang menjadi saksi kepada amalan kita.
2. Malaikat kanan dan kiri.
3. Manusia-manusia di sekeliling kita menjadi saksi kepada amalan kita.
4. Anggota badan kita.
5. Tempat/makhluk lain selain manusia menjadi saksi kepada amalan kita.

"Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu Kitab (buku catatan amalan
manusia)."
QS An-Naba' 78:29

Allah SWT Yang Maha Menghitung. Biar segala amalan kita yang dihitung jadi
amalan baik dan memberi manfaat di dunia dan akhirat.

Tujuh (7) Perkara/Amalan Baik Yang Perlu ditelitikan.

1. Perkara yang wajib hendaklah dilakukan dengan betul & sempurna.
~ Solat wajib, buat betul-betul dan jaga. Jangan lalai, tangguh, buat tak tahu.
~ Zakat, kira baik-baik.
~ Nafkah untuk isteri & anak-anak kena jaga.
~ Taat kepada suami itu wajib. Kalau tak mampu, bercita-citalah dulu. "Ya Allah, aku
nak jadi isteri solehah. Help me. Dan bantu suami supaya dia selalu merangsang aku
jadi isteri solehah."

2. Perkara sunat hendaklah selalu dilakukan
Dibanyakkan. Yang sunat itu tanda kecintaan kita kepada Allah SWT.

Rukun Islam 5 perkara.
Pertama.
Mengucap dua kalimah syahadah.
Sunatnya ialah zikir, istighfar, tasbih.

Solat.
Solat sunat.

Puasa.
Puasa sunat.

Zakat.
Sunatnya, sedekah, waqaf. Semakin berkat harta, semakin Allah cambahkan.

Haji.
Sunatnya umrah.

3. Perkara haram hendaklah ditinggalkan/dijauhkan.
~ Lawan suami.
~ Sengaja sakitkan hati isteri.

*Bercita-cita untuk meninggalkan yang haram.

4. Perkara makruh hendaklah dihindarkan.
• Rokok. Paling kurang, niat. "Ya Allah aku hendak tinggalkan. Tolong tunjukkan
jalan."

5. Perkara yang jarang berlaku pada diri lebih diutamakan. Contoh: hari ini kita
ada kelas agama di masjid dan pada masa yang sama, ada orang meninggal.
Mengurus jenazah lebih utama.

Kita ada kelas. Ada tetamu datang dari jauh. Dahulukan tetamu kerana tetamu tidak
selalu.

6. Amalan yang mempunyai manfaat yang lebih besar, diutamakan. Contoh: di
masjid ada gotong royong dan pada masa yang sama kita nak habiskan khatam al-
Qur'an untuk diri kita. Gotong royong untuk kepentingan awam. Jadi, yang mana
dulu? Dahulukan gotong royong.

7. Jika terpaksa memilih benda yang mudarat, pilihlah mudarat yang lebih
ringan dibandingkan mudarat yang lebih besar.

Contoh. Kita masuk hutan. Makanan habis. Ternampak bangkai arnab. Makan
bangkai itu haram tapi kalau tak makan, kita berpotensi sesat, tak bertenaga. Jadi
apa patut dibuat? Makanlah sekadarnya.

Dalam bab perubatan, katakanlah kita tiada pilihan. Terpaksa menggunakan ubat
yang ada bersumberkan yang tak halal. Pada ketika itu, boleh digunakan sekadarnya
kerana kalau tak ambil, mungkin sakit yang lebih teruk lagi.

Hari ini, katakanlah kita nak tegur suami kita. Boleh bergaduh ni. Tapi kalau tak
tegur, dia tak perasan dia punya salah. Jadi, tegurlah.

*Dalam bab menegur orang lain seperti suami, emak atau ayah, tidak dikatakan kita
derhaka kalau kita menegur bab akidah, hukum-hakam(syariah) & akhlak Islamiyah.

"Dia (Allah) benar-benar telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka
dengan hitungan yang teliti. Dan setiap orang dari mereka akan datang kepada Allah
sendiri-sendiri pada hari Kiamat."
QS Maryam 19:94-95

*Amat menyesal orang ketika itu jika amalannya tidak cukup.

