The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Pengajaran Berkesan dan Peranan Kepemimpinan Guru dalam Menghasilkan Pengajaran Berkesan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nur irdinaaziz, 2020-12-05 11:34:07

Pengajaran Berkesan dan Peranan Kepemimpinan Guru dalam Menghasilkan Pengajaran Berkesan

Pengajaran Berkesan dan Peranan Kepemimpinan Guru dalam Menghasilkan Pengajaran Berkesan

SEMESTER I 2020/2021
PGT342

KEMAHIRAN KEPIMPINAN GURU
Huraikan maksud “Pengajaran Berkesan”.
Jelaskan peranan kepemimpinan guru dalam menghasilkan Pengajaran

Berkesan.
DISEDIAKAN OLEH:
NUR IRDINA BINTI AZIZ

143860
DISEDIAKAN UNTUK:
DR AL-AMIN MYDIN

1

ISI KANDUNGAN

PERKARA MUKA SURAT

1.0 Pengenalan 3-5

2.0 Definisi Istilah
2.1 Definisi Pengajaran 6-8
Berkesan
2.2 Definisi Teknologi 8-9
Maklumat dan Komunikasi
3.0 Faktor Pengajaran 9-13
Berkesan
4.0 Konsep kepimpinan guru 14-16

5.0 Peranan Kepimpinan Guru 17-21

dalam menghasilkan

Pengajaran Berkesan

6.0 Kesimpulan 22

7.0 Rujukan 23

2

1. Pengenalan

Pada zaman globalisasi ini, masyarakat kini hidup berlandaskan kepada
kemajuan teknologi dan Sains. Umum mengetahui bahawa kemajuan teknologi dan
Sains telah memberi banyak impak positif kepada dunia, baik dari segi pelancongan,
kesihatan, perindustrian termasuklah bidang pendidikan. Seantero penduduk dunia
telah mencuba untuk mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan memandangkan
ramai pihak bersetuju bahawa teknologi di dalam pendidikan bukan sahaja mampu
memudahkan kerja para pendidik bahkan juga mampu melicinkan proses pengajaran
dan pembelajaran. Mengambil langkah yang sama seperti kebanyakan negara
termasuklah Singapura, Vietnam, Finland dan Amerika Syarikat, Malaysia juga tidak
ketinggalan untuk mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan teknologi
dalam konteks pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan
sekolah bestari, sebuah sekolah yang mementingkan pembelajaran subjek-subjek
teras seperti Sains Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan
menekankan penggunaan teknologi di dalam suatu proses pembelajaran.
Kepelbagaian inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk
melahirkan generasi celik IT dan dapat mendepani cabaran alaf baharu dengan
kemahiran-kemahiran seperti berfikiran kritis dan kreatif

Guru atau pendidik merupakan figura yang amat signifikan untuk mengadaptasi
budaya IT dan dan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi. Guru merupakan penggerak
dan penentu kejayaan kepada sistem pendidikan yang baru ini. Tidak dapat disangkal
lagi, kerajaan memandang proses pengenalan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
ini sebagai sesuatu yang mustahak. Buktinya, di dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan 2007, kerajaan telah menyasarkan kesemua Sekolah Rendah
Kebangsaan(SRK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan untuk dilengkapkan dengan

3

kemudahan infrastruktur seperti komputer, server, rangkaian pencapaian Internet
yang tinggi di setiap sekolah. Tidak ketinggalan, kerajaan memastikan setiap guru dan
kakitangan sekolah mendapat bimbingan dan latihan yang mencukupi bagi
melancarkan proses pembudayaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di dalam
pembelajaran.

Pihak Kemeterian Pendidkan Malaysia giat menerapkan penggunaan ICT di
dalam bidang pendidkan memandangkan langkah ini merupakan salah satu langkah
yang efektif bagi melahirkan warganegara yang bersikap holistik dalam mendepani
cabaran era globalisasi. Jika kita tinjau kepada kepesatan yang berlaku di dalam
bidang teknologi seperti cendawan tumbuh selepas hujan, tidak dapat disangkal lagi
bahawa pendedahan ICT pada peringkat sekolah mampu memberikan kesan yang
positif kepada pelajar itu sendiri, Menurut Volman dan Eck (2001), pengaplikasian
teknologi dalam pendidkan merupakan “win-win situation” untuk sesebuah negara itu
sendiri. Teknologi dalam sesebuah proses pengajaran dan pembelajaran mampu
mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif seterusnya berupaya
mentransformasikan pelajar menjadi lebih aktif dan bertanggungjawab terhadap
pembelajaran mereka sendiri.

Jika diteliti dengan mendalam, sememangnya ICT di dalam bilik darjah dapat
membawa seribu satu kebaikan baik kepada guru mahupun pelajar. Namun, adakah
konsep ini relevan untuk diaplikasikan di negara kita? Teknologi Maklumat dan
Komunikasi sudah dianggap sebagai satu kemestian dan bukan lagi sebuah nilai
tambah di dalam sesebuah institusi pendidikan. Biarpun begitu, masih terdapat lagi
isu pelajar dari golongan B40 misalnya yang tidak berupaya memiliki peralatan-
peralatan komputer, capaian Internet yang tidak memuaskan terutamanya di kawasan

4

pedalaman menyebabkan guru dan murid sukar memanfaatkan teknologi serta isu
ketidaksediaan para pendidik dalam mempraktikkan cara pengajaran baharu ini.

