The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-68091976, 2020-09-03 10:44:22

Koleksi Abstrak Konvensyen Guru Cemerlang Kebangsaan 2020

Keywords: abstrak ,abstract,kgck

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

KAEDAH SESIKU KULAT (KURUNG BULAT) MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MENGANALISIS DATA ALIH BENTUK KOMUNIKASI

PENGAJIAN AM DALAM KALANGAN PELAJAR
KOLEJ TINGKATAN ENAM DATUK PENGIRAN GALPAM

Amit bin Awang
Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam

[email protected]

Abstrak

Sesiku Kulat merupakan satu bentuk inovasi bagi menyelesaikan masalah (dyscalculia)
kegagalan Matematik dalam kalangan pelajar Kemanusiaan 9 Semester 3 (K9S3) Kolej
Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam (KTEDPG) Sandakan menjawab soalan alih bentuk
komunikasi. Pendekatan ini bertujuan menangani isu kegagalan pelajar menyelesaikan masalah
statistik dalam ABK Semester 3 seperti melengkapkan data peratus, data mentah dan data
perubahan. Seramai 27 orang pelajar telah dijadikan responden kajian melalui ujian pra dan
pos. Kajian ini telah dilaksanakan dalam tempoh masa 4 bulan. Semua pelajar diuji beberapa
siri ujian ABK Semester 3 dengan mengenal pasti idea sebelum dan selepas intervensi yang
menggunakan teknik Sesiku Kulat. Hasil daripada ujian yang dijalankan menunjukkan
perubahan positif dan pencapaian yang memberangsangkan. Seusai intervensi dilaksanakan,
didapati semua pelajar mampu menjawab soalan statistik ABK Semester 3 dengan baik. Justeru,
pengkaji turut menyebar luas aplikasi teknik Sesiku Kulat kepada beberapa kelas kemanusiaan
di Kolej Tingkatan Enam Pengiran Galpam dan masih dalam proses uji lari.

Kata Kunci: Dyscalculia, Mengenal Pasti Idea, Teknik Sesiku Kulat

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

PENYELESAIAN MASALAH MENGUASAI RUJUKAN GRID ENAM ANGKA
BAGI MATA PELAJARAN GEOGRAFI TINGKATAN 4
DENGAN MENGGUNAKAN APLIKASI IZIIGRID
DALAM PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN

Norlyziah b Ali Hussein
SMK Sanzac

[email protected]

Abstrak

IziiGrid merupakan inovasi yang membantu murid Tingkatan Empat memudahkan murid dalam
memahami Kemahiran Geografi bagi sub tajuk Rujukan Grid 6 Angka dalam tajuk Kedudukan.
Tajuk Kedudukan merupakan satu topik penting yang wajib dipelajari oleh semua murid semasa
Tingkatan Empat. Topik ini agak sukar dikuasai oleh murid terutama murid kelas mencabar
kerana ianya melibatkan proses mencari kedudukan dengan lebih tepat dalam peta topografi.
IziiGrid diperkenalkan untuk membantu meningkatkan penyertaan dalam mencari kedudukan
melalui Rujukan Grid 6 angka dengan menggunakan bahan pembelajaran maujud. Di akhir sesi
pembelajaran murid seterusnya dapat menyatakan kedudukan sesuatu tempat berdasarkan
rujukan grid 6 angka dan menguasai pembelajaran Kedudukan. IziiGrid bertindak sebagai
bahan pembelajaran yang memudahkan murid mencari rujukan grid 6 angka bagi sesuatu objek
di atas peta topografi. IziiGrid merupakan gabungan dua pembaris. Di dalam pembaris tersebut
telah disediakan petak-petak mengikut ukuran petak yang ada di dalam soalan mahupun contoh
yang diberi dalam buku teks Tingkatan Empat. Berdasarkan dapatan kajian, terdapat
peningkatan ketara terhadap pencapaian murid iaitu berjaya mendapat markah 100 peratus
semasa ujian pasca. IziiGrid mudah digunakan oleh murid dan dalam masa yang sama ia dapat
menarik minat murid kerana ia dihasilkan dalam bentuk yang menarik. IziiGrid juga tidak
memerlukan ruang penyimpanan besar, mudah dibawa dan diaplikasikan di mana sahaja sama
ada di dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Di samping itu, ia juga tidak memerlukan kos
besar untuk disediakan malah boleh menggunakan plastik lutsinar keras sahaja.