**Jalankan tanggungjawab kita ikut perintah Allah SWT.
• Kalau kita ada masalah dalam keluarga, masing-masing dari kita akan disoal dan
perlu menjawab di akhirat nanti.

• So kita jalankan tanggungjawab kita atas perintah Allah SWT.

• Kalau taat suami sebab suami, kita akan mudah jadi isteri derhaka. Taatilah suami
sebab Allah suruh.

• Jangan menyayangi isteri sebab isteri itu. Nanti kita mudah kecewa. Sayangilah
isteri kerana Allah perintahkan.

Apakah perkara-perkara yang boleh menyebabkan amal itu rosak?

1. Tidak ikhlas.

Ciri-ciri ikhlas ada 2:
i. Beramal semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT.

ii. Kebergantungan cara dan hasil kepada Allah SWT.

* Orang yang tidak ikhlas, amalannya tidak dikira.

2. Ungkit-mengungkit pada amalan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membatalkan pahala
sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima),"
QS Al-Baqarah 2:264

3. Riyak. Menunjuk-nunjuk kat orang.

‫ا ْﻟ ُﻣﺑْ ِد ُئ‬

(58) Allah SWT Al-Mubdi'u
Allah SWT Yang Maha Menciptakan Dari Asal

(Yang Maha Memulakan Penciptaan)

Allah SWT yang memulakan kejadian sekalian makhluk. Manusia asalnya tidak ada
dan kemudian diadakan oleh Allah.

"Sesungguhnya Dialah yang memulai penciptaan makhluk kemudian mengulanginya
(menghidupkannya kembali setelah berbangkit), agar Dia memberi balasan kepada
orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dengan adil."
QS Yunus 10:4

*Allah SWT suruh kita perhatikan diri kita. Sekiranya kita kenal diri kita sebagai
manusia, maka mudahlah untuk kita kenal Allah SWT. Barulah kita hidup tidak
sombong serta mahu mentaati Allah SWT.

Kenapa Allah suruh kita tengok diri kita?
Sebab...

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya,"
QS At-Tin 95:4

Kita ni berasal dari tempat lain dan kemudian diturunkan.

"Kami berfirman, “Turunlah kamu semua dari syurga!"
QS Al-Baqarah2:38

Dua perkara/tabiat manusia untuk mengenal diri sebelum mengenal Allah SWT.

1. Tabiat ketawa.
Allah SWT menciptakan ketawa khusus untuk manusia. Tujuan ketawa, untuk
manusia mendapat kebahagiaan. Allah jadikan bangsa manusia (dengan spesifikasi)
boleh ketawa. Tak ada pada makhluk lain.

~ pernah dengar kambing ketawa? Atau 2 ekor kucing bergurau dan kemudian
ketawa?

~ Kajian sains mendapati, bila ketawa
enzim endorfin dikeluarkan. Enzim ini menyebabkan hati manusia tenang, fikiran
lapang. Tenang menyebabkan jantung berdegup dengan stabil, fikiran lapang, muka
makin manis, senyuman makin ikhlas.

Soalnya, kenapa ada orang yang ketawa tapi tidak tenang? Penghibur di pentas
menghiburkan orang lain tetapi diri sendiri tak terhibur. Ramai artis di luar negara
yang bunuh diri, terjun bangunan, makan racun, makan pil tidur berlebihan dos.

Kenapa ada orang ketawa tapi tidak tenang? Sebab orang ini ketawa disulami dosa.
Allah SWT tidak pernah menjadikan perkara yang ingkar dan mungkar sebagai ubat
bagi hati.

Orang yang ketawa bersulam dosa, lepas dia ketawa jadi runsing balik, sempit hati
balik.

Jaga 3 Perkara Agar Ketawa Tidak Menjadi Dosa.

i. Jaga sebab ketawa.
~ Jangan sebab maksiat. Lelaki perempuan tak terjaga mahramnya, bercuit sana
sini.
~ Jangan sampai ketawa itu menghina atau membuka aib orang lain.
~ Jangan sampai ketawa itu melanggar syarak, sampai melupakan Tuhan.

ii. Jaga cara ketawa.
~ Jangan ketawa sampai terbahak-bahak, mengilai-ngilai.

iii. Jaga hasil ketawa.
~ Jangan sampai hasilnya buat orang rasa terhina/pecah ukhuwwah. Kalau dia
terasa hati, mintalah maaf.

