Karangan Contoh Bahasa Melayu Tahun 6 Murid-murid diminta menyalin semula karangan contoh ini dalam buku penulisan. Karangan Autobiografi Aku Sebuah Kamus Aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai sebuah kamus. Namaku Kamus Dewan Pelajar. Badanku berbentuk empat segi. Aku tidak mempunyai kaki mahupun tangan. Badanku setebal empat sentimeter. Aku dilahirkan di sebuah kilang percetakan di Kuala Lumpur. Rumah kedua aku ialah Kedai Buku Popular. “Wah, banyak betul rakanku di kedai ini!” Mereka ialah rakan kamusku. Aku ditempatkan sederet dengan rakan kamus daripada pelbagai syarikat penerbitan. Setelah dua bulan berada di kedai buku tersebut, aku dibeli oleh seorang murid perempuan bernama Amira dengan harga RM28.00 senaskhah. Rumah ketigaku ialah rumah tuan baruku. Aku diletakkan di atas rak buku di dalam biliknya. Amira seorang murid yang rajin. Dia selalu menggunakanku untuk merujuk perkataan yang sukar. Kadangkala Amira membawaku ke sekolah. Cikgu Siti selalu memuji sikap Amira yang membawa kamus ke sekolah. Aku memerhatikan tidak ramai murid yang membawa kamus ke sekolah. Jika aku boleh bercakap sudah tentu aku akan menasihati mereka agar memiliki sebuah kamus untuk meningkatkan kefahaman perbendaharaan kata. Kini, Amira telah menamatkan pelajarannya di universiti. Namun, aku tetap menjadi pembantu setianya walaupun dia sudah memiliki kamus lain. Aku adalah antara sahabat lamanya yang paling dihargai. Aku berjanji akan tetap memberikan khidmat yang terbaik untuknya.
Karangan Biografi Sahabat Karib Setiap orang mempunyai sahabat. Tanpa sahabat atau kawan, hidup kita ibarat kera sumbang. Saya mempunyai seorang sahabat yang bernama Masdor, yang saya anggap cukup istimewa. Saya memanggilnya Dor sahaja. Dor dilahirkan pada 12 Julai 2009. Dia ialah anak sulung Encik Masdar Ali, seorang jurutera dan Puan Marhamah Malim, seorang guru. Saya mengenali Dor sejak kecil lagi kerana kami berjiran. Selain itu, kami dibesarkan oleh pengasuh yang sama, iaitu Mak cik Jamilah, yang juga jiran kami. Persahabatan kami begitu akrab. Saya sering dibawa oleh keluarga Dor balik ke kampungnya. ‘Macam belangkas’ itulah ungkapan yang sesuai mengambarkan betapa akrabnya kami. Dor bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya. Dalam pelajaran, kami sentiasa bersaing untuk merebut tempat teratas di sekolah. Kami sentiasa bersaing sejak kami menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kami sentiasa mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran. Dalam bidang sukan, Dor dan saya telah mewakili sekolah dalam sukan badminton dan bola sepak. Selain itu, kami, juga mempunyai hobi yang sama, iaitu mengumpul topi dan lencana. Persahabatan kami yang akrab tidak menghalang untuk saya mengenali lebih ramai kawan, bak kata pepatah, “berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali”. Teman setia pula ialah apabila dia sanggup sedih dan ketawa bersama-sama.
Karangan Cerita/Cereka Soalan: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan. Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada waktu itu, Cikgu Ali, iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas. Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup. Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut mengikut cara yang aku pelajari semasa aktiviti Tunas Kadet Remaja Sekolah. Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan menelefon bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut. Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak serius dan sudah semakin pulih. Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.
