The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by saidinba, 2021-12-17 08:00:24

TRAVELOG PUJANGGA

BAKSIS SEORANG GURU

"TRAVELOG 30 RAMADAN"
"Perginya Ramadan Terakhir"

22.5.2020

Proses pencerapan anak bulan telah berakhir. Penyimpan mohor besar diRaja telah
mengisytiharkan 1 Syawal jatuh pada hari Ahad, 24hb Mei 2020. Umat Islam merayakan lebaran
dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19. Bulan Rahmat, keampunan dan pembebasan akan
mengangkat kaki meninggalkan pergi. Bisa melabuh tirai. Tradisi orang soleh, akan menangis kerana
bulan yang penuh berkat tidak diketemui lagi. Apa tidaknya, bulan yang digandakan pahala. Bahkan
dilipatgandakan. Dijanjikan dengan 1000 bulan. Bersamaan 83 tahun.

Banyak hikmah yang diperoleh pada bulan Ramadan ini. Tambah lagi ketika situasai PKP/MCO.
Keluarga semuanya berkumpul. Ayah akan menjadi imam. Anak isteri menjadi makmum. Bayangkan
dalam 30 hari Ramadan, tidak ditinggalkan 1 waktu solat melainkan berjemaah. 30 darab 5 waktu,
sama dengan 150 waktu tanpa ditinggalkan. Pahala setiap kali berjemaah pula 27 kali ganda
pahalanya. Ditambah lipatkali ganda pada bulan Ramadan. Tidak dapat dibayangkan ganjarannya.
Begitu juga dengan al-Quran. Saya sangat yakin waktu berkerja yang semakin fleksibel, ramai yang
menamatkan bacaan al-Quran pada tahun ini. Untuk tamatkan, wajib 1 juz sehari. Jika 1 huruf al-Quran
dibaca akan menyamai 10 kebaikan. Indahnya jika kita menyemai sidikit hidup beragama.

Pada tahun ini kemeriahan Ramadan ada sedikit kelainan. Tapi rata-rata berpendapat banyak
lebih kepada kebaikan. Jika hal kewangan, sangat jimat. Jika berkaitan nya, rasanya sangat selamat.
Awal Ramadan, lazimnya kedapatan mangsa mercun. Ada yang jadi mangsa. Ada yang cedera. Ada
cedera parah. Cuma belum ada yang meninggal. Ibu bapa rasa lebih selamat. Tahun ini kita patut
bersyukur. Kawalan penguatkuasa yang berlapis, menyebabkan kesukaran mercun masuk secara tidak
sah. Tidak ada yang berani melawan arus. Rasa sedikit selamat.

Sistem perniagaan berbetuk bazar Ramadan tidak seperti sebelumnya. Disiplin makan
semakin meningkat. Tahap kesihatan sangat baik. Norma pemakanan telah berubah. Jadi, masing-
masing sedaya upaya masak sendiri. Keluarga makan masakan air tangan keturunan sendiri. Tahap
kebersihan tidak diragui lagi. Lebih jimat perbelanjaan. Mereka yang berniaga lebih mudah
tatacaranya. Tanpa tinggalkan rumahtangga. Sebut sahaja tempahan, akan terhasil perkataan COD.

Sedikit tinjauan pada saat akhir Ramadan. Walau apapun peraturan dikuatkuasakan,
keinginan hawa nafsu tidak dapat dibendung. Rata-rata dikedai dikerumuni manusia. Tanpa rasa penat
pada air muka. Keriangan nampak jelas. Sanggup beratur antara 5 hingga 10 minit. Hal kewangan tidak
perlu difikirkan. Entah dari mana puncanya. Tiada rungutan untuk membeli musim perayaan begini.

2

Walaupun terbaca dan tertonton sekali-sekala kesusahan, kesukaran dan derita nasib sebahagian
insan yang lain.

Jam 5 lebih, masih ada yang beratur di pelbagai kedai. Kedai runcit, restoran dan gerai. Lagi
pelik, pada jam 5.45, di kedai pakaian berjenama dan sukan masih sanggup beratur untuk menunggu
giliran masuk. Mungkin keinginan membeli baju baharu tidak tertahan perasaan. Bukan seorang dua
yang beratur. Jika diukur waktu, hanya satu jam lebih untuk berbuka. Tapi, apakan daya lumrah
kemanusiaan. Pad waktu yang sama terlihat satu keluarga dengan dua anak kecil. Anak kecil masih di
dukungan. Cuba neneliti sebuah kedai. Tapi nasib kurang baik. Kedai ditutup. Mungkin hari Jumaat.
Mungkin kecewa juga perasaannya. Tapi berusaha untuk dapat dan penuhkan keinginan walaupun
ada larangan kesalahan membawa anak kecil ditempat awam. Turut kelihatan, anak-anak muda.
Mungkin masih bersekolah. Panorama yang tidak elok dipandang. Semoleknya waktu begini perlu
berada di rumah. Bersiap untuk berbuka jika tiada urusan penting. Mungkin kebosanan akibat lama
berkurung.

Akhir sekali, sama-sama kita berdoa agar segala kerja buat kita berpahala. Pahala berlipat kali
ganda. Jika ada sedikit pahala, kita kirimkan sama untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Jasanya
tidak terbalas dan tidak terkira. Seumpama peringatan dua ustaz yang dikenali sentiasa mengigatkan
kita "Kerana Kasih Sayang Allah". Kita perlu laburkan harta benda untuk akhirat. Duit kita, bukan untuk
kita jika digunakan tanpa berpahala. Harta benda yang kita sedekah itulah milik kita. Tergiang kata-
katanya. " As salam mu alaikum kak. Apa khabar. Jom kita pindah nak. Lama dah tinggal sini. Ya
Allah...apa nasib anak anak ni. Comel-comel anak ni. Ya Allah...tak pe kak. Saya tanggung sewa dan
bilnya. Maafkan saya kak. Baru hari ni saya tahu. Hari-hari saya ceramah merata. Apa saya nak jawab
depan Allah"...¡¡¡-.”◆.◆-”◆.

Bukan kita perlu jadi sebegini dan sepertinya. Tapi sekadar IBRAH untuk memahaminya...

Salam Ramadan terakhir...
SELAMAT HARI RAYA untuk rakan sahabat seperjuangan...AAMIIN.

SA
MA. CMLS (UUM)

3

TRAVELOG PUJANGGA
"Pujangga Minda"

28.5.2020

Ramadan telah berakhir. Riang ria hari raya pun berlalu. Jiwa yang kuat disambung hingga 6
hari lagi pada bulan Syawal untuk berpuasa sunat. Lebaran kali ini tiada lagi rumah terbuka. Tiada duit
raya. Norma baharu Syawal 1441. PKP berterusan dan berlanjutan menjadi PKPB. Syarat dan SOP perlu
dipatuhi. Akur pada undang-undang sebagai warga pertiwi.

Sebagai warga pendidik, Moleknya minda kita perlu dipujanggakan ketika cuti penggal ini .
Agar minda sentiasa bergerak dan berfikir. Yang ingin dikongsikan pada hari ini ialah isi kandung
sebuah buku yang sangat menarik. "Warung Western Kampung" (WWK). Sekali tengok tajuk, malas
untuk baca. Apabila belek tirai muka dan helaian dalam, sarat dengan suntikan motivasi. Jatuh bangun
seseorang. Bagaimana cabaran dijadikan sumber kekuatan untuk bangkit dsn bina semula. Gunakan
sumber sebagai peluang. Tengok kelemahan bina kekuatan. Jangan buruk sangka dengan ribuan
alasan.

Isi penulisan ini memang sangat sesuai untuk kita yang rungsing berkaitan budaya dan cara
pemikiran lapuk. Kita perlu urus cara pemikiran dengan lebih berkesan. Hasilnya daripada kekuatan
jiwa dan pemikiran kita sendiri.

