Buku cerita kanak-kanak SI PEMBULI KUCING Suria Atma
Tersebutlah kisah seorang budak lelaki bernama Danial. Dia merupakan seorang yang sangat nakal dan suka membuli. Semua rakan-rakannya tidak suka berkawan dengannya. Oleh itu, dia selalu keseorangan. Pada suatu hari, ketika dia berjalan ke kedai, dia terjumpa seekor kucing. Kucing itu sedang bermain di bawah pokok. Dia berhenti seketika dan muncullah idea jahatnya. Dia menghampiri kucing itu dan membaling sebiji batu ke arah kucing itu. Kucing itu larikan diri dalam ketakutan. Dia tidak berpuas hati lalu terus mengejar kucing itu. Danial menyepaknya sehingga terjatuh ke dalam longkang lalu ketawa keriangan. Kucing itu mengiau kesakitan dan terperangkap di dalam longkang. Dia tidak menghiraukan tangisan kucing itu dan ingin berlalu pergi.
Kebetulan, seorang pakcik sedang melalui kawasan itu dan melihat perbuatan Danial. Dia menasihati Danial agar tidak berbuat jahat terhadap haiwan. “ Nak, janganlah kamu menganiayai kucing itu, dia tidak bersalah. ” “ Huh, saya tidak peduli. ” Jawab Danial. “Bagaimana jika ada orang yang memperlakukan kamu sebegini, kamu juga akan merasa sedih. ” Kata pakcik itu. Danial tidak mempedulikan kata-kata pakcik itu dan terus meninggalkan pakcik itu. Danial hanya melihat pakcik itu menyelamatkan kucing itu di dalam longkang. Dia tersenyum sinis kerana dia merasakan bahawa dia seorang yang hebat dan tidak ada orang yang akan membuli dia.
Di suatu malam, ketika Danial sedang bermain-main di luar rumah, dia ternampak sebuah bayang-bayang yang sangat besar. Alangkah terkejutnya dia, apabila melihat kucing yang dibulinya siang tadi menjadi sangat besar. Dia berlari ketakutan. Kucing gergasi itu terus mengejar Danial dan berkata; “Wahai budak, kemarilah kamu. ” Danial terus berlari sambil menangis. Tiba-tiba dia terjatuh ke dalam longkang.
lalu danial tersedar dari tidur. Rupa-rupanya dia hanya bermimpi. Danial berbisik sendiri; “Fuhh, mimpi rupanya. ” Danial memandang sekeliling biliknya dan terdengar suatu suara. Danial mencari arah suara itu. Dia terjumpa kucing yang dibulinya itu di bawah katilnya. Dia menoleh kearahnya dan terdengar kucing itu memanggil namanya; “Hai, Danial. ” Danial sangat terkejut dan menjerit memanggil ibunya. Dia beritahu kepada ibunya bahawa dia mendengar kucing itu bercakap. Ibunya tidak percaya akan Danial dan menyatakan bahawa dia bermimpi. Danial sangat hampa.
Danial pergi kearah kucing tersebut dan mencubitnya. Lalu dia terdengar; “Aduh, sakitlah. ” Kucing itu berkata. Danial sangat terkejut dan keliru. Dia berkata; “Siapakah kamu wahai kucing?” “Aku adalah seekor kucing yang boleh bercakap, dan hanya kamu boleh mendengarnya. ” Kata si kucing itu. Danial menggosok-gosokkan matanya dan berbisik sendiri; “Adakah saya sedang bermimpi. ” “ Tidak, kamu tidak bermimpi. ” Kata kucing itu.
Danial berasa sangat takut kerana dia belum pernah mendengar haiwan bercakap. Kucing itu terus menghantui Danial dan bertanya kenapa membuli haiwan yang lemah sepertinya. Dia menggigil ketakutan lalu bersembunyi di dalam selimut. Pada keesokkannya, Danial melihat kucing itu berada disampingnya. Dia tidak lagi takut akan kucing itu. Walaupun kucing itu terus bercakap dengannya, Danial tidak mempedulikan percakapan kucing itu. Dia membuangnya keluar dari rumah.
Pada waktu petang, Danial hendak keluar berjalan-jalan. Dia terkejut apabila melihat kucing itu menunggunya di luar rumah. Dia memarahi kucing itu dan ingin memukulnya. Kucing itu sempat mengelak dan menasihati Danial untuk tidak berbuat demikian. Kucing itu terus bercakap dengan Danial tanpa henti. Kucing itu mengekori ke mana sahaja dia pergi.
Ketika Danial berjalan-jalan, dia ternampak seorang kanak-kanak sedang bermain buaian di taman permainan. Dia merancang ingin membuli budak itu. Kucing itu melihat Danial sedang merancang sesuatu terus bertanya kepada Danial; “ Apa yang kamu akan buat?” Danial tidak menghiraukan kucing itu.
. Semasa dia sedang bersembunyi di dalam semak, kucing itu berkata lagi; “Janganlah kamu bersembunyi di situ, kawasan itu sangat bahaya. ” Danial sangat marah kepada kucing itu kerana terlalu banyak bercakap. Dia memukul kucing itu. Tanpa Danial sedar, seekor ular sedang memperhatikan dia. Ular itu sedang menunggu masa yang sesuai untuk mematuknya.
Ketika ular itu hendak mematuk Danial, kucing itu terus menerkam ular itu. Kucing itu jatuh ke tanah. apabila danial membalikkan badannya ke arah kucing itu, dia sangat terkejut apabila kucing itu sudah dipatuh oleh ular. Ular itu terus melarikan diri ke dalam semak samun.
Danial terus berlari ke arah kucing itu, dan didapati bahawa kucing itu telah mati. Danial merasa bersalah kerana tidak menghiraukan nasihat kucing itu. jika tidak kerananya, dia mungkin telah dipatuk oleh ular itu. Dia sedar bahawa kucing itu telah menyelamatkan nyawanya. Danial sangat menyesal akan perbuatannya. Sejak dari kejadian itu, Danial tidak lagi membuli haiwan. Dia juga akan menjaga kucing-kucing jalanan dan memberi makan. Danial menjadi seorang pencinta haiwan.
PENGAJARAN : JANGANLAH KITA SUKA MEMBULI DAN SAYANGILAH HAIWAN