Menurut Susan Ambrose di dalam bukunya yang bertajuk “How Learning
Works: Seven Research-Based Principles for Smart Teaching”, “Learning is a
process that leads to change, which occurs as a result of experience and increases
the potential of improved performance and future learning.” Merujuk kepada definisi
ini, dapat kita simpulkan bahawa proses pembelajaran dapat mengubah pelajar dari
tidak tahu kepada tahu serta memanfaatkan pengalaman yang mereka peroleh untuk
digunakan pada masa hadapan. Sememangnya matlamat utama guru adalah untuk
mendidik pelajar agar mereka bukan sahaja dapat mendalami ilmu pengetahuan
bahakan menjadi individu yang seimabang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan
intelek. Pencapaian guru dalam membentuk pelajar-pelajar sebegini merupakan
kejayaan bagi sesebuah pengajaran yang berkesan.

Persoalannya ialah adakah teknik baru penyampaian P&P berlandaskan
teknologi di dalam bilik darjah ini mampu untuk memantapkan mutu pengajaran dan
pembelajaran seterusnya mencapai tahap pengajaran berkesan? Adakah kepimpinan
guru dalam mengendalikan bilik darjah masih relevan meskipun antara aspirasi utama
pendidikan berteraskan teknologi adalah untuk melahirkan individu yang
bertanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri?

5

2. Definisi Istilah

2.1 Definisi Istilah Pengajaran Berkesan

Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Kedua, “pengajaran” boleh ditakrifkan
sebagai segala yang berkaitan dengan mengajar atau mengajarkan (seperti caranya,
sistemnya). Secara umumnya pengajaran adalah proses penyampaian kemahiran,
ilmu pengetahuan, sikap dan nilai (Ishak Baba, 2009.Manakala “berkesan” boleh
ditakrifkan sebagai menimbulkan atau mendatangkan akibat, perubahan dan lain-lain.
Jika dilihat dari skop bilik darjah atau proses pengajaran dan pembelajaran,
pengajaran berkesan boleh didefinisikan sebagai proses pemindahan ilmu, kaedah,
idea, kemahiran dan nilai dari seorang pendidik menggunakan kaedah- kaedah yang
berbeza kepada pelajar, dan seterusnya dapat membantu pelajar tersebut untuk
mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari di luar konteks bilik darjah.
Pengajaran berkesan akan memperlihatkan kesan di mana terdapat perubahan
tingkah laku dalam kalangan pelajar ketika mereka sedang berinteraksi dengan
persekitaran. Terdapat pelbagai definisi dan skop mengenai konsep pembelajaran
berkesan di dalam bilik darjah” Amalan pengajaran guru yang berkesan bermakna
guru tersebut berupaya mempelbagaikan kaedah pengajaran, menyediakan alat
bantu mengajar (ABM), mendalami isi kandungan yang hendak diajar. Selain itu, guru
juga perlu mengetahui akan kebolehan pelajar menerima pelajaran atau aras
pelajaran, memberi motivasi kepada pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh,
dapat mengawal kelakuan pelajar dan dapat memberi penilaian atau ujian yang kerap
kepada pelajar” (Shahril @ Charil bin Hj Marzuki ,2005). Shahril telah mendefinisikan
konsep pengajaran berkesan berdasarkan Model Pengajaran berkesan yang
dikemukakan oleh Slavin pada tahun 1994. Alis Puteh menyatakan bahawa
pengajaran berkesan akan wujud di dalam proses pengajaran dan

6

pembelajaran(P&P) sekiranya seseorang guru itu benar benar memahami
peranannya, pelajarnya dan persekitaran(2008). Pendapat ini juga telah disokong
oleh Leblanc yang menyatakan bahawa pengajaran berkesan meliputi pengajaran
oleh guru yang penyayang, mengambil berat terhadap kebajikan pelajar, memberi
sokongan kepada pelajar, dan berpengetahuan tentang mata pelajaran yang
diajar(1998). Untuk mengukuhkan lagi definisi ini, Thorndike melalui Elliot telah
menyatakan bahawa pengajaran efektif bermula dari pengetahuan yang mantap
mengenai perkara yang hendak diajar berserta penggunaan rangsangan yang sesuai
untuk para pelajar(2000). Pendapat Hunter (1995) dan Cruickshank pada tahun yang
sama menggariskan konsep pengajaran berkesan iaitu pengajaran yang boleh
meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar.

