UCAPAN ALU-ALUAN
GURU BESAR SK KUALA TEKAL
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua barisan AJK PIBG 2019/2021, warga pendidik dan
semua ibu bapa / penjaga murid di sekolah ini kerana dengan usaha yang gigih komitmen yang padu
serta jati diri yang kental dalam kalangan warga sekolah, kita mampu menempatkan SK Kuala Tekal ke
arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum dalam zon, daerah Temerloh, dan peringkat negeri
Pahang.
Sesungguhnya, semua usaha ini adalah bertujuan untuk menumpukan dan mensasarkan
pembangunan pelajar yang memiliki 6 ciri utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat
global iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa,
beretika dan beragama serta beridentiti kebangsaan melalui proses transformasi Pendidikan yang
akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun yang tertera dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013
– 2025. Ibu bapa masa kini semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran yang sukar dan ianya bukanlah
sesuatu yang mudah berbanding dahulu. Peranan ibu bapa dalam mempersiapkan diri untuk
menghadapi cabaran-cabaran tersebut memerlukan persediaan fizikal, mental, dan emosi yang cukup
kuat.
Pada era ini, ibu bapa terikat dengan pelbagai peraturan dan undang-undang kekeluargaan. Di
samping itu, ibu bapa juga berdepan dengan pelbagai pengaruh kurang sihat di luar rumah dan
pengaruh negatif disebabkan perubahan sosial dan budaya yang berlaku dengan pesat.
Perkembangan teknologi yang begitu pesat menyebabkan anak-anak kita terdedah kepada
penggunaan peranti dan internet. Penggunaan peranti ini pada asasnya baik untuk anak-anak kita
memperoleh maklumat yang bermanfaat, namun ianya perlulah dikawal oleh ibu bapa supaya tidak
menimbulkan kesan yang negatif kepada anak-anak.
Selain itu, kekuatan sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan pencapaian
murid dalam kurikulum dan kokurikulum, malah ianya sangat bergantung kepada sokongan dan
kerjasama ibu bapa. Mindset ibu bapa perlu berubah tentang makna sebenar pelibatan ibu bapa dan
kerjasama dengan pihak sekolah. Dalam hal ini, keakraban merupakan senjata utama yang dapat
memangkin kecemerlangan sekolah dan seterusnya dapat menghasilkan kualiti murid yang terbaik
daripada aspek akademik, kokurikulum, dan kemenjadian murid itu sendiri.
Akhir kata, saya doakan agar segala perancangan yang dibuat bersama-sama ini menjadi perancangan,
misi, dan visi bagi semua warga sekolah ini. Harapan kami agar sentiasa berlaku penambahbaikan yang
berterusan. Kerjasama yang begitu baik dan sokongan padu daripada PIBG sekolah ini sangat mantap
telah dapat menangani pelbagai isu dan seterusnya menjadi pemangkin dalam transformasi
Pendidikan di sekolah ini dan negara amnya. Semoga SK Kuala Tekal sentiasa menjadi sekolah
cemerlang dalam daerah Temerloh.
Sekolah Kecil. Jiwa Besar. Tekal Awesome.
Sekian, terima kasih.
Guru Besar
SK Kuala Tekal