The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by exactpublisher, 2023-05-26 10:22:01

Kisah Maimoon

Kisah Maimoon-1-34

Maimon Kisahku hanya secebis kehidupan Hannah


Maimon Kisahku hanya secebis kehidupan Exact Publisher Sdn. Bhd. (534271-V)


14, Jalan Helang Hindik, Kawasan Perindustrian Kepong Baru, 52100 Kuala Lumpur. Tel: 03-6275 2300 Fax: 03-6270 1599 COPYRIGHT All rights reserved. No part of this publication may be reproduced, copied or transmitted, in any form or by any means, electronic, mechanical, photocopying, recording or otherwise, without written permission from the Publisher. Under the Copyright Act 1987 of Malaysia, any person who does any unauthorised act in relation to this publication shall be liable to prosecution and claims for damages. © 2022 oleh Exact Publisher Sdn. Bhd. Cetakan Pertama 2022 ISBN: 978-967-350-889-1 Dicetak oleh Colour Scan Separation Sdn Bhd 63, Jalan 5/62a, Bandar Menjalara, 52200 Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tel: 03-6275 3066 Penulis: Fatin Hannah binti Zainal Penyelia Projek di Universiti Malaya: Dr. Nor Zaliza Sarmiti@Sarmidi Penyelia Projek di Exact Publisher Sdn. Bhd.: Hoo Li Tin Pereka bentuk dan juru gambar: Tan Chee Mun Exact Publisher Sdn. Bhd. (534271-V)


Kisah Maimon iii Isi Kandungan Prakata v 1. Kelahiran 1 2. Waktu kecil hingga dewasa 6 3. Detik Perkenalan 8 4. Status 11 5. Pertemuan 14 6. Keluarga 18 7. Penghargaan Anak 22 Gambar Kenangan 26 Bab1 Bab2 Bab3 Bab4 Bab5 Bab6 Bab7


iv Prakata Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah dengan limpah kurnianya terhasilnya buku ini dengan jayanya. Penulisan buku ini dilakukan bagi merekodkan sebahagian daripada cerita kehidupan yang pernah dilalui Maimon. Buku ini juga sebagai suatu memori kepada keluarga. Cerita yang ditulis adalah tanda ingatan kepada insan-insan yang disayangi serta sebuah bingkisan hati yang akan diingati sehingga akhir hayat. Penceritaan kisah ini juga sekaligus mengimbau kenangan dulu serta mengingati sejauhmana perubahan telah berlaku dalam hidup, persekitaran dan pemikiran kita. Masyarakat dahulu mempunyai pandangan berlainan terhadap isu melibatkan anak. Keadaan ketika pada zaman itu memungkinkan perkara tersebut berlaku. Walaupun demikian, masyarakat dan keadaan persekitaran semakin berubah kearah lebih baik. Buku ini juga ingin menyelami perasaan seorang anak dan ikatan kekeluargaan yang wujud dalam keluarganya. Keluarga besar ini akan terus berkembang dan berjaya dalam kehidupan. Semoga segala urusan dipermudah dan segala impian yang ingin dicapai berjaya dilakukan. Sepanjang kehidupan ini ada susah dan senangnya, namun hari esok akan sentiasa lebih baik daripada hari ini serta menjanjikan peristiwa yang tidak disangka. Semoga bertemu lagi. Hannah


Kisah Maimon 1 Kelahiran Suara tangisan bayi kedengaran di pendengaran menandakan kehadirannya di dunia ini dengan selamat, sihat dan memberikan kegembiraan kepada kedua-dua ibu bapanya. Seorang anak perempuan berketurunan cina telah dilahirkan oleh pasangan Koh pada tanggal 19 Jun 1956 di daerah Yong Peng, Batu Pahat yang terletak di negeri Johor. Anak perempuan berketurunan cina ini telah diserahkan kepada keluarga melayu setelah beberapa hari dilahirkan untuk dijadikan anak angkat. Keluarga melayu ini ialah pasangan suami isteri yang bernama Samen dan Julia yang telah memberi nama Maimon kepada anak perempuan angkat berketurunan cina mereka. Maimon diserahkan kepada Samen sekeluarga sejurus selepas beberapa hari dilahirkan kerana ayah kandung Maimon, En. Koh sudah berjanji sekiranya bayi yang dilahirkan itu adalah anak perempuan, dia akan memberikan bayi tersebut kepada Samen untuk dijadikan anak angkat. En. Koh dan Samen mempunyai hubungan yang akrab dan berkawan rapat, apatah lagi Samen kerap kali mengunjungi kedai runcit milik En. Koh untuk membeli barangan keperluan seharian. Hubungan rapat ini memberi Bab1