Mari kita melihat beberapa contoh isi kandung yang dapat merangsang pemikiran baharu.
Naratif dalam norma baharu:-
1.Apabila dapat belajar di menara gading, tidak semestinya mampu membelah awan dan terbang
tinggi ke langit.

2.Murid-murid lazimnya akan bercakap apa yang mereka nampak. Mereka jujur dan benar. Walaupun
yang dikatanya mengusik emosi kita sebagai pendidik.

3. Tuhan hantar mereka untuk menguji kita. Jadi, kita perlu belajar daripada ujian.

4. Kejayaan tidak datang dalam satu malam sahaja tapi datang daripada usaha gigih yang berterusan.

5. Seorang ayah akan mengajar erti berdikari dan seorang ibu mendidik erti cinta.
6.Tuhan sentiasa mendengar doa hambaNYA dan memakhbul dengan cara yang sesuai dengan
keperluan kita. Bukan keinginan kita.

7. Kekalkan diri kita dengan kejujuran dan sentiasa memberi keperluan kepada orang.

4

8. Seharusnya selangkah bijak dan bersantun kita berbanding dengan pelanggan kita.
9. Gunalah istilah lain yang lebih selesa dan mesra.
10.Jangan sekadar bermesej untuk bertanya. Lebarkan pertanyaan dengan ayat persuasif. Moleknya
ada emotika yang menunjukkan diri kita berbudiman.
SA
MA. CMLS (UUM)

5

TRAVELOG SYAWAL
"Aktiviti PKPB"
29.5.2020

Situasi PKPB mungkin setakat 9 Jun? Atau terus bersambung? Bila akan berakhir? Kita doa
yang baik-baik. Moga dipermudahkan daripada kesulitan. Teringat ayat al Quran surah al Baqarah:
216.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagi kamu. Boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak
mengetahui.

Waktu awal pagi pelbagai aktiviti yang boleh merangsang minda. Ada yang beriadah dengan
cara minima. Ada yang bercucuk tanam. Ada yang berkebun. Ada yang melakukan aktiviti keagamaan.
Ada yang ambil kesempatan tidur seketika. Buatlah apa apa sahaja. Yang penting pada akhirnya
menjadi amal ibadah.Bekalan kita untuk dibawa pergi. Entah bila tarikhnya. Ramai saudara mara kita
pergi tidak kembali lagi. Sahabat seperjuangan turut sama pergi. Rakan taulan menunggu masa
mengikut giliran. Siapa dulu siapa kemudian.

Pagi ini, secara ringkas, kita nak kongsi aktiviti yang sangat baik dan ringkas. Kos sederhana
tapi banyak manfaat. Hanya perlu ruang yang sempit. Sangat berbaloi. Ilmunya melalui pembelajaran
kendiri. Rajinnnya bergantung pada diri sendiri. Hasilnya untuk manfaatkan diri dan orang lain juga.
Pahala dapat percuma.

Kita kongsikan aktiviti produk madu kelulut. Boleh dijadikan hobi. Aspek kesihatan sangat
sangat tinggi khasiatnya. Kajian yang dijalankan oleh sesetengah penyelidik membuktikan madu
mempunyai kadar nutrien yang tinggi untuk kesihatan. Penggunaannya juga sebagai anti oksidan.
Dapat merawat dan menyembuh penyakit yang kronik. Propolisnya juga untuk proses pencernaan.
Tidak perlulah fikir untuk berniaga. Atau untuk keuntungan berlipat kali kali ganda. Jika dikongsi, sudah
memadai untuk amal ibadah kita. Teringat perihal lebah, madu dan sifat penawarnya dalam al-Quran
Surah an Nahl: 68-69. Berkuasanya Allah kerdilnya kita sebagai hambanya.

6

Rumusan sebagai celahan motivasi, susunan Allah sangat cantik. Cuitkan hati agar tidak ada
keluhan dalam apa jua situasi dan salahkan keadaan serta orang lain. Mungkin pada sisi lain kita ada
sesuatu kekurangan. Perancangan Allah lebih baik. Sebab itu dibungkusNYA dugaan untuk bekalan
kita. Agar kita lebih BERSYUKUR dengan apa yang DIBERI. Bukan yang kita MINTA.
SA
MA. CMLS (UUM).

7

TRAVELOG SYAWAL
"Budiman, Rezeki dan Hikmah"
30.5.2020

Entah apa lagi nikmat Tuhan yang kita ingin dustakan. Sesekali Allah jentik kita dengan
pelbagai cara. Didatangkan sesuatu untuk dilihat dengan mata kasar. Gunakan mata hati untuk kita
halusi dan fikir sejenak. Baru kita akan rasa nikmatnya. Perit jerih, susah senang, suka duka, dugaan
dan cabaran.

Tidak semudah satu, dua dan tiga untuk memilik bahagia. Bahagia bukan milik kita. Untuk
milik bahagia tidaklah semahal apa yang kita sangka. Cuma sukar untuk kita rasa. Sebab rasa bahagia
satu kurniaan. Rasa bahagia berbeza dikalangan kita semua. Rasa bahagia juga berbeza cara untuk kita
kecap dan dirasakan. Dari hidup hingga mati, dicelahnya itu terkandung rahsia bahagia. Jadi, nikmat
Tuhan yang mana lagi seharusnya kita dustakan.

Suatu ketika, budiman akan mengatasi harga. Harga dunia tiada kuasa lagi dan tidak memberi
makna pada sisi kita. Ketika ini kita hanya mengharapkan pahala sahaja. Semahal manapun harga,
tidak akan memberi makna. Dengan rasa budiman dan istilah sedekah akan lebih menang dan tidak
dapat dikalahkan oleh harga semasa.

Seorang peniaga yang dahulunya miskin dan terhutang dengan seseorang dapat menyelamat
dirinya daripada kesengsaraan perniagaan. Akhirnya kaya raya semula. Sangat teringat dengan
bantuan sahabatnya, walaupun RM10. Dengan RM10 dapat menyelesaikan ribuan masalahnya.
Sekecil masalah sehingga sebesar masalah. Mereka lama tidak bertemu. Berpisah puluhan tahun.
Dicari semula sahabatnya. Rupanya sahabatnya sudah meninggal. Akhirnya dalam pencarian,
terjumpalah anak pinak kepada sahabatnya. Nampak keadaan anak pinak sahabatnya masih seperti
dulu juga. Tidak berubah keadaan susah ketika arwah sahabatnya itu membantunya. Atas rasa kenang
jasa, simpati, terharu dibantunya secara keseluruhan anak pinak arwah sahabatnya. Sehingga kini
diketahui anak pinak bekas arwah sahabatnya sangat berjaya dalam hidup. Kebanyakannya menjurus
dalam perniagaan dan agamawan.

8

Sangat CANTIK percaturan Allah. Dikurniakan rezeki itu bukan untuk kita milik semuanya.
Rezeki kita yang hadir itu hanya sementara sahaja. Rezeki itu hanya sekadar pinjaman seketika sahaja.
Rezeki yang ada pada tangan kita bukan sebenarnya milik kita. Rezeki yang kita simpan itu juga bukan
milik kita juga. Jika berlaku satu takdir, hanya sekelip mata akan bertukar milik. Mana rezeki kita?
Rezeki kita yang sebenarnya ialah yang kita kongsi bersama dengan orang lain. Rezeki yang kita
sedekah kepada orang lain. Rezeki yang kita beri tanpa diketahui orang. Itulah milik sebenar dan ABADI
untuk kita. Sebab, perkiraan rezeki yang sebenar nanti setelah kematian menjemput kita. Yang kita
tinggal akan menjadi rebutan orang. Akan bertukar milik. Moga rezeki dunia kita memberi pahala
untuk kita sebagai rezeki untuk alam ABADI. Buatlah apa sahaja, moga ianya berpahala...
SA
MA. CMLS (UUM)

9

TRAVELOG PUJANGGA
"Kesusahan orang kesenangan kita"
6.6.2020

"Tuhan turunkan hujan lalu didatangkan rahmat melalui pelanginya". Sehari dua ini panas
yang agak terik. Ada juga disebut panas "lit lit", panas "ceng ceng". Bahasa orang muda. Entah apa lagi
istilah yang diguna. Yang pasti hujan tidak turun agak lama. Hijauan bumi bertukar kekuningan.
Lumrah naluri manusia panas susah, hujanpun susah. Mungkin ingin sentiasa kedinginan. Dengan
hembusan bayu. Dingin dan nyaman. Ini bukan perkara yang utama hendak dicerita dan dikongsikan.