2. Tabiat bersedih dan menangis.
Menangis memang fitrah manusia. Sebab itu, bayi yang lahir mula-mula menangis.

Nabi Muhammad SAW menangis ketika anaknya meninggal. Nabi Yaakub AS
menangis bila diberitakan anaknya telah meninggal.

*Menangis juga boleh beri ketenangan kepada seseorang.

Semakin manusia itu membesar, dia tak lagi menangis kerana fitrah. Dia mula
menangis kerana dendam, tak puas hati, hilang harapan, takut menghadapi hidup
atau masalah-masalah tertentu.

Ada juga yang sedih tak menentu dengan masa depan yang dia cipta sendiri cerita
itu dan dia cuba percaya. Seperti seorang wanita yang mengagak dia mungkin kena
sakit buah pinggang. Jadi macam mana? Nanti suami tak sayang. Dan lepas itu
suami kahwin lain. Pening kepala!

*Menangislah kita atas sebab fitrah bukan atas sebab keduniaan.

Ubat kesedihan sama ada dunia atau fitrah.
Dari 3 sudut: akal, hati & fizikal.

Akal: Nabi SAW menyuruh kita mencari hikmah kejadian. Dalam hidup ini, tidak ada
kebetulan.

Hati: Nabi menyuruh kita menanam dengan iman.
La ilaha illallah bermaksud
Tiada yang memberi kasih sayang selain Allah,
Tiada yang memberi rezeki selain Allah.
Tiada yang membela melainkan Allah.
Tiada yang memberi jalan keluar kepada masalah melainkan Allah.

Tiada segala-galanya melainkan Allah.
"Perbaharui iman kamu dengan ucapan La ilaha illallah."

*Masukkan ke dalam hati itu, hajat kita.
La Hafiz illallah
Tiada yang memelihara selain Allah.

Fizikal: Nabi SAW menyuruh kita membaca Al-Qur'an. Surah pengubat kesedihan:
Surah Yasin & Surah al-Kahfi.

*Kalau tak boleh berhenti menangis, bacalah surah Yasin.

*Kalau susah nak tidur, bacalah QS 18:11.

Banyakkan berdoa. Dalam bahasa Melayu pun takpe.

Banyakkan solat kerana dalam solat ada doa, "hidayahkan aku ke jalan yang lurus".

Kesimpulan:
Allah SWT Yang Memulakan Penciptaan. Allah ciptakan tabiat untuk kita kenal asal
kejadian kita. Tabiat ketawa dan menangis sebagaimana diajarkan al-Qur'an dan
hadis.

Biarlah tangisan dan ketawa kita membawa bahagia. Bukan ketawa yang membawa
bahagia sementara dan tangisan yang menjadikan kita semakin stress.

‫ا ْﻟ ُﻣ ِﻌﯾ ُد‬

(59) Allah SWT Al-Mu'id
Allah SWT Yang Maha Mengulangi Kembali

"Dan Dialah yang memulai penciptaan, kemudian mengulanginya kembali, dan itu
lebih mudah bagi-Nya. Dia memiliki sifat yang Mahatinggi di langit dan di bumi. Dan
Dialah Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana."
QS Ar-Rum 30:27

Dalam konteks manusia, katakan kita ada satu ilmu/pengetahuan membuat suatu
benda dan kita boleh buat benda itu dengan sempurna, maka benda itu kita akan
boleh buat lagi. Katakanlah kita pandai buat gubahan bunga yang cantik dan kita
belajar buat benda ini mungkin dari emak kita dulu. Dengan ilmu ini, mudah untuk
kita buat gubahan lain.

Pemimpin-pemimpin yang disebut di dalam al-Qur'an seperti Firaun, yang
mengingkari Allah SWT, selepas dia mengarahkan tukang-tukang mahir membuat
piramid, apa yang dilakukan kepada mereka? Dibunuh. Kerana kalau tak dibunuh,
mereka boleh gunakan kemahiran yang ada untuk membuat piramid di tempat lain.
Sedangkan Firaun merasakan piramid ini adalah special dan khusus untuk dia
sahaja.