Berdasarkan definisi ini, dapat kita simpulkan bahawa pengajaran berkesan
bermula dengan peranan seseorang guru itu sendiri di mana beliau perlu cukup
bersedia untuk menyampiakan ilmu kepada pelajar agar pelajar bukan hanya melalui
proses P&P tersebut untuk tujuan lulus dalam peperiksaan semata-mata bahkan
dapat mempelajari sesuatu ilmu yang baru dan menambah ilmu yang sedia
ada.Konsep pengajaran berkesan ini merupakan konsep yang sering kali disalah
tafsirkan oleh segelintir pihak. Apabila seseorang guru itu menyampaikan ilmu
pengetahuan, sudah pasti beliau mahu muridnya faham dan boleh menggunakan ilmu
tersebut di luar konteks bilik darjah.

Pengajaran berkesan di dalam bilik darjah bukanlah tergantung kepada kemahiran
guru itu semata-mata. Proses untuk mencapai pengajaran berkesan memerlukan
kerjasama daripada banyak pihak termasuklah pelajar itu sendiri. Seiring dengan
kepesatan peredaran zaman, revolusi kaedah pengajaran dan pembelajaran

7

konvensional seperti “chalk and talk” telah digantikan dengan pembelajaran
berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi”.

2.2 Definisi Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Teknologi merupakan gabungan dua perkataan di dalam Bahasa Yunani iaitu
“techne” yang bermaksud hasil kerja tangan dana “logos” yang bermaksud wacana
atau kajian sistematik.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, teknologi maklumat dan komunikasi atau
ICT (Information and Communication Technology) boleh didefinisikan sebagai
maklumat yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan
penyebaran maklumat secara elektronik. Tambahan pula, komunikasi teknologi
maklumat berlaku melalui penggunaan komputer dalam bidang telekomunikasi.
Teknologi merupakan sebuah medium pemudah cara untuk menyalurkan maklumat
dengan lebih pantas. Antara yang biasa disebut dan digunakan oleh kebanyakan
orang ialah Internet dan komputer. Namun tidak ramai yang tahu bahawa, televisyen,
telefon pintar, faks, PDA dan system satelit merupakan teknologi untuk meyampaikan
maklumat kepada penerima.

Teknologi mempunyai kemampuan dan berpotensi besar untuk mengubah
persekitaran pengajaran dan pembelajaran apabila digunakan dengan cara yang betul
(Crawford, 2000; Dilworth et al., 2012). Savage dan Vogel telah mendefinisikan
konsep multimedia iaitu gabungan proses pembangunan dan penghantaran maklumat
dalam bentuk audio, video, grafik, teks, imej dan animasi menggunakan peranti digital
(2013). Antara elemen multimedia yang sering digunakan di dalam bilik darjah
termasuklah teks, audio, animasi dan grafik. Teknologi di dalam bilik darjah sering kali
dikaitkan deng Alat Bantu Mengajar(ABM). Menurut Mohamad dan Musa, ABM boleh

8

dibahagikan kepada dua kategori iaitu elektronik termasuklah radio, televisyen dan
projektor slaid. Manakala kategori yang kedua iaitu bukan elektronik yang merangkumi
kad imbasan, model dan jurnal.

3.0 Faktor Pengajaran Berkesan

Merujuk kepada model pengajaran berkesan (instructional effectiveness) yang
dikemukakan oleh Slavin pada tahun 1994, terdapat empat faktor utama yang dapat
mendorong dalam pencapaian pengajaran berkesan.

i. Kualiti Pengajaran
Kualiti Pengajaran merujuk kepada teknik maklumat dan kemahiran

berkaitan pembelajaran disampaikan ketika di dalam bilik darjah. Seseorang
guru itu perlu berupaya untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dengan
menyatakan objektif pembelajaran tersebut kepada pelajar, peralihan dari satu
topik kepada topik yang lain adalah relevan dan sistematik serta mampu
membantu pelajar untuk mengaitkan antara satu topik kepada topik yang lain.
Sebagai contoh, subjek Kimia merupakan sebuah subjek yang mempunyai
banyak pecahan topik yang berkait antara satu sama lain. Misalnya untuk
membolehkan pelajar menulis persamaan kimia, pelajar tersebut perlulah
memahami telebih dahulu nilai unsur pada topik yang dipelajari sebelumnya.
Jika pelajar mampu untuk menulis persamaan kimia, ini bermakna guru
tersebut telah berjaya memandu pelajar tersebut, langkah demi langkah untuk
memahami cara mendapatkan persamaan kimia. Seorang guru yang
mementingkan kualiti pengajaran akan memastikan nota pengajaran adalah
sistematik dan sering menyatakan kembali atau mengulang prinsip asas
kepada sesebuah tajuk. Dengan mengambil langkah proaktif sedemikian, guru

9

secara tidak langsung telah mendedahkan kepada pelajar mengenai konsep
asas yang perlu digarap untuk membolehkan pelajar menguasai sesuatu topik.
Ramai guru telah lupa mengenai peri pentingnya menyatakan objektif
pembelajaran sebelum memulakan kelas. Hal ini untuk menyediakan pelajar
bagi mencapai matlamat sesebuah pengajaran serta membantu mereka untuk
mengaitkan ilmu sedia ada dengan ilmu yang baru diterima.
ii. Kesesuaian Tahap Pengajaran

Kesesuaian tahap pengajaran merujuk kepada guru mengenal pasti
kebolehan murid. Sebelum memulakan sesuatu proses pembelajaran dan
pengajaran, seseorang guru itu perlulah mengenal pasti tahap kemampuan
dan kesediaan murid untuk mempelajari ilmu dan kemahiran baru.
Kesannya,murid-murid dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai
tajuk baharu yang disampaikan serta dapat mengaitkan kemahiran yang telah
dipelajari sebelum ini dan mengaplikasikannya di dalam pembelajaran semasa.