Sebenarnya perkara yang ingin dikongsi ialah rasa dan gerak hati dalam sebuah buku. Kulit
bukunya biasa sahaja grafiknya. Tajuk ada kaitan dengan pemakanan. Penuh dengan motivasi. Yang
boleh mendidik jiwa. Ditulis dengan kesungguhan. Penuh makna dan rasa melalui sebuah pengalaman.
Sebuah warung di kampung. "Warung Western Kampung"

Inti kandungnya, kadang-kadang dalam kehidupan kita Tuhan hantar sesuatu untuk jentik hati
untuk difahami kehidupan. Dengan cara itu diberi dugaan yang kecil untuk ubah cara dan jalan laluan
hidup. Jika sempat kita memetik rasa itu, maka luruslah aturan perjalanannya. Tanpa liku, bengkang-
bengkok dan ranjau. Jika tidak sempat berfikir, amat sukar untuk ubah haluan hidup. Maka
kepercayaan yang sama diletakkan kesalahan. Kenapa kita yang dipilih untuk tanggung bebanan. Jadi,
peluang ini tidak digunakan untuk mendekatkan diri untuk rasa ketuhanan. Jiwa semakin jauh dari
sifat hamba. Sentiasa silap sangka, buruk sangka dan prajudis. Tiada rasa ketenangan. Apatah lagi ingin
rasa syukur.

SA
MA. CMLS (UUM)

10

TRAVELOG PUJANGGA

“Bil elektrik meningkat, tanggungjawab dan justifikasi”

19.6.2020

Siapa pemain utama disebalik bil elektrik meningkat? Pengguna, TNB atau kerajaan.
Kepenggunaan elektrik yang semakin meningkat satu fenomena kelaziman dan lumrah. Sehingga
tahap membazir. Apatah lagi dalam kediaman yang semakin ramai penginap pada musim PKP.
Terkesan lagi dengan faktor cuaca yang semakin panas secara global. Rungutan dan rintihan tentang
hilang punca pendapatan memberi implikasi kepada pengguna elektrik setelah menerima bil.

TNB terikat dengan dasar dan polisi. Patuh pada perjanjian. Atas pada TNB ada lagi organisasi
kawal selia, Suruhanjaya Tenaga. Perekodan meter yang dibuat secara pukal untuk tiga bulan hampir
tepat dan menyamai penggunaan setiap bulan. Bahkan ada pengguna perlu membayar lebih daripada
biasa jika dikira secara purata bulanan. Sebagai gergasi korporat yang menjadi induk pembekal tenaga,
pasti mempunyai strategik keuntungan. TNB mempunyai permodalan pasaran melebihi RM58 bilion
dan keuntungan tempoh sembilan bulan pertama sebanyak RM38.76 bilion yang berakhir pada 30
September 2019.

Strategik sebuah kerajaan mesti disulami dengan justifikasi apabila melaksanakan dasar.
Kerajaan menerima cadangan setelah penelitian yang tepat atas nasihat khidmat kepakaran. Susunan
blok tarif bermula 200, 100, 300, 300 dan 900. Manakala blok prorata disediakan kepada pengguna
dengan justifikasi kepentingan. Manakala kadar Ringgit Malaysia setiap unit bermula pada RM0.218,
RM0.334, RM0.516, RM0.546 dan RM0.571 mengikut blok tarif yang telah digunakan. Penggunaan
selepas blok tariff yang ke-4 akan dikenekan cukai perkhidmatan sebanyak 6%. Dasar Rangsangan
Ekonomi juga turut dinikmati oleh pengguna mengikut penggunaan blok tarif. Bermula 50%, 25%, 15%
dan juga 2%. Penyediaan Pelan Bayaran Mudah juga diberikan untuk mengelakkan bebanan
pengguna. Bayaran penuh dibahagikan dengan 3 bulan untuk peroleh purata bayaran mudah. Pelan
Bayaran Mudah disediakan untuk tempoh sehingga Disember 2020. Sekurang-kurangnya apa yang
dilakukan oleh kerajaan atas niat yang benar, amanah dengan penuh kejujuran.

Apa sebenarnya yang dirungut dan diungkitan oleh pengguna. Kenapa marahkan TNB. Banyak
aduan yang dibuat kepada pihak yang berwajib. Apa kesudahannya. Setakat ini Kementerian Tenaga
dan sumber Asli telah mengeluarkan kenyataan yang sangat positif kearah penyelesaian rungutan
pengguna. Untuk penyelesaian jangka panjang jika PKP berulang, langkah yang wajar perlu
dilaksanakan sebagai pelan kontigensi. Kemungkinan perkara yang perlu dilihat ialah marginal kadar
blok tarif. Mungkin boleh diubah semula untuk tempoh PKP sahaja. Kadar blok tarif pernah berubah

11

pada tahun 2018. Antara Jun hingga Disember 2019 juga belum berubah sehingga kini. Untuk
melakukan perubahan tariff dalam jangka masa yang singkat sudah pasti terkekang dengan
perundangan. Terserahlah kepada pihak berwajib untuk menanganinya. Mekanisme yang lain,
mungkin kadar bayaran setiap blok tariff diambil kira ketika PKP sahaja. Dengan sedikit perubahan
tariff kadar bayaran berkemungkinan jumlah bayaran tinggi yang dihadapi oleh pengguna akan dapat
diatasi. Begitu juga Diskaun Rangsangan Ekonomi yang diberikan. Diskaun Rangsangan Ekonomi juga
perlu distrukturkan semula. Sebab, majoriti yang merungut sebagai pengguna yang menerima kadar
DRE sebanyak 2%. Namun, hakikatnya kerajaan mempunyai prinsip dan justifikasi yang tersendiri.

Akhir sekali, sebagai pengguna, pendidikan kepenggunaan sangat penting. Moleknya isu dan
rungutan elektrik yang tinggi diatasi dengan adab sopan penggunaanya. Pastikan tiada unsur
pembaziran. Pastikan juga kerosakan teknikal perkakasan elektrik diambil cakna. Supaya implikasi
kepada bil tidak memuncak. Moga menjadi pengguna yang sentiasa berwaspada pada setiap ketika.
SA
MA. CMLS (UUM)

12

TRAVELOG PUJANGGA

“Merentas jaluran, sekilas saujana”

3.6.2020

Agak lama tidak kehujanan idea penulisan. Garapan perlu diatur agar minda selalu tajam.
Jaluran bermula dengan niat yang baik. Berkebetulan musim durian. Molek kita berkongsi
pengalaman. Rentasan bermula dari Kerteh ke Temerloh. Temerloh ke Jerantut. Jerantut ke Kuala
Lipis. Kuala Lipis ke Benta. Benta terus ke Raub. Pengalaman saujana mata yang penuh dengan ilmu
dunia. Asyik sungguh dengan kejadian Tuhan. Tidak pernah mengalami sebelum ini. Masa kecil
dihimpit miskin yang tidak kesudahan. Tiada kemudahan untuk layani keinginan.

Wahhhh!!! Sepanjang perjalanan kiri dan kanan durian menjadi-jadi. Durian kampung
tergolek-golek. Durian jadian tidak ketinggalan. D24, IOI, akhir sekali Musing King. Musang King
dianggap raja durian. Dulu suku sakatnya dipanggil durian kunyit. Isi umpama kucing dan musang
tidur. Berlingkar tidurnya. Klon asalnya bermula di Tanah Merah. Katan penceritanya. Harga tak usah
diceritakan. Jika ada nafsu dan kehendak makan, jarak bukan lagi satu ukuran yang sukar. Jarak bukan
lagi perkiraan. Yang penting sampai dan dapat dijamu hawa durian. Rupanya ada lagi spesis baharu.
Durian Duri Hitam. Warna isi seakan isi durian Udang Merah.