Karangan Peribahasa Bagai Aur dengan Tebing Kampung Pasir ialah sebuah perkampungan yang terletak di tebing sungai Kelantan. Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai penoreh getah. Terdapat juga antara mereka yang bekerja sebagai nelayan sungai. Penduduk Kampung Pasir hidup bersatu-padu. Mereka saling menolong dan bekerjasama. Segala masalah mereka selesaikan bersamasama secara bijaksana. Walaupun sekali-sekala berlaku perselisihan pendapat, namun mereka tidak pernah bermasam muka. Sekiranya ada antara penduduk yang mengadakan kenduri-kendara, mereka akan beramai-ramai menolong menyediakan peralatan seperti memasang khemah, menyusun kerusi meja dan memasak nasi serta laukpauk. Begitu juga jika berlaku kematian. Mereka akan membantu menguruskan jenazah sehingga selesai dikebumikan. Pada penghujung tahun lepas, Kampung Pasir telah dilanda banjir besar. Hujan yang lebat menyebabkan air Sungai Kelantan melimpahi tebing. Banjir besar ini telah menghanyutkan beberapa buah rumah penduduk. Banyak juga rumah yang rosak teruk. Ramai penduduk terpaksa berpindah ke sekolah di Kampung Pasir. Ketika berada di pusat pemindahan, penduduk Kampung Pasir bekerjasama memasak makanan. Setelah banjir tersebut surut, penduduk Kampung Pasir bekerjasama membersihkan kawasan kampung dan rumah-rumah mereka daripada sampah sarap dan lumpur. Mereka juga bergotong-royong membaiki rumah-rumah yang rosak. Selain itu, mereka juga membina pondok-pondok sementara untuk penduduk yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan banjir. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga. Demikianlah keadaan hidup penduduk Kampung Pasir. Sikap bekerjasama dan saling membantu dalam kalangan mereka amat sesuai dengan maksud peribahasa “bagai aur dengan tebing”.
Karangan Gambaran Pengalaman Menyertai Kem Motivasi UPSR Baru-baru ini, saya telah mengikuti program motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Program selama dua hari satu malam itu diadakan di Dewan Kuliah Perdana, Maktab Rendah Sains MARA, Taiping, Perak. Program ini dimulakan seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 malam. Program anjuran PIBG ini melibatkan empat subjek teras UPSR, iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Barisan penceramahnya terdiri daripada kalangan guru pakar dalam keempatempat kertas peperiksaan berkenaan. Setiap peserta dibekalkan dengan fail yang dilengkapi bahan edaran bengkel. Program motivasi ini merangkumi slot analisis soalan peperiksaan, slot teknik jawab soalan, slot panduan peperiksaan dan slot pengurusan masa. Kesempurnaan pengurusan makan minum, iklim bilik kuliah yang selesa dan kemudahan prasarana asrama yang canggih menyebabkan kami sentiasa ceria dan bertenaga sepanjang menghadiri program tersebut. Kami juga sempat menunaikan solat hajat dan membaca surah Yasin untuk memohon keberkatan-Nya agar ganjaran maksimum, iaitu pakej 6A dalam UPSR akan kami miliki. Sesungguhnya, program motivasi ini telah berjaya membentuk jati diri dan memperkukuh iltizam saya untuk menghadapi UPSR yang bakal mendatang.
Karangan Fakta Faedah Melibatkan Diri dalam Bidang Sukan Tidak dapat kita nafikan bahawa aktiviti sukan penting dalam rutin kehidupan seharian. Tubuh yang cergas ialah pemangkin kepada minda yang cerdas. Jika kita kurang bersukan, tubuh akan menjadi tidak bermaya dan akan terdedah kepada jangkitan virus. Sesunggunya, ‘fizikal cergas, minda cerdas’. Amalan bermain bola sepak, badminton, joging, berenang, aerobik, tenis atau olahraga ternyata dapat mengistirahatkan benak. Apabila kita berpeluh, badan kita akan mengeluarkan toksin dan proses pembakaran lemak yang terjadi pula akan bertindak mengawal masalah obesiti. Nilai-nilai kesabaran, kerjasama, hormat-menghormati, toleransi dan muhibah yang lahir semasa bersukan juga akan mewujudkan suasana ceria dan harmoni dalam kalangan anggota masyarakat. Impaknya, masyarakat sentiasa menjaga keamanan dalam kehidupan bermasyarakat. Selain dapat mengisi masa senggang, keaktifan dalam bidang sukan juga akan menghindari kita daripada terjebak dalam budaya negatif seperti berbual kosong, bergosip, mencuri, melepak, penyalahgunaan dadah, memeras ugut, membuli dan sebagainya. Sesungguhnya, gejala sosial sebegitu akan merencatkan lagi penglahiran masyarakat sihat. Malahan, selain membantu melonjakkan imej diri dan mengharumkan nama sesebuah institusi, kejayaan dalam sukan juga membolehkan kita meraih pelbagai imbuhan dan ganjaran pada pelbagai peringkat kejohanan. Di samping itu, dapat memberikan pelbagai pengalaman dan ilmu baru dalam bidang sukan yang diceburi. Ternyata, amalan riadah ini dapat membentuk barisan generasi yang proaktif, intelek, beretika dan berwawasan untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa-masa terkedepan. Bak kata pepatah, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.
