The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Tugasan 2 (Berkumpulan)
BSS3073 - Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nurul Yuzaitul Azmiera Masrin, 2021-05-23 08:42:08

Konsep Nilai dan Budi Bahasa dalam Kumpulan Pantun Teks Permata Sastera Melayu

Tugasan 2 (Berkumpulan)
BSS3073 - Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan

KESUSASTERAAN
MELAYU DALAM
PEMBINAAN MODAL

INSAN

BSS3073

Tajuk:

Konsep Nilai dan Budi Bahasa
dalam Kumpulan Pantun Teks
Permata Sastera Melayu

AHLI KUMPULAN: (KUMPULAN B)

NURUL ANIS AMRAL (D20181082309)
NURUL AQILAH UMAIRA BINTI BOHARI (D20181082309)
NURUL YUZAITUL AZMIERA BINTI MASRIN (D20181082310)
ARENA ZIZI ANAK SAMPAR (D20181082311)

NAMA PENSYARAH:
DR. ROHAYATI BINTI JUNAIDI

KUMPULAN 1

SENARAI KANDUNGAN MUKA SURAT
1-3
PERKARA 3
1.0 Pengenalan
2.0 Latar Belakang 4-20
3.0 Perbincangan
21
3.1 Konsep Nilai dalam Kumpulan Pantun Teks Permata 22
Sastera Melayu

3.1.1 Pantun Budi
3.1.2 Pantun Kasih-Sayang
3.1.3 Pantun Agama
3.1.4 Pantun Nasihat
3.1.5 Kesimpulan Konsep Nilai dalam Kumpulan Pantun
Permata Sastera Melayu
3.2 Konsep Budi Bahasa dalam Kumpulan Pantun Teks
Permata Sastera Melayu
3.2.1 Pantun Budi
3.2.2 Pantun Kasih-Sayang
3.2.3 Pantun Agama
3.2.4 Pantun Nasihat
3.2.5 Kesimpulan Konsep Nilai dalam Kumpulan Pantun
Permata Sastera Melayu
4.0 Kesimpulan
Rujukan

1

1.0 PENGENALAN
Kesusasteraan Melayu ialah sebuah medium yang boleh disampaikan dalam bentul lisan
mahupun tulisan. Bidang ini memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan dan
ia mampu mempengaruhi bagaimanakah adat atau cara hidup sesebuah kelompok
masyarakat. ‘Sastera’ dijelaskan asalnya daripada bahasa Sanskrit yakni castra yang
membawa maksud kitab suci. Harun Mat Piah (2006) memaparkan definisi kesusasteraan
kepada segala penghasilan yang dihasilkan, disampaikan atau dihayati melalui tulisan,
lisan, telaah, atupun melalui pendengaran. Aspek kesusasteraan juga merangkumi
penggunaan atau pengaplikasian bahasa-bahasa yang kreatif, halus dan berseni (Ismail
Hussein, 1998).
Melalui pendidikan, sastera itu diperkenalkan melalui beberapa platform yang
disampaikan dalam lisan dan tulisan misalnya penghasilan puisi tradisional dan moden iaitu
pantun, syair, sajak dan gurindam. Selain itu, hikayat Melayu lama tergolong dalam prosa
Melayu tradisional. Kesusasteraan Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman kerana
penerimaannya yang meluas mampu menguatkan lagi pengaruh kesusasteraan. Misalnya
dapat kita lihat adanya penghasilan tulisan dalam prosa moden yang terdiri daripada novel,
cerpen dan drama. Kesemua ini menjadi identiti atau simbolik bagaimana bidang
kesusasteraan itu sentiasa memiliki pengaruh yang besar dalam kelompok masyarakat
(Abdul Halim Ali & Azhar Wahid (Pnyt), 2005).
Penghuraian dalam kesusasteraan ini juga dapat dilihat daripada bagaimanakah ia
memiliki seni bahasa yang indah dan tersusun serta mampu memberikan kesan emosi
terhadap pembaca atau pendengarnya. Bidang ini juga mengetengahkan hasil-hasil karya
yang memerlukan masyarakat untuk sentiasa berfikir, mengutarakan pendapat dan
menerima pengajaran dan tauladan. Setiap karya akan dihiasi dengan bunga-bunga mesej,
pemikiran, bentuk penyampaian dan diindahkan lagi dengan beberapa kata puitis yang
mampu memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan kepada masyarakat. Oleh itu,
sememangnya benarlah bahawa kesusasteraan menjadi salah satu penyebab kepada
terbentuknya individu yang memiliki jati diri serta ia mampu membentuk modal insan yang
berkualiti.
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan modal sebagai sesuatu yang dapat
digunakan bagi memperoleh sesuatu yang lain manakala insan pula merujuk kepada sebuah
jasad atau mahluk yang diciptakan oleh Tuhan atau lebih tepat insan ialah seorang manusia.
Menurut Adam Mohd. Saifudin (2016) menjelaskan bahawa ‘Modal Insan’ merujuk kepada
sesuatu asas atau akar yang amat berguna dalam mengecapi pemrkembangan atau

2

pembangunan dalam kehidupan. Modal insan memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran yang
amat utuh serta dilengkapi dengan peribadi yang unggul dan akhlak yang terpuji. Melalui
buku Rasmi Tahunan Malaysia 2006 yang dihasilkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia
menjelaskan modal insan merujuk kepada seseorang yang berilmu, berkeyakinan, memiliki
nilai-nilai murni dan moral yang uuth, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun,
berdisplin, dinamik, inovatif dan kreatif.

Selain itu, modal insan juga dapat dilihat penghujahannya dalam perspektif Islam
yang banyak diterangkan dalam Al-Quran misalnya melalui contoh dari Surah al-Hujarat
ayat ke 13 dan Surah Ali Imran ayat 112 yang memberi penerangan bahawa insan yang
bertaqwa, iaitu insan yang patuh pada ajaran dan seruhan-Nya dan meninggalkan larangan-
Nya serta insan yang memiliki hubungan baik sesama manusia tanpa mengira bangsa dan
agama serta warna kulit itu memiliki sebuah pegangan yang baik dalam kehidupannya dan
begitulah cara mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.. Oleh itu, melalui perspektif ini
menjelaskan bahawa agama juga memperuntukkan manusia untuk berkelakuan baik dan
menjadi modal insan yang mampu dicontohi oleh manusia lain. Secara asasnya, manusia
yang memiliki jati diri unggul ini terbentuknya daripada penerapan nilai yang berkesan
dalam jiwa dan rohani.