Harga, tak perlu dikupas lagi. Memang sesuai dengan daya usaha pekebun. Berapa banyak
kos telah dihabiskan. Sekarang musim tuaian. Kita yang jadi pemakan usah pertikaikan harga. Sudah
menjadi hak mereka sebagai penentu harga. Puluhan tahun mereka usahakan. Untuk rekod, harga
RM8 untuk durian kampung sangat berbaloi. Mungkin di dusun, RM5 sekilo. Jika dijual di luar dusun
cecah RM12-RM15. Rezeki pekebun durian kali ini. Durian hibrid, lagi tinggi kadar harga. Catatan tahun
2015, harga durian kampung RM5 sekilo. Cuba bayangkan dalam jarak masa lima tahun. Kadar
kenaikan 300%. Raja durian masih ungguli carta harga. Daripada harga RM20 lebih sekilo, cecah
hingga RM50 sekilo. Separuh harga durian terbuang. Sebab kulit tidak dimakan.

Untuk yang masih mencari-cari durian, masih sempat lagi. Sekarang peringkat pertengahan.
Sekali sekala keluarlah bersama keluarga. Pupuk ikatan keluarga bersama durian. Seronok dapat kutip
pengalaman. Saujana pemandangan. Tempat orang tidak sama dengan tempat kita. Pengalaman
mungkin sama. Situasi yang berbeza. Sukar dikongsi untuk dicerita. Alami sendiri untuk rasainya. Moga
segala pengalaman dijadikan amalan yang berpahala...aamiin.

SA

MA. CMLS (UUM)

13

TRAVELOG PKPP
"Mengupayakan Kesihatan Diri Dalam Organisasi"

14.8.2020

"HIDUP bukan MILIK kita" ringkas sahaja kata dalam Morfologinya. Tapi sudut Sintaksisnya
amat mendalam. Sangat tersentuh dan terkesan dengan peristiwa yang berlaku sejak sebulan dua ini.
Ramai sahabat kita telah pergi sekelip mata dengan pelbagai cara. Ada degupan jantungnya terhenti
tiba-tiba. Ada fizikalnya diolah semula. Semuanya memberi implikasi. Tidak akan sembuh seperti
sediakala lagi. Tidak semolek dan sesempurna seperti kejadian asal kita lagi.

Semuanya meninggalkan kita sebagai sahabat dunia dan akhirat. Apatah lagi isteri dan anak-
anaknya serta kaum keluarga yang akrab. Meninggalkan kita sebagai sahabat dengan ribuan
kenangan. Tidak terfikir kita dalam sekelip mata. Simpton atau tanda yang sama turut mengejar dan
mendekati kita. Satu persatu dan sikit demi sedikit makin rapat tandanya dengan kita. Menginjak usia
50-an, diri sendiri akan terasa dengan sendirinya. Kelainan kesihatan semakin berubah. Nikmat yang
diberiNYA ditarik secara halus. Menitis air mata apabila kita bercerita dukalara sahabat.

Jagalah KESIHATAN. Bukan sahaja kesihatan fizikal. Kesihatan minda juga sangat
berpengaruh. Sebab memberi impak kepada emosi dan ketenangan. Gangguan kesihatan akan
meranap tubuh badan. Elakkan minda kita dengan perkara yang serabut. Layanlah minda kita dengan
berfikir yang positif dan ketenangan. Carilah KETENANGAN. Jangan usik minda dengan perkara remeh
dan ketegangan serta kekotoran. Moga minda kita TENANG dan BERSIH.

Anak-anak adalah sumber ketenangan. Leteran kita sebenarnya memberi ketenangan. Tapi
ada juga yang menjadi penyebab tekanan. Jangan begitu. Uruskan dengan baik. Makin rapat anak-
anak makin tenang rumahtangga. Kita berkumpul, berbual dan berbicara. Banyak ongkos digunakan
untuk makan minum mereka. Tanggung perbelanjaan mereka. Belajar mereka. Akhirnya, kita dapat
kepuasan. Kita rasa lega. Kepuasan dan kelegaan itu tanda sumber KETENANGAN. Ketenangan
memberi impak yang SANGAT BAIK untuk kesihatan. Contoh yang diberi ini diambil cerita kehidupan
yang paling dekat dan tidak perlu keluarkan belanja untuk menjaga kesihatan.

Banyak lagi cara yang lain untuk jaga kesihatan dengan MENCARI KETENANGAN. Kita sambung
kemudian. Tulisan ini khususnya untuk yang RINDU kepada bahan bacaan. Yang suka membaca dan
ternanti-nanti cerita baharu. Yang TIDAK SUKA, abaikan sahaja.

SA

MA. CMLS (UUM)

14

TRAVELOG PUJANGGA
"Air Mata, Ketenangan dan Kesihatan"
15.8.2020

"7 Hari Mencintaimu" begitu melankolik kepada penonton. Penonton terkesan. Pelakon jadi
popular. Natizen berbahas panjang lebar watak pelakon. Penulis sendiri tidak pasti isi sebenar
ceritanya. Sebab bukan penonton setia dengan televisyen. Hanya pengikut tegar perkembangan
hiburan melalui media. Jika dulu, #Kali ke-18" sangat popular ungkapan dan diulang-ulang. Bahkan
menjadi bualan guruan. Boleh dijadikan drama. Akhirnya, berpisah jua dua watak utamanya.
Meninggalkan aura yang agak negatif.

Menitis air mata, juga sumber KETENANGAN. Kenapa menitis air mata? Sebab yang paling
seni, hati terkesan. Jika hati terkesan, maknanya hati masih hidup. Kita tidak mampu menangis dengan
sendiri jika tiada sebab. Jika tiba-tiba menitis air mata tanpa sebab, molek semak kesihatan kita.
Bimbang ada simpton yang lain. Tapi, apabila menonton cerita "7 Hari Mencintaimu" boleh menitis air
mata, apatah lagi hal lain yang melibatkan HATI.

"Kematian", lebih cepat mengundang air mata jika dikenang. Yang sudah lama pergi
meninggalkan kita jika dikenang menjadi RINDU yang tidak kesudahan. Rindu yang tiada akhirnya.
Apatah lagi jika ada kaitan dengan hidup kita. Lebih-lebih lagi kehidupan yang ROMANTIS. Apabila
terkenang, tiba-tiba air mata mengalir. Selepas terhenti, JIWA menjadi lega. Sekurang-kurang hati kita
puas. Kepuasan menjadi noktah ketenangan. Jentiklah selalu hati kita. Moga hati kita sentiasa lembut.
Hati yang lembut mudah terguris, terluka dan tercalar. TAHNIAH yang menitis air mata kerana dengan
hanya menonton cerita. Tidak perlu belanja yang banyak untuk ketenangan dengan keluarkan air
mata. Kesihatan kita akan jadi LEBIH BAIK.

15

Tapi, dalam masa yang sama jangan lupa untuk CUBIT hati dalam situasi yang lain. Agar hati
kita juga lembut untuk urusan DUNIA dan AKHIRAT. Mungkin pembaca lebih arif dan faham untuk
meneka maksudnya. Cubit hati ini, contoh yang paling mudah dan tidak perlu dibayar yurannya.
Sumber yang sangat baik untuk ketenangan. Antaranya melihat susah dan kesukaran orang lain
berbanding dengan apa yang kita ada. Dengan cara ini hati lebih BERSYUKUR. Kita rasa diri kita susah.
Rupanya ada ada lagi orang lain yang lebih susah daripada kita. Kita rasa diri kita sudah sakit ditimpa
dugaan hidup. Rupanya ada lagi orang lain perit ditimpa penyakit yang lebih kritikal. Alhamdulillah,
kita BERSYUKUR. Dengan bersyukur, menjarakkan JIWA daripada keserabutan dan kesulitan. Jadi
marilah kita menyuluh jiwa untuk MENCARI KETENANGAN...moga apa yang kita buat semuanya

BERPAHALA dan meringan beban emosi yang tidak tertanggung serta melegakan jiwa.
Sekaligus kesihatan BERTAMBAH BAIK....aamiin.