2 kepercayaan kepada keluarga Koh untuk menyerahkan anak perempuan mereka untuk dijaga dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh pasangan suami isteri Samen dan Julia. En. Koh menyerahkan anak perempuannya kepada keluarga lain mungkin disebabkan rata-rata keluarga cina pada ketika itu lebih cenderung untuk memiliki anak lelaki. Oleh itu, Samen sempat berpesan kepada En Koh sekiranya anak yang dikandung oleh isteri En. Koh itu adalah anak perempuan, berilah kepada Samen sekeluarga untuk dijadikan anak angkat. Pasangan Samen dan Julia sebenarnya telah memiliki anak kandung lelaki dan perempuan ketika mengambil Maimon sebagai anak angkat. Masyarakat melayu beranggapan anak itu pintu rezeki kepada keluarga. Hal tersebut mendorong Samen dan Julia berpendapat memiliki seorang lagi anak akan lebih memberi kebahagian dan mereka akan dimurahkan rezeki oleh tuhan. Mak kandung Maimon menyesal menyerahkan anak perempuannya kepada keluarga lain tetapi atas dasar patuh kepada permintaan suami, dia menuruti kemahuan suami walaupun hati berat menerima keputusan tersebut. Sebelum ini, dia sudah memberikan seorang lagi anak perempuannya kepada keluarga cina lain untuk dipelihara dan dijadikan anak angkat. Mak kandung Maimon kerap kali menyuarakan hasrat untuk dipertemukan dengan Maimon walaupun dia hanya dibenarkan melihat susuk tubuh anaknya dari jauh. Mak kandung Maimon sangat merindui anak yang dikandungnya dan sedih terpaksa berjauhan daripada anak kandungnya serta dia tidak berpeluang untuk menjaga anak perempuannya. Maimon adalah anak keempat yang dikandungnya, walaupun dia mengenali keluarga melayu yang mengambil anaknya sebagai anak angkat dia menyedari hakikat yang anak perempuannya itu sudah bukan lagi haknya. Namun, mak kandung Maimon tidak berputus asa berusaha untuk menemui anak kandungnya dan dia hanya sekadar mahu melihat wajah anaknya yang dirindui. Kerinduan seorang ibu itu tidak dapat


Kisah Maimon 3 siapapun untuk menafikan, walaupun tidak pernah memelihara Maimon, kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sangat menebal dihatinya. Walaupun dia mempunyai ramai anak kandung lain, Maimon tetap anak yang dikandungnya dan sangat dirindukan kerana terpaksa berjauhan. Apatah lagi, Maimon bukanlah anak pertama yang diberikan kepada keluarga lain. Dia rela dalam keadaan terpaksa menyerahkan anak kandungnya kepada keluarga lain disebabkan permintaan suaminya. Selepas menyerahkan Maimon kepada keluarga lain, mak kandung Maimon mengandung beberapa orang anak lagi. Apabila suaminya meminta dia untuk memberikan anak kecil mereka kepada keluarga lain, mak cina ini buat pertama kali menolak cadangan tersebut, dia menyakinkan yang mereka mampu menjaga anak kecil mereka, perasaan sedihnya yang beberapa kali perlu menyerahkan anak kandungnya, menjadi luka di hatinya dan tidak sanggup lagi untuk memberikan anak yang dikandungnya kepada keluarga lain. Maimon merupakan anak yang paling dirindukan kerana setelah beberapa tahun menetap di Yong Peng, keluarga Samen telah berpindah dari Yong Peng dan khabar mereka sekeluarga semakin sukar untuk diketahui dan peluang untuk melihat Maimon membesar semakin tipis peluangnya. Ketika di Yong Peng, pasangan Samen dan Julia menetap di Estet B Division, Samen dianggap Tuan Kecik dekat estet. Maimon dibesarkan di rumah beralamat No 2, Jalan Lama sebelum berpindah ke estet di Mantin. Maimon membesar dalam keluarga melayu dan dia tidak pernah diberitahu statusnya sebagai anak angkat Samen dan Julia. Status Maimon sebagai anak angkat turut tidak diketahui oleh anak kandung Samen dan Julia. Mereka membesar bersama-sama sebagai adikberadik yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dan mesra.


4 Setelah mengambil Maimon sebagai anak angkat, Samen dan Julia tidak pernah membezakan Maimon dan anak kandung mereka yang lain. Mereka telah menganggap Maimon sebagai anak kandung mereka. Julia sebagai mak melayu Maimon sememangnya tidak pernah berniat untuk memberitahu status sebenar Maimon sebagai anak angkat dan tiada niat untuk mempertemukan Maimon dengan ibu kandung cinanya kerana khuatir Maimon akan diminta untuk diserahkan kembali kepada keluarga kandungnya. Julia sudah terlalu menyayangi Maimon dan tidak mampu membayangkan betapa pedihnya perasaan Julia sekiranya dia akan kehilangan Maimon suatu hari nanti. Sebenarnya mak kandung Maimon pernah beberapa kali berjumpa dengan Maimon ketika dia masih kecil. Mak kandung pernah datang melawat Maimon bersama dengan anak sulungnya, Ah Seng pada tahun 1960-an di rumah keluarga melayu dengan membawa buah rambutan sebagai buah tangan. Maimon sehingga kini masih ingat peristiwa tersebut walaupun pada ketika itu Maimon berusia empat atau lima tahun dan tidak mengenali keluarga cina yang datang melawatnya. Mak kandung Maimon pada ketika itu, hanya menjenguk di pintu bilik yang diduduki Maimon kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan Maimon. Kebenaran yang diberikan hanya terhad kepada hanya melihat Maimon tanpa berborak dan memperkenalkan diri atau memberitahu status masing-masing. Mak kandung Maimon akur dengan syarat tersebut dan merasa gembira dipertemukan dengan anak perempuan kandungnya yang sangat dirindukan serta anaknya dijaga dengan penuh kasih sayang. Menurut salah seorang adik-beradik kandung Maimon, pertemuan tersebut bukanlah satu-satunya pertemuan mak kandung dengan Maimon. Ada beberapa kali pertemuan lagi diatur untuk menemukan Maimon dengan mak kandungnya tetapi gambaran peristiwa tersebut tidak begitu diingati.