Perkara yang sama pernah berlaku di Xi An, China, tukang-tukang mahir yang
membuat terracotta warrior untuk Maharaja Shih Huang Ti, dipotong tangannya.

Itu manusia. Dengan sedikit pengetahuan yang diberi Allah SWT.

Bagaimana dengan Allah SWT yang sifatnya Alimul(Yang Maha Mengetahui) Hakim
(Yang Maha Bijaksana). Sudah tentu Allah SWT boleh menciptakan manusia/alam ini
dan Allah al-Mu'id tentu boleh mengulanginya selepas kematian kita.

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah memulai penciptaan
(makhluk), kemudian Dia mengulanginya (kembali). Sungguh, yang demikian itu
mudah bagi Allah. Katakanlah, “Berjalanlah di bumi, maka perhatikanlah bagaimana
(Allah) memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang
akhir. Sungguh, Allah Mahakuasa atas segala sesuatu."
QS Al-Ankabut 29:19-20

*Berjalanlah di bumi dengan niat yang betul.

Orang yang banyak berjalan/mengembara dikurniakan lima(5) perkara.

1. Bila dia memerhatikan dengan iman, dia akan dapat iman. Perhatikanlah bukit-
bukit, gunung-gunung dan ciptaan-ciptaan Allah SWT.

2. Dia akan dikurniakan ilmu.

3. Dia akan banyak pengalaman. Pengalaman adalah asas hikmah. Maka,
banyak pengalaman, banyaklah hikmah.

4. Banyak kawan.

5. Dia akan beroleh rezeki. Mungkin dapat sekarang atau akan datang.

Maka, berjalanlah dan perhatikanlah kejadian alam dan bagaimana Allah SWT
menciptakan sesuatu.

*Pernahkah anda melihat pokok atau tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dari celah-
celah batu atau jalan tar? Bagaimana pokok ini boleh tumbuh tanpa tanah, baja etc
dan hidup subur di situ? Allah SWT mampu menciptakan sesuatu. Samalah halnya
dengan kita yang bakal dihidupkan semula.

Aceh selepas dilanda tsunami, bersih seperti (sawah yang telah) dibajak. Sekarang,
pokok-pokok baru dan segar dah tumbuh. Di atas gunung warna pokoknya lain, di
bawah warna pokoknya lain kerana yang di bawah adalah pokok-pokok yang baru
tumbuh.

Di dalam al-Qur'an, Allah SWT ada menceritakan beberapa kisah tentang Allah
menghidupkan yang mati atau yang ditidurkan dengan lama.

Pertama.
Nabi Ibrahim a.s. pernah bertanya,
"Ya Allah, bagaimana Engkau menghidupkan yang mati?"

"Apakah kamu tidak beriman?"

Kata Nabi Ibrahim a.s
"untuk menenangkan hati aku."

Maka Allah SWT perintahkan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih empat ekor
burung yang masing-masing telah ditandakan. Sembelih, cincang-cincang dan
diletakkan di atas bukit. Kemudian, panggil balik burung-burung itu.

Nabi Ibrahim a.s. melakukan sebagaimana disuruh. Keempat-empat ekor datang
kepadanya sebaik dipanggil.

Kedua.
Kisah Ashabul-Kahfi yang ditidurkan Allah SWT selama 309 tahun. Macam dah mati.
Dihidupkan kembali.

Ketiga.
Kisah Nabi Uzair yang ditidurkan selama 100 tahun. Bila dibangunkan dan dia balik
ke kampung, anaknya pun dah tua tapi Nabi Uzair masih muda sebagaimana
ditidurkan.

Kenapa Allah SWT nak menghidupkan benda yang dah mati?

"Sesungguhnya Dialah yang memulai penciptaan makhluk kemudian mengulanginya
(menghidupkannya kembali setelah berbangkit), agar Dia memberi balasan kepada
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil."
QS Yunus 10:4

Bagi kita bangsa manusia dan jin, kita dihidupkan bukan secara kebetulan. Kita
dihidupkan dengan satu tugasan.

