KPS 3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN
FOLIO
KAJIAN PENGURUSAN PEMBELAJARAN
DISEDIAKAN OLEH
NOR SHAKILA BINTI JUMHAT D20201093348
SEMESTER 2 SESI 2020/2021
KUMPULAN O
NAMA PENSYARAH
DR. MOHD SYAUBARI BIN OTHMAN
1.0 PENGENALAN
Pengurusan pembelajaran merupakan satu aspek penting untuk memastikan
keberhasilan dan kualiti pengajaran yang memenuhi standard pencapaian
akademik yang ditetapkan. Pengurusan pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai
proses merancang pengajaran dan pembelajaran agar mencapai matlamat,
menentukan garis panduan keoada guru, memberi ketetapan berkenaan mata
pelajaran yang diajar serta proses pelaksanaan dan pemantauan bagi memastikan
kejayaan sesuatu rancangan pembelajaran. Pengurusan pembelajaran ini perlu
dirancang dengan baik untuk memastikan pengetahuan guru adalah mencukupi
dan berada pada tahap yang membolehkan mereka membimbing pelajar dengan
cara dan pendekatan terbaik. Melalui pengurusan pembelajaran yang berkesan,
produktiviti kerja guru turut menjadi lebih berkualiti. Dalam dunia pengajaran dan
pembelajaran, seorang guru perlulah beradaptasi dengan perubahan pendidikan
yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan perubahan global. Justeru,
kajian dan semakan dari semasa ke semasa perlu dijalankan untuk memastikan
pengajaran dan pembelajaran yang terlaksana adalah seiring dengan
perkembangan terkini dan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam masyarakat
dan komuniti sebenar kelak.
2.0 ASPEK PENTING DALAM PENGURUSAN PEMBELAJARAN
2.1 STRATEGI PENGURUSAN PEMBELAJARAN
Bagi memastikan pengurusan pembelajaran yang berkesan, guru perlulah bijak
membuat pertimbangan terhadap strategi yang sesuai digunakan dalam bilik
darjah untuk memastikan tahap kefahaman pelajar adalah pada tahap terbaik dan
kandungan pembelajaran dapat disampaikan dengan sepenuhnya kepada pelajar.
Strategi pembelajaran yang biasanya digunakan oleh guru tebahagi kepada
kaedah berpusatkan guru, berpusatkan pelajar dan berpusatkan bahan. Dalam
pelaksanaan pengajaran berpusatkan guru, kaedah ini dikenali sebagai kaedah
tradisional yang berfokus kepada peranan guru sebagai watak utama dalam bilik
darjah. Guru duduk di hadapan kelas dan menjadi individu yang mengawal situasi
dalam kelas. Hanya guru yang bercakap manakala pelajar hanya berperanan
mendengar dan menerima input yang diberikan oleh guru menyebabkan
komunikasi antara guru dan pelajar adalah terhad. Kaedah ini menonjolkan
peranan guru dalam memberikan bahan pengajaran, memberikan bimbingan
kepada pelajar dan memantau perkembangan pelajar itu sendiri. Kaedah
berpusatkan guru ini sesuai digunakan ketika ingin menyampaikan fakta khusus
seperti fakta sains kerana maklumat sehala yang diberikan dapat mengelakkan
kekeliruan dalam penyampaian maklumat.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan kaedah berpusatkan pelajar
dalam merancang pembelajaran. Dalam pendekatan ini, peranan guru untuk
mengajar sebahagiannya diambil alih oleh pelajar agar mereka dapat berinisiatif
untuk mencari bahan dan berkongsi dengan rakan-rakan lain semasa berada dalam
bilik darjah. Penglibatan aktif pelajar memberikan pengalaman dan keseronokan
untuk mereka belajar dan menambah pengetahuan dengan peranan guru sebagai
fasilitator yang membimbing dan merangka perjalanan pembelajaran agar lebih
tersusun. Mengikut pendekatan ini, pengajaran dilakukan secara pecahan
kumpulan menjadi bilangan yang lebih kecil dan pelajar bebas bergerak untuk
melaksanakan tugasan. Dengan demikian, pendekatan ini juga dapat membina
pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar dan berkesan untuk
perkembangan kognitif pelajar.
Selain kaedah berpusatkan guru dan pelajar, guru juga boleh menggunakan
bahan bantu mengajar untuk melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Bahan yang digunakan boleh dibahagikan kepada bahan elektronik dan bahan
bukan elektronik dan penggunaannya disesuaikan dengan kandungan mata
pelajaran serta kesediaan bahan tersebut. Pada masa kini, bahan elektronik seperti
komputer, video dan penggunaan slaid menjadi pilihan untuk digunakan oleh
guru-guru kerana kemudahan canggih dan teknologi moden menyediakan
pelbagai platform yang memudahkan pengajaran. Namun, sesetengah guru juga
sering berinovasi dengan bahan yang berada di persekitaran untuk mewujudkan
suasana pembelajaran yang menarik seperti penggunaan bahan di sekitar sekolah
untuk aktiviti. Pendekatan pelbagai bahan yang digunakan dapat meningkatkan
tahap penyampaian maklumat dan memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai
lantas dapat meningkatkan kualiti penyampaian guru.