Wan Abdul Kadir (2000) memaparkan nilai ialah sebuah kayu ukur kepada
pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasakan kelaziman
atau kebiasaan dalam sesebuah masyarakat. Secara jelasnya, nilai ini berfungsi untuk
menjadi asas kepada masyarakat bagi menilai, mengukur atau membuat pilihan serta
keputusan yang mempengaruhi perkara tertentu (Emilly Anak Sakai dan Mohd Dahlan A.
Malek, 2014). Sebagai contohnya, manusia akan menilai darjat, mutu, kualiti, taraf,
perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok individu melalui nilai dan
kepribadian yang baik, berharga dan bernilai. Melalui konteks masyarakat Melayu, nilai
dapat dipecahkan kepada tiga penjuru iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, menuasia
dengan manusia dan manusia dengan alam. Ketiga-tiga aspek ini akan ditikberatkan dan
harus memiliki kesimbangan bagi membentuk insan yang memiliki keperibadian yang
tinggi. Nilai terdiri daripada banyak perkara baik yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan
seharian sebagai seorang manusia. Salah satu nilai yang menjadi kepentingan dalam
kehidupan terutamanya dalam kehidupan masyarakat Melayu ialah mereka menlihat
kepada bagaimanakah budi bahasa atau lebih tepat sekali adab dan perlakuan seorang
manusia kepada manusia lain.

3

Budi dan bahasa ialah dua buah perkataan yang harus lahir secara seiring bagi
membentuk sebuah perlakuan yang perlu diterapkan oleh setiap individu. Budi bahasa ialah
unsur terpenting dalam kehidupan orang Melayu yang berlaku daripada tingkah laku dan
penggunaan kata-kata yang dipilih dengan cermat (Amat Juhari Moain, 2001). Secara
jelasnya budi dan bahasa membentuk sebuah pengertian di mana manusia dikehendaki
menjaga percakapan dengan baik dengan meneliti setiap tutur kata yang menyenangkan,
penuh dengan sifat hormat-menghormati dan bersopan-santun dan diperkukuhkan lagi
dengan akhlak yang mulia.

Secara keseluruhanya, pengenalan kepada kesusasteraan melayu, modal insan dan
nilai serta budi bahasa ini dapat disimpulkan bahawa kesemua aspek atau bidang ini
memiliki perkaitan yang amate rat dalam membentuk sebuah perkembangan yang dinamik
dalam kehidupan manusia. Kesusasteraan Melayu memiliki kepentingannya dalam
pembinaan modal insan yang ungguk dan ianya dibina melalui penerapan nilai dan budi
bahasa yang utuh dalam diri seseorang individu tersebut.

2.0 LATAR BELAKANG KARYA
Melalui kajian yang pengkaji telah jalankan, konsep nilai dan budi bahasa ini dapat dilihat
secara asasnya dari peringkat sekolah atau pendidikan awal dalam diri seseorang itu. Oleh
itu, kajian ini dijalankan dengan memilih buku Permata Sastera Melayu yang digunakan
sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar Tingkatan Enam di sekolah.
Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 2015 dan
masih digunakan hingga ke hari ini. Permata Sastera Melayu juga diselenggara oleh Majlis
Peperiksaan Malaysia untuk mengekalkan kesesuaiannya dengan pendidikan pelajar. Kary
Aini menyediakan sebuah aspek kesusasteraan Melayu yang amat lengkap kepada pelajar
dengan melihat pada isi kandungannya yang terbahagi kepada bahagian puisi dan prosa
iaitu pantun, sajak, syair gurindam hikayat melayu, cerpen dan drama. Kesemua isi
kandungan ini memaparkan betapa lengkapnya panduan pengajaran yang tepat dan jelas
kepada pelajar yang meminati bidang kesusasteraan Melayu.
Kajian ini memfokuskan kepada kumpulan pantun dalam Buku Permata Sastera
melayu yang terdiri daripada Pantun Nasihat, Pantun Budi, Pantun Agama dan Pantun
Kasih-Sayang. Setiap pantun ini dikaji dengan perkaitan bagaimana kesusasteraan Melayu
ini mampu membentuk modal insan yang berkualiti menerusi penerapan nilai dan budi
bahasa.

4

3.0 PERBINCANGAN
Dalam bahagian ini pengkaji akan membincangkan dan menganalisis konsep nilai dan
konsep budi bahasa berdasarkan kumpulan pantun yang terdapat dalam teks Permata
Sastera Melayu. Terdapat empat buat pantun yang terdapat dalam teks tersebut. Antaranya
ialah Pantun Budi, Pantun Kasih-Sayang, Pantun Agama dan Pantun Nasihat. Pengkaji
akan mengalisis nilai serta budi bahasa yang terdapat dalam pantun-pantun tersebut.

3.1 Konsep Nilai dalam Kumpulan Pantun Permata Sastera Melayu
Dalam bahagian ini mengkaji akan membincangkan serta menganalisis nilai yang
terdapat dalam pantun-pantun berikut:

3.1.1 Pantun Budi
Berdasarkan Pantun Budi yang terkandung dalam teks Permata Sastera Melayu
ini terdapat beberapa nilai yang terkandung di dalamnya. Tema yang dibawa
oleh pantun ini ialah bertemakan tentang kehidupan masyarakat Melayu zaman
dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara
satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang
diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja
itu mungkin tidak akan selesai. Antara nilai yang terdapat dalam Pantun Budi
ini adalah seperti betikut:

3.1.1.1 Nilai Kemanusian
Menurut Noor Hisham Md Nawi dan Nurliza Ahmad (2013),
menyatakan bahawa istilah kemanusiaan boleh diertikan sebagai nilai-
nilai yang tegak berdasarkan penghormatan terhadap hak-hak asasi dan
kemuliaan manusia. Manusia yang mengamalkan nilai kemanusiaan
tentunya akan memberi hak kepada manusia yang lain dengan memberi
sepenuh rasa persaudaraan sesama insan. Nilai kemanusian yang
terdapat dalam pantun ini ialah manusia yang saling bergantung antara
satu sama lain. Dimana, masayarakat Melayu tradisional yang
digambarkan dalam pantun ini sangat menghormati antara satu sama
lain. Hidup masyarakat Melayu pada zaman tradisional penuh dengan
kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu
yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli

5

masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contoh
rangkap pantun adalah pada rangkap satu, baris tiga dan empat (R1: B1-
4) seperti dibawah:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
(Pantun Budi: R1: B1-4)

Berdasarkan rangkap pantun diaatas jelas bahawa setiap insan hendaklah
memiliki sifat kemanusian dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana,
sifat-sifat inilah yang akan mewujudkan nilai kemanusian dalam diri
seseorang. Sifat kemanusiaan tidak akan mengira kedudukan manusia
samada dari segi umur, pangkat, keturunan dan sebagainya (Noor
Hisham Md Nawi dan Nurliza Ahmad, 2013). Nilai kemanusian penting
agar kita memiliki kesedaran untuk mengenang budi orang lain yang
akan mendorong kita untuk menjadi seorang yang dapat dijadikan
contoh kepada orang lain. Oleh itu, budi merupakan amalan yang tidak
boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap
bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

3.1.1.2 Nilai Kesederhanaan
Maksud kesderhanaan ialah sifat sesorang yang tidak terlalu berlebih-
lebihan dalam sesuatu perkara (Hamidi Ismail, Kalthum Hassan dan
Mohd Nizar Zakaria, 2019). Nilai kesederhanaa yang terdapat dalam
Pantun Budi ini menggambarkan sikap masyarakat Melayu tradisional
dahulu yang sentiasa bersederhana dalam melakukan sesuatu.
Masyarakat dalam pantun ini juga telah digambarkan sebagai sebuah
masyarakat yang tidak mementingkan harta benda di dunia. Contoh
rangkap pantun adalah seperti berikut iaitu pada rangkap dua, baris tiga
dan empat (R2: B3-4):
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
(Pantun Budi: R2: B1-4)

6

Berdasarkan rangkap pantun diatas, kita jelas dapat melihat bahawa
masyarakat Melayu tradisional dahulu boleh menilai erti budi
berbanding harta. Masyarakat Melayu tradisional sangat bersederhana
dalam melakukan sesuatu. Matlamat mereka ialah untuk mendapat
kebaikkan di dunia. Oleh itu, budi atau perkara yang mereka buat akan
tetap dikenang walaupun yang budi itu kecil sahaja. Oleh itu, seseorang
itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi
mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh
dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia
hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

3.1.1.3 Nilai Menghargai
Pada masa kini, nilai menghargai orang lain kian dilupakan. Menghargai
seseorang yang telah berjasa kepada kita merupakan suatu tindakan yang
harus dilakukan oleh setiap individu sebagai tanda terima kasih (Hondi
Panjaitan, 2017). Nilai menghargai yang terdapat dalam Pantun Budi ini
dapat dilihat pada mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang dimana,
pengarang menegaskan bahawa betapa pentingnya seseorang itu perlu
membalas budi orang lain dengan kata lain menghargai jasa-jasa mereka
yang telah membantu dengan cara membalas budi mereka suatu hari
nanti. Tidak kiralah lambat atau cepat, setiap insan bertanggungjawab
untuk membalas budi. Pernyataan ini dapat dilihat pada rangkap tiga,
baris tiga dan empat (R2: B3-4) dalam pantun ini. Ianya adalah seperti
dibawah:
Tenang-tenang air dilaut
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.
(Pantun Budi: R3: B1-4)
Berdasarkan rangkap pantun diatas jelas memperlihatkan bahawa setiap
individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana
budi tersebut. Rangkap pantun diatas menggambarkan bahawa
seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.
Oleh itu, nilai menghargai hendaklah dipupuk dalam diri kita.

7

3.1.2 Pantun Kasih-Sayang
Berdasarkan Pantun Kasih-Sayang yang terkandung dalam teks Permata Sastera
Melayu ini terdapat beberapa nilai yang terkandung di dalamnya. Tema yang
dibawa oleh pantun ini ialah bertemakan tentang kepentingan kasih sayang
dalam sesebuah keluarga. Bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni,
kasih-sayang hendaklah diterapkan dalam diri setiap keluarga. Antara nilai yang
terdapat dalam Pantun Kasih-Sayang ini adalah seperti betikut:

3.1.2.1 Nilai Kasih Sayang
Menurut Nur Faezah Musthapar, Raihanah Azahari dan Bahiyah Ahmad
(2020) menyatakan bahawa nilai kasih-sayang sangat penting dalam
mewujudkan suasana yang harmoni tidak kiralah dalam kalangan
masyarakat mahupun dalam keluarga. Oleh hal yang demikian, untuk
menwujudkan perasaan kasih sayang ini, setiap anggota hendaklah
memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh, dalam sesebuah
keluarga ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab dalam
mendidikan anak-anak untuk memiliki nilai kasih-sayang dalam diri
mereka. Misalnya, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak untuk
bercakap dalam bahasa halus dalam pertuturan harian mereka. Bahasa
halus dalam konteks perhubungan kekeluargaan sangat penting dalam
membentuk perhubungan yang lebih baik. Dalam agama juga
menyarankan untuk mengamalkan bahasa lembut, bahasa halus atau
sedap didengar di telinga dan di hati (Fatmawati Latada dan Mohamad
Nawawy Jusoh, 2017). Contoh rangkap pantun adalah seperti berikut
iaitu pada rangkap satu, baris tiga dan empat (R1: B3-4):
Dari mana pipit melayang,
Dari paya turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hari.
(Pantun Kasih Sayang: R1: B1-4)
Berdasarkan rangkap pantun diatas jelas memperlihatkan bahawa
perasaan sayang dapat dipupuk dalam diri seseorang. Buktinya, pada
baris tiga dan empat pada rangkap satu pantun tersebut. Kebanyakan
masalah-masalah jenayah bawah umur berpunca daripda sikap ibu bapa
yang kurang memberikan perhatian, kasih sayang yang cukup kepada

8

anaj-anak mereka (Nur Faezah Musthapar, Raihanah Azahari dan
Bahiyah Ahmad, 2020). Justeru itu, nilai kasih sayang amat memainkan
peranan yang penting dalam mewujudkan masyarakat. Oleh itu, pantun
sebegini memberi nasihat kepada masyarakat betapa pentingnya nilai
kasih sayang ini kepada setiap individu.