Kata Kunci: IziiGrid, Rujukan Grid, Geografi, Matematik

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

MENINGKATKAN PENGUASAAN ASAS BIOLOGI
SFA (STRUCTURE, FUNCTION AND ADAPTATION)
MURID TINGKATAN EMPAT DENGAN MENGGUNAKAN

KAEDAH “10 MINUTES LU-LA-FUNG”

Norshamsiah binti Samsudin
Sekolah Menengah Sains Kuching

[email protected]

Abstrak

Kajian ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan penguasaan kemahiran asas murid
dalam Structure, Function and Adaptation (SFA) bagi mata pelajaran Biologi. Penguasaan SFA
adalah penting untuk memastikan murid berupaya untuk menjawab Biologi Kertas 2 dengan
baik, dan sekaligus meningkatkan markah Biologi secara keseluruhan. Penguasaan SFA juga
perlu dikuasai bagi memudahkan murid menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT). Seramai 29 murid Tingkatan 4, SM Sains Kuching telah terlibat dalam kajian ini.
Kaedah yang digunakan adalah dengan “10 Minutes Lu-La-Fung”. Hanya 10 minit sebelum sesi
pengajaran dan pembelajaran bermula digunakan untuk melaksanakan kaedah ini di dalam
kelas. Kaedah “10 Minutes Lu-La-Fung” melibatkan teknik (i) melukis (ii) melabel dan (iii)
menyatakan fungsi bagi struktur yang memerlukan kemahiran SFA. Ia melibatkan tiga peringkat,
namun murid diberi kebebasan untuk menyampaikan maklumat tersebut mengikut keselesaan
mereka belajar, mengikut kaedah pembelajaran pembezaan. Dari tinjauan awal, menunjukkan
ramai murid kurang menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesi pengajaran dan
pembelajaran yang melibatkan kemahiran SFA. Analisis item juga menunjukkan soalan yang
memerlukan penguasaan kemahiran SFA tidak dapat dijawab dengan baik oleh kumpulan murid
tersebut. Sehubungan dengan itu, guru telah mengambil tindakan dengan melaksanakan kaedah
“10 Minutes Lu-La-Fung” untuk membantu murid meningkatkan penguasaan asas SFA Biologi
mereka. Hasil dari analisis, keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan markah bagi soalan
yang memerlukan kemahiran SFA. Di samping itu, pendekatan ini membuatkan murid mula suka
kepada mata pelajaran Biologi. Adalah dicadangkan supaya jangka masa pelaksanaan kaedah
ini lebih panjang supaya lebih banyak topik dapat diuji. Selain daripada itu, kaedah ini boleh
juga disebar luas kepada murid lain yang mengambil mata pelajaran Biologi atau Sains kerana
kedua-dua mata pelajaran ini memerlukan kemahiran SFA.

Kata Kunci: Kemahiran Asas SFA, Lukis, Label, Fungsi, 10 Minit, KBAT

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

STONES AND STICKS: MENINGKATKAN PENGUASAAN
OPERASI TAMBAH DAN TOLAK INTEGER SERTA ALGEBRA

DALAM KALANGAN MURID TINGKATAN 4B

Maslihah Binti Hashim
SMK Bukit Kapar

[email protected]

Abstrak

Kajian tindakan ini dijalankan untuk menentukan keberkesanan teknik “Stones and Sticks”
dalam meningkatkan kemahiran tambah dan tolak integer serta algebra dalam kalangan murid
Tingkatan 4B. Kajian ini melibatkan 20 orang murid. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui
ujian pra dan temu bual lima orang murid. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa murid tidak
dapat menjawab dengan betul soalan yang melibatkan penambahan dan penolakan integer.
Instrumen keputusan kajian terdiri daripada ujian pra dan ujian pasca serta soal selidik.
Perancangan kajian tindakan ini difokuskan kepada teknik untuk meningkatkan kemahiran
menambah dan menolak nombor integer serta algebra yang selalu digunakan semasa murid
menyelesaikan masalah Matematik melalui teknik “Stones and Sticks”. Teknik “Stones and
Sticks” menggunakan kayu aiskrim dan bebola benang yang dilekatkan magnet sebagai
simulasi nombor positif dan negatif. Teknik “Stones and Sticks” dapat menggalakkan
pembelajaran aktif yang memerlukan “minds-on” dan “hands-on” yang berpusatkan murid.
Kajian ini telah diselesaikan dalam tempoh satu minggu. Adalah terbukti bahawa teknik “Stones
and Sticks” berkesan kerana min markah murid telah meningkat daripada 5.2 kepada 17.6 iaitu
meningkat sebanyak 12.4. Keputusan ujian pasca juga telah menunjukkan bahawa 100% murid
menunjukkan peningkatan dan didapati taburan markah bagi murid 4B telah tertumpu antara 15
hingga 20 markah berbanding 1 hingga 10 sebelum teknik “Stones and Sticks” diperkenalkan.
Soal selidik juga menunjukkan murid lebih mudah dan seronok dalam menjawab soalan tentang
tambah dan tolak integer serta algebra menggunakan teknik “Stones and Sticks”.