Tugasan kita adalah:

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-
Ku".
QS Adh-Dhariyat 51:56

Dan mentadbir, membangunkan muka bumi ini sebaik-baiknya. Sebab itu, dalam
Islam, haram untuk kita bersikap malas. Sebab kamu adalah khalifah, kamu perlu
membangunkan muka bumi ini sebaik-baiknya. Antara sifat terkeji adalah
menangguh pekerjaan.

Maksud Hadis Nabi SAW: "Binasalah orang yang suka menangguh-nangguh
pekerjaannya."Kerja yang boleh dibuat pada hari ini, buat hari ini, jangan tangguh-
tangguh sampai esok.

Ciri orang beriman

"Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras
(untuk urusan yang lain),"
QS Al-Inshirah 94:7

Di akhirat nanti, orang perempuan akan ditanya hanya empat(4) soalan berat.
a. Ditanya mengenai solatnya.
b. Ditanya mengenai puasanya.
c. Ditanya mengenai dia menjaga kehormatan dirinya, dan
d. Ditanya mengenai ketaatannya kepada suami.

Maka masuklah ke syurga melalui pintu mana yang kamu mahu.

Kalau orang lelaki, lebih berat.
"Kenapa isteri kau tak pakai tudung?"
"Kenapa isteri kamu ni macam ni, macam ni?"

So ladies...jagalah solat. Tok-tok guru pesan, kalau kita baru mandi wajib kerana
habis period, qadha kan solat satu waktu sebelum itu kerana mungkin period kita dah
habis 1 waktu lebih awal tapi kita tak perasan.

Jaga puasa. Ganti puasa wajib dan pastikan fidyah di bayar. Kerana empat perkara
ini disebut secara spesifik oleh Nabi SAW, bagi kaum wanita, taat suami bukanlah
mudah kerana ada suami yang "macam-macam". Yang suruh taat suami, bukannya

suami. Allah yang perintahkan. Nanti esok di depan Allah, Allah nak balas orang
yang beriman dan beramal soleh.

"Kenapa kau tak taat suami?"
"Malaslah Tuhan. Suami aku ni kerja dia menipu aku je. Macam mana nak taat?"

*Suami tipu kita, nanti dia yang jawab. Kalau kita tak taat, kita pulak kena jawab bab
ini.

Allah menyebut di dalam QS10:4 bahawa... "agar Dia memberi balasan kepada
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil."

Kenapa "beriman" dipadankan dengan "beramal soleh"? Kerana orang yang ada
keimanan di hati sahaja yang ada rasa hendak beramal soleh.

*Bukan senang nak beramal soleh. Kadang-kadang suami tak sokong kita.

Periksa hati:
"Ya Allah, aku buat ni memang untuk cari keredhaan-Mu, bukan untuk manusia."

*Sebab redha Allah itulah yang penting dalam hidup. Nanti kita mati, kita tak akan
pulang kepada isteri/suami. Kita akan pulang hanya kepada Allah. Kalau dah tahu
kita akan pulang hanya kepada Allah, carilah benda/perkara yang mengundang
redha Allah SWT. (Benda/perkara yang boleh mengundang Allah sayang kepada
kita, sekalipun benda itu susah atau memang berat untuk kita buat)

Allah Al-Mu'id mengembalikan tujuan hidup orang-orang yang beriman.

• Orang yang meyakini Allah Al-Mu'id akan lahir satu sifat iaitu sifat al-Khauf = takut
kepada Allah.

• Orang beriman lebih takut hilang redha Allah daripada azab Allah. (Sebab redha
Allah, kalau hilang dari diri kita, menyebabkan kita dibiarkan oleh Allah SWT, tanpa
panduan. Dibiarkan macam tu.)

"(Ingatlah) pada hari langit Kami gulung seperti menggulung lembaran-lembaran
kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan
mengulanginya lagi. (Suatu) janji yang pasti Kami tepati; sungguh, Kami akan
melaksanakannya."
QS Al-Anbiya' 21:104

"Darinya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanyalah Kami akan
mengembalikan kamu dan dari sanalah Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu
yang lain."
QS Ta-Ha 20:55

Manusia telah, sedang dan akan melalui lima(5) alam. Kita ini musafir yang sedang
melalui satu perjalanan yang sangat jauh.

