The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by RAdawiyah MRidzuwan, 2024-03-12 05:56:53

Perjalanan Aqil ke Sekolah

Kerja Kursus BMMB 3283

Rabiatul Ridzuwan PERJALANAN AQIL KE SEKOLAH


Pagi sudah menjelma. Aqil masih lena dibuai mimpi. “Bangun, Aqil. Kamu harus pergi ke sekolah, ” kata Puan Suraya sambil menepuk-nepuk kaki Aqil. “Ibu, Aqil demamlah, Ibu. Aqil tidak larat nak ke sekolah, ” kata Aqil pura-pura lemah. Puan Suraya yang kerisauan segera menyentuh dahi Aqil. Sejuk. Puan Suraya menarik telinga Aqil sambil berkata, “Pandai kamu menipu Ibu sekarang. Sudah, pergi mandi sekarang, ” “Aduh, sakitlah Ibu. Baik, baik, Aqil mandi sekarang juga, ” Ujar Aqil sambil mengerang kesakitan. “Nanti selepas bersiap, turun ke bawah, ” Pesan Puan Suraya sebelum keluar dari bilik. Aqil sekadar mengangguk kecil sambil memegang telinganya yang sedang kesakitan akibat dipiat oleh ibunya.


Sebelum ke sekolah, Aqil akan bersarapan bersama ibunya terlebih dahulu dan ayahnya akan menghantarnya ke sekolah. Namun, dia tidak melihat ayahnya di mana-mana. “Aqil, Ibu nak beritahu kamu. Mulai hari ini, kamu perlu berjalan kaki ke sekolah kerana ayah kamu akan bekerja di luar negeri. Jangan risau, Ibu akan temankan kamu. Kita akan berjalan bersama-sama, ” Kata Puan Suraya sambil tersenyum. Aqil tergamam. Suapannya terhenti. ‘Saya perlu berjalan kaki setiap hari?’ Aqil mula membayangkan kehangatan matahari yang akan menyebabkan peluh menitik sehingga lencun bajunya.


Aqil merupakan seorang budak lelaki yang amat pembersih dan cerewet. Dia tidak suka melakukan aktiviti di luar rumah kerana dia tidak mahu pakaian dan anggota badannya kotor. “Aqil, sudah-sudahlah termenung. Ayuh kita ke sekolah, ” Aqil membasuh tangan dan menyarung kasut sementara Puan Suraya mengambil payung. Pintu rumah dikunci dan mereka memulakan langkah bersama-sama.


Setibanya di hujung jalan perumahan mereka, kelihatan seorang jiran mereka sedang memberi makan burung-burung merpati. Jiran mereka, Puan Devi merupakan seorang wanita tua yang peramah dan amat baik hati. Puan Suraya melambaikan tangan kepada Puan Devi. Puan Devi yang sedang asyik memberi makan burung membalas lambaian Puan Suraya. “Kak Devi, apa khabar? Sihat ke?” Sapa Puan Suraya. “Kak Devi sihat. Kamu apa khabar, Suraya? Kamu hendak ke mana berjalan awal pagi ini?” Soal Puan Devi. “Saya sihat. Saya ingin menghantar Aqil ke sekolah. Suami saya sedang bekerja di luar kawasan sekarang. Jadi, sayalah yang perlu menghantarnya ke sekolah, ” Ujar Puan Suraya sambil memegang tangan Aqil.


Aqil sekadar tersenyum kecil. Matanya tertumpu pada taburan nasi di atas jalan. Dia berasa geli melihat nasi-nasi yang hampir basi itu bertaburan. Hidungnya juga menangkap bau yang tidak enak. Mujur ibunya pernah berpesan agar tidak menutup hidung sekiranya terhidu bau yang kurang menyenangkan kerana perbuatan itu kurang sopan. Dia berasa ingin cepat-cepat berlalu pergi. “Ibu, kita sudah lambat untuk ke sekolah, ” Kata Aqil kepada ibunya yang sedang asyik berbual dengan Puan Devi. Puan Suraya segera meminta diri untuk menghantar Aqil ke sekolah.


Setibanya di sekolah, Aqil bertanya kepada Puan Suraya, “Ibu, kenapa Makcik Devi memberi burung makan? Buat kotor jalan sahaja, ” “Aqil, tak baik kamu berkata begitu. Makcik Devi berbuat begitu untuk mengelakkan pembaziran. Memberi makan kepada haiwan itu kan satu kebaikan. Daripada nasi itu dibuang, lebih baik diberikan kepada burung untuk dimakan, bukan?” Ujar Puan Suraya panjang lebar. Aqil mengangguk perlahan tanda setuju.


Jauh di sudut hati Aqil, dia tidak bersetuju dengan perbuatan Puan Devi yang hanya akan membuatkan jalan di taman perumahan mereka kotor dan berbau busuk. Burung merpati yang datang pula akan mengotorkan taman perumahan mereka dengan tinja di atas kereta. “Nanti Ibu ambil kamu pulang. Belajar rajin-rajin. Nanti balik, kita makan sama-sama, ” Kata Puan Suraya sambil mengucup dahi Aqil. Mereka bersalaman sebelum Aqil masuk ke kawasan sekolah. Semasa waktu rehat, Aqil hanya duduk di dalam kelas. Dia membaca buku antologi sajak untuk mengisi masa lapangnya. Sajak yang bertajuk “Bumi Bertuah” dibacanya dengan tekun.