Untuk mempelbagaikan teknik menyampaikan pengajaran di dalam
kelas agar boleh diterima oleh semua lapisan pelajar, guru hendaklah bijak
memilih teknik dan mewujudkan suasana atau budaya kelas yang disenangi
pelajar. Salah satu teori pembelajaran yang digariskan oleh Thorndike dalam
Elliot (2000) ialah setiap pengajaran dan pembelajaran adalah saling berkait
rapat dengan rangsangan dan tindakbalas terhadap rangsangan tersebut.
Rangsangan di dalam bilik darjah boleh diperolehi dengan bantuan Alat Bantu
Mengajar(ABM). Alat bantu mengajar(ABM) dikenali sebagai sebahagian
daripada media pengajaran yang ditakrifkan sebagai audio visual dan bahan-
bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu
pengajaran( Heinich et.al tahun 2002 ). Dengan menggunakan ABM di dalam

10

bilik darjah, pelajar akan dapat memberikan tindak balas terhadap perkara yang
sedang diajarkan memandangkan penggunaan ABM dapat memudahkan
segala jenis komunikasi di dalam kelas. Kesannya, pelajar akan dapat
mengatasi sikap pasif di dalam kelas memandangkan ABM yang
dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti slaid pembentangan
PowerPoint, permainan interaktif, paparan video/audio dan sebagainya mampu
menimbulkan minat pelajar tehadap tajuk yang akan dipelajari. Pelajar dapat
berinteraksi dengan guru dan rakan yang lain, serta memahami objektif
pembelajaran serta berusaha untuk mencapai objektif tersebut
memandangkan mereka sudah memahami realiti P&P tersebut.

Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Misalnya,
merujuk kepada Teori VAK, iaitu V=Visual, A= Auditori dan K=Kinestetik.
Dalam usaha mewujudkan pengajaran berkesan, para guru perlulah mengenal
pasti jenis atau gaya pembelajaran murid-muridnya agar mereka dapat
menyusun strategi pengajaran yang tidak hanya memberi fokus kepada satu
aspek sahaja bahkan juga dapat memenuhi kehendak semua jenis pelajar.
Perkara ini disokong oleh Claxton dan Murrell (1987), yang menyarankan
bahawa adalah penting untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan dalam
keberkesanan pembelajaran pelajar sekirannya cara guru mengajar
bertentangan dengan gaya pelajar.
iii. Insentif

Insentif mengukur tahap guru dalam memotivasikan pelajarnya untuk
mempelajari sesuatu tajuk. Menurut Rashid, tahap motivasi pelajar boleh
diklasifikasikan kepada tiga iaitu pelajar bermotivasi tinggi, sederhana dan
rendah(2007). Proses pembelajaran memerlukan tenaga, minat, masa dan

11

komitmen yang tinggi dari semua pihak termasuklah pelajar itu sendiri. Oleh
itu, adalah penting untuk seseorang guru itu memastikan para pelajar
mempunyai motivasi atau semangat untuk belajar yang tinggi. Hal ini demikian
kerana dengan semangat ingin tahu yang tinggi apabila mempelajari sesuatu
topik baharu, pelajar akan lebih mudah untuk ingat dan seterusnya mengaitkan
perkara tersebut dengan pengalaman hidup mereka. Minat adalah penting bagi
memastikan mereka sentiasa terdorong dan terbuka untuk belajar. Lihat sahaja
generasi muda hari ini bermain permainan video seperti Mobile Legend,
Fortnite, Clash of Clans dan sebagainya. Mereka mampu menghafal teknik
serta butang-butang yang diperlukan untuk menang dalam pertarungan
tersebut. Tidak dinafikan, memang pembelajaran dan pengajaran adalah tidak
seindah seperti bermain permainan video. Ada pelajar yang minat akan subjek
Sains tetapi tidak Bahasa Melayu. Justeru, guru hendaklah memastikan pelajar
sentiasa terbuka untuk menerima ilmu baharu.

iv. Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran
Masa yang diperuntukkan untuk mengajar sesuatu topik baharu juga

adalah penting bagi memastikan pelajar benar-benar memahami tentang
sesuatu tajuk. Setiap pelajar mempunyai kemahiran penguasaan yang
berbeza. Oleh itu, untuk menyampaikan sesuatu pembelajaran dan pengajaran
yang efektif, seseorang guru itu perlulah memastikan masa yang diberikan
adalah mencukupi bagi semua jenis pelajar.