Karangan Catatan Harian Hari Kecemerlangan Sekolah Rabu, 10 November 2019 7.30 pagi Semua murid yang menerima hadiah sempena Hari Kecemerlangan Sekolah berkumpul di tapak perhimpunan. Guru-guru sibuk mengambil kedatangan murid yang akan mengambil hadiah pada hari ini. Kemudian, semua murid yang menerima hadiah bergerak ke dewan dalam satu barisan. 8.00 pagi Guru-guru menyusun murid mengikut kategori hadiah yang diterima murid. Cikgu Marzuki berada di hadapan pentas untuk memulakan acara. Ibu bapa yang hadir, duduk di tempat yang disediakan. 8.30 pagi Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Anuar Saleh. Selepas bacaan doa, Guru Besar menyampaikan ucapan kepada ibu bapa yang hadir. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Yang Berhormat Adun Kemasek. 9.00 pagi Majlis diteruskan dengan persembahan daripada murid tahun lima dan tahun enam. Semua hadirin terpegun apabila melihat persembahan yang mengagumkan. Selepas persembahan, acara penyampaian hadiah dimulakan. Kategori hadiah pertama ialah hadiah CGPA terbaik dan Graduasi Tahun 6. Hadiah disampaikan oleh Guru Besar SK Kerteh. 10.00 pagi Seterusnya, acara penyampaian hadiah bagi sijil tamat sekolah dan markah tertinggi dalam mata pelajaran oleh Yang Dipertua PIBG sekolah. Anugerah tokoh pelajar lelaki dan perempuan telah disempurnakan oleh YB Adun Kemasek. Tokoh pelajar lelaki disandang oleh Amirullah Hakimi manakala tokoh perempuan pula disandang oleh Nadiatul Husna. 12.30 tengah hari Selesai sahaja acara penyampaian hadiah, majlis diteruskan dengan acara cabutan bertuah. Ibu bapa yang menerima hadiah kelihatan sangat gembira. Sebelum pulang, semua ibu bapa dan pelajar dijemput menikmati jamuan ringan.
Karangan Catatan Beberapa Hari Perkhemahan Unit Beruniform Jumaat, 10 Jun 2019 Aku tiba di sekolah untuk mengikuti satu perkhemahan pengakap yang diadakan di Bukit Ayer. Setelah mendengar taklimat daripada Cikgu Kamal Ahmad, kamipun bertolak. Ahli pengakap yang terlibat seramai 30 orang dan disertai oleh 5 orang guru. Setelah tiba, kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Kami diarah membersihkan kawasan. Setelah itu, kami mendirikan khemah. Aku dan beberapa orang rakan diarahkan mencari kayu api untuk digunakan semasa memasak dan untuk dijadikan unggun api. Pada waktu malam, kami hanya berehat sahaja. Sabtu, 11 Jun 2019 Selepas solat subuh, kami bersarapan. Selepas itu, kami mengadakan aktiviti senaman. Kemudian aktiviti berkawad pula diadakan. Banyak yang aku pelajari semasa aktiviti ini. Pada waktu petang, kami menjalankan aktiviti meredah hutan. Melalui aktiviti ini, kami dapat mengetahui tentang flora dan fauna yang terdapat di hutan ini. Kami juga bermandi-manda di air terjun yang berdekatan. Pada waktu malam, telah dijalankan aktiviti persembahan. Kumpulan aku mengadakan persembahan dikir barat. Aku sungguh seronok ketika membuat persembahan. Ahad, 12 Jun 2019 Pada pagi ini telah dijalankan aktiviti pertolongan cemas dan ikatan. Selepas makan tengah hari, kami bersiap-siap untuk pulang. Kami meruntuhkan khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan. Pada pukul 2.00 petang, kami bertolak pulang. Aku berasa gembira dapat mengikuti perkhemahan ini kerana banyak pengetahuan dan pengalaman yang aku peroleh.