3.2.1.2 Nilai Memaafkan
Nilai memaafkan adalah satu nilai dimana kita dapat menerima
perbuatan buruk orang lain terhadap diri kita. Kita berasa ikhlas untuk
menjadikan konflik yang pernah berlaku antara kita dengan orang lain
menjadi seperti sedia kala. Memaafkan kesalahan orang lain terhadap
diri kita bukanlah sesuatu benda yang mudah. Dalam sesebuah
kehidupan, sudah pasti pelbagai penyesalan akan timbul dalam diri
manusia (Dimas Ardi Prasetya dan Rheza Aditya Gradianto, 2020).
Maka, tidak hairan perasaan dendam akan bersarang dalam diri
seseorang. Misalnya, pada rangkap dua, baris tida dan empat (R2: B3-
4), jelas menyentuh sikap dendam. Rangkap pantundapat dilihat seperti
dibawah ini:
Air dalam bertambah dalam,
Hujan di hulu belumlah teduh,
Hati dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.
(Pantun Kasih Sayang: R2: B1-4)
Berdasarkan rangkap pantun diatas, memperlihatkan sikap dendam
terhadap orang lain. Dendam akan bertambah dari hari ke hari, jika tiada
niat untuk memaafkan orang lain. Justeru itu, sikap dendam kadangkala
menguasai diri kita hingga perasaan kasih sayang tidak akan pernah
terwujud. Misalnya, dalam pantun ini, pengarang ingin menyampaikan
kepada pembaca untuk jangan sekali-kali menyimpan dendam terhadap
orang lain. Oleh itu, nilai untuk memaafkan orang lain amat penting bagi
mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan keluarga,
masyarakat serta negara.

9

3.1.3 Pantun Agama
Berdasarkan Pantun Agama yang terkandung dalam teks Permata Sastera
Melayu ini terdapat beberapa nilai yang terkandung di dalamnya. Tema yang
dibawa oleh pantun ini ialah bertemakan tentang keagaamaan khususnya agama
Islam. Setiap insan yang bergelar mulimin dan muslimat hendaklah mematahi
kehendak suruhan-Nya dan meninggalkan segala yang akan mendapat
kemurkaan daripada-Nya. Maka, nilai yang berunsurkan keagamaan hendaklah
dipraktikandalam diri setiap manusia. Hal ini demkian kerana, setiap agama di
dunia ini tidak ingin penganutnya melakukan sesuatu yang tidak baik seperti
memudaratkan diri. Antara nilai yang terdapat dalam Pantun Agama ini adalah
seperti betikut:

3.1.3.1 Nilai Keagamaan
Setiap insan didunia ini hendaklah mematuhi kewajiban yang dituntut
dalam agama masing-masing. Kebiasaannya, nilai‐nilai moral dan
budaya diterapkan dari satu genarasi ke generasi yang lain melalui
didikan ibu bapa, orang dewasa atau guru di sekolah (Rezki Perdani
Sawai, Salhah Abdullah dan Dini Farhana Baharudin, 2018). Nilai
keagamaan yang terkandung dalam pantun ini menyuruh setiap umat
Islam untuk sentiasa beriman kepada agama Islam. Seperti memuliakan
nabi Muhammad S.A.W. Kita sebagai umat Islam wajib beriman kepada
Rasulullah S.A.W. Contohnya dalam pantun dapat dilihat pada rangkap
satu, baris tiga dan empat (R1: B3-4) seperti dibawah:
Banyak hari antara hari,
Tidak semulia hari Jumaat,
Banyak nabi antara nabi,
Tidak semulia Nabi Muhammad.
(Pantun Agama: R1:B1-4)
Berdasarkan rangkap pantun diatas, jelas menyuruh kita sebagai ummat
Islam untuk memuliakan Nabi Muhammad S.A.W..Nilai keagamaan
yang cuba dibawa oleh pengarang dalam pantun ini dapat memberi
keinsafan kepada ummat Islam untuk sentiasa beriaman kepada Nabi
Muhammad S.A.W..Misalnya, mengamalkan sunnah baginda. Oleh itu,
nilai keagamaan ini sangat penting untuk menjadikan diri lebih baik lagi
dari segi ilmu agama.

10

3.1.3.2 Nilai Tanggungjawab
Menurut Wan Z. Kamaruddin Wan Ali dan Ahmad Zuhdi Ismail (2009)
menjelaskan bahawa maksud tanggungjawab ialah kewajiban yang
harus dipikul. Nilai tanggungjawab yang cuba disampaikan oleh
pengarang dalam pantun ini adalah tanggungjawab setiap insan yang
bergelar Islam untuk menunaikan kewajiban untuk sembayang lima
waktu sehari iaitu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Manusia
dikurniakan akal oleh Allah S.W.T untuk berfikir dengan betul. Menurut
Purwahadiwardoyo (dalam Wan Z. Kamaruddin Wan Ali & Ahmad
Zuhdi Ismail, 2009) menyatakan bahawa akal inilah yang dapat
membezakan manusia dengan haiwan. Oleh itu, manusia mampu
membezakan sesuatu yang baik dan juga buruk. Maka, kita hendaklah
meninggalkan segala perkara yang mendapat kemurkaan daripada Allah
S.W.T dan melakukan perkara yang mendapat keredaan daripada-Nya.
Contoh rangkap pantun yang telah menyentuh berkaitan dengan
kewajiban solat adalah seperti berikut iaitu pada rangkap dua, baris tiga
dan empat:
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal Sembilan,
Bangun pagi sembayang subuh,
Minta ampun kepada Tuhan.
(Pantun Agama: R2: B1-4)
Berdasarkan rangkap pantun diatas, umat Islam disuruh untuk
menunaikan sembayang subuh untuk mendapatkan keampunan daripda-
Nya. Disini, pengarang menyuruh pembaca untuk tidak leka dalam
melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama Islam.
Oleh itu, nilai tanggungjawab hendaklah ada dalam diri seseorang agar
seseorang itu mendapat menghormatan daripada orang lain.