Di dalam Model Effective Instruction, Slavin telah menggariskan dua
jenis masa di dalam kelas iaitu, “allocated time”, masa yang diperuntukkan
untuk mengajar sesuatu konsep baharu di dalam kelas dan”engaged time” iaitu

12

masa untuk para pelajar menyiapkan tugasan berkaitan dengan konsep yang
dipelajari. Walker dan Sevenson telah menggariskan beberapa komponen
penting di dalam “engaged time” yang perlu diperuntukkan di dalam bilik darjah.
Pertama ialah pelajar memahami dan menyiapkan tugasan yang diberikan,
diikuti dengan pelajar memberikan motor respons seperti menulis, dan
seterusnya pelajar meminta bantuan guru mengenai tugasan yang perlu
disiapkan (1992). Proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih
berkesan sekiranya guru mampu untuk membahagikan dua jenis masa ini di
dalam kelas dengan betul. Ketika di fasa “engaged time”, guru perlulah
menyediakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan tajuk dan memastikan
pelajar mampu menjawab tugasan tersebut pada tahap yang tertinggi mengikut
objektif pembelajaran. Pelbagai strategi yang sistematik dapat dirangka
menerusi pencapaian pelajar di dalam tugasan yang diberikan. Kesannya,guru
dapat menganalisis kelemahan pelajar serta memperuntukkan tugasan yang
dapat membantu pelajar mehami sesuatu konsep dengan pemahaman yang
mendalam.

13

4.0 Konsep Kepimpinan Guru

Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan bagi para pelajar untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan secara formal. Sekolah merupakan sebuah
organisasi yang dipimpin oleh pengetua diikuti oleh guru, staf sekolah dan para
pelajar. Jika disentuh mengenai topik kepimpinan di sekolah, semestinya fokus utama
adalah tertumpu kepada pengetua sebagai pemimpin. Namun jika kita lihat pada skop
bilik darjah, guru akan memainkan peranan sebagai seorang pemimpin.

Konsep kepimpinan didefinisikan sebagai usaha atau tindakan mempengaruhi
pihak lain secara formal atau tidak formal untuk mencapai sesuatu matlamat yang
telah ditetapkan(Cuban, 1984). Terdapat tiga elemen di dalam konsep kepimpinan
iaitu; pemimpin, pengikut dan konteks(Nye, 2008).Northouse menyatakan bahawa
kepimpinan berlaku apabila seseorang individu iaitu ketua berupaya untuk
mempengaruhi pengikut-pengikut di bawahnya ke arah matlamat yang telah
ditetapkan(2010). Kepimpinan boleh ditakrifkan sebagai usaha seorang individua tau
ketua dalam sebuah organisasi untuk menggerakkan pengikut-pengikutnya
melakukan perubahan bertunjangkan kepada objektif yang telah ditetapkan dan
dipersetujui oleh setiap ahli.

Dalam konteks kepimpinan guru dalam bilik darjah, guru berperanan sebagai
seseorang yang mempengaruhi pelajar untuk mencapai sesuatu sesuai dengan
objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Kepimpinan guru yang baik akan
menghasilkan kesan positif terhadap anak murid dan hal ini adalah bersesuaian
dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia di dalam Falsafah Pendidikan
Negara untuk melahirkan individu yang bersikap holistik. Kepimpinan guru adalah
berkait rapat dengan proses pembelajaran dan pengajaran termasuklah pembelajaran

14

mengenai profesion guru itu sendiri dan juga perkembangan pelajar(Southworth,
2002). Memetik definisi istilah kepimpinan guru dari buku yang bertajuk Guru Sebagai
Pemimpin, kepimpinan guru boleh dari sudut pengajaran merangkumi mereka bentuk
dan menterjemah wawasan ke dalam kurikulum formal dengan mengoptimumkan
segala sumber yang ada. Tambahan pula, menurut buku ini kepimpinan guru turut
memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar, bahkan iklim bilik darjah, sekolah
dan juga masyarakat. Seorang guru yang merupakan pemimpin yang berkaliber
bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya, bahkan juga
beliau turut mengenal pasti kelemahan pelajar, meningkatkan efikasi pelajar,
mewujudkan iklim bilik darjah yang positif dan kondusif dan lain-lain lagi. Jika tugas
pemimpin itu digalas dengan baik, pelajar dapat meningkatkan prestasi mereka di
dalam pembelajaran memandangkan guru telah berusaha sebaik mungkin untuk
memanfaatkan segala keperluan dan kemudahan yang ada bagi meningkatkan mutu
proses pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar.