Kisah Maimon 5 Status Maimon sebagai anak angkat Samen dan Julia bukanlah suatu rahsia dalam kalangan saudara mereka tetapi status tersebut adalah rahsia daripada pengetahuan anak kandung mereka dan Maimon sendiri. Rahsia tersebut tetap tersemat kukuh dalam keluarga Samen dan Julia. Tambahan pula, Samen dan Julia tidak pernah membandingkan Maimon dengan anak kandung mereka serta mereka telah menganggap Maimon sebagai anak kandung mereka sejak hari pertama Maimon menjadi anak angkat mereka. Perasaan dan hubungan kekeluargaan yang kuat membuatkan rahsia tersebut tetap menjadi sebuah rahsia sehingga rahsia tersebut terbongkar dengan sendirinya. Maimon ketika kanak-kanak bersama Julia


6 Waktu kecil hingga dewasa Setelah berpindah dari Yong Peng, keluarga Samen menetap di sebuah estet di Mantin. Kemudiannya daripada estet di Mantin, keluarga Samen menetap kembali di kampung asal Samen di Branang. Maimon dan adik beradik melayunya banyak menghabiskan waktu membesar di Branang. Maimon turut bersekolah rendah dan menengah di Branang. Sepanjang Maimon bersekolah, memori yang tidak dapat dilupakan ialah Maimon kerapkali ditegur dan dianggap orang cina. Paras rupa dan kulitnya yang putih persis anak-anak berketurunan cina. Kekerapan orang mengatakan Maimon ini anak orang cina menyebabkan Maimon akan berasa sedih dan mengadu kepada abahnya, Samen. Maimon pernah menanyakan kepada abah yang ada Bab2 Maimon ketika remaja


Kisah Maimon 7 dalam kalangan kawan-kawan Maimon sering mengatakan yang Maimon ini anak orang cina sebab paras rupa Maimon macam orang cina dan berkulit putih. Apabila Maimon mengadu kepada abah, abah selalu akan memberitahu kepada Maimon “ Maimon ini anak abah dengan mak bukan anak orang lain”. Hal tersebut kerap berlaku kepada Maimon tetapi dia sudah alah dengan kata-kata orang. Kebanyakan masa Maimon tidak peduli dengan kata-kata orang kerana walaupun apa pun yang diperkatakan oleh orang, Maimon tetap anak abah dan mak. Tidak dinafikan kerana keunikan yang dimilikinya, ramai orang yang sering memperkatakan tentang dirinya dan mengenali namanya ketika di alam persekolahan terutamanya ketika menaiki bas untuk ke sekolah, ramai orang menegurnya dan ada diantara mereka yang berkomunikasi dengan Maimon menggunakan bahasa cina. Sepanjang membesar di Branang, Maimon dan adikberadik melayunya menolong ibu bapa mereka mengerjakan sawah padi yang dimiliki mereka. Kenangan Maimon membesar banyak berkait dengan aktiviti membantu Samen dan Julia mengerjakan sawah padi serta peristiwa dianggap sebagai anak orang cina oleh orang lain. Apabila mengenang zaman kecil hingga dewasa, Maimon berasa sangat gembira kerana Maimon membesar dalam persekitaran yang penuh warna-warni dan menyeronokkan. Selepas menamatkan persekolahannya, Maimon mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang kejururawatan. Memang itulah minat Maimon untuk menjadi jururawat. Maimon memulakan kursus kejururawatannya pada tahun 1973 dan menamatkan latihan pada tahun 1976.


8 Detik perkenalan Setelah Maimon menamatkan latihan jururawat, tempat pertama Maimon diminta bertugas adalah di Pusat Kesihatan Kuala Lipis selama 2 bulan sebelum dipindahkan ke Maran. Ketika bertugas sebagai jururawat, Maimon kerapkali disangka sebagai orang cina oleh pesakit serta keluarga pesakit berketurunan cina, mereka akan bertutur bahasa cina dengan Maimon tetapi Maimon tidak faham. Apabila Maimon tidak faham dengan percakapan mereka, mereka akan marah dan menuduh Maimon, orang cina yang tidak mahu berbahasa cina serta sombong. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana penampilan Maimon yang mengenakan seragam jururawatnya menyerlahkan paras rupa cina yang dimilikinya. Seragam juruwat yang pernah digunakan Maimon bermula dengan seragam putih lengan pendek dan berskirt kemudian seragam berlengan panjang dan berseluar panjang sehinggalah seragam jururawat dilengkapi dengan tudung bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam. Situasi janggal antara Maimon dan pesakit cina tidak dapat dielakkan kerana Maimon memang persis orang cina dan orang cina lebih selesa berkomunikasi dengan bahasa cina dengan sesama bangsa. Maimon kerapkali menerangkan yang Bab3