Karangan Syarahan Kamu menyertai sebuah pertandingan syarahan di sekolah. Syarahan yang kamu sampaikan bertajuk “Kepentingan Disiplin dan Kaitannya dengan Kecemerlangan Murid”. Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang adil lagi saksama, penjaga masa, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin yang dimuliakan. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah “Kepentingan Disiplin dan Kaitannya dengan Kecemerlangan Murid”. Sesungguhnya, kecemerlangan seseorang murid amat berkait rapat dengan disiplin kendirinya. Rakan-rakan yang dihormati, Cuba kita lihat rakan-rakan kita yang cemerlang dan ukur pula disiplin mereka. Jawapan yang pasti kita peroleh ialah murid yang cemerlang mempunyai disiplin diri yang tinggi. Mereka bijak menguruskan masa, rajin mengulangkaji pelajaran, dan sentiasa mematuhi peraturan. Jika kita membandingkan murid yang cemerlang dengan murid yang sering ponteng sekolah atau murid yang sentiasa melanggar peraturan sekolah, sudah tentu pencapaian akademik mereka sungguh berbeza. Murid yang bermasalah tidak berminat untuk mengikuti pelajaran dan sering mengganggu rakan dan guru. Nilai disiplin mereka berada pada tahap sifar. Begitu juga dengan murid yang aktif dalam kegiatan kokurikulum jika mereka bijak membahagikan masa sudah tentu mereka juga boleh berjaya. Hal ini kerana disiplin diri yang tinggi dapat menjamin kejayaan. Perbezaan latar belakang tidak menjadi ukuran, sama ada murid itu datangnya daripada golongan kaya atau miskin. Jika mereka mempunyai disiplin yang tinggi, mereka pasti akan berjaya. Murid yang berdisiplin amat disenangi guru-guru dan rakan-rakan. Mereka bersifat amanah dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. Warga dewan yang budiman, Sesungguhnya, nilai disiplin dan kecemerlangan amat berkaitan dalam membentuk insan murid. Gilaplah nama kita sebagai murid yang cemerlang dan berdisiplin kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sekian, terima kasih.
Karangan Ucapan Selaku ketua murid, anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan dan penghargaan murid-murid tahun enam di sekolah kamu. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guruguru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakanrakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Hadirin sekalian, Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adikadik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini. Kami amat menghargai jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara. Hadirin sekalian, Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Akhir kata, saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami. Sebelum saya mengundur diri, terimalah serangkap pantun daripada saya. Ramai orang menanam padi, Padi ditanam hingga ke seberang, Banyak budi perkara budi, Budimu guru dikenang orang. Sekian, terima kasih.
Karangan Dialog Kamu akan menyertai perkhemahan kelab yang kamu sertai pada minggu hadapan. Kamu berbual dengan rakan untuk bertanyakan pengalamannya berkhemah pada minggu lepas. Anuar : Apa khabar, Ikram. Ikram : Khabar baik, Anuar. Anuar : Bagaimana dengan perkhemahan pengakap pada minggu lepas, seronok? Ikram : Oh, memang menyeronokkan. Banyak pengalaman yang telah saya perolehi ketika menyertai perkhemahan tersebut. Anuar : Pada bulan hadapan, saya akan menyertai kelab kembara yang akan mengadakan perkhemahan di Tasik Kenyir. Apakah persiapan yang mesti saya lakukan? Ikram : Sebelum pergi berkhemah, kita perlu memastikan segala kelengkapan perkhemahan seperti khemah dan tali adalah mencukupi. Anuar : Selain khemah, apakah lagi kelengkapan yang perlu kita sediakan? Ikram : Kita perlu juga menyediakan pelbagai keperluan diri seperti tuala, ubat gigi, lampu suluh dan makanan. Selain itu, bagi setiap kumpulan, barang-barang seperti parang, periuk, mancis api serta bekalan makanan untuk kumpulan perlu disediakan. Anuar : Apakah perkara-perkara lain yang perlu saya ketahui untuk pergi berkhemah? Ikram : Keselamatan adalah perkara yang sangat penting. Ketika kita mengikuti perkhemahan, kita perlulah sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh guru. Anuar : Terima kasih, Ikram. Semoga maklumat yang telah kamu berikan dapat dijadikan panduan kepada saya dan rakan-rakan kita yang akan menyertai aktiviti perkhemahan pada bulan hadapan . Ikram : Sama-sama. Saya ucapkan, selamat berkhemah.