Sekolah merupakan salah sebuah institusi yang sering berlaku perubahan dari
segi corak pentadbiran, kurikulum dan dasar-dasar yang diperuntukkan oleh pihak
kerajaan. Oleh itu, amatlah penting jika guru mampu untuk menjadi seorang pemimpin
yang stabil dan mampu memandu diri sendiri serta pelajar untuk bersedia menghadapi
sebarang perubahan dan mengadaptasi dengannya seoptimum yang boleh. Analogi
yang dapat diambil menerusi situasi ini ialah pengenalan ICT di dalam proses
pembelajaran dan pengajaran(P&P). Sebelum guru boleh mengaplikasikan ICT di
dalam bilik darjah, mereka terlebih dahulu diberi pendedahan dan dilatih bagi
mengendalikannya. Para pendidik perlulah membiasakan diri mereka dengan
penggunaan Power Point, Google Classroom, LCD, Kahoot, Edmodo dan aplikasi-
aplikasi lain. Penggunaan ICT di dalam bilik darjah bukanlah sesuatu yang boleh

15

dipandang enteng. Kemahiran mengendalikan teknologi seperti komputer riba
memerlukan masa kerana banyak komponen yang perlu dipelajari seperti cara
menyambungkan mikrofon, paparan video dan sebagainya. Jika guru boleh
mempamerkan kemahiran yang meyakinkan pelajar apabila mereka menggunakan
teknologi, sudah pasti murid akan lebih bermotivasi dan bersemangat untuk mengikuti
kelas tersebut. Pelajar akan menjadi teruja jika guru memperkenalkan sesuatu yang
baru dan interaktif kepada mereka. Dengan mengintegrasikan teknologi di dalam bilik
darjah, proses P&P akan menjadi lebih seronok dan penyampaian guru akan lebih
berkesan sekiranya semua perkara berjalan seperti yang dirancang di dalam
Rancangan Pengajaran. Namun demikian, penggunaan teknologi di dalam bilik darjah
tidak sepenuhnya dikawal oleh guru. Hal ini demikian kerana kelancaran sesuatu
pengajaran menggunakan Internet misalnya adalah bergantung kepada kekuatan
signal atau rangkaian capaian Internet di sekolah serta masalah teknikal alatan-alatan
elektronik yang mungkin akan berlaku tanpa dijangka. Fokus pelajar juga akan mudah
hilang sekiranya seseorang guru itu terlampau bergantung kepada teknologi apabila
mengajar.

Persoalan yang bakal dikupas ialah bagaimana peranan kepimpinan guru di
dalam bilik darjah dapat menyumbang kepada pengajaran berkesan dengan
penggunaan teknologi semasa proses P&P?

16

5.0 Peranan Kepimpinan Guru dalam mewujudkan Pengajaran Berkesan
menggunakan Teknologi

Lieberman telah menggariskan peranan kepimpinan guru di dalam bilik darjah
di mana guru berfungsi sebagai seorang pemimpin yang kreatif dan optimis dalam
mengendalikan bilik darjah, membina kemahiran-kemahiran baru dalam diri pelajar
termasuklah semangat yakin dan percaya diri. Pengenalan kaedah dan persekitaran
pembelajaran yang berasaskan teknologi merupakan sesuatu yang baru buat
sesetengah pelajar. Bukan semua pelajar lahir dari golongan yang mampu atau
mempunyai akses terhadap teknologi seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan
gajet-gajet yang lain. Justeru, peranan guru sebagai pemimpin bilik darjah adalah
untuk membantu mereka membiasakan diri dengan teknologi-teknologi ini.
ELEMEN 4Cs;(Communication, Collaboration, Critical Thinking, Creativity)

Seperti yang kita telah bincangkan mengenai salah satu faktor pembelajaran
berkesan iaitu teknik yang digunakan oleh guru semasa P&P, guru boleh
memanfaatkan teknologi di dalam kelas sebagai Alat Bantu Mengajar (ABM). ABM
dalam bentuk elektronik seperti tayangan filem, slaid, penggunaaan LCD, audio dan

17

sebagainya di dalam kelas bukan sahaja dapat membiasakan pelajar dengan
teknologi-teknologi semasa bahkan juga dapat mewujudkan persekitran P&P yang
lebih menarik minat pelajar. Pelajar dapat menginterpretasi konsep yang bakal diajar
dengan cara yang lebih kreatif dengan bantuan grafik dan audio. Seiring dengan arus
globalisasi ini, kemahiran 4cs iaitu Creativity, Collaborative, Critical Thinking and
Communication adalah sangat dititikberatkan dan dianggap sebagai kemahiran yang
perlu ada pada pelajar di abad yang ke-21 ini. Guru hendaklah membantu pelajar
untuk menjadi lebih kreatif di dalam kelas. Zaman teknologi bukan lagi zaman di mana
guru mengajar dan menerangkan konsep di hadapan kelas manakala pelajar, pasif
mendengar penjelasan dari guru. “Student-centered” merupakan antara komponen
utama dalam pembelajaran masa ini, di mana guru memberikan autonomi kepada
pelajar agar mereka bertanggungjawab terhdapa pembelajaran mereka sendiri.
Penerapan kemahiran-kemahiran 4Cs ini mampu membantu pelajar untuk lebih
memahami dan meneroka ilmu pengetahuan bukan sahaja di peringkat permukaan
sahaja, bahkan di peringkat yang lebih spesifik. Contoh yang boleh dijadikan rujukan
ialah penerapan kemahiran menulis esei berbentuk cerita dalam subjek Bahasa
Inggeris. Jika mengikut kaedah konvensional, guru hanya akan meminta pelajar untuk
menulis esei di atas kertas. Namun, kaedah demikian sudah kurang paraktikal kini.
Guru misalnya boleh menggalakkan pelajar menggunakan aplikasi e-Book untuk
mempersembahkan jalan cerita mereka. Guru yang mengaplikasikan kaedah ini
bukan sahaja dapat mendedahkan pelajar kepada pelbagai aplikasi di Internet,
bahkan juga dapat merangsang kreativiti pelajar menulis cerita berserta grafik
mengikut imaginasi mereka. Natijahnya, pelajar dapat memahami dan mengingati
konsep menulis karangan seperti aspek tatabahasa, idea, jalan cerita dan sebagainya
dengan lebih efektif.