Kisah Maimon 9 tidak tahu berbahasa cina kerana dia orang melayu. Namun, penerangan Maimon tidak mudah diterima oleh pesakit cinanya kerana paras rupanya lebih cenderung mengikut orang cina dan beranggapan Maimon tidak mahu mengakui hal tersebut. Keadaan tersebut hanya berubah apabila Maimon mengenakan tudung dengan pakaian seragam kerjanya. Orang lain faham dengan mengenakan tudung, Maimon ini adalah orang Islam. Maimon dengan seragam Jururawat Perkenalan antara Maimon dan Mardi berlaku secara kebetulan dan atas kehendak tuhan ketika mereka berdua bertugas di Pahang. Maimon bertugas sebagai jururawat di klinik kesihatan dan Mardi bertugas sebagai guru di sekolah. Maimon dan Mardi saling mengenali secara rasmi hanya berlaku disebabkan peristiwa kehabisan tiket bas untuk pulang beraya di Selangor. Apabila Maimon ingin pulang beraya ke Branang dan tiket bas sudah habis, disitulah bermula perkenalan mereka yang akhirnya membawa perhubungan tersebut ke jinjang pelamin. Ketika bertugas di Pahang, ada suatu ketika Maimon ingin pulang beraya di Selangor tetapi Maimon tidak bernasib baik kerana tiket bas sudah habis. Atas desakan perasaan dan keinginan Maimon untuk pulang beraya membawa kepada titik perkenalan Maimon kepada Mardi seorang guru yang berasal dari Selangor. Atas cadangan seorang kenalan Maimon yang mencadangkan Maimon untuk menumpang kereta dengan Mardi dan kawan-kawannya yang turut ingin pulang beraya ke kampung halaman masing-masing di negeri Selangor. Maimon bersetuju untuk menerima pertolongan Mardi kerana Maimon betul-betul ingin pulang beraya bersama keluarganya di Branang. Melalui peristiwa tersebut, masing-


10 masing tertarik untuk membawa perkenalan tersebut ke arah perhubungan yang lebih serius. Jika diingatkan kembali, adakah Maimon akan mudah menerima cadangan tersebut. Sudah tentulah Maimon tidak akan semudah itu mempercayai orang asing dan menumpang kereta mereka. Mungkin itulah takdir yang telah ditetapkan oleh ilahi untuk mempertemukan Maimon dengan jodohnya, Mardi. Tidaklah terlalu sukar untuk mula saling menyukai antara satu sama lain. Peribadi masing-masing yang elok memudahkan proses suai kenal antara mereka dan mereka komited dengan perhubungan yang terjalin. Boleh juga dikatakan yang perhubungan mereka ini bak pepatah Inggeris, ‘follow the flow’. Kalau dah memang jodoh masing-masing, mereka akan berkahwin jua. Menurut Mardi di awal perkenalannya dengan Maimon, dia turut beranggapan yang Maimon ini anak orang cina kerana kulitnya yang putih melepak dan Maimon ini seorang anak cina daripada keluarga kaya. Ternyata anggapan Mardi meleset sama sekali, Maimon ini berasal daripada keluarga melayu. Namun, perkara tersebut lebih memudahkan Mardi untuk lebih mengenali Maimon dengan lebih mendalam. Angan-angan untuk berkahwin, tidaklah terlalu mustahil untuk digapai. Sepanjang berkenalan, Mardi dan Maimon tidak pernah keluar berdua sahaja walaupun sedang bercinta. Maimon dan Mardi tetap menjalani kehidupan mereka seperti sedia ada dan membawa perhubungan mereka untuk direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Tiada istilah dating dalam kamus hidup mereka, tiada keluar berdua pergi makan atau keluar berdua menonton wayang seperti muda-mudi zaman kini. Perhubungan baik yang terjalin antara Mardi dan Maimon membawa kepada lafaz akad nikah yang berlaku pada sekitar tahun 1980. Bermulalah kehidupan berkeluarga Mardi dan Maimon.


Kisah Maimon 11 Status Maimon bukan darah daging Samen dan Julia diketahui ketika akad nikah ingin berlangsung kerana perkahwinan Maimon perlu diwalikan oleh wali hakim. Abang melayu Maimon tidak boleh menikahkannya. Ketika Maimon ingin menikah, abah sudah menghadap Sang Pencipta. Tanggungjawab menyerahkan Maimon kepada suaminya digalas di bahu abang melayu Maimon, namun ketika akad nikah Maimon dan Mardi akan berlangsung, mereka dikejutkan dengan pernyataan yang pernikahan mereka perlu diwalikan oleh wali hakim. Kenyataan tersebut sekaligus membuktikan suatu fakta bahawa antara Maimon dan adikberadik melayunya mereka bukanlah saudara kandung. Pernikahan Mardi dan Maimon telah diwalikan oleh kadi Kajang sebagai wali hakim Maimon. Mardi, Maimon dan adikberadik melayu Maimon hanya mengetahui sisi cerita tersebut hanya apabila pernikahan akan berlangsung tetapi dalam kalangan saudara keluarga mak bukanlah suatu rahsia yang Maimon ini adalah anak cina kawan Samen dan meminta saudara-saudaranya tidak mengkhabarkan cerita tersebut kepada Maimon dan adik-beradiknya yang lain. Setelah Status Bab4