3.1.4 Pantun Nasihat
Berdasarkan Pantun Nasihat yang terkandung dalam teks Permata Sastera
Melayu ini terdapat beberapa nilai yang terkandung di dalamnya. Tema yang
dibawa oleh pantun ini ialah bertemakan tentang nasihat kepada orang lain.
Pantun dapat berfungsi sebagai alat nasihat kepada orang lain. Pantun mampu
memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan

11

berbudi kepada orang lain. Nasihat diterima secara rela tanpa dipaksa kerana
khalayak merasakan nasihat melalui pantun boleh diterima dengan baik melalui
susunan kata-kata indah. Kesedaran tentang nasihat dalam pantun mampu
memujuk sesiapa sahaja yang berhati keras sekalipun. Antara nilai yang terdapat
dalam Pantun Nasihat ini adalah seperti betikut:

3.1.4.1 Nilai Keinsafan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, keinsafan ialah rasa insaf atau
kesedaran. Rasa keinsafan akan datang daripada hati yang bersih iaitu
niat hati yang tidak mahu mengulangi lagi kesilapan kecil mahupun
besar yang telah dilakukan oleh diri kita sendiri. Berdasarkan kumpulan
pantun permata Sastera Melayu yang telah dikaji iaitu pantun nasihat,
penulis telah mengetengahkan nilai keinsafan ni dalam rangkap pantun
ini bagi meningkatkan nilai keinsafan yang tinggi kepada pembaca.
Berikut merupakan contoh rangkap pantun:
Tanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati bunga pandan,
Jangan ikut kata hati,
Kelak nanti badan binasa
(Pantun Nasihat, R1:B1-B4)
Berdasarkan contoh pantun di atas, terdapat nilai keinsafan yang
diketengahkan oleh penulis di dalam pantun nasihat ini. Contohnya kita
dapat lihat maksud pada rangkap satu, penulis memberitahu agar
jangalah kita bertindak atau melakukan sesuatu perkara yang tidak baik
kerana sesuatu perbuatan yang tidak baik itu akan membawa mudarat
kepada diri sendiri. Jadi di sini penulis ingin mengaitkan dengan nilai
keinsafan yang perlu ada dalam diri sesorang kerana nilai keinsafan ini
dapat menyedarkan manusia bahawa jangan terlalu mengikut hawa
nafsu apabila melakukan sesuatu kerana ianya akan memberikan kesan
buruk kepada diri kita sendiri.

3.1.4.2 Nilai Kesedaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Kesedaran ialah perihal
(keadaan) sedar (akan sesuatu).Nilai kesedaran ini penting diterapkan
dalam diri setiap orang supaya kita akan sentiasa muhasabah diri dan

12

sedar akan segala kesilapan serta kesalahan yang pernah kita lakukan.
Berdasarkan kumpulan pantun permata Sastera Melayu yang telah dikaji
iaitu pantun nasihat, penulis telah mengetengahkan nilai kesedaran ini
dalam rangkap pantun kedua bagi meningkatkan nilai kesedaran yang
tinggi kepada pembaca. Berikut merupakan contoh rangkap pantun:

Burung tiung terbang tinggi,
Burung merpati mencari sarang,

Kalau sombong meninggi diri,
Kemana pergi dibenci orang.
(Pantun Nasihat, R2:B1-B4)

Berdasarkan contoh pantun di atas, terdapat nilai kesedaran yang
diketengahkan oleh penulis di dalam pantun nasihat ini. Contohnya kita
dapat lihat maksud pada rangkap dua, penulis memberi nasihat agar
janganlah kita sesekali bersikap sombong dan meninggi diri terhadap
orang lain. Sombong atau takabbur ertinya perasaan tinggi diri oleh si
pelaku terhadap satu atau lebih mengenai dirinya dalam aspek-aspek
kehidupan. Seseorang itu boleh bersikap sombong kepada orang di
sekelilingnya jika dia mendapati kedudukannya lebih tinggi berbanding
orang di sekelilingnya. Jadi di sini penulis ingin mengaitkan dengan nilai
kesedaran yang perlu ada dalam diri sesorang kerana nilai kesedaran ini
dapat memperingatkan kita untuk sentiasa menjaga sikap dan adab sopan
apabila bersama atau tanpa dengan individu lain kerana jika kita bersikap
sombong, sudah pasti kita akan sentiasa dibenci orang.

3.1.5 Kesimpulan Konsep Nilai dalam Kumpulan Pantun Permata Sastera
Melayu
Sebagai kesimpulan untuk bahagian ini, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa
nilai merupakan sesuatu yang boleh dirasai secara ‘dalaman’ atau dalam
pemikiran kita atau kriteria bagi kita untuk mempertimbangkan sesuatu benda
manusia, objek, idea, tingkah laku, situasi sebagai baik, berfaedah, diingini.
Nilai boleh didapati dalam kemoralan.
Pengkaji dapat menyimpulkan bahawa nilai-nilai yang terkandung
dalam pantun-pantun ini jelas ingin mempengaruhi pembacanya untuk sentiasa
memiliki nilai-nilai murni yang mampu membawa kepada kebaikkan. Salah
satu fungsi nilai ialah ia memberi rangsangan terhadap sesuatu isu atau situasi.

13

Di samping itu, nilai juga boleh menghadkan perlakuan seseorang. Oleh itu,
seseorang yang menghayati sesuatu nilai akan melakukan sesuatu yang ada
kaitan dengan nilai yang dihayatinya dan tidak akan melakukan nilai yang
bercanggah. Ini bermakna, jika seseorang itu mempunyai nilai
bertanggungjawab maka dia tidak akan melakukan sesuatu yang bercanggah
dengan nilai ini.

3.2 Konsep Budi Bahasa dalam Kumpulan Pantun Permata Sastera Melayu
Dalam bahagian ini mengkaji akan membincangkan serta menganalisis budi bahasa
yang terdapat dalam pantun-pantun berikut:
3.2.1 Pantun Budi
3.2.1.1 Mengenang Budi Seseorang Sehingga Mati
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi ialah ahlak, perangai,
tingkah laku, dan berkelakuan baik manakala budi bahasa bermaksud
mempunyai budi bahasa yang baik yang merangkumi pekerti, akhlak,
watak dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah, dan sebaginya yang
disebut nilai-nilai murni. Berdasarkan kumpulan pantun permata Sastera
Melayu yang telah dikaji iaitu pantun budi, penulis telah
mengetengahkan budi bahasa iaitu mengenang budi seseorang sehingga
mati dalam rangkap pantun ini bagi memberikan contoh akhlak terpuji
yang tinggi kepada pembaca. Berikut merupakan contoh rangkap
pantun:
Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
(Pantun Budi, R2:B1-B4)
Berdasarkan contoh pantun di atas, terdapat budi bahasa yang
diketengahkan oleh penulis di dalam pantun budi ini. Contohnya kita
dapat lihat maksud pada rangkap kedua, penulis mengetengahkan
kebaikan budi bahasa itu iaitu budi bahasa yang baik tidak akan
dilupakan orang walaupun sudah mati. Hal ini dapat lihat pada baris
ketiga dan keempat iaitu “hancur badan dikandung tanah, budi baik
dikenang juga”. Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika
seseorang hidup didunia sahaja malah budi seseorang itu akan tetap

14

dikenang sampai bila-bila dan sentiasa jadi sebutan orang walaupun dia
telah mati. Jadi di sini penulis ingin mengaitkan dengan kepentingan
berbudi bahasa itu sendiri yang perlu ada dalam diri sesorang kerana
amalan budi bahasa bukan sahaja penting dalam masyarakat Melayu
malahan dalam semua masyarakat juga sememang-memangnya
mengajarkan cara hidup yang baik.