Tulisan ini hanya untuk yang RINDU dan MENCARI KETENANGAN sahaja. Yang TIDAK SUKA,
abaikan.

SA
MA. CMLS (UUM)

16

TRAVELOG PUJANGGA
"Ingat Kisah Lama"

11.12.2020

Hal tradisional sokmo bermain dan berputar dalam minda setiap insan. Payoh untuk dibuang
daripada ingatan. Maklum, kehidupan di kampung tempat kita membesar. Paling tidak 25 tahun.
Beluah dengan pelbagai kenangan silam. Sukar dilupakan daripada benak. Onak duri jadi mainan.
Lecah selut jadi teman pengalaman.

Kuasa viral satu magnet yang menarik. Sekelip mata tersebar. Seluruh pelusuk akan bertandang.
Jauh dekat mari belake. Yang sihat sakitpun datang derak. Jadi global dan maya walaupun lokasi jauh
jenak.

Kedai Pok Mat Goreng Pisang Dapur Kayu sangat unik. Berlokasi di kampung Kuala Pueh.
Istimewanya pisang digoreng secara tradisional. Mengguna dapur kayu. Waktu petang ramai yang
mencuba. Harga berbaloi. Masih dibawah harga syiling. Jauh sekalipun datang, berharga rasanya.
Nikmat yang sukar berulang.

Jika ingin dapat ketenangan minda, boleh teruskan perjalanan dari kampung Kuala Pueh 15 minit,
sampai di Jenagor. Dalam suasana hutan belantara kiri dan kanan. Deruan aliran air terjun menusuk
jiwa raga. Terasa gerak air mengalir dalam jiwa. Kosong minda. Udara nyaman. Perjalanan di sini
berakhir dengan jalan mati. Di keliling empangan Kenyir.

Kita cuba tinjau dan kelih ĺokasi kedua yang menjadi viral. Kedai Mek Lamoh nama diberi. Nama
tradisi orang kampung. Rupa tuannya mungkin putih seleput. Seingat dan serasa nama Mek Lamoh
adalah orang yang sopan, sederhana umur, pandai memasak dan buat kuih tradisi. Rupanya betul
telahan dan gerak hati selepas diroyat sendiri seorang petugas di situ. Setiap hari bederu derang orang
mari. Untuk nikmati menu dapur kayu. Setiap hari 4-5 beg beras 10 kilo dihabiskan. Disajikan dengan
lauk-pauk tradisional. Selang seli dengan budu belacan. Sangat bahaya makan di sini. Sebab banyak
kali bertambah nasi dan lauk. Sudah pasti berat badan bertambah. Waktu malam dibuka hingga jam
10. Ada kerusi meja di bawah pokok disediakan. Bèrlantai tanah liat zaman 70-an. Boleh dicuba Char
Kue Tiew, pelbagai nasi goreng dan Chicken Chop. Makan ketika malam, disaji dengan bunyian yang
mengasyikkan. Cengkerik, reriang dan unggas yang tidak pasti namanya. Indah suasananya. Nyamuk
tiada. Tidak dirasa gigitannya. Nyaman udara. Sunyi sepi daripada derungan kenderaan. Tidak dapat
diungkap dengan kata dan tulisan. Hanya jiwa yang dapat dikongsi rasa.

17

Ketika Maghrib dapat dirasakan keindahan dan tulinnya kekampungan. Ramai yang hadir berumur
lebih daripada 50-an. Yang muda tiada kelihatan. Satu perkara normal di mana-mana masjid.
Semuanya jemaah, tidak berpelitup muka. Tapi masih mengamal SOP lain. Sempat bertanya kepada
seorang jemaah. Kenapa tidak guna pelitup muka. Secara berseloroh jemaah menjawab "kitae dudauk
jauh. COUVAID tauok marie kek kitae" Perlu baca dengan loghat Kuala Berang. ç◆◆ç◆ç .
Bersambung...
SA
MA. CMLS (UUM)

18

TRAVELOG PUJANGGA
" Ingat Kisah Lama"

18.12.2020

Berkaitan isu viral sangat menjadi. Pengaruh maya sangat kuat. Sesuai untuk melaris jualan
dalam dunia tanpa sempadan. Begitulah cerita "Kedai Mek Lamoh" dan "Kedai Pale Retok". Apabila
berbual dengan penduduk tempatan, katanya jarang pergi ke kedai ini. "Sedap makan budauk di
rumoh lagei". Rupanya begitu kisahnya. Betullah kata orang, "Bomoh di depan mata jarang orang
kampung pergunakan. Orang luar 'berderu derang" mari guna khidmatan.

"Daun apa ni? Standard bertanya. "Tok tuoe beleber lembu". Ulang lagi pertanyaan untuk
penjelasan yang kurang pasti. Rupanya sejenis ulam yang disebut "Mentua Gleber Lembu". Rasanya
sangat sedap dan lembut. Ada persamaan bau dan rasa dengan ulam raja. Saiz dan bentuk ada
persamaan dengan daun "Sambung Nyawa". Khasiatnya tidak pasti. Yang pasti untuk kesihatan tubuh
badan. Setengah jam ketika berada di kedai Mek Lamoh, kerusi hampir penuh. Hanya tinggal ruang
kerusi meja di bawah pokok. Rata-rata yang datang mengguna kenderaan nombor pendaftaran dari
luar. Terdengar hujung telinga perbualan bahasa bukan loghat "Terengganu kite". Fahamlah kita, yang
bertandang dan berkunjung adalah warga dari luar Terengganu.

Ketika ini musim hujan. Sekali sekala hujan renyai. Sekali sekala lebat. Ada sebahagian tempat
sudah banjir. Seusia kanak-kanak dalam hati mereka meminta hujan lebih lebat. Mereka ada
perancangan. Mandi hujan, main rakit dan pelbagai aktiviti sampingan. Tambahan cuti sekolah. Tika
yang sangat ditunggu oleh anak-anak yang bersekolah.

Di "Kuoale Brraeng", banyak sejarah yang dinukilkan. Sejarah Batu Bersurat tersohor seluruh
pelusuk. Pada batunya tersurat sejarah kedatangan Islam. Berusia lebih kurang 700 tahun. Ada
monumen tercegak didirikan pada tapak asal ditemukan. Molek sekali sekala bawa anak-anak untuk
melihat secara depan mata. Hal ini juga tersurat dalam buku teks Sejarah anak-anak sejak sekolah
rendah lagi.

Sekitarnya juga terdapat pemakaman tua. Dikatakan makam Tok Gajah. Ayah kepada
pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau. Meninggal pada tahun 1901. Bagaimana sejarah dan perjalanan
hidupnya tidak termampu untuk difikirkan. Jerih payah perjuangannya tidak upaya untuk dinukilkan
semula. Àpatah lagi generasi kelahiran COVID-19. Mereka akan hilang punca sumber sejarah penting
ini jika tidak dipelihara, dijaga dan disebarkan.

19

Disini juga tersebut nama Kg Kuala Por. Kampung yang sudah wujud 700 tahun dulu. 3
kilometer dari bandar Kuala Berang. Sungai yang besar dan luas membuktikan penggunaannya suatu
ketika dulu. Sungai digunakan sebagai laluan pedagang. Terdapat bukti sejarah penemuan serpihan
mangkuk zaman dinasti Ming sejak 1368-1683. Di sini juga terdapat sebuah pemakaman lama. Batu
nisan alam nusantara tertera tulisan jawi. Didakwa sebagai pembesar istana dari tanah Arab. Ada
beberapa lagi perkuburan lama. Antaranya kubur bapa dan moyang kepada Tok Pulau Manis. Atau
dikenali dengan nama sekolah Syeikh Abdul Malik.