Dengan demikian, jelaslah bahawa pengurusan pembelajaran dan
pengajaran meliputi pelbagai kaedah dan strategi pembelajaran dengan pelbagai
orientasi berbeza. Guru perlulah bijak menentukan kaedah yang sesuai dengan
objektif pembelajaran dan tahap pelajar masing-masing melalui perancangan
pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan berkesan untuk membantu
pelajar.
2.2 PRINSIP PENGAJARAN GURU
Sebagai panduan dalam mengurus pembelajaran pelajar, guru perlu mematuhi
prinsip pengajaran yang ditetapkan untuk proses yang lebih terancang dan
sistematik. Guru perlu merancang pengajaran mengikut tahap dan fasa tertentu
mengikut turutan bermula daripada set induksi, penyampaian dan diakhiri dengan
penutup. Sebagai permulaan, guru perlu memilih set induksi yang bersesuaian
bagi memperkenalkan topik pembelajaran untuk menarik minat pelajar seperti
memulakan sesi dengan permainan atau tayangan video untuk beberapa minit
pertama. Kemudian, guru meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan
topik utama berdasarkan perancangan masa yang sesuai dan diselaraskan dengan
bahan serta tahap pengetahuan yang ingin disampaikan. Di akhir pembelajaran,
guru merumuskan semula isi-isi yang telah dipelajari dan memberi ruang kepada
pelajar untuk membuat penilaian.
Dalam prinsip pengajaran ini juga, guru perlu menitikberatkan beberapa
faktor penting sebagai kayu ukur pengajaran dan perancangan yang baik
antaranya menggunakan pelbagai teknik berbeza. Kepelbagaian teknik dalam
mengurus pembelajaran adalah penting untuk memastikan pelajar sentiasa
menumpukan perhatian dan guru perlulah kreatif untuk sentiasa mengkaji dan
mencari bahan-bahan dan teknik baru untuk digunakan. Guru juga perlu
menitikberatkan perbezaan individu antara setiap pelajar dan tahu cara untuk
mengendalikan setiap kelompok pelajar tersebut. Guru perlu peka dan memantau
keadaan pelajar semasa sesi PdP berlangsung untuk memastikan mereka sentiasa
fokus dan langkah ini penting untuk penilaian kendiri guru dalam menentukan
keberkesanan kaedah pengajaran yang digunakan. Pelajar juga pelrlu diberikan
latihan untuk mengaplikasikan kandungan pembelajaran. Dengan demikian, tahap
pencapaian pelajar juga boleh diukur untuk mengetahui sejauh mana input yang
diterima daripada guru dapat diterjemahkan kepada output yang tepat.
Di samping itu, sebelum memulakan sesi PdP bagi sesuatu topik yang
baharu, guru perlu membuat perkaitan dengan topik sebelumnya untuk
memberikan gambaran yang jelas kepada pelajar. Guru perlu membuat perkaitan
antara PdP dengan pengalaman sedia pelajar dan memberikan soalan-soalan yang
berkaitan bagi membolehkan pelajar mewujudkan jalinan atau hubungan antara
topik yang ingin diajarkan dengan pengetahuan-pengetahuan yang mereka miliki.
Pengajaran juga perlulah berfokus dengan matlamat yang jelas kerana proses ini
memudahkan pelajar untuk memahami pelajaran peringkat demi peringkat, dari
senang kepada yang susah, dekat kepada jauh dan membolehkan pelajar
mengulang semula pembelajaran dengan sendiri tanpa keberadaan guru. Guru
juga perlulah sentiasa bermotivasi dan memberikan dorongan untuk meningkatkan
keyakinan dan semangat pelajar untuk terus berusaha menimba ilmu. Dengan
demikian, hubungan baik antara guru dengan pelajar dapat dibina menyebabkan
pengurusan pembelajaran menjadi lebih mudah dan dapat diorganisasikan dengan
baik.
2.3 PENGURUSAN PEMBELAJARAN YANG BERKESAN
Pengurusan pembelajaran yang berkesan perlulah mengambil kira beberapa faktor
yang melibatkan kesediaan pelajar, pengurusan masa dan juga persekitaran
pembelajaran yang kondusif. Guru perlulah mengambil kira faktor keperluan
fisiologi pelajar dari segi latar belakang keluarga, tahap pembelajaran dan juga
tingkah laku mereka secara umum kerana faktor-faktor tersebut mempengaruhi
kesediaan pelajar untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru.
Faktor pertama adalah berkenaan tahap pembelajaran. Guru perlu
mengenal pasti tahap pemahaman dan gaya pembelajaran setiap pelajar kerana
tidak semua cara atau pendekatan bersesuaian dengan penerimaan pelajar yang
berbeza tahap. Sebagai contoh, pelajar yang lemah dalam sesuatu subjek akan
mengambil masa lebih lama untuk memahami topik tersebut. Justeru, guru
perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap golongan pelajar lemah
dengan memberikan peneguhan serta pengulangan kandungan pembelajaran
dengan bimbingan berfokus kerana pelajar sering kali malu untuk bertanya di
hadapan rakan-rakan yang lain. Selain itu, guru juga perlu lebih prihatin terhadap
masalah pelajar dengan memerhatikan tingkah laku dan perubahan emosi mereka.