Aku lahir di bumi bertuah, Bumi yang terkenal dengan adat dan budaya, Masyarakatnya tidak mengenal erti lelah, Dalam membangunkan negara sepenuh upaya. Bumi ini berbilang kaum, Berbilang juga adatnya, Namun bahasanya, Adalah sama untuk semua. Bahasa Melayu kebanggaan kita, Bahasa yang menyatukan, Bahasa yang menjadikan kita sebuah bangsa, Bukan sekadar manusia berbeza yang hidup bersama. Toleransi antara budaya dan agama, Bebas daripada telagah dan sengketa, Itu matlamat utama kita, Dalam membentuk bangsa Malaysia. Semoga bumi ini terus dirahmati, Tanah tumpahnya darahku, Semoga hasrat dicita membentuk bangsa terlaksana, Semoga selamanya harmoni, aman dan sentosa.


Keesokan harinya, Aqil dan Puan Suraya berjalan ke sekolah dan bertemu dengan Puan Devi sekali lagi. Kali ini, Puan Devi melempar biji jagung pula. Warnanya yang kuning keemasan itu amat terserlah di atas jalan tar itu. Aqil berasa amat geram. Dia hampir mengambil penyapu di tepi pagar Puan Devi dan menyapu jalan itu sehingga bersih daripada biji jagung. Namun, adab yang diajarkan oleh ibunya berjaya membolehkan dia menahan diri daripada bertingkah laku seperti itu. Perkara ini berlanjutan selama seminggu. Aqil berasa dirinya tidak mampu untuk melalui jalan itu lagi.


Malam itu, Adli, Aqil dan Puan Suraya sedang menonton televisyen bersama-sama. “Ibu, bolehkah kita lalu jalan lain esok?” Tanya Aqil kepada ibunya. “Aqil, jalan itu ialah jalan yang paling dekat untuk ke sekolah. Kamu itu bukannya suka berjalan jauh. Nanti kalau jadi apa-apa, ibu juga yang susah, ”Celah Adli. Dia berasa jengkel dengan Aqil yang tidak habis-habis menyusahkan ibunya. “Sibuk sahaja abang ni. Saya sedang bercakap dengan ibu, ” Ujar Aqil tidak berpuas hati. “Boleh, Aqil. Esok kita lalu jalan lain, ” Ujar Puan Suraya yang sudah malas mahu melayan keduadua anak lelakinya yang seperti mahu bertengkar itu.


Keesokan harinya, “Aqil, bangun. Kamu perlu pergi ke sekolah, ” Adli menguis-guis kaki adiknya. Aqil terkejut melihat kelibat abangnya, Adli dan bukan Puan Suraya seperti kebiasaannya. “Kenapa abang yang kejut Aqil hari ini? Mana ibu?” Soal Aqil. “Ibu demam. Kamu perlu ke sekolah sendiri, ” Balas Adli ringkas. Seperti hari-hari sebelumnya, Aqil berjalan ke sekolah. Cuma kali ini, dia perlu jalan bersendirian. Dia sedang berkira-kira sama ada mahu melalui jalan yang jauh atau mahu melalui lorong jalan Makcik Devi. Tanpa membuang masa, dia berjalan menuju ke persimpangan rumahnya dan membelok kiri. Dia bertekad untuk melalui jalan yang jauh.


Sedang dia berjalan, kelihatan seekor anjing putih sedang berjalan-jalan di taman permainan kejiranan itu. Tiba-tiba, anjing itu berlari dengan pantas dari kejauhan menuju ke arahnya. Aqil yang panik segera berlari ke arah lorong rumah Makcik Devi. “Tolong saya!” Jerit Aqil sambil berlari pantas. Anjing putih itu terus mengejar Aqil. Semasa sedang berlari, Aqil terjatuh dan lututnya berdarah. Aqil bernasib baik kerana Puan Devi yang sedang memberi makan kepada burung merpati itu segera mendapatkannya dan berjaya menghalau anjing tersebut.


“Aqil, ayuh kita masuk ke dalam rumah saya. Biar saya ubati luka kamu ini, ” Kata Puan Devi sambil memapah Aqil yang sedang menangis tersedusedan. Aqil mula menyesali perbuatannya yang selalu mengecam tindakan Puan Devi. Dia tidak menyangka bahawa Puan Devi yang akan menjadi penyelamatnya hari ini. Tanpa Puan Devi, dia mungkin sudah cedera parah akibat digigit anjing. “Terima kasih, Makcik Devi, ” Ujar Aqil perlahan. Puan Devi tersenyum. “ Sama-sama, Aqil. Saya sudah balutkan luka kamu. Mari saya hantar kamu pulang, ” Ujar Puan Devi.


Hari itu, Aqil telah mendapat pengajaran yang terbesar dalam hidupnya. Dia belajar bahawa kita perlu menghormati orang lain dan saling bertolak ansur antara satu sama lain. Dia tidak lagi berasa jengkel dengan bijian dan nasi di atas jalan setiap hari. Malah, dia sendiri menyertai Puan Devi untuk memberi makan burung sebelum ke sekolah. Puan Devi juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan Aqil ke rumahnya.


Click to View FlipBook Version