Jika berada di Kuala Berang, jangan lupa ke Jenagor dan Tasik Kenyir. Di Jenagor deruan air
terjun mengasikkan. Jangan lupa urusan keselamatan. Khususnnya anak-anak kecil. Ralit deruan air,
anak terlupa. Di kawasan tasik Kenyir banyak binaan baharu. Banyak juga godaannya. Untuk ibu-ibu
tidak terlupa pinggan mangkuk. Katanya bebas cukai. Tapi, apabila keluar sekatan imigresen awal-awal
sudah menunggu. "Beli apa encik. Buka bahagian belakang kereta" perbualan kecil dengan
pegawainya. Katanya 10% hasil belian dikenekan cukai. Apa perasaan? Pasti terkejut. Mini Langkawi
situasi tasik Kenyir. Jika siap sepenuhnya lebih banyak gerombolan pengunjung bertandan.

Lokasi tasik Kenyir dahulu adalah tempat "jin tendang". Kini tersohor. Macam-macam ada.
Aktiviti air dan darat diaktifkan untuk bangunkan ekonomi. Aktiviti rekreasi air kian rancak. "House
boat" sangat aktif beroperasi. Dengan deretan dan susunan kenderaan dapat dibuat anggaran.
Dengan kiraan ribuan hadirnya pengunjung. Walaupun musim hujan, manusia kebal dengan
perasaannya. Keinginanan perasaan diutamakan walaupun COVID-19 bermaharajalela. Kita sedang
berhadapan dengan dunia VUCA. Singkatan daripada ungkapan perkataan Volatiliti, Uncertainiti,
Compleks dan Ambiguiti. Maaf penulis suai tulis dengan lidah Melayu. Sebenarnya perkataan ini
digunakan untuk bahasa ketenteraan. Tapi diadaptasi dalam dunia perniagaan.

20

Kita tutup bicara kali ini dengan situasi cuaca yang tidak menentu. Mungkin istilah VUCA boleh
digunakan untuk cuaca. Disamping penutupan sekolah kerana PKP, PKPP dan PKPB serta CUTI penggal
persekolahan tahun 2020 telah berakhir. PdPR juga melabuhkan tirai. Melegakan ibu bapa sebagai
guru sementara secara tiba-tiba. Daripada sifat sabar menjadi harimau jadi jadian. Katanya daripada
cerita. ”–?◆ç◆?–◆”ç◆◆”ç–? Apapun terima kasih ibu bapa kerana kasih demi anak tercinta dan masa depan
mereka jua. Peluklah mereka selalu. RINDU mereka semua. Kami tidak dapat jumpa seperti selalu.
Ruang maya menjadi perantara. Tapi tidak sama dengan sediakala. Uruskan cuti dengan langkah
keselamatan dan percutian yang lebih bermanfaat.
Terima kasih
Selamat bercuti
SA
MA. CMLS (UUM)

21

TRAVELOG PUJANGGA
"Bahagiamu Adalah Bahagiaku"

20.12.2020

Sebaik hari terakhir PdPR, hujan mula turun mencurah dari langit. Juga hari terakhir penggal
persekolahan tahun 2020. Penuh cabaran. Pelbagai akronim untuk menunjukkan situsai COVID-19.
PKP, PKPP dan PKPB. Turunnya hujan tanda rahmat dan hikmah. Kita perlu bersyukur. Disebalik itu
ada musibah. Seharusnya kita menjaga keselamatan. Ditambah fenomena cuaca yang semulajadi.
Daripada aspek perbezaan geografi, bukan semua lokasi dilanda banjir. Kita sama-sama berdoa untuk
jiran tetangga yang dilanda air besar. Kadangkala dipanggil ‘bah’. Lama istilah ini tidak digunakan.

Kita tinjau perkembangan hujan dan banjir. Yang terpalit peristiwa banjir sangat menyayatkan
hati. Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan. Berulang-ulang berlaku. Tiada jalan penyelesaian.
Seolah-olah bukan isu kemudahan asas yang dibangunkan. Tapi isu kitaran alam semulajadi. Melihat
status wsapp mangsa banjir terlibat, kenaikan air sangat cepat tanpa disedari. Hingga mencecah paras
lutut. Lebih daripada itupun ada. Tidak sempat untuk selamatkan barangan. Sekadar melihat dengan
linangan air mata. Berputih mata. Persiapan rumah bertahun-tahun. Dijaga dengan penuh kasih.
Penuh dengan hiasan. Sekelip mata hilang. “Separuh nyawa dibawa pergi”.

Yang tidak terlibat dengan penangan banjir, sangat seronok. Dijadikan pesta. Berarak seperti pesta
keramaian. Ada yang membawa anak-anak mandi-manda. Mungkin untuk memberi pengalaman.
Tidak dapat dicari pengalaman tersebut dipusat-pusat pendidikan. Akan dibawa kenangan ini hingga
akhir hayat untuk dikenang. Cuma perlu hati-hati dan jaga keselamatan. Perlu juga pemantauan.
Bimbang rindu tidak kesudahan jika kehilangan. Mungkin ibu bapa lebih arif hal kasih sayang dan
keselamatan anak-anak. Sama-sama kita kenangkan rakan, sahabat dan jiran tetangga kita yang dalam
derita. Situasi banjir tidak BERAKHIR dan noktah di sini. Seharusnya sama-sama berjaga-jaga
berdasarkan ramalan cuaca terkini.

Tiba-tiba hari ini beberapa sekolah mengadakan temuduga untuk kemasukan ke sekolah pada
tahun 2021. Perancagan awal telah dibuat. Mungkin tidak dapat dibatalkan. Surat menyurat dan
urusan rasmi telah dikeluarkan. Bagi anak-anak yang berada di kawasan banjir terpaksa meredah air
banjir. Lambang sebuah kegigihan untuk masa hadapan mereka jua. TAHNIAH atas sebuah kegigihan.
Tabah dan cekalnya mereka. Sekadar berkongi rasa. Antara perasaan murid, ibu bapa dan seorang
guru.

22

Cuti persekolahan tahun 2020 tidak seenak tahun sebelumnya. Banyak perancangan tergendala.
Perkiraan perancangan awal sangat terhad dan tidak seceria yang dijangka. Ada yang telah merancang
untuk ke detinasi perjalanan yang jauh. Ada yang ingin balik kampung. Ada yang ingin bersua dengan
orang tua dan tidak kurang pula yang ingin bertemu dengan kekasih hati. Jodoh pertemuan dalam
ketentuaNYA. Bakal pengatin terpaksa tangguh perkiraan. Ada terputus dipertengahan. Moga jodoh
mereka yang telah merancang kekal hingga ke jannah. Puitisnya doa dan kata-kata orang muda.
Selamat Bercuti
SA
MA. CMLS (UUM)

23

TRAVELOG PUJANGGA

“Baksis seorang guru”

"Cg Noraswida Syurga anak-anak PPKI"

Nak mengenali susuk batang tubuh seseorang akan mengambil masa yang panjang. Nak
mencari salah dan silap sangat mudah. Akan terjumpalah kelemahan orang. Sebab itu wajib kita
menyimpan aib orang lain. Betul lah perkamusan adab orang Melayu ada menyebut satu jari telunjuk
ke arah orang, empat lagi berbalik kepada diri sendiri. Maknanya, aib diri sendiri lebih banyak lagi.
Cuma dihijab oleh yang maha Esa.