12 mengetahui hal tersebut, maka berpelukan dan menangislah mereka adik-beradik dan berasa sedih yang selama ini status mereka hanya sebagai adik-beradik angkat. Setelah mengetahui statusnya sebagai anak angkat dan Maimon sememangnya anak orang cina, barulah Maimon menerima kenyataan bahawa dia adalah anak orang cina. Sebelum perkara sebenar terbongkar, Maimon akan berasa sedih apabila orang lain mengatakan isu anak cina tersebut kerana melalui kata-kata tersebut sepertinya mereka ingin menidakkan hubungannya dengan abah, mak dan adikberadiknya yang lain. Walaupun demikian, Maimon tidak pernah terdetik untuk mencari keluarga kandungnya. Status baru yang diketahui tidaklah menjadi batu penghalang kepada hubungan kekeluargaan yang telah terjalin sejak dari dulu lagi. Mereka yang dikenali sejak lahir itulah keluarga yang Maimon ketahui. Bagi Maimon, tiada sebab untuk pergi mencari keluarga kandung apabila Maimon sudah sedia ada mempunyai keluarga yang menjaganya sejak bayi lagi. Tiada sesiapapun yang mendesak atau menghalang Maimon untuk mengenali keluarga kandungnya. Maimon turut tidak mahu mak berasa tersisih atau dilupakan oleh Maimon sekiranya dia sibuk untuk mencari keluarga kandungnya. Pada mulanya, Maimon memang tidak pernah terdetik untuk mencari keluarga kandungnya kerana baginya dia sudah mempunyai abah dan mak yang penyayang. Hal tersebut juga tidak pernah dihebohkan oleh Maimon. Cukup sekadar Maimon mengetahui statusnya sebagai anak angkat dalam keluarga Samen dan Julia. Sesekali Maimon berasa kelakar mengingatkan sepanjang hidupnya, Maimon kerap menidakkan bahawa dia merupakan orang cina. Hakikatnya Maimon merupakan seorang perempuan yang berketurunan cina. Sepanjang bekerja sebagai jururawat, Maimon sering disalah sangka sebagai


Kisah Maimon 13 seorang cina. Maimon kerap membalas ‘Saya Melayulah’. Kerapkali juga Maimon dipanggil ‘amoi’ kerana rupa parasnya yang menyerupai gadis cina dan kulitnya yang putih. Hal tentang statusnya sebagai anak angkat secara tidak langsung menjadi suatu lagi rahsia yang simpan daripada anakanaknya. Pada mulanya, anak-anak Mardi dan Maimon tidak mengetahui tentang kewujudan keluarga kandung cina Maimon. Maimon dan Mardi di majlis persandingan


14 Pertemuan Bab5 Walaupun Maimon mengetahui yang dia mempunyai keluarga kandung cina, Maimon tidak pernah terdetik untuk cuba mencari dan mengenali mereka. Baginya tiada keperluan untuk mencari kerana Maimon tetap mempunyai keluarga dan tidak pernah terfikir yang dia bukanlah sebahagian daripada keluarga itu. Mungkin Julia pernah terlepas kata kepada anak-anak Maimon yang Maimon ini ada keluarga cina. Apabila mengetahui hal tersebut, anak-anak Maimon mula menanyakan dan meminta kepastian dan ingin mengesahkan cerita nenek mereka. Keadaaan tersebut berubah apabila anak-anak Maimon sudah semakin dewasa, mereka menggesa Maimon untuk mencari keluarga kandung cina Maimon. Gesaan daripada anak-anak menjadi pembuka hati Maimon untuk mengenali keluarga kandungnya. Ketika anak sulung Maimon berada di tingkatan lima, anaknya mula menyuarakan hasrat untuk mengenali keluarga cina Maimon. Selepas anak sulungnya menghabiskan peperiksaan SPM kirakira sekitar tahun 2000, Maimon mula mencari keluarga kandungnya. Hasrat Maimon yang ingin mencari keluarga kandungnya turut diketahui oleh abang iparnya, suami kepada kakak


Kisah Maimon 15 kepada Maimon. Abang ipar Maimon ini bernama Bahri. Abang Bahri ini merupakan abang iparnya yang bekerja sebagai polis. Pada peringkat permulaan pencarian, abang iparnya bertindak mencari kedai runcit milik keluarga Koh untuk mencari waris keluarga Koh untuk dipertemukan dengan Maimon serta menyampaikan niat Maimon untuk bertemu. Pencarian Maimon untuk menemui keluarga Koh tidaklah terlalu sukar atau dramatik dengan bantuan daripada abang Bahri. Berkat pertolongan daripada arwah abang Bahri yang mencari maklumat serta mencari ahli masyarakat Yong Peng yang masih mengenali keluarga Koh ini yang mempunyai kedai runcit. Usaha abang Bahri memudahkan pencarian Maimon untuk menemui keluarga kandungnya untuk diperkenal kepada anak-anaknya yang teruja untuk menemui keluarga cina ini. Abang ipar Maimon merupakan orang Johor yang pernah bekerja sebagai polis di Seremban kemudian bertugas di Mantin. Selepas Mantin, arwah abang Bahri bertugas di Broga, seterusnya di Kulai dan Johor Bahru sebelum bertugas di Raub, Pahang sehingga pencen. Apatah lagi, saudara dekat Maimon yang masih menetap di Yong Peng ini, yang tinggal dekat jalan lama ini adalah adik-beradik mak abang Bahri. Suatu ketika dahulu ketika merantau ke Yong Peng dan duduk di kawasan dekat Jalan Lama, mak rapat dengan mak abang Bahri. Atas faktor mengeratkan silaturrahim antara mereka, abah dan mak telah mengahwinkan kakak melayu maimon dengan abang Bahri. Mak abang Bahri bernama Kamsiah, manakala adik-beradik mak abang Bahri bernama Mak Itam atau Esah dan Mak Ngah atau nama penuhnya Katijah yang turut mempunyai 3 orang anak angkat berketurunan cina. Julia tidak pernah menyuruh Maimon untuk mencari keluarga kandungnya antara sebab mengapa Maimon tidak pernah terniat untuk mencari mereka sebelum anak sulungnya menyuarakan hasratnya untuk mengenali keluarga cina di