18

Elemen 4cs yang dinyatakan juga merupakan antara kemahiran-kemahiran
yang perlu dikuasai oleh pelajar di zaman millenium ini. Dengan adanya teknologi
dapat memudahkan guru untuk memantau dan memberi komen yang membina buat
pelajar-pelajarnya. Sebagai contoh, seorang guru Sejarah membahagikan pelajarnya
kepada beberapa kumpulan dan mengarahkan mereka untuk menyiapkan filem
pendek mengenai Sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Melalui tugasan ini, para
pelajar akan mempelajari kemahiran Collaborative Thinking di mana mereka perlu
mendengar dan menghargai buah fikiran yang diberikan oleh rakan yang lain dan
berani menyuarakan idea mereka sendiri. Mereka juga perlu lebih berani untuk
membentangkan hasil kerja mereka menggunakan teknologi-teknologi yang ada.
Kesannya, pelajar pasti akan lebih mudah untuk mengingat kronologi-kronologi
penting yang berlaku semasa Kesultanan Melayu Melaka memandangkan mereka
terlibat secara aktif di dalam memahami tajuk tersebut di kelas.

Dunia pendidikan sering berubah seiiring dengan perubahan yang terbentuk di
peringkat global. Jika dulu, perkara wajib di dalam bilik darjah ialah kapur, buku teks
dan papan hitam telah berevolusi kepada penggunaan LCD sebagai paparan skrin
bilik darjah, buku teks digital yang boleh diakses di hujung jari dan sumber rujukan
dalam bentuk audio dan grafik. Jika terdapat sebarang perubahan atau pindaan pada
dasar pendidikan, guru merupakan figura utama yang akan mengadapatasi dengan
perubahan tersebut sebelum disampaikan kepada para pelajar. Begitulah juga
dengan penggunaan teknologi atau ICT dalam bilik darjah.

Menurut Lambert, guru sebagai pemimpin dalam bilik darjah perlulah
melaksanakan tanggungjawab sebagai agen perubahan yang ditugaskan untuk
melaksanakan perubahan tersebut dan membolehkan pelajar beradaptasi dengan
persekitaran baru, mempraktikkan atau membiasakan diri dengan perubahan tersebut

19

sesuai dengan objektif pembelajaran(2003). Membawa maksud yang hampir serupa,
Lieberman juga turut menggariskan peranan kepimpinan guru untuk melaksanakan
dan menguruskan proses perubahan.

Input yang disampaikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran(P&P)
akan menjadi lebih efektif dan meninggalkan impak yang besar kepada para pelajar
sekiranya mereka belajar di dalam persekitaran yang selesa dan mengikut kehendak
mereka (Thorndike,1998). Dengan adanya penggunaan teknologi di dalm bilik darjah,
guru perlu memastikan bahawa penggunaannya adalah lancar dan tidak
menimbulkan sebarang masalah yang boleh menggugat fokus pelajar dan
mengganggu kelancaran proses P&P tersebut. Tidak dinafikan Alat Bantu
mengajar(ABM) seperti tayangan video dari filem atau lagu pasti akan menarik minat
pelajar. Namun sekiranya timbul masalah seperti audio akan menyebabkan pelajar
berasa kurang selesa. Oleh itu, guru perlulah memastikan persiapan dilakukan sebaik
mungkin dengan mempersiapkan ABM yang lain sebagai alternatif lain.

Pentaksiran Bilik Darjah yang dijalankan kepada pelajar Tingkatan 3 di setiap
sekolah menengah kebangsaan bagi subjek Geografi dan Sejarah memerlukan
pelajar untuk menghantar kerja kursus yang perlu disiapkan menggunakan komputer.
Oleh itu, guru perlulah memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada peranti
elektronik ini serta membimbing dan mengajar pelajar mengenai asas kepada
Microsoft Word misalnya. Segelintir pelajar mungkin tidak biasa menggunakan
aplikasi-aplikasi sedemikian. Oleh itu, guru perlulah memberi bimbingan kepada
pelajar-pelajar ini mengenai cara menggunakannya agar mereka tidak mempunyai
sebarang masalah untuk menyiapkannya.