Mengenali Cg Wida bukan dirancang. Sekadar pertemuan atas tugas. Lama kelamaan dapat
perkongsian yang penuh kesucian. Daripada ilmu syurga anak-anak PPKI, diketemukan dengan
pelbagai istilah yang jarang diguna dalam pedagogi arus perdana. Kita akan terjumpa perkataan AR,
SD, ADHD, disleksia "handicap", "disability" dan "ampairment". Kita tidak terlepas mengenali pengkaji
masalah dalam pembelajaran murid. Sekadar menyebut satu dua nama sahaja. Antaranya, Samuel
Kirk dan Heward. Melalui kolaborasi bersama Cg Wida, ilmu ini ditelaah dan diselami. Tujuan, untuk
memahami dan koleksi ilmu. Setidak-tidaknya bekalan sebagai seorang guru. Maklumlah, sebagai
guru perlu hadapi pelbagai ragam dan latar murid. Indah sungguh ilmu yang seluas lautan. Dalam al-
Quran ada dinukilkan, jika air lautan dijadikan tinta untuk menulis kalamullah, maka habis air lautan
sebelum kalimat ditulis. Walaupun didatangkan dengan tambahan yang sebanyak itu juga. Terasa
kerdilnya kita. Terima kasih atas perkongsian Cg Wida. Jasa baik sangat dikenang.

Siapa sangka panas sampai ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Terkejut dengan surat
pertukaran Cg Wida. Dua hari sebelum dijemput Cg Wida menerima watikah pertukaran, guru besar
telah memaklumkan. Kebetulan kami pihak pengurusan ada perjumpaan empat mata. Dalam keadaan
tenang, kami dimaklumkan. Cumanya, guru besar menyebut, kita bersedia dengan apa jua situasi.
Sikap guru besar yang sentiasa "cool". Plan A, Plan B dan Plan C sentiasa berada dalam poketnya.
Dengan kekuatan gerombolan warga SKI, memantapkan lagi agenda sekolah. Dengan #tagline saban
tahun berubah mengikut insipirasi KPM, saban tahun SKI sentiasa dipacu kehadapan.

Sudah ditakdirkan untuk Cg Wida kami lepaskan pergi. Walaupun berat tangan untuk
melepaskannya. Umpama pengatin baru yang sukar berpisah. Hampir lima tahun bersama di SKI.
Namun dihitung waktunya terasa singkat. Dengan berat hati kaki melangkah pergi. Pergilah Cg Wida
dengan tenang. Tugas yang digalas adalah kerja. Kerja dibayar gaji. Tapi disebalik itu, ada satu lagi
istilah. TANGGUNGJAWAB. Maka, dengan tanggungjawab Cg Wida akan tenang disana. Kami sentiasa
DOAkan yang baik-baik. Langkah pergimu sentiasa berpahala. Jadikan amal ibadah dalam kerja buat.

24

Jiwa akan tenang. Yang berat akan jadi ringan. Kesihatan akan pulih tanpa sedar. Baktilah diri selagi
diperlu. Perjalananmu sentiasa DIRESTUI...TERIMA KASIH CG WIDA. Itulah kalimat yang terakhir
terpilih daripada kami daripada lautan perkataan. SALAMKU YANG TERAKHIR, TERISTIMEWA
BUATMU...
Kami warga SKI
#Unity: Solidarity
SA
MA. CMLS (UUM)

25

TRAVELOG PUJANGGA
“Sembang petang”
6.6.2021

Ujian selalu mengundang. Tapi kekadang sukar dimengertikan oleh penerima ujian. Cuma
boleh dikatakan begini. Allah memberi ujian atas kemampuan hambanya. Dalam kata lain ada
hikmahnya. Ada orang terima ujian dalam skala yang kecil. Yang lain terima saiznya besar hingga tidak
tertanggung. Ada ujian kematian, kemalangan, sakit dan hal-hal kekeluargaan, Tidak kurang pula yang
melibatkan perasaan. Namun, dalam masa yang sama ujian diberi dalam bentuk kemewahan,
ganjaran, harta, amal ibadah dan anak-anak. Kita lihat kepada hikmah disebalik yang ditimpa dan
diberi. Pusingan hidup yang Allah lontarkan semuanya sempurna. Cuma tinggal lagi untuk kita
proseskan kesempurnaan tersebut. Sambil-sambil kita fikirkan untuk kehidupan kita sendiri. Moga
kehidupan kita sentiasa dalam rahmat, berkat dan nikmat yang tinggi menggunung...AAMIIN.

SA
MA. CMLS (UUM)

26

TRAVELOG PUJANGGA
“Sembang petang”
6.6.2021

RINDU itu milik ALLAH. Setiap insan dapat rasakannya. Sukar diungkapkan. Hanya dengan
kata-kata dapat ditulis, ungkapan lisan boleh dituturkan dan dengan potret dapat dinukilkan. Lakaran
dan coretan hati sukar untuk ditelah. Musim perayaan, ibu-ibu RINDU akan anak-anak yang kejauhan.
Menggamit memori ingin pulang. Ada yang belajar jauh. Jika kematian, sudah pasti yang masih tinggal
sangat terkesan jiwa dan perasaan. Suami menangisi pemergian isteri yang dikasih. Si isteri sukar
menerima kematian suami yang tercinta. Namun dalam tempoh yang lama dapat diterima dengan
redanya. Bagi anak-anak, sentiasa diingati tarikh pemergian kedua-dua orang tuanya. Diingati diulang-
ulang tarikhnya. Sedih hati tak terkira. Bagi pasangan yang ada hubungan ke arah yang halal terputus
dipertengahan jalan. Apakan daya takdir menentukan. Tidak tertanggung perasaan. Remuk-rendam
hati. Gundah-gulana dibuatnya. Dalam masa yang sama usia makin meniti jauh. Jarang bersua dan
bertemu muka. Sesekali nun kejauhan gamitan momen mencengkam perasaan. Akhirnya dibuat
pertemuan. Pelbagai cerita dan luahan perasaan. Dikumpul deretan anak-anak diperkenalkan. Alam
persekolahan hingga alam pekerjaan. Berumahtaangga hingga beroleh anak. Itulah rakan-rakan yang
sudah lama ditinggalkan. Semua telah berubah. Usia, fizikal, pergerakan, tutur bicara semua telah
berubah. RINDU sangat apa yang kita lalui dan telah ditinggalkan. Moga sisi dan sisa hidup yang kita
lalui sentiasa dalam pemeliharaan-NYA. AAMIIN.

SA
MA. CMLS (UUM)

27

TRAVELOG PUJANGGA
“Sembang petang”
6.6.2021

Bahagia itu Indah. Bahagia hanya rasa pada hati. Sukar untuk dinyatakan. Umpama gula. Susah
untuk tafsirkan kemanisannya. Bahagia orang lain bukan sama rasanya. Lega rasanya jika ada bahagia.
Bagaimana datangnya rasa bahagia. Adakala melihat anak-anak semuanya berjaya. Walaupun tidak
semua dianugerahkan begitu. Ada yang sempurna ada yang sebaliknya. Jika tidak sempurna fikirkan
kembali. Untuk kelegaan kita, rasakan hikmahnya. Lihat dalam dirinya. Bandingkan dengan orang lain
juga. Untungnya dapat anak-anak walaupun ada yang tidak sempurna. Orang lain langsung tiada
zuriat. Apa yang mereka dapat buat.Takdir mengatasi segalanya. Bahagia yang lain umpamanya
melalui rezeki. Ada orang dapat rezeki melimpah ruah. Ada yang sedikit. Yang ada banyak rezeki
jangan tidak bersyukur. Bersyukurlah, nanti ditambah dan digandakan rezekinya. Yang sedikit
terimalah dengan rasa cukup. Nanti akan diberkati. Yang rezekinya sedikit orang tengok bahagia
sahaja jika diberkati. Walaupun rezeki banyak, jika tidak diberkati akan rasa sentiasa tidak mencukupi.
Proseslah bahagia itu untuk menjadi MILIK kita...AAMIIN.