16 belah Maimon. Sekitar tahun 2000, keluarga Maimon memulakan pencarian yang membuahkan hasil dengan maklumat-maklumat yang diperolehi oleh abang Bahri. Menggunakan maklumat yang diperolehi mereka telah mengaturkan pertemuan di rumah lama yang diduduki oleh mak kandung Maimon. Ketika Maimon menemui mak kandungnya, mak cina ini masih sihat dan boleh bercakap. Mak kandung Maimon gembira dengan pertemuan tersebut kerana dia sememangnya ingin berjumpa dengan anak kandungnya itu. Perjumpaan ini boleh dikatakan berlaku pada masa yang tepat ketika mak kandung Maimon masih sihat dan mengenali Maimon. Pertemuan yang diatur itu dihadiri hampir keseluruhan keluarga Koh dan Maimon membawa semua ahli keluarganya termasuk suami dan anak-anaknya. Mengimbas kata-kata saudara di Yong Peng, mak kandung Maimon kerap bertanya tentang perkembangan Maimon dan bertanyakan kesudian anak perempuannya itu untuk menemuinya. Mak kandung Maimon sering bercerita dengan isteri Ah Chai tentang keinginannya menemui anak perempuannya itu. Apabila saudara Maimon yang berada di Yong Peng berbelanja di kedai runcit Ah Chai, isteri Ah Chai akan bertanya “ Awak punya sedara itu tidak mahu jumpa dia punya mak ke?” Mak kandung Maimon berharap yang Maimon akan datang melawatnya. Sesungguhnya pertemuan yang diatur itu telah merealisasikan impian mak kandung Maimon untuk menemuinya. Setelah pertemuan tersebut berjaya dilakukan, Maimon sekeluarga tidak pernah culas untuk datang melawat mak kandung Maimon sehinggalah dia meninggal dunia. Sekurang-kurangnya Maimon akan datang melawat ketika sambutan Tahun Baru Cina. Maimon bersyukur melalui pertemuan tersebut dia telah memperkenalkan keluarganya, suami dan anak-anaknya kepada keluarga kandungnya. Keluarga kandungnya turut


Kisah Maimon 17 dapat mengenali keluarga Maimon. Melalui pertemuan tersebut, tidak dapat dinafikan Maimon dan adik beradik perempuannya kelihatan seiras. Sejujurnya bagi Maimon sepanjang sesi pertemuan itu, dia berasa sedih, sebak dan sayu tanpa ada penjelasan yang tepat. Perasaan tersebut hadir tanpa diundang. Bukan kesal atau Maimon tidak gembira dapat menemui keluarga kandungnya. Perasaan yang muncul pada hari pertemuan tersebut sukar diterangkan, Maimon gembira dengan pertemuan tersebut dan berasa lega masih diberi kesempatan untuk menemui mak kandungnya serta diberi peluang untuk berbakti kepada mak kandung sehingga ke akhir hayatnya. Malah kasih sayangnya kepada abah dan mak tetap kukuh dalam sanubari Maimon bersama-sama kasih sayang untuk mak kandungnya. Maimon menyayangi kedua-dua keluarga melayu dan cinanya. Sehingga ke akhir hayat mak kandung, Maimon dan Mardi dapat meluangkan masa yang masih diberikan oleh tuhan untuk mereka hargai. Maimon sekeluarga sehingga kini masih berhubung dengan semua ahli keluarga Koh yang masih hidup, mereka turut menziarahi keluarga masing-masing apabila mempunyai kesempatan. Ikatan kekeluargaan yang terjalin tetap dijaga dan diteruskan oleh anak cucu mereka. Sepanjang tempoh yang diberikan, Maimon telah menggunakan sebaik mungkin peluang yang diberikan tuhan untuk berbakti kepada keluarga melayu, keluarga cina dan keluarga mertuanya. Walaupun Maimon berketurunan cina, didikan keluarga melayu dan Islam sangat kuat dalam dirinya dan Maimon tetap berasa dirinya adalah sebahagian daripada orang melayu.


18 Maimon dan Mardi bersama keluarga kandung Maimon ketika pertemuan pertama


Kisah Maimon 19


20 Keluarga Maimon merupakan seorang yang sangat meminati aktiviti memasak, menjahit dan berkebun. Aktiviti-aktiviti ini banyak dilakukannya ketika masa lapangnya. Maimon merupakan seorang yang mempunyai tabiat bangun awal pagi sebelum waktu solat subuh. Pukul 5 pagi, mesti Maimon sudah bangun menyediakan sarapan dan bersedia memulakan harinya. Ketika anak-anak Maimon masih bersekolah, Maimon akan memastikan anak-anaknya menikmati sarapan pagi terlebih dahulu sebelum anak-anak dan suaminya berangkat ke sekolah dan Maimon memulakan tugasnya di hospital. Bukanlah suatu kesukaan Maimon untuk ‘makan luar’, Maimon lebih memilih untuk memasak sendiri. Bagi Mardi, Maimon ini seorang yang suka bangun pagi dan sangat canggung menikmati makanan kedai dan hanya akan makan di luar bagi meraikan keluarganya yang ingin makan menu tertentu di kedai-kedai tertentu. Apabila Maimon ‘makan luar’, dia memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga sambil menyuap makanan cucu. Maimon ini mempunyai kepantangan tidak makan makanan moden seperti pizza atau makanan segera. Maimon Bab6