Karangan Wawancara Kamu mewawancara salah seorang pelajar cemerlang UPSR di sekolah anda untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Najwa : Selamat datang dan terima kasih saudari Alisa sudi untuk diwawancara. Tahniah atas kejayaan saudari memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini. Alisa : Pertama sekali terima kasih kepada saudari kerana sudi mewawancara saya. Najwa : Terlebih dahulu, boleh saudari kongsikan rahsia kejayaan saudari? Alisa : Sebenarnya tiada rahsia yang penting melainkan usaha yang gigih dalam mencapai cita-cita yang mendorong saya berjaya dalam peperiksaan kali ini. Saya menanamkan sifat tidak putus asa dalam mengejar ilmu pengetahuan. Najwa : Selain itu, mungkin ada cara atau teknik yang boleh saudari kongsi bersama supaya menjadi panduan kepada pelajar lain tentang rahsia kejayaan saudari ini? Alisa : Baiklah. Kita perlu menetapkan niat belajar dan sentiasa perbaharui niat kita supaya kita tidak lupa tujuan sebenar. Keduanya, kita harus ingat bahawa belajar itu juga merupakan ibadah. Ketiga, susun strategi untuk kita kuasai sesuatu mata pelajaran. Kita juga haruslah menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru mengajar di hadapan. Sekiranya ada kemusykilan, jangan malu bertanya. Najwa : Saya setuju dengan kata-kata saudari tersebut. Niat merupakan perkara utama dalam melakukan sesuatu perkara. Adakah saudari seorang yang aktif dalam bidang sukan? Alisa : Saya juga seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum. Saya mewakili sekolah dalam pertandingan bola jaring. Bagi saya, bidang kurikulum perlu seimbang dengan bidang kokurikulum. Najwa : Akhir sekali apakah nasihat saudari kepada rakan-rakan lain di luar sana? Alisa : Nasihat saya kepada rakan-rakan, jangan mudah menyerah menutut ilmu kerana dengan ilmu pengetahuan sahaja mampu mengubah kehidupan kita. Najwa: Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada saudari. Kerana sudi berkongsi rahsia kejayaan dengan kami. Alisa : sama-sama
Karangan Laporan Laporan Sukan Tahunan Kali Ke-45 Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Taman Saujana, Taiping telah diadakan pada hari Sabtu, 2 Mac 2019, bertempat di padang sekolah. Majlis ini telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi. Perbarisan lintas hormat dan ucapan oleh Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Haji Nor Azizi bin Haji Mohd. Isa, mengisi agenda perasmian temasya sukan. Selepas upacara pembukaan, sedas tembakan dilepaskan ke udara sebagai tanda terasminya Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-45 ini. Acara sukan yang dijalankan ialah acara balapan, sukaneka, acara pegawai sukan, acara PIBG dan acara alumni sekolah. Acara klimaks ialah acara tarik tali akhir yang dijalankan sebelum upacara penutupan. Keadaan iklim yang baik dan kehadiran sebilangan besar ibu bapa yang memberikan sokongan moral telah membantu melicinkan kelangsungan temasya sukan ini. Persembahan Seni Silat Gayung menghiasi temasya. Kelincahan dan ketangkasan pesilat yang mempamerkan aksi tempur tanpa senjata mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada audien. Johan rumah sukan ialah Rumah Temenggung. Rumah Bendahara pula menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat ialah Rumah Laksamana dan Rumah Syahbandar. Gelaran olahragawan dan olahragawati pula diraih oleh Isyraqhakim bin Hussain dan Norhidayah binti Anoor, masing-masing dari Rumah Temenggung. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai Daerah. Temasya sukan tahunan menutup tirainya pada pukul 12.30 tengah hari. Semua hadirin menunjukkan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi. Semoga penganjuran sukan tahunan akan datang lebih menceriakan para tetamu. Laporan disediakan oleh, 2 JUN 2019. Yaziz (ABDUL YAZIZ BIN MOHAMAD) Setiausaha Sukan 2, Sekolah Kebangsaan Taman Saujana.