20

Guru yang bertindak sebagai pemimpin cemerlang juga berperanan untuk
mempengaruhi pelajar serta rakan sekerjanya untuk sedia menerima perubahan
dengan baik. Guru yang mampu memberikan banyak pilihan dan akses mudah
kepada para pelajar seperti contoh bahan bacaan dari OpenLearning.com, akses
kepada buku teks digital, berkongsi aplikasi-aplikasi di Internet yang mesra pelajar
akan menyebabkan pelajar mudah untuk berkomunikasi dengan guru tersebut dan
meminta pendapat. Kesannya,guru tersebut telah memberikan bayangan bahawa
penggunaan teknologi ini bukanlah sesuatu yang membebankan. Sebaliknya,
teknologi mampu memberikan maklumat tanpa sempadan buat para pelajar serta
memberikan nilai tambah bagi kemahiran mereka seperti kemahiran multimedia
seperti mencipta logo dan menyunting video. Seandainya guru tersebut mampu untuk
menunjukkan kepada para pelajar cara memanfaatkan teknologi, sudah pasti mereka
akan lebih bersemangat untuk mencuba pengalaman baharu seperti ini. Apabila
wujud pembelajaran yang bersifat interaktif bagi pelajar, mereka akan lebih
menumpukan perhatian serta berminat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka memahami dengan lebih
mendalam mengenai sesebuah pembelajaran tersebut.

Pembelajaran menggunakan teknologi dapat memastikan pelajar lebih
bertanggungjawab dan teliti dalam memilih bahan-bahan rujukan. Oleh itu, mereka
akan lebih faham dan ingat mengenai sesuatu topik sekiranya mereka mengambil
inisiatif untuk mendapatkan maklumat tambahan melalui Internet. Proses menilai dan
menapis maklumat agar relevan dengan kurikulum pelajar dapat memastikan pelajar
menerima input yang efektif dan berkesan.

21

6.0 Kesimpulan
Berdasarkan definisi dan huraian yang telah dijelaskan, dapat kita konklusikan

bahawa pengajaran berkesan melibatkan komitmen dan usaha sama dari kedua-dua
belah pihak iaitu guru dan murid. Guru perlu memahami kurikulum pengajaran, murid
dan mengaplikasikan pelbagai teknik mengajar, Pengadaptasian teknologi di dalam
bilik darjah adalah merupakan sebuah revolusi yang berlaku dalam bidang
pendidikan. Pendidikan abad ke-21 memfokuskan tiga komponen utama, iaitu
pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan atau
kurikulum serta penilaian (Ani Omar,2016). Konsep kepimpinan guru adalah
merupakan komponen utama yang akan kekal relevan walaupun pedagogi atau
perubahan telah dilaksanakan dalam bidang pendidikan bagi mewujudkan pengajaran
berkesan. Guru yang bertanggungjawab berupaya memimpin pelajar-pelajarnya
untuk bukan sahaja berjaya dari segi rohani, jasmani, intelek, sahsiah seiring dengan
aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bahkan juga dapat mewujudkan
penambahan pemebelajaran di dalam diri pelajar tersebut yang boleh diaplikasikan
oleh mereka di luar konteks bilik darjah.

22

7.0 RUJUKAN

Ambrose, S. (2010). How Learning Works: Seven Research-Based Principles for Smart
Teaching. San Fransisco: Jossey-Bass.

Baba, I. (2009). KEBERKESANAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DAN KAITANNYA
TERHADAP PRESTASI AKADEMIK PELAJAR UTHM.

Dilworth, P. P. (2012). Preparing Teachers for Tomorrow's Technologies. TechTrends.
E.Slavin, R. (1995). A Model of Effective Instruction. The Educational Forum.
Elliot, S.N., Kratochwill, T.R., Cook, J.L., & Travers, J.F. 2000. Educational Psychology. Ed. ke3.
McGraw Hill Book Co : Singapore.
Heinich, R., Molenda, M., Russell, J.D., & Smaldino, S.E. (2002). Instructional media and technologies
for learning. Ed. ke7. Columbus: Merrill Prentice Hall.
Isnin, A. R. (2013). Penggunaan Web Video Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam
Kalangan Guru Kemahiran Hidup Sekolah Menengah Batu Pahat. Universiti Tun Hussein
Onn: Laporan Projek Sarjana.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2014) Kad Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan
Malaysia 2014, Kejayaan dan Pencapaian.
Maddox, H., & Hoole, E. (1975). Performance Decrement In Lecture. ERIC.
Marzuki, S. @. (2005). Amalan Pengajaran Guru yang Berkesan: Kajian di beberapa Sekolah

Menegah di Malaysia.
Omar, A. (2016). INTEGRASI TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KESUSASTERAAN MELAYU MEMPERTINGKATKAN KEYAKINAN DAN KEBERHASILAN
GURU SEMASA LATIHAN MENGAJAR. JPBU Vol. 9.
Volman, M., & Eck, E. (2001). Gender Equity and Information Technology in Education: The
Second Decade. Review of Educational Research.
Yahya, A. S., & Mohamed, A. R. (2007). Guru Sebagai Pemimpin. PTS Publishing House.

23


Click to View FlipBook Version