Kata Kunci: Integer, Algebra, Stones and Sticks

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

MODUL PKAB-STEM:
PEMBANGUNAN DAN KESAHAN

Norlida binti Mohd Yaacob
SMK (P) Raja Zarina

[email protected]

Abstrak

Tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan sebuah modul pengajaran kreatif mata pelajaran
Kimia bagi tajuk Asid dan Bes. Modul diberi nama “Pengajaran Kreatif Asid Bes Pendidikan
STEM” (PKAB-STEM). Modul dibangunkan berdasarkan pengajaran kreatif dan bercirikan
pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Modul PKAB-STEM boleh
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Kimia di sekolah menengah harian biasa.
Modul ini dibangunkan dalam tiga peringkat berdasarkan Model Reka Bentuk Hannafin dan
Peck iaitu, Fasa 1: Analisis Keperluan, Fasa 2: Mereka Bentuk dan Fasa 3: Pembangunan dan
Pelaksanaan. Penilaian modul secara berterusan dan penambahbaikan dijalankan semasa
ketiga-tiga fasa tersebut dilaksanakan. Pengajaran kreatif adalah berdasarkan Model Proses
Kreatif Terarah untuk mereka bentuk penyampaian isi kandungan melibatkan empat strategi
pengajaran dan pembelajaran iaitu konstruktivisme, inkuiri penemuan, pembelajaran
berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan projek. Kajian reka bentuk pembangunan
modul pengajaran kreatif ini mendapat nilai kesahan modul 0.95 daripada tiga orang pakar.
Nilai kebolehpercayaan modul ini pula adalah 0.714. Kesimpulannya, Modul PKAB-STEM yang
dibina adalah sah dan boleh dipercayai untuk kegunaan guru dan pelajar. Implikasi kajian
adalah diharapkan agar Modul PKAB-STEM dapat membantu guru mempelbagaikan teknik
pengajaran dalam bilik darjah dan mengaplikasikan STEM dalam pengajaran Kimia di
Malaysia.

Kata Kunci: Asid Bes, Pengajaran Kreatif, Modul, STEM

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

MASTERING THE TOPIC OF CARBON COMPOUND THROUGH THE ACTIVITY
OF “COXYLESTER RACE” AMONG THE FORM FIVE SCIENCE STREAM

STUDENTS IN LA SALLE PETALING JAYA SECONDARY SCHOOL, MALAYSIA

Yasmin binti Noorul Amin
SMK La Salle

[email protected]

Abstract

Containing 9 subtopics ranging from 2.1 to 2.9 according to the syllabus, CARBON
COMPOUND would take approximately 9 weeks to complete. Students would become restless
and bored due to the lengthy duration. A fun and engaging activity was initiated and executed to
reduce the teaching duration from 9 weeks to 2 weeks. This Play & Learn strategy caters
towards young minds by dividing them into groups and to execute an explorace-based activity
where students move from one station to another using the clues provided Students are able to
nurture their leadership, cooperative, and communication skills whilst completing the tasks
given at the respective stations. 5 subtopics were chosen to be included in this research with the
objective to allow the students to explore and enjoy the subtopics 2.3 to 2.7. The name of
COXYLester Race was derived from:

1. C – representing Carbon, based on the topic’s name = Carbon Compound, to represent
subtopic = 2.3 (Alkene) and 2.4 (Isomerism)

2. CO – representing subtopic 2.5 = alCOhol
3. XYL - representing subtopic 2.6 = CarboXYLic acid
4. Ester - representing subtopic 2.7 = Ester