3.2.1.2 Menghargai Budi Seseorang
Selain itu, dalam pantun budi ini juga penulis telah mengetangahkan
budi bahasa iaitu menghargai budi seseorang bagi memberikan contoh
penghargaan terhadap perbuatan baik yang telah dilakukan seseorang.
Hal ini kerana, manusia di muka bumi ini digalakkan untuk melakukan
budi kepada orang. Berbudi kepada orang lain akan memberi kesan yang
baik kepada dirinya dan diri sendiri. Orang yang berbudi pasti disukai
oleh orang ramai dengan sikapnya yang tidak pernah mengharapkan
balasan daripada orang lain. Tanpa mengharapkan balasan kita perlulah
menghargai orang yang berbudi kepada kita. Berikut merupakan contoh
rangkap pantun:
Tenang tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
budi baik rasa nak junjung.
(Pantun Budi, R3:B3-B4)
Berdasarkan contoh pantun di atas, terdapat budi bahasa yang
diketengahkan oleh penulis di dalam pantun budi ini. Contohnya kita
dapat lihat maksud pada rangkap ketiga, penulis mengetengahkan
penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga
meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan di bawa ke
mana sahaja. Hal ini boleh dilihat pada baris keempat iaitu “budi baik
rasa nak junjung” yang membawa maksud Budi yang baik akan sentiasa
dikenang, dihargai dan menjadi sebutan orang. Sebagai masyarakat yang
berbudi, kita juga perlulah menunjukkan identiti bangsa yang baik
dengan menghargai atau memberi penghargaan kepada sesiapa sahaja
yang memberi budi kepada kita. Hal ini secara tidak langsung
memperlihatkan kedua-dua pihak atau masyarakat akan saling berbudi

15

antara satu sama lain. Jadi di sini penulis ingin mengaitkan dengan
kepentingan berbudi bahasa itu sendiri yang perlu ada dalam diri
sesorang kerana masyarakat yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi
kerana bahasa itu sendiri menunjukkan identiti sesuatu bangsa.

3.2.2 Pantun Kasih-Sayang
3.2.2.1 Perasaan Sayang Terhadap Orang Lain
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasih sayang ialah perasaan
belas kasihan, cinta kasih atau berkasih sayang. Berdasarkan kumpulan
pantun permata Sastera Melayu yang telah dikaji iaitu pantun kasih
sayang, penulis telah mengetengahkan budi bahasa iaitu perasaan sayang
terhadap orang lain. bagi memberikan contoh akhlak terpuji yang tinggi
kepada pembaca. Berikut merupakan contoh rangkap pantun:
Dari mana pipit melayang,
Dari paya turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.
(Pantun kasih sayang, R1:B1-B4)
Berdasarkan contoh pantun di atas, terdapat budi bahasa yang
diketengahkan oleh penulis di dalam pantun kasih sayang ini. Contohnya
kita dapat lihat maksud pada rangkap pertama, penulis mengetengahkan
keindahan budi bahasa itu melalui perasaan berkasih sayang terhadap
orang lain. Hal ini boleh dilihat pada baris ketiga dan keempat iaitu “dari
mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati” yang membawa
menggambarkan perasaan baik seseorang individu atau masyarakat
terhadap orang lain iaitu perasaan kasih sayang. Perasaan kasih sayang
ini wujud apabila sesorang itu memiliki perwatakan dan peribadi yang
baik sehingga dapat menyejukkan pandangan orang lain. Di sini kita
dapat melihat, masyarakat yang berbudi merupakan masyarakat yang
hidup berkasih sayang. Bagi masyarakat melayu, hubungan kasih sayang
adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan mereka.Tanpa perasaan
kasih sayang terhadap masyarakat sudah pasti sesuatu kemanan sejagat
jiran tetangga tidak dapat dikekalkan. Jadi di sini penulis ingin
mengaitkan dengan kepentingan berbudi bahasa itu sendiri yang perlu
ada dalam diri sesorang kerana kepekaan dan perasaan cinta yang

16

mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas dan
itulah budi bahasa yang tinggi dalam sesebuah masyarakat.

3.2.3 Pantun Agama
Banyak ahli menyebutkan agama berasal dari bahasa Sansakerta, iaitu
“a” yang bermaksud tidak dan “gama” pula membawa maksud kacau.
Jadi, agama membawa maksud tidak kacau atau teratur. Oleh itu, agama
memainkan peranan dalam menjadi peraturan yang mengatur keadaan
manusia, mahupun mengenai sesuatu yang ghaib, mengenal budi pekerti
dan pergaulan hidup bersama. Begitu juga yang terkandung dalam
Pantun Agama, pantun ini banyak memaparkan nilai-nilai agama yang
dapat membentuk sifat budi bahasa dalam diri kalangan pembaca dan
juga masyarakat. Dalam Pantun Agama ada memaparkan sifat budi
bahasa. Antaranya ialah:

3.2.3.1 Percaya Kepada Rukun Islam
Rukun Islam terdiri daripada lima perkara iaitu mengucapkan dua
kalimah syahadat dan menunaikan Haknya, menunaikan solat fardu lima
waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan juga
mengerjakan Haji bagi mereka yang mampu. Dengan mengamalkan
rukun Islam ini, dapat membentuk keperibadian unggul seseorang
individu itu sekali gus memupuk sifat berbudi bahasa dalam diri
seseorang itu. Dalam pantun agama, terdapat memaparkan sikap
mematuhi rukun Islam iaitu:
Bangun pagi sembahyang subuh.
(Pantun kasih sayang, R1:B1-B4)
Melalui petikan contoh tersebut, jelas pantun ini mengajak pembaca
mendirikan solat subuh. Solat terdiri daripada 5 waktu iaitu solat subuh,
zohor, asar, magrib dan isyak. Seorang muslim yang mendirikan solat
fardu sebanyak lima kali dalam sehari bemakna dia menegakkan
agamanya sekali gus membentuk akhlak yang mulia dalam diri dia. Hal
ini demikian kerana solat ditafsirkan sebagai jalan petunjuk Allah SWT
untuk membimbing manusia supaya sentiasa menjaga tingkah laku.