Kisah Maimon 21 lebih suka menikmati menu masakan yang biasa seperti makanan melayu, dan masakan kampung. Maimon tidak yakin makan di kedai makan cina atau india, dia berasa waswas walaupun Mardi pernah mengajak Maimon makan mee hailam di kedai cina muslim, Maimon tetap berasa was-was. Sekiranya Maimon perlu makan luar, Maimon akan memesan menu seperti tom yam dan telur goreng. Begitu juga apabila makan di kedai tomyam yang tukang masaknya orang siam, Maimon akan serba salah untuk makan. Maimon lebih memilih untuk makan masakan yang dimasaknya. Selepas bertugas di Pahang beberapa tahun, Maimon telah meminta pertukaran tempat kerja ke negeri Selangor. Pada mulanya Maimon meminta untuk ditukarkan ke Hospital Klang namun permintaan tersebut tidak berjaya. Maimon ditugaskan di Hospital Banting pada tahun 1981 sehingga selepas menamatkan perkhidmatannya mereka sekeluarga masih menetap di Selangor. Ketika mula-mula berpindah ke Selangor, Maimon sekeluarga tinggal di rumah sewa selama 4 tahun sebelum dapat memiliki rumah sendiri pada tahun 1985. Maimon bersara sebagai ketua jururawat atau sister pada tahun 2012 dan Mardi pula bersara sebagai guru besar. Mardi adalah guru bahasa melayu lepasan maktab perguruan. Setelah bersara, Maimon dan Mardi banyak menghabiskan masa mengusahakan kebun yang dimiliki mereka. Maimon turut memenuhi masa lapang dengan mengikuti kelas di masjid dari pukul 3 petang hingga pukul 5 petang. Kelas-kelas yang dihadiri seperti kelas tafsir, fardhu ain dan mengaji AlQuran. Ada satu harapan Maimon yang memasang harapan untuk melihat salah seorang anaknya menceburkan diri dalam bidang agama. Bagi Maimon jasa abah Samen bin Alias dan mak Julia binti Alimon menjaganya sejak Maimon berusia beberapa hari serta memberikan didikan tidak akan pernah dilupakan. Selamanya Maimon akan tetap menjadi anak abah dan mak.


22 Maimon turut berpeluang menabur bakti kepada mak kandungnya sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun Maimon tidak berkesempatan mengenali bapa kandungnya, Maimon tidak pernah ada rasa kesal atas tindakan bapa kandungnya yang menyerahkannya kepada keluarga lain sekaligus memisahkan dia daripada ibunya dan adik-beradiknya. Oleh kerana itu, Maimon mendapat Samen dan Julia sebagai ibu bapa. Mereka merupakan ibu bapa penyayang kepada Maimon. Samen meninggal pada Julai 1979 manakala Julia meninggal pada tahun 2000. Hasil perkongsian hidup Maimon dengan Mardi sejak tahun 1980, mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu 4 perempuan dan 2 lelaki. Maimon melahirkan anak pertamanya pada tahun 1982 dan diberi nama Norhazrina, kemudian pada tahun 1983 pula Maimon melahirkan Norfazida dan pada tahun 1987 pula Nurul Ain telah dilahirkan. Pada tahun 1989, Maimon menyambut kelahiran anak keempatnya yang diberi nama Nurul Hani, anak lelaki mereka pula telah dilahirkan pada tahun 1993 dan 1996 yang masing-masing diberi nama Muhammad Nazrin dan Muhammad Fahmi. Pada tahun 2022, hampir kesemua anak Maimon dan Mardi sudah berumah tangga dan mereka sudah dikurniakan 10 orang cucu. Maimon Keluarga Maimon pada tahun 2022


Kisah Maimon 23 dan Mardi sangat berpuas hati dengan pencapaian anakanaknya dan bersyukur dapat memastikan anak-anaknya mendapatkan ijazah sarjana muda. Anak sulung mereka bekerja di KLIA, anak kedua dan ketiga mereka mengikut jejak Mardi memilih profesion perguruan begitu juga anak keempat Maimon dan Mardi yang bekerja sebagai pensyarah, anak lelaki mereka juga masing-masing bekerja sebagai jurutera dan akauntan. Maimon dan Mardi sebagai ibu bapa berasa bangga dengan pencapaian anak-anak mereka dan sentiasa mendoakan kebahagian mereka. Mereka tidak pernah memaksa anak-anak untuk mengikut kemahuan mereka daripada segi kerjaya atau mencari pasangan hidup. Tiada perkara yang dikesalkan oleh Maimon sepanjang kehidupannya, Maimon dan Mardi juga sudah mengerjakan ibadah haji. Tiada perkara lagi yang ingin dicapai oleh Maimon dan Mardi kecuali berbahagia disamping keluarga mereka bersama-sama kehadiran anak-anak dan cucu-cucu. Setiap anak itu adalah anugerah Allah yang paling terindah. Anak itu juga merupakan pintu rezeki kepada ibu bapa. Didikan yang baik daripada ibu bapa itu juga melahirkan anak-anak yang baik serta berjaya dunia dan akhirat.