Pertama: alam roh.
Hadis Nabi SAW: "Siapa yang pernah berkenalan di alam roh, dia akan baik di alam
dunia ini."

Kedua: alam rahim ibu kita.
Dalam Hadis 40 Imam Nawawi. Sebelum Allah SWT ambil roh letak dalam janin,
malaikat bentangkan seluruh kehidupan kita.

"Ini ajal kamu.
Ini rezeki kamu.
Ini jodoh kamu.
Ini jalan hidup kamu."

Ada yang kita boleh buat pilihan, ada yang tak boleh. Yang boleh buat pilihan,
contoh: kamu dalam persimpangan maksiat. Nak teruskan ke atau nak berhenti?

Tengah merajuk dengan suami. Nak baik ke atau nak terus merajuk?

Ni tengah buat salah, tak bagi nafkah kepada isteri. Nak terus buat tak tahu ke atau
nak mula ambil tahu?

Contoh yang kita tak boleh buat pilihan: sakit, bencana tsunami, gempa bumi.

Maka, kamu terima atau tidak?
Kita jawab, "terima". Sebab itu kita dilahirkan dan hidup sampai sekarang.

Kalau waktu itu kita jawab, "tak terima", kita tak akan dilahirkan atau mati sebaik
lahir.

Sebab itu, sekarang kita sedang melalui ujian, apa yang Allah perintahkan?
Sabar dan redha. Kalau kita tak sabar, benda itu tak bawa ketenangan kepada kita.
Roh kita dah terima tapi kalau akal dan hati kita tak terima, dalam diri kita sendiri
"berlawanan" (chaos).

Tapi kalau kita kata,
"Tuhan, aku serah semuanya kepada Engkau", kita akan jadi lebih tenang.

Alam ketiga adalah alam dunia yang mana kita perlu beramal.

Alam keempat ialah alam barzakh. Kita "kembali kepada tanah." Alam barzakh
adalah satu daripada dua lubang, sama ada lubang kerehatan atau lubang azab.
Siapa yang duduk dalam lubang kerehatan, dia akan rehat. Dibangkitkan nanti pun
dia rehat. Kalau duduk dalam lubang azab, maka alam seterusnya akan lebih azab
lagi.

• Taubatlah betul-betul. Hidup kita ini sungguh tak lama.•

Kelima, alam akhirat. Ada padang mahsyar, timbang amalan, titian Siratul Mustaqim,
syurga dan neraka.

Allah SWT Al-Mu'id. Yang Maha Mengembalikan. Carilah redha Allah.

‫ا ْﻟ ُﻣ ْﺣﯾِﻲ‬

(60) Allah SWT Al-Muhyi
Allah SWT Yang Maha Menghidupkan.

"Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada-Nyalah kamu
dikembalikan."
QS Yunus 10:56

"Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam,"
QS Al-Fatihah 1:2

"Seluruh alam" terlalu banyak alam.
• Alam manusia,
• Alam jin,
• Alam malaikat,
• Alam haiwan,
• Alam tumbuhan,
• Alam-alam yang tidak kita ketahui

Dan semuanya bertasbih kepada Allah SWT.

Allah Al-Muhyi. Allah Yang Menghidupkan. Allah Yang Memiliki Kehidupan tetapi kita
diberi pilihan. Manusia hidup sentiasa berada di persimpangan/pilihan. Turun naik
nafas manusia, dia dalam pilihan.

Contoh:
Dia menderhaka kepada suami. Pilihannya adalah, nak terus menderhaka atau nak
jadi isteri solehah?

Hari ini dia seorang suami yang selalu menyakiti hati isteri. Tak dipukul secara zahir
tetapi ditorture dari sudut mental. Pilihannya adalah, nak menjadi suami yang soleh
atau terus mencari salah isteri untuk diperbesarkan?

Bagi yang telah berumahtangga sekian lama, orang perempuan selalu merasakan
dia tak lagi disayang, orang lelaki selalu merasakan dia tak lagi dihormati. Kadang-
kadang, ini perasaan sahaja. Tetapi kalau dilayan, hal yang kecil-kecil pun boleh
bergaduh.

1. Allah memberi manusia pilihan dari sudut akidah. Sama ada kita betul-betul
bergantung hanya kepada Allah SWT atau bergantung kepada benda lain.