17

Jelas menunjukkan percaya kepada rukun islam dapat memupuk nilai
budi bahasa dalam diri seseorang.

3.2.3.2 Menghormati Hari Penghulu
Hari jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat Islam. Banyak
kelebihan dan keistimewaan hari jumaat kepada umat Islam. Amalan
baik yang dilakukan pada hari jumaat akan berlipat ganda pahala yang
diperoleh seseorang itu. Orang Islam menganggap hari jumaat amat
istimewa. Hal ini demikian kerana berlakunya lima peristiwa penting
pada hari tersebut iaitu Allah ciptakan Adam, Allah turunkan Nabi Adam
ke bumi, Allah mematikan Nabi Adam, pada hari itu juga ada satu saat
yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah
akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang
haram dan peristiwa yang terakhir ialah pada hari itu juga berlakunya
kiamat.
Seseorang yang beramal dan menghormati penghulu hari dapat
memupuk sifat budi bahasa dalam diri mereka. Begitu juga apabila
seseorang itu sentiasa menjalankan kewajiban iaitu solat jumaat. Solat
Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari
itu semulia hari yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya. Dalam
pantun agama ada menunjukkan perihal berkenaan dengan kemuliaan
hari jumaat iaitu:
Banyak hari antara hari,
Tidak semulia hari jumaat
(Pantun Agama:R2: B1-2)
Orang yang memuliakan hari jumaat merupakan orang yang
memuliakan Allah sekali gus dipandang mulia oleh orang lain. Begitu
juga dalam mengajar masyarakat berbudi bahasa, kita memuliakan
seseorang itu tanda kita berbudi bahasa. Darip belajar memuliakan
hari jumaat, memuliakan Allah disitulah kita belajar memuliakan
oang di sekeliling kita. Jelas menunjukkan apabila kita memuliakan
sesuatu atau seseorang tanda kita mengamalkan amalan berbudi
bahasa.

18

3.2.3.3 Taat Perintah Allah S.W.T
Seorang yang berbudi bahasa merupakan seorang yang taat perintah
Allah. Selain taat kepada perintah Allah, kita juga perlu taat kepada ibu
bapa, pemerintah, guru, ketua dan pemimpin. Sikap taat inilah
membimbing kita menjadi seorang yang berbudi bahasa. Taat kepada
Allah adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang
Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta
mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-
Nya. Di dalam kitab suci al-Quran, terdapat berpuluh-puluh firman Allah
s.w.t yang memerintahkan manusia agar taat setia mengerjakan segala
perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di dalam pantun
Agama yang dikaji oleh pengkaji, pengkaji mendapati penulis mengajak
pembaca taat kepada perintah Allah iaitu :
Bangun pagi sembahyang subuh
(Pantun Agama: R2:B3)
Bangun pagi sembahyang subuh merupakan satu tanggungjawab umat
Islam yang harus dikerjakan setiap hari. Ia merupakan perintah Allah
supaya umatnya tidak meninggalkan solat kerana solat itu penting.
Seorang yang sentiasa mengerjakan solat hidupnya akan sentiasa tenang
dan perwatakannya baik.

3.2.3.4 Sentiasa Berdoa untuk Memohon Keampunan
Berdoa merupakan satu perbuatan yang baik dan digalakkan dala ajaran
Islam. Seseorang itu haruslah sentiasa merendahkan diri dengan tidak
sombong untuk memohon ampun kepada Allah. Doa akan membuat
sikap seseorang itu menjadi baik. Orang yang berdoa cenderung lebih
rendah diri dan juga mengamalkan budi bahasa yang tinggi. Hal ini
demikian kerana orang yang sentiasa berda sentiasa dalam lindungan
Allah. Berikut merupakan contoh yang diperoleh leh pengkaji dalam
pantun agama:
Minta ampun kepada Tuhan
(Pantun Agama: R2:B4)

19

Jelas menunjukkan pantun agama ini mengajak pembaca dan
masyarakat agar sentiasa minta ampun kepada Tuhan. Tidak salah
meminta keampunan baik daripada manusia ataupun Allah. Hal ini
demikian kerana sikap meminta ampun ini tidak akan menjadikan kita
dipandang hina tetapi ia mengangkat kita dimata Tuhan. Jelaslah
menunjukkan sikap sentiasa berdoa mampu mengubah sikap seseorang
itu kea rah yang lebih positif.

Jelaslah menunjukkan Pantun Agama ini ada memapakan sifat
budi bahasa. Melalui Pantun Agama ini kita dapat melihat bagaimana
agama menjadi jalan penuntun penganutnya untuk mencapai ketenangan
hidup dan kebahagian di dunia mahupun akhirat.

3.2.4 Pantun Nasihat
Pantun nasihat ada mengetengahkan amalan budi bahasa didalamnya. Pantun ini
mengandungi banyak nasihat-nasihat yang beguna kepada masyarakat. Nasihat
merupakan ajaran atau petunjuk yang baik. Sebaik-baik pemberi nasihat itu
memiliki akhlak lemah lembut, berbudi bahasa, bersopan santun untuk
menyampaikan nasihat supaya mampu mengindahkan halwa telinga serta
pertimbangan akal mereka yang menerima nasihat. Dalam memberi nasihat,
seseorang itu haruslah memilih kaedah yang sesuai dan tepat mengikut suasana,
keadaan serta keperibadian seseorang itu. Dalam kajian ini pengkaji mendapati
terdapat wujudnya amalan berbudi bahasa dalam pantun nasihat iaitu:

3.2.4.1 Menjaga sikap dan adab apabila bersama dengan orang lain.
Seorang yang beradab merupakan seorang yang tinggi budi bahasa.
Orang seperti ini akan sentiasa merendah diri dan dihormati orang lain.
Seseorang itu haruslah menjaga adab semasa bergaul dengan orang. Hal
ini demikian supaya orang senang berkawan dengan kita dan
menghormati kita. Terdapat tiga jenis adab yang harus diamalkan oleh
seseorang iaitu adab dalam kehidupan seharian, adab dalam kehidupan
bersosial, adab dalam menunaikan ibadah, adab terhadap ibu bapa dan
keluarga, adab menuntut ilmu dan juga adab terhadap Allah dan Rasul.
Berdasarkan pantun nasihat yang dikaji oleh pengkaiji, penulis ada

20

menegaskan pentingnya sikap merendah diri dan beradab semasa
bergaul dengan orang lain iaitu :

Kalau sombong meninggi diri,
kemana pergi dibenci orang
(Pantun Nasihat: R2: B3-4))

Berdasarkan petikan contoh tersebut, jelas menunjukkan seorang yang
berbudi bahasa tidak akan sombong dan meninggi diri. Hal ini demikian
kerana sikap sombong dan meninggi diri hanya menambahkan perasaan
benci orang terhadap kita. Sikat seperti inilah yang harus dihindari. Oleh
itu, masyarakat haruslah sentiasa menjaga adab dan sikap dalam
kehidupan seharian.

3.2.5 Kesimpulan Konsep Budi Bahasa dalam Kumpulan Pantun Permata
Sastera Melayu
Kesimpulannya budi bahasa merupakan ciri penting jati diri Melayu yang perlu
ada dalam diri setiap insan. Hal ini dapat dilihat dalam Kumpulan pantun dalam
buku Permata Sastera Melayu seperti pantun budi, pantun nasihat, pantun agama
dan pantun kasih-sayang, di mana dalam pantun tersebut banyak mengandungi
budi bahasa yang dijunjung tinggi oleh masyarakatnya, khasnya masyarakat
Melayu-Islam. Hal ini demikian kerana, amalan budi bahasa bukan sahaja
penting dalam masyarakat Melayu malahan dalam semua masyarakat
sememang-memangnya mengajarkan cara hidup yang baik. Tujuan
mengamalkan cara hidup berbudi bahasa adalah untuk mewujudkan suasana
aman, harmoni, kerjasama, hormat-menghormati, kasih-sayang, dan
kesejahteraan. Oleh itu, nilai-nilai budi bahasa haruslah dikekal, dibina,
dikembang, dan dimanfaatkan supaya boleh dijadikan pedoman nilai oleh
masyarakat di dalam kehidupan sehari-hari.

21

4.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, pantun dalam buku Permata Sastera Melayu banyak memaparkan sifat
budi bahasa yang harus diteladani masyarakat. Misalnya, pantun agama banyak
memaparkan tentang pengetahuan agama yang banyak mengajar pentingnya mengamalkan
nilai budi bahasa dalam kehidupan seharian. Pengkaji mendapati semua pantun yang dikaji
terdapat amalan budi bahasa yang harus dijadikan teladan dan pedoman kepada khalayak
pembaca dna juga masyarakat. Pantun yang dikatakan khazanah Melayu asli ini membawa
maksud bentuk yang cukup tersusun , sopan, teratur, bersistematik dalam usaha melahirkan
pemikiran, idea dan gagasan. Hal ini menunjukkan pantun merupakan sebuah karya sastera
yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat. Ia banyak berfungsi untuk
mendidik dam memberi teladan kepada masyarakat.

RUJUKAN
Abdul Halim Ali & Azhar Wahid (Pnyt). (2005). Penghayatan Kesusasteraan Melayu Moden.

Tanjong Malim, Perak: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Adam Mohd. Saifudin. (2016). Merealisasikan Hasrat Melahirkan Modal Insan Berkelas

Pertama. Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Dimas Ardi Prasetya & Rheza Aditya Gradianto (1 Oktober 2020). Kumpulan Kata-kata

Penyesalan dalam Hidup. Diperoleh pada 20 Mei 2021 daripada
https://www.bola.net/lain_lain/kumpulan-kata-kata-penyesalan-dalam-hidup-
68f3c3.html
Emilly Sakai & Mohd Dahlan A. Malek. (2014). Konsep Integriti dan Nilai-Nilai Murni
Terhadap Kesejahteraan Hidup dalam Kalangan Pelajar Universiti yang Tinggal di
Dandar dan Luar Bandar : Satu Kajian di Universiti Malaysia Sabah. Fakulti Psikologi
dan Pendidikan. Sabah: Universiti Malaysia Sabah.
Fatmawati Latada & Mohamad Nawawy Jusoh. (2017). Kesejahteraan Keluarga dan Pola
Komunikasi dalam Keluarga. Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan. Pahang:
Universiti Malaysia Pahang.
Hamidi Ismail, Kalthum Hassan & Mohd Nizar Zakaria. (2019). Kesederhanaan Ke Arah
Perpaduan Kaum di Malaysia (Pascasiswazah). Universiti Utara Malaysia, Kedah.
Hondi Panjaitan. (2017). Pentingnya Menghargai Orang Lain. Character Building
Development Center. BINUS University, Jakarta.
Kamus Dewan (edisi keempat). (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kary Aini (Editor). (2015). Permata Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Lee Kim Hong. (2017). Pengajaran dan Pembelajaran Sastera dalam Sukatan Pelajaran
Pengajian Cina KDPM. Negeri Sembilan: Maktab Perguruan Raja Melewar Seremban.
Noor Hisham Md Nawi & Nurliza Ahmad. (2013). Nilai Kemanusiaan: Isu dan Cabaran. Kota
Bharu: Penerbit Universiti Malaysia Kelantan.
Nur Faezah Musthapar, Raihanah Azahari & Bahiyah Ahmad. (2020). Sakinah, Mawaddah dan
Raḥmah dalam Perhubungan Suami Isteri: Analisis Literatur. Jurnal Syariah, 28(1), 81-
104.
Rezki Perdani Sawai, Salhah Abdullah & Dini Farhana Baharudin. (2018). Penerapan Nilai-
Nilai Islam Melalui Penggunaan Media dalam Pendidikan. Faculty of Leadership and
Management. Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Wan Z. Kamaruddin Wan Ali & Ahmad Zuhdi Ismail. (2009). Konsep Kewajiban dan
Tanggungjawab (al-Taklif) dalam Pemikiran Islam: Penerapan dan aplikasinya dalam
Kehidupan Masyarakat Muslim. Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Akademi
Pengajian Islam. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Click to View FlipBook Version