SA
MA. CMLS (UUM)

28

TRAVELOG PUJANGGA
“Sembang petang”
6.6.2021

JODOH TIDAK SEKALI DATANG. Fikir-fikir kita bila diketemukan jodohnya. Setiap orang
berlainan cara. Bertemunya berkali-kali. Ada orang lama berkenalannya. Lamanya didambarkan. Putus
dipertengahan. Tiada ikatan. Ada juga yang seketika dan sekelip berjumpa. Terus jadinya. Mengikat
jodoh tanpa dikira batas waktunya. Mudah dikira. Ada juga yang jaraknya jauh. Ada kalanya boleh
diterima. Tapi banyak halangannya. Hanya takdir yang menentukan masanya. Jarak yang dekat juga
ada. Jika molek dikira tapi terjadi sebaliknya pula. Porak-perandapun ada juga. Susah juga keluarga
dibuatnya. Apa tah lagi yang melibatkan saudara mara. Antaranya kawin dengan sepupu ada jua.
Gitulah ceritanya. Yang berketurunan pula, tercari-cari jodohnya. Sekufu’ dikatakan pula. Tak jumpa
dibuang hubungan saudaranya. Ibu bapapun turut memaksa. Nak jaga status rasanya. Banyak lagi
contohnya. Sebenarnya JODOH satu campakan perasaan pada hati. Kelebihannya mengatasi perasaan
pada diri sendiri. Akhir sekali, JODOH sudah tercatat untuk semua. Proseslah JODOH itu agar terjodoh
untuk kehidupan yang lebih sempurna...AAMIIN.
SA
MA. CMLS (UUM)

29

TRAVELOG PUJANGGA

"Membawa Jiwa dan Raga"

10.12.21

Pada hari ini, ramai yang berkira-kira untuk membawa diri ke mana-mana destinasi yang
mendamaikan. Mencari ketenangan. Melepaskan keserabutan fikiran. Menuluskan jiwa raga.
Antaranya mencari damai di pelusuk hutan belantara. Sungai-sungai yang alirannya tenang. Pantai
yang panorama yang mengasyikkan. Tidak ketinggalan mencari masjid yang penuh ketenangan.
Mungkin waktu Subuh yang paling tepat dan jadi pilihan. Semoleknya 30 minit sebelum Subuh. Jika
tidak mampu, setidaknya antara 15 atau 10 minit sudah memadai. Nanti akan terasa sendiri setenang-
tenangnya hati kita. Masa itu akan terasa kerdilnya diri. Betapa besarnya rasa ketuhanan. Tambah lagi
masjid sangat unik. Pekarangannya inap disediakan. Pelbagai fungsi masjid ditadbir. Dewan serba guna
juga tersedia. Kursus perkahwinan turut tersedia. Lagi meriah dengan kehadiran pasangan yang ingin
menujuk puncak bahagia. Apatah lagi padi waktu Subuh kedengaran alunan suara imam muda yang
mengasyikkan. Dengan irama Shoba yang mampu menggugat emosi. Ada lagi irama lain seperti
Bayyati, Hijaz dan Rast. Ikutlah mana jiwa yang menyukainya. Yang penting, tiada sehari pun
ditinggalkan melainkan dengan membaca al-Quran. Quran peneman kita nanti. Karib kita juga.
Cahayanya menerangi semester alam. Kegelapan kubur sudah pasti bercahaya. Kita doa yang baik-
baik untuk diri kita, ibu bapa kita, suami atau isteri kita. Anak-anak kita. Jiran tetangga kita, sahabat
kita. Tidak lupa untuk mereka yang mendambakan doa daripada kita akibat kesulitan, rintangan,
cabaran dan dugaan. Untuk anak-anak, elok DOA ini. "Jadikanlah anak ini anak yang baik. Anak yang
soleh dan solehah. Anak yang sentiasa mendengar kata dan beramal ibadah. Anak yang sentiasa jujur
dan amanah serta bertanggungjawab, dikhalayak ramai atau tempat yang sunyi. Hiasilah mereka ini
dengan akhlak mulia dan kesempurnaan kesihatan. Jauhilah mereka ini daripada perbuatan maksiat
dan perkara yang melalaikan Moga mereka sentiasa dalam pemeliharaamu. Aamiin ya rabbal aalamin.

Begitu juga ada yang mencari keluarga untuk rapatkan silaturahim. Sudah lama terpisah jarak,
lantaran PKP dan SOP. Berbulan tidak bersua. Ada juga yang bertahun lamanya. Sepurnama tidak
bertandan. Ada kematian tidak dapat diziarahi. Terdapat juga cerita isteri ditidurkan. Tapi tidurnya
buat selama-lamanya. Pergi tak akan kembali lagi. Suami juga tidak berkesempatan mencium dahi kali
terakhir. Ditimbusnya jenazah tanpa orang tersayang. Suami juga meninggal. Tidak sempat berpesan.
Tinggal dalam keadaan mengejut. Tinggalkan anak menjadi yatim. TinggaI isteri sebagai ibu tunggal.
Hiduplah mereka dengan berdikari untuk teruskan kehidupan. Hidup perlu diteruskan. Moga ada yang
sanggup memberi bantuan. Moga hidup mereka terbela. Yang menyedihkan betapa ramai ibu bapa
pergi tanpa dikuburkan seperti kelaziman. Begitulah nasib kehidupan dalam suasana COVID-19.

30

Pada hari minggu begini, ada yang menguruskan keluarga dan ada yang uruskan anak-anak di
asrama. Jadual kehidupan anak-anak terus berubah 360 darjah. Tidak pernah terfikir pada akal. Tiba-
tiba jadual berubah. Mengubah segala tingkah kehidupan. Tiba-tiba tidak bersekolah. Kemudian,
sambung sesi persekolahan. Sekolah ditutup lagi. Akhirnya diberi peluang dengan jadual bergilir.
Bimbang juga ibu bapa. Namun SOP tetap diutamakan. Kes COVID-19 cecah ribuan. Kematian seluruh
dunia cecah jutaan. Moga anak-anak kita sentiasa selamat. Situasi begini cecah dua tahun. Macam-
macam istilah dipelajari hasil penangan COVID-19. Istilah perubatan berjela. Sukar difahami. Tapi
dapat diingati. Tatacara PdP juga timbul istilah baru. Sistem dan proses PdPR menyebabkan anak-anak
mahir dalam pelbagai aplikasi. Begitu juga guru-guru. Tahniah untuk semua. Pelbagai aplikasi dikuasai
kemahiran. Aplikasi maya untuk pembelajaran bukan setakat untuk peribadi, tetapi untuk dapat
menerobos medium antarabangsa. Menyebabkan pelbagai kejayaan anak-anak tercipta di persada
dunia. Sehingga ada yang meranggkul anugerah kesatria.

Pagi-pagi minggu begini, ada yang merancang ke pasar. Apatah lagi ketika cuti panjang begini.
Tujuan, untuk menambah simpanan barangan di dapur. Juga ada yang mengambil kesempatan pada
hari minggu. Tambahan rezeki gaji baru dimasukkan oleh kerajaan. Syukur kita dalam negara yang
dicakna kerajaan. Pelbagai bantuan. Bukan sahaja yang berkerja. Yang tidak kemampuan turut
dibantu. Apatah lagi golongan miskin dan gelandangan. Buatlah apa sahaja. Moga ianya berpahala.
Mungkin cuti begini anak-anak ramai berkumpul. Mungkin acara makan berjemaah menjadi rutin
untuk rapat hubungan. Makanan yang menjadi pilihan adalah atas kesukaan masing-masing. Jangan
lupa jaga kesihatan. SOP dan penjarakan tidak diabaikan. Moga sentiasa selamat. Patuh pada
peraturan. Agar kita dan keluarga terlindung.

Moga perkongsian pada kali ini memberi manfaat. Sekadar santai bacaannya. Sesuatu yang
yang sangat menarik bukan terletak pada tulisannya. Tapi isinya menyentuh jiwa. Santuni bacaan
moga melekat pada jiwa dan raga.

Selamat Bercuti Penggal Akhir Tahun...

SA
MA. CMLS (UUM)

31


Click to View FlipBook Version