24 “ Mak dan abah saya merupakan individu yang penting bagi saya kerana mereka yang membesarkan saya hingga ke hari ini. Walaupun penat and letih, mereka tidak pernah ketepikan kami adik beradik, malahan bagi yang terbaik dengan cara garang dan baik hati pada waktu yang sama. Walaupun, saya hanya anak yang terakhir mereka, saya berharap dan berdoa agar saya dapat meluangkan masa lebih terhadap mereka dan keluarga. Terima kasih mak dan abah.” (Muhammad Fahmi bin Mardi) “ Ibu dan ayah merupakan insan yang paling saya sayangi dan hormati dalam hidup saya. Saya bersyukur dikurniakan ibu dan ayah yang masih ada disamping kami adik-beradik. Setiap daripada kami mendoakan kesejahteraan mereka. Ibu saya seorang yang penyayang, sabar dan tabah dalam menguruskan hal rumah tangga, ayah kami dan anak – anak. Setiap detik ibu, saya melihat kecekalan dan kesabaran dalam Penghargaan anak Bab7


Kisah Maimon 25 melayani ayah saya dari segi pemakanan, pakaian, dan minat. Saya berasa amat kagum dengan ibu saya kerana kecekalan ibu dalam menguruskan semua perkara ia membuatkan saya ingin menjadi seperti ibu saya yang kuat semangat. Ayah saya seorang yang tegas dan kurang penyabar, sekiranya kami anak - beranak ada membuat masalah mesti kami akan menerima hukuman. Tetapi, setiap perkara yang ditegur bukan bermaksud untuk memarahi tetapi sebagai peringatan dan pengajaran untuk kami adik-beradik. Kami sebagai anak mereka kadang – kala ada silap percaturan dalam hidup akan tetapi mereka tetap menyayangi kami dan menasihati kami serta sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk kami.” (Muhammad Nazrin bin Mardi) “ Mak saya adalah seorang yang lemah lembut dan penyabar. Fokus utama beliau adalah untuk membesarkan kami 6 beradik menjadi orang yang berguna dan berjaya. Manakala abah adalah seorang yang tegas dan bertanggungjawab. Beliau akan membantu menjaga kami adik beradik apabila mak bekerja dan memastikan keperluan kami mencukupi. Mak dan abah sangat mementingkan agama dan Pendidikan. Waktu kami sekolah dahulu mak akan meluangkan masa untuk menyemak buku sekolah kami adik beradik dan abah akan luangkan masa untuk mengajar kami membaca. Mak adalah seorang pendengar dan penasihat yang terbaik. Mak sentiasa meluangkan masa untuk mendengar masalah dan keluhan kami adik-beradik. Mak sentiasa mendoa dan menasihatkan kami untuk terus berfikiran dan menghadapi sesuatu secara positif.


26 Saya amat bersyukur mempunyai mak dan abah. Mak dan abah adalah contoh yang terbaik untuk kami adik beradik. Doa saya buat mak dan abah, semoga mereka diberi kesihatan yang baik dan berbahagia melewati usia tua mereka.” (Nurul Hani Binti Mardi) “ Mak di mata saya seorang yang sangat kuat mental dan fizikalnya. Seorang yang mendahulukan anak-anak, suami dan keluarganya. Seorang motivator buat anak-anak, seorang pendengar yang setia, seorang contoh mak yang penyabar dan terbaik. Ingat lagi semasa kami adik beradik masih kecil, jika mak kerja sebagai seorang jururawat. Apabila mak kerja shift pagi, akan disediakan makan minum kami untuk pagi dan tengahari. Mak akan tinggalkan pesanan surat di peti ais, dengan tulisan tangan sebagai pesanan kepada kami adik beradik amanahnya pada hari itu. Mak banyak menghabiskan masanya untuk bekerja dan mengurus kami adik beradik. Jarang-jarang mak keluar meninggalkan kami adik beradik untuk berkursus kerana bagi mak, kamilah keutamaannya. Seorang mak sentiasa menjadi pemangkin semangat anak-anak jika anak-anak berada dalam keadaan yang kurang baik dari segi emosi... Pengalaman betul-betul mematangkan mak dalam hidup. Walaupun kadang-kadang kalah dengan emosi sendiri, mak saya kekal kuat dan tenang dalam menghadapinya. Semoga yang terbaik untuk mak saya. Bahagia sentiasa dan sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.” (Nurul Ain Binti Mardi)


Kisah Maimon 27 “ Bahagia setiap orang berbeza-beza. Bahagia mak saya ialah melihat pokok bunga yang ditanamnya berbunga cantik, pokok sayur yang ditanamnya di kebun membuahkan hasil, dapat pergi ke kelas agama atau masjid bagi menunaikan ibadah pun memberi kebahagian pada mak. Dan paling utama bahagia melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran dan dapat menjadi isteri/suami pada pasangan masing.” (Norfazida binti Mardi) “ Abah dan Mak adalah insan yang sangat penting dalam hidup saya. Mereka merupakan penyokong terpenting dalam kehidupan saya. Kasih sayang mereka dan pengorbanan mereka membesarkan kami semua tidak akan pernah kami lupakan. Abah dan mak adalah ibu bapa terbaik bagi kami.” (Norhazrina binti Mardi)


28 Nama diberikan ialah Fatin Hannah binti Zainal, anak ketiga daripada tujuh adikberadik. Dilahirkan pada 8 Disember 1993 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Membesar di Johor Bahru kemudian berpindah ke Batu Pahat seterusnya ke Pekan Nanas. Kini, masih menetap di Pekan Nanas, Pontian, Johor. Hobi ialah membaca buku, menonton filem dan drama serta suka melancong walaupun tidak kerap melancong. Pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah di Universiti Malaya dan menyambung sarjana dalam penggajian media. Mempunyai impian untuk mengerjakan haji dan umrah seawal mungkin dan melibatkan diri dalam bidang penulisan secara serius. Biodata penulis


Takdir Tuhan itu telah menentukan segala-galanya. Tiada rasa menyesal walaupun perasaan sedih itu tetap ada. Bersyukur dikurniakan keluarga besar melayu dan cina yang penyayang. Maimon bahagia bersama suami, anak-anak dan cucu-cucu serta mengisi masa lapang setelah bersara untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.


Click to View FlipBook Version