Pelajar yang sering termenung menghadapi masalah untuk kekal fokus terhadap
pembelajaran, justeru guru perlu memainkan peranan bagi membimbing pelajar
mengatasi masalah yang dihadapi agar pelajar dapat membahagikan masa dan
mengatasi masalah dengan baik.
Selain mengambil kira keperluan pelajar, pembelajaran perlulah diurus
dengan baik dari segi masa. Jadual waktu pembelajaran yang dirangka perlulah
seimbang dan dinilai dengan baik bagi membolehkan guru dan pelajar membuat
persediaan sepenuhnya. Masa pembelajaran bagi sesuatu subjek tidak sewajaranya
dilaksanakan untuk tempoh yang terlalu lama kerana hal ini menyebabkan fokus
terganggu dan pelajar mengahadapi masalah untuk memahami terlalu banyak
input baharu dalam satu-satu masa. Justeru, pengurusan jadual waktu perlulah
diselang-selikan antara subjek yang berat dengan subjek yang lebih santai untuk
memberi masa bertenang kepada pelajar. Guru juga perlu mempunyai rancangan
pengajaran yang memenuhi peruntukan masa yang ditetapkan agar tidak wujud
pembaziran masa seperti menyediakan latihan dan aktiviti tambahan untuk
dilakukan oleh pelajar sementara menunggu pertukaran waktu antara guru.
Dengan demikian, pengurusan masa pembelajaran yang lebih berkesan dapat
diwujudkan.
Faktor lain yang mempengaruhi keberkesanan pembelajaran ialah suasana
pembelajaran dan ikllim bilik darjah yang bersesuaian. Hal ini merangkumi aspek
pencahayaan, susunan perabot dan kelengkapan infrastruktur serta pengaliran
udara yang baik. Pencahayaan dan pengudaraan yang baik memberi ruang kepada
pelajar untuk berasa selesa dan nyaman dengan persekitaran. Suasana bilik darjah
yang tertutup dan gelap boleh menyebabkan rasa sesak dan ketidakselesaan untuk
pelajar menjalani PdP dengan baik. Bilik darjah juga perlulah berada dalam
keadaan bersih dan ceria untuk merangsang pemikiran pelajar seperti meletakkan
nota pembelajaran yang berwarna-warni pada dinding kelas. Kelas yang lengkap
dengan pelbagai kemudahan seperti kerusi dan meja yang cukup, papan tulis yang
bersih dan kemudahan peralatan elektronik seperti projector juga mencerminkan
pengurusan pembelajaran yang berkesan dan menyumbang ke arah kemajuan
pelajar serta guru.
3.0 PENUTUP
Secara keseluruhannya, pengurusan pembelajaran perlulah dikaji dan
dilaksanakan secara sistematik dan berkesan untuk memastikan keberhasilan
pengajaran yang optimum dan mampu menyumbang ke arah kejayaan. Pelbagai
faktor dan aspek yang perlu diambil kira dalam merancang proses pengajaran dan
pembelajaran dengan pertimbangan dari segi kebajikan pelajar, penyesuaian
dengan tahap pembelajaran dan juga faktor kemudahan persekitaran. Guru
perlulah sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan dan mempunyai
perancangan yang sistematik untuk menjamin kelancaran pembelajaran.
Pengurusan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan dapat meningkatkan
prestasi akademik dan pencapaian pelajar sekaligus meningkatkan kemahiran guru
dalam mengurus pelajar. Oleh hal yang demikian, pihak pengurusan sekolah
sewajarnya memberikan sokongan penuh terhadap guru dengan memberi bantuan
dari segi pengurusan dan pengurangan bebanan tugasan guru agar pengurusan
pembelajaran yang baik dan cemerlang dapat diwujudkan di sekolah masing-
masing.
RUJUKAN
Raedah Md Amin. (2013). Pengurusan pengajaran dan pembelajaran Sekolah
Rendah Kebangsaan di Zon Bandar daerah Kota Tinggi (Laporan Ijazah
Sarjana). Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/39043/1/Rae
dahMdAminMFP2013.pdf.
Bab 3 kajian pengurusan dan pembelajaran. (2018). Diperoleh daripada
https://www.slideshare.net/Asyikin4996/bab-3-kajian-pengurusan-dan-pe
mbelajaran-pelajar.
Syrvison Goh. (2018). Strategi pengajaran berpusatkan guru, berpusatkan murid
dan berpusatkan bahan. Diperoleh daripada
https://www.slideshare.net/Syrvison Cjoe/edup3033-murid-dan-pembelaja
ran-strategi-pengajaran-berpusatan-guru-berpusatkan-murid-dan-berpusatk
an-bahan.
Kajian pengurusan dan pembelajaran pelajar [rajah peta minda]. Diperoleh
daripada https://coggle.it/diagram/XNqJuVlVZYOhRzSf/t/kajian-pe
ngurusan-dan-pembelajaran-pelajar.