Key Words: Explorace, Carbon Compound, Shorten The Duration Of Teaching And Learning,
Play And Learn, Leadership And Cooperative Skills

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGENAL
HUKUM TAJWID KHUSUS MELALUI
KAEDAH KENING JONGKET (KJ)
BAGI PELAJAR TINGKATAN 5 USM

Norislalizan binti Hj Harun
SMK Tengku Mizan Zainal Abidin

[email protected]

Abstrak
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengatasi masalah kesukaran mengingat dan mengenali
hukum tajwid khusus iaitu Mad Wajib Muttasil, Mad Jaiz Munfasil dan Mad Silah Towilah
tertumpu kepada 10 orang pelajar Tingkatan 5 USM yang bermasalah dalam mengenal hukum
tajwid khusus ini. Justeru itu kaedah Kening Jongket diperkenalkan sebagai satu cara untuk
membantu mereka memperolehi 10 markah dalam peperiksaan SPM Kertas 2. Tinjauan awal
telah dilakukan ke atas pelajar-pelajar, kerja rumah dan ujian pra. Hasil kajian tinjauan dan
ujian yang dijalankan menunjukkan 100% pelajar tidak menguasai kemahiran tersebut dan
mereka langsung tidak berminat untuk belajar. Setelah kajian tindakan dilaksanakan, keputusan
ujian pos telah menunjukkan peningkatan 100% prestasi pelajar dalam mengenali hukum tajwid
khusus serta berlaku perubahan tingkah laku di mana mereka berlumba-lumba dan seronok
untuk menjawab soalan kuiz yag dikemukakan berbanding sebelum ini.

Kata Kunci: Kaedah KJ

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

MENILAI KEBERKESANAN STECH-NOVA
SEBAGAI PENDEKATAN PEMBELAJARAN SAINS 4.0

Suhaiza binti Mat Said
SM Sains Sultan Mahmud
[email protected]

Abstrak

Kajian ini dijalankan bertujuan menilai keberkesanan pendekatan STech-Nova (Sains, Teknologi
dan Inovasi) sebagai pendekatan pembelajaran Sains selaras dengan Revolusi Industri 4.0.
Revolusi Industri 4.0 telah membawa banyak perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan
manusia termasuk pendidikan Sains. Perkembangan kurikulum Sains semasa dan masa depan
seharusnya dapat menghuraikan kemampuan pelajar dalam pelbagai dimensi akademik,
kemahiran hidup, dan kemampuan berfikir secara kritis dan kreatif yang merupakan antara
komponen kemahiran berfikir aras tinggi. Selain itu, kemahiran lain yang tidak dapat dilihat
adalah seperti kemahiran interpersonal, berfikiran global, serta literasi media dan maklumat
semasa. Fokus utama kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan STech-Nova sebagai
pendekatan baru bagi pembelajaran Sains 4.0 bagi meningkatkan pengekalan dan prestasi
pembelajaran Sains dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Hasil kajian ini menunjukkan
bahawa pendekatan STech-Nova meningkatkan kemahiran, minat dan motivasi pelajar terhadap
Sains. Sehubungan itu, implikasi kajian ini menjurus kepada penambahbaikan kurikulum
kebangsaan sedia ada agar dapat mengarah dan membentuk pelajar yang lebih berkualiti dalam
menghadapi era revolusi industri yang berkembang pesat. Seterusnya dapat menjana reorientasi
kurikulum merujuk kepada perkembangan pembelajaran berasas teknologi, internet, data dan
pengkomputeran, serta keusahawanan dan perdagangan sebagai kurikulum wajib bagi
menghasilkan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran. Justeru, kompetensi yang perlu
dimiliki oleh guru adalah kecekapan dalam pengajaran, mempunyai kemahiran teknologi,
kemampuan dalam globalisasi dan kepakaran dalam menyusun strategi pengajaran dan
pembelajaran yang berkualiti. Di samping memiliki kompetensi ini, guru juga perlu bersikap
mesra teknologi, sentiasa bekerjasama dengan komuniti dan berdaya kreatif bagi membentuk
guru holistik.

Kata Kunci: Pendidikan Sains, Pembelajaran Sains, Revolusi Industri 4.0, Pendekatan,
Penilaian, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

KONVENSYEN GURU CEMERLANG KEBANGSAAN 2020 KOLEKSI ABSTRAK

CATATAN


Click to View FlipBook Version