2. Allah memberi manusia pilihan dari sudut pengabdian/ibadah.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-
Ku."
QS Adh-Dhariyat 51:56

*Ibadah (solat sunat, baca Qur'an, sedekah etc) perlu diutamakan dalam kehidupan
seharian. Kalau tidak, kita akan selalu "tak ada masa" untuk melakukannya.

3. Allah memberi manusia pilihan untuk taat atau membuat maksiat.
• Kalau seseorang itu telah bermaksiat, diberi jalan keluar iaitu taubat.

"Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya,"
QS At-Tahrim 66:8

• Utamakan pilihan yang baik.

Membicarakan Allah al-Muhyi dari tiga perkara.

i. Manusia memiliki usaha.
ii. Manusia diberikan pilihan.
iii. Allah berikan ujian kepada manusia untuk menghapus dosa atau meningkatkan
darjat.

Rasulullah SAW bersabda :
"Jika seseorang hamba itu banyak dosanya dan dia tidak mempunyai amalan-
amalan yang menghapuskan dosanya, maka Allah akan mengujinya sehingga
mendatangkan kesedihan baginya untuk Allah SWT hapuskan dosa-dosanya."
~Riwayat Ahmad dari Aisyah r.a.~

Semua ujian bersifat "menyempitkan hati" walau bentuk-bentuknya berbeza. Kata
ulama, jangan bandingkan kebahagiaan kita dengan kebahagiaan orang lain.
~ Ada orang diuji dengan suami yang problem.

~Ada orang diuji dengan masalah kesihatan.

~Ada yang diuji dengan masalah kewangan.

~Ada orang diuji dengan kesenangan tetapi dengan benda yang haram.

~Ada yang diuji dengan di datangkan kezaliman.

Macam-macam.

Penghargaan

* Ustaz Muhammad b. Abdullah Al-Amin (Ustaz Amin)/ALCC
* www.quran.com

* https://99namesofallah.name/ untuk Asmaul Husna dalam tulisan bahasa Arab.
dan buat
* keluarga serta teman-teman yang selalu memberi dorongan untuk saya menulis dan tak
jemu-jemu membaca tulisan saya. Jazakillah khair.

Semua orang pasti tak akan terlepas dari ujian yang datangnya silih berganti dalam
kehidupan. Ada orang dıuji dengan penyakit. Di usia yang muda, hospital menjadi
rumah kedua. Ada orang diuji dengan masalah kewangan. Semua yang diikhtiarkan
seperti tidak menjadi tetapi semangatnya tetap tak luntur dalam pasang surut
kehidupan yang tak menentu. Orang lain diuji dengan pasangan yang tidak setia
walau istananya terbina atas dasar suka sama suka. Ada orang lain diuji dengan
datangnya pelbagai musibah. Entah kenapa hidupnya seperti tak pernah lekang dari
masalah.

Macam-macam ujian dengan bentuk yang berbeza. Yang pasti, persamaannya
adalah semua ujian menyempitkan hati. Ada orang mengakhiri ujian hidupnya
dengan membunuh diri tetapi ada yang tenang sahaja meneruskan kehidupan sambil
terus berikhtiar mendapatkan solusi.

Beruntunglah insan-insan yang saat ini sedang diuji seandainya ujian itu digunakan
sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Pemilik segala solusi. Tanpa ujian atau
hajat sukar bagi kita menyedari hakikat ini. Jadi, apa sahaja masalahnya, carilah
Yang Maha Mengetahui segala isi hati. Sampaikanlah permintaan anda kepada
Yang Maha Memberi. Segalanya pasti kerana hanya Dia Yang Maha Memberi
Rezeki. Di kala hati resah gelisah, carilah Yang Maha Memberi Keselamatan dan bila
dirasakan tiada ketenangan, carilah Dia Yang Maha Memberi Keamanan. Anda pasti
tak akan dikecewakan. Semoga nota ringkas ini sedikit sebanyak bermanfaat buat
anda .

Dua tiga kucing berlari,
mana nak sama si kucing belang,
buat pembaca nota ini,
maaf dipinta andai ada yang kurang.


Click to View FlipBook Version