Karangan Berita Kejadian Banjir PAHANG, 16 Jun – Kampung Bangau Parit telah dilanda banjir. Tiga hari sebelum kejadian, hujan turun dengan lebatnya di kebanyakan kawasan daerah Temerloh. Menurut seorang penduduk kampung, mereka tidak menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana sebelum ini banjir tidak pernah berlaku di kampung mereka. Oleh sebab itu, ramai penduduk kampung tidak membuat persediaan awal bagi menghadapi situasi tersebut. Setelah air naik ke paras bahaya, pasukan penyelamat terpaksa mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang-barang penting dan berharga untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat. Penduduk kampung telah dipindahkan dengan motobot dan ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Harun sehingga banjir surut. Pasukan penyelamat juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau keselamatan anak-anak. Ibu bapa disarankan agar memastikan bahawa anak-anak mereka tidak mandi atau bermain air bah yang tercemar. Menurut Encik Encik Anuar bin Abu Hassan, Ketua Kampung Bangau Parit, banjir mula berlaku apabila air Sungai Pahang mula melimpah lalu menenggelamkan beberapa tempat di kampung tersebut. Menurut beliau lagi, penduduk kampung mengalami kerugian besar kerana selain daripada rumah mereka ditenggelami air, banyak tanaman dan haiwan ternakan mereka juga mati akibat bencana ini. Namun begitu, beliau bersyukur kerana setakat hari ini, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku. Menurut Ketua kampung itu lagi, pihak kerajaan negeri akan menyalurkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban penduduk kampung yang terlibat dengan bencana ini. Penduduk kampung juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi menghadapi situasi banjir selepas ini kerana cuaca sekarang telah banyak berubah berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi Pada tahun ini kamu akan menduduki Peperiksaan UPSR. Kamu menulis sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan persediaan kamu. Nur Asmida Binti Azlan, Lot 2005, Kampung Panchor Kemumin, 16100 Pengkalan Chepa, Kelantan. 12 Mac 2019. Menemui sahabatku, Amalin Husna yang kini berada di Johor Bharu. Saya di sini dalam keadaan sihat sejahtera. Demikian juga harapan saya terhadap saudari sekeluarga. Saudari, Bagaimana keadaan pelajaran saudari? Saya berharap saudari sentiasa beroleh kejayaan yang cemerlang setiap kali menghadapi ujian. Tambahan pula pada tahun ini kita akan menghadapi peperiksaan yang penting yang akan menentukan hala tuju persekolahan kita pada tahuntahun mendatang. Tentunya saudari sedang sibuk membuat pelbagai persediaan untuk menghadapi Peperiksaan UPSR nanti. Saya di sini juga demikian. Pelbagai persiapan telah dan sedang saya lakukan. Setakat ini, saya sentiasa hadir ke sekolah. Pada saya kehadiran ke sekolah sangat penting kerana setiap hari pasti ada sahaja topik baharu yang akan diajar oleh cikgu. Jika kita ketinggalan, maka sukarlah untuk kita memahami topik atau tajuk tersebut. Pada waktu malam, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi oleh guru serta menjwab soalan-soalan tahun lepas. Dengan cara ini, saya dapat menambahkan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk. Pada hari minggu, saya belajar bersama rakan-rakan yang tinggal berdekatan rumah saya. Kami mengadakan kumpulan perbincangan. Segala topik pembelajaran yang tidak difahami, kami akan bincangkan bersama-sama. Dengan cara ini kami dapat berkongsi idea dan pandangan serta membetulkan kesilapan. Bagaimana pula dengan saudari? Saya berharap agar saudari dapat pula menceritakan kepada saya persiapan yang saudari lakukan. Manalah tahu jika saya dapat mencontohinya demi meningkatkan pencapaian saya. Sekian dahulu pada kali ini. Saya berharap agar kita dapat bersua lagi pada warkah yang akan datang. Yang benar, Asmida
Karangan Surat Kiriman Rasmi Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan menganjurkan pertandingan syarahan antara kelas. Kamu ditugaskan menulis surat kepada guru besar untuk meminta kebenaran menggunakan dewan dan peralatan. Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, 16100 Pengkalan Chepa, Kelantan. Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, 16100 Pengkalan Chepa, Kelantan. 29 MAC 2019. Tuan, Memohon Kebenaran Menggunakan Dewan dan Peralatan Merujuk perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa akan menganjurkan satu pertandingan syarahan antara kelas. Oleh yang demikian, pihak persatuan ingin memohon kebenaran menggunakan dewan sekolah dan peralatan yang berkaitan. 2. Berikut adalah butiran pertandingan tersebut: Tarikh : 5 April 2019 Masa : 8.00 pagi – 10.30 pagi Bilangan Murid : 60 orang Bilangan guru : 4 orang 3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid dalam menyampaikan syarahan, di samping mencari peserta yang berkebolehan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat daerah pada bulan Mei akan datang. 4. Kami berjanji akan menggunakan dewan dan peralatan sebaik mungkin. Kami juga akan membersihkan dewan dan mengemas peralatan selepas digunakan. 5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak tuan. Segala pertimbangan dan perhatian pihak tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih. Yang benar Nurhusnina (NURHUSNINA BINTI ZAIDI) Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.